Monday, July 27, 2009

untuk hidup yang tidak dimengerti

Prolog.
Sejak itu, apa sahaja yang saya kerjakan, akan terhenti sebentar, hanya untuk mengurai-urai perlahan, makna seluruh kebaikan. Walaupun untuk waktu yang tidak terbilang, saya sering terlupa, yang saya pernah berhenti sebentar, untuk berharap, semoga hati saya akan berdetik untuk menyebut dua ayat. Dua ayat yang cukup untuk saya melihat makna seluruh kebaikan itu, dari A ke Z.

A ke Z.
Melihat kebaikan dari A ke Z, adalah berlebihan untuk kebanyakan manusia, termasuk saya. Mudahnya, dengan hati yang senang, dengan seberkas keyakinan, saya lebih suka melihat hanya dua huruf, A dan Z. Hanya dua.

Saya hanya mahu tahu, awal dan akhir. Lalu tidak susah untuk melihat saya, walaupun tidak dijejali hasrat mahu merendah-rendah, saya tega memandang kosong pencuci pejabat yang mengemas-ngemaskan meja saya. Diam dan sunyi. Hanya mahu tahu, bila mereka mula mengemas, dan akhir daripada tugas mereka.

Namun pada saat, fikiran saya berada pada masa lalu itu, semut yang terpincang-pincang, mengheret serdak roti di atas meja saya, pun saya akan berikan wajah yang membesarkan hati, walaupun ia hanya semut hitam, kecil dan terpincang-pincang.

Semuanya sejak itu, semenjak saya diberikan peluang oleh Tuhan untuk melihat keseluruhan makna kebaikan, dari A ke Z.

Damai.
Menjadi orang kampung pada waktu saya, di kampung saya, itu cukup berbahaya. Bukan kerana banyaknya kelapa hingga takut kelapa tua jatuh dan memecah kepala. Bukan juga kerana banyaknya hantu-hantu yang gembira berada di kalangan penduduk yang masih percayakan segala petua.

Itu semua bukan apa-apa, kerana yang paling bahaya adalah, nuansa kampung itu sendiri. Atas kerana, dengan hanya televisyen yang meribut, tergesa-gesa dan pantas, yang ditonton untuk satu hingga empat jam sehari, pada waktu malam, hidup kami di kampung selebihnya hanya mengerti, langit yang biru, daun-daun hijau yang lembut, bau tanah basah yang harum, dan irama rintik hujan yang bergemeretap. Semua itu memberikan kami hidup yang sangat damai, sangat tenang, sangat makmur, sangat perlahan, dan semuanya yang meneduhkan hati.

Fikiran kami, para penduduk kampung, dan semangat kami, ikut tenang, perlahan dan damai. Tidak ada istilah pantas, bersaing dan tergesa-gesa. Lalu, antara kesannya, orang kampung saya, paling banyak yang berhenti di laluan tiket LRT, kerana mereka dengan rendah hati, selepas bersusah payah memasukkan tiket pada laluan itu, mengharapkan, penghadang laluan itu dengan tenang, dan lembut menjemput mereka masuk. Hingga membuat lelaki-lelaki yang bertali leher, kacak, dan perempuan yang berskrit nampak betis, dan tergesa-gesa, terpaksa mengarah mereka masuk dan lalu, sebelum penduduk kampung saya berhenti lagi di hujungnya, hanya untuk melihat tiket yang keluar di hujung laluan dan mula berfikir perlahan.

Hal itu, yang terjadi pada saya dan ayah saya pada saat saya memperoleh keputusan UPSR yang tidak memungkinkan saya ke mana-mana selain ke sekolah menengah berasrama yang baru setahun dibuka, masih berhantu, dan 15 kilometer dari rumah saya. Saya dan ayah saya, tenang bersama-sama menatap slip UPSR saya yang cukup rendah prestasinya. Kami diam, dan tidak bersedih. Kami tenang, kami senyap, dan semuanya damai. Tiada tekanan kerana setidak-tidaknya, masih ada sekolah menengah berasrama yang baru, yang pasti saya boleh tenang duduk di situ, dan di situlah semuanya berlaku, dari A ke Z.

Sekolah menengah.
Ia bukan sekolah menengah berasrama yang terbaik, tetapi objektif dan fungsinya sama, melahirkan individu yang berjaya, walaupun ada juga alumninya yang hanya berjaya menjadi pemikul guni di kedai Cina. Namun, setidak-tidaknya mereka berjaya.

Di situ, ia adalah sekolah yang langsung tidak dipandang walaupun hanya sebelah mata oleh mereka yang mendapat semua A dalam UPSR. Tidak cukup dengan itu, malah mereka yang dapat satu B dan lainnya A, hingga juga kepada mereka yang hanya dapat dua B dan lainnya A, ikut tidak memandang walaupun dengan sebelah mata, dan saya, berada di sekolah yang mereka itu, tidak langsung mahu memandang.

Di sekolah itu, tidak ramai yang tidak tahu membaca, namun cukup untuk dikumpulkan dalam satu kelas yang meriah. Yang pandai-pandai juga tidak ramai, namun tetap juga cukup untuk satu kelas yang bahagia, dan sedikit demi sedikit, mereka yang pandai-pandai itu akan pergi kerana sudah dijemput dengan hormat oleh surat tawaran ke sekolah yang ada baju batik. Lalu apa yang tersisa? Sebuah lagi nuansa kedamaian, ketenangan, perlahan, dan semua yang bahagia.

Pada nuansa itulah saya menemui dia, di blok asrama dan di dalam bilik yang sama, teman yang membuatkan saya memperoleh peluang, melihat makna keseluruhan kebaikan, dari A ke Z.

Teman.
Entah apa gilanya gerangan dia, pada suatu hari yang bahagia, teman saya itu memperoleh akal, yang saya sangat yakin dia memperolehnya daripada televisyen. Dia mahu memberikan hadiah hari jadi untuk seorang lagi teman saya yang sangat gemar menampal gambar-gambar artis perempuan daripada ruangan hiburan akhbar, pada pintu lokernya. Mungkin itu cara untuk dia melepaskan rasa rasa rendah diri, kerana mengenangkan giginya yang sudah menguning padi, hingga diberikan gelaran terhormat - 'Mentega'.

Saya menyeringai, sinis dan dia dengan tidak terkejut dengan mimik wajah saya itu berkata, “Dia teman kita yang baru beberapa waktu ini kita kenal. Kita tidak sempat lagi hendak menunjukkan yang kita adalah teman dia yang baik, dan yang ikhlas mahu menjadi teman. Lalu apa salahnya, kita menunjukkan semua itu dengan cara yang pantas ini, memberi hadiah pada tarikh dia menemukan cahaya langit.”

Saya mengangguk, walaupun sebenarnya, saya langsung tidak faham. Namun hal yang membuat akal saya koyak, apabila dia bertanya, gerangan hadiah yang seperti apa yang harus dia berikan. Saya sebagai teman yang tenang, tidak memalingkan muka, tetap juga menatap dengan wajah yang menahan rasa terhairan-hairan. Saya merapatkan seluruh akal-akal saya yang tersisa untuk mencari hadiah hari jadi yang terbaik, kerana menyambut hari jadi di kampung saya, yang hanya meriah dengan sambutan Maulud Nabi, adalah sesuatu yang cukup aneh, dan sangat mustahil. Bayangkan sahaja, tarikh lahir sendiri, mereka tidak mampu kenang, apatah lagi mengenang tarikh kelahiran orang lain.

Itu perkara yang tidak pernah ayah, ibu, sepupu, dan nenek saya sambut. Malah hingga kini, saya juga masih seperti mereka. Jadi saya hanya memejam mata, memasang wajah ikhlas mahu membantu sambil cuba mengingat-ingat sekiranya ada adegan dalam drama Opah yang saya ingat berkenaan hari jadi. Apabila membuka mata, terus saya tersenyum.

“Kau belikan dia barangan yang sedia di dalam kotak. Sebab di televisyen, hadiah itu adalah sesuatu yang di dalam kotak, bersegi-segi dan dibalut rapi,” cadang saya dengan nada yang kedengaran bijaknya bukan kepalang.

Teman saya mengangguk,dan setuju, barulah kemudian tersenyum. Lalu pada hari yang indah itu, kami berjalan-jalan di jajaran kedai Cina tidak jauh dari asrama, mencari-cari benda yang ada di dalam kotak, dan apalah yang kamu harapkan dari kedai Cina, yang barang termodennya adalah raket badminton jenama Dunlop?

Saya sudah mengaru kepala, tetapi teman saya masih dengan sorot mata yang bersungguh-sungguh. Meliar matanya ke segenap ruang kedai, di sebuah kedai Cina yang paling hujung. Walaupun saya cukup yakin, teman saya itu sudah sedikit terpesong niatnya, kerana di atas meja yang ada sempoa yang besar, ada sebuah kalendar dengan gambar perempuan yang hanya dua peratus menutup tubuh. Saya cukup yakin teman saya itu lebih terfikir cara untuk memperoleh kalendar itu.

Kemudian, teman saya yang bersungguh-sungguh itu, dengan fikiran yang tenang dan perlahan, menemui sesuatu di depannya, dan dia berpaling ke arah saya, dengan wajah yang galak namun perlahan, dan saya mengangkat ibu jari ke atas, tanpa saya tahu, perkara yang ditemui oleh teman saya itu dengan fikiran yang tenang dan perlahan, akan menjadi masalah besar dalam hidupnya. Sesuatu yang dia perlu tahu, ia terkandung dalam catatan hidupnya, dari A ke Z.

Hadiah.
Hadiah itu satu kotak yang comel. Dibalut rapi dengan lebihan kertas bagi membalut buku teks, namun tetap rapi. Ia ditatang dengan sepenuh hati, dan dijulang dengan segenap jiwa, lalu dibawa oleh teman saya itu kepada 'Mentega', sebagai hadiah hari jadi.

Saya hanya mengekori di belakang, kemudian berdiri di katil, diam dan memerhati, dengan wajah sedikit ganjil, dan rasa yang sedikit aneh, kerana untuk pertama kalinya saya melihat hal sebegitu. Kali terakhirnya saya punyai rasa aneh sebegitu adalah pada saat ayah saya membeli televisyen berwarna jenama Mitsubishi, yang sekiranya sekarang lebih dikenali sebagai jenama kereta.

'Mentega' yang diberikan hadiah itu, memasang wajah yang berdecap-decap kagum. Untuk pertama kalinya, dia sebagai penduduk kampung, yang biasanya hanya memperoleh hadiah lima keping buku latihan, kerana berjaya dalam pertandingan larian antara rumah sukan, kini memperoleh hadiah untuk hari lahir. Terasa cukup bandar.

Tidak perlahan, dia mengoyak-ngoyak, menyibak-nyibak kertas pembalut hadiah itu, dan hanya untuk mendapati, dia memasang wajah terkejut, tidak puas hati dan tertanya-tanya. Lalu dia, dengan mengangkat hadiah yang masih di dalam kotak itu separas dada, dia memberi sorotan mata yang memerangkap rasa hairan pada saya dan teman yang memberi hadiah itu.

Katanya, “Mengapa kau berikan aku hadiah ini?”

“Itu ubat gigi yang bagus, kerana beli ubat gigi itu, percuma satu berus gigi,” jawab teman saya yang memberi hadiah itu, tersenyum dan menyambung, “Berusnya giginya ada di dalam kotak itu.”

'Mentega' diam, dan dengan hadiah yang digenggam erat, dia berjalan perlahan menuju ke arah lokernya, menatap gambar-gambar artis perempuan yang dia tampal.

Saya dan teman saya yang memberi hadiah itu bergegas memasang wajah bersalah. Terherot wajah teman saya itu memohon ampun, meminta maaf sambil menjelaskan keadaan yang sebenarnya, namun 'Mentega' yang tenang, damai, dan perlahan itu, tetap tidak berganjak dengan mata yang terus memandang dinding lokernya dengan tatapan sayu.

Saya pula walaupun sudah mencubit-cubit perut supaya, ketawa tidak berhambur, tetap juga saya memahami sesuatu. Sekiranya sahaja 'Mentega' mengetahui, susah payah dan niat teman saya itu memberikannya hadiah, sekiranya sahaja 'Mentega' tidak hanya melihat A dan Z, sekiranya 'Mentega' sanggup melihat keseluruhan A hingga Z, pasti, 'Mentega' punyai pandangan yang berbeza. Itu, sekiranya sahaja 'Mentega' mahu dan cuba untuk tahu semuanya, dari A ke Z.

Epilog.
Sejak itu, setiap kali saya mendapat sesuatu, pada waktu saya masih kuat bagi mengingati kisah sederhana 'Mentega' itu, pasti saya memejam mata, cuba menelusuri, keseluruhan hal itu dari A ke Z, dengan harapan, saya akan berhenti pada dua ayat ini, “Terima kasih” untuk manusia, dan “Alhamdulillah” untuk Tuhan.

Dua ayat yang cukup, untuk saya melihat makna keseluruhan kebaikan, dari A ke Z.

1 comment:

pelitaminyaktanah said...

saya membaca entry ini dengan `sederhana` laju dan saya `luarbiasa` menyukainya..he..