Monday, August 22, 2011

pada kata hati di atas meja


Sekuat hati, sekuat apa pun aku,
tetap di situ juga batasnya,
melirik tajam jugalah aku,
ke situ juga aku tertunduk,
sebisa-bisa lidah,
di situ juga ia menjadi tawar,

pada kata hati di atas meja,
di sebelah kerusi berkaki patah,
di bawah kipas berpusing lelah,

surat berdakwat hitam,
daripada kamu,
kita sudah putus.

Thursday, August 11, 2011

Ramadan - Siri catatan BMR

Bulan Ramadan, datangnya, okey aku mengaku, datangnya memang sedar tak sedar. Rasa sekejap betul datangnya. Apabila fikir balik, aku harus anggap ia nikmat. Yalah, ada orang yang rasa, lama betul nak tunggu bulan Ramadan. Ada pulak, langsung tak jumpa-jumpa dah bulan Ramadan.

Tak banyak kisah sangat masa bulan Ramadan, selain kisah-kisah tarawih, masuk kerja awal, sibuk isi borang cuti, sibuk kejar deadline, sibuk sana-sini jugalah jadi. Adakah memang Ramadan bulan bagi menjadikan manusia sibuk, termasuk sibuk beribadah? Aku tak tahu. Yang sibuk beribadah, itu memang patut, yang tak patut, sibuk yang macam aku cerita di atas.

Cerita fasal sibuk, aku Ramadan tahun ini, sangat tak suka sibuk kat pasar Ramadan. Al hasilnya aku memang belum pernah jejak lagi pasar Ramadan. Kalau esok aku jejak pasar Ramadan, lain ceritalah. Yang aku nak cerita ni, setakat 10 hari Ramadan memang aku belum jejak.

Mulanya aku cuba amalkan buka puasa, buah kurma dan air kosong. Ok, memang aku berjaya. Tetapi setengah jam selepas tu, aku dah sampai ke kedai mamak dan makan kari kambing. Ohhh... aku gagal. Hari kedua ketiga pun lebih kurang stailnya. Yang berbeza, aku tak pergi kedai mamak lagi. Aku pergi kedai orang Kelantan pulak, makan telur bungkus dan air tembikai gelas besar.

Dua tiga hari ni, aku rajin pula singgah beli nasi di tepi jalan. Waktu Ramadan ini jugalah, ramai betul yang meniaga. Itu memang bagus. Aku dahulu, waktu Ramadan memang meniaga air kelapa. Sehari, kalau matahari terik semacam, boleh dapat lebih seratus.

Tadi semasa aku singgah, aku nak bungkus nasi dengan daging, dengan ikan. Aku pun cakap, “Nasi.”

Makcik yang jual tu jawab, “Besar?”

Aku dah pelik. Apa pula yang besar? Aku cakap lagi, “Nasi.” Sambil aku tunjuk isyarat tangan macam nak tapau nasi.

“Besar?” Itu jugak mak cik tu tanya.

“Nasi!” Terpaksa aku keraskan suara, barulah mak cik tua cakap, “Ooo... Nasi.”

Sampai kesudah aku tak tau, apa yang mak cik tu maksudkan dengan 'besar'. Hairan juga. Yang penting nasi tu ah selamat masuk perut. Alhamdulillah. Ok, selamat sibuk beribadah. Cau.