Wednesday, July 23, 2014

berhenti sepenuh hati

Terlalu lama berhenti. Ada waktunya apabila semua perkara mahu ditukarkan menjadi rezeki, apa yang dahulu kita kerjakan dengan hati, kini terpaksa dikerjakan dengan hati-hati.

Dahulu, boleh melakukannya dengan separuh hati, ataupun mungkin hanya suku hati, lalu hasilnya, tetap memberi rasa gembira. Namun untuk menjadikannya rezeki, apa yang dituliskan separuh dan sesuku hati itu, terpaksa diusahakan menjadi sepenuh hati. Kerana yang akan menerima hasilnya bukan diri kita sendiri, tetapi ramai lagi manusia di luar sana.

Iya, yang bagus tentang sepenuh hati, kita akan gembira, orang lain juga akan gembira. Kesannya, kita akan menjadi cepat penat, menjadi lebih takut-takut, yang tetap berakhir kepada letih dan lesu. Fizikal mahupun emosi.

Namun tetaplah itu semua satu proses untuk menjadi manusia yang memberi. Memberi dengan rasa gembira, memberi dengan sepenuh hati. Proses yang nilainya lebih tinggi daripada hasil. Kerana hasil bukan untuk kita, tetapi untuk orang lain yang belum tentu akan menghargai.

Proses untuk kita, kerana Tuhan akan menilai proses, dan akan memberi ganjaran-Nya, dengan kejayaan dunia, ataupun mungkin di akhirat, ataupun mungkin kejayaan di kedua-duanya.

Jadi mohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak ke sini. Masih penat berkejar-kejar, menukar sesuatu yang aku cintai ini, untuk menjadi sesuatu yang prosesnya sepenuh hati.

Apapun, selamat menulis dan selamat membaca untuk rakan-rakan semua.