Petala.
Seperti langit yang ada tujuh tingkat dan seperti bumi yang ada tujuh petala. Kisah ini, juga membaik daripada hal yang serupa. Eloknya kisah ini seperti eloknya wajah kekasih yang kita sanjungi. Ada celanya, namun di mata kita dia adalah kekasih yang mengalahkan ratu dunia.
Inilah kisah yang mengajar saya erti perihnya perjuangan, inilah kisah yang bahagianya hanya meniti pada saat saya mengerti mengapa Tuhan menciptakan bumi itu dengan tujuh petala. Pada suatu saat, faham saya mengintip malu, banyak waktu pula, saya sesat ke langit tidak mengerti.
China Selatan.
Dahulu, jika kamu mahu ke bandar Kuching, hanya ada satu jalan. Ia mandatori dan kamu tidak punya peluang bagi memohon simpati. Jalan itu adalah melalui Laut China Selatan. Bermula dari muara Batang Sadong, sedikit-sedikit kamu menyusuri pantai Borneo hingga kamu mudik ke Sungai Sarawak.
Dahulu, jika kamu mahu ke bandar, kamu perlu berembun di jeti menunggu bot ekspres. Untuk hal itu kamu perlu bangun mendahului embun. Ia perkara yang tidak langsung sukar kerana pada malamnya, kamu tidak akan mampu melelapkan mata, kerana asyik terkenang-kenang pada riuhnya tempat yang bernama bandar Kuching.
Pada waktu kamu berjalan pula, kamu perlu seiring dengan embun yang turun, dan pada saat kamu sudah menjejak ke papan jeti yang bergemeretak kasar, kamu sudah bermandi embun. Namun, kamu tetap ceria seperti cerianya lelaki yang beristeri dua, dan muda.
Waktu itu saya sudah di jeti dan sudah disapa bayu Laut China Selatan yang masin, dilatari riuh penduduk kampung yang ceria kerana beberapa jam lagi mereka akan menaiki bas. Pandangan saya jauh, saya melihat pada bot ekspres yang masih berbalam-balam. Saya gembira, seperti mana gembiranya saya pada saat menerima gaji pertama.
Saya waktu itu, bukan tidak selalu, malah sering diperdengarkan cerita berkenaan peri buasnya Laut China Selatan. Ombaknya mampu menggulung hingga kamu yang berada di dalam bot ekspres itu hanya melihat putih. Kamu akan termuntah-muntah hingga perut kamu kosong seperti kosongnya akaun bank mereka yang muflis.
Peri buasnya Laut China Selatan, tidak membuat hati saya melompat ke daerah gusar. Malah, waktu itu saya berdoa sesungguh hati semoga China Selatan menggulung bot ekspres yang saya naiki. Namun, daripada situ saya belajar perkara, 'Apa yang kamu harap, itulah yang kamu tidak akan dapat'. Sampai, khidmat bot ekspres itu mati, saya tidak pernah digulung ombak.
Itu yang saya ingat berkenaan Laut China Selatan. Ingatan yang tidak seberapa berbanding ingatan saya kepada lelaki itu. Lelaki yang bertasbih tentang retak hatinya.
Dockyard
Selepas beberapa jam kamu menyusuri pantai Borneo, dan berada di atas Laut China Selatan, peradaban pertama yang kamu temui adalah sebuah menara api. Tanda untuk hati kamu supaya menguatkan degupnya.
Selepas itu, sedikit demi sedikit kamu akan sampai ke suatu tempat yang orang kampung saya gelar dockyard, yang apabila dewasa, baru saya tahu ia sebetulnya kata Inggeris untuk limbungan kapal. Saya yakin, separuh orang kampung saya, sampai mati pun mereka tidak tahu dockyard itu adalah limbungan kapal. Di situ, bot ekspres berlabuh, dan saya, ayah saya dan orang kampung saya sudah kerap nampak gigi. Berbunga-bunga.
Segitiga Bermuda.
Ayah saya dan orang kampung saya, waktu itu masih berseluar kaki loceng (Bell bottom). Saya juga menjadi mangsa, anak kecil yang berseluar kaki loceng. Itu adalah sesuatu yang saya masih tidak fahami. Kerana pada waktu itu, arwah Sudirman sudah menguasai Malaysia, dan dia bukannya orang yang berseluar loceng. Malah penduduk bandar jati juga sudah tidak berseluar kaki loceng. Namun, ayah saya dan orang kampung saya tetap menganggap seluar kaki loceng adalah gaya untuk ke bandar. Sesuatu yang sehingga sekarang, saya anggap ia misteri besar, menyamai misteri segi tiga Bermuda.
Saya waktu itu, adalah orang yang malang. Saya berseluar kaki loceng, dan saya juga berkaki ayam. Jadi, tempat pertama yang saya dan ayah saya datangi adalah kedai kasut. Walaupun berkaki ayam, saya waktu itu hanya kisahkan satu perkara, saya hanya mahu menyentuh kereta, dan kereta pertama yang saya sentuh dari belakang hingga ke depan adalah kereta yang berwarna merah.
Pada saat saya menyentuh tubuh kereta merah itu, adalah antara saat yang sangat sensasi dalam hidup saya. Sensasinya hanya kalah pada sensasinya, pada saat pertama saya menyentuh anak saya yang masih bertali pusat. Sekiranya waktu itu saya sudah ada emosi terharu, pasti air mata saya sudah mengusapi pipi.
Tanpa peduli pada keghairahan saya, ayah saya tetap tekun pada misinya untuk mengasutkan saya. Akhirnya, bermula saat yang saya paling tidak senang. Ayah saya membelikan saya kasut tinggi berwarna putih, yang derapnya cukup nyaring. Waktu itu, ayah saya adalah orang yang paling bijak pernah saya ketahui dan tidak mungkin saya menyanggah. Paling utama, ayah saya pada waktu itu, adalah orang yang saya paling takuti. Batuknya sahaja sudah cukup membuat saya berlari memeluk ibu.
Saya anak kecil yang berseluar kaki loceng dan berkasut putih, pun berjalan dengan mata yang terkagum-kagum pada benda yang namanya kereta. Bertambah kagum pada saat, ayah saya memegang erat lengan saya dan menuntun saya menyeberangi jalan yang penuh kereta. Kagum saya semakin meninggi, kerana diseberang jalan itu ada sebuah benda yang bernama bas.
Saya masih kagum, ceria, dan gembira tidak kepalang pada saat saya mendengar derap kaki saya pada tangga bas. Antara bunyi terindah yang masih saya ingati. Tanpa saya tahu, semua rasa itu akan hilang kepada seorang lelaki. Lelaki yang membuatkan ayah saya terdiam.
Bas.
Saya masih ingat warna kusyen tempat duduk bas itu, coklat. Tanpa perlu arahan, saya terus meluru ke tempat duduk di tingkap. Mata saya meliar memerhatikan manusia yang ramainya tidak terbilang. Yang mampu membuatkan mata saya kembali duduk baik, hanyalah sebuah kedai yang sarat dengan mainan yang digantung seperti arca yang kamu lihat pada galeri seni di Berlin. Saya nekad, setakut mana pun saya dengan ayah saya, saya akan paksa juga dia membelikan saya mainan yang tergantung penuh berseni itu. Ia membuat saya lupa pada kasut putih saya, lupa pada seluar kaki loceng saya, dan saya lupa semuanya. Saya betul-betul Alice in Wonderland.
Saya yang masih menekapkan wajah pada tingkap bas, mula berpaling apabila saya merasa ayah saya menghimpit saya. Duduk saya yang seperti monyet di zoo mula beradab. Saya berpaling dan seorang lelaki duduk di sebelah ayah saya.
Lelaki itu adalah lelaki bandar yang jati kerana dia tidak berseluar kaki loceng. Dia berkemeja kemas dengan wajah yang tenang. Dia memandang ayah saya, tersenyum sebentar sebelum kembali memandang ke hadapan. Lelaki itu berjaya membuatkan saya memerhatikannya dengan takzim dan hati saya mula kagum kepada lelaki bandar itu.
Lelaki itu yang berwajah tenang, seperti tenangnya wajah Hitler semasa menakluk Warsaw. Namun, ia hanya sebentar sebelum lelaki itu mula mengurut pelipisnya, dan kemudiannya dia berpaling kepada ayah saya.
“Mereka kata saya orang yang tidak berguna kerana saya tidak mahu berjuang bersama mereka!” kata lelaki itu dengan nada yang antara keras dan lembut.
Ayah saya sudah berekpresi seperti dia di dalam bot ekspres yang digulung ombak. Orang kampung seperti ayah saya, tiba-tiba dihunjam dengan persoalan sebegitu, pasti membuat dia hilang kata-kata. Ayah saya diam.
Maslow.
“Kamu pernah dengar Teori Hierarki Maslow?” soal lelaki itu lagi.
Ayah saya tetap diam. Kini wajah ayah saya sepertinya wajah orang Melaka yang melihat orang Portugis untuk pertama kalinya. Teori Hierarki Maslow? Saya yang dihimpit oleh tubuh keras ayah saya, dapat merasakan ayah saya sedang menahan nafas.
“Teori itu mengatakan, manusia mempunyai lima tingkat keperluan, dan manusia akan cuba memenuhi keperluan asasnya yang dahulu, iaitu keperluan fisiologi dan biologi seperti makanan dan tempat tinggal. Selepas itu, barulah manusia akan memenuhi keperluannya yang lain sehingga pada tingkat yang tertinggi, iaitu memenuhi keperluan aktualisasi dirinya atau egonya. Itu yang semua orang tahu, tetapi apabila berkata berkenaan perjuangan, mereka lupa dengan teori itu,” jelas lelaki itu sambil terus memicit pelipisnya.
Ayah saya terus diam. Saya cukup pasti, bukan sahaja saya, malah ayah saya juga sudah menokok perbendaharaan katanya. Walaupun selepas seminggu perbendaharaan kata itu akan kembali susut kerana tidak mungkin ayah saya menggunakan kata fisiologi untuk bercakap-cakap dengan orang kampung saya. Saya pula mulai hilang tumpuan dan kasut putih yang saya pakai itu kembali membuatkan saya jadi tidak senang.
“Manusia yang paling lantang berkata berkenaan perjuangan adalah manusia yang berada pada tahap tertinggi hierarki Maslow. Manusia yang sudah memenuhi keperluannya yang lain. Jadi sekarang mereka hanya perlu mencapai keperluan bagi memenuhi keperluan egonya. Mereka, akan memaksa orang lain berkehendak mengikut mahunya, dan apabila ditentang, kita digelar bukan pejuang, bukan pemikir dan pelbagai kata yang disisipi niat mahu meninggikan diri mereka. Mereka lupa, bahawa manusia yang berada di tingkat dasar hierarki Maslow juga adalah pejuang. Pejuang bagi memenuhi keperluan hidupnya dan keluarganya. Pejuang bagi memenuhi tuntutan keamanan dan keselamatan, tuntutan sosial dan penghargaan. Jadi, dengan mengatakan mereka bukan pejuang adalah sesuatu yang salah. Kami juga pejuang, pejuang pada tingkat hierarki kami sendiri,” jelas lelaki itu dengan nada yang jelas dan ekspresi wajah yang sarat dengan kobaran api.
Saya masih memandang kasut saya dan sesekali menjeling pada kedai mainan di luar. Namun, ayah saya di sebelah tetap dengan gayanya, gaya khas orang kampung yang buntu, mengangguk-angguk dengan dengus kecil dan dahi berkerut.
“Hari ini kamu jadi saksi, saya adalah pejuang. Saya adalah pejuang bagi hierarki paling rendah dalam Teori Maslow. Saya berjuang untuk diri saya dan keluarga saya. Jadi sesiapapun tidak boleh mengatakan saya bukan pejuang!” kata lelaki itu dan terus mengacungkan tangannya ke atas, persis gaya patung Liberty.
Akhirnya, saya menjeling ayah saya yang diam dengan ekspresi wajah yang larut dalam kesimpulan yang samar dan menghampiri gelap. Berat beban perasaan yang ditanggung ayah saya menjalar ke tubuh saya. Perasaan yang saya tidak mengerti sehinggalah saya belajar apa itu kalkulus. Rasanya hampir sama, berat dan samar.
“Kamu, apabila sudah menjadi besar nanti, jangan menjadi pejuang yang memusuhi pejuang lain. Kamu, apabila sudah dewasa nanti, kamu berjuang dengan cara kamu, dan selagi kamu tidak menghampiri dosa, dan menghancurkan bangsa, kamu jangan khuatir. Tetaplah kamu berjuang ke langit dengan kepala yang tunduk ke bumi.” Lelaki itu sepertinya dirasuk dengan idealisme yang apabila saya dewasa nanti saya fahami ia sebagai suatu reliasme. Lelaki bandar itu tetap merenung dengan mata yang tajam, sebelum ayah saya membuat wajah yang diam dan seperti tidak terusik dengan kata-kata lelaki itu. Lelaki itu akhirnya bangun namun, dia kembali dirasuk lalu berkata, “Saya adalah penulis, dan saya adalah pejuang walaupun saya bukannya menulis berkenaan cara membangunkan negara, setidak-tidaknya saya tidak menulis sesuatu berdosa. Lalu mengapa perlu menggelar tulisan saya itu ini dan memandang saya sebelah mata. Kamu kamu yang menggelar diri kamu juga sebagai penulis tidak memahami diri kamu yang sudah berada di puncak hierarki Maslow. Kamu penulis yang sudah tidak memandang lagi apa empat tingkat di bawah kamu sedangkan saya adalah penulis di tingkat paling bawah, penulis yang menulis untuk mencari rezeki buat keluarga. Saya juga adalah pejuang!”
Ayah saya tetap seperti tadi. Berekpresi berat seperti bahagia akan disentap daripada hatinya. Saya pula semakin tidak mengerti dan akhirnya saya cuba seperti ayah saya, berekpresi berat.
“Kamu akan mengerti kata-kata saya pada saat kamu mengerti mengapa Tuhan menciptakan langit itu tujuh lapis dan bumi itu tujuh petala,” kata lelaki itu akhirnya selepas mungkin tekaknya sudah kering sedangkan saya dan ayah saya sepertinya manusia yang tidak mungkin faham-faham kata-katanya.
Saya diam, lalu memandang belakang tubuh lelaki bandar yang akhirnya sayup-sayup hilang membawa ketenangan dan kegembiraan saya pergi. Saya memandang wajah ayah saya yang tetap teguh.
Ayah saya memandang saya lalu berkata, “Yang pasti, Maslow sendiri tidak tahu mengapa Tuhan menciptakan langit itu tujuh lapis dan bumi itu tujuh petala.”
Saya diam, mengangguk dan hanya sesaat Maslow meresap dalam kepala saya sebelum saya kembali memikirkan dua perkara, kasut putih dan mainan yang saya perlu pohon sesungguh jiwa daripada ayah saya.
Pejuang.
Hari ini, saya cuma tahu seperkara, Tuhan menciptakan tujuh lapis langit untuk manusia berfikir betapa besarnya Dia. Namun di sebalik itu pasti ada rahsia-Nya yang lebih besar dan agung. Yang sampai matipun saya tidak mampu mengerti.
Hari ini cuba-cuba juga saya mengerti mungkin lelaki bandar yang saya temui puluhan tahun dahulu sebenarnya mahu bercerita berkenaan syurga dan neraka yang punyai tujuh tingkat. Itu lebih mudah saya fahami.
Namun, utamanya saya tetap mengerti, setiap manusia, mereka adalah pejuang pada tingkat masing-masing selagi dia masih punyai hati untuk berusaha menjadi yang lebih baik. Mungkin juga saya boleh mengatakan saya tidak mungkin tahu rahsia di sebalik pencipataan tujuh lapis langit dan tujuh petala bumi, tetapi cukup saya merasakannya dengan hati dan jiwa.
Itu yang saya cuba sekarang, mungkin saya tidak memahami mengapa ada penulis yang menulis hal sebegitu, mengapa ada yang menulis hal sebegini, tetapi cukup saya merasakan dengan hati dan jiwa. Tidak perlu saya tahu, tetapi cukup saya merasakan mereka juga adalah pejuang pada daerah masing-masing, kerana mereka juga punyai rahsia yang tidak mungkin saya fahami.
3 comments:
nang bess catatan tok.. :)
salam kenal.
Lovely blog you havve here
Post a Comment