Monday, August 03, 2009

Hati yang sulit

Perkara yang tersulit.
Perkara yang paling sulit, adalah menyayangi seseorang dengan sepenuh hati, tanpa menunjukkan perasaan kepadanya. Itu jawapan yang sering menitik dalam kata-kata saya, pada saat ditanyakan berkenaan perkara yang paling sulit.

Namun, pada suatu hari yang senang-senang sahaja, saya akhirnya mengetahui yang jawapan saya itu, belum apa-apa sekiranya mahu dibanding dengan kisah ini. Kisah yang membuat saya sangat mengerti, dan mengubah cara saya melihat makna perkara yang paling sulit dalam hidup.

Kisah yang saya peroleh daripada teman saya, yang saya namakan sahaja sebagai Rahim.

Rahim.
Melempar senyum ke luar jendela adalah antara kepandaian Rahim. Mudah dia berbuat begitu walau hatinya dihimpit ribuan galau, walau hidupnya diasak jajaran pedih. Saya terkagum-kagum, walaupun saya sangat mengerti, dia adalah teman yang punyai rangkaian kisah pilu.

Kisahnya bermula sebagai sebuah kisah yang klise. Seorang anak kampung yang punyai cita-cita tertinggi, mahu membahagiakan keluarga. Itu yang dia terjemahkan dalam sikapnya. Tidak pernah berkurang sikapnya yang menggegarkan hati keluarga dengan doa syukur. Dia adalah seseorang yang sangat boleh diharap.

Namun Rahim tetap juga seorang manusia, punyai segala kekurangan. Punyai segala kelemahan, dan atas kerana sifatnya sebagai manusia itu, Rahim memperoleh perkara yang paling sulit dalam hidupnya, pada waktu yang dia tidak pernah menjangka.

Saudara.
Hidup di kampung saya, adalah hidup yang paling sukar untuk melihat lelaki yang tidak bernikah. Namun, kekecualian tetap ada selagi kita bernama hamba Tuhan, dan di suatu rumah, di hujung kampung saya tinggal seorang lelaki yang tidak bernikah, atas nama putus hati.

Dia adalah lelaki yang kisahnya sering dikisahkan dalam layar seluloid, kisah cinta yang berlainan darjat. Namun, lelaki ini, kisah cintanya yang tidak sampai bukan kerana dia berada pada darjat terendah, melainkan kerana dia berada dalam darjat tertinggi, dan cinta hatinya itu bukan sebangsa, lalu letaknya pada darjat yang berbeza.

Atas itu, bahagia daripada kehidupan lelaki itu seolah-olah terenggut. Hiduplah dia, di kampung saya, sepi, sendiri, dan mengerjakan dengan taat kebun kelapa waris orang tuanya. Bertahun-tahun, sehingga tubuhnya renta, dan hingga pada satu titik, kelapa di kampung saya sudah ikut renta. Namun dia tetap taat, menjadi pekebun kelapa yang miskin.

Lelaki itu adalah bapa saudara Rahim, dan bapa saudaranya itu, tanpa dia tahu, dia bakal mengelus-elus hal yang paling sulit ke dalam hati Rahim... tanpa dia tahu.

Silaturahim.
Rahim, yang hidupnya sudah didedikasikan untuk membahagiakan keluarga, tidak pernah lupa bertanya khabar dengan bapa saudaranya. Untuk bapa saudaranya, Rahim adalah umpama anak kandung yang tidak pernah dia peroleh. Rahim pula tersenyum baik, dan menganggap bapa saudaranya itu sebagai bapanya sendiri. Lalu sesekali, pada saat rezekinya ditambah Tuhan, dia tanpa disuruh-suruh menyumbat wang ke poket bapa saudaranya itu, walau tangan kasar bapa saudaranya, keras menolak, atas nama maruah.

Dan, pada hari itu, seperti yang sering dijunjung dalam cita-citanya, untuk membahagiakan keluarga, dia mengunjungi rumah bapa saudaranya, dengan senyuman dan dengan hati yang cukup tulus.
Langkahnya sopan menjejak ke rumah kayu yang sudah renta, lalu disusul dengan wajah yang membesarkan hati. Dia duduk takzim di tikar buluh bemban yang sudah dicakar-cakar kucing, sopan dan membahagiakan hati yang memandang.

Lalu, mengalirlah perbualan Rahim dengan bapa saudaranya. Bercerita berkenaan kelapa yang semakin kurang, berkhabar berkenaan lutut yang sering sakit-sakit, tangan yang sering kebas, mengadu berkenaan ibu kucing yang sering melarikan ikan dari bawah tudung saji. Semuanya, berkenaan kisah yang kecil-kecil, sepi dan sunyi.

Perbualan itu mengalir baik-baik sehinggalah pada suatu saat, bapa saudara Rahim membelek-belek telefon bimbit murah milik Rahim dengan wajah yang mengandung rasa yang mengharukan.

“Nanti, pakcik pun nak beli telefon. Senang nak bercakap-cakap. Kau tak payah susah-usaha nak datang sini. Bila-bila boleh telefon pakcik,” kata bapa saudara Rahim dengan nada suara yang antara gugup dan tenang, dengan tangan yang masih membelek-belek telefon bimbit Rahim.

Rahim menahan nafas. Dia, sebagai anak saudara yang baik, sangat tahu, betapa mengharukannya hidup bapa saudaranya itu. Menjadi pekebun kelapa yang sudah berlalu zaman makmurnya, pendapatan bapa saudaranya hanya cukup-cukup untuk membayar bil elektrik dan air yang sangat sedikit. Cukup-cukup juga untuk membeli beras buat menampung perutnya sendiri, selain perut-perut kucingnya yang sentiasa lapar.

“Nanti saya belikan pakcik, telefon satu,” ucap Rahim, bersemangat dengan hati yang benar-benar mahu membahagiakan bapa saudaranya itu. Dia mahu membelikan telefon bimbit yang baru, bukan telefon bimbit bekas orang lain, kerana Rahim yakin, itu bukan caranya untuk menunjukkan sayang.

Bapa saudaranya itu, seperti biasa, mengangkat tangan kanan, lalu menggoyang-goyang perlahan, tanda dia punyai maruah, dan usah menyusahkan diri untuk membelikannya telefon. Usah, kerana dia masih mampu untuk itu.

Rahim diam, lalu melempar senyum ke luar jendela, tanpa dia tahu, itulah senyumannya yang terakhir di rumah bapa saudaranya itu.

Hati.
Rahim, bekerja dengan sepenuh hati, untuk menambah rezeki, membeli telefon bimbit untuk bapa saudaranya. Pada setiap kali tubuhnya sudah lelah, hatinya kembali pada keinginan bapa saudaranya yang sepi itu, mahu telefon bimbit, dan lelahnya segera terbang ke langit.

Atas kerana itu, dia, sudah jarang pulang ke kampung. Namun, sering-sering juga dia menelefon ibunya, bertanya khabar semua orang kampung. Melalui ibunya juga dia tahu, bapa saudaranya sering bertanyakan halnya yang sudah lama tidak pulang, lama tidak berbual-bual dengannya. Rahim tersenyum. Hatinya kuat menyimpan rahsia, yang dia sedang berbuat sesuatu untuk bapa saudaranya, supaya mereka lebih sering berbual-bual, dan dia yakin dia akan tiba pada saat itu.

Akhirnya, saat itu tiba. Dengan gajinya yang tidak seberapa, harga telefon bimbit pula langsung tidak bersahabat dengan gajinya, dia terpaksa berjimat untuk beberapa bulan, sebelum akhirnya dia tersenyum apabila membeli sebuah telefon bimbit baru, model yang paling asas untuk bapa saudaranya.

Namun, pada hari itu juga, melalui telefon bimbitnya, dia memperoleh panggilan daripada ibunya yang tersedu-sedu, berkhabar tentang bapa saudaranya. Khabar yang membuat air matanya bergenang-genang.

Kampung.
Rahim, tidak membuang waktu sesaat pun, melesat ke kampung, dan dengan perjalanan yang beberapa jam dari kota, akhirnya dia tiba di rumah dan ibunya dengan mata yang masih merah sudah menunggu di pintu rumah.

“Pakcik mana?” soal Rahim dengan memasang wajah cemas, sesampainya ke hadapan ibunya.

Ibunya tanpa mampu bersuara hanya menunjuk ke arah sebuah bilik, dan dia terus meluru ke arah bilik itu. Di situ, ayahnya sedang duduk menghadap bapa saudaranya yang terbaring, dan Rahim pantas mendekati bapa saudaranya dengan air mata yang sudah bergenang di pelupuk mata.

“Pakcik kamu kena angin ahmar. Doktor beritahu, dia sudah lumpuh sebelah tubuhnya dan tidak mampu lagi bercakap,” beritahu ayahnya yang duduk sambil mengusap belakang tubuh Rahim.

Rahim diam dan air matanya yang bergenang di pelupuk mata sudah merentas pipi. Ingatannya pada telefon bimbit untuk bapa saudaranya itu semakin mengelinjang dalam kepala. Lalu apalah gunanya telefon bimbit untuk manusia yang sudah lumpuh? Sesalnya kini ikut betapuk-tapuk dalam hatinya.

“Pakcik kamu, dari semalam nak sangat berbual dengan kamu. Ayah suruh dia telefon kamu, dia cakap tak nak ganggu kamu,” beritahu ayahnya perlahan.

Rahim tetap diam dengan sedu yang mula mengintip dadanya.

“Saya sudah belikan telefon untuk pakcik. Mengapa....” Rahim tidak mampu meneruskan kata-katanya. Ayahnya segera memeluk bahunya dan menarik nafas panjang.

“Jangan cakap begitu. Kamu seperti mahu salahkan perancangan Tuhan. Tuhan tidak pernah salah,” ucap ayahnya, tegas namun lembut.

“Tetapi, saya....” Rahim masih tidak mampu meneruskan kata-katanya. Terus tenggelam di balik sendunya dan dia hanya mampu menjerit dalam hati.

“Tuhan Maha Mengetahui. Dia akan menguji hamba-Nya pada tahap yang hamba mampu menanggung. Dia tidak pernah zalim mahu menguji hamba-Nya pada tahap yang tidak tertanggung. Cuma kita, sebagai hamba-Nya yang sulit mahu mengerti dan mahu mencari jawapan, mengapa ujian itu datang dan mengapa kita yang dipilih. Tetapi Tuhan sudah memberikan kita cara mencari jawapannya, jawapannya ada dalam sabar. Jadi, banyak-banyaklah bersabar, semoga kita temukan jawapannya di sana,” kata ayahnya, panjang lebar dan cukup halus.

Rahim yang masih menitik air matanya, diam, dengan mata yang masih menyorot sendu ke arah bapa saudara yang hanya diam, dan semakin sepi.

Sulit.
Pada saat ini, pada saat saya menulis ini, saya tetap memegang pesan teman saya itu, selepas beberapa bulan kejadian itu.

Katanya, “Perkara paling sulit dalam hidup adalah cuba mengerti mengapa ujian Tuhan didatangkan kepada kita. Cukup sulit kerana, jawapan itu hanya ada dalam sabar dan kamu sendiri tahu, sabar itu sendiri sudah cukup sulit. Sabar terkadang hanya perlu seminit dua, terkadang berbulan, dan terkadang sampai kamu mati, harus perlu bersabar.”

Untuk pesan teman saya itu, akhirnya ia sudah menjawab banyak persoalan dalam hidup saya. Lebih-lebih lagi apabila datang seseorang bertanyakan, “Apa perkara yang paling sulit dalam hidup?”

Monday, July 27, 2009

untuk hidup yang tidak dimengerti

Prolog.
Sejak itu, apa sahaja yang saya kerjakan, akan terhenti sebentar, hanya untuk mengurai-urai perlahan, makna seluruh kebaikan. Walaupun untuk waktu yang tidak terbilang, saya sering terlupa, yang saya pernah berhenti sebentar, untuk berharap, semoga hati saya akan berdetik untuk menyebut dua ayat. Dua ayat yang cukup untuk saya melihat makna seluruh kebaikan itu, dari A ke Z.

A ke Z.
Melihat kebaikan dari A ke Z, adalah berlebihan untuk kebanyakan manusia, termasuk saya. Mudahnya, dengan hati yang senang, dengan seberkas keyakinan, saya lebih suka melihat hanya dua huruf, A dan Z. Hanya dua.

Saya hanya mahu tahu, awal dan akhir. Lalu tidak susah untuk melihat saya, walaupun tidak dijejali hasrat mahu merendah-rendah, saya tega memandang kosong pencuci pejabat yang mengemas-ngemaskan meja saya. Diam dan sunyi. Hanya mahu tahu, bila mereka mula mengemas, dan akhir daripada tugas mereka.

Namun pada saat, fikiran saya berada pada masa lalu itu, semut yang terpincang-pincang, mengheret serdak roti di atas meja saya, pun saya akan berikan wajah yang membesarkan hati, walaupun ia hanya semut hitam, kecil dan terpincang-pincang.

Semuanya sejak itu, semenjak saya diberikan peluang oleh Tuhan untuk melihat keseluruhan makna kebaikan, dari A ke Z.

Damai.
Menjadi orang kampung pada waktu saya, di kampung saya, itu cukup berbahaya. Bukan kerana banyaknya kelapa hingga takut kelapa tua jatuh dan memecah kepala. Bukan juga kerana banyaknya hantu-hantu yang gembira berada di kalangan penduduk yang masih percayakan segala petua.

Itu semua bukan apa-apa, kerana yang paling bahaya adalah, nuansa kampung itu sendiri. Atas kerana, dengan hanya televisyen yang meribut, tergesa-gesa dan pantas, yang ditonton untuk satu hingga empat jam sehari, pada waktu malam, hidup kami di kampung selebihnya hanya mengerti, langit yang biru, daun-daun hijau yang lembut, bau tanah basah yang harum, dan irama rintik hujan yang bergemeretap. Semua itu memberikan kami hidup yang sangat damai, sangat tenang, sangat makmur, sangat perlahan, dan semuanya yang meneduhkan hati.

Fikiran kami, para penduduk kampung, dan semangat kami, ikut tenang, perlahan dan damai. Tidak ada istilah pantas, bersaing dan tergesa-gesa. Lalu, antara kesannya, orang kampung saya, paling banyak yang berhenti di laluan tiket LRT, kerana mereka dengan rendah hati, selepas bersusah payah memasukkan tiket pada laluan itu, mengharapkan, penghadang laluan itu dengan tenang, dan lembut menjemput mereka masuk. Hingga membuat lelaki-lelaki yang bertali leher, kacak, dan perempuan yang berskrit nampak betis, dan tergesa-gesa, terpaksa mengarah mereka masuk dan lalu, sebelum penduduk kampung saya berhenti lagi di hujungnya, hanya untuk melihat tiket yang keluar di hujung laluan dan mula berfikir perlahan.

Hal itu, yang terjadi pada saya dan ayah saya pada saat saya memperoleh keputusan UPSR yang tidak memungkinkan saya ke mana-mana selain ke sekolah menengah berasrama yang baru setahun dibuka, masih berhantu, dan 15 kilometer dari rumah saya. Saya dan ayah saya, tenang bersama-sama menatap slip UPSR saya yang cukup rendah prestasinya. Kami diam, dan tidak bersedih. Kami tenang, kami senyap, dan semuanya damai. Tiada tekanan kerana setidak-tidaknya, masih ada sekolah menengah berasrama yang baru, yang pasti saya boleh tenang duduk di situ, dan di situlah semuanya berlaku, dari A ke Z.

Sekolah menengah.
Ia bukan sekolah menengah berasrama yang terbaik, tetapi objektif dan fungsinya sama, melahirkan individu yang berjaya, walaupun ada juga alumninya yang hanya berjaya menjadi pemikul guni di kedai Cina. Namun, setidak-tidaknya mereka berjaya.

Di situ, ia adalah sekolah yang langsung tidak dipandang walaupun hanya sebelah mata oleh mereka yang mendapat semua A dalam UPSR. Tidak cukup dengan itu, malah mereka yang dapat satu B dan lainnya A, hingga juga kepada mereka yang hanya dapat dua B dan lainnya A, ikut tidak memandang walaupun dengan sebelah mata, dan saya, berada di sekolah yang mereka itu, tidak langsung mahu memandang.

Di sekolah itu, tidak ramai yang tidak tahu membaca, namun cukup untuk dikumpulkan dalam satu kelas yang meriah. Yang pandai-pandai juga tidak ramai, namun tetap juga cukup untuk satu kelas yang bahagia, dan sedikit demi sedikit, mereka yang pandai-pandai itu akan pergi kerana sudah dijemput dengan hormat oleh surat tawaran ke sekolah yang ada baju batik. Lalu apa yang tersisa? Sebuah lagi nuansa kedamaian, ketenangan, perlahan, dan semua yang bahagia.

Pada nuansa itulah saya menemui dia, di blok asrama dan di dalam bilik yang sama, teman yang membuatkan saya memperoleh peluang, melihat makna keseluruhan kebaikan, dari A ke Z.

Teman.
Entah apa gilanya gerangan dia, pada suatu hari yang bahagia, teman saya itu memperoleh akal, yang saya sangat yakin dia memperolehnya daripada televisyen. Dia mahu memberikan hadiah hari jadi untuk seorang lagi teman saya yang sangat gemar menampal gambar-gambar artis perempuan daripada ruangan hiburan akhbar, pada pintu lokernya. Mungkin itu cara untuk dia melepaskan rasa rasa rendah diri, kerana mengenangkan giginya yang sudah menguning padi, hingga diberikan gelaran terhormat - 'Mentega'.

Saya menyeringai, sinis dan dia dengan tidak terkejut dengan mimik wajah saya itu berkata, “Dia teman kita yang baru beberapa waktu ini kita kenal. Kita tidak sempat lagi hendak menunjukkan yang kita adalah teman dia yang baik, dan yang ikhlas mahu menjadi teman. Lalu apa salahnya, kita menunjukkan semua itu dengan cara yang pantas ini, memberi hadiah pada tarikh dia menemukan cahaya langit.”

Saya mengangguk, walaupun sebenarnya, saya langsung tidak faham. Namun hal yang membuat akal saya koyak, apabila dia bertanya, gerangan hadiah yang seperti apa yang harus dia berikan. Saya sebagai teman yang tenang, tidak memalingkan muka, tetap juga menatap dengan wajah yang menahan rasa terhairan-hairan. Saya merapatkan seluruh akal-akal saya yang tersisa untuk mencari hadiah hari jadi yang terbaik, kerana menyambut hari jadi di kampung saya, yang hanya meriah dengan sambutan Maulud Nabi, adalah sesuatu yang cukup aneh, dan sangat mustahil. Bayangkan sahaja, tarikh lahir sendiri, mereka tidak mampu kenang, apatah lagi mengenang tarikh kelahiran orang lain.

Itu perkara yang tidak pernah ayah, ibu, sepupu, dan nenek saya sambut. Malah hingga kini, saya juga masih seperti mereka. Jadi saya hanya memejam mata, memasang wajah ikhlas mahu membantu sambil cuba mengingat-ingat sekiranya ada adegan dalam drama Opah yang saya ingat berkenaan hari jadi. Apabila membuka mata, terus saya tersenyum.

“Kau belikan dia barangan yang sedia di dalam kotak. Sebab di televisyen, hadiah itu adalah sesuatu yang di dalam kotak, bersegi-segi dan dibalut rapi,” cadang saya dengan nada yang kedengaran bijaknya bukan kepalang.

Teman saya mengangguk,dan setuju, barulah kemudian tersenyum. Lalu pada hari yang indah itu, kami berjalan-jalan di jajaran kedai Cina tidak jauh dari asrama, mencari-cari benda yang ada di dalam kotak, dan apalah yang kamu harapkan dari kedai Cina, yang barang termodennya adalah raket badminton jenama Dunlop?

Saya sudah mengaru kepala, tetapi teman saya masih dengan sorot mata yang bersungguh-sungguh. Meliar matanya ke segenap ruang kedai, di sebuah kedai Cina yang paling hujung. Walaupun saya cukup yakin, teman saya itu sudah sedikit terpesong niatnya, kerana di atas meja yang ada sempoa yang besar, ada sebuah kalendar dengan gambar perempuan yang hanya dua peratus menutup tubuh. Saya cukup yakin teman saya itu lebih terfikir cara untuk memperoleh kalendar itu.

Kemudian, teman saya yang bersungguh-sungguh itu, dengan fikiran yang tenang dan perlahan, menemui sesuatu di depannya, dan dia berpaling ke arah saya, dengan wajah yang galak namun perlahan, dan saya mengangkat ibu jari ke atas, tanpa saya tahu, perkara yang ditemui oleh teman saya itu dengan fikiran yang tenang dan perlahan, akan menjadi masalah besar dalam hidupnya. Sesuatu yang dia perlu tahu, ia terkandung dalam catatan hidupnya, dari A ke Z.

Hadiah.
Hadiah itu satu kotak yang comel. Dibalut rapi dengan lebihan kertas bagi membalut buku teks, namun tetap rapi. Ia ditatang dengan sepenuh hati, dan dijulang dengan segenap jiwa, lalu dibawa oleh teman saya itu kepada 'Mentega', sebagai hadiah hari jadi.

Saya hanya mengekori di belakang, kemudian berdiri di katil, diam dan memerhati, dengan wajah sedikit ganjil, dan rasa yang sedikit aneh, kerana untuk pertama kalinya saya melihat hal sebegitu. Kali terakhirnya saya punyai rasa aneh sebegitu adalah pada saat ayah saya membeli televisyen berwarna jenama Mitsubishi, yang sekiranya sekarang lebih dikenali sebagai jenama kereta.

'Mentega' yang diberikan hadiah itu, memasang wajah yang berdecap-decap kagum. Untuk pertama kalinya, dia sebagai penduduk kampung, yang biasanya hanya memperoleh hadiah lima keping buku latihan, kerana berjaya dalam pertandingan larian antara rumah sukan, kini memperoleh hadiah untuk hari lahir. Terasa cukup bandar.

Tidak perlahan, dia mengoyak-ngoyak, menyibak-nyibak kertas pembalut hadiah itu, dan hanya untuk mendapati, dia memasang wajah terkejut, tidak puas hati dan tertanya-tanya. Lalu dia, dengan mengangkat hadiah yang masih di dalam kotak itu separas dada, dia memberi sorotan mata yang memerangkap rasa hairan pada saya dan teman yang memberi hadiah itu.

Katanya, “Mengapa kau berikan aku hadiah ini?”

“Itu ubat gigi yang bagus, kerana beli ubat gigi itu, percuma satu berus gigi,” jawab teman saya yang memberi hadiah itu, tersenyum dan menyambung, “Berusnya giginya ada di dalam kotak itu.”

'Mentega' diam, dan dengan hadiah yang digenggam erat, dia berjalan perlahan menuju ke arah lokernya, menatap gambar-gambar artis perempuan yang dia tampal.

Saya dan teman saya yang memberi hadiah itu bergegas memasang wajah bersalah. Terherot wajah teman saya itu memohon ampun, meminta maaf sambil menjelaskan keadaan yang sebenarnya, namun 'Mentega' yang tenang, damai, dan perlahan itu, tetap tidak berganjak dengan mata yang terus memandang dinding lokernya dengan tatapan sayu.

Saya pula walaupun sudah mencubit-cubit perut supaya, ketawa tidak berhambur, tetap juga saya memahami sesuatu. Sekiranya sahaja 'Mentega' mengetahui, susah payah dan niat teman saya itu memberikannya hadiah, sekiranya sahaja 'Mentega' tidak hanya melihat A dan Z, sekiranya 'Mentega' sanggup melihat keseluruhan A hingga Z, pasti, 'Mentega' punyai pandangan yang berbeza. Itu, sekiranya sahaja 'Mentega' mahu dan cuba untuk tahu semuanya, dari A ke Z.

Epilog.
Sejak itu, setiap kali saya mendapat sesuatu, pada waktu saya masih kuat bagi mengingati kisah sederhana 'Mentega' itu, pasti saya memejam mata, cuba menelusuri, keseluruhan hal itu dari A ke Z, dengan harapan, saya akan berhenti pada dua ayat ini, “Terima kasih” untuk manusia, dan “Alhamdulillah” untuk Tuhan.

Dua ayat yang cukup, untuk saya melihat makna keseluruhan kebaikan, dari A ke Z.

Wednesday, July 22, 2009

Saat Tuhan memberi titik

Garis hidup.
Setelah saya teliti, ada banyak waktu, dalam keadaan hati yang selesa, saya membaca erti hidup sebagai satu garis yang lurus, sehala, dan tidak berlawanan. Tidak perlu menggelepar mencari makna tersirat, tidak juga perlu berwajah keras, peduli, dan saya wewenangnya, boleh meletak titik pada hidup itu walaupun jelas ia belum berlaku. Itu adalah erti hidup yang saya baca, dalam banyak waktu.

Misalnya, dalam hidup, saya pernah membaca cinta sebagai suatu yang akan berakhir bahagia, dan terkadang membacanya sebagai sesuatu yang akan berakhir duka, namun hakikatnya, dalam hidup, cara membaca cinta sebegitu adalah awal pada masalah hati, kerana cinta tidak akan pernah berakhir dan tidak akan ada akhirnya. Bahagia dan duka itu, cuma titik-titik kecil dalam perjalanan sebuah cinta yang tiada akhirnya, yang juga, cinta itu pula hanya satu titik kecil dalam perjalanan hidup yang tidak ada hujungnya selain mati.

Namun, cara saya membaca hidup sebegitu, akhirnya terlempar jauh-jauh, kerana seorang teman saya, mengajarkan saya hanya satu ayat, untuk saya melihat hidup ini, sebagai sesuatu yang saya perlu hadapi dengan wajah yang waspada namun tetap lembut, dan tahu apa maknanya titik hidup itu. Cukup, hanya satu ayat.

Karangan pendek.
Kisahnya, dia adalah teman sekampung saya, yang punyai hidup yang sederhana. Segala-galanya tentang dia adalah sederhana. Daripada penampilan rupanya yang seperti separuh Jamal Abdillah dan separuh David Arumugam, hinggalah kepada otaknya, yang seperti campuran otak Einsten dengan otak orang yang sudah tidak wajib berpuasa. Sederhana, walaupun ada waktu, dia lebih dikenang apabila dia berada di kutub-kutub ekstrem, antara betul dan salah, antara bijak dan bodoh.

Saya pula waktu itu, adalah seorang yang ironi hidupnya, seorang penganggur berijazah ekonomi yang belajar segala-galanya tentang ekonomi, namun ekonomi hidupnya lebih miskin daripada orang miskin yang makan kulit kayu. Setidak-tidaknya mereka makan kulit kayu yang diperoleh sendiri, sedangkan saya berasa sangat derhaka, makan daripada usaha peluh orang tua saya yang kasihnya tidak bertepi.

Pada waktu itulah, teman saya yang sederhana itu, datang dengan wajah yang menampakkan ketinggian ilmu, dan dengan senyum patah-patah yang menggegar hati. Dia duduk di samping saya, sepertinya seorang ilmuwan yang duduk di samping orang bodoh. Dia mengangguk-angguk takzim dan saya hanya melongo tidak mengerti, untuk apa dia berbuat begitu.

“Kau, aku ingat lagi, cikgu sering kali memuji karangan kau di sekolah. Diangkat sebagai karangan yang hebat, yang bagus, yang A++. Jadi, mengapa tidak sekarang, selain kau hanya duduk melihat drama Amerika Selatan, Korea, dan Indonesia di TV2 dan TV3, kau cuba mengarang. Cuba-cuba kau hantar karangan kau ke akhbar. Pasti kau akan dapat ringgit, kau akan membanggakan ayah kau apabila melihat namanya ikut terpampang di akhbar. Cuba, jangan tidak cuba!” kata teman saya itu dengan nada yang sepertinya dari langit dan saya terus mencetak angan-angan tertinggi hasil daripada kata-katanya itu. Tidak cukup itu, dia menambahkan dramatik gayanya, dengan melempar perlahan-lahan, akhbar yang meminta-minta untuk dihantarkan karangan pendek yang bagus-bagus.

“Itu, lihat. Akhbar itu sedang memanggil-manggil nama kau, dan lihat, ia juga sudah minta nombor akaun kau untuk mereka sumbat dengan wang,” kata teman saya dengan sorot mata yang cukup untuk menguasai lima orang lagi yang seperti saya.

Saya tidak pula terus tersenyum suka, kerana, waktu itu kampung saya, walaupun sudah punyai elektrik, punyai tong gas, punyai jalan, dan punyai motosikal dan kereta. Kampung saya tetap juga ketinggalan, tidak ada komputer. Itu alasan saya, untuk tidak tersenyum, dan untuk tidak mengarang, kerana tidak ada komputer.

Teman saya yang sederhana itu, sepertinya serpih bintang yang terang, datang dengan senyuman yang mengelus hati dan berkata, “Di pekan sana, ada kafe siber. Aku akan temankan kau dengan motosikal ayah aku. Duit pula, usah kau khuatir, upah hasil kelapa aku, banyak.”

Esoknya, tidak bertangguh sesaat pun, saya dan dia ke kafe siber di pekan yang jauhnya 30 kilometer, duduk berlama-lama di situ, mengarang setiap patah kata dengan hati, dengan niat untuk mendapat wang, dengan niat membanggakan ayah dan orang kampung.

“Bagus sekali karangan kau,” kata teman saya, yang duduk takzim di sebelah saya, pada setiap lima minit, dan senyum saya pula, tidak akan hilang, sehinggalah lima minit kemudiannya.

“Aku cukup yakin, karangan kau ini, adalah karangan paling indah pernah aku baca, dan memang tidak ada tandingan. Indahnya bukan kepalang,” tutur teman saya, hinggakan otot pipi saya menegang, dan merah-merah. Fikiran saya sudah tidak lagi mampu berfikir logik, mempersoal kata-kata teman saya itu, walaupun saya tahu, selama hidupnya, dia hanya membaca buku-buku teks sejarah dan geografi.

“Kau akan jadi kaya kerana ini. Kau akan banggakan kampung kita, kau akan banggakan ayahmu.” Teman saya itu tidak lelah berkata begitu walaupun saya sudah lelah untuk menarik hujung-hujung bibir saya ke atas.

Kata-katanya membuat hati saya lungsur, lelah, dan tidak upaya untuk berkata tidak. Saya mendapati diri saya sudah tersudut di dalam sebuah kotak yang namanya, puji-pujian, dan bermulalah cita-cita saya menjadi pengarang yang kaya, penuh gaya dan semua yang indah-indah, dan itulah erti hidup yang saya baca pada waktu itu, sebelum saya terlewat untuk menyedari, bahaya besar yang akan menimpa saya, ibaratnya tsunami Acheh yang datangnya tiba-tiba.

Alamat pos.
Waktu itu, berkat adanya jalan raya, selepas bertahun penduduk kampung saya berjuang dengan pemerintah yang tidak suka kerana penduduk kampung saya mendukung mati-mati parti lawan pemerintah, akhirnya, kampung saya sudah boleh dihantar surat, namun, tetap juga, surat itu hanya akan sampai ke kedai runcit, paling tidak ke pejabat daerah, kerana rumah di kampung saya tidak ada nombor, tidak ada nama jalan.

Atas kerana itu, selepas seminggu saya menghantar karangan pendek saya, saya sering nampak duduk berlama-lama ke kedai runcit, ataupun di pejabat daerah. Tetapi ia tidaklah mengundang wajah terhairan-hairan tauke kedai itu, ataupun membuat kerani pejabat daerah mengerut dahi. Semuanya kerana, mereka tahu, sebelum-sebelum ini, saya sudah biasa di situ, menunggu surat tawaran kerja, yang 100 peratus akan datang dengan khabar duka.

Namun, untuk seminggu terakhir saya di situ, saya hanya menantikan satu sahaja perkara, surat daripada akhbar itu yang akan mengatakan wang sudah masuk ke dalam akaun, ataupun mungkin, mengatakan karya saya itu akan tersiar sekian hari bulan, dan tunggu sahaja wangnya.

Hinggalah, pada suatu hari yang indah, di pertengahan bulan Rejab, surat yang saya nantikan itu sampai juga. Jelas nama saya di situ. Jelas juga, ia bukan surat daripada orang yang mengatakan tidak ada kerja kosong di syarikatnya, ataupun mengucapkan dukacita atas ketidakberhasilan saya dalam temuduga.

Yakin saya melilit-lilit, kerana surat itu bersih, dan ada logo akhbar itu pada sampulnya. Teman saya yang baik itu ada di sebelah saya dengan lagak wajah seperti pemimpin rakyat yang gembira melihat rakyatnya sudah ada tiang elektrik di depan rumah, walaupun di dalam rumah rakyatnya itu tidak ada barangan elektrik.

“Apa yang aku cakap dulu? Pasti itu surat awal kegemilangan mu,” kata teman saya.

Hati saya sudah melonjak setinggi langit, girang tak kepalang. Pasti ia surat yang membawa bahagia, dan saya dengan gaya separuh takut, membuka perlahan-lahan sampulnya, menarik cermat-cermat isinya dan membuka hati-hati lipat suratnya. Saya terus membaca dengan hati yang berbunga-bunga.

Andai saya mengerti.
Pada waktu itulah hati saya lebur, jatuh berkeping-keping, serpih-serpih, dan kamu tidak akan suka melihat wajah saya pada waktu itu. Surat itu lebih daripada cukup bagi membuatkan dunia saya seperti diterjang tsunami Acheh, dan kesannya, saya terus pesimis hingga sekarang, trauma saya, menjadi trauma yang pragmatik, juga hingga sekarang, pada saat kamu membaca tulisan ini.

Surat itu, mengatakan mereka sudah menerima cerpen saya, tetapi mereka entah apa sebabnya tidak mahu mencetaknya ke dada akhbar, dan secara halus, dan cukup menghiris saya akhirnya tahu juga sebabnya, kerana pada akhir surat itu ada jemputan yang bersungguh-sungguh, dengan nada yang mendesak, untuk saya menghadiri kurus penulisan yang harganya ratusan ringgit.

Lalu, pada saat kamu lebih miskin daripada orang miskin yang makan kulit kayu, pada saat harga diri kamu semakin lungsur di mata orang kampung, pada saat kamu mengharapkan wang yang datang untuk biayai diri kamu, datang pula surat, yang menghenyak diri kamu dengan meminta wang yang banyak. Apa rasanya?

Saya menoleh ke arah teman saya itu dengan wajah yang mahu marah dan segera berkata, “Aku sampai mati, tidak akan hantar apa-apa lagi karangan pendek aku, ke mana-mana pun!”

“Mengapa?” soal teman saya, dan saya diam, dan dia menyambung, “Kau, perlu akui, walaupun cikgu sekolah kita suka karangan kau, tapi itu bertahun dahulu, dan dia suka, kerana di dalam kelas, hanya kau yang mampu menulis dengan ejaan yang betul dan tatabahasa yang separuh betul. Jadi, sekarang, kau jangan putus asa. Jangan! Terus sahaja belajar menulis.”

Saya menarik nafas panjang, dan merenung tajam, dan mengacu soalan, mengapa dia tidak memberitahu awal-awal sekiranya karangan pendek saya itu buruk, tidak layak, hina, dan sebagainya. Mengapa dia memuji-muji sampai ke langit. Waktu itu, marah saya bertapuk-tapuk dalam kata-kata saya yang sangat kejam.

Teman saya, bukan orang yang mudah terhempas dengan kata-kata kejam itu. Dengan tangan kanannya yang menyentuh bahu saya, dia berkata, “Kau boleh khatam al-Quran berkali-kali, tetapi dunia mu hanya akan khatam kalau kau mati, dan sekarang selagi kau hidup, jangan menjadi orang yang sudah khatam dunianya, tidak berpengharapan, dan jujur aku beritahu, aku menilai karya mu, seadanya aku, aku memang menyukainya, memang menghargai dan karyamu memang indah untuk aku, dan hanya kerana itulah aku memberitahu perkara yang betul. Mungkin satu hal yang tidak betulnya adalah, kau berkawan dengan orang yang seperti aku, seorang pekebun kelapa.”

Saya diam, dan menyedari sesuatu. Namun rasa itu tetap bertahan dalam hati, tidak sampai hati untuk saya mahu lungsurkan ke kepala dan mengerti, kerana saya memang tidak mahu mengerti, cukup sekadar merasai, dan saya memicing mata, dan berkata, “Maaf. Aku memang salah, dan terima kasih kerana bersama aku melalui pengalaman untuk menjadi penulis ini. Selepas ini, aku sudah lihat, mana arah hidup aku. Aku tidak akan menulis lagi, aku tidak mahu meminta-minta kerja lagi. Aku harus akui juga, selain tidak pandai menulis, ijazah aku ini tidak laku, dan aku mahu jadi pekebun kelapa.”

Serta-merta, wajah teman saya membeliak, buntang, lalu memberikan sorot mata yang membuat jantung terpacu dan terus berkata, “Mengapa putus harapan? Kau, mungkin bukan lagi orang terpandai kampung kita, kerana ada orang kampung kita yang sudah ke Universiti Madinah, tetapi kau, tetap kawan aku yang terpandai, dan jangan, jangan biarkan kau sama seperti aku, kerana aku tidak sanggup punyai kawan terpandai, yang hidupnya sama seperti aku.”

“Tetapi, selepas berbulan-bulan usaha aku, selepas surat yang baru kita baca tadi, apa kau tidak fikir Tuhan sudah memberikan petunjuknya. Tuhan sudah datangkan ketetapannya?” Saya menyoal dengan hati yang mahu menangis, apatah lagi wajah ayah yang berbangga dengan saya, sudah datang-datang dalam kepala.

“Kau pasti pernah berdoa, untuk sabar, untuk bahagia, untuk kaya, untuk itu ini, tetapi, kau fikir, adakah Tuhan datangkan begitu sahaja bahagia itu, sabar itu, terus ke dalam hati? Tuhan akan berikan kau peluang untuk bahagia, peluang untuk kau sabar, peluang untuk semuanya dan sekarang peluang kau sudah tiba. Kau ada peluang untuk sabar, untuk bahagia, untuk semuanya. Apalah maknanya sabar kalau tidak ada ujian, apalah maknanya bahagia kalau tidak pernah berasa susah?” khutbah teman saya dengan wajah yang mengandung sebak.

Selepas menarik nafas pendek, dia menyambung lagi, katanya, “Jangan putus asa, kerana Tuhan itu lebih mengerti apa yang terbaik untuk kita. Teruskan usaha untuk menjadi yang terbaik dalam apa pun. Jangan mengalah, dan kalau kau terlalu susah untuk mengerti, cukuplah saya katakan, kita ini hamba kepada-Nya, dan sebagai hamba, kita berbuat selayaknya seorang hamba, patuh dan terima apa yang Tuhan takdirkan untuk kita. Tetapi sebelum takdir itu tiba, kita jangan mendahului takdir kita. Tuhan mahu kita berusaha, tidak mahu kita hilang harap, dan sebagai hamba....”

Teman saya menggantung ayatnya di situ dan saya diam. Diam. Diam dan terus diam dan sehinggalah saya mendengar sepotong kata-kata itu, kata-kata yang saya pegang untuk hari ini, dan saya berdoa, insya-Allah, sehingga saya mati. Hanya sebaris ayat, yang sederhana daripada teman saya yang juga sederhana itu.

“Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan.”

Thursday, July 16, 2009

menjadi pengarang yang disayang

Dunia 10 peratus.
Saya tidak tahu, mengapa saya harus seirama dengan warna kata-kata teman saya itu. Walaupun saya tahu, angka yang dituturkan itu hanya angka yang diagak-agak, bukan hasil kajian profesor mana pun. Tetapi sehingga kini saya tetap memegang satu-satu setiap lekuk katanya.

Katanya, "Kamu tahu, hanya 10 peratus orang yang betul-betul berjaya di dunia. Mereka itu adalah orang yang bekerja atas bakatnya. Manakala 90 peratus lagi adalah orang yang mensia-siakan bakatnya, dengan mengerjakan hal yang langsung tidak ada kaitan dengan bakatnya.”

Itu kata-kata yang tidak terjangkau dengan kajian emperikal, tetapi cukup menjanjikan. Sehinggakan saya cukup percaya, salah seorang tukang cuci yang membersihkan tempat saya bekerja adalah sasterawan besar, cuma sahaja, dia tidak bekerja atas bakatnya dan memilih jadi tukang cuci pejabat, dan kadang-kadang dia membuat wajah saya tegang, kerana tanpa arahan, dia sesuka hatinya menyusun barangan yang bertapuk-tapuk di atas meja saya. Padahal itu hal yang cukup terlarang.

Itu juga perasaan yang saya peroleh apabila melihat buruh-buruh yang membina jalan pada terik tengah hari, saya cukup yakin, salah seorang mereka yang berminyak-minyak wajahnya, adalah ahli muzik yang terhebat, sekiranya dia tidak memilih menjadi buruh, ataupun lebih adil, sekiranya dia diberi peluang memegang gitar.

Malah saya juga cukup yakin, salah seorang yang saya gelar guru penulisan saya, adalah golongan yang 90 peratus itu. Golongan yang tidak bekerja atas bakatnya. Saya cukup-cukup yakin.

Orang kampung saya.
Dia, orang kampung saya. Dua puluh tahun tua daripada saya, dan hanya ada seorang isteri, dan seperti yang saya sudah mafhumkan sebelum-sebelum ini dalam entri saya, kampung saya adalah kampung yang makmur dengan kelapa. Namun dia, anehnya, lebih senang menanam pisang.

Katanya, “Kelapa itu prosesnya cukup panjang sebelum menjadi duit. Bertahun-tahun, sebelum boleh dipanjat, dihanyutkan ke dalam parit, dikopek kulitnya, dibelah, disalai, disungkit isinya, disalai lagi, sebelum menjadi kopra, dan kemudian harus dipikul pula ke kedai Cina. Panjangnya tiada banding. Dengan pisang, kamu hanya perlu tanam sahaja, lalu balik rumah mendengar kaset M. Daud Kilau, tidak sampai setahun, ia sudah menjadi duit. Cukup sekadar tebang, dan pikul.”

Atas sebab sikapnya yang menterjemahkan peraturan membuat duit itu seharusnya mudah, lalu hidupnya menjadi ironi. Dia hidup susah di kampung saya yang makmur.

Namun, bukan itu yang paling saya ingat berkenaan dia, kerana dia punya hal lain yang lebih besar. Cukup besar hinggakan tidak mampu direngkuh dengan sekadar kata-kata, kerana dia mengaku, dia adalah seniman.

Dia seniman.
Katanya, “Aku ini, seniman kata-kata.”

Kata-kata yang membuat ekpresi wajah saya jadi muncung. Waktu itu saya baru mengenal erti kelas tambahan UPSR. Lalu logik saya pada umur sebegitu, sering tidak mampu menghuraikan maksud kata-katanya, dan akhirnya terpaksa juga saya bertanya, dan senang hati dia menjawab.

“Aku, punyai idea besar dalam penulisan. Aku ini boleh menjadi penulis besar,” katanya sambil mencampakkan buku latihan yang sudah dicoret dengan karangan-karangan yang apabila saya baca, walau umur saya masih muda, saya mengerti, dia cukup-cukup hebat.

Saya kemudian bertanya, mengapa dia tidak jadi seperti yang dia kata. Saya tanya berulang-ulang, kerana dia sepertinya tidak sanggup menjelaskan situasinya itu, dan akhirnya dengan mimik wajah terbaiknya, dia akur juga lalu memberitahu.

“Kampung kita apa yang ada? Surat khabar? Majalah? Jadi, bagaimana aku harus mendapatkan alamat untuk dicuba-cuba, langsung tidak ada. Pejabat pos? Lagilah kamu tidak akan jumpa. Jadi bagaimana aku harus menghantarkan karya agung aku? Sedangkan ia perlu alamat untuk dituju, dan utama, tulisan tangan saya, tulisan aku ini tidak memungkinkannya. Aku tiada mesin taip,” katanya dengan memasang wajah yang kalau kamu lihat, kamu tahu dia sangat sedih.

Saya diam. Saya mengerti, bahawa hal yang tersukar bagi dia adalah tulisan tangannya, kerana surat khabar dan majalah itu tetap ada di kampung saya, kerana itu yang diguna oleh Tauke Cina untuk membungkus ikan kering dan belacan. Pejabat pos pula, walaupun tiada, masih boleh dikirim kepada pemandu bot ekspres yang mahu ke kota, walaupun risiko mengharapkan surat itu sampai ke peti surat sangatlah tinggi, kerana, orang kampung saya cukup malu pada perkara yang namanya kemodenan. Memasukkan surat ke dalam peti surat, adalah contoh kemodenan.

Dia, tidak mampu membeli mesin taip, malah di kampung saya, mesin taip itu hanya ada di pejabat sekolah, dan pejabat daerah. Agak mustahil hendak meminjam mesin taip itu untuk sehari dan walaupun boleh dicuri pakai, pasti dia akan mati akal, bagaimana hendak memasukkan kertas. Atas alasan itu, tulisan tangannya yang seperti jejak kaki ayam yang disembelih tapi belum mati, cita-citanya lenyap dan dia menjadi pekebun pisang yang takzim.

Tetapi, dia tahu, dia punyai peluang meninggalkan legasi, dan orang itu adalah saya, kerana selama ini hanya saya yang sudi duduk berlama-lama mendengar susah hidupnya, sepertinya saya ini tidak ada susah hidup, walaupun hakikatnya susah hidup saya lebih tinggi, kerana perlu membuat kerja sekolah yang banyaknya, seperti air dari langit.

Dia, apa dia peduli, dan pada hari itu, semasa saya hendak ke padang bola, bermain bola gaya Ian Rush, dia memaksakan saya untuk mendengar nasihatnya berkenaan penulisan, nasihat yang saya junjung hingga hari ini, walaupun banyak waktu, saya cicirkan juga nasihatnya ke jalan-jalan.

Pujangga handalan.
"Kamu tahu, menulis itu perlu 80 peratus dengan hati, 20 peratus dengan akal. Kamu tahu kenapa?” soalnya.

Saya menggeleng walaupun hakikatnya, saya lebih memikirkan bagaimana dia mengira peratus itu. Waktu itu matematik saya cukup lemah.

“Fikiran itu boleh memahami, tetapi hanya hati yang boleh merasai. Ibaratnya, saya bertanya, apa rasanya hempedu yang dicicah madu? Fikiran kamu pasti boleh memikirkan rasanya, tetapi kamu perlu merasai sendiri dengan lidah untuk lebih mengerti dengan tepat, tetapi untuk membuat mimik wajah kamu serong-serong dan pandangan kamu berubah, hati kamu yang mendorongnya, kerana ia lebih mengerti rasanya, lebih daripada apa yang difahami oleh fikiran dan apa yang dirasai oleh lidah. Mengerti?” soalnya, dengan falsafah yang saya rasakan adalah titik yang cukup ngilu dalam kepala. Lalu saya hanya mengangguk.

“Jadi menulislah dengan hati, kerana pembaca, akan merasainya dengan hati. Tetapi bagaimana hendak menulis dengan hati?” soalnya lagi, dan saya menggeleng.

"Kamu jangan menulis, pada saat hati kamu sedang marah, jangan menulis pada saat hati kamu sedang dengki, pada saat hati kamu sedang berkira-kira melakukan kejahatan. Pastikan kamu menulis dengan hati yang bersih kerana, itu yang akan terpamer kukuh pada tulisan kamu, dan itu yang akan dirasai oleh pembaca. Paling tidak pun, pastikan hati kamu di tengah-tengah dan kalau semuanya tidak mungkin, kerana hati kamu sudah betul-betul hitam, tulis sahaja dengan fikiran, jangan sampai pembaca merasai apa yang kamu tulis, cukuplah mereka sekadar memahaminya,” jelasnya lagi. Saya sudah kalah, dengan kata-katanya itu yang bak pujangga. Aduh.

“Kalau menulis, kamu perlukan tema. Kamu mahu pilih tema yang bagaimana?” soalnya lagi dan lagi. Saya pula terus menggeleng, lagi dan lagi, dengan mimik wajah yang pura-pura menganggap ia sesuatu yang serius, walau hati saya sudah terbayangkan padang bola. Setiap petang saya harus main bola.

"Kamu, pilih tema yang memasang harapan. Buat tema-tema yang sebegitu. Tidak kiralah, buku apapun, kerana semua buku yang laku manis di dunia ini adalah buku yang memasang harapan. Sama ada memasang harapan daripada segi motivasi, perasaan, kewangan, hidup, politik, patriotik, budaya, dan segalanya. Tetapi bagaimana kamu mahu tahu itu tema yang memasang harapan. Kamu tahu?”

Saya sudah mula sedikit-sedikit memasang wajah tidak mahu ambil berat. Beratnya hati saya untuk ke padang bola sudah tidak terbendung.

“Tema yang membuat orang memasang harapan pada hidup mereka, selepas membaca buku itu, adalah tema yang menjual harapan. Jangan sesekali, kamu membuat manusia berasa tiada harapan, membuat mereka merasa jiwa mereka gelap, murung. Itu salah, sama sahaja seperti kamu membuat buku lucah yang membuat darah mereka tertumpu pada satu titik. Sangat salah besar. Kamu tahu mengapa?”

Saya sudah kaku. Diam. Padang bola sudah mengelinjang hebat dalam kepala.

“Semuanya kerana, untuk membuat manusia berfikir dengan tulisan kamu, adalah dengan membuat mereka memasang harapan. Kalau mereka sudah tidak memasang harapan, apa mereka rajin untuk berfikir? Namun, membuat manusia berfikir, bukan kerja kita. Itu kerja mereka sendiri, kerja kita tadi adalah memasang harapan dan kalau mereka mula berfikir, itu bonus, dan kamu juga perlu ingat, sekali kamu menjadi penulis, jadilah penulis bukan orang seorang hakim. Jangan sesekali jatuhkan hukum kepada manusia lain yang tidak seiring dengan kamu, jangan menyombongkan diri, dengan mengatakan orang lain tidak bagus dan apa-apa sahaja. Kamu tahu mengapa?”

Saya memicing mata, dan di balik pelupuk mata, saya terlihat, padang bola.

"Kamu boleh saja menulis karya hebat, yang mampu menang itu ini, mampu membuat manusia berfikir dan memasang harapan. Tetapi adakah manusia yang akan menentukan yang kamu berjaya? Bukan! Tuhan yang akan menilai kamu, menilai kamu terus ke hati. Dia yang Maha Tahu, akan tahu mengapa kamu mengata tulisan orang itu tidak bagus, tidak membangunkan daya fikir, tidak itu ini. Tuhan akan tahu niat kamu, kerana mungkin pada awalnya kamu memang berniat bagus untuk menegur, namun tidak ada benda yang kekal di dunia, begitu juga niat, dengan mudah sahaja niat kamu tergelincir, sombong. Jadi, kalau kamu sudah bagus, teruslah menulis, dan banggakan teman-teman penulisan kamu dengan nasihat yang bagus-bagus, bukan dengan mimik wajah mencerca dan menghina, nasihat saja, dan kalau perlu marah, namun jangan sesekali menghina dan merendah-rendah, kerana mereka juga adalah manusia yang memasang harapan untuk manusia lainnya. Mereka juga, sama seperti kita, cuma caranya yang berbeza,” katanya, akhirnya, dengan diri saya yang sudah mula dibawa hasutan-hasutan syaitan bola ke padang bola.

Itu nasihat-nasihat, yang memecahkan diri saya, seperti adanya saya hari ini, walau terlalu sedikit, tetapi setidak-tidaknya saya masih ikut satu dua. Dia, lelaki itu adalah pujangga saya, pujangga yang hidupnya untuk memasang harapan, walaupun harapan saya bermain bola pada petang itu hancur kerana hujan.

Tuesday, July 14, 2009

Cinta orang miskin

Kisah dari masa silam.
Cinta yang mengharukan, adalah cinta yang sekadar menatap, di tepi-tepi. Namun cinta itu juga adalah cinta yang paling membesarkan harapan, sepertinya mampu menggenggam bintang. Cinta yang dapat membuat keindahan dunia ini tidak layak sebagaimana mestinya.

Itu yang saya baca daripada sub plot novel Andrea Hirata, 'Sang Pemimpi'*. Kisah cintanya Arai yang sepertinya dikendalikan oleh kekuatan lain. Kekuatan yang membuat hati manusia bocor dengan perlahan-lahan. Namun, bacaan novel itu hanya ulangan tentang kisah yang pernah saya tahu dahulu, jauh-jauh sebelum saya membaca novel itu, saya sudah menemukan kisah cinta yang serupa, dengan kata-kata yang sama ertinya, dan sebuah emosi manusia yang lebih menghambur. Kisah cinta yang membuat saya sekadar menatap, di tepi-tepi.

Kampung saya 23 tahun dahulu.
Kampung saya tidak sepertinya yang kamu lihat di televisyen. Tidak seperti yang kamu mampu siratkan dalam imaginasi. Rangkaian rumah penduduknya jauh-jauh kerana semangat autonomi mereka sangat menjunjung. Mereka hanya membina rumah di atas tanah, nama masing-masing. Lalu jiran terdekat, adalah sejauh dua padang bola.

Kampung saya, kampung yang kaya dengan kelapa. Lalu bangun pagi kamu, hanya akan menemui kelapa. Hijau, hening, sepi, dan langit biru. Itu sahaja yang kamu akan lihat dan terus lihat selama berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun. Sampai kamu mati.

Rezeki kelapa, tumpah ruah bagai kuah sapi kenduri yang melimpah dari belanga. Penduduk kampung saya kaya-kaya. Rumah mereka, walaupun kayu, tapi besar-besar. Makmurnya kami, sampaikan setiap rumah pasti ada yang memasang gigi emas. Bukan sebatang gigi, tapi sebaris gigi.

Susahnya kampung kami pula hanya ada empat. Susah yang mengikat peritnya sampai ke ubun-ubun. Kampung kami tiada tiang elektrik, hanya pelita, lampu gasolin, bateri, dan generator. Kampung kami tiada paip air, cuma tangki hujan dan telaga coklat. Kampung kami juga tiada tong gas, hanya ada dapur kayu yang asapnya mampu memedihkan mata dinosaur. Kampung kami tiada jalan raya, cuma denai becak, sungai sempit, dan terusan yang digali.

Lalu di bawah rumah setiap penduduk, berjajaran enjin bot, dari serendah 25 kuasa kuda hingga 200 kuasa kuda. Ibaratnya, 25 kuasa kuda itu adalah kereta Kancil. Lalu garaj penduduk kampung kami pula letaknya di tepi terusan ataupun tepi sungai yang becak. Di bawahnya, berbaring perahu pelbagai model. Daripada untuk mengangkut kelapa, hingga untuk membawa keluarga berbelanja ke kedai Cina.

Bandar terdekat pula, harus menyabung nyawa mengharung laut. Sekiranya kamu bernasib baik, setiap kali cuti sekolah yang panjang, setahun sekali kamu akan ke bandar membeli kasut baru, beg baru dan naik bas, sambil menggenggam erat-erat tiket bas, untuk ditunjuk kepada kawan-kawan apabila buka sekolah.

Suatu hal yang kami sangat bersyukur, namun dalam waktu yang sama menyesakkan dada, adalah adanya televisyen yang siangnya guna bateri basah, dan malamnya guna generator petrol. Senangnya kami kerana hiburan itu naluri manusia dan televisyen menyediakan semuanya. Walaupun waktu itu orientasi televisyen di kampung saya hanya pada RTM 1 dan RTM 2, kerana TV3 masih terhad di kota-kota, dan membuat saya sangat ketinggalan untuk mengenali sosok manusia yang bernama Zainal Abas*. Tetapi, itu lebih daripada cukup bagi bahagia itu bersemayam di sudut-sudut jiwa kami.

Sakitnya pula adalah, televisyen memberikan semua perkara yang ada di dunia. Makanan segera, mainan G.I Joe, drama Opah yang ada rumah batu, ketuhar, tong gas, kereta, pejabat pos, kedai buku, dan akhbar, sedangkan semua itu tidak akan kamu temui di kampung saya.

Tidak ada surat khabar, makanan segera jauh sekali, pejabat pos hanya mimpi, posmen pula sekadar dalam cita-cita, dan mainan G.I Joe hanya dongengan sedih. Kesannya kalut, membuat penduduk kampung saya merasa tidak makmur, ulu, miskin, terbuang, dan buruk. Ya, mereka hanya ada kelapa, perahu, pelita, televisyen, dan paling moden, pemain video dan pita video Sanggam, Ratapan Si Anak Tiri dan koleksi Jaka Sembong.

Walau kampung saya makmur, namun dalam setandan pisang, pasti ada juga yang dipatuk burung. Begitu juga halnya kampung saya, di suatu sudut kampung yang jauh, di kelilingi pohon-pohon kelapa yang megah, ada seorang pemuda, yang mengabdi diri menjadi pekebun kelapa, dari dahulu, hingga sekarang, dan mungkin hingga matinya begitu. Namun daripada dia saya menemui kisah ini.

Pisang yang dipatuk burung.
Dia, bukanlah lelaki paling gelap yang pernah saya temui, namun bagi kampung kami, dialah lelaki tergelap yang kampung kami pernah ada. Tubuhnya tegap, dadanya bidang dengan bahunya menjulang. Semuanya berkat hari-hari memanjat kelapa, mengopek kelapa, mengangkut kelapa, dan semuanya yang berkenaan kelapa.

Dia lelaki yang diberi asuhan yang terbaik, mudah tersenyum, sepertinya senyuman itu adalah bahasa. Sampaikan mengangkat jenazah ke kubur pun dia boleh terlepas senyum. Ajaib. Dia juga sangat lurus, seperti bayi. Apa yang kamu tanya, dia tidak pernah keras untuk menjawab, walau sekadar bertanya tentang ayam-ayam di bawah rumahnya, ataupun yang bertanya itu hanya anak-anak yang baru boleh bicara. Tidak ada sebibit pun rasa mahu bermegah dalam hatinya.

Di sisi lainnya, hidupnya tidak hanya sebibit kisah duka. Kesenangan seperti terenggut daripada hidupnya. Kebun kelapa ayahnya tidak luas, lalu keluarganya hanya mampu memiliki perahu dan dayung, bukan bot dan enjin bot. Rumah mereka pula beratap nipah dan sudah renta, dengan ayah ibu yang masih hidup, tetapi hanya sekadar mampu memberi nasihat.

Dikhabarkan kepada saya, kononnya dahulu dia lelaki yang sederhana dalam pelajaran, tetapi masih mampu menyambung ke sekolah menengah. Namun jauhnya sekolah menengah yang berasrama itu, sampai harus meninggalkan keluarga selama setengah tahun.

Atas kerana itu, lelaki yang saya mahu ceritakan ini pelajarannya hanya setakat darjah enam. Dia tonggak keluarga, dan sebagai tonggak keluarga, dia tidak mungkin meninggalkan keluarga sampai setengah tahun, sepertinya larangan memakan buah khuldi, boleh sahaja jatuh derhaka. Syukurnya, boleh juga dia membaca, mengira dan tidak perlu masuk kelas dewasa.

Waktu itu, saya masih kecil, darjah satu, dan selepas sekolah, saya suka bertemu lelaki itu yang menjadi kawan saya, walau dia, usianya 15 tahun lebih tua daripada saya. Bukan kerana kampung saya tidak ada rakan sebaya, namun kerana enjin bot ayah saya di bawah 100 kuasa kuda, dan enjin bot ayah semua rakan sebaya saya, semuanya di atas 100 kuasa kuda, saya menjadi orang terbaik untuk diberitahu, “Bot ayah saya lagi laju daripada bot ayah kamu.”

Saya masih kecil, namun untuk dimaklumkan begitu, saya tidak sudi. Penyelesaiannya, saya berkawan sahaja dengan lelaki itu. Setidak-tidaknya dia hanya ada dayung di bawah rumah.

Sekadar menatap.
Seperti hari-hari biasa, datangnya saya ke rumah lelaki itu dengan pedang kayu yang saya paksa ayah saya buat. Semuanya gara-gara drama Ninja. Pedang kayu itu, harta yang saya sangat sayang dan tidak ragu-ragu dibawa tidur. Bersama pedang kayu, saya akhir sampai ke rumah lelaki itu yang sedang berehat-rehat di atas tangga, dan berbahasa senyum dengan saya. Di tangannya ada sebatang pen dan sekeping kertas putih yang mungkin dia ambil dari buku adiknya yang darjah tiga.

“Tulis apa?” soal saya, sambil terus menghayun-hayun pedang.

Dia tersenyum, menampakkan gigi. Namun, tiba-tiba malu-malu dan ragu-ragu terpasang teguh di balik senyumannya itu. Aneh, tidak seperti biasanya, dia tidak pernah ragu-ragu hendak menjawab.

“Kamu kecil lagi, nanti kamu sudah besar, kamu akan tahu,” katanya tersenyum.

“Dia tulis surat cinta untuk anak ketua kampung,” jerit satu suara dari atas rumah yang renta itu. Pasti suara adiknya yang darjah tiga. Cinta? Saya yang waktu itu hanya tahu HMI, drama Opah dan Ninja mengaru-garu kepala, sebelum tersenyum-senyum malu sendiri. Ternyata di hadapan saya itu, ada hal yang mengejutkan hati saya, hal orang dewasa. Namun, seketika saya mengerut dahi dan memandang lelaki di hadapan saya yang masih tersenyum malu sendiri.

“Tetapi diakan sudah belajar tinggi di kota. Kamu pula di sini memanjat kelapa. Dia suka kamu?” soal saya dengan wajah murni, dengan hati yang betul-betul niat sekadar mahu bertanya.

“Apabila kamu sudah sampai waktunya, kamu akan faham sendiri kata saya ini,” katanya dengan masih tersenyum. Diakan suka tersenyum.

“Apa?” soal saya, pantas.

“Cinta itu halus, bila-bila sahaja akan terluka dan pasti akan terluka, derita. Namun cinta itu, akan lebih berharga dalam derita,” katanya tersenyum.

“Kalau tahu akan derita, buat apa bercinta?” soal saya lagi, dan pada waktu itulah, kisah yang saya temukan di dalam Sang Pemimpi, saya jumpa pada untaian kata-katanya, yang lambat-lambat, halus, pasti, dan saya ingat sampai sekarang.

“Cinta itu derita, apabila hati yang kamu mahu takluki, hati yang kamu puja itu adalah tembok kukuh yang tingginya mencuar, dan kerasnya ibarat besi. Untuk meruntuh dan seterunya menakluki tembok itu, kamu hanya ada lumpur di tangan, untuk kamu lempar. Lumpur yang kamu boleh ibaratkan cinta dan rindu. Adakah tembok itu akan runtuh? Tidak, tidak akan runtuh sampai kamu mati. Tetapi lumpur yang kamu lempar itu akan tertinggal di tembok itu, tinggal kesannya, kelabu. Cukuplah itu bagi saya, cukuplah. Walau ia tidak akan runtuh, setidak-tidaknya masih ada harapan, tembok itu akan terbuka pintunya, hanya untuk sekadar melihat lumpur-lumpur kelabu itu, ataupun terus mengikisnya dan membuangnya jauh-jauh. Cukuplah...,” katanya panjang diakhiri keluhan yang cukup pahit, dan saya mengerut dahi dengan pedang ninja bersandar kemas di bahu, tidak tersenyum, tidak menyambung, hanya, sekadar menatap, di tepi-tepi.

*Zainal Abas. Tonton Youtube berikut.

http://www.youtube.com/watch?v=ODbj1Y20CTk



*Sang Pemimpi, boleh dibeli di sini.

http://www.bookcafe.com.my/index.php?target=products&product_id=896

Shooting filem 'Sang Pemimpi' akan dimulakan 20 Julai 2009.

Tuesday, July 07, 2009

Ekonomi Malaysia yang kita sayang

Ijazah untuk orang kampung.
Telah bersandar rasa mahu memarahi diri sendiri, sejak ayah saya mentasbihkan kepada saudara handai taulan, saya sudah punyai kertas mulia bernama ijazah ekonomi. Semuanya kerana angka-angka yang tertulis rapi pada ijazah ekonomi itu, angka yang tidak diketahui maksudnya oleh ayah saya, adalah angka yang memberitahu, betapa mengharukannya pengetahuan saya berkenaan ekonomi, namun ayah saya pula betul-betul berbangga. Betul-betul membuat hati saya menjerit sesal.

Kalau kamu rasa, rasa itu sudah hilang selepas bertahun sudah, itu rasa yang tidak pernah akan betul. Rasa sesal saya sentiasa menunggu dalam kata-kata teman saya, “Kamu fikir, apa pengikut mazhab monetary dan mazhab Keynesian rasa apabila melihat keruntuhan ekonomi deravatif Amerika? Kalau kamu menambah tentang mazhab Friedman pun, boleh.”

Gugupnya saya, seperti Ketua JKKK yang ketahuan memakan duit membina masjid. Pasti, saya tidak mampu menjawab, kerana ijazah saya itu tujuan utamanya, adalah untuk menjadi manusia berijazah di kampung. Biar orang kampung mengatakan, “Dia adalah orang terpandai yang pernah kampung kita miliki.”

Niat yang terang-terang bengkok dan salahnya itu, mencetus kesusahan tanpa tabir, yang memperosokkan saya di tepi jalan menjadi penjaja air kelapa. Ya, sekadar itu sahajalah nilai ijazah ekonomi saya, selain menjadi orang terpandai yang pernah kampung saya miliki, pada zamannya.

Namun tetap juga saya mahu meningkatkan ekonomi, mahu menjadi kaya, dan cuba-cuba membuat orang kampung saya berkata, “Dialah orang yang paling kaya yang pernah kampung kita miliki.”

Teman sekuliah yang baik.
Saya sebagai manusia berijazah ekonomi, yang mengharukan pengetahuannya berkenaan ekonomi, tetap punyai akal dalam sesetengah perkara. Untuk menjadi kaya, perlu berguru, dan manusia yang paling bertuah untuk saya nobatkan sebagai guru adalah bekas teman kuliah saya sendiri.

Ilmunya saya tidak tahu bagaimana hendak mengukurnya, sama ada sehujung kuku ataupun sehujung dunia. Namun daripada lirik matanya kepada saya, setiap kali melihat markah peperiksaan saya, membuat saya geram. Apatah lagi dengan sungging senyumnya, membuat saya menyumpah-nyumpah namanya.

Saya juga tidak pasti, sama ada dia layak melirik saya sebegitu, juga sama ada dia sudah sampai tingkat untuk senyum seperti itu, yang apabila digabungkan seolahnya mengaduk kata, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Apapun saya pasti, saya layak menerima lirik dan senyum yang dijejali hasrat mengecilkan hati itu. Semuanya kerana, pada saat teman saya itu di perpustakaan, saya masih di panggung wayang. Pada saat dia terus di perpustakaan, saya masih di hadapan komputer bermain Diablo 2. Pada saat dia tetap juga di perpustakaan, saya di KLCC, berjalan-jalan.

Namun, atas itu jugalah, saya berlari-lari pada suatu hari hendak berjumpa dengannya, yang saya mafhum dia sudah menjadi pensyarah ekonomi di suatu tempat yang tingkat keilmuwannya tinggi. Untuk menjadi kaya, saya sudah berikrar berlebih-lebihan, untuk tidak akan jera melihat lirik matanya dan menatap sungging senyumnya. Saya cuba.

Ekonomi Malaysia.
Teman saya yang cemerlang otaknya itu, seperti yang sudah serpih-serpih hati saya jangka, tetap akan melirik dan tersenyum yang sepertinya berkata, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Seperti yang saya ikrarkan, saya tidak akan jera dan akhirnya kami berlabuh di sebuah restoran yang tiga tahun sekali pun belum tentu saya mahu masuk dengan hati yang tersenyum.

Dia, teman saya itu sepertinya sudah terlatih berada di situ. Terus sahaja tanpa tangguh, memacu pesanan makanan yang harganya, menyamai harga kasut kulit lembu terbaik. milik ketua kampung saya, yang kononnya dibeli di Madinah al Munawwarah. Lalu sekejap sahaja, bertapuk-tapuk makanan di atas meja, hanya untuk kami berdua.

“Di Malaysia, kalau kamu mahu kaya dengan cepat. Kamu hanya perlu masuk MLM ataupun menjadi orang politik, tetapi memandangkan saya kenal kamu, yang yakin, penjual daging babi salai itu lebih baik daripada penjual MLM, saya cadangkan kamu menjadi sahaja orang politik, dan untuk pelajaran ini, bayangkan sahaja saya orang politik, dan kamu sebagai rakyat,” ujar teman saya itu dengan sorot mata seorang guru disiplin. Saya menarik nafas perlahan, mengangguk perlahan.

“Pelajaran pertama, kalau kamu mahu kaya, yang paling penting adalah, kamu jangan takut berbelanja kepada rakyat. Inilah yang saya lakukan sekarang, tidak takut berbelanja kepada kamu,” kata teman saya tersenyum, entah tersenyum pada udang galah yang menyeruak isinya ataupun pada wajah saya jelas mengkhabarkan erti, “Oh ada udang, ada ketam, oh... ada kambing panggang! Eh yang hitam-hitam itu apa?”

Lalu saya mengangguk takzim. Seperti adab sepatutnya seorang murid kepada gurunya yang bijaksana. Kata-katanya itu, menyenangkan hati. Membuat saya tersenyum-senyum dengan bibir yang sudah berminyak, dengan sedikit biji cili.

“Seterusnya, kamu perlu bersama-sama dengan rakyat dalam menggunakan perbelanjaan itu. Jadi dalam contoh ini, kita sama-sama makan sahaja dulu,” kata teman saya lalu rakusnya dia, seperti orang Habsyah yang berada di dapur restoran orang Kelantan. Hinggakan saya, sudah hilang malunya untuk cepat-cepat merebut udang, ketam, sotong, dan apa-apa sahaja yang tertinggal.

Usai upacara makan yang luar biasa itu, teman saya tersenyum dan melirik saya, dengan senyuman dan lirikan yang bererti, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Tetapi mengapa selepas makan? Apakah maksudnya dia yang makan paling banyak? Saya mengaru lengan.

“Yang paling utama adalah, selepas kamu berbelanja banyak dan sudah makan bersama bersama rakyat, pastikan kamu berbelanja dengan tidak menggunakan duit kamu. Dalam kes ini, saya sebagai orang politik harus pergi dulu, ada kuliah 10 minit lagi. Terima kasih atas makanan tengah hari yang bahagia ini,” kata teman saya dan terus bangun berjabat tangan. Mimik wajahnya cukup tenteram dan girang.

Pipi saya yang baru sihat berona pula, mulai panas. Bayangan kasut kulit lembu terbaik, milik ketua kampung saya sudah menari-nari dalam kepala. Saya terus menyumpah perih. Bertambah galak sumpahan saya, saat teman saya itu, berhenti di pintu restoran dan memberikan lirikan dan senyuman yang semua sudah mafhum maknanya, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Usai kata itu berkicau dalam kepala, sayup-sayup pula saya mendengarkan kicauan keramat orang kampung saya, “Dia adalah orang terpandai yang pernah kampung kita miliki.”

Thursday, July 02, 2009

Jakarta, tidak mampu menanggung cinta

Sekarang.
Saya sering mendengarkan kicauan kata-kata teman saya ini, “Kamu tidak akan punya kehidupan dalam cinta, sekiranya kamu tidak punya cinta dalam kehidupan.”

Kata-kata yang sayang untuk saya lepaskan, namun apabila ditahan-tahan dalam hati, ia menjadi bahagia yang perih. Kerana kata itu, nafas saya sesak, kerana saya mahu mengkhabarkan sesuatu kepada pemandu teksi itu sesuatu yang saya junjung, namun sikap tidak rasional saya, melilit-lilit hati saya pada waktu itu. Kesalnya saya, tidak kepalang, hingga sekarang.

Setahun sebelum.
Meletakkan dengan cermat segala keputusan rasional yang meretak dalam kepala adalah perkara yang sering saya lakukan dengan cemerkap. Umpamanya pelayan restoran yang sakit perut, namun pada masa yang sama perlu menghidang air pada pelanggan dengan wajah yang tersenyum.

Saya sering mengumam bahawa saya ini seorang yang rasional. Namun tetap sahaja saya seorang manusia yang kurang serba-serbi, ada juga waktunya saya tidak rasional, namun saya perlahan-lahan akan memujuk hati supaya menjadi lebih rasional. Yang utama berkenaan rasional adalah, saya faham dan mafhum bahawa apakah waktu itu saya sedang rasional ataupun tidak. Itulah rasional yang saya junjung.

Tetapi, ada waktunya matahari itu gerhana, begitu juga saya. Sehinggakan rasional ataupun tidak itu sepertinya air sungai coklat dan air laut yang juga coklat, yang bertemu di muara. Tidak ada garis jelas antaranya, lalu semuanya serupa, sepertinya orang asli di Cameron Highland yang melihat orang Cina di Bukit Cina, Serdang, semuanya sama.

Sehari sebelum.
Hari di Jakarta membuat badan saya panas dingin. Walau semangat saya menggelora di kota yang trafiknya hanya selaju 20 kilometer sejam, saya merasakan saya belum bersedia menyuapi diri saya sendiri, apatah lagi menyuapi warganya yang hidupnya seperti dipegang sengsara.

Di mana-mana, pasti ada tangan halus yang terjulur meminta rupiah. Di mana-mana pasti ada tangan kasar yang akan tahan terawang-awang selama belasan minit sehingga ia digeseri rupiah. Di mana-mana pasti ada sorot mata yang sedang memasang perangkap simpati. Di mana-mana.

Lalu pesan terbaik yang pernah saya terima di Kota Jakarta itu, “Simpan Rupiah mu untuk dirimu sendiri ataupun untuk perutmu. Bukan untuk mereka yang tiba-tiba datang menghulur tangan, kerana sekali Rupiah mu jatuh ke tangan itu, pasti ribuan lagi akan datang kepadamu dan pada saat itu, sudah terlewat untuk kamu menyimpan buat dirimu sendiri.”

Saya menarik nafas panjang. Bukannya hati saya diniati dengan hasrat tidak peduli, jauh sekali dijejali hasrat mahu menghina. Namun seperti yang saya khabarkan tadi, Rupiah saya belum cukup bagi menyuapi diri saya sendiri, apatah lagi hendak membiar diri saya dirubung tangan-tangan yang meminta Rupiah.

Boleh sahaja saya mengaup seribu alasan, namun jujurnya atau lebih tepat, manisnya iman saya itu belum bertaraf madu. Iman saya masih tawar, kalau tidak pun masin, dan terkadang pahitnya, aduhai, hanya rasa hempedu yang boleh membandingnya.

Akhirnya, itulah rasional yang saya rengkuh dalam hati. Rasional yang saya ikrarkan untuk Kota Jakarta.

Sejam sebelum.
Waktu-waktu bahagia saya di Kota Jakarta sudah lungsur perlahan-lahan, seiring dengan lajunya teksi ke lapangan terbang Soekarno Hatta. Oleh kerana saya yang duduk di belakang dan bos saya di sebelah pemandu teksi yang wajahnya keras, namun meneduhkan hati, wajah yang kalau dia mengaku imam besar pun kamu akan percaya. Saya pula, dengan posisi saya itu, saya bebas memicing mata, lalu lelap tidak bertangguh walau bunyi hon teksi itu berhamburan ke serata jalan.

Sehinggalah beberapa ketika, lelah saya surut dan saya membuka mata memerhati Kota Jakarta yang semakin ke pinggir, meninggalkan trafiknya yang ibarat berjalan di lumpur pantai. Saya tersenyum, dengan wajah yang bersedia menatap Malaysia. Saya memandang ke depan, ada alunan muzik kumpulan Scorpian yang berkidung dalam teksi itu. Jantung saya terpacu dan akhirnya tidak ada hal lain selain ia muzik daripada telefon bimbit pemandu teksi.

“Ya, sayang. Sayang sekarang di mana?” Pemandu teksi itu memulakan perbualannya.

“....”
“Kamu dapat ranking kelima? Kalau sayang dapat rangking ketiga kan dapat hadiah,” ucap pemandu teksi itu lembut.

Lalu perbualan itu berlarutan dan saya hanya sempat menyimpan kata-kata, “Jangan naik motor sayang. Nanti ayah marah. Jangan buat ayah marah, ya. Belajar lagi rajin-rajin.”

Saya berusaha melonggarkan kepala, bagi meneka-neka dengan siapa pemandu teksi itu berbicara, dan ternyata itu tidak perlu apabila pemandu teksi itu berpaling ke arah bos saya dan berkata, “Itu anak saya. Dia dapat rangking kelima di dalam kelasnya. Kalau dia dapat rangking satu hingga ketiga, saya berjanji berikan dia hadiah.”

Saya diam. Kata-kata pemandu teksi itu menggaris suatu rasa yang pedih dalam hati tetapi ia belum dalam sehinggalah dia menyambung lagi, “Saya ini hanyalah supir teksi. Makannya sendiri tidak tentu, apatah lagi mahu berlebih-lebih. Saya tidak mampu memberikan anak saya itu apa-apa, saya hanya mampu memberikannya pelajaran. Itu sahaja yang saya mampu.”

Kata-kata itu menggaris semakin dalam, dalam hati saya. Perih dan pedih, melahap-lahap tengah hari bahagia saya. Saya diam dan ketika itu juga saya sudah sampai pada titik akhir perjalanan.

Bos saya yang di samping pemandu teksi itu mula menggelepar tangannya menyeluk poket dan berkata, “Pak, berikan RM10 ini untuk anak bapak. Katakan kepadanya, Bapak dari Malaysia hadiahkan kerana berjaya dapat rangking kelima. Katakan, belajar rajin-rajin.”

Saya kaku, kata-kata itu membesarkan hati saya, tetapi saya hanya kaku di situ melihat pemandu teksi itu mengangkat kedua-dua tangannya melepasi kepala dan berkata, “Alhamdulillah. Semoga berkat kehidupan bapak. Alhamdulillah!”

Saya terus diam. Diam dan diam. Kaku dan kaku. Sehinggalah teksi itu berlalu dan saya sudah berada di hadapan kaunter, berhadapan perempuan cantik Indonesia, kata-kata teman saya pula mula berkicau dalam hati, “Kamu tidak akan punya kehidupan dalam cinta, sekiranya kamu tidak punya cinta dalam kehidupan.”

Saya menahan nafas. Mahu sahaja saya menghempaskan beg berat saya dan mengejar pemandu teksi itu dan berkata, “Bapak tahniah kerana punyai anak yang pintar dan ini hadiah saya untuk bapak dan anak bapak. Semoga dia jadi manusia yang baik masa depannya.” Semuanya untuk menunjukkan cinta, untuk menunjukkan kasih, kerana apalah maknanya kasih kepada manusia sekiranya ditahan-tahan.

Namun, semuanya sudah terlewat. Saya menyumpahi rasional saya pada waktu itu. Entah daripada mana, rasional yang saya ikrarkan untuk Kota Jakarta mengelinjang baik dalam kepala, rasional untuk tidak memberi Rupiah kepada sesiapa. Rasional yang saya sesalkan sehingga sekarang. Saya membiarkan sahaja bos saya yang membuat semua kebaikan lalu menyatakan kasih dan cinta, padahal waktu itu saya juga mampu membuatnya. Lantas, saya membenarkan diri saya tidak punya cinta dalam kehidupan, hanya kerana pesan terbaik yang pernah saya terima di Kota Jakarta.

Tuhan ampunkan hambaMu ini Ampunkan.

Thursday, June 25, 2009

Lelaki jahat ini yang kau sayang

Pasti kita pernah menanggung rasa ini, menanggung perasaan tidak sampai hati. Sampaikan kita terperangkap dalam undangan paksa dari suatu sorot mata.

Hal itu yang sering saya rasa apabila seseorang datang kepada saya, menjual apa sahaja berkenaan sesuatu yang tidak saya perlu. Akhirnya, saya sendiri yang malu-malu mengatakan tidak.

Berbeza pula dengan teman saya, dia sering tidak mendapatkan rasa ini pada cara yang sama saya mendapatkannya. Dia sebagai lelaki yang kacak, mendapatkannya daripada para perempuan yang merayunya.

Dia juga malu-malu memberi kata tepisan, namun akhirnya untuk seorang perempuan, dia berjaya juga melepaskan tanggungan perasaan itu. Dia bahagia.

Cuma akhir-akhir ini dia bercerita berkenaan sesuatu. Suatu cerita yang membuat saya menahan nafas dan menahan pelupuk mata daripada berkedip selalu.

Katanya, “Perempuan itu sudah menjadi isteri saya, namun entah mana silapnya, dia menjadi cemburu yang tidak tahu hujung pangkalnya. Dia cemburu kerana ramainya perempuan yang melirik saya. Juga mula melemparkan kata-kata tidak puas hati kerana, saya ini lelaki yang bergaji rendah, tidak berpelajaran tinggi. Serba-serbi berkenaan dunia yang tidak manis.”

Saya mengangguk dan bertanya, lalu apa tindakannya?

Katanya, “Saya katakan kepadanya, walau saya ini suami yang serba kurang. Walau perempuan sering melirik saya. Tetapi saya ini suami yang tahu diri. Saya ini suami yang tahu maknanya setia, tahu maknanya tanggungjawab. Jika pun kamu mahu mengatakan saya jahat, ingat hal ini, lelaki jahat inilah yang kamu sayang dahulu.”

Saya tidak bertanya lagi. Tidak tahu hendak berkata apa, walau saya ini juga suami. Saya berdoa baik-baik, semoga saya tidak perlu berkata begitu, berkata, “lelaki jahat inilah yang kau sayang.”

Tuesday, June 23, 2009

kita akan berlalu

Saya dimaklumkan oleh teman saya yang baik hati, fikiran dua manusia yang sedang berbicara itu boleh terbahagi kepada empat. Sama ada ia ada dua titik fikir yang akan bertemu ataupun dua titik fikir yang hanya berselisih dan tidak bertemu. Yang ketiga pula, ialah dua titik fikir yang akan bertemu namun salah satu titik itu menyingkir dan hanya mahu berselisih dan keempat, titik fikir yang hanya berselisih, tidak akan bertemu namun, dibengkokkan garisnya dan akhirnya titik-titik fikir itu bertemu.

Saya dinasihatkan, jangan berbicara sekiranya sedar titik fikir kami hanya akan berselisih kerana pasti tidak menemui titik persamaannya, dan ingatan yang paling keras, jangan berbicara dengan manusia yang walau titik fikirnya akan bertemu dengan titik fikir kita, namun manusia itu memilih berbengkok, berselisih dan tidak mahu bertemu. Itu hanya akan menyakitkan hati saya.

Puncanya, menurut teman yang memaklumkan kepada saya,

“Mereka sudah menghakimi fikir mu, sebelum kamu membuka mulut, menerangkan apa fikir mu.”

Saya diam.

Wednesday, June 17, 2009

Lelaki yang menemui cinta selepas tengah malam

Semalam, saat malam sudah berayun-ayun senang, saya pula sedang mengerut dahi, sepertinya mahu menemukan kedua-dua hujung alis mata. Saya sedang berusaha mencetak prestasi yang cemerlang dalam bidang freelance. Mencari rezeki untuk keluarga.

Waktu itu, rasa kosong tertegun di balik hati, kerana saya ditemani dengan merdu suara radio yang bergemeretak. Saya senang, seperti senangnya malam, dibilas-bilas dengan irama lagu daripada radio. Sesekali antara jeda irama itu, diselangi dengan panggilan telefon daripada pendengar dan celoteh DJ.

Dalam jeda itu jugalah, ada sesuatu yang mematut-matut hati saya. Saya mendengarkan satu suara dan saya cukup senang dengan suara itu. Nadanya, tenang, jelas, kukuh, tidak melengking tetapi endah dan jujur. Suara yang menjemput saya pada erti keikhlasan, pada erti perjuangan dan pada ertinya cinta. Ia menjunjung tinggi apa yang dituturkan dan hasilnya, ia mengandungi kesan yang jauh lagi mampu saya gapai.

Itu suara seorang pemandu bas di Putrajaya. Katanya, dia menujukan lagu yang akan diputar kepada isterinya dan anak-anak kesayangannya. Mungkin sahaja waktu itu isterinya sedang mengajari anak-anaknya mengaji, dan dia berpesan yang dia menyayangi mereka sepenuh hatinya, dan meminta maaf yang dia hanya boleh balik selepas detik 12 tengah malam, kerana waktu itu barulah rangkaian kerjanya menemui noktahnya. Sungguh, dia adalah antara sosok lelaki yang membuat hati saya berdecap-decap kagum, namun rasa yang paling terurai-urai dalam hati adalah jutaan simpati. Entah mengapa hati saya merasa begitu.

Itulah suara yang berkicau-kicau dalam hati saya. Rangkaian katanya seolah-olah salji dalam hati, terus saya menarik nafas panjang, dan segera mentasbihkan rasa bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang.

Namun seketika, hati saya terjerembap, terbata-bata. Saya membenamkan fikiran saya pada persoalan, bagaimana sepatutnya saya mengembangkan sikap kepada lelaki itu? Kerana, setidak-tidaknya lelaki itu akan menemui cinta selepas tengah malam. Sedangkan ramai manusia lainnya, apabila digagahi persoalan cinta, hanya mampu menuturkan, hanya Tuhan yang tahu.

Mungkin, itulah peri kehidupan. Terima dan tersenyum, ataupun, terima dan diam.

Thursday, June 11, 2009

tidak disenandung

Kisah anak-anak 1
Kisah anak-anak 2
Kisah anak-anak 3
Kisah anak-anak 4
Kisah anak-anak 5
Kisah anak-anak 6

Saya hari itu, membuang pandang ke tepi pintu, lalu melempar senyum ke wajah bak rembulan yang mengintip di situ, dan daripada wajah itu, saya membaca sesuatu.

Itu wajah anak sepupu saya. Tubuhnya sudah menokok beberapa inci. Namun wajahnya tetap seperti dahulu. Wajah yang menciptakan rangkaian cerita bahagia. Rambutnya dahulu yang sering saja lungsur ke dahi dan melitupi mata, sudah elok ditata. Mungkin ditata oleh ibunya, namun saya berdoa jangan ditata oleh kakak-kakaknya, kerana kakak-kakaknya sering saja bermuka merah dengannya.

Walau begitu, tetap juga tangan halusnya, dia menyibak rambutnya ke belakang, jelas sudah menjadi kebiasaan. Dia ikut mengembangkan senyumnya, lalu meninggalkan lekuk pada kedua-dua belah pipinya.

Dia menggerakkan kakinya, laju ke arah saya dengan wajah yang tetap memantulkan apa dalam hatinya. Tanpa gelembung-gelembung pertanyaan, dia terus sahaja membenam tubuh di sofa, merapat ke arah saya. Dia masih tersenyum. Luar biasa.

Dia menggerak-gerak perlahan kepalanya, ke kiri, ke kanan, dan di situ dapat saya baca, ramahnya tak luntur, tak lenyap walau jeda waktu kami tidak bersua suara, sudah bermuara.

“Bonda memberitahu, saya perlu jadi seperti jarum jam yang menunjukkan jam, bukan jarum minit dan bukan juga jarum saat. Tetapi bonda tidak menerangkan mengapa. Abang tahu?” soalnya, selepas beberapa waktu berbasa-basi berkenaan masa yang ditinggalkan.

Saya menarik nafas panjang. Soalannya itu berorama pekat, lalu menakar rasa yang dalam ke dalam hati.

“Mungkin bonda kamu mahukan kamu diam seperti jarum jam itu. Tidak seperti jarum saat yang sentiasa bergerak, lalu membuat dia hilang tenang kerana asyik memerhati kamu,” jawab saya tersenyum.

Anak sepupu saya itu, menutup mulutnya, ada sesuatu yang ditahan-tahan, namun dapat saya baca, dia sedang girang tak kepalang. Saya mengerut dahi lalu bertanya mengapa.. Apa yang ada pada jawapan saya itu hingga menobatkan rasa lucu dalam hatinya?

“Maaf,” tutur anak sepupu saya tu sebelum menyambung, “Sebenarnya bonda sudah memberitahu jawapannya, dan tadi saya hanya mahu menguji abang, dan jawapan abang itu menggeser jauh daripada jawapan bonda.”

Anak sepupu saya masih menyisakan wajah yang berona lucu pada wajahnya walau sudah diam dan sigap merenung saya. Saya mengerut dahi dan hati saya rasa terhempas. Terus saya bertanya apa yang bondanya kisahkan.

“Kata bonda, saya perlu seperti jarum jam yang menunjukkan waktu jam kerana, ia perlambangan manusia hebat yang merendah diri. Ia pendek, tidak mengundang perhatian, tidak ketara, namun ia cukup penting. Malah pada detik ia bergerak, ia membawa makna yang cukup besar pada manusia. Juga, detik jam dahulu yang akan disebut sebelum minit dan saat. Menurut bonda ia boleh dibuktikan. Cuba sahaja abang memandang jarum jam pada dinding. Apa yang abang rasa sekiranya berpeluang melihat jarum yang menunjukkan waktu jam itu bergerak? Pasti abang berasa bertuah, berasa dihargai nasib, kerana biasanya jarum jam itu tidak kita pedulikan dan jarang kita berpeluang melihat detik ia bergerak. Namun tetap sahaja ia menjadi perkara yang paling utama dalam hidup kita. Jadi bonda mahu saya begitu, merendah diri, tanpa perlu menunjuk, tidak memberitahu saat saya bergerak dan namun, manusia yang memandang saya pada saat saya bergerak akan berasa bertuah dan dihargai. Itu yang disukai Tuhan dan manusia itu yang akan diberkati oleh-Nya. Merendah diri,” jelasnya panjang lebar.

Saya memicing mata, fikiran saya berputar, sebelum kembali menyeluruhi wajahnya, dan saya tersenyum. Rasa nakal menggelinjang dalam kepala saya. Saya mahu melihat dia memimik wajah yang galau, kerana wajahnya yang sebegitu, begitu meneduhkan hati. Saya bertanya, “Apakah menjadi jarum saat dan jarum minit itu tidak bermakna?”

Aneh, anak sepupu saya itu terus sahaja tersenyum. Tidak langsung memimik wajah yang galau. Saya pula yang mengurut pelipis.

“Bonda kata, jarum saat dan jarum minit itu tetap juga berharga kerana jarum-jarum itu sebenarnya bekerja untuk jarum jam, dan jarum jamlah yang mengawal mereka. Jarum saat boleh sahaja berhenti, mati, namun jam tetap masih boleh diguna. Jarum minit juga boleh sahaja tidak bergerak lagi, namun jam masih berguna sebagai penunjuk waktu, namun apabila jarum jam sudah berhenti, apa lagi maknanya hidup sebuah jam?” terangnya dan soalnya kembali.

Saya tersenyum sambil menggaru kepala. Kata-katanya itu bertapuk-tapuk dalam kepala saya, bertebaran menutupi lompong-lompong fikir yang lama kosong.

“Bonda kata lagi, tidak ramai manusia yang sebegitu. Sangat berguna dan penting hidupnya kepada manusia lain, namun kerana ia tidak memaparkan diri, tidak bising, tidak itu ini, maka dia dilupakan, malah sering dipinggirkan. Namun itu yang disukai Tuhan, dan saya yakin bonda saya salah seorang daripadanya, kerana sering saja saya tidak mempedulikan nasihat bonda,” kata anak sepupu saya lagi.

“Jadi menurut kamu, abang ini seperti apa?” soal saya tersenyum.

Anak sepupu saya memandang tak tega, mulutnya seperti kehilangan butir kata, namun dipaksa-paksa sebelum berkata, “Abang ini seperti jarum saat.” Pendek.

Lalu saya terus terjajar ke belakang dengan nafas yang ditahan.

Saturday, June 06, 2009

kisah yang rupawan

Saya punyai rangkaian kisah yang menyisakan garis aneh yang tak luntur dalam hati. Antara rangkaian kisah itu, melungsur kisah yang terjadi lagi pada hari ini.

Semasa saya sekolah, saya adalah murid yang tak punya seberkas pun harapan. Sehinggalah kedatangan seorang guru. Kedatangan guru itu membuat saya menjadi murid yang dipandang. Hampir saja ditatang.

Hal itu membuat bangun saya mendahului matahari. Walau dingin, walau mengundang wajah serong-serong murid lain, semua itu tidak mempan. Saya adalah manusia baru yang dijejali hasrat untuk belajar.

Semuanya atas nama kebersamaan dan itu juga yang diajarkan oleh guru saya itu yang namanya Baharuddin Dolmat. Kebersamaan pada nama. Antara kata-katanya yang bertapuk-tapuk dalam ingatan saya adalah, “Jangan malukan orang yang nama Baharuddin.”

Itu juga yang terjadi pada hari ini. Saya sepertinya disumpahi kisah yang sama. Lalu menjadi rangkaian kisah aneh yang tak luntur. Terjajar menjadi lingkaran-lingkaran yang mendukung sesamanya.

Hari ini, saat saya membuka Facebook, ada lelaki dari Switzerland, orang Tunisia yang menghantar muafakat bagi menjadi teman Facebook. Hujung bibir saya tersungging. Entah bagaimana dia lelaki Tunisia itu menjumpai saya.

Saya dengan bersenandung kecil, membuka profil lelaki Tunisia itu dan saat itu, rangkaian kisah aneh saya kembali terampil anggun. Membumbung tanpa ragu-ragu.

Nama lelaki itu Hatem El Bekri. Namun kisahnya belum lagi menghambur dan menimpali hati. Sehinggalah saya yang masih bersenandung kecil membuka kumpulan temannya Facebooknya. Saya mengerut dahi, rangkaian temannya menyambar senandung kecil saya. Saya diam.

Saya menemukan nama, Amine El Bekri, Lydia El Bekri, El Bekri, Hedi Bekri, Rania Bekri, Soumia Bekri, Toutou Bekri, Adnene El Bekri, Houda El Bekri, Ines El Bekri, Kais El Bekri, Skander El Bekri, Wafae El Bekri, Wej El Bekri, dan yang paling bahagia antara rangkaian nama itu, adalah Bahruddin Bekri.

Walau saya termangu-mangu memandangi jajaran nama itu, walau serpih-serpih prasangka terburuk dan takut sudah sampai ke ubun-ubun, tetap juga saya memasang persangka muslim yang baik. Mungkin sahaja Hatem El Bekri adalah manusia yang mahu menarik nama Bekri itu menjadi rangkaian yang perlu dijaga. Family Bekri. Setidak-tidaknya untuk waktu ini, itu yang saya mahu rasai dan mahu saya fahami.

Lalu kini, kata-kata yang pernah menyatukan percaya diri yang remuk berserakan, kembali melengking tinggi. Walau tidak dikuping telinga, namun dalam hati, tetap saja ia senyaring gemaung singa. “Jangan malukan orang nama Bekri.”

Walaupun kata-kata itu lebih tepat sekiranya ditasbihkan untuk ayah saya, namun sebagai anak yang baik, tetap juga saya yang menyangga, dan menjunjung semerbak kata-kata itu.

:)



Profile Hatem El Bekri

http://www.facebook.com/profile.php?id=1552032570

Thursday, June 04, 2009

cinta manusia jahat

Walau meteor akan menghempap kepala saya, kalau saya tidak mengatakan kata-kata itu, pun hati saya masih berayun-ayun dengan ragu, bagi mengucapkannya. Tidak mungkin dan tidak berani. Itu ucapan milik antagonis dan saya bukan itu. Bukan juga kerana saya protogonis, cuma mafhum tahu, saya laki-laki biasa yang hanya duduk sebagai tamu.

Walau begitu, itu juga kata-kata yang sering melantun anggun dari bibir semua manusia yang mahu menolak cinta. Kata mereka, “Kamu terlalu baik untuk saya.”

Itu kata-kata yang walau sedekat kuku pun tidak saya mahu sentuh. Walau ia terdengar anggun membumi dan santunnya melangit. Tetapi akibat kata-kata itu, kamu akan jatuh sepertinya jatuh dari tujuh petala langit, dan terhempas ke dasar tujuh lapis bumi. Mati dan tidak akan ada sisa walau cuma untuk sisa yang berkeping-keping.

Namun daripada kata-kata itu, saya belajar sesuatu tentang manusia. Semuanya berkat kisah seorang teman. Teman saya itu, perempuan yang cantik, pelajaran tinggi, wang penuh di bank, baiknya tak berpenghujung, dan semuanya yang kamu namakan keindahan manusia. Hampir semuanya ada padanya.

Hampir semuanya kecuali cinta. Sehingga dia bertemu dengan seorang jejaka dan saat itu semuanya hampir sempurna sehinggalah jejaka itu mengatakan, “Kamu terlalu baik untuk saya.”

Teman saya, yang punyai keindahan manusia, terpincang-pincang hatinya. Kepalanya galau, dan darahnya girap-gemirap. Namun tetap dia tersenyum memandang jejaka itu.

“Saya terlalu baik untuk kamu?” tanya teman saya.

Jejaka itu tunduk, sepi. Namun wajahnya tetap mengangkat hati yang memandang.

“Jadi, maksud kamu, cinta saya itu berbeza?” soal teman saya lagi.

“Ya. Cinta kamu berbeza dan saya tidak layak untuk itu,” jelas jejaka itu kemudian.

“Jadi, boleh kamu beritahu saya, apa bezanya cinta orang baik dengan cinta orang jahat? Apa bezanya? Apa pula bezanya kebaikkan orang baik dan kebaikkan orang jahat? Ceritakan juga, apa bezanya kejahatan orang baik dan kejahatan orang jahat? Apa bezanya?” Teman saya mengeser soalannya, lembut ke hujung hati jejaka itu.

Jejaka itu menutup pelupuk mata. Mimik wajahnya memberitahu yang dia sedang berfikir tetapi tidak nampak cahaya untuk fikirnya.

“Manusia sering berkata, jahat itu tetap jahat. Walau siapa pelakunya. Walau pelakunya itu mufti, walau pelakunya itu tahfiz. Jahat tetap juga jahat. Baik juga begitu. Walau pelaku kebaikan itu pembunuh, perogol atau apa-apa sahaja yang kamu gelar manusia jahat. Baik tetap juga baik. Tetapi mengapa cinta perlu diasing-asingkan? Apa cinta orang baik itu berbeza dengan cinta orang jahat? Cinta tidak pernah berbeza. Cinta tetap juga cinta. Jadi walau saya terlalu baik untuk kamu, cinta saya tetap tidak berbeza daripada cinta orang yang jahat. Sama,” jelas teman saya, panjang lebar.

Jejaki itu menarik nafas panjang. Kerut-kerut wajahnya terukir bersama nafas yang disedut dalam-dalam.

“Katakan sahaja, kamu tidak cinta saya. Itu saya mampu mengerti. Tidak perlu menjaga hati, tidak perlu rasa bersalah untuk mengatakan hal yang jujur, ringkaskan sahaja, kerana perkara yang diucap ringkas itu lebih mudah dicerna hati, dan tidak perlu menyeksa batin untuk berfikir, mengapa saya terlalu baik untuk kamu,” sambung teman saya lalu terus berlalu. Jejaka itu pula entah apa ceritanya sekarang.

Tetapi bukan cerita teman saya itu sebab utama saya ragu bagi mengucapkan kata-kata itu, bukan juga kerana saya tahu meteor hampir tidak mungkin menghempap kepala saya, cuma sahaja, saya tidak perlu berfikir ke arah itu. Untuk hidup saya ini, walau tidak sempurna, tetapi saya suka. Itu saja.

dia pengarang kecil

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4
Lelaki Tua: Kisah 5
Lelaki Tua: Kisah 6
Lelaki Tua: Kisah 7
Lelaki Tua: Kisah 8

Hati kecil ini pernah juga menggelora, mahu menjadi pengarang besar. Namun tidak juga besar. Malahnya semakin bergeser menjadi kecil. Entah mana durinya, tidak tahu juga mana selutnya.

Lalu dengan langkah yang berjingkat-jingkat di pasir yang halus, saya duduk di batu kusam, memandangi laut. Bayu menyelinap halus, dan matahari pula sudah menggaris tepat di bawah ubun-ubun. Suasana sepertinya alunan biola yang gemersik, merengkuh, menjunjung, dan menatang semua yang indah-indah.

“Kamu mahu menjadi pengarang besar?” tanya satu suara yang terdengar selesa, tenang dan membesarkan hati.

Saya berpaling dan sesaat tersenyum. Dia, lelaki tua itu lagi yang berbaju merah, tersenyum dan yang menegur tadi. Saya terus sahaja mengangguk.

“Lihat perahu di sana. Itu adalah perahu terbaik yang pernah saya tahu, tetapi mengapa perahu itu tidak dibesar-besarkan orang dan hanya menjadi perahu kecil yang dilambung ombak?”

Saya diam. Mata saya sepertinya anak panah, menancap pada perahu kecil yang bergoncang di laut. Kepala saya mula berputar, umpamanya roda ferris yang berwarna terang dengan lampunya yang girap-gemirap.

“Semuanya kerana pembuat perahu itu tidak menghantar perahunya ke mana-mana pertandingan perahu. Lalu tidak memenangi apa-apa anugerah. Lalu tidaklah orang tahu yang perahu itu adalah yang terbaik, kerana manusia punyai definisi yang mudah berkenaan yang terbaik. Terbaik itu adalah sesuatu yang sudah dinilai, diadili, dianugerahi, dan seterusnya dipuji oleh sekumpulan kecil manusia yang bernama juri. Tetapi itu bukan soalnya,” sambung lelaki tua itu.

“Jadi?” soal saya, sambil mengurut pelipis.

“Jadi, kamu berasa kamu pengarang kecil, kerana kamu juga sama seperti manusia yang lainnya. Menganggap sesuatu yang terbaik itu perlu dinilai, diadili, dianugerahi, dan dipuji oleh kelompok juri. Sedangkan seperti perahu terbaik yang dilambung ombak itu, juri terbaiknya adalah ombak itu sendiri. Biar, tidak dikalungi medal, namun perahu itu tetap kukuh, dan tetap tidak canggung dilambung ombak. Kamu juga perlu begitu,” terang lelaki tua itu.

“Saya perlu bagaimana?” soal saya. Saya mengerut dahi. Roda ferris saya terus sahaja berpusing.

“Kamu perlu seperti perahu itu. Membuktikan tulisan kamu bukan pada nilaian juri tetapi pada nilaian sesiapa sahaja yang membaca tulisan kamu. Sesiapa sahaja, tukang sapu sampah, askar, cikgu, posmen, dan paling utama, Tuhan. Semua itu adalah juri kamu. Bagus untuk mendapat anugerah, namun kamu tetap mampu menjadi pengarang besar sekiranya menulis-menulis begini. Menulis kecil di dalam blog, di atas kertas kumal, dan di mana-mana sahaja. Hanya yang membezakan kamu dengan pengarang besar yang lain, mereka memasuki peraduan, menang dan mendapat anugerah, dan kamu tidak memasuki mana-mana peraduan dan tidak ada apa yang hendak ditunggu. Itu sahaja bezanya,” jelas lelaki tua itu dan terus tersenyum.

Saya menggaru kepala. Roda ferris dalam kepala berhenti berputar, black out. Aduh. Jelas sahaja saya tidak mampu menjadi pengarang besar, tidak mampu menjadi perahu kecil terbaik itu, kerana saya pernah juga memasuki peraduan dan langsung tidak ada khabar berita. Tewas mentah-mentah.

“Tetapi, kalau pun kamu menjadi pengarang kecil, apa salahnya? Kalau kamu menjadi pengarang picisan, apa salahnya? Tidak ada apa salahnya asalkan ia bukan dosa. Yang utama, teruskan tersenyum dan menulis kerana Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita,” pesan lelaki tua itu.

“Terima kasih,” ucap saya lirih, tersenyum sambil hati saya mula berkicau dengan kata-kata, saya ini pengarang kecil. Ya, itu hakikat.

“Lupa saya memberitahu, berkenaan tulisan kamu,” tegur orang tua itu, memandang dengan lirik mata yang teguh. Saya menahan nafas.

“Sebenarnya... saya benci tulisan kamu. Berhenti saja menulis,” sambung lelaki tua itu lagi.

Hati saya terjerembap. Aduh. Baru betul-betul saya berasa diri saya adalah pengarang kecil. Terima kasih kepada lelaki tua yang berbaju merah itu.

“Sepatutnya kamu gambarkan saya sebagai lelaki muda yang kacak. Setidak-tidaknya seperti Rosyam Nor. Sudahlah menggambarkan saya sebagai lelaki tua, dipakaikan pula baju merah. Apa kamu rasa kalau kamu tua dan dipakaikan dengan baju merah? Sedangkan saya tidak suka warna merah, dan tulisan kamu memang membosankan!”

Saya memicing mata. Kalau iya pun tidak suka, tidak perlulah terang-terang begini. Aduh. Hati saya yang terjerembap tadi, tidak berbentuk lagi, hanya tinggal reruntuhan yang menandai pernah ada hati di sini yang perasan mahu menjadi pengarang besar. Namun tetap sahaja dia pengarang kecil.

Monday, June 01, 2009

cinta kita sebagai anak

Kisah Ayah 1
Kisah Ayah 2
Kisah Ayah 3

Waktu itu, saya masih dini, dengan rambut yang menutup dahi, gigi susu yang masih utuh dan tapak kaki yang belum kukuh. Dunia waktu itu berada dalam rangkulan saya. Saya mampu untuk apa sahaja, katakan sahaja, pasti saya memperolehnya dengan bersahaja.

Namun, ada juga perkara yang membuat dunia sepertinya terlalu besar untuk dirangkul. Ia akan membuat saya merapat diri ke dinding, mulut terkatup dan jantung berdegup laju. Waktu pula terasa terhenti, sepertinya waktu dalam jam yang rosak.

Saya ingat lagi waktu itu, ayah saya menoleh, dengan mata yang kosong, bersuara dengan nada yang sudah hilang lemaknya. Juga dengan mimik wajah yang mahu mengatakan sesuatu. Dia menarik nafas panjang dan perlahan-lahan menghampiri saya.

Telinga lembut saya ditarik hujungnya, dipulas dengan tangannya yang kasar. Air mata tanpa disuruh, keluar semahunya, namun suara saya tertahan di dada. Kemudian, tanpa berkata-kata ayah akan berlalu, menyisakan saya sendiri yang akan melungsur tubuh, lalu duduk memeluk kaki, tersedu-sedu. Dalam hati, saya membencinya dalam-dalam.

Dunia betul-betul sudah meninggalkan saya. Saya langsung tidak mengerti mengapa sesaat ayah tersenyum dengan kata-kata berlemak, seketika dia menjadi sepi dan hanya tangan yang berbicara, mendesak-desak.

Sehinggalah saya pada suatu waktu, pada saat saya sudah mampu berfikir sendiri, saya mendengarkan sesuatu daripada seorang guru.

Katanya, “Kamu percaya, ada tukang kayu, yang kerjanya mengukir sepohon kayu mentah, bertahun-tahun lamanya, seusianya, tetapi tidak mahu menerima upahnya?”

Saya menggeleng kepala. Tidak mungkin ada tukang kayu sebegitu.

Cikgu saya tersenyum dan menyambung, “ Ada, dan mereka adalah ayah kamu.”

Saya mengerut dahi.

“Ayah adalah seperti seorang tukang ukir kayu. Di mana tukang ukir kayu, mengukir kayu dengan hanya satu hasrat, menebarkan pesona daripada ukirannya itu. Menjadikan kayu yang kosong, tidak ada apa-apa itu, indah dan menyegarkan. Memandangnya sahaja, membuat manusia tidak bergeming.

Namun, bagi tugas mengukir kayu, sang tukang ukir itu punya pelbagai alat. Ada alat untuk permukaan yang lembut, ada juga bagi permukaan yang keras lagi degil bagi diukir. Semuanya bagi menjamin ukiran akhirnya indah.

Begitu juga kita dan sang ayah. Kita ini umpama kayu yang punyai sisi pelbagai. Ada sisi keras dan sisi halus. Pada saat kita menyerlahkan sisi halus kita, semestinya ayah ada caranya dan pada bahagian sisi keras kita pula, ayah juga punyai caranya. Semuanya hanya bagi satu sebab, mahu membina kita menjadi manusia yang menebar pesona.

Lalu cuba bayangkan si tukang kayu tadi menggunakan alatan yang lembut bagi bahagian yang keras, pasti bahagian itu tidak mampu diukir, malah alatnya juga mungkin binasa, dan tiada lagi magnum opus yang mampu dijunjung.

Sesudah sahaja ukiran itu siap, jelas coraknya, terang warnanya, dia akan menyerahkan ukiran itu berdiri sendiri, dan tukang kayu tadi hanya akan tersenyum tanpa meminta upah pun atas hasil kerjanya itu.”

Saya diam, tidak terkutik. Bayangan wajah ayah yang tersenyum pada saat uban sudah penuh, pada saat kulit sudah kendur, pada saat jejak kakinya sudah tidak dalam, mengelinjang hebat dalam kepala. Ayah, adalah tukang kayu yang tidak langsung meminta upah.

“Juga, kamu perlu ingat, dalam saat mengukir kayu, tukang kayu tadi berkali-kali terluka dengan alatannya sendiri. Terluka kerana tidak mahu ukirannya rosak. Saat lukanya yang paling dalam dan paling parah, adalah pada saat dia mengukir bahagian kayu yang paling keras, kerana alatan bagi bahagian itu adalah yang paling tajam.” Cikgu saya berwajah teguh memandang saya.

Saya terus diam. Bayangan ayah yang menoleh, dengan mata yang kosong, bersuara dengan nada yang sudah hilang lemaknya. Juga dengan mimik wajah yang mahu mengatakan sesuatu, dan menarik telinga saya terus masuk ke kepala. Saya diam. Perlahan-lahan air mata saya luruh dengan suara yang tertahan di dada. Sama seperti waktu saya masih dini.

Pasti, ayah waktu itu juga sebetulnya terluka dengan sikap yang harus dia ambil, lalu ayah menarik nafas panjang dan segera berlalu. Jelas dia tidak mahu melihat saya begitu kerana dia sudah cukup terluka.

Ayah, maafkan anakmu ini kerana membencimu saat dirinya masih dini. Maaf juga kerana anakmu ini tidak mampu menjadi ukiran yang terbaik kerana sudah lama terdedah dengan cuaca, sudah berkulat, cat yang ayah oles sudah mula tanggal. Anai-anai juga sudah mula membocor ukiran ayah ini. Maaf, ayah. Doakan sahaja, ukiran terbaikmu ini akan mampu terus menjadi ukiranmu yang menebar pesona walaupun dirinya sudah renta dengan dosa.

Ayah, doakan saya.

Nota: Hari ayah disambut pada hari ahad minggu ketiga setiap bulan Jun. Namun bagi saya, selagi ayah kita masih hidup, selagi itu adalah hari untuknya.