Thursday, November 25, 2010

Penulis yang begitu

Yakin saya, ada ketikanya kamu akan, ataupun sudah membaca satu karya, dan usai membaca karya itu, terdetik dalam hati kamu, “Saya boleh menuliskan lebih baik daripada ini.”

Ketahuilah, itulah yang akan kamu rasa apabila selesai membaca buku-buku saya. Sengaja saya memberitahu kerana ada yang bertanya, saya ini yang tidak malu mengaku menjadi penulis, sebenarnya penulis yang bagaimana?

Saya penulis yang begitu, yang apabila kamu baca karyanya, kamu yakin kamu boleh menuliskan lebih baik daripada apa yang saya tulis.

Bukanlah saya sengaja mahu menulis begitu, melainkan kerana kekurangan saya juga. Mahu juga saya menulis yang hebatnya meninggi sehingga ke langit dan pembaca saya berkata, “Sampai mati pun saya tidak mampu menulis seindah ini.”

Namun, terhadnya keupayaan saya, saya hanya mampu berangan-angan. Kecewa juga saya kerana selepas berusaha setengah mati tetap juga tulisan saya itu terlihat begitu. Saya memang mati-mati mahu meninggikan harkat penulisan saya, akhirnya bakat saya yang kurang ini berkata lembut,”Maaf, saya hanya mampu membawa kamu setinggi ini.”

Jauh-jauh saya akui, kecewa saya menggunung. Sehingga satu waktu, saya kecewa lagi, namun dalam bentuk yang berbeza. Saya kecewa, mengapa saya dahulu perlu kecewa dengan kekurangan saya?

Semuanya atas ketentuan Tuhan juga. Saya menemui kembali seorang teman yang sangat baik, teliti fikirnya dan berseni tangannya. Pekerjaannya tidak ada kena-mengena dengan penulisan melainkan dia seorang guru pendidikan seni sebuah sekolah rendah.

Sebagai guru pendidikan seni, antara yang dia ajarkan kepada anak muridnya adalah seni membentuk pasu daripada tanah liat. Lalu berbaris-barislah pasu tanah liat di atas mejanya menanti diberi markah. Mengenali dia, saya sangat tahu, tangannya memang tangan yang luar biasa bakat seninya. Apa sahaja yang dia sentuh akan menjadi indah. Malah dia pernah membentuk pasu yang terlihat sangat mahal. Luar biasanya bakat pada tangan dia membuat saya terkagum-kagum.

Atas takdir Tuhan juga, pada hari itu kagum saya kepada dia semakin membesar. Semuanya kerana apabila saya memberitahu dia berkenaan kekurangan bakat penulisan saya dan kecewanya saya pada hal itu, dia dengan gaya seorang guru yang baik terus menunjuk ke arah pasu-pasu yang tersusun elok di atas meja.

Dia mengambil satu pasu yang sangat biasa dan kasar buatannya dan memberikan kepada saya. Teman saya mengaku dengan tersenyum bahawa itu adalah pasu buatannya. Katanya lagi, “Saya sekarang hanya mampu membuat pasu sebegitu. Malah saya selesa menjadi begitu.”

Mulanya terfikir juga saya, mungkin tangan seninya sudah hilang ataupun kerana sibuknya memberi markah kepada murid membuatkan dia lewa pada pekerjaan seni. Namun dia berkata, “Ini bukan kerana saya tidak menghargai seni ataupun apa-apa sahaja yang kamu fikir. Ini kerana manfaat yang saya peroleh daripada pasu biasa ini lebih besar daripada pasu cantik yang saya perbuat.”

Untuk waktu itu, saya tidak tahu atas alasan apa dia berkata begitu. Malah dia berani-berani pula menyamakan pasu biasa dan kasar itu dengan karya penulisan saya. Ya, saya mengaku saya kurang berbakat, namun dicela dengan cara itu secara berhadapan, memang saya tidak mampu menidakkan sakit hati saya dan akhirnya saya berkata, “Mana mungkin perkara yang biasa-biasa itu menjadi lebih banyak manfaatnya daripada perkara yang hebat dan indah. Sekiranya pun kamu mahu membesarkan hati saya, ini bukan jalannya.”

“Saya bukan mahu membesarkan hati kamu. Saya cuma mahu memberitahu kamu betapa untungnya kamu menjadi penulis yang biasa. Penulis yang kurang bakatnya....”

Belum teman saya itu habis bicara pantas saya mencelah dengan wajah yang tidak senang.

“Untung yang bagaimana? Penulis yang kurang bakatnya seperti saya ini, bukunya tidak laku, namanya tidak orang kenal dan jauh-jauh sekali mahu menang sayembara. Karya saya tidak evergreen, dan pasti akan dilupa orang. Lalu untung apanya saya menjadi penulis yang biasa?”

Tersenyum dia. Habis senyumannya dia berkata dengan kata-kata yang saya terus pegang sehingga hari ini.

“Kamu mungkin tidak membuatkan manusia menjadi lebih baik walaupun isi penulisan kamu baik, tetapi kamu tetap memberikan sesuatu yang besar. Saya yakin, kamu akhirnya mungkin sahaja memberikan inspirasi kepada sebilangan kecil manusia yang luar biasa bakat penulisannya bagi menjadi seorang penulis. Pasti sahaja selepas mereka membaca karya kamu terdetik dalam hati mereka, yang mereka mampu menulis lebih baik daripada kamu. Akhirnya, manusia yang berbakat besar itu menjadi penulis dan karya merekalah yang menjadi asbab mengubah manusia lain menjadi lebih baik.

"Itu yang saya perbuat. Hasil seni pasu saya memang tidak akan membuatkan ibu bapa pelajar saya kagum, namun ia memberikan inspirasi kepada pelajar saya bagi membuat yang lebih baik daripada itu. Sesuatu yang membuatkan mereka yakin dengan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Ia akan membuatkan ibu bapa kagum dan gembira kepada anak mereka. Itu jauh lebih bermakna dan bermanfaat kepada saya.”

Terdiam dan terus saya berfikir-fikir pada logik kata-katanya. Saya kira dia sudah selesai dan rupa-rupanya, dia menyimpan kata-kata terbaiknya dan menyambung.

“Kamu barangkali terlupa niat kamu semasa mahu menulis. Niat mahu menuliskan yang baik-baik. Sekiranya sahaja kamu sudah menuliskan yang baik-baik namun dengan cara yang biasa, cara orang yang tidak berbakat, tidak ada apa lagi yang kamu perlu gusar. Mungkin sahaja tulisan kamu itu tidak enak dibaca dan dicaci, dilupa dan tidak evergreen. Biarlah kerana mereka bukan mencaci niat dan isi karya kamu tetapi sebenarnya pada kekurangan bakat kamu.

"Kerana pada akhirnya, kamu akan sedar, mungkin karya kamu manusia akan lupa, tidak nampak di mana baiknya tetapi yakinlah, Allah maha tahu. Dia tahu niat kamu dan tahu apa yang kamu mahu sampaikan. Allah juga tidak akan pernah lupa segala apa yang kamu niatkan. Biarlah manusia lupa karya kamu, asalkan kamu sudah berniat dan berusaha dengan sebaik-baiknya, kerana Allah tidak akan pernah lupa. Rezeki itu tetap Dia juga yang memberi.”

Terus sahaja saya tersedar sesuatu, bahawa sesungguhnya tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia.



Saturday, November 20, 2010

Puteri pencinta hujan

Tidak tahu saya bagaimana mahu mengkhabarkan kisah sebegini. Eloknya kisah sebegini diam-diam sahaja dalam kepala, ataupun terus sahaja tenggelam mati dalam hati.

Lalu pada saat ia bergaung dalam kepala dan terkapai-kapai dalam hati, mahu tidak mahu terpaksa juga saya mengkisahkan kisah yang kecil seperti kaki semut ini.

Bermula daripada hujan yang turun pada setiap petang, kisah ini juga ikut turun bersama. Teringat saya pada saat saya masih dini, belum tahu dunia. Pada ketika itu hujan, saya bersama sepupu berlari-lari keluar rumah dan membiarkan diri ditimpa hujan.

Indahnya waktu itu memang tidak terbanding dengan mana-mana permainan komputer yang kamu kenal sekarang. Hanya semudah itu permainan saya dan sepupu, melompat-lompat dalam hujan, basah dan sesekali mendongak ke langit dengan mulut ternganga. Mahu juga saya merasa air suci yang turunnya ribuan meter dari langit. Aneh, untuk saya pada waktu memikirkan bagaimana air mampu terawang-awang di langit lalu pada suatu waktu yang tidak saya tahu, ia turun berupa titik-titik yang bening.

Rasa aneh itu masih tersisa lagi dan pada ketika hujan merintik saya diam-diam membuang pandang ke luar jendela. Saya gembira memerhatikan titik-titik air yang turun dengan pelbagai gaya, lembut, keras, garang dan malu-malu. Aduhai, besarnya kuasa Tuhan.

Namun ada juga rasa yang sudah hilang seperti air hujan yang hilang ditelan tanah ataupun dihisap matahari. Saya sudah lupa bagaimana rasanya saya dimarah-marah ibu kerana bermain hujan. Saya juga sudah lupa bagaimana rasanya dijeling ayah yang membuat hati kecut seperti kecutnya jari-jari saya kerana sejuknya hujan.

Kini, pada saat saya berhujan di jalan raya pada setiap petang November dan Disember, tidak ada sesiapa lagi yang akan marah-marah dan tidak ada sesiapa lagi yang akan mahu menjeling tajam. Betullah, rindu itu datang pada saat sesuatu itu tersenyum menjadi kenangan.

Namun dalam dunia, perkara apakah yang Tuhan tidak mampu menggantikannya? Sesungguhnya Tuhan itu maha adil. Didatangkan kepada saya seorang puteri manis yang mencintai hujan. Pada ketika hujan turunlah puteri manis saya berteriak-teriak meluru ke pintu mahu menggenggam titik-titik hujan. Ada waktunya dia bukan sekadar berjaya menggenggam titik hujan, malah juga dia berjaya menjadikan titik-titik hujan sebagai baju dan mahkota pada ubun-ubun.

Indahnya aturan Tuhan, pada waktu itu jugalah saya diberi ganti rasa yang baru... rasa bagaimana ibu dan ayah saya dahulu melihat diri saya bermain hujan. Tidak saya sedar, saya sudah menjeling tajam kepada puteri pencinta hujan.

Puteri saya bersama dengan anak sepupu-sepupu saya. Mereka ini yang menjadi pewaris hujan. Anak sepupu saya yang tinggi itu menjadi asbab saya tahu, bahawa UPSR juga ada 6A kerana dia berjaya mendapat 6A UPSR 2010. Tahniah untuk dia.

Sunday, November 07, 2010

Kerana hati lelah ini duduk di kerusi

Bukan salah menulis, namun salah saya juga. Sekiranya sahaja saya nanti terlihat bertubuh tambun, mengertilah sejak dua tiga bulan ini saya seperti manusia yang dirasuk hantu lapar.

Muasalnya kerana saya menulis sesuatu yang membuatkan saya letih. Saya sememangnya sangat letih menulis sesuatu yang terkeluar daripada jiwa. Saya akui, jiwa saya ini kasar. Dahulunya saya ini berkawan-kawan juga dengan orang yang kasar dan malah sampai sekarang saya masih karib dengan orang yang kasar-kasar. Lalu penulisan saya cenderung 'kasar'.

Menulis sesuatu yang bukan saudara pada perkataan 'kasar' membuat saya lelah. Lelah saya memikirkan bagaimana mahu menjadikan idea saya muas dengan perkara yang kurang kasarnya itu. Lelah itu ternyata begitu berkuasa sehingga membengkokkan hati saya menjadi jemawa.

Akhirnya dengan hanya duduk di kerusi, saya menghabiskan banyak sekali nasi bergoreng, daging-daging berlemak, air manis-manis, roti dan biskut berperisa, kurang tidur, stres dan segala macam hal yang membuatkan tubuh saya menjadi tambun.

Bukan salah menulis, salah saya juga yang kurang aturan atau lebih tepat, tiada langsung perancangan. Kebiasaannya saya ini menulis tanpa tahu jalan mana yang harus saya bawa tulisan saya berjalan-jalan. Tanpa bab, tanpa plot dan tanpa watak. Biarlah semuanya mengalir sendiri. Tempatnya tujunya sudah lama tahu, namun jalan ke arah itu saya suka menjadi manusia yang mengembara tanpa perancangan.

Alhamdulillah, selepas beberapa waktu tersesat dalam 'mengembara', untuk seminggu ini mungkin saya boleh menarik nafas panjang kerana selesainya manuskrip novel 'Penulis yang Disayang Tuhan' dan 'Diari Mat Despatch 2'.

Manuskrip yang cuba lari daripada jiwa kasar saya namun tetap juga terselit di sana sini kasarnya. Semoga ia bermanfaat untuk saya, memberi nasihat untuk saya dan kemudiannya, semoga ia bermanfaat untuk semua yang membacanya. Semoga. Amin.