Monday, July 23, 2012

kisah orang Rusia - sebuah fiksyen

Andrey asyik tersenyum. Dia tahu dia sudah menang. Kata-katanya berkenaan sastera yang memetik beberapa nama membuat Dimitri terdiam. 

Mana mungkin lelaki yang tidak punya sekolah seperti Dimitri itu punya upaya menjawab segala hujahnya. Dimitri itu memang bukan tandingannya. Dia yang punyai otak yang geliga, yang akhirnya berjaya menuntut di Novosibirsk State University, sudah pasti tidak mampu dikalahkan oleh pemuda kelahiran ulu Siberia itu.

"Dahulu, kamu belajar di mana?" Akhirnya Dimitri membuka mulut, dengan nada yang berat.

"Novosibirsk State University." Andrey terlihat bangga.

"Bagaimana kamu masuk ke universiti itu?" Dimitri terus bertanya dengan wajah yang rendah diri.

Dengan bangga Andrey bercerita berkenaan bagaimana cemerlangnya dia sejak umur lima tahun. Bertambah bersemangat apabila dia bercerita apa syarat-syarat yang Novosibirsk State University letakkan kepada mereka yang mahu menjadi warganya.

Akhirnya Andrey memberi kesimpulan, "Perlu otak yang pintar untuk ke sana, kerana hanya dengann otak sebegitu ilmu-ilmu yang diperturunkan oleh guru tidak sia-sia."

"Jadi, hujah kamu tadi berdasarkan apa yang guru-guru kamu ajar?" duga Dimitri.

"Ya. Saya ulang apa yang guru saya ajar, dan kamu cukup bertuah mendengarkannya."

"Ternyata kamu tidak belajar apa-apa di universiti," potong Dimitri yang tiba-tiba menjadi yakin nada suaranya.

"Jangan kurang ajar," tegas Andrey.

"Kamu sudah kata, untuk menerima pelajaran di universiti itu perlu otak pintar, perlu lulus segala macam ujian. Kerana hanya dengan cara itu apa yang diajar oleh guru boleh masuk ke dalam kepala. Kamu juga sudah tahu yang saya ini tidak pintar, orang kebanyakan, belajarnya tidak tinggi, otak yang biasa-biasa, tetapi anehnya mengapa kamu mengulang kembali apa yang diajar oleh guru kamu kepada aku? Bagaimana orang yang tidak pintar seperrti aku boleh mengerti kata-kata kamu? Sedangkan apa yang guru kamu ajar itu, memang khusus untuk orang pintar seperti kamu, bukan seperti aku. Tidakkah kamu fikir, kamu ini bukan mahu membuatkan aku faham dan menyelesaikan masalah, tetapi hanya mahu membuatkan kamu terlihat pandai dan aku pun jadi kagum."

Alaxender memerah wajahnya. Dingin hujan St. Petersburg tidak mampu lagi menampung hawa panas daripada hatinya.

"Susah bercakap dengan orang tidak terpelajar seperti kamu."

"Memang susah sekiranya kamu menggunakan jargon-jargon yang hanya khusus untuk ahli akademik seperti kamu. Kamu yang mengaku pandai, cabarlah diri kamu bagi berbahasa mudah dengan saya, orang kebanyakkan. Berbahasa yang saya faham, agar otak saya menjadi sedikit pandai, bukannya menjadi bingung dengan segala macam nama orang yang saya tidak kenal dan segala macam teori yang gah. Apapun aku mengaku, kamu sudah berjaya untuk terlihat pandai, dan kamu sudah berjaya membuat aku kagum. Terima kasihlah atas semua itu."

Usai berkata, Dimitri terus mencapai payung, merentasi jalan berlecak dan hujan yang tiada tanda mahu berhenti.

Monday, July 16, 2012

Kerusi Nan Bercinta

Kerusi panjang itu, dapat menerima dengan baik tiga orang dewasa. Tidak ada tujuan lain, selain memang untuk manusia duduk merehatkan tumit sebelum nombor giliran dipanggil. Sekiranya nombor giliran jauh lagi, memang sangat nikmat bagi duduk di kerusi.

Hari itu, nombor giliran Nan sudah mencapai angka 130, sedangkan nombor yang tertera pada kaunter, baru 50. Segera mata Nan mengalih pada kerusi yang masih kosong, dan semasa melangkah ke sana, seorang lelaki duduk di hujung kanan, dan seorang perempun duduk di hujung kiri kerusi.

Nan berhenti dan memikir. Walaupun masih ada tempat duduk di tengah-tengah, entah mengapa ia sepertinya sudah penuh. Ya, pada mata Nan, ia memang masih kosong, dan dengan saiz punggung Nan, ia memang muat-muat.

Tetapi pada fikiran Nan, ia sudah penuh. Cuba juga Nan berdiri di hadapan mereka, dengan harap lelaki dan perempuan itu, ada yang tersenyum menjemput saya duduk, tetapi hampa.

Wajah mereka adalah wajah yang berkata, "Tolonglah jangan duduk di tengah ini. Berdiri sahaja kamu di tepi pintu sana."

Nan tahu, menyangka-nyangka itu tidak bagus, tetapi Nan pasti itu dalam fikiran mereka, kerana Nan juga pernah berada di hujung kanan dan kiri kerusi itu.

Sekiranya sahaja lelaki dan perempuan di hujung sana tersenyum-senyum sesama mereka, berbual dan kenal mesra, mungkin ada juga ruang untuk Nan duduk mencelah, tetapi sekarang tiada usaha daripada mereka bagi bertemu mata, dan Nan langsung tidak punya daya bagi berbuat sesuatu kecuali kecewa.

Mungkin kerana itulah, dunia tidak pernah aman kerana manusia suka berada dihujung-hujung yang ekstrim. Manusia yang punya peluang berada di tengah-tengah pula, sentiasa ragu dan memilih berdiri di penjuru pintu.

Ah... kerusi Nan bercinta

Friday, July 06, 2012

Ayah cuba juga menunggu - sebuah fiskyen


Matahari, tanpa angin, yang ada hanya pintu yang terbuka. Tidak banyak pilihan, selain duduk di hadapan pintu, memasang rokok sebatang, sambil berharap-harap ada angin yang tersesat. Sambil menunggu angin, dia berusaha juga mengibas-ngibas tubuhnya yang berkeringat dengan baju hitam yang tertulis, 'F**k the system'.

Di belakanganya berdiri seorang lelaki tua yang berpenampilan mahu ke surau. Melangkah sahaja ke pintu, dia berhenti, betul-betul di sebelah lelaki yang tubuh berkeringat.

"Kamu ini, umur sudah masuk jubli perak. Tetapi setiap hari, tetap juga hanya duduk di hadapan pintu. Mahu jadi apa dengan kamu?"

Lelaki itu menghembus asap rokoknya. Berkepul-kepul.

"Ayah mana faham perjuangan saya."

"Bagaimana ayah mahu faham sekiranya setiap hari kamu minta duit daripada ibu kamu? Ibu kamu pula minta daripada ayah. Cubalah kamu ringan-ringankan tangan kamu menanam pisang. Lepas setahun, kamu juga yang berduit."

"Ayah tidak perlulah perli saya."

Lelaki tua itu memilih duduk di anak tangga, mungkin kerana lututnya yang sudah longgar.

"Kamu kata, kamu ini indie, underground, apa lagi? Punk? Hardcore? Kamu fikir ayah tahu apa perkara itu? Ayah langsung tidak faham. Ayah cuma faham, pisang itu sekiranya ditanam sekarang, ada juga yang boleh ditunggu."

Dia semakin kuat menarik asap masuk ke paru-parunya, menghembus hanya sedikit asap. Lega, lalu berkata, "Jadi, ayah tunggu sahajalah. Nanti lihat di mana saya berada."

"Sebenarnya ayah cuba menunggu. Cuba juga membaca sedikit-sedikit tentang apa yang kamu perjuangkan. Lalu kesimpulan daripada itu, apa yang kamu gelar indie, underground dan segala macam itu, semua itu mainan anak orang kaya. Anak-anak orang kaya yang tidak pernah hidup susah, lalu mereka melihat cara hidup yang sukar dan susah sebagai sesuatu yang menarik, sesuatu yang boleh 'dimain-mainkan' dengan kata 'perjuangan'. Oleh kerana itulah mereka terlihat sangat hebat di TV, di majalah. Yang menjadi mangsa, anak-anak orang miskin seperti kamu. Sekiranya mereka tidak makan, tidur di tepi jalan, baju busuk, atau apa sahajalah kesusahan tidak mengapa kerana ayah dan ibu mereka kaya. Mereka tidak perlu risau orang tua mereka yang ada insurans ratusan ribu. Tetapi kamu ini, ayah dan ibu ini sudah tua, jangankan insurans, pencen pun tidak ada. Tabung Haji pun entah bila mahu penuh. Buatlah 'mainan' kamu sendiri, mainan orang miskin."

Lelaki tua itu berhenti, menelan liur, merehat tekak, sebelum menyambung, "Itu, parang, cangkul mainan kamu. Sekiranya tidak suka,tetap ada pilihan, itu surat khabar di ruangan iklan kerja, itulah 'mainan' kamu anak orang miskin."

Rokok sudah habis sebatang, angin tidak ada juga yang menyerbu. Hanya kata-kata lelaki tua itu yang merobohkan telinga.

"Ayah tidak faham. Saya cakap banyak pun, buat penat saya sahaja."

"Ayah memang tidak faham, sekiranya ayah faham mungkin ayah juga seperti kamu, menjerit2 'f**k the system', memakai jeans lusuh, lalu duduk di hadapan pintu. Mungkin kamu lebih suka ayah begitu."

Lelaki tua itu bangun, lalu mengemaskan ikatan kain pelekatnya.

Sunday, July 01, 2012

# 3. Pintu biru pintu merah - sebuah novel

Saya ingat pada kali pertama saya warnakan rambut menjadi merah menyala. Waktu itu, rambut lurus saya masih hitam dan melepasi bahu, dan pada ketika itu lelaki-lelaki sepertinya tidak pernah jemu bersiul setiap kali saya lalu di hadapan, di tepi dan terkadang di belakang mereka pun, mereka menoleh dengan bersemangat, dan bersiul.

Bagi yang pendek lidahnya, sehingga bunyi siulan mereka seperti bunyi angin yang menampar atap zink, mereka berkata, “Jalan seorang sahaja?”

Sedangkan mata mereka masih terang, masih bagus, dan jelas sekali saya berjalan seorang diri. Mengapa perlu bertanya lagi? Lelaki, ternyata mereka memang susah mahu dipercaya. Dalam urusan menjaga mata sekalipun mereka sudah gagal, sedangkan awal kecurangan itu adalah kecurangan mata.

Jadi, entah bagaimana hari itu datang akal bagi mewarnakan rambut saya merah dan hasilnya, saya tidak lagi disiul, cuma saya dipandang pelik, aneh dan terkadang sinis.

Ada jugalah yang saya dengar, “Alien mana pula yang sesat ini?”

Saya tidak marah, tetapi gembira. Setidak-tidaknya, dikeji sebegitu lebih memuaskan hati saya dibanding dengan digoda bagi memuaskan nafsu mereka.

Namun kesannya, tidak ramai yang mahu dekat dengan saya selain rakan-rakan yang sudah tahu saya jenis perempuan yang bagaimana. Baik lelaki ataupun perempuan, pada ketika mereka melihat sahaja rambut merah saya, segera mereka memberikan mimik wajah tidak senang, tidak suka dan mahu menghina.

Sehingga ibu rakan serumah saya yang dahulu mahu anaknya keluar dari rumah sewa kami, dan saya mengalah. Saya yang keluar dan semasa mencari rumah sewa baru, saya temukan iklan mencari rakan serumah.

Dipendekkan cerita, saya bertemu dengan bakal rakan serumah saya itu dan terkejutnya saya, dia perempuan bertudung labuh yang berwajah lembut. Namun itu biasa, yang membuatkan saya tertarik, adalah pada ketika dia berkata, “Assalamualaikum. Ini Hanin? Cantiknya awak.”

Dia jujur dengan kata-katanya itu kerana tidak sekali matanya melirik pada rambut saya, dan matanya terus memandang wajah saya. Dia sepertinya tidak peduli dengan apa yang saya pakai dan siapa saya. Tanpa bertangguh, saya setuju menyewa dan tinggal bersama dia.

Tetapi itu hanya sebab kecil, untuk saya bagi terus serumah dengan dia. Ada sebab lain yang lebih besar, sebab yang membuatkan saya masih terkenang-kenang sehingga sekarang.

Suatu petang Sabtu.
Hari itu, rakan sekolah saya, yang kini bekerja di kelab malam dan mahu bertaubat, mahu benar tahu mengapa saya dapat tinggal serumah dengan orang yang berlainan watak dengan saya.

Dan saya pun bercerita, semuanya bermula pada suatu petang Sabtu. Ketika itu saya sedang bercuti dan rakan saya yang bertudung labuh itu, didatangi pula oleh empat orang rakannya yang juga bertudung labuh.

Saya tahu, mereka datang bukan sekadar datang bagi bertanya khabar, tetapi mereka datang bagi duduk dalam satu bulatan, dan ada buku apalah yang mereka baca, dan mereka juga mencatat apa yang sesama mereka perkatakan. Sempat juga saya mendengar, perkataan Arab, usrah. Ya, mungkin itulah namanya, usrah pada waktu petang.

Saya pula seperti biasa apabila cuti, sekiranya tidak membaca buku, saya menonton DVD, dan itulah petang itu yang saya lakukan. Bezanya, kali ini saya pura-pura tertidur kerana saya malas mahu bermanis wajah dan bersalam-salaman dengan mereka. Memang hari itu, saya menjadi sangat malas.

Selepas beberapa ketika, saya terdengar satu kata-kata yang hampir membuatkan saya terbangun.

“Mengapa awak serumah lagi dengan dia?” Entah siapalah antara mereka berempat itu yang bertanya kepada rakan serumah saya.

“Mengapa? Apa salahnya?” Saya kenal suara itu, suara rakan serumah saya.

“Takkan awak tidak tahu, sekiranya kita serumah dengan pencuri, sekiranya lebih 40 hari aura pencuri akan lekat kepada kita. Awak tidak takut?”

“Dia bukan pencuri!” Tegas rakan serumah saya.

“Ya, itu cuma contoh. Tetapi lihat dia, rambut merah, seksi, tidak solat, awak fikir, awak tidak akan terkena auranya?”

“Daripada dalil mana awak dapat berkenaan aura-aura?” Saya hampir tersenyum mendengarkan soalan rakan serumah saya itu.

“Ayah saya beritahu. Tetapi itu bukan soalnya. Soalnya walaupun awak niat mahu berdakwah sekalipun, adakah awak yakin dapat berdakwah kepada dia? Sudah cukupkah ilmu dan sudah cukup tinggikah iman awak? Paling utama, tidakkah nanti dai menyusahkan awak? Sekarang ini pun, setiap kali ada usrah, dia jeling kita seperti kita mahu minta duit dia pula. Semua itu perlu perkiraan, takut-takut nanti awak pula yang berambut merah.”

Mendengarkan kata-kata itu, saya terasa mahu bangun dan menjerit, “Jahanam! Kau siapa mahu menghakimi aku?” Namun saya sabarkan diri walaupuh terasa tangan sudah bergetar-getar.

“Kita kenal manusia dengan dua cara, jarak dan masa. Dengan jarak, kita dekat dengan mereka dan dengan masa, kita selalu bersama mereka, bukan sehari dua. Jadi, bagaimana awak boleh kata, awak kenal dia sehingga dia boleh mempengaruhi saya sekiranya awak sendiri tidak kenal dekat dan lama dengan dia? Lagipula yang lebih utama, ingat lagi hadis Nabi Muhammad saw?”

Penjelasan rakan serumah saya itu membuatkan saya berdecak kagum. Ternyata dia sangat melindungi saya.

“Hadis yang mana?”

“Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan, dan kejahatan masyarakatnya. Direkodkan oleh Al-Bukhari, Tirmizi dan Ahmad: Ini hadis sahih. Jadi, saya fikir duduk serumah dengan pun sudah kira bergaul dengan masyarakat. Yang paling utama, dia bukanlah seperti yang awak sangkakan. Cubalah berkenal-kenal dengan dia,” jelas rakan serumah saya.

Itulah kata-kata akhir yang saya ingat, sebelum saya betul-betul tidur. Kata-kata yang membuatkan saya semakin senang dengan dia.