Friday, August 14, 2009

Daripada Hamka, ke Micheal Jackson.

Hamka
Kata Hamka, untuk menjadi pengarang adalah bukan dengan banyak mengarang, tetapi adalah dengan banyak membaca. Namun hal itu sering kali sulit untuk saya, apatah lagi apabila ramainya teman yang punyai ketetapan pendapat, meminta pendapat saya sebagai pembaca, berkenaan apa yang saya baca.

Soalan-soalan mereka, “Apa pendapat kamu tentang novel picisan, apa pendapat kamu tentang novel cinta, apa pendapat kamu tentang novel sastera, apa pendapat kamu tentang novel cinta Islami, apa pendapat kamu.....”

Senarainya tidak pernah akan kurang, dan saya sering termangu-mangu, bagaimana saya hendak memberikan pendapat, sekiranya yang bertanya itu sudah menetapkan pendapatnya sejak soalan itu belum wujud? Tidak mungkin, dan akhirnya, saya hanya akan tersenyum, diam dan menjadi manusia kecil.

Cuma sahaja, sekiranya mereka yang bertanya itu mahu membaca kisah ini, saya sangat gembira, kerana berbanding memberi pendapat, saya lebih gemar menunjukkan sikap, dan sikap yang tidak luntur itu, diwarnakan elok daripada kisah ini.

Hormat
Mengernyitkan alis untuk perkara yang saya tidak setuju, dengan niat mahu merendah-rendah, adalah perkara yang sukar. Namun untuk tersenyum sambil bersenandung kecil dengan niat tidak mahu menghormati adalah perkara yang mudah. Tanpa sedar, bila-bila masa, pada detik siang mahupun malam, pasti tidak ada yang mampu menahan.

Mudah untuk hilang hormat pada apa yang dilihat di televisyen, pada apa yang renung di depan mata dan pada apa yang dibaca. Tidak merendah-rendah, namun tidak hormat atas jutaan alasan yang sepertinya jatuh dari langit.

Tidak sekalipun saya cuba bertanya mengapa saya hilang hormat. Tidak sekalipun. Namun, pada suatu hari yang menyenangkan, akhirnya saya mengerti sesuatu berkenaan hal itu, sesuatu berkenaan hormat, dan saya mengerti dengan hati yang lungsur.

Lelaki
Di kampung saya yang makmur itu, sebenarnya tidak ada apa-apa keindahan untuk kita benamkan perasaan takjub. Jika ada pun, mungkin pada hijaunya daun kelapa, dan merdunya kicau burung. Lalu, masa penduduk kampung saya, lebih banyak pada usaha di kebun kelapa, kerana hanya itu sahaja yang indah.

Di suatu tempat, di suatu kebun kelapa yang jauh dari rumah saya, ada seorang lelaki yang tinggal dengan anaknya yang istimewa, anak Sindrom Down. Dia lelaki yang tabah, sentiasa berusaha membahagiakan keluarga dengan titik peluhnya. Tidak lokek dengan senyuman dan tatapannya cukup meneduhkan hati.

Selain anaknya yang istimewa itu, hal yang saya sangat kenang tentang lelaki itu adalah, kebenciannya. Kebencian yang dikongsi bersama oleh kebanyakan penduduk kampung saya. Namun, sekiranya kebencian itu punyai raja, dia adalah rajanya. Bencinya tidak pernah tersisa, tanpa dia tahu bencinya itu hanya membawanya pada erti kehilangan.

Micheal Jackson
Waktu itu, Micheal Jackson sudah mengusai dunia, namun di kampung saya, yang masih kental dengan irama P. Ramlee dan Ahmad Jais, Micheal Jackson itu adalah ibarat melihat langit yang gelap. Tidak memberi harapan, jauh sekali mengalirkan senyuman.

Itu, dapat saya fahami, kerana semuanya berkait soal selera. Di kampung saya yang keindahannya hanya pada kelapa hijau dan kicaunya burung, soal selera adalah hal yang dijunjung. Tidak boleh ditukar cara pandangnya dan sekiranya bertentangan, akan dilawan, malah dibenci.

Micheal Jackson, menjadi mangsa. Orang kampung saya, yang seleranya P.Ramlee dan Ahmad Jais, membenci Micheal Jackson atas nama selera. Manusia yang paling membencinya adalah lelaki yang punyai anak istimewa itu, kerana dia adalah juara pertandingan lagu-lagu lama, dan dia adalah peminat nombor satu Ahmad Jais.

Bencinya tiada banding. Hingga tidak ragu-ragu mengatakan Michelas Jackson itu setan yang merasuk, dan punyai niat jahat. Kamu juga akan dimarah tanpa segan-segan sekiranya berani memutarkan kaset Micheal Jackson di depannya. Dimarah sehingga kamu terasa mahu mengeluarkan air mata.

Itu yang saya ingat dalam kepala, namun Tuhan itu maha adil dan maha tahu. Tanpa saya tahu, tanpa dia tahu, dan tanpa Micheal Jackson tahu, ada cerita perih yang akan terjadi, selepas bertahun-tahun.

Sindrown Down

Kali terakhir saya melihat, juara lagu-lagu lama itu menangis adalah pada saat anaknya yang Sindrown Down itu kembali menemui Tuhan, beberapa tahun yang lalu. Tangisnya tidak bernada, namun getarnya pada wajahnya, mencucuk-cucuk hati. Saya yang hanya menatap dari jauh, ikut sebak melihat wajah juara lagu-lagu lama itu, lelaki yang sentiasa cuba membahagiakan keluarga. Saya sentiasa berfikir, itu adalah kali terakhir dia akan menangis dan tanpa saya menjangka, saya melihatnya menangis lagi pada tahun ini.

Saya melihatnya menitik air mata, pada saat yang paling tidak saya duga. Pada saat matinya sang raja pop, Micheal Jackson. Dia waktu itu menitik air mata semasa melihat acara peringatan sang raja pop itu. Saya menahan nafas lalu bertanya, mengapa?

Dia dengan suara yang masih sebak, namun sudah tidak sanggup mengangkat kepala, tetap menjawab, walau gugupnya sangat jelas.

“Kamu tahu, anak saya adalah anak yang istimewa. Tidak ada apa yang membahagiakan anak saya, selain mendengarkan lagu-lagu Micheal Jackson. Anak saya menjadi gembira, cerdas dan sangat bahagia. Saya ikut bahagia melihat anak saya.

Pada saat itu saya mengerti tentang diri saya, mungkin selera saya tidak sealiran dengan Micheal Jackson, mungkin saya tidak menyukainya, malah membencinya. Namun, saya tahu, saya tetap perlu menghormati dia, kerana walau dia tidak memberikan bahagia untuk saya, setidak-tidaknya dia memberikan bahagia untuk orang yang sangat saya sayang. Lalu bahagia apa lagi yang saya dapat peroleh selain melihat bahagianya orang yang saya sayang?”

Saya diam, namun tersentak. Kata-kata lelaki itu membuat saya melihat diri saya.

Membaca
Saya cukup yakin, setiap manusia itu berbeza, dan malah memang sengaja diciptakan berbeza-beza oleh Tuhan. Lalu sangat mudah untuk memberitahu setiap manusia itu punyai selera bacaan tersendiri, punyai selera tulisan yang sudah sebati. Berbeza-beza. Juga niat setiap pembaca juga adalah berbeza-beza. Ada yang mahu meninggikan daya fikirnya, ada yang mahu sekadar merehat minda, ada yang mahu menyentuh jiwa, dan senarainya tidak pernah akan habis.

Setiap apa yang saya baca, sekiranya saya tidak suka, saya lebih gemar untuk marah-marah sendiri kerana tersalah pilih, kerana boleh sahaja saya memilih dahulu buku yang selari dengan selera saya. Tidak mampu saya hendak marah-marah pada penulis. Hanya kerana, kisah penduduk kampung saya itu tadi.

Boleh sahaja saya tidak suka bukunya, tetapi jauh di kampung sana, pasti ada anak miskin yang bahagia membaca kisah itu. Di hujung sebelah sana pula, pasti ada anak yatim tersenyum membaca ceritanya. Di sini pula, pasti ada manusia patah harapan yang kembali tumbuh semangatnya apabila membaca buku itu.

Lalu sebagai pembaca apa hak saya, untuk memaksakan pendapat saya yang jelas lain seleranya ini, kepada satu pihak lagi yang berbeza seleranya dengan saya? Saya hanya mampu berpendapat dengan mereka yang sealiran dengan saya, dan ini cuma sekiranya saya pembaca. Sebagai editor, lain pula ceritanya. Lebih panjang, dan lebih banyak likunya, dan sebetulnya ia lebih mudah kerana ia terus kepada penulis.

Sekiranya pun saya mahu memaksakan pendapat saya, saya akan memaksakan pendapat sekiranya buku itu memang membawa dosa, dan hanya membuat manusia bahagia untuk berbuat dosa. Selain itu, saya sentiasa mengingatkan diri saya, dengan sepenuh-penuh ingatan, tinggalkan hormat pada sesiapapun, kerana mereka itu pasti sudah membuatkan manusia lain bahagia, pada saat saya langsung tidak mampu berbuat begitu.

2 comments:

Tuan Rumah said...
This comment has been removed by the author.
Tuan Rumah said...

"tinggalkan hormat pada sesiapapun, kerana mereka itu pasti sudah membuatkan manusia lain bahagia, pada saat saya langsung tidak mampu berbuat begitu"

saya akan ingat ayat ni sampai mati..sebab saya ada kisah saya sendiri