Friday, August 08, 2008

hati yang terbata-bata

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4

Lelaki tua yang sering saya ketemu, saya jumpa lagi. Kali ini saya ketemu lelaki tua itu sedang duduk sendiri di perhentian bas pada suatu pagi. Pada saat burung-burung sudah bangun mencari rezeki, pada saat binatang malam sudah tidur kembali di dalam sarang.

Dia memakai baju biru berbunga-bunga. Entah bunga apa namun tetap harmoni. Wajahnya dipenuhi garis umur yang umpama alur sungai yang diperhati dari udara. Rambutnya rapi dan ada sedikit janggut yang tumbuh, umpama rumput yang hidup pada musim kemarau.

Lelaki tua itu tersenyum lalu dengan tangan kiri dia memberi isyarat, mahu saya duduk di sebelahnya. Perlahan saya melabuh punggung di sampingnya. Saya menarik nafas panjang memerhati kakinya yang bogel, tanpa alas.

“Alas kaki?” tanya saya dengan mata yang masih memerhati.

“Tak perlu guna alas kaki, jalan raya kitakan sudah bagus. Bukan seperti dahulu yang penuh duri. Lagipun saya bukan selamanya mahu berjalan, saya menunggu bas dan mungkin naik LRT, lalu apa perlunya alas kaki?” soal lelaki itu kembali.

“Tetapi bagaimana pula dengan tanggapan ramai? Tidak mengenakan alas kaki nanti dituduh gila.”

Lelaki tua itu ketawa dan apabila ketawanya mereda, dia berkata, “Apa yang kamu perlu takut? Kaki saya yang berjalan, bukan kaki mereka. Otak saya yang berfikir, bukan otak mereka, lalu mengapa saya perlu mengambil berat tanggapan mereka?”

“Di sesetengah kawasan, dengan berjalan tanpa alas kaki, kamu tidak akan dibenarkan masuk,” tegas saya.

“Tempat apa?”

“Pusat beli-belah misalnya.”

“Bagaimana dengan masjid?” soal lelaki tua itu kembali.

“Boleh.”

“Lalu sebab itu saya tidak memakai alas kaki,” kata lelaki tua itu lagi lalu melempar senyuman.

“Mengapa?” soal saya dengan dahi yang sudah terlipat.

“Saya ini manusia yang lemah, tidak mampu menutup satu pun lubang nafsu sendiri, sedangkan lubang nafsu itu ada sembilan, jadi dengan tidak memakai alas kaki, saya boleh mengelak hadir ke tempat-tempat di mana nafsu saya dapat dimasuki bisikan setan dengan cepat. Pusat beli-belah misalnya, penuh dengan perempuan-perempuan berbaju sendat, saya tidak mampu menahan mata saya, lalu nafsu saya bergelora dan begitu juga dengan lubang-lubang nafsu yang lain. Jadi dengan kaki yang tidak beralas, saya hanya boleh ke kedai kecil dan juga ke masjid dan berharap di jalanan nanti saya mampu menutup lubang nafsu saya daripada dibisiki setan. Bukan itu sahaja, saya juga berharap dengan tidak memakai alas kaki, saya lebih mampu merendah diri dan juga tidak timbul rasa bermegah-megah apabila ketemu orang yang tidak punyai upaya membeli alas kaki,” terang lelaki tua itu dengan panjang lebar.

Saya menggaru dahi lalu memerhati wajah lelaki tua itu. Aneh sekali falsafahnya. Seolah dia lelaki tua yang hanya boleh didapati daripada kisah-kisah kitab lama. Hanya kerana mahu mengurung nafsu agar tidak terusik dengan bisikan setan, dia sanggup berjalan tanpa alas kaki. Aduhai, lalu bagaimana saya harus menilainya? Gila ataupun wali?

Namun persoalan berkenaan nafsunya itu tetap mengocak dalam hati. Saya menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan-lahan.

“Lubang nafsu ada sembilan? Apa?” tanya saya kemudian.

“Sebenarnya lubang nafsu ada sepuluh, tetapi satu sudah tertutup lalu tinggal sembilan. Yang sembilan itu pula adalah kedua-dua mata, telinga, hidung, mulut dan juga lubang kelamin dan dubur. Kesemuanya ada sembilan lubang.”

“Lubang kesepuluh itu pula apa?”

“Lubang pusat,” jawab lelaki tua itu lalu menunjukkan jarinya ke arah perut dan menyambung, “Ia hanya terbuka semasa kita masih di dalam rahim ibu dan pada saat itu kesembilan-sembilan lubang nafsu yang lain masih terkatup rapat dan hanya di alam rahim sahajalah, kita ini menjadi manusia yang benar-benar suci.”

Saya mengangguk namun dalam hati masih berfikir-fikir berkenaan kalimat lelaki tua ini. Terlalu berat. Apa mungkin dia ahli tarekat? Apa mungkin dia mengaku Arief bukan Abid?

“Ingat, nafsu manusia itu seperti bunga yang sentiasa ada dalam hati. Kita tidak mampu membunuhnya tetapi kita hanya mampu membuatnya agar tidak berkembang dan sebab itu saya begini, saya mahu mengelaknya daripada berkembang.”

Lalu sesaat ke depan, hati saya jadi terbata-bata.

2 comments:

Anonymous said...

saya sangat suka entry nie.. terima kasih!

Anonymous said...

entri yg menyedarkan saya..mekasih