Thursday, April 26, 2012

Bagaimana saya menjadi menteri - sebuah cerpen

Saya baru satu penggal menjadi Yang Berhormat. Ia perkara yang manis, dan bertambah manis, saya adalah Yang Berhormat di kawasan parlimen, yang bermakna saya punyai elaun yang lebih, punyai kuasa yang lebih dan paling utama, saya berkedudukan cerah menjadi calon menteri kerajaan pusat. Sekiranya tidak menjadi menteri yang punya portfolio tidak mengapa, asalkan tetap menjadi menteri.

Namun, mungkin kerana saya 'orang baru', nama saya belum disebut-sebut lagi sebagai calon menteri. Itu bukan perkara besar kerana, selama empat tahun ini saya sudah membuat persediaan dengan membangkitkan isu-isu besar. Hal alam sekitar, hal pendatang asing, hal pekerjaan, dan atas semua usaha itu, wajah saya sering terpampang di media massa. Saya berjaya membina kredibiliti saya.

Namun untuk beberapa bulan akhir ini, saya perlu 'isu penutup'. Raja bagi segala isu. Isu yang akan membuatkan saya terlihat lebih kredibiliti, terlihat lebih relevan, dan paling utama, saya akan terlihat lebih 'menteri'.

Namun isu apa? Bertambah sukar, saya sudah tahu lawan saya nanti di pilihanraya, seorang tokoh yang lebih kuat kredibilitinya. Jangankan mahu membangkitkan isu, mahu mempertahankan kawasan pun saya sudah ragu-ragu.

Untuk itu, saya mendapatkan dia, seorang yang saya fikir boleh memberikan saya idea, seorang yang saya berikan kerja sebagai setiausaha.

Setiausaha.

Sebenarnya, saya tidak perlukan setiausaha, tetapi saya perlukan seorang penasihat bagi memberikan saya idea, namun kerana dia itu terlalu muda, barusan keluar universiti, maka kata 'penasihat' itu akan menjadi sesuatu yang menjatuhkan kredibiliti. Bagaimana seorang ahli politik seperti saya mendapatkan nasihat seorang yang sangat muda?

Tetapi mengapa saya memilih dia? Kerana dia lulusan agama, dan lulusan agama pasti tahu secara tepat isu apa yang perlu ditimbulkan, kerana saya sudah nekad sepenuh hati, bagi menjuarai isu agama dan seterusnya, saya mahu gunakan isu itu ke atas lawan saya. Isu yang akan membuat saya terlihat jaguh, membuat nama saya dikagumi dan sekaligus digeruni. Namun isu agama berkenaan apa? Murtad? Ekonomi? Pelajaran?

Saya masih samar. Mujur, suatu hari saya mendapat peluang ini, dan itu membuatkan saya gembira.

Perempuan.

Namanya Amir, dan hari itu saya memanggil dia bagi berbincang berkenaan perkara ini.

“Kenal Dato Ayub?” tanya saya tersenyum.

“Kenal.”

“Saya dapat gambar ini.”

Saya menghulurkan dua keping gambar kepada Amir. Hanya kata astaghfirullah yang saya dengar daripada mulutnya.

“Saya sudah panggil sidang akhbar, dan saya mahu kamu tuliskan satu teks berkenaan hal ini. Masukkan semua hadis, nas, dan apa sahajalah yang berkenaan agama. Kali ini, kita ajar dia cukup-cukup.” Arahan saya jelas, dan Amir mendengarkannya dengan wajah yang masih kesal.

“Tetapi Dato', ini aib orang. Mana kita boleh dedahkan,” kata Amir, dan kata itu menyentak hati saya.

“Kalau dia cuma pekebun, ini memang boleh dipanggil aib. Tetapi dia seorang pemimpin kanan parti politik, dan rakyat perlu tahu peribadi dia. Dia kaki perempuan, dan bagaimana kamu fikir kaki perempuan akan memerintah negara?” soal saya tidak puas hati.

“Dato', memang kita boleh dedahkan aib orang itu sekiranya ia bersangkut-paut dengan masyarakat, tetapi ini cuma gambar dia memeluk perempuan. Kita tidak tahu keaslian gambar ini, dan paling utama selama ini kita mengenali Dato Ayub sebagai seorang yang baik. Kata Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin, 'Orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan. Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.”

“Jadi, pertanyaan saya, adakah Dato pernah dengar Dato Ayub ini membuat maksiat sebelum ini? Kerana Ibn Hajar juga berkata, 'Orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat'. Sekiranya pernah dan sudah berkali-kali ditegur, saya memang setuju dengan tindakan Dato'.”

Saya diam mendengar soalannya. Ya, selama ini saya belum pernah lagi mendengar yang buruk-buruk berkenaan Dato Ayub, tetapi dia tetaplah lawan saya nanti. Sekiranya peluang ini dilepaskan, apa lagi yang saya ada?

“Amir, ini politik. Dan sebagai ahli politik, awak perlu faham kata-kata Adlai Stevenson, 'Ahli politik adalah orang yang mendekati semua perkara dengan mulut yang terbuka'. Walaupun itu adalah kritik, tetapi itulah ahli politik, dan dalam perkara ini, saya perlu menanganinya dengan mulut terbuka, bukan dengan diam-diam menyimpan aib. Sekiranya begitu, baik saya jadi bilal masjid sahaja. Hanya memegang mikrofon untuk melaungkan azan,” hujah saya geram.

“Dato', kita tidak boleh menganggap politik sebagai profesion kerana kita cenderung tergelincir. Politik itu kita perlu jadikan sebagai tanggungjawab. Profesion kita mungkin, ahli perniagaan, doktor, guru atau apa sahaja, tetapi kita memasuki politik atas dasar tanggungjawab kerana kata Loius McHenry Howe, 'Anda tidak boleh menjadikan politik sebagai profesion dan kemudian kekal menjadi jujur'. Sekiranya kita melihat politik itu sebagai tanggungjawab kita kepada negara dan paling utama, agama, pasti kita tidak menikam curi seperti ini,” jelas Amir dan membuatkan saya semakin geram.

Tidak tahu pula saya, daripada mana Amir memperoleh nama manusia barat berserta dengan kata-katanya. Selama ini saya fikir, Amir hanya tahu nama-nama Arab.

“Kamu terlalu idealistik. Apa beza profesion dan tanggungjawab? Tanggungjawab itulah profesion dan profesion itulah tanggungjawab. Walaupun Dato Ayub itu memang sudah terkenal kebaikannya, tetapi awak perlu ingat kata-kata Malcom Muggeride, 'Hanya ikan yang mati sahaja berenang mengikut arus'. Lalu, saya bukan ikan mati! Jadi mengapa saya perlu mengikut arus pandangan ramai terhadap Dato Ayub? Sebaik-baik dia, dia tetap manusia, dan inilah peluang saya, awak dan kita bagi membuktikan bahawa Dato Ayub itu tetap punya kelemahan. Dan ini penting kerana saya mahu jadikan ia bukan sekadar isu pilihanraya, tetapi ia menjadi isu nasional, semua Yang Berhormat di seluruh negara dilarang mempunyai saham dalam perniagaan judi dan kelab malam. Mereka juga dilarang masuk ke kelab malam atas alasan apa sekalipun. Tetapi bagi membangkitkan isu itu, saya perlukan 'picu', dan kes Dato Ayub ini adalah 'picu' terbaik! Dan bayangkan, bagaimana nama saya nanti terpampang di akhbar-akhbar?”

Selepas penerangan panjang itu, saya tersenyum sendiri. Ya, segala-gala terlihat sempurna, dan lebih manis, Amir pula terlihat diam.

Saya kembali menyambung, “Awak pun tahu, saya tidak pernah mengambil rasuah, tidak pernah memberi rasuah, dan perniagaan saya tidak menggunakan nama saya. Awak pun tahu, saya ahli politik yang bersih, tidak ada skandal, tetapi apa gunanya semua reputasi itu sekiranya saya tidak menagih simpati rakyat dan seterusnya meraih undi? Awak perlu ingat, rakyat mengundi kerana kemarahan mereka, bukan kerana penghargaan. Kebanyakan orang tidak mengundi untuk apa-apa, melainkan kerana membantah sesuatu. Dan inilah peluang saya bagi membuat rakyat marah kepada Dato Ayub, dan membuat rakyat membantah Dato Ayub dengan mengundi saya.”

“Saya tahu. Itu kata-kata William Munro,” celah Amir serius.

Saya sekali lagi terdiam. Celakanya, Amir tahu ramai nama orang barat. Seketika, saya terfikir amat bahaya juga berbicara dengan Amir kerana dia tidak seperti yang saya tahu. Dia adalah aisberg dan saya adalah Titanic. Saya tidak boleh terus 'melanggar' dia dengan sebarang kata-kata, tetapi saya perlu bijak 'mengemudi' kata-kata saya.

“Dato', memang Dato' akan menang, tetapi kemenangan itu perlu berkat. Sekiranya Dato' gunakan taktik ini, adakah Dato' kira kemenangan Dato' nanti akan berkat? Bagaimana Dato' mahu mentadbir kawasan Parlimen ini tanpa 'sokongan' berkat Allah? Berkat itu tidak terlihat dengan duit yang banyak dan dengan undi yang banyak, tetapi berkat itu akan terlihat pada kemakmuran rakyat di bawah pimpinan kita. Mungkin mereka tidak berpelajaran tinggi, tetapi mereka bahagia. Mungkin hidup mereka susah miskin, tetapi mereka bahagia, Tanpa berkat, mungkin rakyat kita kaya-raya, berpelajaran tinggi, tetapi mereka tidak bahagia. Jadi, sebagai pejuang Dato' pilih yang mana? Kepentingan diri sendiri ataupun kepentingan rakyat?”

Penjelasan Amir berkenaan berkat itu sekali lagi membuat saya geram. Ternyata, Amir ini memang terlihat hebat ilmunya, tetapi pengetahuannya berkenaan politik itu sangat sedikit. Bagaimana dia boleh bangkitkan isu berkat dalam perkara ini? Dan saya perlu memberikan dia hujah yang lebih kuat.

“Amir, orang Melayu kita ini lain. Mereka percaya kepada berkat, tetapi berkat air jampi, berkat doa tok guru, dan selain daripada berkat itu mereka tidak percaya. Jadi bagaimana mereka mahu mendapat berkat sekiranya tidak percaya? Orang kita lebih percaya kepada kata-kata, percaya kepada janji. Jadi bagaimana sekiranya Dato Ayub yang punyai reputasi menggunung itu berjanji kepada mereka? Sedangkan hakikatnya, awak tahu Dato Ayub itu bukan orang baik? Pasti mereka termakan janji dan adakah awak fikir pemerintahan Dato Ayub juga akan membawa berkat? Itulah yang saya khuatirkan. Itulah sifat bangsa kita, dan adalah mustahil mengubahnya melainkan kita ambil peluang ke atas perkara itu, dan inilah peluangnya sekarang.”

Habis sahaja saya berkata, Amir terus tersenyum lalu menyambung, “Saya fikir, bukan orang Melayu sahaja yang mudah termakan janji, tetapi bak kata Nikita Khushchev, 'Ahli-ahli politik umumnya sama sahaja. Mereka berjanji untuk membina jambatan, walaupun di tempat yang tiada sungai.' Jadi semua bangsa di dunia ini sebenarnya mudah termakan janji ahli-ahli politik mereka.”

“Tetapi ini lain Amir. Orang Melayu kita perlu cara yang begini bagi meraih undi mereka. Mereka suka sensasi dan benci kerana mereka mengundi berdasarkan kebencian, dan inilah peluang kita.”

Hanya itu hujah yang mampu saya berikan. Hujah yang saya ulang-ulang. Sebenarnya sekiranya saya tidak berada dalam keadaan marah kepada Amir, pasti hujah saya lebih mantap, sayangnya waktu itu, marah saya kepada budak lepasan universiti itu seperti tidak mampu ditahan-tahan.

Dan bertambah sakit apabila Amir berkata, “Dato, pernah Dato' bertanya mengapa kita orang Melayu ini tidak beragama Kristian? Mengapa kita beragama Islam? Ini kerana, sudah menjadi sifat bangsa kita sangat mudah bertoleransi dengan segala yang lembut dan lunak. Jadi, pendakwah Islam yang datang ke sini dahulu adalah mereka yang lembut dan penuh hikmah bicaranya, dan orang Melayu mudah menerimanya. Berbanding dengan orang Portugis, Belanda, Inggeris yang sangat keras dan memeras. Bayangkan sahaja sekiranya orang Portugis itu lembut dan penuh hikmah, agak-agak Dato, apa agama kita sekarang? Begitu jugalah politik, kita perlu mendatangi orang Melayu dengan hikmah, bukan dengan kemarahan dan kebencian kerana lambat laun perkara itu akan berbalik kepada kita.

Selepas hujah dia itu, saya hanya ingat satu perkara, saya memecat dia kerana bagaimana mungkin saya mampu bekerja dengan orang seperti itu, dan akhirnya, gambar Dato Ayub terdedah juga di akhbar-akhbar, dan lebih utama, saya mengekalkan kerusi Parlimen saya untuk penggal kedua, dan paling manis antara itu, saya sudah menjadi menteri yang berjaya mengusulkan undang-undang, semua Yang Berhormat dilarang mempunyai saham di syarikat kelab malam, judi dan arak. Malah mereka juga tidak dibenarkan masuk ke kelab-kelab malam. Semuanya tanpa lelaki yang bernama Amir.

Tuesday, April 24, 2012

hari terakhir saya melihat perempuan cantik bertudung labuh itu - sebuah cerpen

Mendapatkan cinta perempuan itu tidak pernah sukar untuk saya. Sedari sekolah menengah saya sudah punyai bakat untuk mencintai dan paling utama dicintai. Untuk cinta, saya meminjam kata-kata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, "Cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab.". Pada ketika sebab itu wujud, wujudlah cinta, dan pada ketika sebab itu hilang, hilanglah cinta. Jadi, itulah falsafah saya dalam cinta, wujudkan sebab dan pada ketika sebab itu wujud, cinta perempuan itu akan kau dapat.

Bertambah mudah, untuk perempuan cinta itu wujud bersama wujudnya harapan, dan tugas saya adalah mewujudkan harapan.

Namun, oleh kerana kelebihan itu juga datang dengan satu kekurangan, iaitu saya tidak mampu setia dengan hanya satu cinta, maka banyak waktu juga, sebab itu hilang, dan saya pun hilang cinta. Banyak waktu hati saya tidak luka, adakalanya luka sedikit, tetapi sangat jarang ia parah.

Jadilah saya lelaki yang sering dikutuk kerana mempermainkan perasaan, walaupun hakikatnya saya cuma tidak mampu setia, dan untuk alasan itu saya tidak pernah berasa bersalah.

Pada hari itu juga sama, pada ketika cinta hilang bersama sebab, mujur hati saya cuma luka sedikit, dan tidak saya sangka itulah hari terakhir saya sebagai lelaki romeo.

Bas.

Sudah surut waktu zohor, tetapi saya masih di dalam bas yang berpusing-pusing di kawasan flet murah. Tetapi itu perkara biasa untuk saya. Solat itu, saya tahu wajib tetapi saya tahu juga Allah itu maha pengampun. Selebihnya, saya malas mahu fikir.

Saya melihat ke luar dan tidak ada apa-apa yang dapat saya perhatikan selain dinding flet yang kusam dan pokok-pokok yang tidak terjaga. Manusia hanya ada beberapa orang. Mungkin kerana terik matahari membuatkan mereka lebih suka berbaring di lantai rumah. Malah manusia di dalam bas pun hanya ada lima orang termasuk saya.

Manakala saya, masih tidak tahu ke mana harus dituju. Putus kasih memang sukar dan tidak pasti apa ubatnya, dan antara cara yang sering saya buat, adalah dengan menaiki bas, berjam-jam berlegar di laluan yang sama, namun dengan penumpang-penumpang yang berbeza. Berfikir berkenaan kasih yang tidak sampai dan mula memikirkan nasib hati yang luka.

Lalu pada ketika itulah, pada satu hentian naik seorang perempuan bertudung labuh dan duduk di hadapan sekali, di belakang pemandu bas. Saya hanya memerhati kerana sekilas tadi terlihat wajahnya begitu cantik.

Dengan hati yang luka, dengan kemahiran memikat gadis yang sentiasa siap dan tinggi, dan dua modal yang saya ada iaitu berani dan mulut manis, fikiran saya mula memikirkan sesuatu. Saya tersenyum sendiri lalu bangun dan mula duduk di kerusi bersebelahan perempuan yang bertudung itu.

Hampir lima minit menyediakan diri, saya mula berkata, “Mahu ke mana?”

Perempuan itu tidak menyahut, diam dan saya tahu itu adalah perkara biasa. Pertanyaan pertama memang sering gagal. Apatah lagi dengan pertanyaan yang terlalu kebudak-budakan seperti itu.

“Awak ustazah, ya? Saya mahu tanya satu soalan?” soal saya lagi, selepas meneliti beberapa soalan yang patut saya keluarkan dari kepala.

Perempuan itu tetap diam dan wajahnya sedaya upayanya dipalingkan dari saya. Saya tahu dia sedang terganggu, dan saya tahu itu perkara biasa.

“Mengapa ada rakan saya yang pemabuk bernikah dengan perempuan yang baik-baik? Sedangkan sudah riuh orang berkata, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik? Adakah sebenarnya perempuan yang nampak baik itu jahat, ataupun lelaki yang pemabuk itu yang sebenarnya baik?”

Saya tahu, soalan saya itu adalah soalan yang sangat memancing hati. Walaupun mungkin hari ini tidak dijawab, saya yakin soalan itu akan dibawanya pulang ke rumah, lalu difikirkan sebelum tidur. Dan saya sudah tahu, hari ini cumalah hari pengenalan. Sekiranya ada jodoh, esok dia akan ada di sini lagi, dan soalan itu akan saya tanyakan lagi, dan dia mungkin akan menjawab, dan sekiranya dia tidak menjawab esok, lusa, tulat dan mungkin juga bulan depan barulah dia menjawab.

Pada ketika dia menjawab, pada ketika dia membuka mulut, saya tahu, saya sudah berjaya. Saya tersenyum sendiri dan terus larut dalam rancangan yang tidak pernah gagal. Untuk hari ini, cukuplah dua soalan itu, cukuplah.

Pada ketika kemudian, perempuan bertudung labuh yang cantik itu menekan punat berhenti, tahulah saya dia adalah seorang pelajar universiti. Bas betul-betul berhenti di hadapan universiti yang satu itu.

Dan pada ketika itulah, pada ketika dia mahu turun sesuatu yang saya tidak jangka berlaku. Dia berpaling dan dengan wajah yang nampak tegas dia berkata, “Saya akan jawab soalan itu, sekiranya saudara jawab soalan saya ini.”

“Apa?” Tidak saya menyangka, seawal ini dia membuka mulut, dan seawal itu rancangan saya berjaya.

“Allah itu Maha Pengasih, dan Allah juga Maha Berat Seksa-Nya. Namun, kasih sayang Allah sentiasa mendahului murka-Nya. Jadi, adakah saudara sekarang fikir Allah sedang murka kepada saudara tetapi kerana sifat kasih-Nya, Dia melambatkan seksa-Nya, ataupun saudara sebenarnya dalam rahmat dan kasih sayang Allah, kerana saudara ini sebenarnya seorang yang baik? Sekiranya saudara mengaku, saudara seorang yang baik, beri nombor telefon saudara. Surau kami memang memerlukan seorang penceramah agama seperti saudara. Namun sekiranya saudara tahu yang Allah sedang murka kepada saudara tetapi saudara sekarang masih dalam belas ihsan-Nya, anggaplah soalan saya ini sebagai belas ihsan-Nya yang terakhir sebelum datang murka-Nya. Jadi, saudara yang mana satu?”

Itulah hari terakhir saya melihat perempuan cantik bertudung labuh itu, dan saya tahu, saya sudah diberi soalan yang akan saya fikirkan untuk setiap jam, dan saya masih memikirkan soalan itu sampai sekarang. Soalan yang saya cuba jawab dengan solat-solat yang selama ini saya cuaikan, sambil mengenang kata-kata  Ibnul Qayyim al-Jauziyah, namun tetap sahaja saya tidak berani menjawabnya.

Tuesday, April 17, 2012

Selagi ibu masih di sisi - sebuah cerpen

Hari itu, perasaan saya seperti orang yang ditimpa batu yang berduri. Semuanya berpunca hanya daripada sekeping surat. Sekeping surat yang masih ada di tangan saya. Sekiranya sahaja saya tahu perkara itu, pasti saya tidak mahu terbabit langsung, walaupun cuma sehujung kuku.

Hadiah.

Hari itu, adalah seperti hari-hari biasa saya. Saya duduk di kedai makan, sambil menghirup kopi susu, sambil itu juga saya menyelak akhbar. Dan seperti biasa juga, pasti ada rakan kuliah yang menyertai saya, dan pada hari itu, pasti sudah takdir Tuhan, rakan saya yang seorang ini menyertai saya.

Dengan dia, saya cuma kenal nama. Namanya Jamal. Bin apa saya tidak tahu, lalu apatah lagi hal-hal lain, selain saya tahu dia adalah rakan kuliah saya yang sering duduk satu barisan dengan saya, tetapi tidak pernah duduk sebelah-menyebelah.

Biasanya, kami tidak berbual secara langsung dan perlu orang ketiga barulah kami berbual, dan takdir Tuhan, hari itu tidak ada orang ketiga, dan perbualan saya dan dia terus mengalir. Ternyata, dia seorang yang tahu apa yang mahu dibualkan. Cuma tidaklah hal berat-berat selain hal pelajaran dan hal minat masing-masing.

“Jamal, kamu kata, kamu minat menulis. Cuba kamu masuk peraduan ini,” kata saya lalu menghulurkan akhbar kepada dia.

Dia membaca sepintas lalu sebelum menyerahkan kembali kepada saya.

Dia tersenyum.

“Aku tidak minat masuk peraduan.”

“Bukannya kamu perlu bayar, malah sekiranya kamu menang, kamu pula yang dibayar. Kamukan mengaku penulis.” Saya masih memujuk.

Dia tersenyum lagi.

“Penulis itu ada berjenis-jenis. Aku pun termasuk yang berjenis-jenis itu. Aku jenis penulis yang, malas mahu menghantar karya ke media. Sangat malas dan aku tidak tahu mengapa. Termasuklah pertandingan. Cuma aku sangat rajin menulis. Lagipula, untuk apa menghantar ke media dan masuk peraduan, sekiranya falsafah penulisan aku berbeza dengan editor majalah ataupun juri pertandingan? Bukankah ia sia-sia?”

Sempat juga dua hirup kopi masuk ke perut saya, sebelum saya ada idea bagi membalas hujahnya itu.

“Tetapi, ini pertandingan yang sangat mudah, hanya tulis sepucuk surat kepada ibu. Takkan falsafah penulisan kita berkenaan ibu itu berbeza?” soal saya, dan dia lagi lagi hanya tersenyum. Cuma kali ini dia tidak lagi memberi hujah.

Lalu saya terus berusaha.

“Begini sahajalah, kamu tulis dan aku hantar. Kamu jangan risau. Semuanya percuma.”

Saya tidak tahu mengapa, atas sebab apa dia akhirnya setuju. Adakah kerana dia mahu menjaga hati saya yang sangat bersungguh-sungguh, ataupun kerana tertarik dengan tawaran, yang dia tidak perlu menghantar sendiri. Akhirnya, tulisan dia siap dan saya pun terus menghantarnya ke peraduan itu tanpa membuka lipatannya, dan tanpa membacanya. Yang pasti, saya tahu ia sudah takdir Tuhan.

Surat.

Sebenarnya saya sudah lupa akan perkara itu, sehinggalah pada suatu hari Jamal datang berjumpa saya dengan wajah yang tidak tersenyum.

“Saya menang peraduan itu,” kata Jamal perlahan, dan saya terus melompat-lompat gembira. Bertubi-tubi ucapan tahniah saya berikan kepada dia sebelum dia berkata, “Jujur dengan aku, kamu pernah baca tulisan aku ataupun tidak?”

Saya tergamam. Soalan itu membuatkan saya tidak mampu menjawab lain selain tersengih dan berkata, “Maaf, Jamal. Aku memang belum baca.”

“Jadi, kamu bacalah.”

Sambil tersenyum lemah dia menghulurkan tulisan yang sudah memenangkan dia itu.


Untuk ibu,

Untuk surat ini, saya cuma mahu menuliskan rasa rindu saya kepada ibu, saya cuma mahu mencuba menzahirkan kasih saya kepada ibu, dan saya cuma mahu menumpahkan kekesalan saya kerana surat ini tidak akan saya hantarkan kepada ibu.

Ibu, saya rindu kepada diamnya diri ibu. Ibu tidak banyak bicara tetapi ibu tekun memerhati. Saya tahu, semasa saya turun dari tangga, ibu sudah berdiri di muka pintu memerhati saya, dan pada ketika bayang saya sudah hilang, ibu masih tetap berdiri di situ seperti saya masih ada pada mata ibu.

Saya juga tahu, pada waktu saya sudah lena, ibu diam-diam masuk ke bilik dan memerhati wajah saya. Saya tahu, pada setiap ketika, pada ketika saya sedang memanjat rambutan di hadapan rumah, pada ketika saya bermain bola di halaman rumah, dan malah pada ketika saya sudah duduk jauh dari ibu, ibu masih tekun memerhatikan foto saya, ibu masih setia memerhatikan baju-baju saya, ibu masih tekun memerhatikan tempat tidur saya, dan saya tahu ibu masih tidak jemu memerhatikan bayang-bayang saya di muka pintu.

Maafkan saya ibu, kerana selama ini saya hanya berkata, “Ibu jangalah tengok saya tidur, malu saya.” Maafkan saya ibu kerana saya berkata, “Ibu asyik tengok saya main bola, malu saya dengan kawan.” Maafkan saya ibu, maafkan saya.

Maafkan saya ibu kerana selama ini saya tidak pernah memerhatikan ibu di muka pintu, saya tidak pernah memerhatikan ibu yang mencari rezeki untuk saya, saya tidak pernah memerhatikan ibu yang sedang tidur, saya tidak pernah memerhatikan ibu semasa ibu sedang berdoa untuk saya. Saya langsung tidak pernah mahu memerhatikan ibu. Saya cuma melihat tetapi tidak pernah memerhati dengan hati.

Maafkan saya ibu, kerana saya cuma memerhatikan ibu semasa sudah dikafankan. Maafkan saya ibu kerana hanya memerhatikan ibu semasa diturunkan ke liang lahad. Maafkan saya ibu.

Ibu, saya rindu kepada ibu. Sekarang, tidak ada lagi insan yang memerhatikan saya di muka pintu, tidak ada lagi insan yang memertikan tidur saya, tidak ada lagi insan yang memerhatikan saya dalam doa dan hatinya seperti yang ibu lakukan.

Ya, Allah ampunilah dosa ibu aku, ya Allah. Tempatkanlah dia bersama dengan orang yang beriman. Ampunkan saya, ibu. Ampunkan saya.

Yang tidak sempat memerhatikanmu,
Anakmu.



Usai membaca surat itu, saya tersentak. Sepertinya ada sesuatu di balik mata saya yang mahu keluar. Saya tahan dan cuba tahan.

Namun itu bukanlah akhirnya kerana Jamal menghulurkan saya satu sampul surat.

“Ambillah hadiah kemenangan ini. Untuk awak.”

Segera saya tolak. Itu bukan hak saya dan atas alasan apapun saya tidak berhak untuk hadiah itu, sehinggalah Jamal sekali lagi berkata.

“Hadiah peraduan ini, adalah melancong bersama dengan ibu. Aku sudah tidak punyai ibu. Kamu pula masih ada ibu yang memerhatikan kamu setiap hari. Jadi, anggaplah hadiah saya ini adalah hadiah untuk ibu yang tidak sempat saya bahagiakan. Jagalah ibu kamu baik-baik. Janganlah hanya melihat , tetapi cuba perhatikan ibu kamu, kerana pada kata melihat itu hanya ada 'lihat', tetapi pada kata perhati itu ada 'hati'. Perhatikanlah ibu kamu dengan hati kamu selagi dia masih ada di sisi. Jangan seperti saya, yang hanya mampu memandang dan memerhati nisannya.”

Mendengarkan sahaja duduk hal sebenar, rasa bersalah terus sahaja menyerang hati saya. Sekiranya saya tahu Jamal sudah tidak ada ibu, pasti saya tidak begini. Tetapi saya tahu seperkara, pasti ini atas takdir Tuhan juga. Dan apa yang ada di balik mata saya itu pun keluar juga.

Tuesday, April 10, 2012

rahsia jodoh saya - sebuah cerpen

Melihat kebahagiaan manusia lain dengan apa adanya pada diri kita itu adalah sangat bahagia. Namun pada ketika melihat kebahagiaan orang lain dengan diam-diam melihat segala kekurangan diri sendiri, itu adalah muara segala kepedihan.

Di muara itu, pedih itu akan mengalir perlahan-lahan, lesu tapi pasti ke hulu hati. Dan inilah kisahnya, kisah bagaimana saya akhirnya menegadahkan wajah pada yang namanya bahagia yang pedih.

Tahun akhir.

Tahun terakhir di universiti menjadikan saya perempuan yang kurang terkendali. Tugasan akhir perlu dihantar, harapan ibu bapa juga perlu dijunjung, namun paling membuat saya terjerembap pada namanya pedih, adalah kata-kata mitos yang entah siapa menciptanya.

Kata mereka, “Sekiranya kamu sudah berada pada tahun akhir, tetapi kamu belum punya buah hati, kamu akan sulit mencari jodoh.”

Saya tahu itu mitos, namun tetap sahaja ia mengganggu hati pada ketika mata mahu pejam. Ia seperti nyamuk yang lapar dan menyangka telinga kita adalah tempat meluahkan rasa laparnya.

Saya cuba sabarkan diri, cuba penuhkan waktu dengan segala jenis kesibukan yang saya tahu, namun tetap sahaja kata-kata mitos itu berdatangan masuk ke dalam hati. Jelas, hati saya masih ada celah-celah yang tidak saya ikat rapat-rapat, walaupun sudah segenap usaha saya mencuba.

Bertanya juga saya dalam hati, “Mengapa tidak ada yang mengutuskan surat cinta?”

Untuk pertanyaan itu sering saya jawab dengan penuh rasa rendah diri, “Saya bukan perempuan yang cantik.”

Yang bertambah merisaukan saya adalah pada hari itu, pada ketika saya mahu menyedapkan hati, mahu berkata cinta sebelum nikah itu haram lalu saya bertanya kepada teman sebilik saya yang tinggi ilmunya.

“Kamu tidak fikir cinta sebelum nikah itu haram?”

Dalam tersenyum dia menjawab, “Bercinta tidak haram, yang haram adalah zina. Jadi sekiranya cinta kamu itu mendekatkan kamu kepada zina, kamu boleh fikirkan sendiri hukumnya, dan kamu sendiri tahu menyusun keutamaannya. Jangan salahkan cinta tetapi salahkan diri kamu sendiri. Nabi Muhammad saw sendiri tidak membantah orang bercinta tetapi cinta itu perlu berakhir dengan perkahwinan kerana hanya itu ubatnya cinta. Seperti kisah seorang gadis yatim yang dipinang oleh dua lelaki. Seorang miskin dan seorang kaya. Gadis tadi memilih lelaki miskin tadi atas dasar cinta sedangkan penjaganya memilih lelaki kaya tadi. Apabila perkara itu diajukan kepada Rasulullah, beliau bersabda, 'Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah”. Ini hadis sahih riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Majah.”

Itu jawapan yang saya pegang bersama dengan runsing pada mitos yang saya tidak tahu di mana benarnya. Mujur juga, teman sebilik saya yang cantik, alim dan bijak itu tidak ada teman lelaki. Keadaan itu melegakan hati saya kerana saya tahu, saya tidak sendiri.

Yang paling melegakan saya adalah bicaranya. Katanya, “Jodoh, mati dan rezeki itu rahsia Allah. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada ia datang pada waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita lakukan adalah, lengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan yang taat pada suruhan Allah. Kerana ada waktunya nanti, Allah akan datangkan petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu.”

Lalu berdoa sahajalah yang dapat saya lakukan, dan akhirnya, seperti doa dalam diam saya dijawab Tuhan, dan pada hari itu saya menemukan lelaki ini, lelaki yang membuatkan mitos itu kabur daripada hati saya.

Lelaki.

Dia rakan sekuliah, dan dia seorang yang sangat tekun belajar dan dia cuma kalah tekunnya kepada rakan karibnya sendiri. Markah peperiksaan dia tidak pernah gagal mendapat B ke atas. Pada wajah dia, semua sepakat mengakui, jelas sinar kejayaan di situ. Saya juga melihat perkara itu dan saya akui dalam tidak sedar, hati saya mula terpaut kepada dia.

Namun, perempuan tetaplah perempuan. Malu itu adalah perkara nombor satu. Malahan dengan kacak wajah lelaki itu, saya sangat yakin, setidak-tidaknya dia sudah punya kekasih yang akan diajaknya bernikah usai menerima ijazah.

Itu yang saya yakin sehinggalah pada hari itu, selepas peperiksaan terakhir, pada ketika di luar dewan peperiksaan masih riuh dengan gelak tawa, dia datang kepada saya.

“Saya tidak pandai berkata-kata dan saya masih malu,” ucap dia yang pertama, membuat saya terhairan-hairan.

“Jadi?”

“Begini, biar saya berterus-terang.” Lelaki itu menggaru-garu dahinya yang saya tahu tidak gatal, tetapi gaya itu membuatkan saya semakin tertanya-tanya.

“Begini....” Pada ayat itu juga dia berhenti dan kembali tunduk.

Saya hanya melihat jam, dan apabila melihat saya begitu, wajahnya terlihat risau.

“Begini....”

“Apa yang begini?” soal saya segera.

“Begini, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimana saya mahu mencari perempuan yang baik untuk saya nikahi. Ibu saya menjawab, saya tidak perlu risaukan berkenaan perkara itu. Perkara yang perlu saya risaukan adalah diri saya sendiri. Saya perlu menjadi lelaki yang baik dan pada ketika itu persoalan 'bagaimana mencari perempuan baik' akan selesai dengan sendirinya,” jelas dia panjang.

“Jadi?” soal saya lagi dengan hati yang sudah berdegup kencang.

“Jadi, saya fikir, dalam empat tahun di sini saya sudah berusaha sebaik mungkin menjadi lelaki terbaik, dan saya fikir, lelaki yang baik bukan lelaki yang sekadar menanti jodohnya, tetapi adalah lelaki yang juga mencari, dan itulah yang saya mahu beritahu,” jawab dia dengan tergagap-gagap.

Mendengarkan itu pipi saya menjadi merah. Apa maksud dia? Mengapa tiba-tiba dia berkata begitu kepada saya? Takkan dia.... Tiba-tiba saya berasa saya menjadi perempuan yang sangat bertuah.

“Jadi, saya minta tolong awak, tolong hantarkan surat ini kepada rakan sebilik awak,” kata dia lalu menghulurkan surat bersampul biru muda kepada saya, dan terus rasa bertuah saya hilang entah ke mana, dan terus sahaja merah pipi saya bertambah hangat.

“Sebelum awak salah anggap, ia bukan surat cinta, tetapi ia adalah surat izin mahu berjumpa ayahnya. Jadi saya harap awak tidak anggap saya ini lelaki yang sekadar bermulut manis,” jelas dia dengan bersungguh-sungguh.

Saya tahu, pedih saya sudah bermula. Teman yang membuatkan saya selesa itu juga sudah menerima surat cinta, dan saya? Tetapi saya tetap bahagia kerana teman baik saya itu mendapatkan lelaki yang mendengar kata-kata ibunya, lelaki yang cerah masa hadapannya. Saya bahagia tetapi tetap sahaja ia bahagia yang pedih.

Lalu pada ketika saya memberikan surat sampul biru muda kepada teman sebilik saya, dia berkata, “Sebenarnya, kamu juga mendapat surat yang sama daripada rakan karib lelaki itu. Kamu sangat bertuah.” Lantas dia menghulurkan satu sampul surat putih kepada saya.

Pada sampul surat putih di tangan saya itu, saya tahu seperkara, apapun isinya, ia adalah petunjuk kepada rahsia jodoh saya.

Wednesday, April 04, 2012

"Dik, lama-lama nanti, biasalah." - Sebuah cerpen.

Saya perempuan kampung yang keluarganya miskin. Saya juga perempuan yang bukan sahaja miskin harta, malah miskin ilmu agama, dan saya berjodoh dengan lelaki yang ini. Lelaki yang saya tidak mampu ceritakan dengan hanya satu baris kata-kata.

Pinangan.

Saya ingat lagi hari itu, pada ketika ibu dengan wajah yang tersenyum tidak biasa, datang kepada saya dan berbisik, “Kamu sudah dipinang orang.”

Saya ingat lagi perasaan itu, perasaan seperti buah jambu muda yang tiba-tiba jatuh lalu masuk ke dalam telaga yang gelap, dan terapung-apung di atas air yang tawar. Ya, begitulah perasaannya. Pada satu sisi, berasa ngeri jatuh ke dalam telaga yang gelap, namun pada satu sisi yang lain berasa nyaman kerana diri terapung-apung pada lembut air yang dingin.

Saya tidak kenal lelaki itu, tidak tahu nama dan tidak tahu rupanya bagaimana. Tetapi kata ibu, “Selepas ibu dan ayah, lelaki itu adalah orang yang mampu menjaga kamu dengan sangat baik.”

Itulah pesan ibu yang saya bawa pada hari pertama melihat wajah lelaki itu, selepas akad nikah. Dan saya ingat lagi perasaan itu, saya seperti buah jambu yang diangkat dari telaga lalu diletakkan di atas dulang emas. Sempat jugalah menitik air mata.

Saya ingat juga, pada kali pertama berdua-duan, saya cuma tunduk dan pada ketika lelaki itu mengangkat dagu saya, wajah saya merah, dan dia berkata, “Malu?” Saya cuma diam dan terus tunduk.

Dia tersenyum dan pada ketika itulah, untuk pertama kalinya saya mendengar kata-kata yang akan saya dengar dan ingat sampai bila-bila, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Lalu tahulah saya, lelaki itu cuma seorang buruh yang kerjanya membina bangunan di bandar. Dan pada pertama kali saya melangkah masuk ke rumah sewanya yang sempit di flet tingkat 20, dia berkata, “Maaf, dik. Rumah kita sempit. Lama-lama nanti biasalah.”

Saya menjawab, “Rumah sempit tidak mengapa asalkan tetap ada abang, tetapi cuma satu yang saya takut,” kata saya lalu memandang ke arah tingkap.

“Apa, dik?” Dia menghampiri.

Saya memegang erat lengannya lalu berkata, “Saya takut tinggi.”

Dia tersenyum dan merapat lalu berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Anak.

Saya ingat juga, pada kali pertama dia dengan wajah yang tersenyum lebar berkata, “Mari saya tunjukkan kamu sesuatu.”

Tidak sempat saya berkata apa-apa terus tangan saya ditarik dan dengan megah dia menunjukkan saya sesuatu yang sangat dia banggakan.

“Motosikal untuk kita,” katanya lalu sekali lagi menuntun tangan saya, dan saya tidak tahu bagaimana, saya sudah membonceng di belakangnya sambil memeluknya erat-erat.

“Saya takut,” kata saya pada ketika motosikal itu melaju.

“Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Pada ketika saya mengalami muntah-muntah teruk kerana mengandungkan anak yang pertama, dia tidak pernah merungut membasuh muntah saya yang terkadang terlepas di atas tilam, di lantai, dan terkadang di depan pintu.

Waktu itu, dengan hati yang sangat bersalah saya berkata, “Abang, maafkan saya. Maaf buat abang susah-susah begini.”

“Dik, tidak ada apa yang susah. Lama-lama nanti biasalah.” Dan kata-katanya itu membuatkan saya semakin cinta kepada lelaki itu.

Pada ketika anak pertama lahir, pada ketika terpaksa berjaga malam, dia turut ikut bersama berjaga bagi memujuk si anak yang hanya tahu menangis. Dan dengan lembut, pada ketika jam sudah menunjukkan tiga pagi dia berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Tudung.

Saya tidak tahu, bagaimana pada hari itu dia datang membawa sebungkus plastik hitam dan memberikan kepada saya, dan pada ketika saya membukanya, ada lima helai tudung berlainan warna di dalamnya. Dia dengan tersenyum berkata, “Malangnya nasib kamu, dik, bersuamikan orang jahil seperti abang. Ternyata selama ini abang gagal mendidik kamu menjadi perempuan yang sepatutnya kamu jadi. Mujurlah kata ustaz, tidak ada yang terlambat selagi kita masih bernyawa.”

Lalu sebagai isteri yang sayangkan suami, sejak itu saya tidak lagi mendedahkan rambut, cuma pada ketika hari panas dan saya mengadu dia berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah. Di dunia ini apa sahaja yang lama-lama, kita akan biasa. Berbeza di akhirat, lama-lama di syurga membuatkan kita tidak pernah puas, dan berlama-lama di neraka membuatkan kita semakin sakit. Jadi, di dunia ini, lama-lama nanti biasalah.”


Pada ketika itu juga, lelaki itu mula rajin solatnya. Sekiranya selama ini, dia cuma solat Jumaat, dan kini dia tidak lagi meninggalkan solat fardunya. Saya dengan penuh lembut dipujuk ikut sama bersolat dengan dia, dan pada ketika ada waktunya saya terlihat malas-malas, dia berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Sejak hari itu, selain waktu uzur saya, saya tidak sesekali meninggalkan solat saya. Cuma tetap ada satu pertanyaan dari dahulu yang saya simpan, mengapa ayah menerima pinangan seorang buruh? Dan pada malam itu, soalan saya terjawab.

Buruh.

Seperti malam-malam lainnya, selepas kami berdua pulang dari kelas mengaji, kami akan duduk di ruang tamu sambil berbicara dan pada ketika itulah saya bertanya soalan itu.

“Bagaimana abang, meyakinkan ayah saya bagi menerima pinangan abang?” soal saya sambil teringat masa lalu.

“Abang tidak tahu, tetapi menurut ayah kamu, semua lelaki yang baik-baik di kampung sudah mempunyai isteri. Dan sebagai keluarga yang miskin dan rendah taraf kerana tidak berpendidikan tinggi dalam ilmu dunia mahupun agama, agak sukar anak gadisnya dipinang lelaki yang baik-baik. Jadi ayah kamu mencari lelaki yang berpotensi menjadi lelaki yang baik. Kebetulan pada ketika itu juga abang menyuarakan hasrat hati kepada ibu mahu beristeri. Lalu ibu pun mencari dan ketemulah dengan kamu.”

“Berpotensi menjadi lelaki baik? Bagaimana ayah tahu abang berpotensi?” tanya saya sambil tersenyum tidak percaya.

“Kata ayah kamu, dia menerima abang kerana dia melihat abang sangat menghormati orang alim. Tidak kira imam, guru agama, bilal, dan sesiapa sahaja. Pesan ayah kamu, 'Kita ini orang jahil. Bagus sikap kamu menghormati orang alim, tetapi jangan berhenti di situ. Bercampur-campurlah dengan orang alim dan belajar daripada mereka. Lama-lama nanti biasalah kita dengan cara mereka. Lama-lama nanti, kita pun jadilah seperti mereka'.”

Malam itu tahulah saya, daripada mana lelaki yang saya sayangi itu memperoleh ilham bagi kata-kata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Sudahnya, saya tersenyum malu-malu.

Cinta.

Namun, tidak ada perkara yang terkecuali dalam dunia ini sekiranya ia melibatkan pedih hati. Malah pada kata-kata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.” Juga membuatkan saya sentiasa pilu dan menangis dalam diam.

Takdir Tuhan, pada ketika anak-anak sudah besar, bernikah dan kami mempunyai cucu. Pada ketika kami sudah berpindah taraf daripada golongan miskin menjadi kelas menengah, pada ketika uban sudah memenuhi kepala, dan pada ketika bahagia sudah hampir sempurna, pada ketika itulah Tuhan memberi ingat, tidak ada yang kekal di dunia ini, baik derita mahupun bahagia.

Lelaki itu, suami yang sangat saya sayangi, atas sebab kecelakaan dia terbaring di katil hospital. Menangislah saya dengan sedu-sedan dan pada ketika itulah dia berkata, “Semua orang akan mati, dik.”

Saya tidak mampu berkata apa-apa selain terus membiarkan air mata yang berbicara.

“Janganlah menangis lama-lama. Ingat Allah masih ada. Abang pun sedih memikirkan kamu akan sendiri nanti, tetapi apa daya abang, dik. Pada ketika kamu sendiri nanti, ingatlah, dik, lama-lama nanti kamu biasalah.”

Itulah pesan terakhir dan pertama yang saya rasakan tidak benar, “Dik, lama-lama nanti kamu biasalah.” Walaupun sudah hampir sepuluh tahun, saya masih tidak biasa. Malah, saya tidak akan pernah biasa biarpun untuk seribu tahu. Ternyata, kata-kata itu juga tetap ada pengecualian.

Siang malamlah saya berdoa, semoga di syurga nanti, lelaki yang saya sayangi itu berkata kepada saya dengan kata-kata yang sama, “Dik, lama-lama nanti kamu biasalah.”