Wednesday, December 23, 2009

Bahagia sehujung kuku

Betapa mengharukan zahir lelaki tua itu. Dia lelaki tua yang sudah hampir rukuk tubuhnya dan jalannya pula didukung tongkat berkaki empat. Namun lelaki tua itu tetap sering melempar senyumannya ke langit sepertinya mahu berbicara sesuatu. Sesekali dia membuang pandang ke arah saya dengan pelupuk mata yang tirus dan bola mata yang galak. Tidak dapat saya baca dengan terang maksud renungannya.
Seperkara yang saya pasti, setiap kali melihat dia, saya mendapati diri saya tersudut pada suatu rasa yang deritanya tidak mahu luntur. Seperti derita itu menunggu saya di jendela yang bertabir hitam. Saya menahan nafas, cuba saya meredakan jerit hati saya yang tertahan di dada.
Tidak terasa, sudah lama saya mengenali lelaki itu. Pada saat pertama saya mengenali lelaki itu, lelaki itulah yang mencetus rasa ingin tahu saya pada bahagia. Dia berkata dengan kalimat-kalimat yang pendek, penuh tekanan dan jelas dengan sengaja dia membenamkan butir katanya itu keras ke dada saya.
Soalnya, “Nanti tahun baru, lalu apa azam kamu?”
Saya tidak sekonyong-konyong memberikan jawapan. Saya diam lalu memasang raut wajah seperti orang bijaksana, berfikir dengan dahi yang sengaja dikerut-kerut.
“Mahu menjadi orang yang membahagiakan orang lain, walaupun hanya sehujung kuku,” jawab saya dengan senyum yang berkicau-kicau.
Lelaki tua itu menarik nafas, berhenti sesaat memegang nafasnya, sebelum kemudian dia melepaskan nafas yang dipegang. Wajah saya diseluruhi dan saya yakin, hatinya diam-diam sedang berbisik sesuatu berkenaan saya.
“Bagaimana? Membahagiakan memang kata yang indah, namun bagaimana kamu mahu membahagiakan mereka?” soal lelaki tua itu dengan alis yang turun naik.
Sekali lagi saya diam dan terus memasang mimik wajah yang meniru mimik wajah orang bijaksana. Diam dan mengerut-ngerutkan dahi.
“Membahagiakan mereka dengan membuat apa yang mereka suka,” jawab saya pantas.
“Saya setuju, namun terkadang kita tidak tahu apa yang mereka suka. Terkadang kita salah dalam mengertikan apa yang mereka suka, dan sebenarnya ia adalah sesuatu yang mereka benci. Jadi kamu mahu tahu, cara membahagiakan dengan percuma tetapi sangat sukar?” soal lelaki tua tu dengan mata yang galak sambil mengaduk-aduk rambutnya.
Saya cepat-cepat mengangguk.
“Kamu memaafkan mereka. Bukan sahaja atas salah mereka tetapi juga atas salah kita.” Lelaki tua itu tersenyum baik dengan nada suara yang seperti sungai yang diempang.
“Maksudnya?” Saya terus menggeser soalan.
“Adakalanya manusia berbuat sesuatu yang tidak salah, namun kerana hati kita yang gelap, mula membayang-bayangkan sikap mereka itu adalah sikap yang salah. Mungkin sahaja kita jengkel, mungkin sahaja kita iri hati, mungkin sahaja kita cemburu, ataupun sebab yang sederhana, mereka tidak sama sealiran dan sama dengan kita. Apa sahaja. Lalu bahagiakan mereka dengan memaafkan mereka walaupun jelas ia adalah salah kita. Salah kita kerana pada waktu itu kita, tanpa kita sedar punyai niat seperti pisau hitam yang sedia menghiris. Maafkan mereka, dan pada saat kamu memaafkan itu, kamu tanpa sedar akan melemparkan senyuman daripada hati, dan pada saat itulah mereka sangat bahagia,” jelas lelaki tua itu dengan panjang lebar.
Saya menari-narikan bicaranya itu dalam kepala saya. Ternyata apa yang ditasbihkan oleh lelaki tua itu adalah sesuatu yang murah dan percuma, namun ia sangat sukar. Sesukar lelaki Melayu mendaki Everest. Namun kata-kata itu tetap mengikat ingatan saya, sampai ke ubun-ubun. Hingga ke hari ini, pada setiap saat yang saya teringat, saya akan berazam untuk membahagiakan manusia lain dengan kata maaf. Ya, pada setiap waktu yang saya teringat. Jadi pada saat yang saya terlupa, bahagiakan saya walaupun sehujung kuku, dengan memaafkan saya. Saya mohon. :)

Thursday, December 03, 2009

Dahulu, di Sarawak dan lelaki yang bercerita berkenaan Maslow.

Petala.
Seperti langit yang ada tujuh tingkat dan seperti bumi yang ada tujuh petala. Kisah ini, juga membaik daripada hal yang serupa. Eloknya kisah ini seperti eloknya wajah kekasih yang kita sanjungi. Ada celanya, namun di mata kita dia adalah kekasih yang mengalahkan ratu dunia.

Inilah kisah yang mengajar saya erti perihnya perjuangan, inilah kisah yang bahagianya hanya meniti pada saat saya mengerti mengapa Tuhan menciptakan bumi itu dengan tujuh petala. Pada suatu saat, faham saya mengintip malu, banyak waktu pula, saya sesat ke langit tidak mengerti.

China Selatan.
Dahulu, jika kamu mahu ke bandar Kuching, hanya ada satu jalan. Ia mandatori dan kamu tidak punya peluang bagi memohon simpati. Jalan itu adalah melalui Laut China Selatan. Bermula dari muara Batang Sadong, sedikit-sedikit kamu menyusuri pantai Borneo hingga kamu mudik ke Sungai Sarawak.

Dahulu, jika kamu mahu ke bandar, kamu perlu berembun di jeti menunggu bot ekspres. Untuk hal itu kamu perlu bangun mendahului embun. Ia perkara yang tidak langsung sukar kerana pada malamnya, kamu tidak akan mampu melelapkan mata, kerana asyik terkenang-kenang pada riuhnya tempat yang bernama bandar Kuching.

Pada waktu kamu berjalan pula, kamu perlu seiring dengan embun yang turun, dan pada saat kamu sudah menjejak ke papan jeti yang bergemeretak kasar, kamu sudah bermandi embun. Namun, kamu tetap ceria seperti cerianya lelaki yang beristeri dua, dan muda.

Waktu itu saya sudah di jeti dan sudah disapa bayu Laut China Selatan yang masin, dilatari riuh penduduk kampung yang ceria kerana beberapa jam lagi mereka akan menaiki bas. Pandangan saya jauh, saya melihat pada bot ekspres yang masih berbalam-balam. Saya gembira, seperti mana gembiranya saya pada saat menerima gaji pertama.

Saya waktu itu, bukan tidak selalu, malah sering diperdengarkan cerita berkenaan peri buasnya Laut China Selatan. Ombaknya mampu menggulung hingga kamu yang berada di dalam bot ekspres itu hanya melihat putih. Kamu akan termuntah-muntah hingga perut kamu kosong seperti kosongnya akaun bank mereka yang muflis.

Peri buasnya Laut China Selatan, tidak membuat hati saya melompat ke daerah gusar. Malah, waktu itu saya berdoa sesungguh hati semoga China Selatan menggulung bot ekspres yang saya naiki. Namun, daripada situ saya belajar perkara, 'Apa yang kamu harap, itulah yang kamu tidak akan dapat'. Sampai, khidmat bot ekspres itu mati, saya tidak pernah digulung ombak.

Itu yang saya ingat berkenaan Laut China Selatan. Ingatan yang tidak seberapa berbanding ingatan saya kepada lelaki itu. Lelaki yang bertasbih tentang retak hatinya.

Dockyard
Selepas beberapa jam kamu menyusuri pantai Borneo, dan berada di atas Laut China Selatan, peradaban pertama yang kamu temui adalah sebuah menara api. Tanda untuk hati kamu supaya menguatkan degupnya.

Selepas itu, sedikit demi sedikit kamu akan sampai ke suatu tempat yang orang kampung saya gelar dockyard, yang apabila dewasa, baru saya tahu ia sebetulnya kata Inggeris untuk limbungan kapal. Saya yakin, separuh orang kampung saya, sampai mati pun mereka tidak tahu dockyard itu adalah limbungan kapal. Di situ, bot ekspres berlabuh, dan saya, ayah saya dan orang kampung saya sudah kerap nampak gigi. Berbunga-bunga.

Segitiga Bermuda.
Ayah saya dan orang kampung saya, waktu itu masih berseluar kaki loceng (Bell bottom). Saya juga menjadi mangsa, anak kecil yang berseluar kaki loceng. Itu adalah sesuatu yang saya masih tidak fahami. Kerana pada waktu itu, arwah Sudirman sudah menguasai Malaysia, dan dia bukannya orang yang berseluar loceng. Malah penduduk bandar jati juga sudah tidak berseluar kaki loceng. Namun, ayah saya dan orang kampung saya tetap menganggap seluar kaki loceng adalah gaya untuk ke bandar. Sesuatu yang sehingga sekarang, saya anggap ia misteri besar, menyamai misteri segi tiga Bermuda.

Saya waktu itu, adalah orang yang malang. Saya berseluar kaki loceng, dan saya juga berkaki ayam. Jadi, tempat pertama yang saya dan ayah saya datangi adalah kedai kasut. Walaupun berkaki ayam, saya waktu itu hanya kisahkan satu perkara, saya hanya mahu menyentuh kereta, dan kereta pertama yang saya sentuh dari belakang hingga ke depan adalah kereta yang berwarna merah.

Pada saat saya menyentuh tubuh kereta merah itu, adalah antara saat yang sangat sensasi dalam hidup saya. Sensasinya hanya kalah pada sensasinya, pada saat pertama saya menyentuh anak saya yang masih bertali pusat. Sekiranya waktu itu saya sudah ada emosi terharu, pasti air mata saya sudah mengusapi pipi.

Tanpa peduli pada keghairahan saya, ayah saya tetap tekun pada misinya untuk mengasutkan saya. Akhirnya, bermula saat yang saya paling tidak senang. Ayah saya membelikan saya kasut tinggi berwarna putih, yang derapnya cukup nyaring. Waktu itu, ayah saya adalah orang yang paling bijak pernah saya ketahui dan tidak mungkin saya menyanggah. Paling utama, ayah saya pada waktu itu, adalah orang yang saya paling takuti. Batuknya sahaja sudah cukup membuat saya berlari memeluk ibu.

Saya anak kecil yang berseluar kaki loceng dan berkasut putih, pun berjalan dengan mata yang terkagum-kagum pada benda yang namanya kereta. Bertambah kagum pada saat, ayah saya memegang erat lengan saya dan menuntun saya menyeberangi jalan yang penuh kereta. Kagum saya semakin meninggi, kerana diseberang jalan itu ada sebuah benda yang bernama bas.

Saya masih kagum, ceria, dan gembira tidak kepalang pada saat saya mendengar derap kaki saya pada tangga bas. Antara bunyi terindah yang masih saya ingati. Tanpa saya tahu, semua rasa itu akan hilang kepada seorang lelaki. Lelaki yang membuatkan ayah saya terdiam.

Bas.
Saya masih ingat warna kusyen tempat duduk bas itu, coklat. Tanpa perlu arahan, saya terus meluru ke tempat duduk di tingkap. Mata saya meliar memerhatikan manusia yang ramainya tidak terbilang. Yang mampu membuatkan mata saya kembali duduk baik, hanyalah sebuah kedai yang sarat dengan mainan yang digantung seperti arca yang kamu lihat pada galeri seni di Berlin. Saya nekad, setakut mana pun saya dengan ayah saya, saya akan paksa juga dia membelikan saya mainan yang tergantung penuh berseni itu. Ia membuat saya lupa pada kasut putih saya, lupa pada seluar kaki loceng saya, dan saya lupa semuanya. Saya betul-betul Alice in Wonderland.

Saya yang masih menekapkan wajah pada tingkap bas, mula berpaling apabila saya merasa ayah saya menghimpit saya. Duduk saya yang seperti monyet di zoo mula beradab. Saya berpaling dan seorang lelaki duduk di sebelah ayah saya.

Lelaki itu adalah lelaki bandar yang jati kerana dia tidak berseluar kaki loceng. Dia berkemeja kemas dengan wajah yang tenang. Dia memandang ayah saya, tersenyum sebentar sebelum kembali memandang ke hadapan. Lelaki itu berjaya membuatkan saya memerhatikannya dengan takzim dan hati saya mula kagum kepada lelaki bandar itu.

Lelaki itu yang berwajah tenang, seperti tenangnya wajah Hitler semasa menakluk Warsaw. Namun, ia hanya sebentar sebelum lelaki itu mula mengurut pelipisnya, dan kemudiannya dia berpaling kepada ayah saya.

“Mereka kata saya orang yang tidak berguna kerana saya tidak mahu berjuang bersama mereka!” kata lelaki itu dengan nada yang antara keras dan lembut.

Ayah saya sudah berekpresi seperti dia di dalam bot ekspres yang digulung ombak. Orang kampung seperti ayah saya, tiba-tiba dihunjam dengan persoalan sebegitu, pasti membuat dia hilang kata-kata. Ayah saya diam.

Maslow.
“Kamu pernah dengar Teori Hierarki Maslow?” soal lelaki itu lagi.

Ayah saya tetap diam. Kini wajah ayah saya sepertinya wajah orang Melaka yang melihat orang Portugis untuk pertama kalinya. Teori Hierarki Maslow? Saya yang dihimpit oleh tubuh keras ayah saya, dapat merasakan ayah saya sedang menahan nafas.

“Teori itu mengatakan, manusia mempunyai lima tingkat keperluan, dan manusia akan cuba memenuhi keperluan asasnya yang dahulu, iaitu keperluan fisiologi dan biologi seperti makanan dan tempat tinggal. Selepas itu, barulah manusia akan memenuhi keperluannya yang lain sehingga pada tingkat yang tertinggi, iaitu memenuhi keperluan aktualisasi dirinya atau egonya. Itu yang semua orang tahu, tetapi apabila berkata berkenaan perjuangan, mereka lupa dengan teori itu,” jelas lelaki itu sambil terus memicit pelipisnya.

Ayah saya terus diam. Saya cukup pasti, bukan sahaja saya, malah ayah saya juga sudah menokok perbendaharaan katanya. Walaupun selepas seminggu perbendaharaan kata itu akan kembali susut kerana tidak mungkin ayah saya menggunakan kata fisiologi untuk bercakap-cakap dengan orang kampung saya. Saya pula mulai hilang tumpuan dan kasut putih yang saya pakai itu kembali membuatkan saya jadi tidak senang.

“Manusia yang paling lantang berkata berkenaan perjuangan adalah manusia yang berada pada tahap tertinggi hierarki Maslow. Manusia yang sudah memenuhi keperluannya yang lain. Jadi sekarang mereka hanya perlu mencapai keperluan bagi memenuhi keperluan egonya. Mereka, akan memaksa orang lain berkehendak mengikut mahunya, dan apabila ditentang, kita digelar bukan pejuang, bukan pemikir dan pelbagai kata yang disisipi niat mahu meninggikan diri mereka. Mereka lupa, bahawa manusia yang berada di tingkat dasar hierarki Maslow juga adalah pejuang. Pejuang bagi memenuhi keperluan hidupnya dan keluarganya. Pejuang bagi memenuhi tuntutan keamanan dan keselamatan, tuntutan sosial dan penghargaan. Jadi, dengan mengatakan mereka bukan pejuang adalah sesuatu yang salah. Kami juga pejuang, pejuang pada tingkat hierarki kami sendiri,” jelas lelaki itu dengan nada yang jelas dan ekspresi wajah yang sarat dengan kobaran api.

Saya masih memandang kasut saya dan sesekali menjeling pada kedai mainan di luar. Namun, ayah saya di sebelah tetap dengan gayanya, gaya khas orang kampung yang buntu, mengangguk-angguk dengan dengus kecil dan dahi berkerut.

“Hari ini kamu jadi saksi, saya adalah pejuang. Saya adalah pejuang bagi hierarki paling rendah dalam Teori Maslow. Saya berjuang untuk diri saya dan keluarga saya. Jadi sesiapapun tidak boleh mengatakan saya bukan pejuang!” kata lelaki itu dan terus mengacungkan tangannya ke atas, persis gaya patung Liberty.

Akhirnya, saya menjeling ayah saya yang diam dengan ekspresi wajah yang larut dalam kesimpulan yang samar dan menghampiri gelap. Berat beban perasaan yang ditanggung ayah saya menjalar ke tubuh saya. Perasaan yang saya tidak mengerti sehinggalah saya belajar apa itu kalkulus. Rasanya hampir sama, berat dan samar.

“Kamu, apabila sudah menjadi besar nanti, jangan menjadi pejuang yang memusuhi pejuang lain. Kamu, apabila sudah dewasa nanti, kamu berjuang dengan cara kamu, dan selagi kamu tidak menghampiri dosa, dan menghancurkan bangsa, kamu jangan khuatir. Tetaplah kamu berjuang ke langit dengan kepala yang tunduk ke bumi.” Lelaki itu sepertinya dirasuk dengan idealisme yang apabila saya dewasa nanti saya fahami ia sebagai suatu reliasme. Lelaki bandar itu tetap merenung dengan mata yang tajam, sebelum ayah saya membuat wajah yang diam dan seperti tidak terusik dengan kata-kata lelaki itu. Lelaki itu akhirnya bangun namun, dia kembali dirasuk lalu berkata, “Saya adalah penulis, dan saya adalah pejuang walaupun saya bukannya menulis berkenaan cara membangunkan negara, setidak-tidaknya saya tidak menulis sesuatu berdosa. Lalu mengapa perlu menggelar tulisan saya itu ini dan memandang saya sebelah mata. Kamu kamu yang menggelar diri kamu juga sebagai penulis tidak memahami diri kamu yang sudah berada di puncak hierarki Maslow. Kamu penulis yang sudah tidak memandang lagi apa empat tingkat di bawah kamu sedangkan saya adalah penulis di tingkat paling bawah, penulis yang menulis untuk mencari rezeki buat keluarga. Saya juga adalah pejuang!”

Ayah saya tetap seperti tadi. Berekpresi berat seperti bahagia akan disentap daripada hatinya. Saya pula semakin tidak mengerti dan akhirnya saya cuba seperti ayah saya, berekpresi berat.

“Kamu akan mengerti kata-kata saya pada saat kamu mengerti mengapa Tuhan menciptakan langit itu tujuh lapis dan bumi itu tujuh petala,” kata lelaki itu akhirnya selepas mungkin tekaknya sudah kering sedangkan saya dan ayah saya sepertinya manusia yang tidak mungkin faham-faham kata-katanya.

Saya diam, lalu memandang belakang tubuh lelaki bandar yang akhirnya sayup-sayup hilang membawa ketenangan dan kegembiraan saya pergi. Saya memandang wajah ayah saya yang tetap teguh.

Ayah saya memandang saya lalu berkata, “Yang pasti, Maslow sendiri tidak tahu mengapa Tuhan menciptakan langit itu tujuh lapis dan bumi itu tujuh petala.”

Saya diam, mengangguk dan hanya sesaat Maslow meresap dalam kepala saya sebelum saya kembali memikirkan dua perkara, kasut putih dan mainan yang saya perlu pohon sesungguh jiwa daripada ayah saya.

Pejuang.
Hari ini, saya cuma tahu seperkara, Tuhan menciptakan tujuh lapis langit untuk manusia berfikir betapa besarnya Dia. Namun di sebalik itu pasti ada rahsia-Nya yang lebih besar dan agung. Yang sampai matipun saya tidak mampu mengerti.

Hari ini cuba-cuba juga saya mengerti mungkin lelaki bandar yang saya temui puluhan tahun dahulu sebenarnya mahu bercerita berkenaan syurga dan neraka yang punyai tujuh tingkat. Itu lebih mudah saya fahami.

Namun, utamanya saya tetap mengerti, setiap manusia, mereka adalah pejuang pada tingkat masing-masing selagi dia masih punyai hati untuk berusaha menjadi yang lebih baik. Mungkin juga saya boleh mengatakan saya tidak mungkin tahu rahsia di sebalik pencipataan tujuh lapis langit dan tujuh petala bumi, tetapi cukup saya merasakannya dengan hati dan jiwa.

Itu yang saya cuba sekarang, mungkin saya tidak memahami mengapa ada penulis yang menulis hal sebegitu, mengapa ada yang menulis hal sebegini, tetapi cukup saya merasakan dengan hati dan jiwa. Tidak perlu saya tahu, tetapi cukup saya merasakan mereka juga adalah pejuang pada daerah masing-masing, kerana mereka juga punyai rahsia yang tidak mungkin saya fahami.

Wednesday, November 25, 2009

Di Mana Terangnya Bulan



Tentang Di Mana Terangnya Bulan.
Pada waktu saya menuliskan kisah ini, saya tersenyum sambil bersenandung kecil. Cuba saya menyisakan garis humor pada baris kata-katanya, cuba juga saya membenamkan emosi pada perenggannya, kerana saya mahu ia menjadi rangkaian cerita yang menerbitkan senyuman. Namun, biarlah novel ini yang bercerita untuk dirinya. Suka-sukalah untuk sesiapapun berkata apa, kerana ia didedikasikan untuk anda sebagai pembaca. :)

Sinopsis
Dalil Tuhan untuk manusia, hidup ini adalah kepingan yang perlu dicantumkan. Mengambil hikmah daripada dalil itu, Kamarul menjejakkan kakinya ke Sarawak bagi melanjutkan pelajaran, kepingan hidup yang sering diangan-angan.

Tanpa Kamarul tahu, di situ dia menemukan lebih banyak kepingan hidupnya. Bermula dengan teman serumah yang diam dan hanya berpakaian hitam. Kemudiannya diari biru milik perempuan Cina yang berwajah ayu. Sehingga kepada lelaki berambut panjang yang menyimpan dendam.

Kamarul yang berwajah polos dan tidak tahu menahu, mendapati kepingan-kepingan hidupnya itu perlu dicantumkan, hanya untuk menjawab satu persoalan, di mana terangnya bulan....

Terbit.
Insya-Allah pertengahan Disember.

Monday, November 23, 2009

Pujangga pertama.

Belangnya harimau.
Sebagai tanda keagungan masa lalu, dipasak kata-kata, 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Itu kata-kata yang tersinggung pada hati saya. Saya mahu menjadi manusia yang meninggalkan nama. Manusia yang mahu menumpahkan kesan keseluruhan masa lalu pada nama yang tertinggal. Itu yang saya mahu dan itu yang saya usahakan.

Sehingga pada suatu saat, saya teringat masa dahulu, pada suatu hari, pada saat tepukan tangan orang ramai bersahutan, saya mengubah kata-kata itu menjadi kata-kata yang tidak lagi laku dalam peraturan saya. Semuanya kerana seorang tua, yang berpenampilan rusuh dan berselera rendah. Orang tua yang akhirnya, mengajarkan saya erti 'belangnya harimau'.

Rumput hijau.
Waktu itu, saya ingat lagi, cuaca sedang-sedang hangat. Langit terang membiru, walaupun awan putih bergumpal-gumpal tidak sembunyi. Hari itu, dengan tangan kasar ayah saya, saya dibimbing ke suatu padang rumput yang luas. Padang rumput yang masih segar bau getah rumputnya. Jelas baru sahaja dipotong.

Saya cuma mengingat, bukan saya sahaja di situ. Selepas saya teliti, hampir kesemua orang kampung yang saya kenali, ada berdiri dan berpanas bersama saya. Kesemuanya berbaju cantik yang pernah mereka ada. Saya tahu itu baju tercantik mereka, kerana baju itu adalah baju yang hanya saya lihat semasa hari raya. Malah saya, dan ayah saya juga ikut berbaju hari raya.

Saya, ayah saya dan orang kampung saya walaupun sudah memakai baju tercantik yang kami ada, kami tetap berdiri seperti orang miskin. Walau sebaik mana penampilan kami, kami tetap orang miskin. Itu perkara yang saya tidak tahu, sehinggalah pada saat saya mengingati kembali saat itu.

Ayah, saya dan wajah kesemua orang kampung saya, memasang satu ekpresi yang saya tidak akan lupa sehingga saya mati. Dengan keringat pada dahi yang seirama dengan warna pipi yang sudah merah, mereka semua menuangkan ekpresi seperti menanggung sesuatu beban. Ekpresi yang saya tidak tahu ertinya sehinggalah saya diajar dengan kata-kata, 'Penantian itu satu penyeksaan'.

Pada saat ayah saya dan orang kampung saya kuat melindungi ekpresi wajah mereka, seorang lelaki tua datang menghampiri, dan selanjutnya berdiri di sebelah ayah saya. Dia lelaki tua yang tidak sebibit pun berkongsi ekpresi dengan mereka yang ada di situ. Dia tersenyum dan kemudiannya dia menatap saya. Tanpa saya tahu, erti tatapannya.

Pentas cantik.
Waktu itu, Mahathir masih bersama Musa. Jauh sebelum Ghafar Baba, jauh-jauh sebelum Anwar, dan jauh lagi jauh sebelum Abdullah. Waktu itu juga, ada perbendaharaan kata baharu yang saya peroleh – piliharaya – politik.

Secara tegas, perbendaharaan kata saya yang meninggi itu sebetulnya belum cukup bagi memeram kefahaman saya pada apa yang terjadi di padang rumput yang hijau itu. Apa kaitannya pilihanraya – politik dengan air kotak bunga teh dan sebungkus nasi percuma? Lebih membingungkan saya, apa kaitan pilihanraya – politik dengan sebuah helikopter yang mendarat di hadapan saya, selepas keringat orang kampung saya sudah menelan keras kain baju yang digosok sejak tiga hari lalu.

Bertambah saya tidak mengerti, pada saat pintu helikopter itu terbuka, seorang lelaki yang memakai bush jacket dengan bersongkok rendah turun, tersenyum dan melambai tangan. Ayah saya dan semua orang kampung saya seperti terlupa betapa sengsaranya mereka tadi di bawah panas matahari. Tanpa ragu dan jelas dengan sepenuh jiwa, ayah saya dan orang kampung saya tersenyum dan tunggang-langgang meluru kepada lelaki bersongkok rendah itu. Menghulur tangan yang basah bagi bersalaman.

Saya langsung tidak mengerti. Cuma terlintas pada fikiran saya, mungkin lelaki yang mempesonakan penduduk kampung saya itu adalah lelaki yang menyanyikan lagu 'Beat it', ataupun 'Balik Kampung'. (Sesudah saya dewasa baru saya tahu yang lelaki itu langsung tiada kaitan dengan lagu-lagu itu.)

Cuma, yang jelas bersemayam di sudut-sudut kepala saya adalah rasa kagum kepada helikopter. Helikopter adalah peradaban agung pertama yang temui di kampung saya. Peradaban yang sepertinya dari langit ketujuh. Yang nyaringnya seperti memaki-maki kasar, dan bentuknya membuat hati saya selesa riang. Terus saya bertanya, apa rasanya duduk di dalam helikopter? Soalan yang sehingga kini masih menghantui saya.

Walaupun, sesusuk beban yang berat sudah meninggalkan ekpresi wajah ayah dan orang kampung saya, saya masih tidak mengerti dan tambah tidak mengerti apabila lelaki bersongkok rendah itu diringi ke sebuah pentas kayu yang cukup indah pada pandangan saya. Walaupun sesudah dewasa baru saya tersedar, yang pentas itu walaupun berkarektar indah, ia tetap pentas kampung yang miskin.

Di pentas itu, lelaki yang bersongkok rendah itu dengan wajah yang tersenyum mula meluruskan ekpresi wajahnya. Tegas dan penuh semangat. Dia memandang kami, orang kampung yang masih berpanas sebelum mula berkata-kata merinding. Kata-kata yang sentiasa disambut dengan laungan penuh jiwa. Kata-kata yang tidak pernah jelas maksudnya kepada saya.

Pada saat itulah, pada saat tepukan tangan orang ramai bersahutan, lelaki tua yang tadinya berdiri bersebelahan saya, kini ikut berdiri bersebelahan saya dengan dahi yang berlipat-lipat. Saya tidak mengerti. Mengapa pada saat orang lain berlipat dahi dia tersenyum dan pada saat orang tersenyum dia tidak ragu hendak berlipat dahi. Saya tidak mengerti sehinggalah ayah saya membisikkan sesuatu kepada dia. Hingga dia mengeluarkan kata-katanya itu. Kata-kata yang jelas adalah kata pujangga pertama yang saya ketahui.

Politik itu.

Ayah saya bertepuk tangan nyaring, lalu menoleh kepada orang tua itu lantas berkata, “Dia adalah pemimpin kita yang agung. Dia adalah pemimpin yang matinya akan seperti harimau yang meninggalkan belang.”

Lelaki tua yang berkerut dahi itu, tiba-tiba tersenyum menghiris. Dia menatap dengan tatapan berat kepada ayah saya, sepertinya tatapan gajah kepada anaknya yang terbenam di lumpur.

“Dia adalah lelaki yang hanya tahu memaki-maki dan menghasut supaya jiwa kamu berlengah pada kesusahan. Dia adalah lelaki yang lupa, masih ada sesuatu yang kita perlu sebelum kita mati,” kata lelaki tua itu, berbicara seperti merayakan perasaan halusnya yang penuh rahsia.

Ayah saya diam. Tampak seperti menekuri kata-kata itu sebelum mendadak berkata, “Dia pemimpin kita dan kamu perlu menanggung risiko atas kata-kata kamu.”

Lelaki tua itu tersenyum kuat. Langsung tidak tersirat beban pada senyumannya. Sepertinya dia di bawah kawalan hasutan-hasutan yang pragmatik. Dia kembali menatap ayah saya.

“Kamu kata, dia adalah lelaki yang matinya akan meninggalkan nama. Nama yang bagaimana? Sedangkan di atas pentas sendiri dia sudah memaki. Kamu kata, dia akan jadi seperti harimau yang meninggalkan belang, tetapi kamu lupa maksud kata 'meninggalkan'. Itu yang kamu lupa. Meninggalkan bukan bermaksud pada saat ruh melungsur daripada ubun-ubun, tetapi ia bermaksud 'selepas kamu pergi'. Jadi selepas pemimpin agung kamu itu meninggalkan pentas, nama yang bagaimana yang kamu akan ingat? Sekiranya saya, saya akan mengingatinya sebagai lelaki yang memaki-maki dan pandai menanam hasutan,” jelas lelaki tua itu yang jelas dijejali hasrat bersedia berhujah.

Ayah saya diam. Diam dan terus diam. Entah mengapa dia diam, sehingga kini saya tidak bertanya. Lalu pada saat ayah saya diam tidak berpenghasilan, lelaki tua itu kembali menyambung katanya.

“Jadi, hati-hati dengan apa yang kamu ucapkan, dan dengan apa yang kamu lakukan. Manusia tidak perlu menunggu sehingga mati sebelum meninggalkan nama. Cukup, kamu lesap sahaja daripada mata mereka, pada saat itu kamu sudah meninggalkan satu jenis nama untuk mereka. Sama ada nama yang baik ataupun nama yang buruk. Tidak perlu berfikiran sejauh sehingga ke mati untuk meninggalkan nama, cukup hanya pada saat kaki kamu melangkah,” terang orang tua itu yang jelas mempamerkan prestasi yang cemerlang sehinggakan ayah saya, yang sangat saya takuti walaupun sekadar batuknya, diam dan serta merta melonggokkan ekpresi wajahnya yang berfikir.

Saya pula tampak bodoh rupawan pada waktu itu. Saya hanya mampu mengingat namun tidak mampu berada pada tempat ayah saya berada, apatah lagi pada tempat lelaki tua itu bersemayam. Yang jelas, pada saat lelaki lelaki tua itu menghilang di balik-balik orang kampung yang masih lecak keringatnya, dia sudah meninggalkan namanya dalam kepala saya, sebagai lelaki tua yang menakjubkan pesonanya.

Kini.
Saya pada garis waktu yang semakin hujung, masih belum mampu melihat diri saya seperti mana lelaki tua itu melihat dirinya. Saya masih lelaki yang sering menghempaskan makian, menggeser sindiran dan melanggar ketenangan pada manusia lain. Saya lupa, pada saat saya melakukan itu semua, saya sudah meninggalkan nama saya di situ sebagai nama yang seakan-akan tanah hitam.

Itu yang saya lupa, dan mudah lupa. Apatah lagi pada saat sekarang, pada saat mudahnya kita menanamkan kata-kata di mana-mana, seperti mudahnya embun yang mengewap dari cermin jendela. Menanamkan kata-kata di blog, di Facebook, malah terkadang mempamerkannya, hanya untuk saya meninggalkan nama yang dipandang dingin.

Wednesday, November 18, 2009

berada di sini

Saya berada di sini, melihat jauh ke ufuk mata.
Tebing yang licin, curam, jatuh pasti mati,
menyesakkan dada, sakit, berair mata.
Saya dahulu melihat-lihat dari sini,
di bukit.

Saya berada di sini, melihat jauh ke ufuk mata,
bukit hijau, tinggi, berdiri pasti megah,
mendepangkan dada, senyum tertarik ke telinga, penuh tawa.
Saya kini melihat-lihat dari sini,
di tebing.

Tuesday, November 10, 2009

Tercipta untuk kita.

Bahagia itu, tercipta untuk manusia. Tercipta, untuk kamu, untuk saya dan untuk kita. Alhamdulillah. ;)

Friday, November 06, 2009

berhenti di situ

Seperti burung.
Nanti kamu akan berhenti di situ. Sama seperti teman saya, berhenti seperti burung yang hinggap di ranting, yang terkeliru, di mana arah tenggara dan di mana selatan. Nanti, hati kamu akan bergegas setengah lari, cuba-cuba mengintip sekiranya masih ada yang tersisa, di situ. Nanti....
Jalan.
Tidak banyak saya ingat mengenai perkara itu. Ia perkara yang menyisakan kenangan yang tidak rimbun, tetapi tetap redup. Cuma saya teringat satu kata-kata, yang saya kutip daripada perkara itu, “Dalam cinta, manusia akan memikirkan dahulu kesenangan, sebelum memikirkan kesulitan.”
Teman saya juga begitu. Berhenti di situ, berhenti pada kenangan yang saya namakan pertemuan. Namun, bukan pertemuan yang membuatkan dia berhenti, tetapi dia berhenti pada perkara yang saya dan kamu tidak akan mampu lindunginya, walaupun dengan sepenuh jiwa. Teman saya berhenti di situ, dan nanti kamu dan saya juga berhenti di situ.
Hati.
Teman saya, seorang anak yang baik. Tutur katanya baik, tingkahnya baik dan dia sering tersenyum baik. Sesiapa pun pasti tahu, apa sahaja yang mereka lihat daripada teman saya itu, adalah perkara yang baik.
Baiknya teman saya itu tiada banding. Saya sering cemburu, malah mencuba menjadi baik seperti dia, tetapi saya gagal. Dia anak kampung yang menjadi pujangga. Hanya itu yang dia tahu, menjadi pujangga, selain memetik buah koko dan memetik kopi yang sudah kurang. Waktu itu, koko dan kopi masih belum diserang penyakit, dan harga komoditinya masih mampu mengalahkan harga kelapa dan pisang.
Pujangganya teman saya itu terkadang menjadi kidung-kidung yang manis, terkadang ia adalah jerit yang menjadi penyebar semangat hidup. Sehinggalah pada suatu hari, pujangganya meningkat setahap yang lebih halus, hanya kerana pertemuannya dengan seorang perempuan kota.
Perempuan kota.
Perempuan kota itu seorang pegawai yang berjawatan tinggi. Hadirnya ke kampung kami atas urusan yang saya sudah lupa. Tidak terlalu penting, namun untuk pegawai kerajaan sepertinya, tidak ada perkara yang tidak penting. Semuanya penting walaupun sekadar hanya untuk datang memandang sesaat wajah penduduk yang perih, dan kemudiannya pulang menulis laporan 2000 patah perkataan.
Teman saya yang baik itu, entah mengapa jatuh hati kepada perempuan kota itu. Dia tahu, dia hanya pujangga kampung, namun kata-katanya kepada saya penuh semangat, “Cinta saya, akan membuatkan dia buta. Buta tentang siapa saya, dan tentang siapa dia. Nanti kamu lihat.”
Saya hanya diam dan membiarkan teman saya, sang pujangga itu dengan bibit-bibit hatinya. Saya tidak pasti mengapa dia boleh jatuh hati kepada perempuan kota. Cuma saya mungkin boleh meneka-neka, dia mahu buktikan kepada orang kampung, dia juga mampu memiliki pasangan dari kota walaupun dia hanyalah pemetik koko dan kopi.
Setelah teman saya mengelus-elus kata-kata pujangganya kepada perempuan kota itu, segalanya menjadi tidak masuk akal. Perempuan kota itu membalas cinta teman saya. Saya dan penduduk kampung lain berwajah berdetak-detak. Langsung tidak percaya.
Hari baik teman saya bermula, namun tanpa saya tahu, dan tanpa sesiapa pun tahu, teman saya akan terpaksa berhenti, di situ.
Di situ.
Lapangnya suasana hati teman saya, apabila perempuan kota itu sudah berjanji mahu bersemayam selamanya dalam hatinya. Saya senang-senang sahaja dengan perkara itu dan mendoakan yang terbaik untuknya.
Sehinggalah suatu hari, seorang lelaki dari kota datang bertemu teman saya, berbisik kepada teman saya. Saya tidak terjangkau bisik-bisik mereka, tetapi daripada riak wajah teman saya, ia seperti bisikan yang memberikan satu janji. Hujung bibir teman saya tertarik hingga mahu mencecah telinga.
Dia berpaling ke arah saya dan berkata, “Lelaki itu adalah abang perempuan kota itu. Pesannya, usah bermimpi mahu memiliki adiknya dan dia menyuruh saya memutuskan hubungan itu.”
Saya yang tadi mahu tersenyum berbunga-bunga, yang mahu menumpahkan semua bahagia saya kepadanya, jadi diam. Saya menahan nafas. Mengapa tindakan teman saya itu tidak langsung menyiratkan apa sebenarnya yang terjadi? Mengapa perlu tersenyum pada saat hatinya sudah ditusuk pisau bergaram?
“Sepatutnya kamu tidak tersenyum,” kata saya, sepatah dengan suasana hati yang keliru.
“Itu yang semua orang fikir. Namun, sebelum saya berani mengatakan cinta kepada gadis itu, perkara pertama yang datang dalam kepala saya, adalah memikirkan sulitnya cinta itu. Saya langsung tidak memikirkan senangnya cinta. Hanya dengan pegangan itu saya masih boleh tersenyum begini,” kata teman saya.
Saya semakin mengerut dahi. Saya terlupa, yang dia adalah pujangga di kampung. Saya terlupa perkara itu sehingga saya kembali bertanya, “Sekiranya begitu mengapa kamu berani-berani bercinta? Sekiranya sudah nampak susahnya cinta, mengapa masih mahu memberi dan menyambut cinta?”
“Sekiranya cinta itu datang dahulu kepada akal, pasti saya sudah berbuat begitu. Tetapi cinta itu tidak melalui akal, ia datang terus ke hati. Mana mungkin kamu mampu menahan apa yang terus datangnya ke hati. Apatah lagi kuasa cinta. Ia kuasa yang paling ampuh di dunia. Kamu tidak mampu berbuat apa-apa dengan kuasa cinta. Dengan cinta kamu jadi berani, kamu hilang malu, dan mengetepikan akal. Tetapi hanya satu yang kamu boleh berbuat berkenaan cinta, iaitu mengawal dan mendidiknya sedikit-sedikit dengan akal dan iman yang tersisa. Saya mengawal cinta dengan memikirkan kesulitan-kesulitan yang bakal saya alami. Hanya itu yang saya termampu. Tapi untuk menidakkan cinta di hati saya, saya tidak mampu. Saya berterus-terang dengannya walaupun saya tahu pada suatu saat, pasti cinta saya akan berhenti....” Teman saya menjelaskan perkara cinta itu dengan mudah dan sepertinya air yang mengalir.
Saya bungkam untuk beberapa saat. Tidak mampu berkomentar. Berbicara dengan seorang pujangga memang tidak pernah mudah. Mereka adalah orang yang makannya seperti orang miskin, dan bicaranya seperti orang kaya.
“Sekiranya juga kamu tahu cinta kamu itu akan terhenti, mengapa tidak berhenti pada awalnya lagi?” soal saya kembali.
“Cinta itu sifatnya optimistik, ia dinamik dan ia juga adalah harapan. Itu adalah cinta yang saya tahu. Kerana itu juga saya tidak mahu berhenti pada awalnya,” jelasnya kali ini, pendek, namun tetap berirama.
“Tetapi kamu boleh mengelak, bukan?” sanggah saya, pantas.
“Bagaimana kamu boleh mengelakkan sesuatu pertemuan? Pertemuan adalah awalnya cinta. Sedangkan kamu tahu, esok pun kita tidak tahu dengan siapa kita akan bertemu. Adakah kamu tahu dengan pasti, yang esok kamu akan bertemu dengan siapa? Pasti tidak. Begitu juga cinta. Namun, kita punya akal, dan kita sudah tahu, pada setiap pertemuan itu, pasti ada perpisahan. Daripada itu saya tahu, cinta saya akan berhenti di situ. Berhenti pada perpisahan, berhenti pada saat tiadanya harapan. Saya sudah sedia walaupun pada hakikatnya, hati saya tetap mengintip, sekiranya masih ada harapan yang tersisa pada perpisahan itu. Sekarang saya akur, tiada yang tersisa untuk saya. Saya sedar siapa saya, dan saya cukup sedar siapa dia. Jelas memang tidak ada yang tersisa, dan jelas, kamu tidak perlu memperbodohkan diri kamu bagi berjuang untuk cinta yang sudah tidak menyisakan harapan,” jelas teman saya dengan lebih panjang lebar.
Saya diam dan terus diam. Tidak pernah saya menjangka, teman saya menjunjung tinggi persoalan cinta itu. Menjunjung sepertinya qari yang menjunjung Quran, walaupun dia sudah melihat, adanya perpisahan pada ketika mulanya pertemuan. Sehingga kini saya masih tidak menjangka, untuk setiap manusia, cinta itu dipandang berbeza-beza.

Tuesday, November 03, 2009

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS: Baca dan Menang!

Resit Beli Buku PTS Bermula 1 Nov. 2009 Sah untuk Peraduan
Jawatankuasa Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS: Baca dan Menang!bersetuju menerima resit bukti pembelian buku PTS yang dibuat bermula 1 November 2009.

Ini bermakna anda tidak perlu menunggu sehingga 21 November 2009 bagi membeli buku PTS di kedai-kedai buku terlibat.

Bagi anda yang membeli buku melalui kedai buku online PTS di http://www.bookcafe.com.my bermula 1 November 2009, anda juga boleh gunakan bukti pembelian iaitu nombor order/pesanan bagi menyertai peraduan ini.

Jadi, apa lagi, ayuh cepat-cepat ke kedai-kedai buku berdekatan ataupun belionline bermula 1 November 2009 (iaitu hari ini).

Namun begitu, ada kemungkinan kedai-kedai terlibat dalam peraduan ini belum dapat memberikan anda borang peraduan. Jangan risau, anda boleh muat turun borang peraduan melalui laman web ini. Bagi yang membeli secara online, boleh terus isi borang peraduan di sini.

(Disalin daripada blog http://snalala.blogspot.com/.)

Contoh borang Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS: Baca dan Menang!

1. Hadiah Utama

(a) Tempat Pertama:

(b) Tempat Kedua:

(c) Tempat Ketiga:


2. Hadiah Mingguan

(a) Minggu Pertama

1. iPod Touch 8GB + Buku PTS bernilai RM100
2. Nokia 5130 XpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
3. Nintendo DS + Buku PTS bernilai RM100

(b) Minggu Kedua

1. PSP + Buku PTS bernilai RM100
2. SonyEricsson W205 + Buku PTS bernilai RM100
3. Kamera Digital Canon Powershot A480 + Buku PTS bernilai RM100

(c) Minggu Ketiga

1. Acer Netbook Aspire One D250 + Buku PTS bernilai RM100
2. iPod Nano 8GB + Buku PTS bernilai RM100
3. PS2 + Buku PTS bernilai RM100

(d) Minggu Keempat


1. Nintendo Wii + Buku PTS bernilai RM100
2. Nokia 5130 XpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
3. Kamera Digital Canon Powershot A480 + Buku PTS bernilai RM100

(e) Minggu Kelima

1. Nokia 5880 ExpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
2. PS2 + Buku PTS bernilai RM100
3. iPod Nano 8GB + Buku PTS bernilai RM100

(f) Minggu Keenam

1. Kamera Digital Canon Powershot A2100 IS + Buku PTS bernilai RM100
2. SonyEricsson W205 + Buku PTS bernilai RM100
3. Nintendo DS + Buku PTS bernilai RM100

3. Hadiah Mingguan untuk Sekolah

Menarik hadiah-hadiah yang ditawarkan, bukan?

Jadinya apa lagi, kawan-kawan?

Jomlah sertai peraduan ini! (^_^)


Sunday, November 01, 2009

soalan untuk hati

Menyelongkar hati.
Menyelongkar hati dengan soalan-soalan berkenaan hidup, tidak mudah. Bukan kerana sakit, bukan juga kerana ia perit, tetapi kerana terkadang kita tidak tahu soalan apa yang bagus untuk hati. Sehingga pada suatu hari, saya ditanyakan soalan itu oleh teman saya. Soalan yang membuat hati saya terus berdenting menggetar jiwa.

Petang itu.
Wajah teman saya pada hari itu tidak enak. Tampaknya dia berusaha keras memata-matai sesuatu dalam kepalanya. Saya pula hanya diam sambil sekali-sekala mengaduk rambut. Mata saya tertancap pada televisyen.

“Kamu tahu, mengapa pada setiap kali kita melakukan ibadah, kita masih tetap melakukan dosa, mengapa?” soal teman saya, tiba-tiba.

Saya diam. Terus saya menerapkan pertanyaan teman saya itu dalam hati. Saya berhenti mengaduk-aduk rambut. Kini hati saya pula mengaduk-aduk persoalan itu. Tidak mampu saya menjawab soalan itu, walaupun hanya cuma untuk menggesernya. Ilmu saya jelas kurang di dada, walaupun pada setiap waktu, soalan itu juga yang mencucuk-cucuk hati.

“Kerana tidak khusyuk?” teka saya dengan kening terjungkit. Itu jawapan saya, kerana untuk kebanyakkan waktu, saya sangat sukar bagi menerapkan khusyuk pada apa yang saya lakukan.

Teman saya hanya menggeleng perlahan dan kemudiannya berkata lagi, “Bagaimana sekiranya kita sudah khusyuk?”

Otak saya terus berputar. Cuba saya keluarkan serpih-sepih ilmu yang masih tertanam dalam kepala, namun tetap juga tidak mampu. Sehingga lama saya diam sebelum kembali berkata, “Kerana kita tidak ikhlas?”

“Bagaimana sekiranya kita sudah ikhlas?” soal teman saya lagi dengan mata yang menjeling lembut tetapi tegas.

Saya diam. Kesemua jawapan yang saya tahu sudah saya berikan, tetapi apa lagi jawapan yang tersisa untuk saya. Saya diam dan terus menggeleng, tanda jelas ilmu saya sangat cetek.

“Kamu tahu, kita beroleh Islam bukan kerana siapa ibu bapa kita. Kita tidak beroleh kecelakaan bukan kerana usaha kita. Sekiranya kita masuk syurga, bukan juga kerana apa yang ibadah kita buat. Apatah lagi dengan kebaikan yang kita buat, bukan juga akibat daripada ibadah kita buat,” jelas teman saya. Penjelasan yang menyongsong dalam kepala saya.

“Lalu?” tanya saya dengan wajah yang termangu-mangu.

“Semuanya kerana rahmat Allah. Sekiranya kita mahu menukar ibadah kita dengan syurga pasti tidak akan terjangkau. Ibadah kita, walau sebanyak manapun pasti belum mampu menyamai syurga yang paling bawah. Begitu juga dengan diri kita. Kita berbuat kebaikan, bukan kerana diri kita sememangnya sudah baik, tetapi itu semua rahmat Allah. Rahmat itu sangat luas, sangat besar dan sesiapa pun boleh memperoleh rahmatnya,” jelas teman saya.

Namun saya tetap berusaha keras mentafsir kata-katanya kerana saya belum nampak jawapan pada soalannya. Mungkin jawapannya jelas, tetapi tinggal saya sahaja yang kurang ilmu bagi mengerti.

Teman saya memandang wajah, saya. Pandangannya, adalah pandangan seorang yang sangat mengerti. Mungkin dia sangat mengerti mengapa saya diam dan berwajah termangu-mangu.

“Kita melakukan kebaikan dan tidak melakukan dosa, juga adalah kerana rahmatnya Allah. Jadi, mungkin pada saat kita beribadah khusyuk, dan niat ikhlas, kita juga beranggapan ibadah kita itu sudah cukup bagi menghalang kita berbuat dosa. Padahal, kita terlupa, kita terhalang berbuat dosa kerana rahmat Allah. Ibadah itu pula adalah kerana kita hamba-Nya yang memohon simpati kepada-Nya bagi memberikan rahmat-Nya. Lalu, adakah kita beribadah dengan disertai rasa hamba yang memohon simpati bagi beroleh rahmat-Nya ataupun kita beribadah dengan yakin yang ibadah itu sudah cukup bagi kita?” jelasnya dengan lebih panjang lebar.

Saya tetap diam. Kata-katanya menyerap baik dalam kepala. Terkadang saya ragu, terkadang saya takut. Namun yang utama, tetap juga saya menyoal hati saya, dengan soalan-soalan yang betul-betul menyelongkar hati saya.

Monday, October 19, 2009

menghalusi pesanan

Fikiran.
Tidak sekali saya berfikiran begitu. Malah pada setiap saat, pada setiap waktu, fikiran saya, terbenam pada hal itu. Fikiran yang ayah saya sangat menegah, sepertinya dukun yang menegah pesakitnya daripada memakan ikan duri.

Terkadang saya tewas, namun banyak waktu saya tetap mencuba, bagi menoleh pada tegahan ayah saya. Menghalusi setiap katanya dengan akal yang kasar. Saya cuba, dan sehingga kini terus mencuba.

Menjauh.
Pada waktu itu, di tempat saya, bagi berjauhan daripada keluarga adalah suatu hal yang sangat mustahil. Tidak ada apa-apa yang boleh menarik kamu jauh daripada rumah. Hanya ada pohon kelapa, dan kamu tidak tahu maksud kata rekreasi, dan kata khemah pula hanya kamu baca daripada buku cerita.

Lalu, pada saat saya mahu jauh daripada keluarga, adalah saat yang paling besar untuk saya. Kata takut, langsung tidak memijak hati, malahan semakin hari, otak saya terus disuntik dengan anekdot yang membuatkan saya girang. Seperti girangnya anak burung yang sudah tahu aturan angin.

Waktu itu, satu-satunya jalan bagi menjauh daripada keluarga adalah memasuki sekolah berasrama, dan pesan ayah saya itu saya perolehnya daripada hal itu. Pesan yang masih terngiang-ngiang.

Tingkatan 1.

Saya langsung tidak tahu, apa yang akan saya temui di situ. Sama seperti pada saat Columbos menemui Hispianola. Tidak ada satu pun perkara yang membuncah, yang menggalau dalam hati saya. Semuanya berkenaan hidup berjauhan adalah sesuatu yang indah.

Bukan saya, tetapi ayah saya. Dia tahu semuanya berkenaan hidup remaja, kerana dia pernah duduk rupawan pada lingkaran itu. Pernah berpegang pada jiwa, yang sekarang saya berada. Ayah saya sangat tahu, apa bahaya apa yang akan melahap mentah-mentah jiwa sederhana saya. Sangat tahu, sehingga pada malam itu, dia menyampaikan pesanannya dengan penuh pesona.

Pesanan.
Malam itu, saya ingat lagi, seperti kuatnya ingatan saya pada mawar pertama yang saya beri kepada gadis. Tidak pernah surut kenangan itu, kerana pada malam itu awan hitam membumbung di langit, dan hujan turun tidak malu-malu.

Dalam gema rintik hujan itu, ayah mendekati saya dengan memasang mimik wajah yang bersimbah sayang. Ayah, memandang tepat kepada saya dan pada saat saya tunduk kerana tidak mampu memandang balas tatap tajamnya, perlahan-lahan dia menyampaikan dengan kata yang sederhana, dengan nada yang halus tetapi tegas, sebuah pesanan dalam bahasa Bugis.

Ajak kecuekcuek me'jaeh.

Pesanan sederhana.
Saya terpempan, kerana pesanan itu menimpali saya terus ke hati. Saya sangat mafhum maknanya, “Jangan terikut-ikut yang tidak baik.”

Pesanan itu sederhana, namun tetap juga saya tidak mampu menahan fikiran saya daripada terus terikut-ikut pada banyaknya perkara hitam. Sehingga terkadang, saya hilang dalam belok-belok hitam kehidupan.

Semoga sahaja, saya tetap mampu mengikuti pesanan sederhana itu. Semoga sahaja saya tetap menjadi orang yang pernah ayah saya kenali, 20 tahun dahulu. Semoga.

Thursday, September 17, 2009

Pada saat yang kita kenang

Kenangan.
Membilas-bilas hati dengan kenangan, agar dapat mudik ke dalam ketenangan, terkadang menjengkelkan. Ada kenangan yang berada pada tempat-tempat, yang menyisakan garis bahagia masa lalu, namun, tidak kurang kenangan yang bergemuruh dengan pekik perih.

Memekap kedua-duanya dalam hati, lalu cuba mengambil hikmah yang tidak rimbun tetapi tua dan tinggi, adalah perkara yang sering membuat hati saya terbatuk-batuk. Tidak mudah walaupun sudah didesak-desak.

Sehingga suatu hari, saya terhempas pada suatu kata-kata sederhana berkenaan kenangan. Kata-kata sederhana yang apabila sahaja menjelang Syawal, pasti berkicau-kicau dalam hati, sekonyong-konyong saya sedar, kenangan jenis apa yang mahu ditatang.

Cerita.
Sudah ramai yang saya kenal orang namun tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi dia, dalam bercerita. Ceritanya pasti menjemput jiwa kita dengan halus, berlebihan, dan terkadang memotong-motong hati kita dengan pisau kata, yang pedihnya sampai ke ubun-ubun.

Itu yang sering terjadi kepada saya apabila bertemu dia. Cuba-cuba saya tidak berbual dengan dia, sendiri-sendiri, kerana mudah saya takluk dengan kata-katanya pada saat saya sendiri. Tidak langsung saya mampu menghalang emosi daripada kata-katanya itu menggeser hati saya.

Namun, hari itu, kata-katanya tetap merubung saya. Membuat saya terpaksa berurusan dengan air mata. Dia, adalah sepupu dekat saya.

Ramadan.
Waktu itu, Ramadan hampir khatam. Serpih-serpih mercun, dan bunga api sudah menghambur di jalan-jalan. Waktu itu jugalah, saya bertemu dia, pada hening senja yang berguling-guling. Dia, waktu itu bergumpal wajahnya dengan senyuman, senyuman yang saya tahu akan memaku saya bagi mendengar ceritanya.

Sambil tersenyum yang membesarkan hati, dia berkata, “Kamu tahu, apa yang saya paling ingat tentang arwah ibu kamu?”

Seperti yang saya sudah katakan, kata-katanya itu terkadang ibarat pisau yang akan mengelar hati, yang pedihnya sampai ke ubun-ubun. Senja itu, kata-katanya terus menghantar saya ke ruang kenangan yang membuatkan dada saya sesak, dan saya hanya diam, menggeleng.

“Apa yang saya paling ingat berkenaan arwah ibu kamu, adalah, apabila dia mengingati seseorang, dia cuma mengingati perkara yang baik-baik sahaja tentang orang itu. Atas kerana itu, saya sering mengingatinya begitu, mengingati perkara yang baik-baik sahaja tentang dia,” jelas sepupu dekat saya itu dengan mimik wajah yang memukul hati saya dengan emosi.

Senja itu, dalam melanggar kenangan, saya mencuba, dan sehingga kini, saya tetap mencuba, untuk mengingati yang baik-baik sahaja tentang sesiapa pun yang saya kenal, kerana hanya itu, yang akan membuatkan orang mengingati yang baik-baik sahaja tentang kita.

Maaf.
Tidak berubah sedikit pun, pada saat ini, saya mahu memohon ampun dan maaf atas semua salah saya, kepada semua. Teman-teman, para teman sekerja, bos-bos, kepada editor, para pembaca blog, dan novel saya. Maafkan saya, ampunkan saya, kerana manusia seperti saya ini, sangat mudah membuat salah. Untuk saya, pada sepanjang waktu ini, saya sedaya upaya cuba hanya mengingati perkara-perkara yang baik sahaja, pada kisah kita semua.

Selamat menyambut Aidilfitri. :)

Thursday, September 03, 2009

jawapan untuk hati

Samar.
Melihat perkara yang menurut saya, tidak ada ertinya adalah umpama mengembangkan ribuan senyuman kepada patung cantik yang tidak punyai ruh.

Itu rasa yang berada di tengah-tengah sedar saya. Rasa yang saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Cuba-cuba juga saya cari jawapan untuk perkara yang memberikan rasa yang tidak kena itu. Namun, mencari jawapan untuk sesuatu yang berada di tengah-tengah adalah seumpama mencari bola putih di lantai yang juga putih. Ada tetapi samar.

Sehingga seseorang yang baik memberitahu saya, bukan untuk memberikan jawapan betul, tetapi untuk menanyakan soalan yang tepat. Hingga kini sekiranya saya tidak lupa, soalan itu tetap bolak-balik dalam hati saya.

Sakit.
Dia mungkin orang yang paling banyak cubaannya yang pernah saya nampak di hadapan mata, ataupun setidak-tidaknya orang yang saya tahu, pernah diberi cubaan sehebat itu.

Bermula sebagai seorang yang tahu maknanya hidup tanpa ibu juga ayah, kemudian tahu maknanya hidup tanpa anak. Tidak cukup itu, dia juga adalah manusia yang tahu apa maknanya hidup tanpa punyai ginjal. Harus, saban hari, setiap lima kali sehari duduk selama 30 minit, di suatu tempat yang bersih untuk memasukkan cecair ke dalam tubuh, membersihkan sistem penapisan tubuhnya secara manual. Yang selama ini, tugas itu dilaksanakan oleh ginjal.

Saya tidak mampu membayangkan diri saya dalam keadaan itu. Saya sangat takut dengan ujian yang saya khuatir tidak akan mampu untuk harungi itu.

Saya tidak merasainya, tetapi memikirkannya sahaja sudah cukup membuat resah dan kecewa itu bersandar perih dalam hati. Sehingga pada suatu hari, pada waktu saya mendatangi dia untuk bertanya khabar, dia menanyakan saya soalan yang saya ingat sampai mati.

Petang.
Petang itu, langit masih terlihat terang, dengan angin yang mengucur deras dari balik-balik awan yang putih. Saya mendatangi dia, yang pada waktu baru sahaja dilepaskan dari hospital untuk berehat di rumah.

Mendengarkan ceritanya daripada teman saya, saya dapat membayangkan kobaran pedih yang menyala-nyala dalam hatinya, dengan semua ujian yang didatangkan Tuhan itu. Belum saya menemuinya, hati saya sudah menggelepar di atas padang simpati.

Namun, pada saat saya bertemu dengannya, pada saat saya menatap cemas ke arahnya, dia pula tersenyum dengan jutaan rasa membesarkan hati. Senyumnya tidak lekang, tidak juga mahu pudar. Untuk melihat manusia memaparkan mimik wajah yang tabah dengan ujian, itu saya sudah biasa. Namun, untuk melihat manusia yang melontarkan wajah yang bahagia dengan segala ujian itu membuat hati menggelinding dengan pertanyaan, mengapa dia terlihat bahagia?

Tidak tahan menanggung rasa itu, saya terus bertanya, bagaimana dia boleh memasang wajah yang begitu bahagia sedangkan dia sudah renta dengan ujian yang datangnya seperti ribut. Menyambar apa sahaja, tidak ramah dan tidak menyisakan apa pun kebahagiaan untuk dikenang.

Pada perkiraan saya, memasang wajah bahagia itu tidak ada ertinya, sekiranya hati juga tubuh sudah digoyang-goyang oleh derita. Tidak perlu pura-pura untuk terlihat bahagia, hanya untuk menatang hati sahabat yang sudah mengerti. Cukup sekadar memasang wajah yang sederhana, wajah yang kita tahu adalah wajah yang tabah dengan ujian itu.

Dia masih tersenyum, dan usai senyum bahagianya dia tidak pula menjawab soalan saya, malah bertanya kembali, “Apakah hanya dengan tubuh yang sihat, dengan ibu bapa dan anak-anak di sisi baru kita boleh merasakan kasih sayang Allah?”

Saya rasakan hati saya terhambur dari tubuh. Pada kalimatnya itu, saya langsung tidak mencium apa-apa beban. Kalimatnya umpama diwarnakan dengan warna-warna yang sejuk, dan warna-warna bahagia. Saya diam dan sepanjang hari itu saya menanyakan soalan itu untuk diri saya, kerana pada soalan itu ada jawapan untuk hati.







Friday, August 28, 2009

Dunia Buku: Adi Gempa: Evolusi

*Sebenarnya, saya orang Samarahan. :)

Manusia uji kaji jadi rebutan Amerika, Russia

ADI Gempa: Evolusi karya Bahruddin Bekri membawa pembaca menelusuri kisah manusia uji kaji yang mempunyai kekuatan luar biasa hasil konspirasi pertubuhan sulit Amerika dalam percubaan mereka untuk menguasai dunia, tetapi terhalang apabila ada pihak yang membangkang niat jahat itu.

Novel pertama percubaan pengarang ini dalam genre aksi fiksyen sains atau Sai Fai dimulai dengan penemuan logam hitam dipercayai tahi bintang yang jatuh terhempas di kawasan terpencil di Russia, hampir 100 tahun lalu dan Amerika merancang menghasilkan sesuatu yang dahsyat bagi merealisasikan impian menguasai dunia.

Tidak mahu terbabit dengan rancangan jahat itu, Prof Ashraf bersama-sama 10 manusia uji kaji melarikan diri dan sempat membebaskan 100 sejenis dengannya, sebelum lari bertebaran di serata pelosok dunia manakala Prof Ashraf memilih menyembunyikan diri di Malaysia dengan membawa dua manusia uji kaji, Amin dan Hadi.

Bagaimanapun, Hadi yang masih bayi ditinggalkan di hadapan sebuah rumah dan pada usia 12 tahun menjalani kehidupan normal di samping Puan Maimun dan Pak Ali di sebuah kampung, tanpa disedari memiliki kekuatan luar biasa iaitu dapat mengesan gempa bumi serta menghasilkan gegaran.

Prof Ashraf kembali menjejaki Hadi dan memerhati perkembangan serta gerak gerinya sehingga dapat mengesan adanya kaitan antara Hadi dan kejadian gempa bumi di samping membongkar hubung kait di antara Hadi dengan perancangan sulit Amerika terungkai.

Tokoh itu turut membongkar eksperimen berlabel Boy I yang lahir daripada ‘Projek Manusia Uji kaji’ dan satu daripadanya ialah Hadi selain Prof Ashraf cuba membantu pemuda terbabit mengguna serta mengawal kuasanya yang sangat berguna untuk mengesan gempa bumi bagi menyelamatkan dunia serta beribu nyawa.

Penulis mengangkat Hadi sebagai hero yang menjadi rebutan Amerika dan Russia kerana kekuatan yang dimilikinya itu akan membawa keuntungan kepada mereka, meskipun hakikatnya Hadi masih tidak dapat menggunakan kuasa sepenuhnya.

Penulis bagaikan membawa pembaca menonton siri komik super hero apabila muncul lebih ramai manusia

uji kaji yang mempunyai kekuatan luar biasa dan setiap daripada mereka memiliki kehebatan tersendiri selain kebijaksanaannya menyusun plot dengan baik berjaya menambat tumpuan pembaca.

Selain Amin yang memiliki kuasa angin, Hadi turut bertemu dengan Man-7 atau dikenali sebagai Tokoh X, antara manusia uji kaji terkuat dan banyak kuasa hebat yang antaranya mampu mengeluarkan sinaran seolah-olah logam hitam, kuasa teleport dan kuasa ais.

Plot cerita menjadi semakin menarik serta menimbulkan debaran kepada pembaca apabila wakil Amerika yang diketuai Prof William, mula memburu Hadi dan Prof Ashraf manakala Prof Mashkadov mewakili Russia pula berusaha melindungi Hadi.

Keadaan menjadi lebih sulit apabila Prof Maskadov, Prof Ashraf dan Hadi diculik oleh Amerik, manakala Jeneral Kashparov pula berusaha mengatur rancangan dengan mengumpul barisan tenaga yang kuat untuk menyelamatkan kelompok yang diwakilinya.

Pergelutan demi pergelutan berlaku bagi memusnahkan pihak lawan masing-masing, tetapi kekuatan dan kelicikan kelompok Amerika dengan barisan tentera skuad pengawal gelap dan skuad pembunuh gelap, menyukarkan usaha menumpaskan mereka.

Baik kelompok Amerika mahupun Russia, masing-masing mengeluarkan senjata dan kekuatan bagi melawan serta mempertahankan diri, pelbagai makhluk yang mempunyai kuasa luar biasa turut muncul dalam memperkukuhkan serangan sehingga pembaca terdorong menyudahkan bacaan.

Bagaimanakah nasib Prof Ashraf dan Hadi serta apakah tujuan sebenar Prof Mashkadov yang juga orang kanan Prof William, tetapi akhirnya membelot serta berjayakah pihak Amerika ditumpaskan akan diketahui dengan membaca sendiri novel setebal 331 halaman berharga RM19.00 senaskhah ini.

INFO: Adi Gempa: Evolusi

  • Pengarang: Bahruddin Bekri
  • Tebal: 331 halaman
  • Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd
  • Harga: RM 19.00 senaskhah
  • Bintang: ****


Lulusan ekonomi pilih penulisan kreatif

MOHAMAD Bahruddin Mohamad Bekri berasal dari Kuching, dilahirkan pada 11 Januari 1981 mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Iboi, sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semera, Sarawak.

Pemegang Ijazah Muda Ekonomi ini menulis sejak di sekolah, kemudian menjadikan blog sebagai medan bereksperimen dan walaupun baru dua tahun menulis novel, enam sudah diterbitkan iaitu Doa Untuk Aku, Dunia Ini Sederhana Kecil, Detektif Bertudung Hitam, Puisi Untuk Nadina, Perang Kucing dan Adi Gempa.

Adi Gempa adalah percubaan pertamanya menulis novel berbentuk aksi fiksyen sains, Sai Fai kerana sebelum ini, Mohamad Bahruddin selesa dengan genre komedi kehidupan, tetapi tetap berazam untuk menulis sekual Adi Gempa selain pernah mencuba bakat dalam genre cerpen dan novel remaja

Beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat logistik dan bekerja sementara di bawah Skim Kerajaan, kemudian bekerja secara bebas dalam menyusun reka letak buku, mengedit buku mahupun novel dan kini bekerja sebagai Editor di PTS Litera Utama Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.

Berbanding novel, beliau lebih selesa menulis di blog kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain boleh bersikap jujur di samping bereksperimen dengan pelbagai gaya penulisan

Tuesday, August 25, 2009

Langit Ramadhan.

Hati yang mendung.
Hati saya dan langit seperti sudah sepakat, untuk menjadi muram dan hitam, pada petang itu. Tidak sering saya begitu, namun pada saat ia terjadi, sesal saya tidak akan surut, sampai bila-bila.

Semuanya kerana saya tidak bersedia, untuk melihat hal yang sederhana itu sebagai hal yang besar. Menghampakan, untuk saya memperoleh pandangan sebegitu.

Lelaki pesona.
Dia termasuk dalam keluarga saya yang dekat. Pangkatnya sebagai abang kepada nenek saya. Dia lelaki yang banyak kisah menakjubkan untuk saya dengari. Bermula dengan kisahnya semasa masih di Sulawesi, masih berambut panjang menentang belanda. Hingga pada kisahnya yang membuat bulu roma saya berdiri, dia mencabar lembaga hitam tinggi yang menghadang jalannya. Kisah-kisahnya itu, tidak sekali pun membuat hati saya merinding dengan soalan, kerana untuk saya, dia adalah lelaki yang penuh pesona.

Duduknya jauh dari kami, duduknya di ulu. Jalan ke rumah orennya berliku dan harus menempuhi jalan yang diceritakannya, pernah dihadang oleh lembaga hitam yang tingginya menjulang. Jalan yang sunyi, penuh pokok-pokok liar.

Atas sebab itu, saya sangat jarang untuk ke rumahnya, hanya kerana saya takut untuk bertemu dengan lembaga hitam yang tinggi menjulang. Tanpa saya tahu, takut saya itu bukan apa-apa, sekiranya mahu dibanding dengan hal yang sederhana itu.

Ramadhan.
Pada zaman 80-an, Ramadhan di kampung saya adalah sesuatu yang cukup luar biasa untuk saya. Pada saat Ramadhan itu tiba, saya dapat merasakan udaranya berbeza, cahaya mataharinya juga berbeza, dan segala-galanya cukup berbeza. Waktu itu, walaupun tanpa bazar Ramadhan, saya tetap tahu itu adalah Ramadhan.

Ramadhan pada waktu itu adalah waktu yang paling nyaman. Waktu itu walaupun puasa, saya tidak letih untuk ke kedai Cina membeli blok ais untuk dicampur dengan air kelapa. Air kelapa yang dicampur dengan perahan limau dan sedikit pati sirap, membuat air kelapa itu berwarna merah jambu dan memberi rasa manis yang luar biasa.

Pada waktu malamnya pula, walaupun terpaksa berjalan kaki dengan lampu suluh yang malap, dan terkadang dengan pelita bersumbu besar sekiranya bateri habis, kami tetap ke masjid dengan rasa gembira. Terkadang, apabila minyak pelita habis di tengah jalan, terpaksa membakar daun pisang kering, dan ia menjadi suar selama beberapa minit. Cukup untuk beberapa langkah sebelum terpaksa berhenti lagi untuk membakar daun pisang kering yang lain.

Pada malam selepas terawih itulah saya mendengarkan permintaan sederhana itu, permintaan yang saya tidak bersedia untuk memasang wajah yang tersenyum bersedia. Permintaan yang hingga kini masih berlegar-legar dalam kepala.


Silaturahim
Pada suatu malam yang berbintang, ayah saya mengajak saya ke rumah datuk saudara saya itu. Kata ayah saya, “Kita pergi untuk silaturahim.”

Mendengar itu, saya hanya tersenyum. Pada malam Ramadhan, saya lebih suka bermain bunga api dengan sepupu-sepupu saya. Bermain mercun hingga bawah rumah saya bertaburan dengan kertas-kertas yang berwarna-warni. Sekiranya tidak begitu, saya lebih suka duduk di rumah yang waktu itu sudah ada generator, menonton televisyen hingga generator mati sebelum pukul 10 malam. Tetapi untuk berjalan ke rumah datuk saudara saya yang jalannya ada lembaga hitam yang menjulang, adalah perkara terakhir yang akan saya buat.

“Tunggu hari raya nanti,” jawab saya untuk ayah saya, lalu dengan pantas berlarian keluar masjid, berjalan ramai-ramai dengan teman saya, membelah gelapnya kampung dengan bunga api dan mercun.

Malam itu, saya tidak pernah tahu, permintaan sederhana ayah saya itu, adalah permintaan yang sangat saya sesali.

Tuhan.
Dua hari selepas itu, semasa Ramadhan sudah menjelang senja, ayah saya berlari pantas menuju ke rumah dengan wajah yang merah. Lekas dia bertanya, “Di mana ibu mu?”

Saya memberitahu ibu sedang sibuk membelek-belek majalah yang dikirim sepupu saya dibandar, kerana di dalamnya ada resepi baru untuk biskut raya. Kemudian saya pula bertanya, “Mengapa?”

Ayah saya dengan wajah yang merah kerana berlari memberitahu dengan suara yang ditahan-tahan, “Datuk saudara mu sudah pergi meninggalkan kita.”

Saya, waktu itu masih belum baligh, namun saya tetap tahu maknanya perkara itu. Tidak saya sedar betapa lama saya menangis. Permintaan ayah saya yang sederhana, beberapa malam lepas kembali berlegar dalam kepala.

Kini.
Pada saat Ramadan ini tiba, saya tidak mahu salah lagi dalam hal yang sederhana. Walaupun kisah ini boleh sahaja terjadi dalam bulan apa pun, tetapi, saya tetap sesal kerana pernah menyebut, “Tunggu hari raya nanti.”

Jadi, saya tidak mahu lagi mengatakan hal itu dan di sini saya hanya mahu berkata yang sederhana, di bulan Ramadan ini, “Maafkan semua salah saya, yang sedar mahupun tidak, kerana takut, kita tidak akan ada untuk 1 Syawal nanti.”

Wednesday, August 19, 2009

direnung mata, disangka hati

Apa yang direnung.
Melalui mata yang merenung, daripada hati yang menyangka, saya sering mendahulukan resah saya atas sesuatu hakikat hidup yang jauh lebih indah daripada apa yang direnung oleh mata, dan disangka oleh hati.

Namun pada hari itu, dalam hening yang renggang, saya mengetahui, berkenaan hakikat hidup yang tidak boleh hanya direnung dengan mata dan disangka dengan hati.

Semuanya hanya melalui kata-kata, “Sekiranya sahaja kamu tahu perkara itu, pasti kamu juga seperti saya.”

Perempuan dan lelaki.
Dia adalah perempuan yang punyai sebuah wajah yang mampu memberikan senyuman yang memujuk. Melihat wajahnya yang mencetus senyum, membuat sesiapapun gugup menahan debar. Baik lelaki yang sudah bernikah dan apatah lagi yang masih bujang mencari. Dia juga adalah seorang perempuan yang saya tidak tahu namanya, asalnya dan apa kerjanya.

Dia pula adalah lelaki yang ucapannya tidak pernah meredamkan sedikit pun rasa takut kecewa. Dia lelaki paling yakin pernah saya tahu, dan saya sering mendapati dirinya berada pada puncak keyakinan yang melangit tidak kepalang. Lelaki itu, saya tahu namanya, asalnya dan kerjanya.

Untuk perempuan itu saya hanya mampu memandang. Untuk lelaki yang saya anggap teman itu pula sering saya berkata, “Usah terlalu tinggi meletak diri kamu. Semakin kamu tinggi, jatuhnya juga semakin sakit, malah kamu boleh mati.”

Untuk ucapan yang saya kirakan sebagai nasihat itu, lelaki itu masih mampu tersenyum dan berkata, “Sekiranya sahaja kamu tahu perkara itu, pasti kamu juga seperti saya.”

Cinta.
Berlari-lari di pelantaran tanda tanya adalah sesuatu yang saya paling tidak suka. Saya tidak mahu membebani fikiran saya yang sudah sedia terbeban dengan banyaknya soal hidup. Tetapi hari itu, saya tidak mampu mengelak hati saya, daripada berlari pontang-panting di pelantaran itu. Semuanya kerana teman saya, lelaki yang cukup yakin yang pernah saya tahu itu.

Dia, teman saya itu, berkicau-kicau berkenaan hasrat hatinya. Kicau yang berkecipak itu membuat hati saya disuapi resah yang bertapuk-tapuk. Resah yang tidak dapat diurai hanya dengan kata-kata itu terluah pada dahi saya yang bergaris-garis.

Dia, teman saya itu berkicau-kicau berkenaan cinta, katanya, “Rasanya, saya sudah jatuh hati kepada perempuan itu. Saya mahu memilikinya.”

Saya yang sudah mafhum akan keyakinan teman saya itu segera menghambur nasihat, dijejali hasrat mahu membantu. Kata saya, “Kamu, tidak tahu siapa perempuan itu. Lalu usah terlalu awal untuk jatuh hati.”

Dia tersenyum dan tidak termangu-mangu untuk menjawab, “Saya sudah tahu namanya, dan sudah tahu di mana rumah keluarganya. Itu sudah cukup buat saya. Esok, saya akan menghantar ayah bonda saya untuk merisik.”

Saya menelan liur. Saya cukup tahu tentang lelaki itu. Kata-katanya bukan sekadar kata, katanya adalah ikrar, dan ikrarnya itu diletak lebih tinggi daripada ikrar Rukun Negara. Ikrar yang tidak mampu dibengkokkan walaupun dengan api.

Melihat saya seperti sudah berwajah kalut yang kental, teman saya itu segera berkata, “Kamu mahu tahu, untuk saya, cinta itu adalah sesuatu yang lebih indah daripada mimpi. Pada saat kamu merasainya, kamu tidak akan mahu lagi melelapkan mata. Hanya dengan bernikah, kamu mampu melelapkan kerana cinta itu sudah sedia bermimpi bersamamu.”

“Lalu bagaimana sekiranya cinta kamu itu ditolak jauh? Pada saat itu, saya fikir kamu tidak akan mampu lagi untuk bermimpi dan tidak mampu lagi untuk berjaga,” tingkah saya, akibat resah saya yang melangit pada keyakinannya yang lebih menjulang berbanding keresahan saya.

Dia ketawa kecil, menampakkan gigi putihnya yang berbaris gagah. Dia membuang pandang keluar jendela lalu berkata, “Sekiranya sahaja kamu tahu perkara itu, pasti kamu juga seperti saya.”

Merisik.
Esoknya, semuanya berlaku tanpa saya tahu apa hasilnya. Namun, jauh-jauh ke dalam hati saya, saya berdoa semoga sahaja, cita-cita teman saya itu tidak terbelok. Semoga sahaja, cita-cita teman saya untuk memiliki perempuan yang saya tidak tahu namanya itu, tidak renta, dan semoga ia berakhir dengan sebuah bahagia dari langit ketujuh.

Esoknya juga, pada waktu malamnya, saya menemui lagi teman saya itu. Dia tetap tersenyum, meneduhkan hati. Tanpa mahu berbunga-bunga, saya terus menyoal tentang cintanya. Apakah akhirnya?

Dia tersenyum lalu menjawab tenang, “Perempuan itu, sudah dimiliki hatinya dan saya sudah terlewat.”

Saya yang mendengar itu, terasa seperti terhempas. Saya memandang wajahnya dengan kerut dahi yang paling dalam. Wajahnya, saya tatap, saya teliti. Mencari lompang-lompang duka yang ada pada wajahnya. Tidak, tidak ada satu pun lompang duka. Yakinnya dia tetap berada di puncak, tidak jatuh dan tidak pecah berkeping-keping.

“Kamu, mengapa tidak berduka?” soal saya, terhairan-hairan.

“Sekiranya sahaja kamu tahu, pasti kamu juga akan seperti saya.”

Pada saat itu, pada waktu itu, kata-kata biasanya itu membuat hati saya membengkak dengan soalan. Apa yang saya tidak tahu sehingga saya tidak mampu seperti dia? Apa? Bengkak hati saya itu akhirnya pecah, dan saya bertanya, “Apa yang saya perlu tahu untuk saya menjadi seperti kamu?”

Menakjubkan, untuk saya mendapat dia sebagai teman. Dia tetap memulakan jawapannya dengan senyuman sebelum katanya, “Pada setiap solat, aku berdoa, Ya, Allah sekiranya perkara itu akan menjauhi aku daripada MU, maka jauhkan aku daripada perkara itu. Sekiranya perkara itu membuatkan aku mendekati Mu, maka dekatkanlah aku pada perkara itu.”

Saya diam. Fikiran saya lambat untuk mencerna dan dia tanpa disuruh-suruh lalu menyambung, “Itu juga doa saya untuk perempuan itu. Ya, Allah sekiranya cintaku untuk perempuan itu, membuatkan aku jauh daripada Mu, maka jauhkan aku daripadanya. Sekiranya sahaja, cintaku ini untuk perempuan itu, membuatkan aku dekat kepada Mu, maka dekatkanlah aku kepadanya. Itu doa saya, dan kerana doa itu, saya tidak pernah takut untuk apa pun keputusan yang bakal saya peroleh. Tuhan berikan saya keyakinan yang kamu sangat risaukan.”

Saya diam, tunduk. Akhirnya daripada teman saya itu, saya tahu, daripada mana dia memperoleh keyakinan yang tidak mampu dibengkokkan itu. Keyakinannya, adalah kerana daripada doanya kepada Tuhan. Dia, memberikan saya hakikat hidup yang tidak akan mampu saya renung dengan mata, dan sangka dengan hati.

Monday, August 17, 2009

berfikir ke sana

Tanda kebodohan.
Sebagai tanda kebodohan masa lalu saya, saya sering mengingatkan diri saya berkenaan kisah itu. Walaupun saya tunggang-langgang bagi mengingati kisah itu, dan untuk kebanyakan waktunya, saya tetap terlupa, namun saya tetap mencuba.

Ia bukan kisah apa-apa, cuma kisah berkenaan hubungan. Antara manusia dengan manusia, dan antara manusia dengan Tuhan. Ada fikiran-fikiran yang membuatkan saya tidak mampu menjelaskannya. Namun sedikit-sedikit, fikiran itu terasah lalu tajam mencucuk hati pada saat saya teringatkan kisah itu.

Lelaki penglipur lara.
Dia lelaki tua yang selalu berpenampilan menarik. Ilmunya tinggi, baik dunia mahupun akhirat. Masa mudanya habis di Kota Mekah menjadi pelajar yang penuh penekanan pada prestasi. Pengalamannya melaut, terperam dalam masinnya lautan itu sendiri.

Di kampung saya, dia adalah lelaki penglipur lara. Hadirnya ke kenduri adalah kemestian. Tanpanya, kenduri itu ibarat sampan tanpa kecipak-kecipak dayung. Sepi dan hanyut dibawa arus entah ke mana-mana. Dia adalah penyebar semangat hidup di kampung, dan dia adalah kecipak-kecipak dayung yang melarikan perahu kehidupan kampung kami.

Daripadanya, lelaki penglipur lara itu, saya mengetahui kisah ini dengan wajah yang termangu namun bersyukur, selayaknya orang yang mendengarkan ceritanya. Ia sebuah kisah yang membuatkan saya berfikir ke sana.

Malam-malam muda.
Hidup di kampung saya pada waktu malam, pada tahun 80-an adalah sesuatu yang mampu menjerut leher anak muda yang bergembira di Bukit Bintang. Waktu itu, malam kami hanya bertemankan pelita lesu, dengung nyamuk yang tidak jemu mendeklamasikan puisi kematian, juga dengung cengkerik yang tidak pernah sakit tekak.

Untuk terlempar jauh daripada suasana yang diciptakan oleh lesunya pelita, dengungnya nyamuk dan dengung cengkerik, lelaki-lelaki dewasa sering berdatangan ke rumah lalu bercerita sehingga ke pagi. Bercerita tanpa henti, larut dalam kidung yang mereka ciptakan, hidup dengan kisah yang sering membuat logik Yunani tidak laku.

Saya bersyukur, rumah nenek saya, adalah rumah yang sering menjadi tapak para lelaki dewasa itu bertandang, duduk berlama-lama dengan tiga teko kopi pahit. Bercerita berkenaan apa sahaja. Cerita yang tidak pernah saya dapatkan lagi daripada mana-mana pun. Baik daripada Yusuf Haslam, Allahyahamah Yasmin Ahmag ataupun Jamil Sulung. Cerita-cerita mereka tidak kalah pengajarannya, dan mencanak fantasinya. Serba-serbi cukup untuk kami melupakan pelita yang lesu, nyamuk yang berpuisi dan cengkerik yang meraung.

Di situ, pada aktiviti yang dituangkan pada setiap malam, saya mendengarkan kisah ini daripada lelaki penglipur lara itu.

Ikan belanak.
Antara kegiatan yang saya cukup suka pada waktu kecil adalah, mengempang parit apabila air pasang sudah surut. Di situ, di empangan daripada lumpur itu akan tergeletak ratusan ikan belanak yang datangnya bersama air pasang.

Acara puncaknya, air di empangan itu akan dikeruhkan semahu-mahunya. Hingga lumpurnya menyeruak naik, membuat ikan belanak yang terempang itu kehabisan udara. Lalu timbul mahu meneruskan hidup. Pada saat ikan belanak itu mahu meneruskan hidup itu, sebetulnya adalah saat yang paling hampir dengan kematian mereka. Saya pasti tersenyum girang menyorong tangan menggenggam erat ikan belanak itu lalu memasukkannya ke dalam kerajang rotan.

Semuanya akan sempurna apabila ikan belanak itu dimasak dengan belimbing buluh yang hijau. Lalu, manis isi ikan belanak itu berpadu elok dan rata dengan masam belimbing buluh. Menciptakan rasa yang saya tidak peroleh lagi di kedai makan mana pun di Kuala Lumpur. Asapnya yang mengepul itu sahaja sudah menghantarkan aroma yang terus menakar ke hujung lidah. Aduhai....

Kisah ikan belanak itulah, yang lelaki penglipur lara itu ceritakan pada aktiviti malam tahun 80-an yang membuatkan ia menjadi kisah yang tidak akan luntur oleh waktu.

Di ruang tengah.
Seperti biasa, malam itu saya akan pura-pura tidur di ruang tengah, kerana pada umur saya, adalah sesuatu yang janggal untuk bercampur cerita dengan lelaki-lelaki dewasa di ruang tamu. Semuanya kerana cerita mereka terkadang berkisah berkenaan kisah di dalam kelambu, membuat saya menjadi malu-malu.

Tetapi malam itu, saya menunggu dalam tidur yang pura-pura, mahu mendengarkan mereka bersurah dan akhirnya antara kisah yang saya masih ingat lagi adalah kisah ini, yang dimudiki dengan halus lelaki penglipur lara itu, bermula dengan dehemnya yang khas.

Katanya, “Kamu tahu, ada kisah lama berkenaan suami isteri yang baru bernikah. Si suami sukakan masakan ikan belanak masak belimbing buluh sedangkan isterinya hanya tahu menggoreng. Lalu kamu tahu apa yang mereka berdua fikirkan?”

Saya yang pura-pura tidur itu hampir-hampir sahaja menjawab tidak. Namun lewat kesedaran yang saya sedang berpura-pura tidur, saya menahan diri.

“Si suami berfikir, pasti suatu hari nanti si isterinya akan berubah dan handal memasak ikan belanak belimbing buluh. Si isteri pula berfikir yang si suami akan menerima segala kekurangannya dan dapat hidup dengan ikan belanak gorengnya. Itu yang mereka berdua fikirkan dan akhirnya, pada suatu hari yang indah, si suami mula hilang sabar lalu bertanya mengapa asyik ikan belanak goreng? Si isteri pula terkejut yang bukan dibuat-buat, bertanya mengapa si suami tidak menerima sahaja ikan belanak gorengnya, seadanya? Akhirnya, si suami bernikah lagi dengan perempuan yang ahli dalam menyediakan ikan belanak masak belimbing buluh, dan si isteri bernikah pula dengan lelaki yang suka dengan goreng ikan belanak. Jadi kamu tahu apa pengajarannya?”

Saya diam dan menahan nafas, sambil membiarkan nyamuk mendeklamasi kan puisi berkenaan Memali kepada saya.

“Pengajarannya, dalam hubungan sesama manusia itu, elak berfikir pada perkara yang menuju ke arah kita sahaja. Fikirkan perkara yang menuju ke arah pasangan kita juga. Sekiranya sahaja tadi, si lelaki itu tidak memikirkan tentang ikan belanak masak belimbing buluhnya, dan si isteri tidak sekadar memikirkan ikan belanak gorengnya, pasti hidup mereka lebih sempurna. Begitu juga seharusnya dalam hubungan kita dengan Tuhan. Elak terlalu memikirkan hanya ke arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa, berfikir semoga Tuhan tahu yang kita sedang menunggu keikhlasan itu datang. Cuba halakan fikiran kita ke sana. Fikirkan apa yang Tuhan mahukan daripada kita. Apa? Tuhan mahukan kita sebagai hamba-Nya yang patuh, yang tahu diri, yang berusaha, yang semuanya yang baik-baik. Tidak mahu kita melanggar perintah-Nya, tabah dalam ujian-Nya, dan mahu kita berusaha mencari keikhlasan itu sendiri.

Itu yang manusia sering lupakan, untuk berfikir ke sana. Apatah lagi pada saat dia sedang dicuba, diuji. Mudah sekali hanya berfikir ke arah dirinya sendiri. Bertanya apa salahnya hingga begitu? Bertanya bila lagi kebaikan itu turun dari langit. Semuanya fikiran itu mengarah ke arah dirinya semata. Sekiranya sahaja manusia berfikir ke sana, bertanya apa kebaikan yang Tuhan cuba tunjukkan, apa ingatan yang mahu Dia sampaikan, insya-Allah, kita akan tersenyum."

Lelaki penglipur lara itu menarik nafas sebentar, berdehem sebelum menyambung untuk menarik kesimpulan.

"Sekiranya kita sesama manusia, kita mampu lagi menjawab soalan, 'Apakah kamu tidak pernah memikirkan apa yang saya mahu?' Tetapi bagaimana sekiranya Tuhan yang maha kuasa bertanya kepada kita soalan itu? Apa yang mahu kita jawab kepada Tuhan?”

Saya yang pura-pura tidur itu, berasa sesak nafas, kerana sebagai ahli keluarga yang paling manja, saya adalah orang yang paling banyak membuat susah kepada ayah dan bonda, banyak menyakitkan hati pakcik dan makcik, juga sangat licik sesama sepupu, dan apatah lagi sebagai hamba-Nya yang lalai. Semuanya kerana saya tidak pernah berfikir ke sana. Mujur, malam itu, ada kisah ini yang membantu saya mengingatkan diri saya, berkenaan kebodohan yang sering saya lakukan apabila saya tidak berfikir ke sana. Baik sesama manusia ataupun kepada Tuhan yang esa.

Friday, August 14, 2009

Daripada Hamka, ke Micheal Jackson.

Hamka
Kata Hamka, untuk menjadi pengarang adalah bukan dengan banyak mengarang, tetapi adalah dengan banyak membaca. Namun hal itu sering kali sulit untuk saya, apatah lagi apabila ramainya teman yang punyai ketetapan pendapat, meminta pendapat saya sebagai pembaca, berkenaan apa yang saya baca.

Soalan-soalan mereka, “Apa pendapat kamu tentang novel picisan, apa pendapat kamu tentang novel cinta, apa pendapat kamu tentang novel sastera, apa pendapat kamu tentang novel cinta Islami, apa pendapat kamu.....”

Senarainya tidak pernah akan kurang, dan saya sering termangu-mangu, bagaimana saya hendak memberikan pendapat, sekiranya yang bertanya itu sudah menetapkan pendapatnya sejak soalan itu belum wujud? Tidak mungkin, dan akhirnya, saya hanya akan tersenyum, diam dan menjadi manusia kecil.

Cuma sahaja, sekiranya mereka yang bertanya itu mahu membaca kisah ini, saya sangat gembira, kerana berbanding memberi pendapat, saya lebih gemar menunjukkan sikap, dan sikap yang tidak luntur itu, diwarnakan elok daripada kisah ini.

Hormat
Mengernyitkan alis untuk perkara yang saya tidak setuju, dengan niat mahu merendah-rendah, adalah perkara yang sukar. Namun untuk tersenyum sambil bersenandung kecil dengan niat tidak mahu menghormati adalah perkara yang mudah. Tanpa sedar, bila-bila masa, pada detik siang mahupun malam, pasti tidak ada yang mampu menahan.

Mudah untuk hilang hormat pada apa yang dilihat di televisyen, pada apa yang renung di depan mata dan pada apa yang dibaca. Tidak merendah-rendah, namun tidak hormat atas jutaan alasan yang sepertinya jatuh dari langit.

Tidak sekalipun saya cuba bertanya mengapa saya hilang hormat. Tidak sekalipun. Namun, pada suatu hari yang menyenangkan, akhirnya saya mengerti sesuatu berkenaan hal itu, sesuatu berkenaan hormat, dan saya mengerti dengan hati yang lungsur.

Lelaki
Di kampung saya yang makmur itu, sebenarnya tidak ada apa-apa keindahan untuk kita benamkan perasaan takjub. Jika ada pun, mungkin pada hijaunya daun kelapa, dan merdunya kicau burung. Lalu, masa penduduk kampung saya, lebih banyak pada usaha di kebun kelapa, kerana hanya itu sahaja yang indah.

Di suatu tempat, di suatu kebun kelapa yang jauh dari rumah saya, ada seorang lelaki yang tinggal dengan anaknya yang istimewa, anak Sindrom Down. Dia lelaki yang tabah, sentiasa berusaha membahagiakan keluarga dengan titik peluhnya. Tidak lokek dengan senyuman dan tatapannya cukup meneduhkan hati.

Selain anaknya yang istimewa itu, hal yang saya sangat kenang tentang lelaki itu adalah, kebenciannya. Kebencian yang dikongsi bersama oleh kebanyakan penduduk kampung saya. Namun, sekiranya kebencian itu punyai raja, dia adalah rajanya. Bencinya tidak pernah tersisa, tanpa dia tahu bencinya itu hanya membawanya pada erti kehilangan.

Micheal Jackson
Waktu itu, Micheal Jackson sudah mengusai dunia, namun di kampung saya, yang masih kental dengan irama P. Ramlee dan Ahmad Jais, Micheal Jackson itu adalah ibarat melihat langit yang gelap. Tidak memberi harapan, jauh sekali mengalirkan senyuman.

Itu, dapat saya fahami, kerana semuanya berkait soal selera. Di kampung saya yang keindahannya hanya pada kelapa hijau dan kicaunya burung, soal selera adalah hal yang dijunjung. Tidak boleh ditukar cara pandangnya dan sekiranya bertentangan, akan dilawan, malah dibenci.

Micheal Jackson, menjadi mangsa. Orang kampung saya, yang seleranya P.Ramlee dan Ahmad Jais, membenci Micheal Jackson atas nama selera. Manusia yang paling membencinya adalah lelaki yang punyai anak istimewa itu, kerana dia adalah juara pertandingan lagu-lagu lama, dan dia adalah peminat nombor satu Ahmad Jais.

Bencinya tiada banding. Hingga tidak ragu-ragu mengatakan Michelas Jackson itu setan yang merasuk, dan punyai niat jahat. Kamu juga akan dimarah tanpa segan-segan sekiranya berani memutarkan kaset Micheal Jackson di depannya. Dimarah sehingga kamu terasa mahu mengeluarkan air mata.

Itu yang saya ingat dalam kepala, namun Tuhan itu maha adil dan maha tahu. Tanpa saya tahu, tanpa dia tahu, dan tanpa Micheal Jackson tahu, ada cerita perih yang akan terjadi, selepas bertahun-tahun.

Sindrown Down

Kali terakhir saya melihat, juara lagu-lagu lama itu menangis adalah pada saat anaknya yang Sindrown Down itu kembali menemui Tuhan, beberapa tahun yang lalu. Tangisnya tidak bernada, namun getarnya pada wajahnya, mencucuk-cucuk hati. Saya yang hanya menatap dari jauh, ikut sebak melihat wajah juara lagu-lagu lama itu, lelaki yang sentiasa cuba membahagiakan keluarga. Saya sentiasa berfikir, itu adalah kali terakhir dia akan menangis dan tanpa saya menjangka, saya melihatnya menangis lagi pada tahun ini.

Saya melihatnya menitik air mata, pada saat yang paling tidak saya duga. Pada saat matinya sang raja pop, Micheal Jackson. Dia waktu itu menitik air mata semasa melihat acara peringatan sang raja pop itu. Saya menahan nafas lalu bertanya, mengapa?

Dia dengan suara yang masih sebak, namun sudah tidak sanggup mengangkat kepala, tetap menjawab, walau gugupnya sangat jelas.

“Kamu tahu, anak saya adalah anak yang istimewa. Tidak ada apa yang membahagiakan anak saya, selain mendengarkan lagu-lagu Micheal Jackson. Anak saya menjadi gembira, cerdas dan sangat bahagia. Saya ikut bahagia melihat anak saya.

Pada saat itu saya mengerti tentang diri saya, mungkin selera saya tidak sealiran dengan Micheal Jackson, mungkin saya tidak menyukainya, malah membencinya. Namun, saya tahu, saya tetap perlu menghormati dia, kerana walau dia tidak memberikan bahagia untuk saya, setidak-tidaknya dia memberikan bahagia untuk orang yang sangat saya sayang. Lalu bahagia apa lagi yang saya dapat peroleh selain melihat bahagianya orang yang saya sayang?”

Saya diam, namun tersentak. Kata-kata lelaki itu membuat saya melihat diri saya.

Membaca
Saya cukup yakin, setiap manusia itu berbeza, dan malah memang sengaja diciptakan berbeza-beza oleh Tuhan. Lalu sangat mudah untuk memberitahu setiap manusia itu punyai selera bacaan tersendiri, punyai selera tulisan yang sudah sebati. Berbeza-beza. Juga niat setiap pembaca juga adalah berbeza-beza. Ada yang mahu meninggikan daya fikirnya, ada yang mahu sekadar merehat minda, ada yang mahu menyentuh jiwa, dan senarainya tidak pernah akan habis.

Setiap apa yang saya baca, sekiranya saya tidak suka, saya lebih gemar untuk marah-marah sendiri kerana tersalah pilih, kerana boleh sahaja saya memilih dahulu buku yang selari dengan selera saya. Tidak mampu saya hendak marah-marah pada penulis. Hanya kerana, kisah penduduk kampung saya itu tadi.

Boleh sahaja saya tidak suka bukunya, tetapi jauh di kampung sana, pasti ada anak miskin yang bahagia membaca kisah itu. Di hujung sebelah sana pula, pasti ada anak yatim tersenyum membaca ceritanya. Di sini pula, pasti ada manusia patah harapan yang kembali tumbuh semangatnya apabila membaca buku itu.

Lalu sebagai pembaca apa hak saya, untuk memaksakan pendapat saya yang jelas lain seleranya ini, kepada satu pihak lagi yang berbeza seleranya dengan saya? Saya hanya mampu berpendapat dengan mereka yang sealiran dengan saya, dan ini cuma sekiranya saya pembaca. Sebagai editor, lain pula ceritanya. Lebih panjang, dan lebih banyak likunya, dan sebetulnya ia lebih mudah kerana ia terus kepada penulis.

Sekiranya pun saya mahu memaksakan pendapat saya, saya akan memaksakan pendapat sekiranya buku itu memang membawa dosa, dan hanya membuat manusia bahagia untuk berbuat dosa. Selain itu, saya sentiasa mengingatkan diri saya, dengan sepenuh-penuh ingatan, tinggalkan hormat pada sesiapapun, kerana mereka itu pasti sudah membuatkan manusia lain bahagia, pada saat saya langsung tidak mampu berbuat begitu.