Tanda kebodohan.
Sebagai tanda kebodohan masa lalu saya, saya sering mengingatkan diri saya berkenaan kisah itu. Walaupun saya tunggang-langgang bagi mengingati kisah itu, dan untuk kebanyakan waktunya, saya tetap terlupa, namun saya tetap mencuba.
Ia bukan kisah apa-apa, cuma kisah berkenaan hubungan. Antara manusia dengan manusia, dan antara manusia dengan Tuhan. Ada fikiran-fikiran yang membuatkan saya tidak mampu menjelaskannya. Namun sedikit-sedikit, fikiran itu terasah lalu tajam mencucuk hati pada saat saya teringatkan kisah itu.
Lelaki penglipur lara.
Dia lelaki tua yang selalu berpenampilan menarik. Ilmunya tinggi, baik dunia mahupun akhirat. Masa mudanya habis di Kota Mekah menjadi pelajar yang penuh penekanan pada prestasi. Pengalamannya melaut, terperam dalam masinnya lautan itu sendiri.
Di kampung saya, dia adalah lelaki penglipur lara. Hadirnya ke kenduri adalah kemestian. Tanpanya, kenduri itu ibarat sampan tanpa kecipak-kecipak dayung. Sepi dan hanyut dibawa arus entah ke mana-mana. Dia adalah penyebar semangat hidup di kampung, dan dia adalah kecipak-kecipak dayung yang melarikan perahu kehidupan kampung kami.
Daripadanya, lelaki penglipur lara itu, saya mengetahui kisah ini dengan wajah yang termangu namun bersyukur, selayaknya orang yang mendengarkan ceritanya. Ia sebuah kisah yang membuatkan saya berfikir ke sana.
Malam-malam muda.
Hidup di kampung saya pada waktu malam, pada tahun 80-an adalah sesuatu yang mampu menjerut leher anak muda yang bergembira di Bukit Bintang. Waktu itu, malam kami hanya bertemankan pelita lesu, dengung nyamuk yang tidak jemu mendeklamasikan puisi kematian, juga dengung cengkerik yang tidak pernah sakit tekak.
Untuk terlempar jauh daripada suasana yang diciptakan oleh lesunya pelita, dengungnya nyamuk dan dengung cengkerik, lelaki-lelaki dewasa sering berdatangan ke rumah lalu bercerita sehingga ke pagi. Bercerita tanpa henti, larut dalam kidung yang mereka ciptakan, hidup dengan kisah yang sering membuat logik Yunani tidak laku.
Saya bersyukur, rumah nenek saya, adalah rumah yang sering menjadi tapak para lelaki dewasa itu bertandang, duduk berlama-lama dengan tiga teko kopi pahit. Bercerita berkenaan apa sahaja. Cerita yang tidak pernah saya dapatkan lagi daripada mana-mana pun. Baik daripada Yusuf Haslam, Allahyahamah Yasmin Ahmag ataupun Jamil Sulung. Cerita-cerita mereka tidak kalah pengajarannya, dan mencanak fantasinya. Serba-serbi cukup untuk kami melupakan pelita yang lesu, nyamuk yang berpuisi dan cengkerik yang meraung.
Di situ, pada aktiviti yang dituangkan pada setiap malam, saya mendengarkan kisah ini daripada lelaki penglipur lara itu.
Ikan belanak.
Antara kegiatan yang saya cukup suka pada waktu kecil adalah, mengempang parit apabila air pasang sudah surut. Di situ, di empangan daripada lumpur itu akan tergeletak ratusan ikan belanak yang datangnya bersama air pasang.
Acara puncaknya, air di empangan itu akan dikeruhkan semahu-mahunya. Hingga lumpurnya menyeruak naik, membuat ikan belanak yang terempang itu kehabisan udara. Lalu timbul mahu meneruskan hidup. Pada saat ikan belanak itu mahu meneruskan hidup itu, sebetulnya adalah saat yang paling hampir dengan kematian mereka. Saya pasti tersenyum girang menyorong tangan menggenggam erat ikan belanak itu lalu memasukkannya ke dalam kerajang rotan.
Semuanya akan sempurna apabila ikan belanak itu dimasak dengan belimbing buluh yang hijau. Lalu, manis isi ikan belanak itu berpadu elok dan rata dengan masam belimbing buluh. Menciptakan rasa yang saya tidak peroleh lagi di kedai makan mana pun di Kuala Lumpur. Asapnya yang mengepul itu sahaja sudah menghantarkan aroma yang terus menakar ke hujung lidah. Aduhai....
Kisah ikan belanak itulah, yang lelaki penglipur lara itu ceritakan pada aktiviti malam tahun 80-an yang membuatkan ia menjadi kisah yang tidak akan luntur oleh waktu.
Di ruang tengah.
Seperti biasa, malam itu saya akan pura-pura tidur di ruang tengah, kerana pada umur saya, adalah sesuatu yang janggal untuk bercampur cerita dengan lelaki-lelaki dewasa di ruang tamu. Semuanya kerana cerita mereka terkadang berkisah berkenaan kisah di dalam kelambu, membuat saya menjadi malu-malu.
Tetapi malam itu, saya menunggu dalam tidur yang pura-pura, mahu mendengarkan mereka bersurah dan akhirnya antara kisah yang saya masih ingat lagi adalah kisah ini, yang dimudiki dengan halus lelaki penglipur lara itu, bermula dengan dehemnya yang khas.
Katanya, “Kamu tahu, ada kisah lama berkenaan suami isteri yang baru bernikah. Si suami sukakan masakan ikan belanak masak belimbing buluh sedangkan isterinya hanya tahu menggoreng. Lalu kamu tahu apa yang mereka berdua fikirkan?”
Saya yang pura-pura tidur itu hampir-hampir sahaja menjawab tidak. Namun lewat kesedaran yang saya sedang berpura-pura tidur, saya menahan diri.
“Si suami berfikir, pasti suatu hari nanti si isterinya akan berubah dan handal memasak ikan belanak belimbing buluh. Si isteri pula berfikir yang si suami akan menerima segala kekurangannya dan dapat hidup dengan ikan belanak gorengnya. Itu yang mereka berdua fikirkan dan akhirnya, pada suatu hari yang indah, si suami mula hilang sabar lalu bertanya mengapa asyik ikan belanak goreng? Si isteri pula terkejut yang bukan dibuat-buat, bertanya mengapa si suami tidak menerima sahaja ikan belanak gorengnya, seadanya? Akhirnya, si suami bernikah lagi dengan perempuan yang ahli dalam menyediakan ikan belanak masak belimbing buluh, dan si isteri bernikah pula dengan lelaki yang suka dengan goreng ikan belanak. Jadi kamu tahu apa pengajarannya?”
Saya diam dan menahan nafas, sambil membiarkan nyamuk mendeklamasi kan puisi berkenaan Memali kepada saya.
“Pengajarannya, dalam hubungan sesama manusia itu, elak berfikir pada perkara yang menuju ke arah kita sahaja. Fikirkan perkara yang menuju ke arah pasangan kita juga. Sekiranya sahaja tadi, si lelaki itu tidak memikirkan tentang ikan belanak masak belimbing buluhnya, dan si isteri tidak sekadar memikirkan ikan belanak gorengnya, pasti hidup mereka lebih sempurna. Begitu juga seharusnya dalam hubungan kita dengan Tuhan. Elak terlalu memikirkan hanya ke arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa, berfikir semoga Tuhan tahu yang kita sedang menunggu keikhlasan itu datang. Cuba halakan fikiran kita ke sana. Fikirkan apa yang Tuhan mahukan daripada kita. Apa? Tuhan mahukan kita sebagai hamba-Nya yang patuh, yang tahu diri, yang berusaha, yang semuanya yang baik-baik. Tidak mahu kita melanggar perintah-Nya, tabah dalam ujian-Nya, dan mahu kita berusaha mencari keikhlasan itu sendiri.
Itu yang manusia sering lupakan, untuk berfikir ke sana. Apatah lagi pada saat dia sedang dicuba, diuji. Mudah sekali hanya berfikir ke arah dirinya sendiri. Bertanya apa salahnya hingga begitu? Bertanya bila lagi kebaikan itu turun dari langit. Semuanya fikiran itu mengarah ke arah dirinya semata. Sekiranya sahaja manusia berfikir ke sana, bertanya apa kebaikan yang Tuhan cuba tunjukkan, apa ingatan yang mahu Dia sampaikan, insya-Allah, kita akan tersenyum."
Lelaki penglipur lara itu menarik nafas sebentar, berdehem sebelum menyambung untuk menarik kesimpulan.
"Sekiranya kita sesama manusia, kita mampu lagi menjawab soalan, 'Apakah kamu tidak pernah memikirkan apa yang saya mahu?' Tetapi bagaimana sekiranya Tuhan yang maha kuasa bertanya kepada kita soalan itu? Apa yang mahu kita jawab kepada Tuhan?”
Saya yang pura-pura tidur itu, berasa sesak nafas, kerana sebagai ahli keluarga yang paling manja, saya adalah orang yang paling banyak membuat susah kepada ayah dan bonda, banyak menyakitkan hati pakcik dan makcik, juga sangat licik sesama sepupu, dan apatah lagi sebagai hamba-Nya yang lalai. Semuanya kerana saya tidak pernah berfikir ke sana. Mujur, malam itu, ada kisah ini yang membantu saya mengingatkan diri saya, berkenaan kebodohan yang sering saya lakukan apabila saya tidak berfikir ke sana. Baik sesama manusia ataupun kepada Tuhan yang esa.
No comments:
Post a Comment