Thursday, July 08, 2021
Berkawan dengan air mata
Saya dan air mata bukah sesuatu yang asing. Mudah juga air mata tumpah apabila terkenangkan keluarga, tidak kira atas alasan apa pun.
Malah saya sentiasa mengelak menonton drama ataupun filem tentang keluarga, tentang ibu ayah, tentang anak, tentang kasih sayang haiwan. Semua itu akan membuatkan air mata saya mengalir laju.
Semalam saya perasan sesuatu, senarai yang membuat air mata saya tumpah kini bertambah dan ia sangat aneh untuk saya.
Kerana ia hanya pada kata-kata pujian. Orang yang memuji kebaikan keluarga kita, mengenang kebaikan kita terhadap mereka.
Itu sudah memadai untuk membuat saya rasa pilu.
Entah.
Mungkin kerana saya sedar diri ini banyak celanya. Kalaulah mereka tahu.
Semoga sahaja kebaikan yang mereka ucapkan itu benar-benar adanya.
Sunday, July 04, 2021
luka yang melupakan kita
Yang sakit tentang melupakan adalah, ia tidak mampu untuk melupakan.
Melupakan bukan hal yang semudah menyarung selipar. Ia bukan hal yang sifatnya fizikal.
Ia sesuatu yang berkaitan dengan fikiran juga hati.
Berusaha melupakan tidak ada jaminan ia akan berjaya. Untuk hal lain, hasil tidak akan mengkhianati usaha.
Tetapi untuk hal melupakan, hasil sentiasa mengkhianati usaha. Kecewa adalah teman untuk mereka yang berusaha melupakan.
Jadi jangan melupakan. Ia tidak mungkin berjaya.
Yang berjaya adalah menyibukkan fikiran dengan perkara lain. Apa sahaja asalkan fikiran kita tidak punya waktu bagi mengingati perkara yang melukakan.
Atau berusaha sahaja pada masa hadapan bagi mencipta situasi yang lebih bahagia. Sehingga hal yang melukakan itu apabila teringat ia tidak menjadi apa-apa lagi dalam hati juga fikiran.
Melupakan bukan tentang hal yang mudah ataupun susah. Ia adalah tentang memperbaiki masa hadapan agar ia lebih baik daripada masa lalu yang menyaksikan luka.
Kerana kita tidak mungkin melupakan luka. Hanya luka yang melupakan kita dan akan terus melukai seperti ia tidak pernah kenal hati yang sudah sobek ini.
Saturday, July 03, 2021
mencuba untuk bohong
Itu dosa sebenarnya.
Dan untuk urusan harian bohong itu tidak ada alasan yang kukuh untuk melakukannya.
Hanya dalam perang ia menjadi sesuatu yang harus.
Ada juga ustaz maklumkan bohong itu terpaksa sekiranya mahu mendamaikan antara dua pihak.
Namun ada juga bertanya bagaimana sekiranya ada yang bertanyakan tentang masa silam kita, sedangkan masa silam itu penuh dosa. Menceritakannya juga jatuh kepada dosa. Adakah boleh berbohong?
Kata ustaz tidak perlu bohong. Cukup sekadar berkata, itu bukan urusan kamu.
Ya, untuk lelaki dan perempuan yang punyai masa silam yang penuh noda tidak perlu menceritakan semua itu pada pasangan, atas alasan apapun. Walau kerana mahu jujur dengan pasangan.
Jujur bukan rahsia kebahagiaan rumahtangga. Pandai menyimpan rahsia itulah petua kebahagiaan rumah tangga.
Bukan bermakna meminta berbohong kerana itu tetap dosa. Cuma minta, jangan terlalu bercerita hal yang tidak perlu.
Cuba sahaja fikirkan begini, anda mencuba bohong tetapi tidak mahu bohong. Pasti jawapan anda akan lebih kreatif. Tidak jatuh pada kawasan bohong, tidak juga membocorkan dosa masa lalu.
Begitulah kira-kiranya. Seeloknya, kita jangan bertanya tentang masa lalu sesiapa pun. Kerana ia hanya membuat mereka rasa bersalah.
Masa hadapan adalah tujuan. Masa lalu simpan sendiri untuk rujukan.
Friday, July 02, 2021
Cinta untuk suatu tempoh hayat
Dahulu ketika masih belum bernikah, selalunya tidak akan ada yang boleh membuatkan saya berani sekiranya mahu menyatakan cinta kepada seseorang.
Datanglah belasan orang memujuk dan memberi kata-kata semangat, tetap saya tidak akan berani.
Biar puluhan buku tentang motivasi yang saya baca tetap tidak akan mampu membuatkan mulut saya berani menyampaikan rasa hati ini kepada perempuan itu.
Terlalu rendah diri sebenarnya.
Tidak yakin langsung cinta akan diterima.
Yang mana pada waktunya itu saya fikir itulah yang terbaik untuk saya.
Kerana apabila cinta diterima apa seterusnya? Saya tidak punya kerja, tidak juga punya wang.
Tidak punya apa-apa.
Cinta tidak pernah cukup sekiranya ia mahu dinamakan cinta sejati.
Ia perlu kepada perkara-perkara lain untuk berkhidmat dengan penuh kasih kepada cinta.
Ya, cinta sejati memang sepatutnya begitu kerana itulah namanya tanggungjawab.
Cinta tanpa tanggungjawab itu hanya cinta untuk suatu tempoh waktu.
Cinta dengan tanggungjawab pula adalah cinta untuk suatu tempoh hayat.
Jadi untuk anak muda, bersyukurlah ketika cintamu ditolak pada saat kamu tidak punya apa-apa, kerana ia menyelamatkan mu daripada cinta yang sekejap
Thursday, July 01, 2021
Untuk esoknya yang penuh cinta
Saya sentiasa mengharapkan esoknya mampu saya jalani dengan penuh kebaikan. Penuh semangat dan juga penuh azam, dan penuh cinta.
Untuk saya itu semua sangat perlu bagi membuang semua kemalasan.
Namun, tidak semua itu dapat terjadi. Biasanya, apabila esok tiba entah apa yang membuat saya merasa tidak bersemangat dan tidak mampu mendepani hari dengan penuh azam lagi cinta.
Tidak ada salah siapa-siapa juga, kerana ia datang daripada dalam diri. Saya tidak semangat kerana terlalu mahu membuat yang terbaik.
Pada akhirnya, fikiran yang lelah dahulu, dan semuanya ikut menjadi lelah. Semangat hilang, lelah yang datang.
Jadi sepatutnya bagaimana?
Saya tidak tahu. Mungkin seharusnya saya tidak memikirkan esok, tetapi memikirkan apa yang terjadi tadi. Memikirkan bahawa itu semua boleh saya perbaiki. Memang ada yang kurang tetapi ia bukan sesuatu yang perlu saya salahkan diri. Ia adalah sesuatu yang perlu saya perbaiki dengan hati dan fikiran yang kuat.
Menyalahkan diri sendiri tidak akan membuat fikiran dan hati menjadi kuat, malah membuatnya lemah. Dan paling utama, yang terjadi sudah terjadi. Di hadapan hanya ada jalan taubat sekiranya dosa, dan jalan memperbetulkan, sekiranya silap. Masuki sahaja mana-mana ataupun, masuki kedua-duanya.
Tidak ada jalan untuk menyalahkan diri sendiri, tidak ada jalan untuk menyalahkan orang lain. Itu semua hanya membuat fikiran lelah, dan esoknya bangun tidak ada semangat yang singgah.
Ya, perlu tidur untuk esoknya yang perlu semangat dan penuh cinta.
Wednesday, June 30, 2021
Bawalah luka
Selalunya yang dikatakan luka itu adalah apabila hati mengharap tetapi harapan itu dipatah-patahkan oleh takdir.
Dikatanya cinta tidak memihak. Sedangkan realiti, cinta itu sangat neutral. Tidak memihak kepada sesiapa kerana cinta itu adalah apa yang terjadi dalam hati sendiri. Ia bukan apa yang terjadi di hati orang lain.
Hati orang lain, cintanya sendiri. Tidak akan berkait dengan kita sekiranya dia tidak suka kepada kita.
Terlihat semudah itu, dan realitinya memang semudah itu. Tetapi apa yang membuatnya sukar?
Kerana kita manusia tidak akan pernah tahu cara yang tepat bagi merawat luka akibat harapan yang patah-patah tadi.
Memang tidak ada cara yang tepat, kerana cara merawatnya adalah sebelum luka itu sendiri terjadi. Bukan semasa ia terjadi atau sudah berlaku.
Jauh-jauh hari sebelum terluka, ada yang sudah menyerahkan seluruh hatinya kepada yang Maha Esa. Jadi pada ketika harapannya patah, dia memang luka tetapi ubatnya sudah dia ada. Pulihnya cepat.
Ada pula yang selepas hatinya patah, baru mencari ubat dan ketika itulah semuanya terasa sukar. Ada yang demam ada yang sakit, tetapi mujur pada akhirnya sembuh juga.
Ada yang lukanya tidak pernah sembuh tetapi tetap mampu hidup seperti biasa. Dia membawa luka itu bersama sepanjang waktu. Tidak ada apa-apa juga. Kerana harapan baru bukan tentang menjadi orang yang baru. Tetapi upaya untuk kehadapan tidak mengira baru ataupun lama, sembuh ataupun masih luka.
Jadi sekiranya masih tidak mampu memaafkan, tidak mampu melupai, dan masih terluka, itu biasa. Itu bukan tanda tidak ada harapan, tetapi itu tanda cinta kita dan cinta orang itu tidak bersatu. Tetapi cinta tetap kita ada dan punya. Tidak pernah hancur. Yang hancur hanya harapan lama, harapan dengan si dia.
Bawalah luka, tetapi jangan lupa, cinta itu masih ada dalam hati.
Tuesday, June 29, 2021
Pelangi bukanlah hadiah selepas ribut
Pagi tadi, saya hantar anak saya ke Bengkel Sains.
Semasa di dalam kereta, dia kata, "Papa, tengok tu, ada pelangi. Lama Caca tak nampak."
Mata saya mengikut arah telunjuknya. Di hadapan sana ada pelangi. Tidak dalam lengkung penuh, hanya kaki pelangi sahaja terlihat warna2 indah. Tetapi itu cukup untuk menerbitkan senyum.
"Apa jadi kat sana?" tanya saya.
"Air terkena matahari."
"Maknanya di sana ada hujan."
Dia diam, terus memerhati pelangi, dan saya diam termenung. Saya tersentak dengan kata2 saya sendiri.
Ternyata selama ini, tafsir saya sendiri tentang pelangi itu tidak sepenuhnya benar. Saya sering mengikut untuk menuliskan 'pelangi' itu adalah hadiah selepas terjadinya 'hujan ribut'.
Sedangkan pelangi itu, adalah lebih hampir kepada lambang kesabaran dan kesyukuran berbanding bahagia itu sendiri.
Ini kerana pada ketika melihat bahagianya manusia, dan hati kita bertanya, "Apa yang terjadi di sana?"
Mungkin sahaja jawapan yang muncul, mereka saling cinta, saling faham mengerti, dan saling doa mendoa.
Sedangkan hakikatnya, yang terjadi adalah kesabaran dan syukur manusia. Kita ini manusia tidak ada yang lepas daripada masalah, tidak lepas daripada silap juga kelemahan.
Lalu perlu kesabaran untuk berperilaku cinta, perlu syukur hati untuk saling mengerti, dan pasti lebih sabar juga syukur untuk sering doa mendoa.
Pasti, perlambangan itu lebih adil untuk semua manusia. Kerana mereka yang hancur hatinya, musnah hubungannya, hilang harta dan rakan, yang berada pada titik rendah keyakinan kerana tidak punya kerja, tidak akan punya lagi kata saling cinta, saling memahami, tetapi masih punyai kata untuk kesabaran dan syukur.
Punyai sabar dan syukur itu sendiri adalah bahagia.
Juga, pelangi tidak perlu terlihat penuh, untuk tampil manis, cukup sekadar warna indah pada kaki pelangi. Kerana kita memilih untuk melihat yang itu, dan kita mampu.
Hidup kita juga begitu. Tidak semua perkara kita perlu melihat keseluruhannya. Ada perkara cukup kita lihat yang indah-indahnya, dan kenang manis-manisnya.
Monday, June 28, 2021
Siapa yang lebih susah?
Adalah sesuatu yang tidak kena apabila lori mengatakan kepada kereta kancil yang ia boleh mengangkut beban sebanyak satu tan, selepas melihat kepayahan kereta kancil mengangkut beban seberat 300kg.
Ataupun apabila kereta kancil mengatakan, yang ia tidak ada masalah parking di tepi jalan sehala tanpa menggangu lalu lintas, mengapa lori tadi tidak boleh?
Ia bukan tentang siapa yang lebih susah, selepas melihat susah orang itu tidak seberapa berbanding susahnya kita.
Ia tentang tahap kita yang berbeza-beza. Masing-masing ada kelemahan, ada kelebihan.
Apatah lagi semasa PKP ini. Memberi komen pada status orang yang meluahkan kesusahannya, dengan memberi contoh diri kita yang lebih susah ataupun ada orang yang kita kenal lebih susah, tetapi boleh menghadapinya, mengapa dia tidak boleh? Adalah sesuatu yang perit untuk orang itu.
Kita digalakkan untuk melihat lagi orang yang lebih susah daripada kita supaya kita bersyukur, dan melihat kesusahan orang yang kurang susah pada pandangan kita, tidak akan membantu iman kita.
Apa yang perlu adalah empati. Tidak kira sekecil mana susah orang itu, tetaplah simpati dan empati. Berikan kata-kata semangat dan mendoakan mereka. Ya, kita lebih susah, tetapi ia bukan lesen untuk berbangga dengan susahnya kita.
Ia adalah sesuatu untuk kita insafi.
Sunday, June 27, 2021
Jiwa yang sakit
Tekanan perasaan itu sangat benar wujudnya. Ia sesuatu yang boleh berubah menjadi satu penyakit dalam diri dan merosak akal sihat dan hati yang murni.
Siapa sahaja tidak pernah mengalaminya?
Saya juga pernah dan malah, sering-sering.
Saya memahami satu fakta berkenaan tekanan perasaan, ia mampu berubah menjadi depresi. Akhirnya mental manusia tidak keruan, dan sekiranya tidak diberi rawatan awal, hujungnya boleh membawa kepada dua perkara yang ditakuti, menjadi gila ataupun cuba membunuh diri.
Namun untuk kesihatan mental, depresi bukan satu-satunya faktor. Banyak juga kerana keturunan, maksudnya hormon yang saya tidak tahu apa namanya, berlebihan dirembeskan oleh otak manusia. Jadi, untuk hal yang fizikal sebegini, ubatnya harus juga fizikal.
Itu menjawab persoalan saya selama ini, mengapa mereka yang punyai masalah kesihatan mental harus kepada pil-pil yang pelbagai jenis. Kerana selama ini fikiran saya, rawatan sakit sebegitu hanya baring dan bercerita tentang masalah mereka kepada doktor.
Ternyata kesihatan mental ini punyai ruang yang sangat luas, dan hanya doktor yang ada kemahiran sahaja mampu bercerita lanjut tentangnya.
Untuk orang biasa seperti saya, yang sering-sering mengalami tekanan hidup, hanya mampu berharap untuk menyibukkan diri dengan keluarga, dengan rakan-rakan sehingga tekanan itu terhapus atau terlupa bahawa saya punyai masalah yang belum selesai.
Pastinya juga, doa semoga terhindar daripada sakit yang tidak jelas tanda-tandanya ini. Tidak jelas tetapi kesannya sangat mematikan jiwa.
Saturday, June 26, 2021
Menemui cinta dahulu yang sepi di pelabuhan.
Menemui kembali kisah-kisah dahulu di pelabuhan kenangan adalah sesuatu yang tidak mungkin ditolak dengan sengaja. Kerana kisah-kisah itu kembali dengan bentuk yang pelbagai. Ada datang dengan bentuk catatan, dan ada yang datang dengan bentuk manusia yang utuh tetapi sepi.
Kisah yang dibawa juga tidak menentu. Ada manusia yang membawa kisah cinta masa lalu. Lalu di situlah hati akan berlabuh dan takut-takut sekiranya ombak pula yang memukul.
Mengenang kisah cinta dahulu dengan manusia yang membawanya akan memberi satu pengalaman yang aneh. Aneh kerana ia terasa sangat manis, namun dalam waktu yang sama ia terasa sangat memilukan.
Entah mengapa kisah cinta dahulu berakhirnya dengan putus yang tidak bersambung. Walaupun hati benar-benar cinta.
Mungkin kerana jodoh itu rahsia, dan dia bukan termasuk dalam rahsia itu.
Ombak masa lalu memang akan sentiasa memukul jiwa. Jangan berlabuh lama di pelabuhan kenangan. Sesekali mungkin untuk mengingati bahawa manusia itu tetap punyai jasa dalam membina hidup ini sehingga jadi begini.
Belayarlah kembali. Laut kehidupan masih terbentang luas dan cinta di sisi masih tetap perlu dilindungi masa.
Saturday, February 24, 2018
Addi Asyraaf
Hari itu jam sudah 11.45 malam. Saya berbaring di kamar kerja menatap skrin telefon.
Telefon itu berdering, dan ia membuatkan saya berdebar. Siapa pun pada situasi itu akan berasa begitu. Malam-malam, waktu untuk istirehat, waktu untuk bersendiri sama ada dengan Tuhan ataupun syaitan, terus datangnya panggilan daripada manusia.
Dari sudut dunia yang paling hujung, kedengaran suara yang saya kenal. Dia rakan sekelas dari sekolah rendah, dan walaupun tidak lagi sekelas semasa di sekolah menengah kami tetap di sekolah yang sama.
Suaranya kedengaran biasa tetapi permulaannya mendebarkan.
"Sudah dengar berita?"
Untuk saya, ayat begitu terlalu menakutkan. Saya punyai masa lalu yang buruk dengan ayat-ayat begitu. Dengan berat saya menjawab, "Berita apa?"
"Anak saya, sudah meninggal... tadi."
Saya terkedu. Saya terus berada dalam keadaan vakum. Saya fikir dia juga begitu kerana suaranya terlalu tenang. Terlalu biasa.
Dalam hidup saya, sudah beberapa kali menerima berita kehilangan ahli keluarga. Saya akan vakum sepertinya tidak percaya. Berita begitu akan tersekat pada fikiran, tidak terus ke hati. Fikiran sedaya upayanya menolak lalu jiwa menjadi vakum.
Saya akan terlihat normal dan hanya selepas beberapa jam, dan mungkin beberapa hari, barulah saya menangis sepuas-puas hati. Barulah pedih hiba itu tiba mencucuk-cucuk. Bukan sahaja hati, tetapi seluruh jiwa.
Untuk kali ini juga sama. Hanya pada esoknya, pada ketika saya menyelusuri sesaknya kota Kuala Lumpur dengan motosikal, air mata saya terburai-burai. Pipi basah sebasah basahnya. Saya tersedu-sedu. Segala kenangan tentang anak itu bermunculan satu per satu dalam fikiran.
Saya diam dan hanya kalimat innalillahiwainailahirajiun yang terbit daripada mulut. Hanya itu.
Pada saat itulah dia memberitahu lagi, "Halalkan semua apa yang anak saya makan, halalkan semua semasa dia masih menetap di rumah kamu."
Anak lelakinya baru lima tahun dan saya tahu memang mempunyai masalah hati. Tubuhnya dan matanya kekuningan dan masalah-masalah kesihatan yang lain.
Mereka tinggal di Sarawak dan harus setiap enam bulan sekali ke Hospital Selayang kerana dimaklumkan di situlah doktor pakar hati berada.
Jadi apabila mereka tiba di Kuala Lumpur, mereka akan menetap di rumah saya beberapa hari sehingga rawatan usai.
Walaupun mungkin hanya lima kali sempat menetap di rumah, tetap mereka memberikan rasa untuk saya kenang dan kenangan itulah yang kembali. Wajahnya, kata-katanya, dan segala kelakuan anak itu muncul dalam fikiran.
Dalam masa yang sama saya terfikirkan tentang rakan saya itu. Perasaan sedih kami ketika itu walaupun tidak mungkin sama dalamnya, tetap getarnya saya mampui rasai kerana saya juga seorang ayah yang punyai anak.
Dia bersungguh-sungguh berkorban untuk anaknya. Bukan berkorban yang terpaksa, tetapi dia memang memilih jalan itu. Sehinggakan pada malam itu, hanya beberapa minit selepas anaknya pergi pun dia sanggup menghubungi saya, hanya untuk diminta halal. Sedangkan anak itu langsung tidak punya hutang apa-apa kepada saya. Langsung tidak ada.
Entah, saya sebenarnya kehilangan kata-kata untuk perkara ini, kerana semuanya sudah diredam oleh rasa yang tidak mampu diungkapkan.
Hanya saya mampu mendoakan arwah adik Addi Asyraaf terus berada rahmat-Nya. Dia sudah meninggalkan keperitan dunia dan syurga menunggunya.
Telefon itu berdering, dan ia membuatkan saya berdebar. Siapa pun pada situasi itu akan berasa begitu. Malam-malam, waktu untuk istirehat, waktu untuk bersendiri sama ada dengan Tuhan ataupun syaitan, terus datangnya panggilan daripada manusia.
Dari sudut dunia yang paling hujung, kedengaran suara yang saya kenal. Dia rakan sekelas dari sekolah rendah, dan walaupun tidak lagi sekelas semasa di sekolah menengah kami tetap di sekolah yang sama.
Suaranya kedengaran biasa tetapi permulaannya mendebarkan.
"Sudah dengar berita?"
Untuk saya, ayat begitu terlalu menakutkan. Saya punyai masa lalu yang buruk dengan ayat-ayat begitu. Dengan berat saya menjawab, "Berita apa?"
"Anak saya, sudah meninggal... tadi."
Saya terkedu. Saya terus berada dalam keadaan vakum. Saya fikir dia juga begitu kerana suaranya terlalu tenang. Terlalu biasa.
Dalam hidup saya, sudah beberapa kali menerima berita kehilangan ahli keluarga. Saya akan vakum sepertinya tidak percaya. Berita begitu akan tersekat pada fikiran, tidak terus ke hati. Fikiran sedaya upayanya menolak lalu jiwa menjadi vakum.
Saya akan terlihat normal dan hanya selepas beberapa jam, dan mungkin beberapa hari, barulah saya menangis sepuas-puas hati. Barulah pedih hiba itu tiba mencucuk-cucuk. Bukan sahaja hati, tetapi seluruh jiwa.
Untuk kali ini juga sama. Hanya pada esoknya, pada ketika saya menyelusuri sesaknya kota Kuala Lumpur dengan motosikal, air mata saya terburai-burai. Pipi basah sebasah basahnya. Saya tersedu-sedu. Segala kenangan tentang anak itu bermunculan satu per satu dalam fikiran.
Saya diam dan hanya kalimat innalillahiwainailahirajiun yang terbit daripada mulut. Hanya itu.
Pada saat itulah dia memberitahu lagi, "Halalkan semua apa yang anak saya makan, halalkan semua semasa dia masih menetap di rumah kamu."
Anak lelakinya baru lima tahun dan saya tahu memang mempunyai masalah hati. Tubuhnya dan matanya kekuningan dan masalah-masalah kesihatan yang lain.
Mereka tinggal di Sarawak dan harus setiap enam bulan sekali ke Hospital Selayang kerana dimaklumkan di situlah doktor pakar hati berada.
Jadi apabila mereka tiba di Kuala Lumpur, mereka akan menetap di rumah saya beberapa hari sehingga rawatan usai.
Walaupun mungkin hanya lima kali sempat menetap di rumah, tetap mereka memberikan rasa untuk saya kenang dan kenangan itulah yang kembali. Wajahnya, kata-katanya, dan segala kelakuan anak itu muncul dalam fikiran.
Dalam masa yang sama saya terfikirkan tentang rakan saya itu. Perasaan sedih kami ketika itu walaupun tidak mungkin sama dalamnya, tetap getarnya saya mampui rasai kerana saya juga seorang ayah yang punyai anak.
Dia bersungguh-sungguh berkorban untuk anaknya. Bukan berkorban yang terpaksa, tetapi dia memang memilih jalan itu. Sehinggakan pada malam itu, hanya beberapa minit selepas anaknya pergi pun dia sanggup menghubungi saya, hanya untuk diminta halal. Sedangkan anak itu langsung tidak punya hutang apa-apa kepada saya. Langsung tidak ada.
Entah, saya sebenarnya kehilangan kata-kata untuk perkara ini, kerana semuanya sudah diredam oleh rasa yang tidak mampu diungkapkan.
Hanya saya mampu mendoakan arwah adik Addi Asyraaf terus berada rahmat-Nya. Dia sudah meninggalkan keperitan dunia dan syurga menunggunya.
Tuesday, August 08, 2017
laci hati lelaki
Di bilik menulis saya, ada sebuah laci kabinet. Lima tingkat. Tujuannya untuk mudah saya capai apa2 tanpa perlu ke bilik tidur utama, atau perlu ke stor. Kerana bilik menulis di aras bawah. Mudah dan aman suasana. Laci tingkat paling atas saya letak, alat2 kemasan diri. Minyak rambut, deodoran, stok ubat gigi, minyak gamat, dan seumpamanya. Ada juga laci untuk tool kecil2, yang tak perlu buka toolbox besi yang berat tu.
Begitulah pada laci2 tingkat lain. Ada pengkhususannya. Tidak ada apa2 yang istimewa. Kalau pun tidak ramai, mungkin ada 2 3 orang buat begini untuk kemudahan mereka
Apabila isteri saya berkemas, terjumpa apa2 barang yang bukan milik dia (sama ada saya terlupa simpan balik, atau tersalah letak, dia akan terus letak pada laci kabinet. (tingkat paling atas).
Misalnya, dia terjumpa spanar, dia akan letak di situ tanpa ragu2. Malah terkadang, benda2 yang dia tidak tahu hendak letak di mana pun, dia letak di dalam laci juga, misalnya mangga kunci yang berkarat.
Tidak ada masalah sangat. Sebab saya pun tidak maklumkan dia setiap laci ada kegunaan masing2. Cuma agak terkejut juga apabila mahu guna deodoran terjumpa spanar.
Lalu saya terfikirkan, mungkin begitu juga hati lelaki pada kaca mata sebahagian sang isteri. Apa sahaja, yang difikirkan itu sepatutnya menjadi milik sang suami akan terus cuba dimasukkan ke dalam hati suami.
Jadi tidak hairan, adai lelaki yang ditag namanya oleh isteri pada ruangan komen, hanya kerana mereka fikir itu 'benda' yang suami mereka 'punya' atau harus ada.
Atau mungkin, 'nasihat' yang tiba2 kepada suami. 'Nasihat' mungkin dalam bentuk bebel, lembut atau marah2.
Tidak ada apa2. Suami akan redha, cuma akan terkejut, seperti terkejut melihat ada spanar pada ruang letak deodoran.
Lalu bagaimana? Itu bukan soalan yang perlu dijawab oleh isteri. Tidak perlu. Ia hanya perlu dijawab oleh suami. kalau saya, mungkin ada waktu saya rajin, saya akan beritahu juga isteri saya bahawa setiap laci ada kegunaan tersendiri. Namun, berdasarkan pengalaman, biasanya tetap semua tingkat laci akan sama di mata isteri, itu semua milik suami, dan sama sahaja.
Cara akhirnya, terima sahaja apa sahaja yang datang. Kerana sekiranya difikir pun itu semua memang milik sang suami. Tinggal lagi, suami yang perlu mengurus baik2, apa sahaja yang datang itu, dan meletakkan pada tempatnya yang betul.
Tuesday, March 21, 2017
Sebuah cerpen putus tunang.
Tajuk : Putus Tunang. (Saya dah tak ada idea nak letak tajuk)
Ketika itu, saya baru putus tunang. Segala kenangan pun terurai-urai menjadi peniti mencucuk hati. Saya murung dan berkurung di dalam rumah. Hanya sesekali melempar wajah tanpa senyum ke luar jendela dan membuang pandang ke pohon kelapa sawit ayah, dan saya baca dengan terang di sana, sudah tidak bahagia untuk saya. Selepas lima hari berkurung, ayah sendiri yang datang lalu duduk di hujung katil. Saya membelakangi dia, lebih rela menghadap laptop di meja yang rapat ke dinding.
“Ini...” kata ayah lalu menghulurkan satu sampul surat berukuran biasa. Warna putih.
Saya ambil dan gerak-gerakkan perlahan, atas bawah terasa padat isinya. Saya mula terfikirkan, yang ayah membelikan saya tiket kapal terbang. Mungkin dia mahu saya menghiburkan hati yang luka. Tetapi, takkanlah. Sekarang semua sudah online. Sudah tidak ada tiket yang keras-keras kertasnya. Kecuali tiket kelas pertama untuk ke luar negara. Ah, tak mungkinlah. Mana ayah saya dapat duit? Jadi, kalau bukan tiket kapal terbang, apa? Saya berusaha meredakan jerit hati dengan mengusap-usap sampul itu, dan sedia untuk membukanya.
“Jangan. Kau buka selepas kau jumpa dengan Jono,” tegah ayah dan itu yang membuatkan saya berada di sini hari ini, di hadapan rumah Jono.
Jono itu orang Indonesia. Dia bekerja di kebun kelapa sawit ayah. Dia dan dua orang lagi rakannya, tinggal di rumah yang ayah sediakan untuk dia.
“Kenapa?” tanya Jono yang duduk di atas anak tangga paling atas. Anak tangga kelima.
Daripada wajah, jelas Jono baru bangun tidur. Terik matahari petang memang membuatkan mata tidak mampu menahan godaan tilam dan bantal. Apatah lagi di bawah putaran kipas pada level 5.
Peluh sudah menitik dari dahi saya. Sudah tiga minit saya berpanas di hadapan rumah Jono, tetapi belum diajak masuk. Jono yang berambut ikal separas bahu dengan tinggi cuma 167cm, dan tubuh kurus memerhati saya dengan penuh tanda tanya. Umurnya, saya tidak pasti. Mungkin sebaya saya, 22 tahun ataupun lebih 2 3 tahun. Tidak dapat saya membaca umurnya daripada wajah tirusnya yang sudah sun burned.
Tetapi, tenaga Jono seperti lembu. Kepala sawit berpuluh kilo mampu dia angkat masuk ke dalam lori. Tidaklah dengan selamba, berkerut-kerut juga wajahnya, tetapi tetaplah dia mampu. Seingat saya, saya sendiri pun tidak mampu begitu.
“Ayah saya suruh datang jumpa kamu.”
“Pak Mawi? Ada apa?” Wajah Jono keliru.
Saya yang sudah sedia keliru, ikut bertambah keliru.
“Mana saya tahu.”
Jono bangun, masuk ke dalam dan kemudian keluar dengan telefon bimbit sudah melekap pada wajahnya.
“Ya, Pak Mawi, ada apa Sulaiman dengan ke sini? Katanya Pak Mawi yang suruh.”
“....”
“Ooo... begitu. Ya, ya. Baik Pak Mawi. Assalamualaikum.”
Jono menyimpan telefon bimbitnya yang saya fikir mungkin harganya di bawah 200 ringgit ke poket belakang, sebelum tersenyum lebar.
“Sulaiman, jemput naik.”
Saya naik ke rumah kayu itu, dan mula terasa bahang daripada bumbung zink. Jarak lantai dan bumbung yang rendah membuatkan haba tidak dapat beredar dengan mudah. Apatah lagi cuaca pada bulan Julai begini. Peluh saya terus mengalir pantas.
Rumah kayu itu sangat sederhana. Ada sebuah sofa panjang yang sudah uzur dan sebuah tv rata 24 inci. Saya segera duduk di sofa yang sudah berlubang-lubang. Sambil mata mencari-cari dua orang lagi rakannya yang saya tidak tahu di mana.
“Farid dan Miar, mana?” tanya saya pantas.
“Khuruj,” jawab Jono sepatah lalu masuk ke dapur dan keluar kembali dengan sebotol air dan dua biji gelas plastik biru.
“Ini, minum,” pelawa Jono lalu duduk dan terus tersenyum.
“Ya, minum... minum...,” kata Jono lagi apabila melihat saya menuangkan gelas kedua. Panas betul.
Melihat saya sudah lega, Jono menyambung lagi, “Jadi, Sulaiman baru putus tunang?”
“Ya. Tak ada jodoh.”
“Hah, gampang semua tu.”
“Gampang?” Saya renung dia.
“Maksud saya, mudah. Gampang itukan bahasa Indonesia, mudah.”
“Ooo...” Saya angguk-angguk. Terlalu sensestif pula saya hari ini. Padahal saya memang sudah tahu maksudnya hasil daripada tontonan sinetron bersama dengan emak.
“Begini, Sulaiman. Kamu sudah berjumpa dengan saya. Jadi baliklah, dan bukalah surat itu,” kata Jono perlahan tetapi serius.
Saya renung wajah Jono. Saya sudah pening.
“Takkan itu je?” bantah saya.
“Ya, itu saja. Gampang kan?”
“Kalau macam tu je, memang gampang.”
“Iya, gampang. Syarat sudah tertunai. Jadi baliklah.”
“Tak ada apa-apa nasihat?” Saya masih tidak puas hati.
Jono senyum nipis dan meyambung, “Langsung tidak ada. Hanya itu. Balikah.”
Saya lekas-lekas turun, dan duduk sahaja di atas motosikal Yamaha Legenda ayah, terus saya keluarkan surat tadi dan mengoyakkannya.
Satu kad warna purple saya tarik keluar. Saya mula berdebar-debar, namun pada ketika semua sudah jelas di hadapan mata, rasa teruja tadi berubah kecewa. Kad tebal itu ternyata surat undangan pernikahan sepupu saya, yang akan menikah sebulan lagi. Saya baca, saya belek-belek, memang tidak ada apa-apa. Saya tarik nafas dalam-dalam. Sama ada mahu marah atau apa? Saya tida tahu.
Saya hidupkan motorsikal dan terus memecut balik ke rumah yang jaraknya hanya tiga kilometer. Sampai sahaja, terus saya naik dan duduk di depan ayah.
“Apa ni, ayah?” Sambil saya letak kad undangan perkahwinan itu di atas meja.
Ayah memandang kad di atas meja, dan kemudiannya melihat wajah saya. Nampak dia baru bangun tidur.
“Kad ini, Jono, dan perjalanan tadi, itu semua menggambarkan perjalanan cinta.”
“Perjalanan cinta?”
“Orang bercinta yang benar, pergi mencari cintanya, bukan sahaja kerana itu naluri manusia semata, tetapi itu juga anjuran Tuhan.”
Ayah menahan kuap sebentar sebelum menyambung, “Misalnya tadi, ayah beri syarat untuk buka kad tadi, kamu harus berjumpa Jono. Kamu akur dengan arahan itu. Tanpa sedar, pada ketika itu kamu berharap sesuatu yang besar. Ada dua harapan wujud, perkara besar ketika bertemu Jono, dan perkara besar untuk mengetahui apa rahsia di sebalik surat yang kamu bawa.”
Saya pandang kipas berdiri di sebelah ayah, ia hanya menumpu ke arah dia. Patutlah rasa bahang. Saya bangun, dan tekan punat di belakang, sekarang kipas itu mula berpusing 180 darjah. Ayah terhenti sebentar dengan tindakan itu. Tetapi duduk sahaja saya, dia menyambung lagi.
“Kamu bertemu dia, tetapi dia tidak memberikan apa yang kamu harapkan, kamu kecewa, tetapi kamu sedar kamu sudah melaksanakan suruhan. Kamu buka surat tadi, dan kamu hanya menemui sesuatu perkara yang tidak kamu harapkan juga, kamu keliru, kamu bengang, tetapi akhirnya kamu kembali kepada ayah sebab ayah yang memberi arahan. Kamu mahu jawapan atas semua hal itu. Lalu pada ketika kamu sedang keliru sekarang, pada ketika kamu putus asa, pada ketika hati kamu terluka, mengapa tidak meminta jawapan daripada yang Maha Merancang? Bagaimana jawapan yang kamu peroleh nanti, bergantung bagaimana cara kamu 'bertanya'. Kamu bertanya sebagai seorang yang besar kepala, atau sebagai seorang hamba yang sedar diri.”
Saya diam. Lama saya diam. Kata-kata ayah belum mampu saya hadam. Apa sebenarnya maksud ayah? Pada ketika itulah ayah datang dan memeluk bahu saya.
“Namun, yang paling ayah takuti, kamu tidak bertanya soalan yang benar. Kamu mungkin bertanya, mengapa dia meninggalkan kamu, atau bertanya apa kurangnya kamu. Pada ketika kamu tahu jawapannya, kamu tidak akan berubah menjadi lebih baik. Mengapa? Kerana ada soalan lain yang sebenarnya belum terjawab dengan sesungguhnya, yang kamu segan dan malu untuk bertanya, iaitu mengapa Tuhan pilih aku untuk menghadapi semua ini? Kamu tidak akan menemukan jawapan pada soalan itu, apabila kamu tetap merasakan kamu sudah melakukan yang terbaik, sudah berbuat semua yang disuruh, dan apa sahaja yang agung-agung, lalu kamu fikir tidak layak untuk dibuat begitu. Tanyalah kembali diri kita, kita ini siapa sahaja di hadapan Tuhan sampai terfikir begitu? Kita siapa?”
Saya kembali bingung.
“Nak, sebenarnya ayah pun tidak tahu sama ada cara tadi berkesan untuk kamu ataupun tidak. Sekiranya tidak, setidak-tidaknya ayah mahu kamu rasai, bahawa sakitnya putus tunang itu akan terlupakan sekiranya kita sibuk melakukan dan memikirkan perkara lain. Itu sahaja. Jadi, jangan berkurung sahaja di rumah. Sibukkan fikiran kamu dengan hal-hal lain. Ada banyak perkara.”
“Maksud ayah, apa yang saya buat tadi sebenarnya nak suruh saya sibuk?”
Ayah mengangguk dan kemudiannya berkata dengan penuh kasih, “Ya. Itu pun benar. Apa yang ayah cerita mula-mula tadi juga benar. Bagaimana kamu rasa sekarang? Adakah kamu lega selepas mendengar penjelasan ayah, atas semua perkara mengelirukan, perkara yang tidak sesuai harapan, yang terjadi kepada kamu tadi?”
Saya diam.
“Jadi, pada ketika kamu keliru tadi, kamu cepat-cepat balik bertemu ayah. Kamu tahu ayah yang merancang semua ini. Jawapannya pasti ada pada ayah. Apatah lagi sekarang, pada ketika kamu keliru dan kecewa, adakah kamu cepat-cepat bertemu Tuhan? Yang Maha Merancang segala setiap sesuatu.”
Ayah menarik nafas panjang dan menyambung, "Terkadang, Tuhan berikan jawapan dengan menghilangkan pertanyaan tentang kecewa dalam diri kita. Ya, kita tidak akan ada jawapan untuk persoalan yang tidak kita tanyakan. Bukankah itu juga bahagia?"
Diam saya kemudian menjadi lebih panjang.
Cinta sentiasa memberikan sesuatu untuk manusia. Memberi pada apa yang didapat, dan memberi pada apa yang hilang.
Tuesday, January 31, 2017
Berlari
Yang paling saya khuatir untuk anak-anak yang baru belajar bertatih, adalah apabila mereka cuba berlari. Akan ada banyak kali terjatuh.
Sekiranya di padang rumput indah yang hijau, tidak mengapa. Namun, banyak kali mereka berlari di lantai-lantai rumah yang bermozek keras.
Jatuh itu sesuatu yang pasti untuk mereka. Memang tidak akan ada upaya untuk menghalang. Yang boleh kita perbuat, adalah menyediakan kawasan yang sesuai untuk mereka 'jatuh'.
Sekiranya di padang rumput indah yang hijau, tidak mengapa. Namun, banyak kali mereka berlari di lantai-lantai rumah yang bermozek keras.
Jatuh itu sesuatu yang pasti untuk mereka. Memang tidak akan ada upaya untuk menghalang. Yang boleh kita perbuat, adalah menyediakan kawasan yang sesuai untuk mereka 'jatuh'.
Sekiranya sahaja, perkara itu kita fikirkan sekarang, sebenarnya apabila dewasa ini pun masih ramai antara kita yang masih bertatih, terutamanya yang baru habis belajar. Belum kenal hidup, baru belajar berdiri dan berjalan, tetapi kerana degil dan mahu cita-cita cepat dapat, mereka berlari.
Berapa ramai anak muda yang 'jatuh' kerana itu.
Adakah mereka salah? Ya, kita boleh salahkan mereka. Tetapi, perkara paling awal yang perlu ditanya, adakah mereka sudah disediakan tempat yang sesuai untuk 'berlari'?
Kita tahu mereka degil, tahu jiwa masih lagi terbakar membara, mengapa dibiar mereka berlari di jalanan penuh bahaya?
Tanggungjawab siapa untuk memastikan mereka belari di kawasan yang sepatutnya?
Saya yakin, kita semua ada jawapannya.
Kita tahu mereka degil, tahu jiwa masih lagi terbakar membara, mengapa dibiar mereka berlari di jalanan penuh bahaya?
Tanggungjawab siapa untuk memastikan mereka belari di kawasan yang sepatutnya?
Saya yakin, kita semua ada jawapannya.
Gawat 2017
Semalam, saya duduk bersama ayah, sama-sama menonton televisyen dengan fikiran yang tidak tetap pada apa yang dilihat.
Ayah berkata, "Gawat zaman Mahathir dulu, tak adalah seteruk sekarang."
Saya diam. Saya sebenarnya tidak setuju. Gawat zaman Mahathir dahulu dan sekarang pada zaman Najib, kesannya kepada syarikat sama sahaja. Ramai yang dibuang kerja.
Yang membezakannya, dahulu anakmu ini baru berumur 17 tahun. Belum ada apa-apa tangunggan, dan kata-katanya pun tidak dipandang sebagai sesuatu yang serius. Wang tidak pernah jadi masalah untuk dia.
Sekarang, anakmu ini sudah lebih 30 tahun, sudah ada anak dua, rumah dan kereta. Lalu pada ketika ekonomi tenat, dia akan mengadu kepada kamu bercerita. Dia tahu, kamu memang tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi anakmu ini akan berasa lega.
Namun, dalam tidak setuju itu tetap saya berkata, "Yalah."
"Dahulu zaman Mahathir, minyak masak masih murah lagi. Minyak petrol pun tak naik. Barang-barang pun masih mampu dibeli."
Saya tersentak. Itu pertimbangan ayah. Dan saya mengakui, ia tepat. Ternyata, pertimbangan anakmu ini masih jauh berbanding pengalaman.
Ayah berkata, "Gawat zaman Mahathir dulu, tak adalah seteruk sekarang."
Saya diam. Saya sebenarnya tidak setuju. Gawat zaman Mahathir dahulu dan sekarang pada zaman Najib, kesannya kepada syarikat sama sahaja. Ramai yang dibuang kerja.
Yang membezakannya, dahulu anakmu ini baru berumur 17 tahun. Belum ada apa-apa tangunggan, dan kata-katanya pun tidak dipandang sebagai sesuatu yang serius. Wang tidak pernah jadi masalah untuk dia.
Sekarang, anakmu ini sudah lebih 30 tahun, sudah ada anak dua, rumah dan kereta. Lalu pada ketika ekonomi tenat, dia akan mengadu kepada kamu bercerita. Dia tahu, kamu memang tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi anakmu ini akan berasa lega.
Namun, dalam tidak setuju itu tetap saya berkata, "Yalah."
"Dahulu zaman Mahathir, minyak masak masih murah lagi. Minyak petrol pun tak naik. Barang-barang pun masih mampu dibeli."
Saya tersentak. Itu pertimbangan ayah. Dan saya mengakui, ia tepat. Ternyata, pertimbangan anakmu ini masih jauh berbanding pengalaman.
Friday, February 27, 2015
esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku - part 3. (Akhir sebuah kisah)
Atas
izin Tuhan, cinta akan mengubah diri kita. Namun atas izin Tuhan
jugalah, tetap ada yang lebih besar kuasanya daripada cinta, iaitu
masa. Masa akan mengubah segala-galanya. Batu keras menjadi hancur,
raut cantik menjadi kendur, dan luka dalam menjadi parut.
Ada yang berubah, namun tetap akan ada yang tertinggal. Hancurnya batu meninggalkan keping-keping, kendurnya wajah meninggalkan sisa cantik masa lalu, dan luka, memberi parut untuk kenangan.
Ada yang berubah, namun tetap akan ada yang tertinggal. Hancurnya batu meninggalkan keping-keping, kendurnya wajah meninggalkan sisa cantik masa lalu, dan luka, memberi parut untuk kenangan.
Ini
kisah saya, yang sudah sembuh lukanya tetapi parutnya tetap ada. Ini
kisah saya, enam tahun selepas pernikahan dengan Syafiqah.
Alhamdulillah, nikah itu adalah rezeki. Bukan sahaja tenang pada
hati, juga rezeki pada mata. Kini saya sudah mampu berpindah dari
rumah apartment murah ke rumah teres corner lot. Paling
membahagiakan, sudah ada 3 cahaya mata yang sentiasa memanggil saya
'papa'. Dua perempuan dan seorang lelaki.
Syafiqah
pula alhamdulillah, kini meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana.
Diploma dia berjaya, dan sarjana muda pula dia cemerlang. Paling
utama, dia berjaya menjaga saya dan anak-anak dalam sibuk dia
belajar.
Ada
yang bertanya, adakah selamanya mahligai saya rukun aman dan damai?
Tidak. Rumahtangga bukan berkenaan mahu bahagia pada waktu itu juga.
Rumahtangga adalah proses. Bahagia hanya datang selepas kita belajar
makna duka, makna bermasam muka, makna berselisih murka.
Ada waktunya Syafiqah merajuk, dan saya pujuk. Adakalanya dengan penat bekerja, saya pula meninggi suara, dan Syafiqah memberi air matanya untuk saya kembali sedar. Itulah rumahtangga. Yang manis-manis itu cuma 10 peratus. Selebihnya dataran penuh duri. Tetapi 10 peratus itulah yang sangat memberi erti pada hidup. Sangat untuk kita hargai.
Ada waktunya Syafiqah merajuk, dan saya pujuk. Adakalanya dengan penat bekerja, saya pula meninggi suara, dan Syafiqah memberi air matanya untuk saya kembali sedar. Itulah rumahtangga. Yang manis-manis itu cuma 10 peratus. Selebihnya dataran penuh duri. Tetapi 10 peratus itulah yang sangat memberi erti pada hidup. Sangat untuk kita hargai.
Kendala
terbesar yang saya alami dalam rumahtangga, adalah pada petang hari
pertama selepas kami menjadi suami isteri. Ketika itu Syafiqah
menekur memegang erat tangan saya sambil menangis.
“Fiqa
tahu, perempuan yang menangis untuk abang tadi adalah bekas kekasih
abang. Yang lebih dahulu mengenali abang daripada Fiqa. Yang terlebih
dahulu mencintai abang daripada Fiqa, dan yang abang terlebih dahalu
cintai. Tetapi Fiqa minta abang, walaupun abang masih cintakan dia,
masih sayangkan dia, janganlah buang Fiqa. Fiqa tidak ada sesiapa
lagi di dunia ini bagi bergantung harap. Sebaliknya, adik-beradiklah
yang bergantung harap pada Fiqa. Fiqa rela abang menikahi dia, tetapi
Fiqa mohon, jangan buang Fiqa. Jangan abaikan Fiqa....”
Saya
tidak tahu siapa yang beritahu itu kepada dia. Mungkin ibu saya,
kerana dia sering lupa untuk berahsia tentang anaknya ini. Pada
ketika itu, dalam resah saya, saya letakkan tangan saya pada
ubun-ubun Syafiqa dan berkata lembut, “Fiqa, jangan terlalu
rendahkan cinta suamimu ini. Abang sudah menjadi suami Fiqa, dan
tanggungjawab abang adalah menjaga Fiqa. Tentang itu, doakan abang
kukuh pada Fiqa seorang. Bernikah itu perlu adil, dan abang adalah
manusia yang lemah, yang hanya mampu berlaku adil pada seorang
perempuan. Jadi, mohon Fiqa jangan lagi menangis hanya untuk itu.
Doakan jodoh kita panjang sampai ke syurga.”
Itu
pujuk saya kepada Syafiqa. Lalu bagaimana pula dengan Mia? Saya tidak
mendengar apa-apa tentang dia. Saya juga tidak berani-berani bertanya
khabar kerana saya sedar, saya belum kuat untuk menolak cinta lama.
Namun Tuhan tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dia sentiasa
menguji.
Selepas
enam tahun, pada hari yang damai ketika kami sekeluarga selesai
membeli barang di supermarket, anak bongsu dan kedua meragam
meronta-ronta, dan saya hilang kawalan pada troli yang sarat barang,
lalu terlanggar seseorang.
Itulah
Mia. Mia yang kini berwajah semakin matang, tetapi cantiknya tidak
pernah pudar. Malah bertambah. Kami sama-sama terkedu sebelum Syafiqa
saya dengan wajah terpaksa berkata, “Eh, Mia bukan?”
“Ya,
Mia. Lama tidak jumpa awak berdua.” Mia tersenyum senang dan tidak
nampak apa-apa yang palsu pada senyuman itu.
Syafiqah
pula yang terlebih ramah dan berkata, “Buat apa di sini?”
“Saya
ada program kebajikan di kawasan ini. Jadi saya beli barang-barang
untuk rumah anak yatim di sini. Tidak sangka pula bertemu.”
Saya
tetap diam. Terlalu banyak persoalan yang berlegar dalam fikiran
saya.
“Seorang
sahaja? Mana suami?” soal Syafiqah ceria.
Mia
hanya tersenyum dan menjawab, “Saya single lagi.”
“Kalau
begitu, mari kita minum dahulu. Lama kita tak jumpa,” ajak Syafiqah
lagi dan saya berasa aneh. Terlalu tiba-tiba. Saya hanya menjeling
Syafiqah. Seingat saya, dia hanya sekali berjumpa dengan Mia, itupun
pada hari pernikahan kami.
Mia
pula seperti tidak dapat menolak ajakan itu lalu kami singgah minum
di sebuah coffea house. Di situ tahulah saya, Mia selama ini terlibat
aktif dengan NGO yang memberi bantuan kepada rumah-rumah kebajikan.
Sama ada rumah anak yatim ataupun rumah orang tua. Dia begitu
bersemangat bercerita berkenaan aktivitinya sehingga Syafiqah nampak
berminat mahu ikut serta.
Sehinggalah
Mia berkata, “Kalau awak mahu ikut serta, jangan sebab saya. Ikut
serta sebab memang mahu menolong dan membantu. Saya, mungkin minggu
ini sahaja di Malaysia.”
“Selepas
itu pergi mana?” Saya ringankan mulut.
“Saya
mahu ke Syiria pula. Mungkin saya akan berada lama di sana. Di sana
perlukan tenaga dan bantuan.”
“Buat
apa pergi jauh-jauh. Bukankah, di Malaysia ini sendiri masih banyak
orang susah?” Saya menduga.
“Betul.
Tetapi di Malaysia ini juga masih ramai orang yang baik hati yang
masih hidup. Ramai yang akan menggantikan saya di sini. Sedangkan di
Syiria sana, orang-orang baik sudah banyak yang mati. Atas sebab itu
saya ke sana.”
“Awak
tidak takut?” Syafiqa pula yang nampak terkejut.
“Ajal
itu di mana-mana.”
Ketika
itu, anak bongsu saya mula menangis. Syafiqa cuba memujuk tetapi
gagal dan dia berkata, “Abang, Fiqa pergi tukar lampin dahulu.
Tengok-tengokkan Sara dan Fara.”
Kedua-dua
anak saya yang banyak bermain straw itu sebenarnya mahu mengikut
ibunya, tetapi segera saya tegah. Tidak selesa saya hanya berdua-duan
dengan Mia.
Namun
selepas Syafiqa beredar jauh, entah bagaimana hati saya kuat mahu
bertanyakan soalan yang satu ini, “Mengapa tidak kahwin lagi?”
Mia
terdiam. Namun tetap wajahnya tenang. Dia menarik nafas dalam-dalam,
tetapi tidak ada jawapan daripada dia.
“Sekiranya awak mahu, saya ada beberapa orang kawan. Boleh kenalkan dengan awak.”
“Sekiranya awak mahu, saya ada beberapa orang kawan. Boleh kenalkan dengan awak.”
Seketika
itu juga wajah Mia berubah, nampak tercabar.
“Awak
fikir, saya tidak bernikah sebab masih ingatkan awak? Jangan perasan.
Malah jangan rasa bersalah sangat, sehingga awak mahu kenalkan
rakan-rakan awak pula kepada saya. Anggaplah saya belum ada jodoh.”
“Maaf,”
kata saya rasa sedikit malu dan terkejut. Bagaimana dia boleh tahu
apa yang saya fikirkan? Memang saya rasa bersalah kerana sehingga
kini dia belum bernikah.
“Tetapi
umur kita terus berjalan. Berseorangan bukan cara yang tepat bagi
menghadapi hari tua.”
“Kita
tidak perlu tua untuk mati!” tegas Syafiqa dan menyambung, “Malah
saya sangat sarankan awak, apabila rasa terluka, rasa resah, selain
daripada habiskan wang awak pergi bercuti, habiskan ia bagi memberi
kepada orang yang memerlukan. Berikan cinta dan kasih awak kepada
mereka semua. Itu yang saya lakukan., saya sibuk memberikan cinta
saya kepada lebih ramai manusia, dan alhamdulillah Tuhan berikan
ketenangan pada cara itu, dan lama-lama ia menjadi habit.”
“Sampai bila? Hidup ini bukan sahaja tentang memberi, tetapi juga menerima. Menerima untuk memberi, dan memberi untuk menerima.”
Lama
Mia terdiam, dan kemudian dia melihat anak-anak saya. Dia
tersenyum-senyum dan anak-anak saya membalas senyumannya.
“Sampai
saya jumpa orang yang sesuai....”
“Sesuai?”
Ketika
itu, sebuah kereta berhenti di hadapan kami. Keluar seorang lelaki
yang amat saya kenal, ayah Mia. Lalu Mia tidak menjawab persoalan
saya sebaliknya berkata, “Ayah saya sudah sampai. Maaf saya perlu
pergi sekarang.”
Ketika
ayah Mia melihat saya, dia dengan wajah tersenyum lebar terus datang
dan memeluk saya, dan berkata, “Menantu saya yang tak jadi.”
Saya
terkedu. Saya tidak pasti sama ada dia serius ataupun bergurau. Namun
tidak saya tahu, Syafiqa sudah ada di belakang dan melihat semuanya.
***
Malam
itu Syafiqa seperti biasa. Melayan dengan baik segala keperluan
keluarga sehingga ketika kami di bilik tidur. Syafiqa berkata dengan
nada sebak, “Fiqa tahu, Mia masih cintakan abang. Fiqa juga tahu
abang masih ada hati dengan dia.”
Saya
terkejut. Segera saya raih tangan Syafiqa dan berkata, “Tidak. Mia
sudah lupakan abang, dan abang pun sudah lupakan dia.”
“Fiqa
perempuan. Fiqa tahu. Cara dia melirik abang, cara dia memandang
abang. Semuanya cara cinta. Dia memang kata sudah lupakan abang,
tetapi dia bohong. Dia sebenar-benarnya masih cintakan abang.”
“Tetapi
itu tidak mengubah hakikat, abang dan dia sudah tidak ada apa-apa
lagi. Sudah enam tahun. Enam tahun, sayang.” Waktu itu saya sangat
tahu, yang Syafiqa sedang cemburu. Cemburu seorang isteri dan saya
juga tahu dia sedang sesak dadanya.
“Betul.
Tetapi Fiqa mahu beritahu, perkara yang sama semasa kita mula-mula
nikah. Sekiranya abang ada hati dengan dia, mahu menikahi dia, jangan
tinggalkan Fiqa. Jangan abaikan Fiqa dan anak-anak. Fiqa perempuan,
Fiqa pun sedar yang Mia itu sangat kasihan dan keseorangan. Mia juga
berhak bahagia, tetapi jangan sampai abang abaikan saya dan
anak-anak.”
Mendengarkan
itu saya ketawa kecil lalu memeluk Syafiqa.
“Fiqa, kamu memang perempuan luar biasa. Perempuan lain, akan melarang tetapi kamu
pula menggalakkan abang. Mengapa tidak yakin dengan diri sendiri?
Poligami memang sunnah, tetapi ia disusuli oleh perkara wajib
selepasnya, dan wajib itu lebih berat daripada sunnah. tetapi abang tahu,
abang bukan lelaki luar biasa, abang hanya lelaki yang sangat biasa dan abang tidak mampu memikul kewajiban
itu. Cukuplah seorang sahaja isteri abang.”
“Betul?”
Syafiqa merenung.
“Aik, tadi beria-ia suruh abang nikah lagi.”
“Aik, tadi beria-ia suruh abang nikah lagi.”
Syafiqa
terus mencubit lengan saya. Perempuan tetaplah perempuan. Mulut kata
itu, hati kata ini.
***
Sementara
itu, di rumah Mia, lain pula yang terjadi. Ayah Mia duduk di sofa
dengan isterinya. Wajah mereka berdua nampak suram. Mia pula tidak
kelihatan di situ.
“Abang,
tak boleh pujuk Mia ke tak perlu ke Syiria? Saya takut,” kata
perempuan yang sudah uban di kepalanya.
Ayah
Mia hanya mendengus perlahan dan kemudiannya berkata, “Abang sudah
pujuk berkali-kali, tetapi dia tetap degil. Dia tetap guna hujah,
sekiranya kita tidak redha, nanti dia akan mendapat susah, lalu kita
juga yang susah. Baik kita redha dan dia pun selamat.”
“Mia
itu memang bijak. Serba-salah dibuatnya,” balas ibu Mia pula.
“Tetapi,
abang fikir, tetap ada jalan untuk Mia tidak ke sana.”
“Bagaimana,
bang?”
“Kahwin.”
“Kahwin?
Sudah berpuluh-puluh lelaki meminang dia tidak mahu, mengapa pula
sekarang dia mahu?”
Ayah
Mia tidak menjawab. Dalam fikiran, hanya ada wajah lelaki itu. Dia
sebagai seorang ayah, yang mahu melihat anaknya bahagia, akan berbuat
apa sahaja. Apa sahaja....
***
Mia
pada waktu itu sedang duduk di atas tilam sambil memandang ke arah
luar tingkap. Wajahnya kosong. Sepertinya perasaan sudah direntap daripada jiwanya. Pada ketika itulah pintu bilik terbuka,
dan ayahnya masuk lalu terus duduk di sebelah.
“Mia
okey?”
“Okey
ayah.”
“Tetapi
mengapa ayah panggil, Mia tidak sahut tadi?”
Mia
diam. Dia terus merenung ke luar tingkap yang hanya ada remang lampu
jalan.
Ayah
Mia mengeluh perlahan-lahan.
“Ayah
tahu, Mia masih ingat kepada dia.”
Sesaat
itu juga air mata Mia tumpah. Sepertinya dari tadi lagi dia menahan
semua rasa dalam dadanya. Rasanya yang mendesak-desak meminta untuk
keluar. Ayah Mia terus memeluk bahu Mia dan Mia terus memeluk ayahnya
erat.
“Mengapa Mia tidak boleh lupakan dia, ayah? Mengapa? Mengapa Mia terjumpa dia hari ini? Mengapa? Mia sangka Mia sudah lupakan dia, Mia sangka Mia kuat, tetapi hakikatnya Mia lemah.”
“Mengapa Mia tidak boleh lupakan dia, ayah? Mengapa? Mengapa Mia terjumpa dia hari ini? Mengapa? Mia sangka Mia sudah lupakan dia, Mia sangka Mia kuat, tetapi hakikatnya Mia lemah.”
Mia
menangis teresak-esak. Ayah Mia hanya mampu mengusap-usap kepala Mia
dan kemudiannya berkata, “Sekiranya Mia mahukan dia, ayah akan
usahakan apa sahaja untuk bawa dia ke sisi Mia. Apa sahaja Mia.”
Mia
menegakkan tubuhnya. Dengan air mata yang masih mengalir dia berkata,
“Ayah jangan ayah. Jangan hancurkan kebahagiaan orang lain. Syafiqa
baik orangnya. Jangan ayah.”
“Tetapi
kamu anak ayah. Ayah siapa yang sanggup melihat anaknya berendam air
mata? Ayah siapa? Setiap air mata kamu yang jatuh, seperti paku yang
ditekan ke hati ayah. Ayah akan usahakan untuk membahagiakan kamu
sehingga ayah mati.”
“Ayah,
tolong ayah. Jangan buat begitu. Ayah....” Mia terus memeluk
ayahnya sambil terus menangis. Manakala ayah Mia pula mengeluarkan
telefon bimbitnya dan mula mencari satu nama.
***
Hari
itu saya seperti biasa bekerja dengan hati yang tenang. Syafiqa dan
anak-anak memberi kucup selamat jalan di muka pintu, dan ia menjadi
bekalan semangat sepanjang waktu. Sehinggalah tengah hari itu, saya
menerima panggilan daripada ayah Mia, mengajak saya makan tengah hari
di restoran tempat saya dan Mia mula-mula bekerja. Kenangan enam
tahun lalu mula terbayang. Adakah saya perlu menghadapinya lagi?
Tetapi Mia sendiri kata dia sudah lupakan saya. Mungkin itu tidak ada
apa-apa kecuali hal bisnes. Saya sedapkan hati.
Sampai
di restoran, ayah Mia menyambut ramah, dan kami berbual-bual seputar
hal hidup. Sehinggalah, ayah Mia berkata. “Sama seperti enam tahun
lepas. Saya datang ke sini kerana meminta awak satu perkara. Cintai
Mia dengan cara yang sah. Saya tahu, awak masih cintakan dia.”
“Pak
Cik, saya sudah ada tiga orang anak,” pantas saya memotong.
“Pak
Cik pula hanya ada seorang anak perempuan... Mia. Anak perempuan yang
saya jaga dan manjakan sejak dari kecil.”
“Tetapi...”
Belum sempat saya berkata, terus dia memotong, “Dia akan pergi ke
Syiria. Akan ke sana untuk bertarung nyawa. Hanya awak sahaja harapan
Pak Cik sekarang. Hanya awak seorang. Sekiranya awak tidak menikahi
dia, Pak Cik akan kehilangan anak Pak Cik!”
Saya
terdiam. Ayah Mia mula berkaca matanya. Saya tahu bagaimana perasaan
seorang ayah, kerana saya juga sudah menjadi ayah. Saya sangat
mengerti. Untuk seorang ayah, anak perempuannya, akan tetap dianggap
anak kecilnya sampai bila-bila.
“Pak
Cik merayu. Awak tidak perlu tinggal dengan dia pun. Cukuplah awak
akad nikah dengan dia, cukuplah dia berasa tetap mahu tinggal di
Malaysia. Tolonglah, Nak. Sekali ini sahaja.”
Saya
tetap diam membisu.
“Dia akan berangkat empat hari lagi. Fikirkanlah dalam empat hari ini. Awak akan ada masa sehingga dia di lapangan terbang. Pak Cik mohon, jangan hampakan Pak Cik.”
“Dia akan berangkat empat hari lagi. Fikirkanlah dalam empat hari ini. Awak akan ada masa sehingga dia di lapangan terbang. Pak Cik mohon, jangan hampakan Pak Cik.”
***
Akibat
daripada pertemuan itu, saya kembali menemui ustaz rakan serumah saya
dan menceritakan segalanya. Seperti biasa dia hanya ketawa dan
berkata, “Apa susah kahwin sahajalah. Habis cerita!”
“Awak
senanglah cakap macam tu.”
“Isteri
awak dah beri izin, ayah perempuan itu pun sudah beri izin, apa yang
susah sangat? Kalau saya, saya kahwin terus.”
Lama
saya terdiam. Sekiranya mengikut logik, memang semuanya akan nampak
mudah. Semuanya sudah memberi izin walaupun terpaksa, tetapi ini soal
hati, dan ia tidak mengikut logik. Ia adalah perasaan yang logiknya
sudah mati. Sekiranya cinta itu di dominasi oleh logik, pasti tidak
ramai yang akan kecewa. Ini bukan soal senang ataupun tidak untuk
bernikah, tetapi ia adalah soal terlalu banyak hati yang perlu
dijaga.
Melihat
saya diam, ustaz itu menyambung, “Kamu rasa, kamu sedang diuji oleh
apa sekarang? Cinta? Ataupun nafsu syahwat? Sekiranya kamu rasa
sedang diuji oleh nafsu syahwat,
maka periksalah solatmu. Mungkin solatmu kurangkan khuysuknya ataupun
mungkin kamu lewat-lewatkan waktu, atau kamu memang tidak solat
langsung. Yang mana satu?”
Saya
pandang ustaz itu, sebelum kembali tunduk mengenang-ngenang kualiti
solat saya yang memangnya kurang berkualiti.
“Beginilah, kamu balik kampung dan tanya ibu kamu. Ingat, doa ibu itu makbul, dan dapat menyelesaikan banyak perkara.”
“Beginilah, kamu balik kampung dan tanya ibu kamu. Ingat, doa ibu itu makbul, dan dapat menyelesaikan banyak perkara.”
Sekali
lagi, perkara enam tahun lepas berulang. Saya ke kampung bagi
menceritakan hal ini kepada ibu, dan ibu terkejut.
“Mia
lagi?”
“Ya.
Apa pendapat ibu?”
“Sebelum
kamu membuat apa-apa keputusan, malam nanti kamu lihatlah wajah
isterimu. Tataplah wajah anak-anakmu. Lihat mereka. Syafiqa itu
walaupun mulut berkata rela, tetapi dia tetap perempuan. Jauh dalam
hatinya akan terluka. Namun, ibu mengerti juga dengan nasib ayah Mia dan Mia.
Ayah mana yang tidak sayangkan anaknya, dan perempuan mana yang tidak terkenang cinta pertama. Beginilah, kali ini ibu tidak
menyokong, tidak pula melarang, kerana agama pun tidak melarang,
Tetapi sekiranya kamu mampu, cubalah untuk memilih bahagiakan hanya
seorang perempuan. Sekiranya kamu bernikah atas soal dakwah, mungkin situasinya berbeza. Tetapi ini soal, cinta
lama. Ibu hanya mampu doakan kamu sahaja.”
Kali
ini, ibu sangat berbeza. Dia tidak memberi kata putus tetapi dia
hanya memberikan saya kuasa untuk membuat kata putus. Lalu malam itu,
saya sampai lewat ke rumah kerana bertolak dari kampung. Masuk sahaja
ke dalam rumah, pertama sekali yang saya lihat, adalah wajah
anak-anak saya yang polos. Tidur sambil memeluk bantal busuk. Saya
menatap lama dan mula membayangkan, mampukah saya nanti berbahagi
kasih dengan mereka? Saya tarik nafas dalam-dalam, kemudian saya cium
pipi mereka.
Selepas
itu, saya melihat wajah Syafiqa. Wajahnya tetap cantik seperti
mula-mula dahulu. Malah mungkin semakin cantik. Dia perempuan yang
banyak berkorban, dan berjasa. Pada ketika duit saya hanya
cukup-cukup untuk membeli mi, dia memberi wajah gembira, katanya dia
suka makan mi. Itu membuat saya lega dan tidak terasa langsung
tekanan.
Pada
ketika saya tidak ada wang bagi membelikannya baju baru, dia tetap
tersenyum dan berkata, kalau dia pakai baju apapun, sekiranya tetap
berjalan di sebelah saya, dia tetap akan kelihatan cantik. Dia adalah
perempuan yang melegakan hati suami. Suami ini sebenarnya lebih
kepada mahu lega. Lega sekiranya isterinya menerima. Lelaki tahu,
gembira dan suka itu bukan untuk dia, itu semua untuk anak dan
isterinya. Untuk dia, cukuplah lega. Dan perempuan yang sedang tidur
tenang di hadapan saya ini, adalah perempuan yang tahu memberikan
saya rasa lega itu. Mata saya berkaca dan perlahan-lahan saya cium
ubun-ubunnya.
***
Sudah
beberapa kali ayah Mia menelefon, tetapi saya tidak mengangkatnya.
Saya sudah nekad. Saya tidak mahu lagi berada dalam situasi ini.
Situasi yang tersudut dalam keadaan tidak menentu. Saya tahu, saya
bukannya orang yang kuat berhadapan dengan air mata seorang ayah yang
sanggup berkorban apa sahaja untuk anaknya. Saya tidak kuat.
Sehinggalah
datang SMS dari ayah Mia.
“Tiga jam lagi Mia akan berangkat ke Syiria. Saya mohon, awak datanglah.
Sekiranya terbuka hati awak, awak tahan dia daripada pergi. Sekiranya
tidak, cukup awak ucapkan selamat tinggal. Saya sudah berjanji kepada
dia yang awak akan datang. Tolonglah! Jangan sampai awak menyesal!'
Saya
tersentak. Apakah saya perlu pergi untuk mengucapkan selamat tinggal?
Saya mula berdiri dan menuju ke tingkap, memerhatikan jalan raya di
bawah yang mula sesak, sesesak fikiran saya.
***
Mia
duduk di kerusi di lapangan terbang dengan sopan. Dia melihat jamnya
dan mula memandang ke kiri dan ke kanan. Ayah dan ibunya yang berada
di sisi nampak keruh wajahnya dengan hiba. Anak perempuan seorang
mereka akan pergi ke Syiria.
“Ayah,
emak, jangan risau. Saya pergi tidak lama,” pujuk Mia.
“Kamu
kata, dua tiga tahun tidak lama?” soal ibunya pula.
“Ya.
Mana ada lama.”
“Kalau
begitu, nanti bawa balik menantu Arab untuk ayah,” kata ayah Mia
yang masih mahu bergurau dalam nada datar.
“Ayah
dan ibu doakanlah.”
Namun
Mia tetap memandang ke kiri dan ke kanan, sepertinya sedang mencari
seseorang. Ayah Mia tahu, siapa yang Mia cari, kerana dia sudah
memberitahu Mia, lelaki yang dia cintai itu akan datang.
Ayah
Mia, mendail lagi tetapi tetap tidak ada jawapan. Ayah Mia terus
menulis SMS, 'Mohon datang segera. Saya sudah janjikan yang awak akan
datang!' Itu SMS kelapan yang dia hantar.
Kemudian
terdengar, 'Panggilan terakhir untuk Anna Damia binti Roslan.....”
Mia
segera memandang ke arah ayah dan ibunya. Dia terus memeluk mereka
berdua, dan dengan pantas dia menarik begnya menuju ke pintu masuk
pemeriksaan.
Ketika
itulah saya berlari sekuat hati. Mungkin ini cara terakhir yang saya
boleh lakukan, demi kenangan masa lalu. Walau siapapun Mia sekarang,
tetaplah dahulu dia ada memberikan bahagianya untuk saya. Jadi
mungkin, bertemu dengannya di tempat perpisahan agung ini akan
memadamkan segala kenangan yang terus menjadi bara dalam hati. Saya
mendengar nama Mia dipanggil lagi dan ketika itu, Mia hanya satu
langkah dari memasuki pintu pemeriksaan.
“Mia....!”
laung saya. Mia berhenti dan dia berpaling. Dia tersenyum manis. Dia
berdiri dengan wajah yang memasang harapan. Mungkin dia mahu
mendengar saya berkata, “Jangan pergi!”. Mungkin itu yang dia
tunggu.
Saya
pula hanya berdiri menatap. Mahu sahaja hati saya berkata, 'Saya masih cintakan awak, tetapi saya tidak kuat untuk dua cinta'. Namun itupun saya tidak kuat untuk mengatakannya.
Akhirnya, kami hanya bertatapan sebelum saya berkata dengan hati yang luruh, “Mia, selamat jalan!”
Akhirnya, kami hanya bertatapan sebelum saya berkata dengan hati yang luruh, “Mia, selamat jalan!”
“Terima
kasih,” kata Mia tersenyum dan sebaik dia memalingkan wajah, ada
air matanya yang tumpah. Saya pula terus berdiri memerhatikan Mia
yang tidak lagi berpaling, hanya kerana tidak mahu sesiapa melihat
air matanya yang mencurah-curah.
Kemudian
saya terasa bahu saya dipegang. Saya berpaling dan ayah Mia berada di
sisi saya dengan mata yang sudah berkolam.
“Terima
kasih, nak, kerana sudi datang,” katanya sangat lemah.
***
Sudah
seminggu Mia ke Syiria. Hidup saya dan Syafiqa kembali seperti biasa. Tidak ada lagi persoalan tentang Mia. Saya
kira, kami dan Mia mungkin sudah dapat meneruskan hidup masing-masing, Sekiranya ada jodoh, pasti tetap ada.
Namun saya tetap sentiasa mendoakan Mia akan bertemu lelaki yang lebih baik, yang akan menyembuh lukanya dan
terus bahagia.
Lalu hari itu, seperti biasa sebelum memulakan kerja, saya akan melayari internet, membaca berita-berita terkini. Semasa saya terus skroll ke bawah, saya terbaca,
Lalu hari itu, seperti biasa sebelum memulakan kerja, saya akan melayari internet, membaca berita-berita terkini. Semasa saya terus skroll ke bawah, saya terbaca,
'Sukarelawan
Malaysia ke Syiria terbunuh terkena bom'.
Dada
saya berdegup kencang. Saya teruskan membaca, dan terbaca,
'sukarelawan yang bernama Anna Damia....'
Saya
terus menekup wajah. Dada saya berasa sangat sesak. Terlalu sesak dan
tidak terasa tangan saya mula basah dengan air mata. Teringat kembali
pada wajah Mia di lapangan terbang. Teringat kembali pada saat
mula-mula berkenalan di restoran. Teringat kembali pada sisa
senyumannya untuk saya. Semuanya terbayang jelas dalam kepala.
Semuanya... Saya tidak tahu, apa yang perlu saya rasa sekarang. Yang
pasti, Mia sudah pergi. Pergi menemui Penciptanya. Mia sudah tiada.
Pada ketika dia kecewa dengan cinta makhluk, Tuhan panggil dia pulang
untuk diberi cinta yang jauh lebih manis daripada apapun. Cinta yang lebih suci, cinta yang lebih abadi.
Saya
pula tidak sedar, entah berapa lama menekup muka yang sudah basah.
Cinta
itu memang begitu, apabila ia sudah tiada, tetap akan ada yang
tersisa sebagai air mata.
Tuesday, February 24, 2015
esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku - 2
Bahagian satu klik di sini
http://dingin.blogspot.com/2015/02/esok-kau-bernikah-tetapi-bukan-dengan.html
http://dingin.blogspot.com/2015/02/esok-kau-bernikah-tetapi-bukan-dengan.html
LIMA BULAN SEBELUM.
Sudah tiga tahun sejak peristiwa itu.
Sejak saya tidak kenal lagi Mia sebagai seorang kekasih. Sejak saya
mula membuang apa-apa sahaja kenangan yang berkaitan dia. Gambar,
nombor telefon dan apa sahaja. Tetapi sayang, cinta itu bukan
berkehendakkan benda untuk diingat. Cinta itu sudah sedia ada dalam
hati, dan akan mengalir ke ingatan untuk menjadi kenangan dan
seterusnya menjadi luka yang mencucuk-cucuk.
Saya fikir, saya sudah melalui pedihnya
cinta yang paling agung, tetapi Tuhan ada rencana lain
untuk saya. Pedihnya cinta itu, tidak sekadar itu.
Saya akui, saya masih mencintai dia.
Tetapi saya sudah mampu menerima, bahawa dia sudah tidak ada.
Ibaratnya kita mencintai dan merindui orang yang sudah mati.
Saya pula sejak itu, selepas hampir
beberapa bulan hidup tidak menentu, dan mujur ada ibu yang sentiasa
ada di sisi untuk terus memberi dan memastikan anaknya ini terus
menjadi manusia. Alhamdulillah, kini saya sudah bekerja. Gaji
tidaklah setinggi mana, tetapi mampulah membeli kereta nasional, dan
rumah apartmen murah. Cukup untuk dibuat bangga oleh ibu.
Dari pengalaman lalu itu, tahulah saya,
bahawa hidup ini sememangnya aneh. Cinta tidak pernah ada pelajaran
khusus di sekolah-sekolah, tetapi hidup kita sehari-harian, sikit ataupun banyak, akan tetap perlu menyelesaikan masalah cinta yang datangnya bergelombang. Mungkin kerana itu ramai
yang gagal dalam cinta.
Bukan sahaja manusia kecil seperti
saya, malah pemimpin-pemimpin dunia sejak dari zaman Troy sampai
sekarang, semuanya jatuh bangun kerana cinta. Jatuh kerana tidak
mampu mengendalikan cinta yang mungkin wujud sebagai isteri ataupun cinta terlarang. Boleh sahaja pemimpin agung itu
menghalakan muncung senjata ke kepala pihak musuh, tetapi mereka
tetap akan tunduk di bawah kata muncung mulut seorang perempuan kerana cinta.
Sehingga berbalik kepada cerita saya,
yang hidupnya kini sederhana dan sudah mampu tersenyum, tetapi tetap
ada yang kurang. Saya sangat tahu kekurangan itu, dan pastinya ibu
saya pasti lebih mengerti dan hari itu, dia memanggil saya pulang ke
kampung.
Selesai segala rutin sambutan ibu yang
penuh kasih dengan masakan enak, dan pelukan mesra berserta senyuman
lembut, dia menatap tidak biasa kepada saya.
“Kamu sudah ada segala-galanya yang
diperlukan untuk menjadi ketua keluarga. Cuma kamu belum ada
keluarga.” Manis sekali kata-kata ibu, dan saya hanya tersenyum.
“Ibu mahu saya kahwin?”
“Ya. Sekiranya sudah ada calon,
beritahu ibu, dan sekiranya belum beritahu juga.”
Saya senyum sekali lagi. Comel betul
ibu saya pada ketika dia serius berkata tentang cinta.
“Belum ada ibu. Mengapa? Ibu mahu
tolong carikan?”
“Ya. Ibu sudah ada calonnya. Orangnya
cantik, agamanya bagus, sopan, lemah lembut dan pendidikannya pun
bagus. Ada sambung belajar diploma tetapi tidak habis.”
Saya kerut dahi, dan kemudian ketawa
kecil.
“Ibu ini, semua orang dikatanya
cantik.”
“Ini memang cantik betul,” tegas
ibu dan terus memberikan saya sekeping gambar pasport. Pada saat saya
menerimanya, saya akui, ibu tidak berlebih-lebih. Biasanya, gambar
pasport adalah gambar yang paling jujur. Gambar yang tidak akan
menipu, dan melihat gambar itu, memang perempuan yang ibu kata ini,
cantik.
“Namanya, Syafiqah. Kalau kamu suka,
esok juga ibu masuk meminang.”
“Eh, ibu saya belum kata apa-apa
lagi. Belum kenal pun lagi dia, tiba-tiba terus masuk meminang.
Jangan-jangan dia sudah ada kekasih. Orang cantik begini, tidak
mungkinlah tidak ada cinta hati. Saya tidak mahu apa yang terjadi
kepada saya dahulu, terjadi juga kepada orang lain.” Saya bertegas.
“Ibu sudah risik semuanya. Syafiqah
ini anak yatim piatu, dan dia anak sulung daripada 6 beradik.
Kini dia menumpang di rumah mak ciknya, yang juga kawan ibu. Mak
ciknya itu ibu tunggal dan juga orang miskin, dan sebab itulah
Syafiqah belajar tidak habis. Mak ciknya sudah tanya betul Syafiqah
dan Syafiqah kata, bagaimana mahu bercinta kalau adik-adiknya masih
perlu belanja. Sebab itulah ibu cadangkan kamu jadi suaminya. Dapat
kurangkan beban dia, dan boleh juga kamu tolong dia sambung belajar.”
Saya garu-garu lengan. Sepertinya ada
yang tidak kena dan saya terus berkata, “Maknanya, saya ini hanya
sebagai penyelamat ekonomi dia?”
“Bukan itu sahaja. Syafiqah itu muda
lagi. Mak cik dia risau kalau Syafiqah mahu bekerja ke bandar, dan di
sana bukan ada orang boleh dipercaya. Pengalaman hidupnya yang
sedikit akan membuatkan dia mudah jatuh di mana-mana. Lalu, kamu juga
adalah penyelamat seorang perempuan yang baik, dan pastinya dengan
rupa kamu yang tidak kurang kacaknya ini, dia tidak ada masalah untuk
jatuh cinta.”
Saya ketawa keras dan berkata, “Ibu sahaja yang kata saya kacak.”
“Tetapi betul, ibu memang suka kamu
jadi suami Syafiqah. Senang hati ibu lihat wajahnya. Tenang jadinya
jiwa apabila dengar dia berkata-kata. Lembut dan sangat hormat orang
tua. Ibu yakin, dia akan jadi madu hidup kamu. Penyembuh segala luka dan pemberi kasih yang tidak putus. Jadi, bagaimana?”
Saya sebenarnya masih ragu-ragu dengan
rancangan ibu. Teringat benar saya dengan rancangan orang tua Mia.
Jangan-jangan memang Syafiqah sudah ada kekasih.
“Tetapi saya mahu jumpa Syafiqah
dahulu. Boleh?”
“Esok kita ke sana.”
Esoknya seperti dikata, saya dan ibu
sampai ke rumah mak cik Syafiqah. Rumah yang sudah uzur, dan
kelihatan seorang perempuan tua yang berwajah lembut mengajak kami
naik. Itulah mak cik Syafiqah. Ibu pun berbisik-bisik dengannya dan
kemudian terlihat mak cik Syafiqah tersenyum baik.
“Syafiqah!” laung mak ciknya, dan
saya mula berdebar-debar.
“Ya, mak cik!” Saya mendengar suara
yang halus lembut dari bilik bertentangan ruang tamu. Debar saya
semakin naik.
“Mari sini sekejap. Pakai tudung. Ada
orang datang.”
Seketika, pintu bilik terbuka dan
keluarlah seorang perempuan yang lembut sopan langkahnya, dan
ternyata, 10 kali lebih bagus dilihat daripada gambar pasportnya.
Debar saya menaik lagi.
“Duduk sini,” kata mak ciknya dan
Syafiqah melabuh sopan.
Ibu pula terus menyiku saya dan
berkata, “Syafiqah sudah ada di depan kamu. Tanyalah dia apa-apa.”
Saya telan liur. Apa yang saya mahu
tanya ini adalah soal yang sulit-sulit. Tetapi ibu dan mak cik
Syafiqah sudah memasang wajah yang mahu mendengar. Wajah orang yang
sangat mahu tahu. Saya pula, selepas berfikir-fikir, walaupun terasa sangat janggal, keadaan ini lebih baik daripada bedua-duan dan saya tabahkan
hati untuk bertanya.
“Syafiqah, mohon maaf untuk bertanya
terus. Syafiqah sudah ada kekasih? Beritahu betul-betul. Jangan
takut.”
Syafiqah memandang mak ciknya dahulu,
sebelum dia tunduk dan menggeleng.
“Betul?”
Dia masih tunduk dan angguk.
“Takkan tak ada orang nak?”
Kali ini dia angkat kepala dan dengan
wajah yang serius dia berkata, “Memang ada ramai yang mengirim
wakil dan surat, tetapi saya masih ada adik-adik untuk dijaga.
Lagipula sekarang saya hanya menumpang di rumah mak cik saya. Saya
serahkan segalanya kepada mak cik untuk menentukan apa yang terbaik
untuk saya.”
Mak cik Syafiqah terus mencelah, “Saya
kenal rapat dengan ibu kamu. Mak cik yakin, kamu sebaik ibu kamu, dan
pastilah sebab kamu juga ada kerja yang bagus, wajah pun boleh tahan.
Mak cik fikir, kamu yang terbaik untuk anak saudara mak cik.”
Saya pula yang tunduk dipuji-puji
begitu. Selepas kira-kira saya dapat mengawal diri, saya bertanya
lagi, “Syafiqah, awak masih muda. Pintar. Tidak rasa sayangkah awak
untuk bernikah awal? Tidak kisah untuk tidak mengejar kerjaya?”
Kali ini Syafiqah hanya memandang mak
ciknya dan mak ciknya lah yang pantas menjawab.
“Apa yang lebih tinggi daripada
kerjaya sebagai seorang isteri? Kerjaya yang sudah disebut akan mudah
masuk ke syurga, asal betul sikapnya. Syafiqah memang
mahu menyambung pelajaran lebih tinggi, tetapi saya sudah berpesan
kepada dia, sambung pelajaran kerana kamu mahu jadi orang yang
berilmu yang mengejar syurga. Sekiranya suami kamu benarkan
kamu bekerja, terima itu sebagai hadiah, tetapi sekiranya tidak,
setiap ilmu yang kamu belajar itu, tetap akan diberi pahala selagi mana kamu taat pada suami. Tidak akan sia-sia ilmu itu kerana Allah akan
berikan lebih lagi. Syafiqah pegang perkara itu, dan itu jugalah yang
mak cik pegang sehingga suami mak cik menemuinya penciptanya.
Alhamdulillah, hidup kami memang tidak kaya, tetapi kami tidak pernah
berasa kami miskin dan perlu meminta-minta. Tetapi mak cik tetap
percaya, seorang perempuan apatah lagi yang masih muda, perlukan
lelaki yang dapat membimbingnya, walau sepandai manapun perempuan
itu, kerana tetaplah, akal perempuan satu dan nafsunya sembilan.”
Saya tidak ada apa-apa lagi untuk
ditanya. Sudah jelas kepada saya, jalan hidup Syafiqah dan sebab
mengapa saya perlu untuk berani menjadi suaminya. Namun, tetap jugalah
dalam hati ini, berasa bergoncang kerana tiba-tiba sahaja wajah Mia
pula yang datang.
****
SEBULAN SEBELUM
Sudah empat bulan saya bertunang dengan
Syafiqah. Memang mahu saya terus bernikah. Biar segalanya ringkas dan
mudah, tetapi tetaplah saya perlu cukupkan belanja dahulu untuk
kenduri. Semuanya kerana duit simpanan saya hampir habis buat dibeli
rumah dan renovasi rumah ibu. Sekiranya saya tahu akan bernikah,
memang saya belum lagi membeli rumah. Biar menyewa pun tidak mengapa.
Saya pula tetap dengan aktiviti saya.
Sekiranya tidak balik kampung, saya akan bermain futsal dengan
kawan-kawan dan hari itu, entah bagaimana kaki saya terseliuh yang
sakitnya sampai keluar air mata. Saya fikir saya pitam sebentar.
Kemudiannya saya berasa resah sekiranya saya bukan setakat seliuh,
tetapi patah atau retak pergelangan kaki.
Jasa baik rakan-rakanlah yang
menghantar saya ke hospital dan terus ke bahagian ortopedik.
Ketika sedang menunggu giliran, pintu bilik doktor terbuka dan keluar
dari situ seseorang yang sangat saya kenal. Seseorang yang sudah membuat jiwa saya mati.
Itu Mia, di atas kerusi roda bersama
dengan ayahnya yang tetap rapi penampilan. Mahu tidak mahu, Mia dan
ayahnya akan tetap lalu di hadapan saya, dan mahu tidak mahu saya
tidak boleh buat-buat tidak nampak, dan pada ketika kami bertemu
muka, kami sama-sama terkejut untuk sesaat, sebelum kami sama-sama
tersenyum.
“Mia, apa khabar?” soal saya.
Cepat-cepat saya sembunyikan gelisah, dan saya tidak mahu dia tahu
yang saya begitu. Saya mahu tunjukkan kepada Mia dan ayahnya, saya
juga sudah jadi manusia yang berkerjaya, sudah jadi manusia yang
melupakan kisah lalu.
Namun tetaplah, wajah Mia itu
sepertinya ada magnet. Walaupun sudah lama tidak bertemu, saya
mengakui, dahulu saya ego mengatakan dia biasa-biasa. Wajahnya
bersinar, dan cantiknya seperti sudah bertambah. Mungkin seri seorang
isteri. Lalu saya segera tunduk.
“Beginilah saya. Kalau sihat, taklah kita
jumpa di hospital,” jawab Mia tersenyum.
“Buat apa di sini?” soal ayah Mia
ramah.
“Seliuh. Tapi takut ada retak dan
patah. Pak Cik dan Mia pula buat apa sini?”
“Mia, buat pemeriksaan lanjutan.
Lututnya dahulu kena bedah.” Kemudian dia memerhati kiri kanan.
“Seorang sahaja? Mana isteri?” soal
ayah Mia.
Tajam benar soalan itu. Tidak tahu
saya, mengapa dia bertanya begitu. Apa maksudnya? Namun tetaplah saya
menjawab baik, “Saya belum beristeri lagi.”
Ayah Mia mengangguk-angguk dan berkata,
“Kami balik dahulu."
Pada ketika sudah hampir 10 langkah, tiba-tiba ayah Mia berbalik ke arah saya, meninggalkan Mia, dan berkata, "Ada nombor telefon?”
Walaupun hairan mengapa ayahnya meminta
nombor telefon tetap saya memberi, dan saya terus memerhatikan mereka
beredar sehingga hilang di sebalik pintu.
***
Alhamdulillah kaki saya tidak ada
apa-apa. Cuma terkoyak ototnya. Itu sangat saya bersyukur, dan dua
hari kemudian, saya menerima telefon daripada ayah Mia, mengajak
berjumpa di restoran yang saya pernah berjumpanya dahulu. Kini, dia
kata dia yang belanja dan saya berasa sedikit aneh.
Malam itu, saya pun memenuhi hajat,
demi membuktikan saya ini lelaki yang kuat. Lelaki yang tidak ada
apa-apa. Lelaki yang tidak terkesan dengan masa lalu. Walaupun
hakikatnya dalam hati luka itu masih berdenyut-denyut.
Selepas berbual-bual seketika hal
politik Malaysia dan dunia, dia akhirnya menatap penuh belas ke arah
saya.
“Nak, awak tahu mengapa pak cik
panggil awak ke sini?”
“Tak.” Saya menggeleng.
“Setahun lepas Mia kemalangan dan
suaminya meninggal. Dia juga cedera dilutut. Namun itu belum apa-apa
lagi. Sejak itu, Mia tidak pernah lagi tersenyum. Dia sering
menyendiri di dalam bilik. Mujur juga makan dan minum dia sudah mahu.
Sehinggalah dua hari lepas, apabila dia bertemu dengan awak, itulah pertama
kali pak cik melihat dia tersenyum. Pertama kali lihat matanya
kembali bersinar-sinar dan pipinya penuh darah. Sepertinya dia
menemukan kembali hidupnya.”
Saya sedikit terkejut. Saya seperti
sudah ada bayangan ke mana hala tuju pertemuan ini, tetapi saya tidak
berani menyebutnya.
“Selepas bertemu dengan awak, dan
selepas tahu yang awak belum bernikah, dia selalu menyebut tentang
awak. Dia bercerita dengan riang tentang semasa dia bekerja dengan
awak. Pak cik melihat dia sangat gembira. Lalu....” Ayah Mia
terhenti seketika. Pada wajahnya, saya melihat hiba seorang ayah.
Saya menahan diri daripada berkata apa-apa.
“Lalu... seperti yang pak cik
beritahu awak dahulu, pak cik adalah ayah yang sanggup bermati-matian
mahu melihat anaknya bahagia. Pak cik mahu Mia kembali seperti dahulu
lagi, dan sekiranya dahulu pak cik menolak awak, sekarang pak cik
dengan tidak malu dan sanggup membuang ego, merayu awak sekiranya
masih ada cinta dalam hati awak, maafkanlah pak cik dan Mia.
Jadikanlah Mia sebagai isteri awak. Pak cik sanggup keluarkan
belanja. Pak cik merayu.”
Ketika itu, saya melihat mata ayah Mia
mula berkolam. Ternyata dia seorang ayah yang sanggup berbuat apa
sahaja untuk anaknya bahagia. Walaupun dengan cara begini. Saya pula
terus terdiam. Fikiran saya mula terbayang Syafiqah.
“Nak, pak cik merayu. Demi anak pak
cik.”
Dengan nada berat, saya menarik nafas
dalam-dalam dan berkata perlahan, “Pak cik, memang saya belum
bernikah tetapi saya sudah bertunang.”
Serta-merta wajah ayah Mia berubah.
Bukan berubah marah, tetapi kecewa yang sangat dalam. Terus dengan
kedua-dua tangannya dia memegang tangan kanan saya. Sambil tunduk dia
berkata, “Nak, pak cik tahu daripada mata awak, awak masih
sayangkan Mia. Masih ada cinta kepada Mia. Jadi pak cik mohon,
pilihlah Mia, lebih daripada tunangan awak. Tanya hati awak, cinta
awak lebih berat kepada siapa. Pak cik merayu.”
Dapat saya rasakan ada air mata yang
menitik pada tangan saya. Air mata seorang ayah, yang sanggup
berkorban apa sahaja untuk kebahagian anaknya dan itu membuatkan saya
tersudut kepada permasalahan yang tidak pernah sangka-sangka akan
terjadi.
“Jangan buat keputusan sekarang.
Balik dan fikirkan lagi dan selepas awak ada keputusannya,
beritahulah pak cik. Tetapi pak cik sangat berharap, anak ini akan
bahagiakan anak pak cik. Ini surat yang Mia tulis, surat yang kemudiannya dia renyuk, dan pak cik ketemu, sehingga pak cik berani bertemu dengan anak di sini.”
Saya menerima kertas yang sudah renyuk itu, dan membukanya perlahan-lahan. Di situ ada tulisan tangan yang cantik.
Saya menerima kertas yang sudah renyuk itu, dan membukanya perlahan-lahan. Di situ ada tulisan tangan yang cantik.
Awak!
Ini suara hati saya. Saya masih cintakan awak. Masih sayangkan awak. Saya tidak tahu mahu luah kepada sesiapa. Saya cuma berani luahkan pada kertas ini. Saya berharap sangat awak baca luahan ini.
Maafkan saya atas semua salah silap saya. Maafkan semuanya. Saya masih rindukan awak, dan saya tahu, jauh dalam hati, awak juga begitu.
Tapi sayang, saya tahu awak takkan dapat baca luahan ini, kerana saya malu berikan kepada awak. Saya akan renyuk dan buangnya. Tetapi saya akan berasa lega, kerana setidak-tidaknya, saya sudah meluahkan isi hati saya, walaupun hanya pada sekeping kertas yang bisu.
Yang mencintai awak.
Mia.
"Seperti yang pak cik beritahu awak dahulu, sekiranya ada jodoh, tidak ke mana. Menunggu juga tandanya jodoh itu ada. Tetapi Allah berikan kita, pelbagai bentuk situasi 'menunggu'. Cuma sahaja, adakah kita berada dalam posisi sabar untuk sampai ke sana, ataupun dalam posisis sabar untuk tetap menunggu di sana."
Itulah kata-kata yang menutup pertemuan kami malam itu.
***
Malam itu saya tidak terus pulang. Saya
sangat buntu dan mujur saya teringat kepada bekas rakan serumah,
seorang ustaz yang banyak sekali memberi kata-kata nasihat baik kepada saya. Saya akui, soal cinta, Mia memang berhak mengatasi Syafiqah, tetapi soal aturan, Syafiqah jauh lebih berhak berbanding Mia.
Saya fikir, ustaz itu akan dapat
memberikan sesuatu dan pada ketika saya memberitahu masalah saya
kepada dia, di sebuah restoran 24 jam, dalam riuh pengunjung menonton
bola, dia hanya ketawa.
"Itu memang ujian orang bertunang. Mereka akan bertemu orang yang lebih baik daripada tunangnya."
Saya renung ustaz itu, dan berkata lagi, "Jadi apa perlu saya buat?"
"Itu memang ujian orang bertunang. Mereka akan bertemu orang yang lebih baik daripada tunangnya."
Saya renung ustaz itu, dan berkata lagi, "Jadi apa perlu saya buat?"
“Apa susah, kamu poligami sahaja.”
“Ustaz, saya serius.”
“Ya, saya pun serius.”
Saya terdiam. Poligami? Rasa-rasanya
saya belum mampu berlaku adil, dan terus berkata, “Ok, katakan
poligami jalan akhir. Ada apa jalan lagi?”
Sambil masih tersenyum dia menjawab,
“Mengapa tanya saya? Orang yang pertama sekali kamu perlu tanya dan
beritahu adalah ibu kamu. Ingat, kamu lelaki. Walaupun setinggi apa
pangkatmu di dunia, kamu tetap tunduk pada manusia yang bernama ibu. Walau
kamu suami yang menjadi ketua keluarga, yang memberi katas putus, kamu tetap perlu patuh pada
manusia yang bernama ibu. Tanya dia, kerana bahagianya kamu nanti
adalah bergantung pada redhanya dia kepada kamu. Jangan tanya saya.”
Itu nasihat dia dan esoknya saya
mengambil cuti lalu pulang ke kampung, hanya kerana itu dan apabila
sampai, saya terus memberitahu ibu apa yang terjadi. Ibu pula
walaupun nampak sangat terkejut, dia tetap cuba terlihat tenang.
“Ibu, bagaimana sekarang?”
“Ibu tahu, kamu masih sayangkan Mia.
Sekiranya tidak, pasti kamu mudah membuat keputusan. Pasti kamu tidak
perlu datang berjumpa ibu. Ibu juga tahu, kamu mahu ibu memilih Mia
daripada Syafiqah. Itu mahu kamu. Betul?”
Saya tersentak. Memang itulah yang ada
jauh dalam hati saya. Seorang ibu memang tidak pernah gagal untuk
membaca hati anaknya. Ya, saya memang masih cintakan Mia. Cinta
sepenuh hati.
“Tetapi ibu lebih suka kepada
Syafiqah. Ingat, Mia yang membuatkan kamu seperti hilang ingatan
untuk menjadi manusia. Berbulan-bulan ibu menjaga kamu kerana perkara
itu. Sakitnya hati ibu.”
“Tetapi ibu, itu bukan salah Mia.
Malah ayah Mia juga sudah menyatakan kesalnya kepada saya.”
“Memang betul. Tetapi bagaimana
dengan Syafiqah? Dia gadis kampung yang sangat baik. Gadis yang baru
mahu mengenal dunia, dan pada ketika dia mahu kenal dunia, kamu
perkenalkan dia kepada erti duka? Mia itu setidak-tidaknya ada
seorang ayah yang sanggup berkorban apa sahaja untuk dia. Tetapi
Syafiqah tidak ada sesiapa lagi di dunia untuk dia bergantung harap.
Hanya kamu nanti yang mampu menjadi tempat dia berteduh. Lagipula,
bagaimana ibu mahu jaga air muka ibu kepada mak cik Syafiqah,
sekiranya kamu putus? Malah, ibu sudah anggap Syaqfiqah anak
perempuan ibu yang tidak ada. Ibu sayangkan dia, dan ibu tidak mahu
kamu lukakan dia.”
Saya diam, dan terasa terbakar dada ini
mendengar kata-kata ibu. Sakit. Dalam sakit itu, ibu menyambung, “Ibu
muktamad. Ibu pilih Syafiqah. Esok kamu beritahu ayah Mia keputusan
ini. Beritahu elok-elok, dan berikan sekali kad kahwin kamu, supaya
Mia sudah tidak memberi harap dan dia dapat terus meneruskan hidup.”
Saya mula teringat kembali kata-kata aruah suami Mia kepada saya. Kata-kata yang saya tidak menyangka, akan saya
sendiri hadapi.
“Saya dan Mia sama sahaja. Sekiranya ibu bapa kami gembira, insyaAllah kami berdua akan bahagia. Pasangan yang bahagia, bukan sahaja menjaga hati masing-masing, tetapi juga menjaga hati ayah dan ibu mereka. Apabila itu mereka dahulukan, mereka akan faham, rumahtangga adalah proses untuk menjadi suami isteri dan ibu bapa yang terbaik. Rumahtangga bukan end result. End result nya nanti di akhirat sana. Di sini kita berusaha, dan cuba mencari apa sahaja jalan bagi mendapatkan end result yang terbaik di akhirat. Termasuklah berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di atas luka.”
Akhirnya, sudah
putus kata. Esoknya dengan hati yang berat dan
langkah yang rasa mahu jatuh, saya berikan kad kahwin saya kepada
ayah Mia. Saya perlu berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di
atas luka.
PADA HARI PERSANDINGAN.
Hari itu, hari
bersejarah saya. Saya sudah ijab dan kabul dan saya sudah menjadi
suami. Kami ada pelamin tetapi hanya hiasan. Saya dan Syafiqah hanya
mahu pelamin itu jadi tempat bergambar. Namun tetaplah kami
berpakaian raja sehari. Indah dan cantik, sambil kami berjalan dari
satu meja ke satu meja bertemu dengan para tetamu. Berkenal rapat
dengan para keluarga.
Kami berjalan
berpimpinan tangan, dan untuk pertama kalinya, saya berasa sangat
berbeza. Saya adalah orang baru. Pada ketika mahu berpindah ke meja
satu lagi, saya menahan nafas. Senyum saya tadi hilang.
Di meja itu saya
melihat ayah Mia, dan Mia sendiri. Saya benar-benar tidak sangka
mereka akan datang. Kad jemputan itu bukan sebenar-benarnya maksud
menjemput, cuma sebagai bukti yang saya sudah boleh dilupakan dan
hidup perlu diteruskan lagi.
Di meja itu, saya
melihat ayah Mia tersenyum sangat pahit, dan Mia sendiri sudah
berkaca matanya. Saya tahu pedihnya apabila berada di pihak Mia, tetapi hari itu, pertama kalinya saya merasai pedih yang lebih pedih
daripada itu. Dan mata saya juga mula berkaca.
Subscribe to:
Posts (Atom)
