Perkara yang tersulit.
Perkara yang paling sulit, adalah menyayangi seseorang dengan sepenuh hati, tanpa menunjukkan perasaan kepadanya. Itu jawapan yang sering menitik dalam kata-kata saya, pada saat ditanyakan berkenaan perkara yang paling sulit.
Namun, pada suatu hari yang senang-senang sahaja, saya akhirnya mengetahui yang jawapan saya itu, belum apa-apa sekiranya mahu dibanding dengan kisah ini. Kisah yang membuat saya sangat mengerti, dan mengubah cara saya melihat makna perkara yang paling sulit dalam hidup.
Kisah yang saya peroleh daripada teman saya, yang saya namakan sahaja sebagai Rahim.
Rahim.
Melempar senyum ke luar jendela adalah antara kepandaian Rahim. Mudah dia berbuat begitu walau hatinya dihimpit ribuan galau, walau hidupnya diasak jajaran pedih. Saya terkagum-kagum, walaupun saya sangat mengerti, dia adalah teman yang punyai rangkaian kisah pilu.
Kisahnya bermula sebagai sebuah kisah yang klise. Seorang anak kampung yang punyai cita-cita tertinggi, mahu membahagiakan keluarga. Itu yang dia terjemahkan dalam sikapnya. Tidak pernah berkurang sikapnya yang menggegarkan hati keluarga dengan doa syukur. Dia adalah seseorang yang sangat boleh diharap.
Namun Rahim tetap juga seorang manusia, punyai segala kekurangan. Punyai segala kelemahan, dan atas kerana sifatnya sebagai manusia itu, Rahim memperoleh perkara yang paling sulit dalam hidupnya, pada waktu yang dia tidak pernah menjangka.
Saudara.
Hidup di kampung saya, adalah hidup yang paling sukar untuk melihat lelaki yang tidak bernikah. Namun, kekecualian tetap ada selagi kita bernama hamba Tuhan, dan di suatu rumah, di hujung kampung saya tinggal seorang lelaki yang tidak bernikah, atas nama putus hati.
Dia adalah lelaki yang kisahnya sering dikisahkan dalam layar seluloid, kisah cinta yang berlainan darjat. Namun, lelaki ini, kisah cintanya yang tidak sampai bukan kerana dia berada pada darjat terendah, melainkan kerana dia berada dalam darjat tertinggi, dan cinta hatinya itu bukan sebangsa, lalu letaknya pada darjat yang berbeza.
Atas itu, bahagia daripada kehidupan lelaki itu seolah-olah terenggut. Hiduplah dia, di kampung saya, sepi, sendiri, dan mengerjakan dengan taat kebun kelapa waris orang tuanya. Bertahun-tahun, sehingga tubuhnya renta, dan hingga pada satu titik, kelapa di kampung saya sudah ikut renta. Namun dia tetap taat, menjadi pekebun kelapa yang miskin.
Lelaki itu adalah bapa saudara Rahim, dan bapa saudaranya itu, tanpa dia tahu, dia bakal mengelus-elus hal yang paling sulit ke dalam hati Rahim... tanpa dia tahu.
Silaturahim.
Rahim, yang hidupnya sudah didedikasikan untuk membahagiakan keluarga, tidak pernah lupa bertanya khabar dengan bapa saudaranya. Untuk bapa saudaranya, Rahim adalah umpama anak kandung yang tidak pernah dia peroleh. Rahim pula tersenyum baik, dan menganggap bapa saudaranya itu sebagai bapanya sendiri. Lalu sesekali, pada saat rezekinya ditambah Tuhan, dia tanpa disuruh-suruh menyumbat wang ke poket bapa saudaranya itu, walau tangan kasar bapa saudaranya, keras menolak, atas nama maruah.
Dan, pada hari itu, seperti yang sering dijunjung dalam cita-citanya, untuk membahagiakan keluarga, dia mengunjungi rumah bapa saudaranya, dengan senyuman dan dengan hati yang cukup tulus.
Langkahnya sopan menjejak ke rumah kayu yang sudah renta, lalu disusul dengan wajah yang membesarkan hati. Dia duduk takzim di tikar buluh bemban yang sudah dicakar-cakar kucing, sopan dan membahagiakan hati yang memandang.
Lalu, mengalirlah perbualan Rahim dengan bapa saudaranya. Bercerita berkenaan kelapa yang semakin kurang, berkhabar berkenaan lutut yang sering sakit-sakit, tangan yang sering kebas, mengadu berkenaan ibu kucing yang sering melarikan ikan dari bawah tudung saji. Semuanya, berkenaan kisah yang kecil-kecil, sepi dan sunyi.
Perbualan itu mengalir baik-baik sehinggalah pada suatu saat, bapa saudara Rahim membelek-belek telefon bimbit murah milik Rahim dengan wajah yang mengandung rasa yang mengharukan.
“Nanti, pakcik pun nak beli telefon. Senang nak bercakap-cakap. Kau tak payah susah-usaha nak datang sini. Bila-bila boleh telefon pakcik,” kata bapa saudara Rahim dengan nada suara yang antara gugup dan tenang, dengan tangan yang masih membelek-belek telefon bimbit Rahim.
Rahim menahan nafas. Dia, sebagai anak saudara yang baik, sangat tahu, betapa mengharukannya hidup bapa saudaranya itu. Menjadi pekebun kelapa yang sudah berlalu zaman makmurnya, pendapatan bapa saudaranya hanya cukup-cukup untuk membayar bil elektrik dan air yang sangat sedikit. Cukup-cukup juga untuk membeli beras buat menampung perutnya sendiri, selain perut-perut kucingnya yang sentiasa lapar.
“Nanti saya belikan pakcik, telefon satu,” ucap Rahim, bersemangat dengan hati yang benar-benar mahu membahagiakan bapa saudaranya itu. Dia mahu membelikan telefon bimbit yang baru, bukan telefon bimbit bekas orang lain, kerana Rahim yakin, itu bukan caranya untuk menunjukkan sayang.
Bapa saudaranya itu, seperti biasa, mengangkat tangan kanan, lalu menggoyang-goyang perlahan, tanda dia punyai maruah, dan usah menyusahkan diri untuk membelikannya telefon. Usah, kerana dia masih mampu untuk itu.
Rahim diam, lalu melempar senyum ke luar jendela, tanpa dia tahu, itulah senyumannya yang terakhir di rumah bapa saudaranya itu.
Hati.
Rahim, bekerja dengan sepenuh hati, untuk menambah rezeki, membeli telefon bimbit untuk bapa saudaranya. Pada setiap kali tubuhnya sudah lelah, hatinya kembali pada keinginan bapa saudaranya yang sepi itu, mahu telefon bimbit, dan lelahnya segera terbang ke langit.
Atas kerana itu, dia, sudah jarang pulang ke kampung. Namun, sering-sering juga dia menelefon ibunya, bertanya khabar semua orang kampung. Melalui ibunya juga dia tahu, bapa saudaranya sering bertanyakan halnya yang sudah lama tidak pulang, lama tidak berbual-bual dengannya. Rahim tersenyum. Hatinya kuat menyimpan rahsia, yang dia sedang berbuat sesuatu untuk bapa saudaranya, supaya mereka lebih sering berbual-bual, dan dia yakin dia akan tiba pada saat itu.
Akhirnya, saat itu tiba. Dengan gajinya yang tidak seberapa, harga telefon bimbit pula langsung tidak bersahabat dengan gajinya, dia terpaksa berjimat untuk beberapa bulan, sebelum akhirnya dia tersenyum apabila membeli sebuah telefon bimbit baru, model yang paling asas untuk bapa saudaranya.
Namun, pada hari itu juga, melalui telefon bimbitnya, dia memperoleh panggilan daripada ibunya yang tersedu-sedu, berkhabar tentang bapa saudaranya. Khabar yang membuat air matanya bergenang-genang.
Kampung.
Rahim, tidak membuang waktu sesaat pun, melesat ke kampung, dan dengan perjalanan yang beberapa jam dari kota, akhirnya dia tiba di rumah dan ibunya dengan mata yang masih merah sudah menunggu di pintu rumah.
“Pakcik mana?” soal Rahim dengan memasang wajah cemas, sesampainya ke hadapan ibunya.
Ibunya tanpa mampu bersuara hanya menunjuk ke arah sebuah bilik, dan dia terus meluru ke arah bilik itu. Di situ, ayahnya sedang duduk menghadap bapa saudaranya yang terbaring, dan Rahim pantas mendekati bapa saudaranya dengan air mata yang sudah bergenang di pelupuk mata.
“Pakcik kamu kena angin ahmar. Doktor beritahu, dia sudah lumpuh sebelah tubuhnya dan tidak mampu lagi bercakap,” beritahu ayahnya yang duduk sambil mengusap belakang tubuh Rahim.
Rahim diam dan air matanya yang bergenang di pelupuk mata sudah merentas pipi. Ingatannya pada telefon bimbit untuk bapa saudaranya itu semakin mengelinjang dalam kepala. Lalu apalah gunanya telefon bimbit untuk manusia yang sudah lumpuh? Sesalnya kini ikut betapuk-tapuk dalam hatinya.
“Pakcik kamu, dari semalam nak sangat berbual dengan kamu. Ayah suruh dia telefon kamu, dia cakap tak nak ganggu kamu,” beritahu ayahnya perlahan.
Rahim tetap diam dengan sedu yang mula mengintip dadanya.
“Saya sudah belikan telefon untuk pakcik. Mengapa....” Rahim tidak mampu meneruskan kata-katanya. Ayahnya segera memeluk bahunya dan menarik nafas panjang.
“Jangan cakap begitu. Kamu seperti mahu salahkan perancangan Tuhan. Tuhan tidak pernah salah,” ucap ayahnya, tegas namun lembut.
“Tetapi, saya....” Rahim masih tidak mampu meneruskan kata-katanya. Terus tenggelam di balik sendunya dan dia hanya mampu menjerit dalam hati.
“Tuhan Maha Mengetahui. Dia akan menguji hamba-Nya pada tahap yang hamba mampu menanggung. Dia tidak pernah zalim mahu menguji hamba-Nya pada tahap yang tidak tertanggung. Cuma kita, sebagai hamba-Nya yang sulit mahu mengerti dan mahu mencari jawapan, mengapa ujian itu datang dan mengapa kita yang dipilih. Tetapi Tuhan sudah memberikan kita cara mencari jawapannya, jawapannya ada dalam sabar. Jadi, banyak-banyaklah bersabar, semoga kita temukan jawapannya di sana,” kata ayahnya, panjang lebar dan cukup halus.
Rahim yang masih menitik air matanya, diam, dengan mata yang masih menyorot sendu ke arah bapa saudara yang hanya diam, dan semakin sepi.
Sulit.
Pada saat ini, pada saat saya menulis ini, saya tetap memegang pesan teman saya itu, selepas beberapa bulan kejadian itu.
Katanya, “Perkara paling sulit dalam hidup adalah cuba mengerti mengapa ujian Tuhan didatangkan kepada kita. Cukup sulit kerana, jawapan itu hanya ada dalam sabar dan kamu sendiri tahu, sabar itu sendiri sudah cukup sulit. Sabar terkadang hanya perlu seminit dua, terkadang berbulan, dan terkadang sampai kamu mati, harus perlu bersabar.”
Untuk pesan teman saya itu, akhirnya ia sudah menjawab banyak persoalan dalam hidup saya. Lebih-lebih lagi apabila datang seseorang bertanyakan, “Apa perkara yang paling sulit dalam hidup?”
1 comment:
Bagaimana mentafsir erti sulit sedang ia datang dalam wajah yang pelbagai?
Post a Comment