Wednesday, February 23, 2011

Menulis sejarah.

Apa sahaja yang berkenaan sejarah, itu adalah cita-cita yang besar. Sekiranya sahaja kita mahu menulis sejarah secara fiksyen ataupun non-fiksyen, ada perkara asas yang sangat perlu kita mahirkan.

Bukanlah teknik penulisan itu yang perlu kita mahirkan. Bukan juga kaedah dan gaya bahasa yang perlu diusung ke sana sini. Paling asas ada dalam perkataan 'sejarah' itu sendiri.

Sesuatu menjadi sejarah selepas ia sudah lama terjadi. Namun bagaimana kita tahu sesuatu yang sudah lama itu terjadi? Daripada catatan-catatan orang terdahululah kita mengetahuinya. Sama ada melalui dokumen, surat-surat, buku, filem, dan gambar.

Inilah kemahiran asas yang perlu ada untuk mereka yang mahu menulis berkenaan sejarah. Kemahiran mencari dan mengumpul. Kita perlu mencari dan mengumpul fakta-fakta dan segala hal yang berkaitan dengan sejarah yang mahu ditulis. Kemahiran yang bertitik tolak daripada kerajinan kita.

Serajin manakah kita ke perpustakaan. Serajin manakah kita mencari maklumat di internet. Serajin manakah kita ke arkib negara, ke muzium dan sebagainya. Hanya dengan kerajinan itu, kita akan mampu mencari dan mengumpul banyak fakta.

Selepas adanya fakta-fakta, kita perlukan pula kemahiran kedua iaitu memilih fakta mana yang betul dan mana yang salah. Terlebih kritikal apabila ia berkaitan sejarah nabi junjungan kita dan para sahabatnya. Kemahiran ini sangat perlukan banyak membaca dan banyak bertanya. Malah untuk hal-hal tertentu, sangat perlu kita belajar dan menjadi pakar dalam bidangnya. Asas kemahiran ini adalah berani. Tidak ada penulisan sejarah untuk mereka yang ragu-ragu dan takut.

Katakanlah dua hal itu selesai, kemahiran ketiga inilah juga yang membuatkan ramai tidak mampu lagi menulis sejarah terutamanya fiksyen sejarah. Iaitu kemahiran menyusun fakta-fakta tadi bagi memudahkan penulisan. Mana satu yang perlu ditulis dahulu dan mana satu yang perlu diletakkan paling akhir.

Di sini sekali lagi, kerajinan bagi membaca itu yang utama. Membaca seluruhnya berkenaan sejarah itu dan mendapatkan gambaran seluruhnya berkenaan sejarah itu. Itu satu pembacaan yang sangat lama dan luas. Akhir semua itu, barulah kita mampu menuliskan apa sahaja berkenaan sejarah mengikut teknik dan kaedah penulisan yang kita banggakan dan mahir itu.

Kesimpulannya, untuk menulis sejarah, fiksyen dan non-fiksyen, tidak ada jalan yang mudah. Ini kerana sifat sejarah itu sendiri adalah sesuatu yang besar. Jadi untuk mereka yang bercita-cita besar, memang tidak ada jalan singkat ke arah mencapai cita-cita itu.

Friday, February 11, 2011

Lelaki yang menyukai angin (Cerpen yang malas-malas)

Dia lelaki yang suka kepada angin. Sebutlah angin apa, pasti dia tahu. Angin monsun, angin barat daya, angin ribut, angin bayu dan tidak terkecuali, angin daripada perut juga dia suka. Lalu pada saat dia sendiri di tepi ataupun di tengah padang bola, cuba-cuba kamu berdiri di sebelahnya. Tidak perlu bertanya dan tidak perlu berkata apa-apa kerana dia dengan sendiri akan berkata kepada kamu.

“Ini angin timur laut. Ia lemah tetapi lemahnya itulah yang memberikan keenakan kepada manusia. Manusia mampu bersenang-senang dengan lemahnya angin ini.”

Jangan berkata apa-apa lagi, dia pasti akan menyambung.

“Aku menanti angin barat daya. Ia angin yang sederhana lajunya. Mampu membuat baju kita terbang-terbang dan kepala kita sejuk. Namun, sekarang masih belum waktunya. Mungkin bulan hadapan ia tiba.”

Itulah dia, lelaki yang suka kepada angin. Tidak saya tahu secara benar, bagaimana dia menjadi lelaki yang suka kepada angin, tetapi mengikut kata orang dewasa kampung, dia menjadi begitu kerana semasa kecil, ribut pernah melanda kampung. Dia ketika itu sedang bermain di luar rumah, hilang ditelan ribut yang menggila. Anehnya, pada saat banyaknya pokok tumbang, rumah pula terbang atapnya, dia ditemui berbaring di atas padang dengan mata yang buntang memandang langit. Sejak itu dia mula menyukai angin.

Antara angin kegemarannya adalah angin ribut. Katanya, “Angin ribut ini jangan dibuat main. Hanya aku yang boleh memeluknya. Itupun angin ribut yang masih anak-anak. Sekiranya angin ribut yang sudah dewasa, jangan cuba-cuba, ia tidak akan mahu berunding dengan sesiapa pun. Angin ribut ini, semua benda dilihatnya kecil dan bodoh-bodoh belaka. Atas kerana itu ia mahu memusnahkan semua benda-benda kecil dan bodoh-bodoh itu.”

Namun oleh kerana dia tinggal di kampung yang penduduknya adalah petani, kepandaiannya berkenaan angin, tidak terlalu berguna. Apalah gunanya petani tahu angin jenis apa yang bertiup semasa mereka sedang mencangkul. Tidak ada gunanya juga mereka tahu angin jenis apa yang menghembus semasa mereka sedang berehat memakan ikan kering.

Lalu tinggallah dia dengan minat dan keahliannya berkenaan angin. Selalu juga orang kampung menyuruhnya pindah sahaja ke kampung di hilir. Di sana penduduknya ramai nelayan dan pasti nelayan-nelayan sangat perlukan kepandaiannya berkenaan angin.

Tidak juga dia mahu ke kampung hilir. Katanya, “Tidak akan sama angin di sana dengan angin di sini. Di sini anginnya lebih damai dan tidak masin.”

Ada juga orang kampung yang mengambil jalan mudah dengan mengatakan dia gila. Hanya orang gila yang memberikan nama pada setiap perkara yang tidak perlu. Sepertinya angin tadi. Untuk orang biasa, angin yang bertiup itu tetaplah angin dan tidak perlu mereka tahu angin monsun apa dan angin jenis apa yang bertiup. Malah lebih menguatkan hujah mereka, sekiranya nama-nama angin itu penting, pasti ia sudah diajar di sekolah rendah.

Lelaki yang suka angin itu seperti tidak termakan dengan kata-kata orang yang yakin dia gila. Dia akan tetap datang ke padang dengan wajah yang tersenyum lebar lalu mendepakan tangan seperti mahu memeluk angin. Menanti angin menampar tubuhnya dan dia akan menyanyi riang menyambut angin yang tiba.

Sehinggalah pada suatu hari, dia berhenti memuja angin. Dia hanya duduk di rumah sambil mengaji dan kemudiannya menonton televisyen. Apabila orang bertanya mengapa dia sudah tidak berdiri di padang bola, dia enggan menjawab dengan cara yang bersungguh-sungguh tidak mahu menjawab. Sama ada dia pergi mengaji ataupun terus pergi mandi.

Walaupun dia berdiam diri tidak mahu menjawab, orang kampung tetap bersyukur kerana sudah kurang seorang orang gila di kampung. Tidak akan ada lagi dosa kerana menuduh dia gila ataupun menghina kerana dia hanya tahu berkenaan angin.

Pada suatu hari, pada saat dia sedang menonton televisyen, seorang orang kampung cuba-cuba duduk di sebelahnya dan dia tanpa dipinta mula berkata.

“Kamu mahu tahu, akhirnya saya baru tahu bahawa angin ribut, angin monsun, angin barat daya itu belum apa-apa berbanding angin yang satu ini.”

Orang kampung hanya menjeling. Bersyukur juga kerana akhirnya lelaki yang pernah menyukai angin itu akhirnya mahu bercakap.

“Oleh kerana angin inilah aku malas mahu menjawab soalan-soalan orang kampung.”

Orang kampung itu terus memasang telinga.

“Aku sekarang sedang dalam keadaan angin gembira. Sebelum ini aku dalam keadaan angin malas. Malam nanti mungkin, angin marah aku akan datang. Angin marah ini harus kita berjaga-jaga.”

Tahulah orang kampung, orang yang suka angin itu tetaplah juga menyukai angin dan mengkajinya, tetapi kini dalam bentuk yang sangat berbeza.

Kini angin kegemarannya adalah 'angin pandai'. Katanya, “Angin ini kamu jangan buat main-main. Adanya angin ini, semua orang kamu lihat bodoh. Ia angin yang tidak boleh dibawa berunding, dan automatik semua orang dilihat tidak berdaya dan bodoh-bodoh belaka.”

Tetaplah dia menjadi lelaki yang menyukai angin dan dia memperoleh gelaran baru, lelaki kepala angin.