Wednesday, October 24, 2012

Saya dan Hawking

Malam itu saya serba salah. Berada di ruang tamu dengan mendengarkan atap genting ditimpa titis hujan, membuat rasa serba salah berubah menjadi resah.

Di televisyen 32 inci, doku drama tentang Stephen Hawking sudah hampir separuh ditonton.

Sambil itu, mata saya melirik juga pada baldi biru di penjuru rumah. Baju-baju dan seluar saya, 90 peratus ada di dalamnya.

Fikiran saya juga mula menjadi separuh. Separuh pada kisah Hawking dan separuh pada pakaian basah yang saya buntu bagaimana mahu menguruskannya.

Bukan hujan yang salah, tetapi saya yang berlambat-lambat mahu membasuh. Selepas dua minggu, selepas semua pakaian yang ada di dalam almari sudah saya pakai, barulah datang kesedaran, "Aku mesti basuh baju aku!"

Sekarang baju-baju dan seluar itu masih basah di dalam baldi biru dan hujan kedengaran semakin kuat menyanyi.

Hawking pula sudah tersenyum lebar. Teori big bang sudah bermain-main dalam fikirannya. Mungkin pada waktu itu, wajah Profesor Hoyle, yang sentiasa menentangnya juga muncul bersama, namun dalam bentuk yang memberikan rasa ketenangan dan kemenangan.

Saya pula, sudah semakin gusar dan sudah mahu kalah kepada hujan.

Hawking semakin jauh dengan teorinya, dan pada ketika itulah saya terpandang kipas meja saya yang berwarna hijau cair.

Di televisyen Hawking tersenyum kepada nombor-nombor pada papan hijau. Teori bagaimana alam semesta bermula dan akan berakhir sudah dalam kepalanya.

Saya pula tersenyum kepada kipas hijau cair saya. Teori bagi mengakhiri masalah baju basah sudah ada dalam kepala saya.

Kami sama-sama tersenyum.

Thursday, October 11, 2012

pada impian

Dalam mimpi sekalipun, mungkin kita akan menemui perkara ini. Sesuatu yang tidak berjalan seiring dengan naluri. Namun, ia lebih sekadar daripada 'naluri', ia lebih luas, seluasnya tapak tangan kita pada penglihatan kuman. Ia mampu menyangkut soal hati, kemahuan, cita-cita, prinsip, dan apa sahajalah yang ada dalam batang tubuh manusia.

Pada ketika ia tidak sejalan, pada ketika itulah ia menjadi VS.

Mungkin itulah namanya cabaran. Yang bermula dengan Impian VS Realiti. Semasa manusia membina impian yang muluk-muluk, semasa mahu sahaja melangkah ke arah impian itu, manusia dibentangkan realiti yang bersegi-segi. Yang perit tidak tertanggung, yang sakitnya membuat semangat mati.

Itu rasanya terlalu umum dan jauh. Ada VS yang lebih dekat pada diri dan masa sekarang. Misalnya diri saya yang kerjanya sebagai editor. VS itu bermula semasa menghidupkan komputer. Editor VS penulis, Editor VS Pembaca Pruf, Editor VS Pereka Grafik, Editor VS Marketing, Editor VS Sales, Editor VS Pembaca, dan segala macam perkara yang tidak seiringan dengan kemahuan dan naluri editor.

Untuk manusia lain, yang masih menjadi pelajar, yang bekerja kerajaan mungkin VS juga berbeza-beza. Tetapi yang tetap sama, itulah punca kepada ketegangan hidup. Ada yang menganggap itulah yang menyebabkan dunia berputar, ia terlihat wajar dan menjadi tidak ada apa-apa.

Maka itulah saya, menerima semua itu sebagai sesuatu yang wajar. Cuma ada waktunya VS itu tidak menjadi sesuatu yang wajar. Pada ketika ia melibatkan hati dan perasaan yang lebih dalam tanpa kawalan fikiran yang waras. Kewajaran akan hilang dan terkadang ia bertukar menjadi gila, hanya kerana perkataan ini, Cinta.

Bayangkan sahaja siapa yang akan menang sekiranya:

Cinta VS _______.

Letakkan apa sahaja, diruangan kosong itu, dan biasanya cinta yang tetap akan menang. Pelajaran akan tewas, ibu bapa pun biasanya beralah dan lebih sering terjadi Agama juga sering kecundang.

Direnung-renung, mungkin masalahnya ada pada perkataan VS itu sendiri. Apa sahaja yang mahu diberikan VS, usahakan bagi mengubah VS itu menjadi sesuatu yang lebih akrab. Mungkin sesuatu yang bersifat boleh dibawa berunding, sesuatu yang tersenyum baik kepadadiri kita sendiri. Mungkin kata 'kawan' atau 'kerjasama' adalah sesuatu yang lebih manis.

Bayangkan lagi bagaimana mudahnya hidup saya sebagai editor sekiranya, Editor 'Kerjasama' Penulis, Editor 'Kerjasama' Sales, dan seterusnya.

Bayangkan pula bagaimana indahnya Cinta sekiranya, Cinta 'Kawan' Ibu bapa, Cinta 'Kawan' Agama, dan seterusnya. Indah dan semuanya memberi makna yang setinggi-tinggi langit.

Lalu pada ketika semuanya terlihat indah, pada ketika itulah ia menjadi impian dan pada kata impian itulah kita akan sampai pada permainan ini - Impian VS Realiti. Yang kita semua mampu jangka, jenis realiti apa yang sudah menunggu kita di hadapan sana. Realiti yang tidak pernah mesra dengan impian. Yang pasti Impian itu perlukan bantuan, dan bantuan yang manusia ada hanyalah Tuhan. Impian (Tuhan) VS Realiti, insya Allah kita mampu. Amin.