Sunday, August 17, 2014

lowest point

Ini bukanlah kisah yang paling lowest point dalam hidup saya. Tetapi ia masih termasuk dalam kisah2 lowest point.
Waktu itu saya tidak berapa sihat dan fikiran melayang. Saya memandu dari Nilai menuju ke Kuala Lumpur, kemudian dalam perjalanan baru perasan, duit tidak ada dalam dompet. Di kereta pun selepas mencari-cari cuma ada rm2. Saya tenangkan hati, yang saya ada kad touch n go, masih boleh lepas tol Sungai Besi. Kemudian teringat kad itu pun sudah kosong.
Saya teringat, ada Shell sebelum tol, dan pasti ada ATM. Saya kembali lega, dan ketika saya singgah, rupa-rupanya tidak ada.

Mahu telefon minta bantuan, rasanya tidak berbaloi. Cuma perlu RM2 lagi bagi membayar tol rm3.80. Saya parking kereta di tepi tol. Kepala rasa berat. Memang tidak ada masalah untuk berjalan jauh2 mencari ATM, tetapi keadaan tubuh waktu itu yang tidak sihat, lantas saya memikirkan cara paling mudah, sesuai dengan kondisi tubuh.
Tidak jauh dari situ kedai kereta terpakai, dan saya nampak ada pekerja Bangla sedang bersantai-santai dan berwajah baik. Saya datang kepada dia dan kata, "Ada RM2?". Niat mahu pinjam, terus dia kata, "tidak ada." Dan suruh saya pergi. Saya akur.
Walaupun pada akhirnya jumpa juga ATM selepas berpeluh-peluh berjalan kaki ke sana sini, tetapi pengalaman dengan Bangla itu, memberi sedar, apabila kita meminta, tidak penting berapa pun nilai yang diminta, walaupun sedikit tetap, yang meminta itu akan berasa sangat rendah diri, berasa sangat pasrah sekiranya permintaan tidak ditunaikan.
Memang itulah yang sepatutnya. Adab orang meminta. Dengan Bangla, baru rm2, tetapi selama ini, dengan Tuhan sudah berjuta2 pemintaan, permintaan yang nilainya melebihi rm2, yang harganya seisi dunia, bagaimana dengan rasa rendah diri itu? Bagaimana dengan rasa 'pasrah', yang manusia ini cuma hamba, tidak layak berasa kecewa apatah lagi marah apabila doa belum dikabulkan Tuhan?
Rasa-rasa itulah, walaupun kecil dan tidak terasa, tetapi itulah rasa-rasa yang menjadikan diri ini sebenar-benarnya manusia yang mengaku hamba Tuhan.

Friday, August 15, 2014

Sebesar seringgit

Yang selalu didengar, kalau tidak ada seringgit manakan ada seribu. Seringgit itulah yang dikumpul2 sampai seribu ringgit.
Hari itu saya belajar lagi istilah, 'kalau tidak ada seringgit manakan ada seribu', dalam bentuk yang berbeza.
Waktu itu saya sedang memberi bengkel penulisan untuk pelajar sekolah menengah.
Saya hidupkan komputer, sambungkan pada projektor. Semasa sedang menyusun bahan bengkel di komputer, saya gunakan dompet bagi menutup pancaran projektor.
Semasa masih tekan sana tekan sini, ada pelajar angkat tangan mahu bertanya. Saya datang ke arah dia dan jawab pertanyaannya. Kemudian ramai lagi yang bertanya sehinggalah seorang angkat tangan dan kata, "Abang projektor berasap."
Saya sudah risau kalau2 rosakkan projektor sekolah. Selepas periksa, rupa2 nya dompet saya yang terbakar dan sudah berlubang.
Saya periksa, dua keping not seringgit ikut berlubang dan, alhamdulillah not seratus terjaga baik, hasil 'pengorbanan', not seringgit.
Terus terdetik dalam hati, 'manakan ada seratus kalau tidak ada 2 ringgit'.
Agaknya, hidup berkeluarga juga begitu.
Manakan ada gelaran suami kalau tidak ada isteri, dan begitu juga sebaliknya. Saling melengkapi. Itulah nilai utama sebuah keluarga.
Namun ia tidak terhad dalam soal 'melengkapi', ia juga termasuk dalam soal 'melindungi'.
Melindungi bukan sahaja fizikal, emosi, aib, dan yang terkadang kita lupa adalah kepercayaan kepada pasangan masing2.
Kerana pada ketika fizikal, emosi dan aib sudah 'dilubangkan' fitnah, pada ketika itu, suami dan isteri masih mampu wujud sekiranya masing2 melindungi dengan rasa saling percaya mempercayai.
Nilai asas yang sering terlepas pandang, yang terkadang nilainya hanya diletak sebesar seringgit.

Wednesday, August 13, 2014

Yang sedap

Yang sedap tentang kata-kata hikmah ini,
'Kesetiaan perempuan diuji pada saat lelaki tidak punya apa2, dan kesetiaan lelaki diuji pada saat dia memiliki segala-galanya'
adalah, ia memberi motivasi kepada suami isteri / pasangan kekasih untuk terus berusaha, saling ingat mengingati, dan saling sayang menyayangi.

realitinya, adalah pada kata 'memiliki segala-galanya'.
Untuk lelaki, 'memiliki segala-galanya', tidaklah bermaksud punya wang juta-juta. Cukup ada wang untuk beli kasut harga rm200. Cukup dia mampu beli sport rim motor kapcai. Itu sudah hampir kepada maksud 'memiliki segala-galanya'.
Perempuan, walaupun pada ketika kamu sanggup menggantung makanan pada pintu rumah lelaki yang tidak bekerja, demi kasih dan berharap suatu hari nanti dia akan ingat, dia memang akan ingat, sama ada makanan yang tergantung itu, ataupun pintu untuk dia keluar mencari yang baru. Bukan mencari siapa yang menggantung makanan.
Lalu kesetiaan itu, perlu jaminan, dan jaminannya datang dalam bentuk pernikahan. Selagi belum bernikah, memberi setia adalah cukup dengan tidak memandang yang lain, tetapi bukan bermakna mengabdi diri.
Menanggung derita setia kepada suami, itu syurga, menanggung sengsara setia kepada lelaki yang bukan suami, itu neraka.

Wednesday, July 23, 2014

berhenti sepenuh hati

Terlalu lama berhenti. Ada waktunya apabila semua perkara mahu ditukarkan menjadi rezeki, apa yang dahulu kita kerjakan dengan hati, kini terpaksa dikerjakan dengan hati-hati.

Dahulu, boleh melakukannya dengan separuh hati, ataupun mungkin hanya suku hati, lalu hasilnya, tetap memberi rasa gembira. Namun untuk menjadikannya rezeki, apa yang dituliskan separuh dan sesuku hati itu, terpaksa diusahakan menjadi sepenuh hati. Kerana yang akan menerima hasilnya bukan diri kita sendiri, tetapi ramai lagi manusia di luar sana.

Iya, yang bagus tentang sepenuh hati, kita akan gembira, orang lain juga akan gembira. Kesannya, kita akan menjadi cepat penat, menjadi lebih takut-takut, yang tetap berakhir kepada letih dan lesu. Fizikal mahupun emosi.

Namun tetaplah itu semua satu proses untuk menjadi manusia yang memberi. Memberi dengan rasa gembira, memberi dengan sepenuh hati. Proses yang nilainya lebih tinggi daripada hasil. Kerana hasil bukan untuk kita, tetapi untuk orang lain yang belum tentu akan menghargai.

Proses untuk kita, kerana Tuhan akan menilai proses, dan akan memberi ganjaran-Nya, dengan kejayaan dunia, ataupun mungkin di akhirat, ataupun mungkin kejayaan di kedua-duanya.

Jadi mohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak ke sini. Masih penat berkejar-kejar, menukar sesuatu yang aku cintai ini, untuk menjadi sesuatu yang prosesnya sepenuh hati.

Apapun, selamat menulis dan selamat membaca untuk rakan-rakan semua.

Wednesday, May 07, 2014

Nanti...

"Akan ada. Nanti."

Kata Laila yang terus sahaja melurut-lurut skrin telefonnya. 

Hati Nad yang sejak tadi tidak mahu diam-diam daripada memikirkan hal itu, menjadi semakin tidak keruan. Jawapan Laila terlalu pendek, untuk soalan yang membabitkan masa hadapan.

"Itu je?" 

"Ya. Cuma itu. Selebihnya kau buat seperti aku."

"Seperti apa?" Nad terus memerhati Laila yang sibuk dengan telefonnya. Seperti ada rasa yang mahu ditumpahkan pada telefon itu. Mungkin rasa yang sudah lama tergantung dalam hati.

"Main game."

"Main game? Aku tanya soal jodoh, kau suruh aku main game?"

"Mengapa terkejut? Kau terkejut sebab, sebenarnya dalam hati kau sudah ada jawapannya. Kau tahu untuk hal jodoh itu adalah rahsia Tuhan. Kau juga sudah tahu, untuk perempuan seperti kita yang malu-malu ini, usaha mencari jodoh yang baik itu, 50 peratus malu, 50 peratus doa, yang semuanya bererti kita hanya mampu berkata-kata, dan berharap-harap dalam hati. Paling utama, kau juga tahu, usaha mencari jodoh yang baik itu, adalah bererti berusaha menjadi perempuan yang baik. Kau tahu semuanya, dan kau masih mahu bertanya. Mengapa?"

Nad diam. Laila menyambung.

"Kerana kau takut, malu kau itu terlalu berlebihan, dan kau sangat takut doa kau tidak dimakbulkan. Kau perlu ingat, semakin perempuan itu malu, semakin jelas mereka pada mata lelaki yang baik. Semakin takut doa kau tidak dimakbulkan, semakin banyak kau berdoa. Jadi, teruslah begitu. InsyaAllah kita akan dipertemukan dengan apa yang terbaik untuk kita."

Lalu Laila terus-terusan melurut skrin telefon, dan Nad pula mula melurut-lurut hatinya.

Thursday, March 06, 2014

Yang mencintai tanpa menghakimi

Dahulu ayah memberikan cinta kepada ibu dengan tanah dan air mata. Kini, saya mahu memberikan cinta kepada dia, hanya dengan kata-kata. Sungguh kerdil benar rasanya diri ini. Hanya dengan kata-kata, saya mengatakan akan memberikan dia dunia, dan seterusnya syurga.

Dia percaya kata-kata saya. Sungguh, kerdil benar rasanya diri ini apabila diberi kepercayaan yang sebesar langit.

Cuma satu pintanya, katanya, "Saya bukan perempuan suci. Terima saya dengan seadanya." 

Apabila saya bertanya, “Apa maksud kamu dengan suci?”

“Kamu lihat, saya tidak bertudung. Lalu perempuan seperti saya ini sering dituduh yang bukan-bukan. Lalu terima saya seadanya.”

Saya tersenyum dan sekali lagi menjanjikan dia dengan kata-kata.

“Saya menerima kamu seadanya.”

“Mengapa?”

“Kerana saya tidak punya kuasa untuk memberi hidayah. Tuhan yang memberi hidayah kepada hamba-hamba-Nya, termasuk kamu. Saya hanya mampu berusaha, untuk memastikan kamu diberi cinta. Diberi kasih. Orang yang diberi cinta, diberi kasih lebih mudah untuk kembali memberi cinta, memberi kasih. Orang yang begitu, lebih disayangi Allah, dan lebih mudah diberi hidayah.”

Dia tersenyum baik, dan saya setuju, senyuman dia adalah senyuman paling indah pernah diberikan oleh mana-mana perempuan kepada saya, kecuali... senyuman ibu.

“Betul?”

Namun tetaplah dia perempuan, yang suka mendengar ulangan kata-kata manis lelaki. Dan saya, mahu memastikan, walaupun saya cuma menjanjikan dia kata-kata, tetapi ia bukan kata-kata palsu.

“Ya. Memperlekeh, memandang sinis manusia lain, hanya mewujudkan benci kepada sesuatu yang indah. Yang indah itu adalah kasih sayang. Tanpa kasih sayang, apakah Tuhan masih mahu memandang kita yang hina ini?”

“Lalu dinikahi saya segera. Cukup dengan kata-kata itu.”

“Harta saya tidak punya.”

“Saya tahu.”

“Lalu mengapa mahu saya menikahi kamu?”

“Kamu lelaki yang punya kata-kata kasih. Kamu lelaki yang berusaha. Nikah akan memudahkan kamu untuk menyara saya, dan nikah juga akan memudahkan saya untuk... mungkin memaksa diri bagi menjadi seperti yang kamu inginkan, jauh-jauh dalam hati kamu.”

“Kamu tahu apa isi hati saya?” Saya tersenyum.

“Ya. Saya tahu. Kamu mahu saya bahagia dunia akhirat. Kerana kamu sayangkan saya.”


Itulah mulanya, kisah saya dan dia. Untuk satu kisah yang bernama cinta. Pada ketika manusia menghakimi dia, saya memilih untuk menyayangi. Tanpa saya sedar, pada ketika manusia menghakimi saya, dia memilih untuk mempercayai.

Sunday, March 02, 2014

Diari Suami Blur

Selepas Diari Mat Despatch, cuba pula buat Diari Suami Blur.‪#‎diarimatdespatch‬ ‪#‎diarisuamiblur‬

Test 3.

Ketakutan dalam hidup akan lebih mudah dihadapi dengan cinta. Itu yang saya cuba lakukan sentiasa. Namun ada waktunya ia hadir pada saat yang tidak terduga.

Hari ulang tahun perkahwinan adalah antara hari yang tanpa saya sedar, menjadi ketakutan itu.

"Abang, selamat ulang tahun."

Isteri saya tersenyum kasih.

"Selamat ulang tahun juga."

Dia mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya lalu memberikan kepada saya.

"Hadiah untuk abang."

Saya tersenyum gembira, namun dalam masa yang sama berdebar-debar. Kotak itu saya buka dan di dalamnya ada seutas jam tangan yang membuatkan saya bergetar.

"Abang suka? Cantikkan. Ada permata di dalamnya. Kristal rasanya. Selepas ini abang akan nampak lebih profesional."

Saya diam sebentar. Saya adalah lelaki yang berambut panjang dan berimej simple. Jam tangan besi dengan butir2 kristal di dalamnya adalah sesuatu yang menyesakkan jiwa. Bagaimana aku nak pakai?

Namun tetap saya berkata, " Cantik sangat. Abang suka terima kasih sayang."

Senyuman pada bibir dia ternyata membuatkan gerun saya hilang. Namun itu tidak cukup.

"Abang pun ada hadiah untuk sayang."

Dengan senyuman yang semakin melebar dia membuka bungkusan yang saya hulurkan.

"Cantikkan kain itu? Sangat sesuai untuk dibuat baju kurung raya."

Senyuman isteri saya hilang. Dia diam sebentar melihat kain itu. Dahi berkerut. Namun tetap kemudian dia tersenyum kembali.

"Cantik, bang. Pandai abang pilih."

Kini senyuman saya pula yang melebar. Dan kami sudah bersama2 menghadapi ketakutan itu dengan cinta.


Test 2.

Cinta itu, bukan apa yang kita lihat, tetapi banyak pada yang kita rasa. Sehingga para pujangga berkata, kita boleh menahan mata daripada melihat benda yang kita tidak mahu, tetapi manakan mampu kita menahan hati daripada merasai rasa yang hadir. 

Itu tidak sepenuhnya saya fahami, dan pada ketika saya mahu memahaminya, ia datang dalam bentuk yang tidak saya sangka.

"Abang, cepatlah. Kan semalam abah dah telefon, esok ada kenduri. Kita kena balik kampung."

Saya yang waktu itu baru sampai, dan baru sempat merehatkan belakang di sofa, memandang perempuan di hadapan saya, yang sentiasa ke sana sini.

"Nak cepat apa? Abang begini pun sudah boleh gerak."

"Kita kena bermalam. Siap2 kanlah barang nak bawa."

Lalu dengan rasa malas yang berat, saya terpaksa bangun mengemas baju yang hendak dibawa. Selesai semuanya, kami menuju ke destinasi, dan di dalam kereta wajah isteri masih terlihat mahu ke sana sini. Sudah terbiasa agaknya jadi sibuk.

"Tuala ada bawa?" Isteri saya bertanya cemas. Entah mengapa cemas sangat.

"Di kampung ada."

"Minyak rambut, deodoran?"

"Ada," dan disusuli angguk bagi memberitahu yang saya memang bawa.

"Berus gigi?"

Saya pula yang memandang isteri saya dan berkata, "Pakai awak punya."

Isteri menjeling tajam.

"Nak geli apa?" Saya menyoal, dan dia hanya terlihat geram.

Saya tersenyum, dan kini mula mengerti, cinta itu adalah berkongsi rasa, tanpa mengira apapun rasanya.


Test 1.

Terkadang, cinta itu bukan kita yang bersuara. Kita cuma diam mendengar, dan anehnya terkadang dia pun juga diam. Itu yang terjadi hari itu, semasa saya turun dari tangga, mahu ke ruang tamu, dan saya terdengar adik ipar saya berkata kepada isteri.

"Kakak ni, dengan saya cakap kuat2, dengan abang cakap bukan main lembut lagi."

Saya tersenyum, dan mula untuk semakin mengerti.

Thursday, January 30, 2014

Yang pernah dicium dahinya - sebuah cerpen

Akan ada banyak waktu, kita didatangkan dengan pelbagai hal untuk kita mengerti, mengapa sesuatu perkara perlu terjadi kepada kita, dan banyak waktu juga kita akan memilih untuk membiarkan dengan alasan bersangka baik. Sehingga hal-hal itu akhirnya bertumpuk-tumpuk di hadapan, menjadi beban, yang lama-lama tidak kita tertanggung apabila ia pecah berderai-derai mencucuk hati.

Berderai.

Waktu itu, usia saya masih remaja, dan waktu itu saya ingat juga, abang saya yang sudah beberapa tahun bernikah, datang ke kampung.

Sewaktu abang mahu bernikah, dengan perempuan kota cantik yang rambutnya warna perang, pernah juga saya mendengar ayah dan ibu berbual tegang.

Ibu berasa abang tidak seharusnya bernikah dengan perempuan yang seksinya seperti ayam betina mahu mencari jantan. Untuk ayah pula fikirannya lain. Kata ayah, “Anak kita itu, sudah dipilih untuk berdakwah dengan cara begitu. Tidak ada salahnya.”

“Tetapi, itu juga mungkin akan merosakkan dia! Dakwah ke mana, dia pun ke mana. Abang jangan lupa, yang kami inilah nanti, perempuan-perempuan yang mampu menarik para lelaki dari syugra untuk masuk ke neraka.”

“Ah, kamu jauh sangat fikirnya, tidak ada apa-apalah. Sangka baik kepada anak kita.”

Akhirnya abang pun bernikah, dan semasa dia datang pada petang itu, beban ayah yang selama ini cuba ditanggung, mulai jatuh satu per satu, apabila melihat cucu perempuannya yang umur baru enam tahun, berpakaian sudah seperti perempuan  di red district.

Ayah berisghtifar panjang. Apa yang diharapkan daripada anak lelakinya itu berkenaan dakwah tidak sampai. Malah memberi risiko yang tidak terbayangkan.

Maka malam itu, pada ketika embun pagi sudah turun, ketika semua sudah lena, dan hanya saya yang curi-curi dengar dari bilik, ayah dan abang berbual dengan penuh kaku di ruang tamu.

Sebenarnya, saya terbangun. Bukan niat mahu curi-curi dengar, dan permulaan perbualan malam itu, saya dengar daripada abang.

“Ayah jangan risau. Tahulah saya didik isteri dan anak saya.”

Suara abang terdengar seperti tidak suka. Mungkin sebelum itu ayah sudah membangkit perkara tentang isteri dan anaknya.

“Ayah bukan apa. Bertahun-tahun juga ayah berkata begitu kepada emak kamu. Malah berkata kepada diri sendiri, yang kamu akan dapat mendidik anak dan isteri kamu, tetapi sampai sekarang, selepas hampir lapan tahun, skirt isteri kamu semakin pendek, rambutnya semakin perang. Malah semakin memilukan ayah, cucu ayah itu yang tidak tahu apa-apa juga terseret sama.”

“Ayah, saya sudah beritahu isteri saya hal itu, dan katanya pada suatu hari nanti, dia akan berubah.”

“Bila?”

“Apabila ikhlas itu sudah sampai dalam hati.”

Aku yang mendengar di balik dinding menggaru-garu kepala, dan menguap dengan penuh hati-hati.

“Anakku, ikhlas itu....” Suara ayah tertahan, sepertinya ada sesuatu yang sangat berat dia mahu sampaikan tetapi tidak sampai.

“Isteri saya tidak mahu hipokrit, dan saya juga tidak mahu isteri saya hipokrit! Bertudung biarlah daripada hati yang ikhlas, bukan kerana hipokrit!”

“Baiklah, ayah setuju kamu tidak mahu hipokrit. Tetapi sekarang kamu agama apa? Isteri kamu agama apa?”

“Islam. Kami Islam. Mengapa tanya?”

“Islam, mahu penganutnya membuat suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Antara suruhan wajib adalah menutup aurat. Ikhlas ataupun tidak, itu tidak ada kena mengena kita sesama manusia. Ikhlas itu diberi oleh Tuhan, dan ia antara kita dengan Tuhan. Jadi, ayah mahu bertanya, siapa yang lebih hipokrit, seseorang yang mengaku Islam tetapi tidak menurut ajaran Islam, ataupun seorang Islam yang menurut ajaran agama tanpa mempedulikan apa kata hatinya sendiri dan orang lain?”

Saya mula berdebar-debar. Mahu sahaja saya meluru keluar melihat wajah abang, tetapi saya fikir, perbincangan anak-beranak itu lebih aman tanpa saya.

Abang diam dan suara ayah terdengar lagi.

“Kamu takut hipokrit kerana tidak ikhlas, sedangkan dalam masa yang sama kamu sedang berbuat hipokrit yang paling besar dalam dunia. Kamu mengaku Islam tetapi tidak menjalankan apa suruhan Islam. Bukankah itu juga hipokrit? Hipokrit yang kamu kata kerana tidak ikhlas itu, sebenarnya adalah pengorbanan dan nilainya pahala. Tetapi hipokrit yang mengaku sebagai Islam tetapi sentiasa beralasan bagi menurut perintah-Nya, adalah hipokrit sejati dan nilainya, kamu sendiri mesti tahu di mana mahu meletaknya.”

Hampir seminit juga saya hanya mendengar bunyi cengkerik dan katak memanggil pasangan. Saya membayangkan ayah sedang menatap abang yang mungkin sedang tertunduk pada waktu itu.

“Kamu jangan salah faham kepada ayah. Ayah bukan mahu mencampuri urusan rumah tangga kamu. Tetapi siapapun kamu sekarang, kamu tetap anak ayah yang ayah pernah dukung semasa kecil, yang pernah ayah cium pipi dahinya. Kamu tetap anak ayah, yang ayah sayang. Ayah tidak mahu masa hadapan akhirat kamu tidak menentu. Apapun ayah hanya berusaha, hidayah itu tetap datangnya daripada Allah, dan semoga kita semua terus mendapat hidayah-Nya.”

Suasana kembali diam, dan saya mula membayangkan waktu itu abang meluru lalu memeluk ayah. Entah mengapa tiba-tiba mata saya menjadi panas, dan ada mula bertakung. Namun dalam masa yang sama, saya tetap mampu tersenyum.