LIMA BULAN SEBELUM
Saya bekerja di sebuah restoran makanan
segera.
“Nak makan sini atau bungkus?”
“Makan sini.”
Itu dialog sehari-hari saya. Kerja yang
perlu untuk saya tersenyum sepanjang lapan jam, dan terkadang 12 jam
sehari. Penat, memang penat. Tetapi itu cuma untuk seminggu semasa
saya mula-mula kerja, kerana pada minggu kedua, saya mula berasa mahu
tiap-tiap hari bekerja. Biar tidak ada cuti.
Semuanya kerana Mia. Dia perempuan yang
membuatkan jantung saya berdegup kencang. Sekiranya kamu menyangka
saya jadi begitu kerana dia cantik, kamu salah. Dia biasa-biasa
sahaja. Cuma tetaplah wajahnya terlihat lembut. Pada ketika dia
senyum kepada pelanggan, masih ada sisa senyumnya ketika dia menoleh
kepada saya. Dan cukuplah itu untuk saya.
Lalu bermula dengan itu saya mula
menyimpan hasrat, mahu dia jadi suri dalam hidup. Saya sendiri
bukannya remaja lagi. Sudah 24 tahun selepas 3 tahun diploma, dan 2
tahun setengah ijazah kerana saya salah susun jadual. Subjek wajib
yang ditawarkan hanya ada pada semester pertama, dan saya perlu
tambah satu semester. Kemudiannya, cari-cari kerja belum ada rezeki.
Daripada habiskan duit ayah ibu, saya bekerja di restoran makanan
segera ini. Katanya jenama tempatan, tetapi sistemnya antarabangsa.
Ayam Goreng KL.
Semuanya berjalan manis, dan pada bulan
kedua, hubungan kami semakin manis tetapi ia masih samar-samar dan
pada hari itu, saya beranikan diri untuk berterus-terang kepada dia,
semasa kami di kaunter, pada ketika pelanggan tiada.
“Mia, kalau saya ajak awak kahwin.
Mahu?” Sambil ekor mata saya melirik.
“Kahwin?” Dia ketawa senang, dan
terlihat gigi putihnya yang tersusun cantik. “Mengapa tiba-tiba?”
“Sebab saya suka awak.”
Mia terus ketawa sopan. Sepertinya,
minta saya itu terlalu lucu. Atau dia fikir saya tidak serius. Yalah,
selama dia di sini, saya tidak pernah berbicara soal cinta, tidak
pernah ada istilah declare, tidak ada dating-dating, dan malah saya
tidak pernah telefon ataupun SMS memujuk rayu.
“Mia, saya serius. Saya memang suka
kepada awak.” Saya terpaksa tegaskan kata-kata saya, supaya Mia
tahu yang saya tidak bergurau, dan ketawa sopan Mia berhenti, diganti
dengan kening terangkat ke arah saya.
“Awak serius?”
“Ya, saya serius. Awak sudi?”
Jelas pipi Mia merah dan dia mula
malu-malu.
“Awak sudi?”
“Awak sudi?”
“Jumpa ayah saya.”
Itulah mulanya, dan saya berjumpa
dengan ayah Mia, seorang pegawai kerajaan yang sentiasa rapi
penampilannya. Lalu seperti kisah-kisah biasa, pada ketika seorang
ayah yang kaya, yang sudah biasa memberikan kesenangan untuk anak
perempuannya, yang bermati-matian mahu melihat anaknya bahagia, pasti
akan berasa sangat ragu-ragu apabila lelaki seperti saya, yang
kerjanya hanya lima ringgit sejam datang meminta anaknya untuk
dibahagiakan.
Waktu itu malam, dan saya bertemu
dengan ayah Mia dengan Mia sekali di sebuah restoran mewah, selepas
saya dapat gaji. Saya perlahan-lahan dan penuh sopan memberitahu ayah
Mia hajat saya dan penuh harap dia menerimanya.
Tetapi ayah Mia lama sekali diamnya
sebelum berkata, “Pak cik berterima kasih kerana kamu mahu menjadi
lelaki sejati. Pak cik kagum kepada kamu. Pak cik kagum kerana kamu
ada ikhtiar hidup, tidak hanya menunggu. Kagum kerana kamu berani
terus berjumpa pak cik kerana soal cinta. Jarang ada lelaki seperti
kamu ini.”
Jawapan awalnya membahagiakan sebelum
dia menyambung, “Tetapi, kamu perlu faham. Ayah mana-mana pun di
dunia ini, akan mahu anaknya bahagia, dan pak cik sangat khuatir,
kamu tidak mampu memberikan bahagia kepada anak pak cik. Memang wang
tidak memberi bahagia, tetapi, tetap pak cik mahu melihat anak pak
cik tersenyum sepanjang bulan. Tidak ada kerut wajah ketika tengah
bulan hanya kerana wang. Bukan pak cik kata, kerja kamu tidak bagus,
tetapi beginilah, anggaplah pak cik ini, sanggup berkorban apa sahaja
demi anak pak cik, dan pak cik hanya mahu yang terbaik untuk dia.
Lalu, dapatkan dahulu kerja yang kamu mampu yakinkan pak cik dan
kemudian, kita lihat apa lagi selepas itu.”
Saya pandang Mia dan berkata, “Mia
sanggup tunggu?”
Mia hanya tunduk dan ayahnya yang
menyahut, “Sekiranya ada jodoh tidak ke mana. Menunggu itu juga
adalah tanda, bahawa jodoh itu ada.”
Malam itu diakhiri dengan keputusan
yang kurang memberi senyum, tetapi tetap ada senyuman yang boleh saya
bawa balik. Senyum kerana ayah Mia merestui, cuma dia seorang ayah
yang sangat bersyarat. Ah, kalau nanti saya jadi ayah, mungkin saya
juga begitu.
Lalu hidup kami terus-teruskan begitu.
Hanya bertemu di tempat kerja. Tidak pernah ke mana-mana berdua.
Selain faktor saya serumah dengan ustaz yang banyak berceramah
tentang adab-adab pergaulan lelaki perempuan, juga kerana ia
menjimatkan kos.
Dua bulan kemudian, semuanya nampak
sempurna, dan saya juga sudah menerima surat untuk temuduga.
Sehinggalah seminggu Mia tidak turun kerja. Apabila saya SMS, dia
cuma kata ada urusan keluarga, dan kemudian dia beritahu dia terpaksa
berhenti kerja.
Selepas itu saya melihat pula sebuah
kad kahwin cantik dan moden di atas meja pengurus, dan di situ
tertulis nama Mia. Saya menahan nafas, dan saya baca berulang-ulang
kali, dan saya tidak salah baca.
Waktu itu, saya mahu sekali merasakan,
'dunia terasa gelap', dan saya tidak merasakan itu. Ia lebih kepada
dunia terasa sangat sepi. Dunia terasa sangat menyakitkan. Mengapa
dengan tiba-tiba sahaja Mia begitu? Tidak ada angin, tidak ada ribut
dan tiba-tiba. Mengapa?
Saya dengan hati yang sudah hancur, dan
dengan bantuan rekod peribadi pekerja, saya pergi ke rumah Mia untuk
pertama kalinya. Rumah Semi D yang cantik, dan waktu itu, Mia ada
bersama dengan ibu, ayah, dan adiknya.
Ketika pertama kali Mia melihat wajah
saya, dia terkejut. Mujur ayahnya mengenali saya dan dengan ramah
menjemput masuk.
Perkara pertama sekali yang saya tanya
selepas duduk di sofa adalah, “Awak kata akan menunggu.”
Mia seperti biasa diam dan ayahnya yang
menjawab, “Bukankah pak cik sudah beritahu, kalau ada jodoh tidak
ke mana. Maknanya, anak ini tidak ada jodoh dengan anak pak cik.
Sekiranya ada jodoh memang akan menunggu tetapi, kerana jodoh tidak
ada, istilah menunggu juga tidak terpakai.”
Saya waktu itu tidak melihat ayah Mia,
dan hanya melihat Mia.
“Mia, setidak-tidaknya, awak beritahu
sahaja saya terus.”
Ayah Mia kerut dahi dan memandang Mia
lalu berkata, “Mia tak beritahu dia lagi?”
“Saya takut awak terluka.”
“Mia, awak ada dua pilihan, dan
kesemua pilihan itu memang akan membuatkan saya luka. Tetapi awak
masih dapat memilih, luka yang paling ringan. Sekiranya awak beritahu
sendiri, ya, tetap saya terluka, tetapi lukanya lebih ringan
berbanding sekiranya saya tahu melalui orang lain. Itu lukanya sangat
dalam, dan awak memilih untuk melukai saya dengan lebih dalam.”
Mia hanya mampu menangis. Dia tidak
berkata apa-apa lagi selepas itu, dan ayahnya pula dengan wajah
tersenyum meminta saya pulang. Saya pun pulang tanpa ada jawapan
untuk semua persoalan saya.
SEHARI SEBELUM
Saya masih bekerja di restoran itu
untuk hari terakhir. Saya sudah tidak mampu lagi bekerja di situ
kerana terlalu banyak, memori yang semuanya mencucuk-cucuk hati.
Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Pedih yang teramat sangat dan
mujurlah, ustaz rakan serumah saya itu kaya dengan nasihat agama, dan
membuatkan saya melihat hidup sebagai manusia yang tidak melanggar
aturan Tuhan itu tetap sebagai pilihan.
Ketika pedih itulah, datang seorang
lelaki tinggi, berpenampilan rapi kemas, berwajah pan Asian, kacak,
ke arah kaunter.
“Makan sini ataupun bungkus?” soal
saya dengan memberi senyuman palsu.
Lelaki itu memandang saya dengan
tatapan penuh belas dan berkata, “Saya datang sini untuk jumpa
awak.”
Saya kerut dahi.
Dia melihat jamnya dan kemudiannya
menyambung, “Mia kata, waktu begini adalah waktu rehat awak.”
Mendengar dia menyebut nama Mia, terus
sahaja jantung saya berdegup kencang. Akhirnya tahulah saya, lelaki
itulah yang akan menikahi Mia esoknya. Lalu kami pun duduk di meja
dengan suasana yang sangat janggal.
“Jangan salahkan Mia. Salahkan saya.
Mia sebenarnya suruh saya beritahu awak sendiri. Suruh saya hantarkan
kad kepada awak. Malangnya saya terlalu sibuk hingga terlupa.”
Dia memberikan saya kad kahwin yang
sama di atas meja pengurus. Saya hanya merenung tanpa tahu, mahu
berkata apa.
“Mia memang ada ceritakan saya
tentang awak. Lalu pada ketika dia memilih saya, saya bertanya kepada
dia, mengapa bukan awak? Jawabnya, ayah dan ibunya lebih suka
sekiranya dia memilih saya. Dan yang awak mungkin sudah tahu tentang
Mia, ayah dan ibunya adalah keutamaannya. Saya juga tanya, tidak
takutkah sekiranya awak nanti akan balas dendam ataupun apa sahaja.
Kamu tahu apa dia jawab?”
Saya tidak berkata apa-apa dan hanya
memandang pelik.
“Dia kata, awak lelaki yang sangat
baik. Dia yakin awak tidak akan melakukan apa-apa sahaja yang bodoh.
Paling utama, Mia yakin, lelaki baik seperti awak, Tuhan akan
gantikan yang lebih baik. Namun tetaplah dia menangis. Saya tahu, dia
juga masih sayangkan awak. Awak jangan risau hal itu. Sebelum saya
masuk meminang, dia memang cintakan awak. Dia tidak pernah
berpura-pura akan hal itu.”
Renungan saya tiba-tiba jadi tajam dan
terus saya menyoal dengan keras, “Sekiranya awak tahu yang Mia
sudah ada kekasih, mengapa awak masuk meminang juga?”
Dia tersenyum pahit dan berkata
perlahan, “Sekiranya saya tahu awal, memang saya tidak akan masuk
meminang dia. Saya hanya tahu selepas itu. Saya juga seperti Mia,
pentingkan ibu bapa saya. Awak pun pasti faham hakikat itu sebab awak
pun seorang anak. Ayah saya dan ayah Mia kawan rapat. Mereka yang
mengatur semua ini, dan saya hanya menurut. Memang saya pernah mahu
putuskan sahaja, tetapi ayah dan ibu saya sangat melarang keras. Dan
saya tidak ada pilihan.”
“Jadi, awak fikir, awak dan Mia akan
hidup bahagia?”
“Saya dan Mia sama sahaja. Sekiranya
ibu bapa kami gembira, insyaAllah kami berdua akan bahagia. Pasangan
yang bahagia, bukan sahaja menjaga hati masing-masing, tetapi juga
menjaga hati ayah dan ibu mereka. Apabila itu mereka dahulukan,
mereka akan faham, rumahtangga adalah proses untuk menjadi suami
isteri dan ibu bapa yang terbaik. Rumahtangga bukan end result. End
result nya nanti di akhirat sana. Di sini kita berusaha, dan cuba
mencari apa sahaja jalan bagi mendapatkan end result yang terbaik di
akhirat. Termasuklah berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di
atas luka.”
“Awak tidak fikir, awak sudah buatkan
saya sakit hati? Teraniaya? Macam mana end result awak nanti?”
“Itulah sebab saya datang ke sini.
Saya mahu minta maaf kepada awak. Maafkan saya dan Mia. Juga, saya
mahu beritahu, saya juga sama seperti awak dahulu. Saya pernah
bercinta dengan seorang gadis yang cantik dan baik, tetapi seperti
awak, saya tidak ada kerja. Lalu cinta saya tidak ke mana-mana kerana
akhirnya gadis itu bernikah dengan seorang lelaki yang kaya. Saya
sempat merana dan keadaan awak jauh lebih baik daripada saya. Jadi,
lihat ini sebagai satu putaran kehidupan. Beberapa tahun nanti,
selepas awak bekerja dan ekonomi awak stabil, awak akan bernikah
dengan perempuan yang ada peminatnya, ada lelaki yang sudah memasang
angan mahu menjadi suaminya, dan waktu itu awak juga sudah melukai
hati lelaki itu. Hidup ini satu kitaran. Hari ini, kita mungkin tidak
dapat menikahi orang yang kita cintai, dan pada suatu hari nanti, ada
orang yang tidak dapat menikahi orang yang mereka cintai kerana kita
menikahi pula orang itu. Jadi, untuk selamat, cuba-cubalah simpan 90%
cinta kamu sebelum bernikah. Dengan 90% cinta itu, ia masih boleh
dikategorikan cinta selepas nikah.”
Itulah kata-kata terakhir yang saya
ingat daripada lelaki itu sebelum saya terus lupa pada dunia akibat
pedihnya hati. Pada hari pernikahan Mia, saya hanya terbaring di dalam
bilik, dengan lengan di atas dahi. Mata berkaca dan hati
meremuk. Cinta, walau apa sahaja nasihat baik-baik lagi indah yang
datang untuk menyapu lukanya, tetap pedihnya akan membuatkan manusia
remuk tidak berdaya. Bezanya, sama ada mereka semakin ingat
Tuhan ataupun semakin lupa kepada-Nya.
1 comment:
Pepatah arab juga mengatakan, 'Cuba campakkan orang yg penuh cinta ke dalam lautan dalam, dia akan timbul dengan seekor ikan yg besar, jika campakkan orang yg kecewa dgn cinta di dalam gudang roti, dia akan mati kelaparan...'
Post a Comment