Friday, November 28, 2008

kembang bunga pun tak seindah ini

Mungkin pernah, mungkin juga tidak, tetapi saya yakin kebanyakan daripada kita pernah bertanya ataupun ditanyakan soalan begini oleh sang kekasih.

“Berapa besar cintamu kepada ku?”
“Berapa luas cintamu kepada ku?”
“Berapa tinggi cintamu kepada ku?
“Berapa harum cintamu kepada ku?”

Lalu, mungkin pernah, mungkin juga tidak, tetapi saya yakin kebanyakan daripada kita pernah diberi jawab ataupun menjawab begini kepada sang kekasih.

“Sebesar gunung.”
“Seluas lautan.”
“Setinggi bintang.”
“Seharum kasturi.”

Hakikatnya, mungkin kita pernah, mungkin juga tidak, tetapi saya yakin kebanyakan kita pernah membaca ataupun diberitahu berkenaan kata-kata Sayidina Ali ini.

“Cintai kekasih mu sewajarnya, tidak berlebihan, mungkin sahaja nanti dia akan menjadi musuh mu. Benci musuhmu sewajarnya, kerana mungkin sahaja nanti dia akan menjadi kekasih mu.”

Lalu, usah dipanjangkan kata bagi menjawab soal cinta. Jawab sahaja,

“Saya mencintaimu, sewajarnya, sesederhananya dan seadanya kamu.”

Cinta memang sepatutnya begitu, kerana cinta itu indah, kembang bunga pun tidak seindah ini.

:-)

Sunday, November 23, 2008

sering-sering untuk cinta

Lamanya tidak berbicara berkenaan cinta. Apatah lagi sejak menjadi ayah Elisha, kerana cerita cinta itu lebih manis dilidah untuk didengar berbanding ditulis-tulis untuk dibaca.

Saya hanya mahu menulis, tentang cinta yang gagal. Lalu apabila ia gagal, hanya perlu dua soalan sahaja bagi meredakan hati. Iaitu, 'apakah betul apa yang saya lakukan tadi?' dan 'Selepas ini, bagaimana saya mahu mengekal (ataupun mendapatkan) cinta dengan cara yang berbeza?'

Hanya dua soalan itu. Jangan sesekali bertanya, 'apa perkara jelek yang ada pada diri sehingga cinta ditolak?' Jangan tanya 'apa silap saya?' Yang penting, jangan sesekali melihat pada aspek negatif, kerana tanpa sedar, fikiran bawah sedar kita akan menyimpan aspek-aspek negatif itu lalu apabila sekali lagi mahu memberi cinta, perkara itu berulang dan terus berulang.

Walaupun dua soalan itu sama sahaja dengan soalan 'apa yang silap pada diri saya?', 'apa yang jelek tentang sikap saya?' tetapi cara ia ditanyakan itu bernada positif. Yang penting, fokus pada pembaikan. Fokus pada hal yang positif. Seandainya kita sering-sering menyenaraikan jawapan yang positif, minda bawah sedar kita akan diprogram untuk memberi yang positif. Kita pula akan mudah memberikan tindak balas positif pada cinta yang dimahu. Seterusnya bisa mengekalkan cinta untuk sampai ke syurga.

Cuba dulu bertanya pada diri. Tetapi jangan hanya sekali, sering-sering, untuk cinta.
:-)

Friday, November 14, 2008

rinai di hati siapa yang tahu

Antara soalan sederhana yang membuat hati saya merinding adalah, “Apakah saya ini baik?”.

Untuk menjawabnya, saya biasanya menjawab dengan jawapan yang juga sederhana, “Biasa-biasa.”

Namun urusannya tidak pernah sesederhana itu. Ada hal lain yang menyeruak lalu menjadi rinai-rinai yang berat dihati.

Yang utama, adalah, mengapa saya menjawab begitu? Tidak memberi jawapan yang utuh. Sedangkan untuk soalan sesederhana itu, jawapan “Ya,” sudah memadai. Yang pasti bukan kerana tidak mahu membangga diri, cuma kerana memang, ada sesuatu yang tidak kena.

Baik itu sendiri sekiranya sekadar mahu mengguna akal, ia cukup subjektif kerana ia berdasarkan hukum nilai yang berbeza. Lalu pertimbangan baik tidak pernah sama sekiranya sekadar mengguna akal. Misalnya di Jepun, seandainya kita berada di kolam mandi umum di mana kebetulan ada wanita sedang bertelanjang di situ, adalah menjadi suatu yang tidak sopan sekiranya kita memalingkan wajah ataupun segera beredar. Bagi pertimbangan nilai masyarakat di sana, ia perbuatan yang tidak baik. Namun pasti hal itu sangat berbeza di Malaysia.

Mujur Islam itu memberikan definisi 'baik' untuk kita. Lalu untuk hati ini yang segan-segan mengaku dirinya baik, pasti kerana ada sesuatu berkenaan Islam yang sudah dilanggar dan untuk itu saya mengaku banyak perkara yang dilanggar. Apa sahaja yang membuat kita ragu-ragu untuk melakukannya atas nama Islam itu adalah suatu yang bukan bernilai 'Islam'. Misalnya, mana pernah artis Islam memakai pakaian menampakkan paha apabila bertemu dengan peguam syariah, kadi, ataupun ulama. Mengapa? Kerana mereka sedar ia bukan definisi 'baik' menurut Islam. Tetapi tanpa sedar di luar sana mereka tetap mengatakan, “Itu cara saya dan ia hak individu.” Ironi.

Lupakan dulu persoalan lambat mengerjakan solat, tertinggal solat Subuh, mata yang liar dan lidah yang celupar. Ambil dahulu contoh yang paling dekat dengan diri saya, saya suka menulis, dan kerana itu sekiranya mengikut Islam, tulisan saya perlu yang baik-baik. Sedangkan ada waktunya saya, tanpa sedar ataupun dengan sedar, sengaja menuliskan hal-hal yang tidak memberikan faedah untuk Islam itu sendiri. Malah terkadang, ia hingga jatuh kepada dosa.

Tidak perlu sebab sebetulnya untuk mempertahankan diri mengapa melakukan hal sebegitu, ia adalah persoalan asas berkenaan iman. Diri ini pada waktu itu, sudah lemah imannya, nafsu merasuk mudah dan iblis terus tertawa bahagia.

Jelas manusia itu lemah, pasti ada saat dan ruang, nafsu berjaya juga merasuk. Bezanya, kecil besar ruang bagi nafsu itu merasuk sahaja. Lalu untuk soalan yang sederhana tadi, “Adakah saya ini baik?” Saya jika boleh, tidak mahu menjawabnya, kerana jawapan yang sebetulnya adalah, “Tidak.”

Tetapi saya tetap manusia yang fitrah cuba belajar daripada kesilapan, dan menuju ke arah kebaikan, pada setiap saat yang saya teringat, saya tetap berdoa semoga pada suatu saat nanti, sekiranya bukan di dunia, saya berharap di akhirat saya mampu menjawab soalan yang sederhana itu dengan jawapan, “Ya.”

Monday, November 10, 2008

Review Ultraman Nexus, suatu ulasan sciocchezza

Kerana sekarang, kebanyakan teman-teman blogger sudah mulai mereview filem, saya kira itu satu trend. Apatah lagi dengan jargon-jargon perfileman yang membuat saya menahan nafas, terpana. Wow. Untuk tidak ketinggalan trend, saya juga mahu ikut mereview. Masalahnya semua filem sudah direview, baik filem pendek juga filem popular. Lalu apa lagi yang tertinggal untuk saya?

Selepas berfikir semalam, saya mengambil kata putus untuk mereview drama Ultraman Nexus yang saya tonton Sabtu lepas, jam 7.00 malam di TV3. Lalu ikutinya dengan hati yang baik-baik saja. :-)

Ultraman Nexus, TV3

Ultraman adalah satu pronomina bagi adiwira, membuat sesiapapun tidak perlu berfikir kedua kali untuk mengaku tahu. Tanyakan pada sesiapa sahaja, baik anak yang baru tahu berbicara sehingga tua yang sudah lupa bagaimana hendak berbicara.

Dalam drama Ultraman Nexus Sabtu lepas, dikisahkan lelaki yang menjadi Ultraman di bumi telah ditangkap oleh suatu pihak yang tidak menyukai kedatangan makhluk asing. Lalu ia berakibat buruk. Raksasa sewenang-wenangnya bermaharajalela merosak bumi Jepun yang kita cintai. Manusia hilang harap dan matahari seumpamanya sudah tidak akan timbul lagi pada esoknya.

Lalu dalam keadaan yang serba bercelaru itu, pasukan yang menjadi sekutu dengan Ultraman telah berusaha membebaskan Ultraman dan berjaya. Ultraman bebas dan selepas mendapat nasihat yang berguna daripada seorang perempuan yang mengatakan, Ultraman harus mengubah cara bertempurnya, Ultraman pun kembali beraksi. Aksinya mencemaskan, penuh ekofrasia, kerana harus berlawan dengan dua raksasa namun akhirnya, ia bersambung ke minggu hadapan. Satu pengakhiran yang saya kira bukan satu tragedi tetapi lebih kepada satu momen yang spekulatif. Umpama pengakhiran dalam drama Sehangat Lantana, TV3.

Menonton Ultraman ini tidak memerlukan kita membanding-bandingkan ia dengan filem Paris dari Perancis, filem yang sudah ditonton oleh dua juta penonton ketika ditayangkan di negara itu. Tidak perlu juga saya menyarankan contoh filem Denmark, After The Wedding yang dicalonkan sebagai filem luar terbaik pada anugerah Oskar 2007.

Bukan kerana mutu Ultraman tidak setaraf atau sebanding dengan filem yang saya sebutkan itu, tetapi Ultraman genrenya berbeza. Ultraman adalah drama bersiri yang punyai proteksia budaya, sedangkan yang saya sebutkan tadi itu filem yang mengembar-gemburkan prosaik akal manusia. Jadi perbandingan apa yang boleh dilakukan bagi mengulas drama Ultraman Nexus? Di sinilah waktunya prosidi drama boleh digunakan.

Ultraman Nexus yang saya tonton pada Sabtu lepas adalah progeni Ultraman yang menyambung kisah perjuangan Ultraman yang terdahulu. Misinya tetap sama, menyelamatkan dunia. Caranya juga tetap sama, menyilangkan tangan lalu pada titik silangan itu keluar leser yang menghancur luluhkan raksasa. Latarnya juga sama, di Jepun, di sebuah kawasan yang sangat malang.

Namun, untuk Ultraman yang bergaya monoton sejak berzaman, apa yang menjadi tarikan untuk terus-terusan ditayang lalu ditonton? Daripada segi tema, Ultraman bolehlah dirujuk sebagai ikon perjuangan bangsa yang sering dimitos juga dilegendakan. Bezanya Ultraman adalah legenda Jepun moden. Ia sama sahaja dengan legenda dan mitos semangat perjuangan Hang Tuah, King Arthur, Amir Hamzah dan seumpamanya. Mereka adalah wira yang punya keupayaan yang luar biasa. Lalu bersandar semangat tema sebegitu, Ultraman tetap evergreen.

Di sebalik tema itu kita juga bakal dilemparkan dengan mesej profetik. Di mana mesej ini ditempelak melalui harapan masyarakat Jepun yang ingin melihat negara mereka aman damai dan jauh daripada gangguan raksasa. Lalu Ultraman Nexus hadir sebagai pesona profetik yang menyuguhkan rakyat Jepun dengan harapan yang bukan sekadar bersifat proforma malah tanpa sengaja ia bersifat prokurasi daripada pihak raksasa dan Ultraman. Yang menjadi mangsanya adalah rakyat Jepun. Mungkin drama Jangan Main Belakang tepat dijadikan bandingan tema.

Untuk menyelami motif yang tergurat, kita tidak perlu berada di Jepun kerana Ultraman Nexus memberikan kita kesimpulan yang apriori atau deduktif. Kesimpulan yang dibuat daripada umum kepada yang khusus dan berdasarkan fakta yang bertolak daripada sebab akibat. Kerana raksasa menyerang, rumah hancur dan kerana Ultraman memberikan sinar leser, raksasa luluh berantakan. Ini sesuatu yang cukup mengesankan hati-hati yang mati kerana berpegang dengan prinsip profanitas. Kerana hidup kita juga bertolak dengan prinsip deduktif, kita ada kerana kita hamba yang perlu menyembah-Nya. Drama Ta'in, TV3 mungkin boleh disinggung bagi tujuan rujukan.

Kritik sosial Ultraman Nexus jelas melalui gambaran raksasa yang terlihat. Raksasa itu boleh digambarkan sebagai pemimpin yang serakah lalu bagi membayangi keserakahan mereka, anak muda yang penuh kreativiti dan patriotik dikambing hitamkan. Anak muda itu diwakili oleh penduduk di dalam bangunan yang dipijak raksasa. Ultraman pula hadir umpama pemimpin yang tidak mahu daya kreatif anak muda itu dikembiri, cuba melawan dan terus melawan. Kritik humanis juga dapat dikesan melalui orang ramai yang dilanda neurastenia lalu menjerit meminta tolong tanpa sedar yang balai polis pun dipijak raksasa. Tiada lagi gunanya 999 apatah lagi 360, juga 'bersamamu'. Kritik-kritik disensus begini hanya boleh didapati dalam drama, Nun di sana Cintaku, TV2.

Namun Ultraman Nexus tetap karya manusia yang tidak lari daripada kekurangan. Sepanjang durasi 23 minit menonton Ultraman Nexus, konsep sakinah, mawaddah, dan warahmah digambarkan sebagai sesuatu yang bukan aksentuasi. Ia lebih kepada progeria, yakni tua sebelum waktunya. Segala konsep itu terlihat oldies dan ketinggalan zaman sedangkan pada saat darurat raksasa menyerang, sakinah, mawardah dan warahmah itu perlu bagi mengelakkan neorosis dan meneutralkan para neurotik. Namun ia boleh dimaafkan kerana penduduk Jepun rata-ratanya belum mengerti apa itu mawaddah. Drama TV3 Puaka Niyang Rapik adalah drama yang tepat bagi dijadikan misalan.

Pada soal teknikal pula, Ultraman yang sekiranya ditelusuri cara latar belakangnya dibina, mungkin hanya drama 'Akademi Polis' yang mampu menandinginya. Ia cuba tidak bersikap devian tetapi pada masa yang sama ia tetap dibina dengan prinsip dehumanisasi. Manusia tidak perlu selesa. Lalu butir-butir debu yang terapung saat Ultraman terhempas, cukup realistik, begitu juga dengan rumah-rumah kecil yang hancur diinjak raksasa sehinggakan hati kecil saya bertanya, keluarga malang mana yang telah mati beramai-ramai itu?

Pergerakan kameranya mengikut hukum penglihatan kanak-kanak, mudah dan harus seluruhnya. Cukup sederhana dan langsung tidak terlihat unsur deifikasi. Tidak perlu fokus pada jemari Ultraman yang terketar-ketar, tidak perlu fokus pada kaki Ultraman yang sedang menapak perlahan-lahan. Tidak perlu kesan-kesan mendebarkan begitu. Kameranya mencakupi semua pandangan. Teknik yang hanya boleh didapati melalui drama Panggung Seri: Tersasar di Jalanmu di TV1, 8.30 malam Sabtu.

Jalur plotnya juga cukup mencabar hati. Ia berprinsip defoliasi, segala sesuatu itu harus gugur satu per satu lalu menelanjangkan hakikat penceritaan. Kerana kadangkala hati mulai bosan meneka yang betul. Daripada 10 tekaan, tidak ada yang salah. Nah, di sini sekali lagi terserlah kebijakan pembikinan Ultraman. Sebagai perbandingan, ambil masa untuk menonton Drama Bersiri Melayu: Keabadian Cinta pada pukul 4.30 pagi, setiap Ahad. Jangan main-main dengan plot yang dapat diteka betul, dibalik semua itu tersimpul falsafah yang eklektisisme iaitu, tidak semua perkara ada rahsia. Terkadang apa yang kita lihat itu, adalah yang betul tidak ada di sebalik tabir.

Runut-runut bunyi Ultraman juga membuat saya menggeleng kepala. Takjub kerana penerapan prinsip deformatif yang unggul. Apa lagi yang hendak saya katakan, bunyinya indah dikuping telinga. Umpama gula-gula manis yang dikemam-kemam. Seadanya, cukup sederhana. Kita tidak akan terganggu dengan bunyi sehingga merasakan bunyi itu yang mendominasi pandangan. Tidak juga sehingga kita terpaksa bertanya pada diri sendiri apa yang kita dengarkan itu. Mungkin drama Tamil, Karuthu Kalam di TV2 yang mampu memberi rasa yang sama, impak bunyi yang penuh gejolak.

Lalu beralih pada dialog, ternyata Charlie Charpin silap. Silap kerana membuat filem bisu lalu dengan kebisuan itu Charlie Charpin tertinggal deiksis penceritaan. Di dalam drama Ultraman, dialognya membuatkan kita pejam mata menghayati kata bualnya yang penuh empati. Misalnya, “Hati-hati Ultraman.” Kata bual yang kuat semangatnya. Bukan hanya pada pelakon, khusus juga kepada para penonton kerana membuatkan kita terfikir, Ultraman itu juga makhluk biasa, ada kelemahannya dan perlu diingatkan selalu. Belum lagi kata bual yang cukup popular, “Tak guna!” Wah, ini puncak pada kenikmatan mendengar, sekaligus menonton. Kata bual ini bukan sahaja pada waktu amarah malah pada saat kecewa, pada saat gembira, pada saat Ultraman hampir kalah, ia tetap terdengar. Ini mencerminkan tiadanya budaya inziag lalu dilapik dengan kata yang punyai maksud separa intrik. Drama Salam Taj Mahal boleh dijadikan rujukan kerana dialog-dialog hindustannya yang cuba lari daripada konsep disfasia dan disfonia.

Akhir daripada saya, betul, menonton Ultraman Nexus tidak akan membawa kita terbang, tetapi untuk apa kita terbang sekiranya dengan Ultraman Nexus kita boleh menjuntai kaki dari kepala Sphinx sambil menyedut air kelapa ais yang manis. Lalu dapat kamu bayangkan betapa nikmat keadaan waktu itu? Itulah Ultraman Nexus, drama adiwira yang tidak deisme dan tidak juga defaitisme. Ia tahu makna hiburan juga tahu maknanya seni tanpa perlu berusaha keras untuk memberitahu yang ia adalah karya fikir flamboyan untuk masyarakat proletariat.

*Rujukan: TV3, Akhbar Utusan Malaysia, Sabtu 8 November 2008. Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

*Mungkin dalam masa beberapa minggu ini, blog ini akan dipenuhi artikel yang bernada sebegini. Hujung tahun memang meletihkan apatah lagi saat membaca perkara-perkara yang sebetulnya mudah, tetapi dibolak-balikkan lalu akhirnya saya tidak tahu apa yang ditulis. Lalu inilah hasilnya, automatik jiwa saya berlangit ungu, berawan jingga atau mudahnya saya jadi sinikal yang berat. Mujur pelangi saya tetap dua warna. :-P

*sciocchezza (itali) = nonsense

*Hahahaha.....

Monday, November 03, 2008

gadis dan coklat

Dia hanya memerhati coklat di atas meja. Diambil, dibelek-belek lalu kemudian diletak lagi. Entah apa yang membuncah di hatinya sehingga apa sahaja yang berlaku di sekeliling tidak mampu membuyarkan menungannya.

“Kamu kenapa?” tegur seorang temannya yang meriak wajahnya dengan seribu persoalan.

“Coklat ini diberi oleh seorang gadis dan katanya, hatinya umpama coklat,” jawab dia jelas. Dan untuk pertama kalinya dia mempedulikan sekitarnya.

Mungkin untuk pertama kalinya juga, dia dapat menikmati dinginnya bayu petang, juga indahnya sahut-sahutan sang burung. Dia tersenyum.

“Maksudnya?” soal teman dia lagi. Kini giliran dia pula yang memerhati coklat di atas meja.

“Perkara itu yang gadis itu enggan beritahu saya,” jawab dia dan seketika persoalan itu menghapus semburat senyum daripada bibirnya.

“Lalu dengan memerhatikan coklat itu, kamu sudah peroleh jawapannya?”

Dia menggeleng. Tangannya pantas mengambil lagi coklat di atas meja dan sekali lagi membelek-belek perlahan.

“Tetapi semalam saya mengerti sesuatu tentang coklat,” kata dia perlahan.

Temannya hanya mengangkat kening.

“Semalam, sewaktu saya menerima bungkusan coklat ini, coklatnya masih utuh dan manis. Selepas merasanya sedikit, saya meletak kembali di atas meja. Petangnya, saya mahu merasanya lagi. Coklatnya sudah mulai lembut dan mencair ditangan, sehingga-hingganya wajah saya comot. Tetapi coklatnya tetap manis. Lalu saya menyimpannya di peti ais, bagi mengembalikannya ke bentuk asal. Lalu malamnya, saya mahu merasa lagi dan coklatnya menjadi terlalu keras sehinggakan wajah saya berbilur mahu mengunyahnya. Namun rasanya sama, tetap manis,” terang dia dengan panjang lebar.

“Lalu apa yang kamu faham dengan coklat dan hati gadis itu?” tanya temannya sambil mengetuk meja dengan jarinya. Berirama.

Dia diam. Tidak ada jawapan, hanya diam. Lalu sekali lagi dia larut dalam menungannya. Mencari jawapan untuk gadis dan coklat.