Betapa mengharukan zahir lelaki tua itu. Dia lelaki tua yang sudah hampir rukuk tubuhnya dan jalannya pula didukung tongkat berkaki empat. Namun lelaki tua itu tetap sering melempar senyumannya ke langit sepertinya mahu berbicara sesuatu. Sesekali dia membuang pandang ke arah saya dengan pelupuk mata yang tirus dan bola mata yang galak. Tidak dapat saya baca dengan terang maksud renungannya.
Seperkara yang saya pasti, setiap kali melihat dia, saya mendapati diri saya tersudut pada suatu rasa yang deritanya tidak mahu luntur. Seperti derita itu menunggu saya di jendela yang bertabir hitam. Saya menahan nafas, cuba saya meredakan jerit hati saya yang tertahan di dada.
Tidak terasa, sudah lama saya mengenali lelaki itu. Pada saat pertama saya mengenali lelaki itu, lelaki itulah yang mencetus rasa ingin tahu saya pada bahagia. Dia berkata dengan kalimat-kalimat yang pendek, penuh tekanan dan jelas dengan sengaja dia membenamkan butir katanya itu keras ke dada saya.
Soalnya, “Nanti tahun baru, lalu apa azam kamu?”
Saya tidak sekonyong-konyong memberikan jawapan. Saya diam lalu memasang raut wajah seperti orang bijaksana, berfikir dengan dahi yang sengaja dikerut-kerut.
“Mahu menjadi orang yang membahagiakan orang lain, walaupun hanya sehujung kuku,” jawab saya dengan senyum yang berkicau-kicau.
Lelaki tua itu menarik nafas, berhenti sesaat memegang nafasnya, sebelum kemudian dia melepaskan nafas yang dipegang. Wajah saya diseluruhi dan saya yakin, hatinya diam-diam sedang berbisik sesuatu berkenaan saya.
“Bagaimana? Membahagiakan memang kata yang indah, namun bagaimana kamu mahu membahagiakan mereka?” soal lelaki tua itu dengan alis yang turun naik.
Sekali lagi saya diam dan terus memasang mimik wajah yang meniru mimik wajah orang bijaksana. Diam dan mengerut-ngerutkan dahi.
“Membahagiakan mereka dengan membuat apa yang mereka suka,” jawab saya pantas.
“Saya setuju, namun terkadang kita tidak tahu apa yang mereka suka. Terkadang kita salah dalam mengertikan apa yang mereka suka, dan sebenarnya ia adalah sesuatu yang mereka benci. Jadi kamu mahu tahu, cara membahagiakan dengan percuma tetapi sangat sukar?” soal lelaki tua tu dengan mata yang galak sambil mengaduk-aduk rambutnya.
Saya cepat-cepat mengangguk.
“Kamu memaafkan mereka. Bukan sahaja atas salah mereka tetapi juga atas salah kita.” Lelaki tua itu tersenyum baik dengan nada suara yang seperti sungai yang diempang.
“Maksudnya?” Saya terus menggeser soalan.
“Adakalanya manusia berbuat sesuatu yang tidak salah, namun kerana hati kita yang gelap, mula membayang-bayangkan sikap mereka itu adalah sikap yang salah. Mungkin sahaja kita jengkel, mungkin sahaja kita iri hati, mungkin sahaja kita cemburu, ataupun sebab yang sederhana, mereka tidak sama sealiran dan sama dengan kita. Apa sahaja. Lalu bahagiakan mereka dengan memaafkan mereka walaupun jelas ia adalah salah kita. Salah kita kerana pada waktu itu kita, tanpa kita sedar punyai niat seperti pisau hitam yang sedia menghiris. Maafkan mereka, dan pada saat kamu memaafkan itu, kamu tanpa sedar akan melemparkan senyuman daripada hati, dan pada saat itulah mereka sangat bahagia,” jelas lelaki tua itu dengan panjang lebar.
Saya menari-narikan bicaranya itu dalam kepala saya. Ternyata apa yang ditasbihkan oleh lelaki tua itu adalah sesuatu yang murah dan percuma, namun ia sangat sukar. Sesukar lelaki Melayu mendaki Everest. Namun kata-kata itu tetap mengikat ingatan saya, sampai ke ubun-ubun. Hingga ke hari ini, pada setiap saat yang saya teringat, saya akan berazam untuk membahagiakan manusia lain dengan kata maaf. Ya, pada setiap waktu yang saya teringat. Jadi pada saat yang saya terlupa, bahagiakan saya walaupun sehujung kuku, dengan memaafkan saya. Saya mohon. :)
No comments:
Post a Comment