Monday, June 05, 2023

Pesta Buku Antarabanga Kuala Lumpur 2023 - sebuah catatan

 Ini bukan sebuah pesta yang saya sudah bersedia sepenuhnya. Ada debar yang mengeram dalam hati, dan pada ketika pesta bermula, ia menetas menjadi debar yang saya tidak pernah bayangkan akan terjadi. Ia tidak teruk, tetapi ia membuat saya sentiasa berdoa.

Tahun ini, saya pertaruhan tiga novel yang segar dan hangat dari kilang. Pertamanya, novel Rahsia Paling Rahsia yang dipromosikan sebagai K-Lit. Terbitan syarikat penerbitan gergasi negara, Karangkraf. Kisah pencarian harta karun Sultan Melaka. Dari dahulu lagi saya sentiasa berangan-angan mahu mengkisahkan riwayat yang banyak simpang siurnya, yang digabung dengan sejarah dan kompleksiti pertubuhan rahsia yang berumur ratusan tahun, dan akhirnya hampir 80% niat itu berjaya saya zahirkan. Saya puas hati dan saya berani untuk ia dibaca oleh sesiapa pun.


Kedua adalah novel Dunia Ini Sederhana Kecil, novel yang dicetak kali pertama pada tahun 2009. Saya sedikit gelisah kerana novel ini memilih jalan yang penuh risiko. Ia membawa kisah manusia biasa, seorang lelaki menganggur yang bermatian mencari rezeki. Tidak ada bombastik dalam pembinaan wawasannya selain falsafah yang samar-samar. Hanya cerita lelaki yang hidup untuk hari ini, esok fikir untuk esok pula, yang kemudian bertemu dengan seorang perempuan anak orang kaya yang tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Mereka sentiasa bertembung dalam keadaan yang tidak ada perkenalan bermakna. Sekiranya ia belum cukup berisiko, saya tambahkan risikonya dengan cuba menjadikan ia sebuah novel komedi. Mahu orang ketawa dengan tragedi ini. Aduh....


Sedangkan semua tahu yang rasa lucu adalah sesuatu yang sentiasa berbeza untuk manusia dan ia sangat sukar. Jadi novel ini akan sentiasa jatuh di dua kutub ekstrem. Sama ada jatuh di hujung titik yang membuatkan pembaca merasa sangat sayang, dan satu lagi titik berseberangan yang membuatkan novel ini terlihat hambar - rasa lucu itu tidak mereka peroleh, hanya sebuah kisah yang penuh kata hikmah sederhana. Adakah pembaca mahu menerima cabaran ini? Saya tidak tahu. Yang pasti, saya tahu ini sebuah risiko dan Jejak Tarbiah sudi memberi peluang kepada saya.

Ketiga sebuah novel swaterbit. Ia daripada manuskrip yang terpendam lima tahun dahulu. Ia sebuah kisah sains fiksyen dan penuh konspirasi. Tajuknya Panca Perawis. Gaya bahasanya standard dan ia lebih mementingkan teknikal kerana mahu mencipta plot twist. Ia bermula dengan sebuah Pertandingan Panjat Batang Pinang yang dianjurkan oleh tentera laut Amerika Syarikat di Nilai, Negeri Sembilan.

Hadiah pertandingan itu lumayan tetapi tanpa para peserta tahu, ada dua niat tersembunyi daripada pertandingan yang tidak biasa itu. 

Novel ini tidak terlalu saya promosikan kerana mahu lebihkan dua novel yang sudah ditanggung kos terbitnya oleh dua penerbit baik tadi. Nanti-nanti selepas PBAKL lah saya promosi lagi. 

Selain itu ada dua buah novel lagi yang sama sifatnya dengan Dunia Ini Sederhana Kecil, iaitu Doa Untuk Aku dan Penulis Yang Disayangi Tuhan. Sama-sama mencuba sesuatu yang berisiko dengan tema yang tidak biasa. Selain sebuah buku catatan 100 kisah inspirasi terbitan Rimbunan, Start Again.



Jadi dengan buku-buku itulah, saya bawa diri ke PBAKL 2023 dengan harapan yang terbata-bata.

Syukurlah selepas lebih 10 tahun terlibat dengan PBAKL, kapasiti bateri sosial saya semakin membengkak. Saya sudah boleh berbual-bual dengan jangka masa lebih lama dengan pembaca tanpa risau akan blur dengan tiba-tiba atau ada rasa mahu terus diam lalu mengasingkan diri. 

Saya tidak pasti ia introvert atau apa, namun ia sesuatu yang sering membawa kesal dalam hati dan membuat malu.

Alhamdulillah semuanya baik-baik walaupun masih ada ketika hati terdetik, "Kenapalah aku macam tu tadi kat orang tu."

Lalu hidup pun bergulir, dan segala apa yang saya risaukan memang terjadi namun dalam keadaan saya punyai antisipasi yang tinggi.

Al hasil ada beberapa hikmah yang saya boleh tarik daripada PBAKL kali ini. 

Antaranya, manusia ini boleh berhubung dengan manusia lain dengan sebuah cerita yang membuatkan mereka bahagia. Namun bahagia manusia tetap berbeza-beza. Lalu jangan takut untuk mencipta cerita kita sendiri. Jangan terlalu terikut-ikut dengan cerita orang lain kalau itu bukan cerita kita, kerana apapun cerita kita, tetap akan ada manusia yang menghargai cerita itu. Walaupun hanya seorang. Namun paling utama, adakah kita menghargai lalu bahagia dengan cerita kita sendiri?

Jangan pendam cerita kita. Kongsikan walaupun mungkin itu cerita duka, kerana sentiasa akan ada orang yang menatangnya dan membuatkan kita sembuh. Sembuh bukan kerana mereka merawatnya, tetapi kerana kita membenarkan diri kita berani untuk melepaskannya. Ibarat tali yang tersimpul di tangan, menahannya agar ia tidak lepas tidak akan memberi apa-apa selain luka, dan melepaskannya akan memberi lega.

Untuk rakan-rakan pembaca pula, selamat membaca semua cerita yang sudah anda peroleh. Mungkin akan ada cerita yang tidak sesuai diri, tetapi tetaplah yakin, tetap akan ada cerita yang tepat, yang akan menyapa mesra untuk membuat kita melepaskan sesuatu yang berat kerana itulah fungsinya setiap cerita, membantu memberi erti pada apa yang kita rasa tetapi tidak mampu kita kisahkan. Lalu cerita itulah yang membantu kita melepaskan rasa perih yang selama ini kita sembunyi.

Semoga kita semua temui apa yang tidak pasti kita mahu temui. 

Tuesday, February 07, 2023

Lirik yang tidak dinyanyikan

Saya kenal anak perempuan ini. Umurnya 12 tahun. Dia rakan kepada anak perempuan saya. Dia punyai satu kegemaran iaitu bermain gitar. Apabila datang ke rumah, dia akan membawa gitar dan menyanyi bersama anak saya.

Saya juga kenal keluarganya. Kami tinggal di lorong kejiranan yang sama. Ayahnya baru sahaja bernikah baharu sejak isterinya meninggal lima tahun dahulu.

Antara banyak-banyak lagu yang dibawa oleh anak perempuan itu, saya perasan satu lagu ini, dia akan menyanyi berulang-ulang dengan penuh perasaan.

Saya mendengar liriknya ia seperti lagu seseorang yang merindui kekasihnya. Saya fikir terlalu awal untuk dia membawa lagu sebegitu. Tetapi tidak apalah mungkin itu cuma latihan untuk kemahirannya bermain gitar.

Sehinggalah satu hari, saya berpeluang mendengarkan lagu itu di Youtube sampai ke penghujungnya. Saya kelu. Rupa-rupanya di akhir lagu itu ada lirik yang tidak pernah anak perempuan itu nyanyikan.


Tertawa bersamaku seperti dulu lagi
Walau hanya sebentar Tuhan tolong kabulkanlah
Bukannya diri ini tak terima kenyataan
Oh bukannya diri ini tak terima kenyataan
Hati Ini hanya rindu oh
Hati Ini hanya rindu hm
Kurindu senyummu Ibu

Ternyata lagu Hanya Rindu oleh Andmesh Kamaleng itu bercerita tentang rindu kepada ibu. Pada ketika itu entah mengapa air mata saya mula bergenang.

Benarlah rindu yang sakit bukannya yang diucap, tetapi rindu yang didiamkan.

Tuesday, March 22, 2022

daripada apa yang ada

Menemukan seseorang yang kita suka itu mudah, tetapi bagi membuatkan dia kembali suka kepada kita dan seterusnya hidup bahagia, itu rasanya ramai yang memikir ia adalah fantasi.

Memang benar barangkali.

Kerana setiap kita punyai pandangan terhadap diri, baik daripada segi rupa, harta, mahupun sikap. Rasa serba kekurangan.

Merasa tidak layak untuk orang seperti itu.

Di situlah akhirnya wujud realiti. Pedih tapi hakikat.

Realiti pahit yang berpihak kepada rupa, harta, dan sikap kita. Tetapi tidak berpihak kepada rasa suka itu sendiri.

Sekiranya ia tidak berpihak kepada rasa suka, bagaimana mahu bahagia?

Itu persoalan yang menjadi kunci kepada ramai yang akhirnya memilih untuk terus sendiri.

Ramai pula yang terus berusaha daripada segi harta, sikap dan rupa, untuk pada akhirnya menjadikan fantasi itu berubah realiti.

Namun ada juga, yang menerima dirinya dan pasangannya dengan seadanya. Lalu hanya berusaha untuk merubah rasa realiti itu menjadi rasa suka kepada pasangan.

Bagi merubah rasa itu menjadi suka juga adalah sebuah perjuangan. Mungkin tidak diagung-agungkan seperti perjuangan orang yang mengajar cinta hatinya, tetapi tetaplah ia mulia.

Mungkin itulah jalan yang lebih adil kepada kita semua. Tidak semua mampu mengejar cinta, tetapi kita semua mampu membina cinta daripada apa yang ada.


-----

hari ini, aku juga mahu mempromosi lagi,
Kombo Untuk Sembuh,
novel, 'doa untuk aku'
bersama buku puisi indah



Juga buku ini,  100 catatan tentang hidup. klik - https://shp.ee/jvarn6p







Wednesday, September 15, 2021

Gadis comel berkaca mata

Semasa di universiti, saya ada seorang kawan yang suka kepada seorang gadis. Berminggu-minggu juga dia bercerita tentang gadis itu. Berminggu-minggu jugalah kami beri dia motivasi supaya dia berani untuk berterus-terang.

Gadis itu memang comel. Berkaca mata, berbaju kurung dengan kasut kain.
Hari itu, kawan saya datang dengan wajah tersenyum. Katanya dia sangat lega. Rupa-rupanya dia sudah berterus terang.
"Jadi, budak tu nak dengan kau tak?"
"Tak."
Kami hairan. Wajahnya tetap nampak bahagia.
"Kenapa nampak happy je?"
"Sebab, aku lega. Kalau dia terima, aku tak tahu apa yang harus aku buat selepas itu."
Selepas lebih 10 tahun, saya ingat lagi senyuman manis kawan saya itu. Juga, kata-katanya, 'aku tak tahu apa yang harus aku buat selepas itu'.
Jadi apabila ada yang mencari jalan, 'bagaimana mahu berterus-terang kepada gadis yang dia suka', tanyakan dulu soalan ini kepada diri sendiri, "Lepas tu aku nak buat apa?"
Sekiranya soalan itu susah mahu dijawab dengan yakin, maknanya kamu belum bersedia. Bersedia bukan sahaja daripada segi kewangan, juga bersedia daripada segi 'sabar menunggu'.
Namun, itu bukan bererti jawapan, "Saya tidak tahu" itu salah. Malah ia adalah jawapan yang betul.
Apabila kita menganggap jawapan 'saya tidak tahu' itu betul, kita akan mudah tersenyum dan meneruskan hidup.
Kerana dalam hidup, soalan itu akan sentiasa datang untuk kita menjawabnya. Sentiasa.
Tentang kawan saya itu, ada terjumpa dengan akaun FB nya. Dia sudah berkerjaya bagus, dan bahagia dengan gadis pilihannya. Juga punya anak-anak comel yang menyejukkan hati.
Saya percaya, pada ketika soalan, "Lepas itu aku nak buat apa?" datang sekali lagi dalam hidup dia, dia menjawab dengan yakin, "Aku akan menikahi dia."

Thursday, July 08, 2021

Berkawan dengan air mata

Saya dan air mata bukah sesuatu yang asing. Mudah juga air mata tumpah apabila terkenangkan keluarga, tidak kira atas alasan apa pun.

Malah saya sentiasa mengelak menonton drama ataupun filem tentang keluarga, tentang ibu ayah, tentang anak, tentang kasih sayang haiwan. Semua itu akan membuatkan air mata saya mengalir laju.

Semalam saya perasan sesuatu, senarai yang membuat air mata saya tumpah kini bertambah dan ia sangat aneh untuk saya.

Kerana ia hanya pada kata-kata pujian. Orang yang memuji kebaikan keluarga kita, mengenang kebaikan kita terhadap mereka.

Itu sudah memadai untuk membuat saya rasa pilu.

Entah.

Mungkin kerana saya sedar diri ini banyak celanya. Kalaulah mereka tahu.

Semoga sahaja kebaikan yang mereka ucapkan itu benar-benar adanya.




Sunday, July 04, 2021

luka yang melupakan kita

Yang sakit tentang melupakan adalah, ia tidak mampu untuk melupakan.

Melupakan bukan hal yang semudah menyarung selipar. Ia bukan hal yang sifatnya fizikal.

Ia sesuatu yang berkaitan dengan fikiran juga hati. 

Berusaha melupakan tidak ada jaminan ia akan berjaya. Untuk hal lain, hasil tidak akan mengkhianati usaha.

Tetapi untuk hal melupakan, hasil sentiasa mengkhianati usaha. Kecewa adalah teman untuk mereka yang berusaha melupakan.

Jadi jangan melupakan. Ia tidak mungkin berjaya.

Yang berjaya adalah menyibukkan fikiran dengan perkara lain. Apa sahaja asalkan fikiran kita tidak punya waktu bagi mengingati perkara yang melukakan.

Atau berusaha sahaja pada masa hadapan bagi mencipta situasi yang lebih bahagia. Sehingga hal yang melukakan itu apabila teringat ia tidak menjadi apa-apa lagi dalam hati juga fikiran.

Melupakan bukan tentang hal yang mudah ataupun susah. Ia adalah tentang memperbaiki masa hadapan agar ia lebih baik daripada masa lalu yang menyaksikan luka.

Kerana kita tidak mungkin melupakan luka. Hanya luka yang melupakan kita dan akan terus melukai seperti ia tidak pernah kenal hati yang sudah sobek ini.

Saturday, July 03, 2021

mencuba untuk bohong

Itu dosa sebenarnya. 

Dan untuk urusan harian bohong itu tidak ada alasan yang kukuh untuk melakukannya.

Hanya dalam perang ia menjadi sesuatu yang harus.

Ada juga ustaz maklumkan bohong itu terpaksa sekiranya mahu mendamaikan antara dua pihak.

Namun ada juga bertanya bagaimana sekiranya ada yang bertanyakan tentang masa silam kita, sedangkan masa silam itu penuh dosa. Menceritakannya juga jatuh kepada dosa. Adakah boleh berbohong?

Kata ustaz tidak perlu bohong. Cukup sekadar berkata, itu bukan urusan kamu.

Ya, untuk lelaki dan perempuan yang punyai masa silam yang penuh noda tidak perlu menceritakan semua itu pada pasangan, atas alasan apapun. Walau kerana mahu jujur dengan pasangan.

Jujur bukan rahsia kebahagiaan rumahtangga. Pandai menyimpan rahsia itulah petua kebahagiaan rumah tangga.

Bukan bermakna meminta berbohong kerana itu tetap dosa. Cuma minta, jangan terlalu bercerita hal yang tidak perlu.

Cuba sahaja fikirkan begini, anda mencuba bohong tetapi tidak mahu bohong. Pasti jawapan anda akan lebih kreatif. Tidak jatuh pada kawasan bohong, tidak juga membocorkan dosa masa lalu.

Begitulah kira-kiranya. Seeloknya, kita jangan bertanya tentang masa lalu sesiapa pun. Kerana ia hanya membuat mereka rasa bersalah. 

Masa hadapan adalah tujuan. Masa lalu simpan sendiri untuk rujukan.

Friday, July 02, 2021

Cinta untuk suatu tempoh hayat

Dahulu ketika masih belum bernikah, selalunya tidak akan ada yang boleh membuatkan saya berani sekiranya mahu menyatakan cinta kepada seseorang.

Datanglah belasan orang memujuk dan memberi kata-kata semangat, tetap saya tidak akan berani.

Biar puluhan buku tentang motivasi yang saya baca tetap tidak akan mampu membuatkan mulut saya berani menyampaikan rasa hati ini kepada perempuan itu.

Terlalu rendah diri sebenarnya.

Tidak yakin langsung cinta akan diterima.

Yang mana pada waktunya itu saya fikir itulah yang terbaik untuk saya.

Kerana apabila cinta diterima apa seterusnya? Saya tidak punya kerja, tidak juga punya wang.

Tidak punya apa-apa.

Cinta tidak pernah cukup sekiranya ia mahu dinamakan cinta sejati.

Ia perlu kepada perkara-perkara lain untuk berkhidmat dengan penuh kasih kepada cinta.

Ya, cinta sejati memang sepatutnya begitu kerana itulah namanya tanggungjawab.

Cinta tanpa tanggungjawab itu hanya cinta untuk suatu tempoh waktu.

Cinta dengan tanggungjawab pula adalah cinta untuk suatu tempoh hayat.

Jadi untuk anak muda, bersyukurlah ketika cintamu ditolak pada saat kamu tidak punya apa-apa, kerana ia menyelamatkan mu daripada cinta yang sekejap 

Thursday, July 01, 2021

Untuk esoknya yang penuh cinta

 Saya sentiasa mengharapkan esoknya mampu saya jalani dengan penuh kebaikan. Penuh semangat dan juga penuh azam, dan penuh cinta.

Untuk saya itu semua sangat perlu bagi membuang semua kemalasan. 

Namun, tidak semua itu dapat terjadi. Biasanya, apabila esok tiba entah apa yang membuat saya merasa tidak bersemangat dan tidak mampu mendepani hari dengan penuh azam lagi cinta.

Tidak ada salah siapa-siapa juga, kerana ia datang daripada dalam diri. Saya tidak semangat kerana terlalu mahu membuat yang terbaik.

Pada akhirnya, fikiran yang lelah dahulu, dan semuanya ikut menjadi lelah. Semangat hilang, lelah yang datang.

Jadi sepatutnya bagaimana?

Saya tidak tahu. Mungkin seharusnya saya tidak memikirkan esok, tetapi memikirkan apa yang terjadi tadi. Memikirkan bahawa itu semua boleh saya perbaiki. Memang ada yang kurang tetapi ia bukan sesuatu yang perlu saya salahkan diri. Ia adalah sesuatu yang perlu saya perbaiki dengan hati dan fikiran yang kuat.

Menyalahkan diri sendiri tidak akan membuat fikiran dan hati menjadi kuat, malah membuatnya lemah. Dan paling utama, yang terjadi sudah terjadi. Di hadapan hanya ada jalan taubat sekiranya dosa, dan jalan memperbetulkan, sekiranya silap. Masuki sahaja mana-mana ataupun, masuki kedua-duanya.

Tidak ada jalan untuk menyalahkan diri sendiri, tidak ada jalan untuk menyalahkan orang lain. Itu semua hanya membuat fikiran lelah, dan esoknya bangun tidak ada semangat yang singgah.

Ya, perlu tidur untuk esoknya yang perlu semangat dan penuh cinta.

Wednesday, June 30, 2021

Bawalah luka

 Selalunya yang dikatakan luka itu adalah apabila hati mengharap tetapi harapan itu dipatah-patahkan oleh takdir.

Dikatanya cinta tidak memihak. Sedangkan realiti, cinta itu sangat neutral. Tidak memihak kepada sesiapa kerana cinta itu adalah apa yang terjadi dalam hati sendiri. Ia bukan apa yang terjadi di hati orang lain. 

Hati orang lain, cintanya sendiri. Tidak akan berkait dengan kita sekiranya dia tidak suka kepada kita. 

Terlihat semudah itu, dan realitinya memang semudah itu. Tetapi apa yang membuatnya sukar?

Kerana kita manusia tidak akan pernah tahu cara yang tepat bagi merawat luka akibat harapan yang patah-patah tadi.

Memang tidak ada cara yang tepat, kerana cara merawatnya adalah sebelum luka itu sendiri terjadi. Bukan semasa ia terjadi atau sudah berlaku.

Jauh-jauh hari sebelum terluka, ada yang sudah menyerahkan seluruh hatinya kepada yang Maha Esa. Jadi pada ketika harapannya patah, dia memang luka tetapi ubatnya sudah dia ada. Pulihnya cepat.

Ada pula yang selepas hatinya patah, baru mencari ubat dan ketika itulah semuanya terasa sukar. Ada yang demam ada yang sakit, tetapi mujur pada akhirnya sembuh juga.

Ada yang lukanya tidak pernah sembuh tetapi tetap mampu hidup seperti biasa. Dia membawa luka itu bersama sepanjang waktu. Tidak ada apa-apa juga. Kerana harapan baru bukan tentang menjadi orang yang baru. Tetapi upaya untuk kehadapan tidak mengira baru ataupun lama, sembuh ataupun masih luka.

Jadi sekiranya masih tidak mampu memaafkan, tidak mampu melupai, dan masih terluka, itu biasa. Itu bukan tanda tidak ada harapan, tetapi itu tanda cinta kita dan cinta orang itu tidak bersatu. Tetapi cinta tetap kita ada dan punya. Tidak pernah hancur. Yang hancur hanya harapan lama, harapan dengan si dia.

Bawalah luka, tetapi jangan lupa, cinta itu masih ada dalam hati. 


Tuesday, June 29, 2021

Pelangi bukanlah hadiah selepas ribut

 Pagi tadi, saya hantar anak saya ke Bengkel Sains.

Semasa di dalam kereta, dia kata, "Papa, tengok tu, ada pelangi. Lama Caca tak nampak."

Mata saya mengikut arah telunjuknya. Di hadapan sana ada pelangi. Tidak dalam lengkung penuh, hanya kaki pelangi sahaja terlihat warna2 indah. Tetapi itu cukup untuk menerbitkan senyum.

"Apa jadi kat sana?" tanya saya.

"Air terkena matahari."

"Maknanya di sana ada hujan."

Dia diam, terus memerhati pelangi, dan saya diam termenung. Saya tersentak dengan kata2 saya sendiri.

Ternyata selama ini, tafsir saya sendiri tentang pelangi itu tidak sepenuhnya benar. Saya sering mengikut untuk menuliskan 'pelangi' itu adalah hadiah selepas terjadinya 'hujan ribut'.

Sedangkan pelangi itu, adalah lebih hampir kepada lambang kesabaran dan kesyukuran berbanding bahagia itu sendiri.

Ini kerana pada ketika melihat bahagianya manusia, dan hati kita bertanya, "Apa yang terjadi di sana?"

Mungkin sahaja jawapan yang muncul, mereka saling cinta, saling faham mengerti, dan saling doa mendoa.

Sedangkan hakikatnya, yang terjadi adalah kesabaran dan syukur manusia. Kita ini manusia tidak ada yang lepas daripada masalah, tidak lepas daripada silap juga kelemahan.

Lalu perlu kesabaran untuk berperilaku cinta, perlu syukur hati untuk saling mengerti, dan pasti lebih sabar juga syukur untuk sering doa mendoa.

Pasti, perlambangan itu lebih adil untuk semua manusia. Kerana mereka yang hancur hatinya, musnah hubungannya, hilang harta dan rakan, yang berada pada titik rendah keyakinan kerana tidak punya kerja, tidak akan punya lagi kata saling cinta, saling memahami, tetapi masih punyai kata untuk kesabaran dan syukur.

Punyai sabar dan syukur itu sendiri adalah bahagia.

Juga, pelangi tidak perlu terlihat penuh, untuk tampil manis, cukup sekadar warna indah pada kaki pelangi. Kerana kita memilih untuk melihat yang itu, dan kita mampu.

Hidup kita juga begitu. Tidak semua perkara kita perlu melihat keseluruhannya. Ada perkara cukup kita lihat yang indah-indahnya, dan kenang manis-manisnya.

Monday, June 28, 2021

Siapa yang lebih susah?

Adalah sesuatu yang tidak kena apabila lori mengatakan kepada kereta kancil yang ia boleh mengangkut beban sebanyak satu tan, selepas melihat kepayahan kereta kancil mengangkut beban seberat 300kg.

Ataupun apabila kereta kancil mengatakan, yang ia tidak ada masalah parking di tepi jalan sehala tanpa menggangu lalu lintas, mengapa lori tadi tidak boleh?

Ia bukan tentang siapa yang lebih susah, selepas melihat susah orang itu tidak seberapa berbanding susahnya kita.

Ia tentang tahap kita yang berbeza-beza. Masing-masing ada kelemahan, ada kelebihan.

Apatah lagi semasa PKP ini. Memberi komen pada status orang yang meluahkan kesusahannya, dengan memberi contoh diri kita yang lebih susah ataupun ada orang yang kita kenal lebih susah, tetapi boleh menghadapinya, mengapa dia tidak boleh? Adalah sesuatu yang perit untuk orang itu. Kita digalakkan untuk melihat lagi orang yang lebih susah daripada kita supaya kita bersyukur, dan melihat kesusahan orang yang kurang susah pada pandangan kita, tidak akan membantu iman kita. Apa yang perlu adalah empati. Tidak kira sekecil mana susah orang itu, tetaplah simpati dan empati. Berikan kata-kata semangat dan mendoakan mereka. Ya, kita lebih susah, tetapi ia bukan lesen untuk berbangga dengan susahnya kita. Ia adalah sesuatu untuk kita insafi.



Sunday, June 27, 2021

Jiwa yang sakit

 Tekanan perasaan itu sangat benar wujudnya. Ia sesuatu yang boleh berubah menjadi satu penyakit dalam diri dan merosak akal sihat dan hati yang murni.

Siapa sahaja tidak pernah mengalaminya? 

Saya juga pernah dan malah, sering-sering.

Saya memahami satu fakta berkenaan tekanan perasaan, ia mampu berubah menjadi depresi. Akhirnya mental manusia tidak keruan, dan sekiranya tidak diberi rawatan awal, hujungnya boleh membawa kepada dua perkara yang ditakuti, menjadi gila ataupun cuba membunuh diri.

Namun untuk kesihatan mental, depresi bukan satu-satunya faktor. Banyak juga kerana keturunan, maksudnya hormon yang saya tidak tahu apa namanya, berlebihan dirembeskan oleh otak manusia. Jadi, untuk hal yang fizikal sebegini, ubatnya harus juga fizikal. 

Itu menjawab persoalan saya selama ini, mengapa mereka yang punyai masalah kesihatan mental harus kepada pil-pil yang pelbagai jenis. Kerana selama ini fikiran saya, rawatan sakit sebegitu hanya baring dan bercerita tentang masalah mereka kepada doktor. 

Ternyata kesihatan mental ini punyai ruang yang sangat luas, dan hanya doktor yang ada kemahiran sahaja mampu bercerita lanjut tentangnya.

Untuk orang biasa seperti saya, yang sering-sering mengalami tekanan hidup, hanya mampu berharap untuk menyibukkan diri dengan keluarga, dengan rakan-rakan sehingga tekanan itu terhapus atau terlupa bahawa saya punyai masalah yang belum selesai.

Pastinya juga, doa semoga terhindar daripada sakit yang tidak jelas tanda-tandanya ini. Tidak jelas tetapi kesannya sangat mematikan jiwa.


Saturday, June 26, 2021

Menemui cinta dahulu yang sepi di pelabuhan.

 Menemui kembali kisah-kisah dahulu di pelabuhan kenangan adalah sesuatu yang tidak mungkin ditolak dengan sengaja. Kerana kisah-kisah itu kembali dengan bentuk yang pelbagai. Ada datang dengan bentuk catatan, dan ada yang datang dengan bentuk manusia yang utuh tetapi sepi. 

Kisah yang dibawa juga tidak menentu. Ada manusia yang membawa kisah cinta masa lalu. Lalu di situlah hati akan berlabuh dan takut-takut sekiranya ombak pula yang memukul.

Mengenang kisah cinta dahulu dengan manusia yang membawanya akan memberi satu pengalaman yang aneh. Aneh kerana ia terasa sangat manis, namun dalam waktu yang sama ia terasa sangat memilukan. 

Entah mengapa kisah cinta dahulu berakhirnya dengan putus yang tidak bersambung. Walaupun hati benar-benar cinta.

Mungkin kerana jodoh itu rahsia, dan dia bukan termasuk dalam rahsia itu. 

Ombak masa lalu memang akan sentiasa memukul jiwa. Jangan berlabuh lama di pelabuhan kenangan. Sesekali mungkin untuk mengingati bahawa manusia itu tetap punyai jasa dalam membina hidup ini sehingga jadi begini.

Belayarlah kembali. Laut kehidupan masih terbentang luas dan cinta di sisi masih tetap perlu dilindungi masa.

Saturday, February 24, 2018

Addi Asyraaf

Hari itu jam sudah 11.45 malam. Saya berbaring di kamar kerja menatap skrin telefon.

Telefon itu berdering, dan ia membuatkan saya berdebar. Siapa pun pada situasi itu akan berasa begitu. Malam-malam, waktu untuk istirehat, waktu untuk bersendiri sama ada dengan Tuhan ataupun syaitan, terus datangnya panggilan daripada manusia.

Dari sudut dunia yang paling hujung, kedengaran suara yang saya kenal. Dia rakan sekelas dari sekolah rendah, dan walaupun tidak lagi sekelas semasa di sekolah menengah kami tetap di sekolah yang sama.

Suaranya kedengaran biasa tetapi permulaannya mendebarkan.

"Sudah dengar berita?"

Untuk saya, ayat begitu terlalu menakutkan. Saya punyai masa lalu yang buruk dengan ayat-ayat begitu. Dengan berat saya menjawab, "Berita apa?"

"Anak saya, sudah meninggal... tadi."

Saya terkedu. Saya terus berada dalam keadaan vakum. Saya fikir dia juga begitu kerana suaranya terlalu tenang. Terlalu biasa.

Dalam hidup saya, sudah beberapa kali menerima berita kehilangan ahli keluarga. Saya akan vakum sepertinya tidak percaya. Berita begitu akan tersekat pada fikiran, tidak terus ke hati. Fikiran sedaya upayanya menolak lalu jiwa menjadi vakum.

Saya akan terlihat normal dan hanya selepas beberapa jam, dan mungkin beberapa hari, barulah saya menangis sepuas-puas hati. Barulah pedih hiba itu tiba mencucuk-cucuk. Bukan sahaja hati, tetapi seluruh jiwa.

Untuk kali ini juga sama. Hanya pada esoknya, pada ketika saya menyelusuri sesaknya kota Kuala Lumpur dengan motosikal, air mata saya terburai-burai. Pipi basah sebasah basahnya. Saya tersedu-sedu. Segala kenangan tentang anak itu bermunculan satu per satu dalam fikiran.

Saya diam dan hanya kalimat innalillahiwainailahirajiun yang terbit daripada mulut. Hanya itu.

Pada saat itulah dia memberitahu lagi, "Halalkan semua apa yang anak saya makan, halalkan semua semasa dia masih menetap di rumah kamu."

Anak lelakinya baru lima tahun dan saya tahu memang mempunyai masalah hati. Tubuhnya dan matanya kekuningan dan masalah-masalah kesihatan yang lain.

Mereka tinggal di Sarawak dan harus setiap enam bulan sekali ke Hospital Selayang kerana dimaklumkan di situlah doktor pakar hati berada.

Jadi apabila mereka tiba di Kuala Lumpur, mereka akan menetap di rumah saya beberapa hari sehingga rawatan usai.

Walaupun mungkin hanya lima kali sempat menetap di rumah, tetap mereka memberikan rasa untuk saya kenang dan kenangan itulah yang kembali. Wajahnya, kata-katanya, dan segala kelakuan anak itu muncul dalam fikiran.

Dalam masa yang sama saya terfikirkan tentang rakan saya itu. Perasaan sedih kami ketika itu walaupun tidak mungkin sama dalamnya, tetap getarnya saya mampui rasai kerana saya juga seorang ayah yang punyai anak.

Dia bersungguh-sungguh berkorban untuk anaknya. Bukan berkorban yang terpaksa, tetapi dia memang memilih jalan itu. Sehinggakan pada malam itu, hanya beberapa minit selepas anaknya pergi pun dia sanggup menghubungi saya, hanya untuk diminta halal. Sedangkan anak itu langsung tidak punya hutang apa-apa kepada saya. Langsung tidak ada.

Entah, saya sebenarnya kehilangan kata-kata untuk perkara ini, kerana semuanya sudah diredam oleh rasa yang tidak mampu diungkapkan.

Hanya saya mampu mendoakan arwah adik Addi Asyraaf terus berada rahmat-Nya. Dia sudah meninggalkan keperitan dunia dan syurga menunggunya.




Tuesday, August 08, 2017

laci hati lelaki

Di bilik menulis saya, ada sebuah laci kabinet. Lima tingkat. Tujuannya untuk mudah saya capai apa2 tanpa perlu ke bilik tidur utama, atau perlu ke stor. Kerana bilik menulis di aras bawah. Mudah dan aman suasana. Laci tingkat paling atas saya letak, alat2 kemasan diri. Minyak rambut, deodoran, stok ubat gigi, minyak gamat, dan seumpamanya. Ada juga laci untuk tool kecil2, yang tak perlu buka toolbox besi yang berat tu.
Begitulah pada laci2 tingkat lain. Ada pengkhususannya. Tidak ada apa2 yang istimewa. Kalau pun tidak ramai, mungkin ada 2 3 orang buat begini untuk kemudahan mereka
Apabila isteri saya berkemas, terjumpa apa2 barang yang bukan milik dia (sama ada saya terlupa simpan balik, atau tersalah letak, dia akan terus letak pada laci kabinet. (tingkat paling atas).

Misalnya, dia terjumpa spanar, dia akan letak di situ tanpa ragu2. Malah terkadang, benda2 yang dia tidak tahu hendak letak di mana pun, dia letak di dalam laci juga, misalnya mangga kunci yang berkarat.
Tidak ada masalah sangat. Sebab saya pun tidak maklumkan dia setiap laci ada kegunaan masing2. Cuma agak terkejut juga apabila mahu guna deodoran terjumpa spanar.
Lalu saya terfikirkan, mungkin begitu juga hati lelaki pada kaca mata sebahagian sang isteri. Apa sahaja, yang difikirkan itu sepatutnya menjadi milik sang suami akan terus cuba dimasukkan ke dalam hati suami.
Jadi tidak hairan, adai lelaki yang ditag namanya oleh isteri pada ruangan komen, hanya kerana mereka fikir itu 'benda' yang suami mereka 'punya' atau harus ada.
Atau mungkin, 'nasihat' yang tiba2 kepada suami. 'Nasihat' mungkin dalam bentuk bebel, lembut atau marah2.
Tidak ada apa2. Suami akan redha, cuma akan terkejut, seperti terkejut melihat ada spanar pada ruang letak deodoran.
Lalu bagaimana? Itu bukan soalan yang perlu dijawab oleh isteri. Tidak perlu. Ia hanya perlu dijawab oleh suami. kalau saya, mungkin ada waktu saya rajin, saya akan beritahu juga isteri saya bahawa setiap laci ada kegunaan tersendiri. Namun, berdasarkan pengalaman, biasanya tetap semua tingkat laci akan sama di mata isteri, itu semua milik suami, dan sama sahaja.
Cara akhirnya, terima sahaja apa sahaja yang datang. Kerana sekiranya difikir pun itu semua memang milik sang suami. Tinggal lagi, suami yang perlu mengurus baik2, apa sahaja yang datang itu, dan meletakkan pada tempatnya yang betul.

Tuesday, March 21, 2017

Sebuah cerpen putus tunang.

Tajuk : Putus Tunang. (Saya dah tak ada idea nak letak tajuk)
Ketika itu, saya baru putus tunang. Segala kenangan pun terurai-urai menjadi peniti mencucuk hati. Saya murung dan berkurung di dalam rumah. Hanya sesekali melempar wajah tanpa senyum ke luar jendela dan membuang pandang ke pohon kelapa sawit ayah, dan saya baca dengan terang di sana, sudah tidak bahagia untuk saya. Selepas lima hari berkurung, ayah sendiri yang datang lalu duduk di hujung katil. Saya membelakangi dia, lebih rela menghadap laptop di meja yang rapat ke dinding.
“Ini...” kata ayah lalu menghulurkan satu sampul surat berukuran biasa. Warna putih.
Saya ambil dan gerak-gerakkan perlahan, atas bawah terasa padat isinya. Saya mula terfikirkan, yang ayah membelikan saya tiket kapal terbang. Mungkin dia mahu saya menghiburkan hati yang luka. Tetapi, takkanlah. Sekarang semua sudah online. Sudah tidak ada tiket yang keras-keras kertasnya. Kecuali tiket kelas pertama untuk ke luar negara. Ah, tak mungkinlah. Mana ayah saya dapat duit? Jadi, kalau bukan tiket kapal terbang, apa? Saya berusaha meredakan jerit hati dengan mengusap-usap sampul itu, dan sedia untuk membukanya.
“Jangan. Kau buka selepas kau jumpa dengan Jono,” tegah ayah dan itu yang membuatkan saya berada di sini hari ini, di hadapan rumah Jono.
Jono itu orang Indonesia. Dia bekerja di kebun kelapa sawit ayah. Dia dan dua orang lagi rakannya, tinggal di rumah yang ayah sediakan untuk dia.
“Kenapa?” tanya Jono yang duduk di atas anak tangga paling atas. Anak tangga kelima.
Daripada wajah, jelas Jono baru bangun tidur. Terik matahari petang memang membuatkan mata tidak mampu menahan godaan tilam dan bantal. Apatah lagi di bawah putaran kipas pada level 5.
Peluh sudah menitik dari dahi saya. Sudah tiga minit saya berpanas di hadapan rumah Jono, tetapi belum diajak masuk. Jono yang berambut ikal separas bahu dengan tinggi cuma 167cm, dan tubuh kurus memerhati saya dengan penuh tanda tanya. Umurnya, saya tidak pasti. Mungkin sebaya saya, 22 tahun ataupun lebih 2 3 tahun. Tidak dapat saya membaca umurnya daripada wajah tirusnya yang sudah sun burned.
Tetapi, tenaga Jono seperti lembu. Kepala sawit berpuluh kilo mampu dia angkat masuk ke dalam lori. Tidaklah dengan selamba, berkerut-kerut juga wajahnya, tetapi tetaplah dia mampu. Seingat saya, saya sendiri pun tidak mampu begitu.
“Ayah saya suruh datang jumpa kamu.”
“Pak Mawi? Ada apa?” Wajah Jono keliru.
Saya yang sudah sedia keliru, ikut bertambah keliru.
“Mana saya tahu.”
Jono bangun, masuk ke dalam dan kemudian keluar dengan telefon bimbit sudah melekap pada wajahnya.
“Ya, Pak Mawi, ada apa Sulaiman dengan ke sini? Katanya Pak Mawi yang suruh.”
“....”
“Ooo... begitu. Ya, ya. Baik Pak Mawi. Assalamualaikum.”
Jono menyimpan telefon bimbitnya yang saya fikir mungkin harganya di bawah 200 ringgit ke poket belakang, sebelum tersenyum lebar.
“Sulaiman, jemput naik.”
Saya naik ke rumah kayu itu, dan mula terasa bahang daripada bumbung zink. Jarak lantai dan bumbung yang rendah membuatkan haba tidak dapat beredar dengan mudah. Apatah lagi cuaca pada bulan Julai begini. Peluh saya terus mengalir pantas.
Rumah kayu itu sangat sederhana. Ada sebuah sofa panjang yang sudah uzur dan sebuah tv rata 24 inci. Saya segera duduk di sofa yang sudah berlubang-lubang. Sambil mata mencari-cari dua orang lagi rakannya yang saya tidak tahu di mana.
“Farid dan Miar, mana?” tanya saya pantas.
“Khuruj,” jawab Jono sepatah lalu masuk ke dapur dan keluar kembali dengan sebotol air dan dua biji gelas plastik biru.
“Ini, minum,” pelawa Jono lalu duduk dan terus tersenyum.
“Ya, minum... minum...,” kata Jono lagi apabila melihat saya menuangkan gelas kedua. Panas betul.
Melihat saya sudah lega, Jono menyambung lagi, “Jadi, Sulaiman baru putus tunang?”
“Ya. Tak ada jodoh.”
“Hah, gampang semua tu.”
“Gampang?” Saya renung dia.
“Maksud saya, mudah. Gampang itukan bahasa Indonesia, mudah.”
“Ooo...” Saya angguk-angguk. Terlalu sensestif pula saya hari ini. Padahal saya memang sudah tahu maksudnya hasil daripada tontonan sinetron bersama dengan emak.
“Begini, Sulaiman. Kamu sudah berjumpa dengan saya. Jadi baliklah, dan bukalah surat itu,” kata Jono perlahan tetapi serius.
Saya renung wajah Jono. Saya sudah pening.
“Takkan itu je?” bantah saya.
“Ya, itu saja. Gampang kan?”
“Kalau macam tu je, memang gampang.”
“Iya, gampang. Syarat sudah tertunai. Jadi baliklah.”
“Tak ada apa-apa nasihat?” Saya masih tidak puas hati.
Jono senyum nipis dan meyambung, “Langsung tidak ada. Hanya itu. Balikah.”
Saya lekas-lekas turun, dan duduk sahaja di atas motosikal Yamaha Legenda ayah, terus saya keluarkan surat tadi dan mengoyakkannya.
Satu kad warna purple saya tarik keluar. Saya mula berdebar-debar, namun pada ketika semua sudah jelas di hadapan mata, rasa teruja tadi berubah kecewa. Kad tebal itu ternyata surat undangan pernikahan sepupu saya, yang akan menikah sebulan lagi. Saya baca, saya belek-belek, memang tidak ada apa-apa. Saya tarik nafas dalam-dalam. Sama ada mahu marah atau apa? Saya tida tahu.
Saya hidupkan motorsikal dan terus memecut balik ke rumah yang jaraknya hanya tiga kilometer. Sampai sahaja, terus saya naik dan duduk di depan ayah.
“Apa ni, ayah?” Sambil saya letak kad undangan perkahwinan itu di atas meja.
Ayah memandang kad di atas meja, dan kemudiannya melihat wajah saya. Nampak dia baru bangun tidur.
“Kad ini, Jono, dan perjalanan tadi, itu semua menggambarkan perjalanan cinta.”
“Perjalanan cinta?”
“Orang bercinta yang benar, pergi mencari cintanya, bukan sahaja kerana itu naluri manusia semata, tetapi itu juga anjuran Tuhan.”
Ayah menahan kuap sebentar sebelum menyambung, “Misalnya tadi, ayah beri syarat untuk buka kad tadi, kamu harus berjumpa Jono. Kamu akur dengan arahan itu. Tanpa sedar, pada ketika itu kamu berharap sesuatu yang besar. Ada dua harapan wujud, perkara besar ketika bertemu Jono, dan perkara besar untuk mengetahui apa rahsia di sebalik surat yang kamu bawa.”
Saya pandang kipas berdiri di sebelah ayah, ia hanya menumpu ke arah dia. Patutlah rasa bahang. Saya bangun, dan tekan punat di belakang, sekarang kipas itu mula berpusing 180 darjah. Ayah terhenti sebentar dengan tindakan itu. Tetapi duduk sahaja saya, dia menyambung lagi.
“Kamu bertemu dia, tetapi dia tidak memberikan apa yang kamu harapkan, kamu kecewa, tetapi kamu sedar kamu sudah melaksanakan suruhan. Kamu buka surat tadi, dan kamu hanya menemui sesuatu perkara yang tidak kamu harapkan juga, kamu keliru, kamu bengang, tetapi akhirnya kamu kembali kepada ayah sebab ayah yang memberi arahan. Kamu mahu jawapan atas semua hal itu. Lalu pada ketika kamu sedang keliru sekarang, pada ketika kamu putus asa, pada ketika hati kamu terluka, mengapa tidak meminta jawapan daripada yang Maha Merancang? Bagaimana jawapan yang kamu peroleh nanti, bergantung bagaimana cara kamu 'bertanya'. Kamu bertanya sebagai seorang yang besar kepala, atau sebagai seorang hamba yang sedar diri.”
Saya diam. Lama saya diam. Kata-kata ayah belum mampu saya hadam. Apa sebenarnya maksud ayah? Pada ketika itulah ayah datang dan memeluk bahu saya.
“Namun, yang paling ayah takuti, kamu tidak bertanya soalan yang benar. Kamu mungkin bertanya, mengapa dia meninggalkan kamu, atau bertanya apa kurangnya kamu. Pada ketika kamu tahu jawapannya, kamu tidak akan berubah menjadi lebih baik. Mengapa? Kerana ada soalan lain yang sebenarnya belum terjawab dengan sesungguhnya, yang kamu segan dan malu untuk bertanya, iaitu mengapa Tuhan pilih aku untuk menghadapi semua ini? Kamu tidak akan menemukan jawapan pada soalan itu, apabila kamu tetap merasakan kamu sudah melakukan yang terbaik, sudah berbuat semua yang disuruh, dan apa sahaja yang agung-agung, lalu kamu fikir tidak layak untuk dibuat begitu. Tanyalah kembali diri kita, kita ini siapa sahaja di hadapan Tuhan sampai terfikir begitu? Kita siapa?”
Saya kembali bingung.
“Nak, sebenarnya ayah pun tidak tahu sama ada cara tadi berkesan untuk kamu ataupun tidak. Sekiranya tidak, setidak-tidaknya ayah mahu kamu rasai, bahawa sakitnya putus tunang itu akan terlupakan sekiranya kita sibuk melakukan dan memikirkan perkara lain. Itu sahaja. Jadi, jangan berkurung sahaja di rumah. Sibukkan fikiran kamu dengan hal-hal lain. Ada banyak perkara.”
“Maksud ayah, apa yang saya buat tadi sebenarnya nak suruh saya sibuk?”
Ayah mengangguk dan kemudiannya berkata dengan penuh kasih, “Ya. Itu pun benar. Apa yang ayah cerita mula-mula tadi juga benar. Bagaimana kamu rasa sekarang? Adakah kamu lega selepas mendengar penjelasan ayah, atas semua perkara mengelirukan, perkara yang tidak sesuai harapan, yang terjadi kepada kamu tadi?”
Saya diam.
“Jadi, pada ketika kamu keliru tadi, kamu cepat-cepat balik bertemu ayah. Kamu tahu ayah yang merancang semua ini. Jawapannya pasti ada pada ayah. Apatah lagi sekarang, pada ketika kamu keliru dan kecewa, adakah kamu cepat-cepat bertemu Tuhan? Yang Maha Merancang segala setiap sesuatu.”
Ayah menarik nafas panjang dan menyambung, "Terkadang, Tuhan berikan jawapan dengan menghilangkan pertanyaan tentang kecewa dalam diri kita. Ya, kita tidak akan ada jawapan untuk persoalan yang tidak kita tanyakan. Bukankah itu juga bahagia?"
Diam saya kemudian menjadi lebih panjang.
Cinta sentiasa memberikan sesuatu untuk manusia. Memberi pada apa yang didapat, dan memberi pada apa yang hilang.

Tuesday, January 31, 2017

Berlari

Yang paling saya khuatir untuk anak-anak yang baru belajar bertatih, adalah apabila mereka cuba berlari. Akan ada banyak kali terjatuh.

Sekiranya di padang rumput indah yang hijau, tidak mengapa. Namun, banyak kali mereka berlari di lantai-lantai rumah yang bermozek keras.

Jatuh itu sesuatu yang pasti untuk mereka. Memang tidak akan ada upaya untuk menghalang. Yang boleh kita perbuat, adalah menyediakan kawasan yang sesuai untuk mereka 'jatuh'.

Sekiranya sahaja, perkara itu kita fikirkan sekarang, sebenarnya apabila dewasa ini pun masih ramai antara kita yang masih bertatih, terutamanya yang baru habis belajar. Belum kenal hidup, baru belajar berdiri dan berjalan, tetapi kerana degil dan mahu cita-cita cepat dapat, mereka berlari.

Berapa ramai anak muda yang 'jatuh' kerana itu.

Adakah mereka salah? Ya, kita boleh salahkan mereka. Tetapi, perkara paling awal yang perlu ditanya, adakah mereka sudah disediakan tempat yang sesuai untuk 'berlari'?

Kita tahu mereka degil, tahu jiwa masih lagi terbakar membara, mengapa dibiar mereka berlari di jalanan penuh bahaya?

Tanggungjawab siapa untuk memastikan mereka belari di kawasan yang sepatutnya?

Saya yakin, kita semua ada jawapannya. 

Gawat 2017

Semalam, saya duduk bersama ayah, sama-sama menonton televisyen dengan fikiran yang tidak tetap pada apa yang dilihat.

Ayah berkata, "Gawat zaman Mahathir dulu, tak adalah seteruk sekarang."

Saya diam. Saya sebenarnya tidak setuju. Gawat zaman Mahathir dahulu dan sekarang pada zaman Najib, kesannya kepada syarikat sama sahaja. Ramai yang dibuang kerja.

Yang membezakannya, dahulu anakmu ini baru berumur 17 tahun. Belum ada apa-apa tangunggan, dan kata-katanya pun tidak dipandang sebagai sesuatu yang serius. Wang tidak pernah jadi masalah untuk dia.

Sekarang, anakmu ini sudah lebih 30 tahun, sudah ada anak dua, rumah dan kereta. Lalu pada ketika ekonomi tenat, dia akan mengadu kepada kamu bercerita. Dia tahu, kamu memang tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi anakmu ini akan berasa lega.

Namun, dalam tidak setuju itu tetap saya berkata, "Yalah."

"Dahulu zaman Mahathir, minyak masak masih murah lagi. Minyak petrol pun tak naik. Barang-barang pun masih mampu dibeli."

Saya tersentak. Itu pertimbangan ayah. Dan saya mengakui, ia tepat. Ternyata, pertimbangan anakmu ini masih jauh berbanding pengalaman.

Friday, February 27, 2015

esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku - part 3. (Akhir sebuah kisah)


Atas izin Tuhan, cinta akan mengubah diri kita. Namun atas izin Tuhan jugalah, tetap ada yang lebih besar kuasanya daripada cinta, iaitu masa. Masa akan mengubah segala-galanya. Batu keras menjadi hancur, raut cantik menjadi kendur, dan luka dalam menjadi parut.

Ada yang berubah, namun tetap akan ada yang tertinggal. Hancurnya batu meninggalkan keping-keping, kendurnya wajah meninggalkan sisa cantik masa lalu, dan luka, memberi parut untuk kenangan.

Ini kisah saya, yang sudah sembuh lukanya tetapi parutnya tetap ada. Ini kisah saya, enam tahun selepas pernikahan dengan Syafiqah. Alhamdulillah, nikah itu adalah rezeki. Bukan sahaja tenang pada hati, juga rezeki pada mata. Kini saya sudah mampu berpindah dari rumah apartment murah ke rumah teres corner lot. Paling membahagiakan, sudah ada 3 cahaya mata yang sentiasa memanggil saya 'papa'. Dua perempuan dan seorang lelaki.

Syafiqah pula alhamdulillah, kini meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana. Diploma dia berjaya, dan sarjana muda pula dia cemerlang. Paling utama, dia berjaya menjaga saya dan anak-anak dalam sibuk dia belajar.

Ada yang bertanya, adakah selamanya mahligai saya rukun aman dan damai? Tidak. Rumahtangga bukan berkenaan mahu bahagia pada waktu itu juga. Rumahtangga adalah proses. Bahagia hanya datang selepas kita belajar makna duka, makna bermasam muka, makna berselisih murka.

Ada waktunya Syafiqah merajuk, dan saya pujuk. Adakalanya dengan penat bekerja, saya pula meninggi suara, dan Syafiqah memberi air matanya untuk saya kembali sedar. Itulah rumahtangga. Yang manis-manis itu cuma 10 peratus. Selebihnya dataran penuh duri. Tetapi 10 peratus itulah yang sangat memberi erti pada hidup. Sangat untuk kita hargai.

Kendala terbesar yang saya alami dalam rumahtangga, adalah pada petang hari pertama selepas kami menjadi suami isteri. Ketika itu Syafiqah menekur memegang erat tangan saya sambil menangis.

Fiqa tahu, perempuan yang menangis untuk abang tadi adalah bekas kekasih abang. Yang lebih dahulu mengenali abang daripada Fiqa. Yang terlebih dahulu mencintai abang daripada Fiqa, dan yang abang terlebih dahalu cintai. Tetapi Fiqa minta abang, walaupun abang masih cintakan dia, masih sayangkan dia, janganlah buang Fiqa. Fiqa tidak ada sesiapa lagi di dunia ini bagi bergantung harap. Sebaliknya, adik-beradiklah yang bergantung harap pada Fiqa. Fiqa rela abang menikahi dia, tetapi Fiqa mohon, jangan buang Fiqa. Jangan abaikan Fiqa....”

Saya tidak tahu siapa yang beritahu itu kepada dia. Mungkin ibu saya, kerana dia sering lupa untuk berahsia tentang anaknya ini. Pada ketika itu, dalam resah saya, saya letakkan tangan saya pada ubun-ubun Syafiqa dan berkata lembut, “Fiqa, jangan terlalu rendahkan cinta suamimu ini. Abang sudah menjadi suami Fiqa, dan tanggungjawab abang adalah menjaga Fiqa. Tentang itu, doakan abang kukuh pada Fiqa seorang. Bernikah itu perlu adil, dan abang adalah manusia yang lemah, yang hanya mampu berlaku adil pada seorang perempuan. Jadi, mohon Fiqa jangan lagi menangis hanya untuk itu. Doakan jodoh kita panjang sampai ke syurga.”

Itu pujuk saya kepada Syafiqa. Lalu bagaimana pula dengan Mia? Saya tidak mendengar apa-apa tentang dia. Saya juga tidak berani-berani bertanya khabar kerana saya sedar, saya belum kuat untuk menolak cinta lama. Namun Tuhan tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dia sentiasa menguji.

Selepas enam tahun, pada hari yang damai ketika kami sekeluarga selesai membeli barang di supermarket, anak bongsu dan kedua meragam meronta-ronta, dan saya hilang kawalan pada troli yang sarat barang, lalu terlanggar seseorang.

Itulah Mia. Mia yang kini berwajah semakin matang, tetapi cantiknya tidak pernah pudar. Malah bertambah. Kami sama-sama terkedu sebelum Syafiqa saya dengan wajah terpaksa berkata, “Eh, Mia bukan?”

Ya, Mia. Lama tidak jumpa awak berdua.” Mia tersenyum senang dan tidak nampak apa-apa yang palsu pada senyuman itu.

Syafiqah pula yang terlebih ramah dan berkata, “Buat apa di sini?”

Saya ada program kebajikan di kawasan ini. Jadi saya beli barang-barang untuk rumah anak yatim di sini. Tidak sangka pula bertemu.”

Saya tetap diam. Terlalu banyak persoalan yang berlegar dalam fikiran saya.

Seorang sahaja? Mana suami?” soal Syafiqah ceria.

Mia hanya tersenyum dan menjawab, “Saya single lagi.”

Kalau begitu, mari kita minum dahulu. Lama kita tak jumpa,” ajak Syafiqah lagi dan saya berasa aneh. Terlalu tiba-tiba. Saya hanya menjeling Syafiqah. Seingat saya, dia hanya sekali berjumpa dengan Mia, itupun pada hari pernikahan kami.

Mia pula seperti tidak dapat menolak ajakan itu lalu kami singgah minum di sebuah coffea house. Di situ tahulah saya, Mia selama ini terlibat aktif dengan NGO yang memberi bantuan kepada rumah-rumah kebajikan. Sama ada rumah anak yatim ataupun rumah orang tua. Dia begitu bersemangat bercerita berkenaan aktivitinya sehingga Syafiqah nampak berminat mahu ikut serta.

Sehinggalah Mia berkata, “Kalau awak mahu ikut serta, jangan sebab saya. Ikut serta sebab memang mahu menolong dan membantu. Saya, mungkin minggu ini sahaja di Malaysia.”

Selepas itu pergi mana?” Saya ringankan mulut.

Saya mahu ke Syiria pula. Mungkin saya akan berada lama di sana. Di sana perlukan tenaga dan bantuan.”

Buat apa pergi jauh-jauh. Bukankah, di Malaysia ini sendiri masih banyak orang susah?” Saya menduga.

Betul. Tetapi di Malaysia ini juga masih ramai orang yang baik hati yang masih hidup. Ramai yang akan menggantikan saya di sini. Sedangkan di Syiria sana, orang-orang baik sudah banyak yang mati. Atas sebab itu saya ke sana.”

Awak tidak takut?” Syafiqa pula yang nampak terkejut.

Ajal itu di mana-mana.”

Ketika itu, anak bongsu saya mula menangis. Syafiqa cuba memujuk tetapi gagal dan dia berkata, “Abang, Fiqa pergi tukar lampin dahulu. Tengok-tengokkan Sara dan Fara.”

Kedua-dua anak saya yang banyak bermain straw itu sebenarnya mahu mengikut ibunya, tetapi segera saya tegah. Tidak selesa saya hanya berdua-duan dengan Mia.

Namun selepas Syafiqa beredar jauh, entah bagaimana hati saya kuat mahu bertanyakan soalan yang satu ini, “Mengapa tidak kahwin lagi?”

Mia terdiam. Namun tetap wajahnya tenang. Dia menarik nafas dalam-dalam, tetapi tidak ada jawapan daripada dia.

“Sekiranya awak mahu, saya ada beberapa orang kawan. Boleh kenalkan dengan awak.”

Seketika itu juga wajah Mia berubah, nampak tercabar.

Awak fikir, saya tidak bernikah sebab masih ingatkan awak? Jangan perasan. Malah jangan rasa bersalah sangat, sehingga awak mahu kenalkan rakan-rakan awak pula kepada saya. Anggaplah saya belum ada jodoh.”

Maaf,” kata saya rasa sedikit malu dan terkejut. Bagaimana dia boleh tahu apa yang saya fikirkan? Memang saya rasa bersalah kerana sehingga kini dia belum bernikah.

Tetapi umur kita terus berjalan. Berseorangan bukan cara yang tepat bagi menghadapi hari tua.”

Kita tidak perlu tua untuk mati!” tegas Syafiqa dan menyambung, “Malah saya sangat sarankan awak, apabila rasa terluka, rasa resah, selain daripada habiskan wang awak pergi bercuti, habiskan ia bagi memberi kepada orang yang memerlukan. Berikan cinta dan kasih awak kepada mereka semua. Itu yang saya lakukan., saya sibuk memberikan cinta saya kepada lebih ramai manusia, dan alhamdulillah Tuhan berikan ketenangan pada cara itu, dan lama-lama ia menjadi habit.”

Sampai bila? Hidup ini bukan sahaja tentang memberi, tetapi juga menerima. Menerima untuk memberi, dan memberi untuk menerima.”

Lama Mia terdiam, dan kemudian dia melihat anak-anak saya. Dia tersenyum-senyum dan anak-anak saya membalas senyumannya.

Sampai saya jumpa orang yang sesuai....”

Sesuai?”

Ketika itu, sebuah kereta berhenti di hadapan kami. Keluar seorang lelaki yang amat saya kenal, ayah Mia. Lalu Mia tidak menjawab persoalan saya sebaliknya berkata, “Ayah saya sudah sampai. Maaf saya perlu pergi sekarang.”

Ketika ayah Mia melihat saya, dia dengan wajah tersenyum lebar terus datang dan memeluk saya, dan berkata, “Menantu saya yang tak jadi.”

Saya terkedu. Saya tidak pasti sama ada dia serius ataupun bergurau. Namun tidak saya tahu, Syafiqa sudah ada di belakang dan melihat semuanya.

***
Malam itu Syafiqa seperti biasa. Melayan dengan baik segala keperluan keluarga sehingga ketika kami di bilik tidur. Syafiqa berkata dengan nada sebak, “Fiqa tahu, Mia masih cintakan abang. Fiqa juga tahu abang masih ada hati dengan dia.”

Saya terkejut. Segera saya raih tangan Syafiqa dan berkata, “Tidak. Mia sudah lupakan abang, dan abang pun sudah lupakan dia.”

Fiqa perempuan. Fiqa tahu. Cara dia melirik abang, cara dia memandang abang. Semuanya cara cinta. Dia memang kata sudah lupakan abang, tetapi dia bohong. Dia sebenar-benarnya masih cintakan abang.”

Tetapi itu tidak mengubah hakikat, abang dan dia sudah tidak ada apa-apa lagi. Sudah enam tahun. Enam tahun, sayang.” Waktu itu saya sangat tahu, yang Syafiqa sedang cemburu. Cemburu seorang isteri dan saya juga tahu dia sedang sesak dadanya.

Betul. Tetapi Fiqa mahu beritahu, perkara yang sama semasa kita mula-mula nikah. Sekiranya abang ada hati dengan dia, mahu menikahi dia, jangan tinggalkan Fiqa. Jangan abaikan Fiqa dan anak-anak. Fiqa perempuan, Fiqa pun sedar yang Mia itu sangat kasihan dan keseorangan. Mia juga berhak bahagia, tetapi jangan sampai abang abaikan saya dan anak-anak.”

Mendengarkan itu saya ketawa kecil lalu memeluk Syafiqa.

Fiqa, kamu memang perempuan luar biasa. Perempuan lain, akan melarang tetapi kamu pula menggalakkan abang. Mengapa tidak yakin dengan diri sendiri? Poligami memang sunnah, tetapi ia disusuli oleh perkara wajib selepasnya, dan wajib itu lebih berat daripada sunnah. tetapi abang tahu, abang bukan lelaki luar biasa, abang hanya lelaki yang sangat biasa dan abang tidak mampu memikul kewajiban itu. Cukuplah seorang sahaja isteri abang.”

Betul?” Syafiqa merenung.

“Aik, tadi beria-ia suruh abang nikah lagi.”

Syafiqa terus mencubit lengan saya. Perempuan tetaplah perempuan. Mulut kata itu, hati kata ini.

***
Sementara itu, di rumah Mia, lain pula yang terjadi. Ayah Mia duduk di sofa dengan isterinya. Wajah mereka berdua nampak suram. Mia pula tidak kelihatan di situ.

Abang, tak boleh pujuk Mia ke tak perlu ke Syiria? Saya takut,” kata perempuan yang sudah uban di kepalanya.

Ayah Mia hanya mendengus perlahan dan kemudiannya berkata, “Abang sudah pujuk berkali-kali, tetapi dia tetap degil. Dia tetap guna hujah, sekiranya kita tidak redha, nanti dia akan mendapat susah, lalu kita juga yang susah. Baik kita redha dan dia pun selamat.”

Mia itu memang bijak. Serba-salah dibuatnya,” balas ibu Mia pula.

Tetapi, abang fikir, tetap ada jalan untuk Mia tidak ke sana.”

Bagaimana, bang?”

Kahwin.”

Kahwin? Sudah berpuluh-puluh lelaki meminang dia tidak mahu, mengapa pula sekarang dia mahu?”

Ayah Mia tidak menjawab. Dalam fikiran, hanya ada wajah lelaki itu. Dia sebagai seorang ayah, yang mahu melihat anaknya bahagia, akan berbuat apa sahaja. Apa sahaja....

***
Mia pada waktu itu sedang duduk di atas tilam sambil memandang ke arah luar tingkap. Wajahnya kosong. Sepertinya perasaan sudah direntap daripada jiwanya. Pada ketika itulah pintu bilik terbuka, dan ayahnya masuk lalu terus duduk di sebelah.

Mia okey?”

Okey ayah.”

Tetapi mengapa ayah panggil, Mia tidak sahut tadi?”

Mia diam. Dia terus merenung ke luar tingkap yang hanya ada remang lampu jalan.

Ayah Mia mengeluh perlahan-lahan.

Ayah tahu, Mia masih ingat kepada dia.”

Sesaat itu juga air mata Mia tumpah. Sepertinya dari tadi lagi dia menahan semua rasa dalam dadanya. Rasanya yang mendesak-desak meminta untuk keluar. Ayah Mia terus memeluk bahu Mia dan Mia terus memeluk ayahnya erat.

“Mengapa Mia tidak boleh lupakan dia, ayah? Mengapa? Mengapa Mia terjumpa dia hari ini? Mengapa? Mia sangka Mia sudah lupakan dia, Mia sangka Mia kuat, tetapi hakikatnya Mia lemah.”

Mia menangis teresak-esak. Ayah Mia hanya mampu mengusap-usap kepala Mia dan kemudiannya berkata, “Sekiranya Mia mahukan dia, ayah akan usahakan apa sahaja untuk bawa dia ke sisi Mia. Apa sahaja Mia.”

Mia menegakkan tubuhnya. Dengan air mata yang masih mengalir dia berkata, “Ayah jangan ayah. Jangan hancurkan kebahagiaan orang lain. Syafiqa baik orangnya. Jangan ayah.”

Tetapi kamu anak ayah. Ayah siapa yang sanggup melihat anaknya berendam air mata? Ayah siapa? Setiap air mata kamu yang jatuh, seperti paku yang ditekan ke hati ayah. Ayah akan usahakan untuk membahagiakan kamu sehingga ayah mati.”

Ayah, tolong ayah. Jangan buat begitu. Ayah....” Mia terus memeluk ayahnya sambil terus menangis. Manakala ayah Mia pula mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mencari satu nama.

***
Hari itu saya seperti biasa bekerja dengan hati yang tenang. Syafiqa dan anak-anak memberi kucup selamat jalan di muka pintu, dan ia menjadi bekalan semangat sepanjang waktu. Sehinggalah tengah hari itu, saya menerima panggilan daripada ayah Mia, mengajak saya makan tengah hari di restoran tempat saya dan Mia mula-mula bekerja. Kenangan enam tahun lalu mula terbayang. Adakah saya perlu menghadapinya lagi? Tetapi Mia sendiri kata dia sudah lupakan saya. Mungkin itu tidak ada apa-apa kecuali hal bisnes. Saya sedapkan hati.

Sampai di restoran, ayah Mia menyambut ramah, dan kami berbual-bual seputar hal hidup. Sehinggalah, ayah Mia berkata. “Sama seperti enam tahun lepas. Saya datang ke sini kerana meminta awak satu perkara. Cintai Mia dengan cara yang sah. Saya tahu, awak masih cintakan dia.”

Pak Cik, saya sudah ada tiga orang anak,” pantas saya memotong.

Pak Cik pula hanya ada seorang anak perempuan... Mia. Anak perempuan yang saya jaga dan manjakan sejak dari kecil.”

Tetapi...” Belum sempat saya berkata, terus dia memotong, “Dia akan pergi ke Syiria. Akan ke sana untuk bertarung nyawa. Hanya awak sahaja harapan Pak Cik sekarang. Hanya awak seorang. Sekiranya awak tidak menikahi dia, Pak Cik akan kehilangan anak Pak Cik!”

Saya terdiam. Ayah Mia mula berkaca matanya. Saya tahu bagaimana perasaan seorang ayah, kerana saya juga sudah menjadi ayah. Saya sangat mengerti. Untuk seorang ayah, anak perempuannya, akan tetap dianggap anak kecilnya sampai bila-bila.

Pak Cik merayu. Awak tidak perlu tinggal dengan dia pun. Cukuplah awak akad nikah dengan dia, cukuplah dia berasa tetap mahu tinggal di Malaysia. Tolonglah, Nak. Sekali ini sahaja.”

Saya tetap diam membisu.

“Dia akan berangkat empat hari lagi. Fikirkanlah dalam empat hari ini. Awak akan ada masa sehingga dia di lapangan terbang. Pak Cik mohon, jangan hampakan Pak Cik.”

***

Akibat daripada pertemuan itu, saya kembali menemui ustaz rakan serumah saya dan menceritakan segalanya. Seperti biasa dia hanya ketawa dan berkata, “Apa susah kahwin sahajalah. Habis cerita!”

Awak senanglah cakap macam tu.”

Isteri awak dah beri izin, ayah perempuan itu pun sudah beri izin, apa yang susah sangat? Kalau saya, saya kahwin terus.”

Lama saya terdiam. Sekiranya mengikut logik, memang semuanya akan nampak mudah. Semuanya sudah memberi izin walaupun terpaksa, tetapi ini soal hati, dan ia tidak mengikut logik. Ia adalah perasaan yang logiknya sudah mati. Sekiranya cinta itu di dominasi oleh logik, pasti tidak ramai yang akan kecewa. Ini bukan soal senang ataupun tidak untuk bernikah, tetapi ia adalah soal terlalu banyak hati yang perlu dijaga.

Melihat saya diam, ustaz itu menyambung, “Kamu rasa, kamu sedang diuji oleh apa sekarang? Cinta? Ataupun nafsu syahwat? Sekiranya kamu rasa sedang diuji oleh nafsu syahwat, maka periksalah solatmu. Mungkin solatmu kurangkan khuysuknya ataupun mungkin kamu lewat-lewatkan waktu, atau kamu memang tidak solat langsung. Yang mana satu?”

Saya pandang ustaz itu, sebelum kembali tunduk mengenang-ngenang kualiti solat saya yang memangnya kurang berkualiti.

“Beginilah, kamu balik kampung dan tanya ibu kamu. Ingat, doa ibu itu makbul, dan dapat menyelesaikan banyak perkara.”

Sekali lagi, perkara enam tahun lepas berulang. Saya ke kampung bagi menceritakan hal ini kepada ibu, dan ibu terkejut.

Mia lagi?”

Ya. Apa pendapat ibu?”

Sebelum kamu membuat apa-apa keputusan, malam nanti kamu lihatlah wajah isterimu. Tataplah wajah anak-anakmu. Lihat mereka. Syafiqa itu walaupun mulut berkata rela, tetapi dia tetap perempuan. Jauh dalam hatinya akan terluka. Namun, ibu mengerti juga dengan nasib ayah Mia dan Mia. Ayah mana yang tidak sayangkan anaknya, dan perempuan mana yang tidak terkenang cinta pertama. Beginilah, kali ini ibu tidak menyokong, tidak pula melarang, kerana agama pun tidak melarang, Tetapi sekiranya kamu mampu, cubalah untuk memilih bahagiakan hanya seorang perempuan. Sekiranya kamu bernikah atas soal dakwah, mungkin situasinya berbeza. Tetapi ini soal, cinta lama. Ibu hanya mampu doakan kamu sahaja.”

Kali ini, ibu sangat berbeza. Dia tidak memberi kata putus tetapi dia hanya memberikan saya kuasa untuk membuat kata putus. Lalu malam itu, saya sampai lewat ke rumah kerana bertolak dari kampung. Masuk sahaja ke dalam rumah, pertama sekali yang saya lihat, adalah wajah anak-anak saya yang polos. Tidur sambil memeluk bantal busuk. Saya menatap lama dan mula membayangkan, mampukah saya nanti berbahagi kasih dengan mereka? Saya tarik nafas dalam-dalam, kemudian saya cium pipi mereka.

Selepas itu, saya melihat wajah Syafiqa. Wajahnya tetap cantik seperti mula-mula dahulu. Malah mungkin semakin cantik. Dia perempuan yang banyak berkorban, dan berjasa. Pada ketika duit saya hanya cukup-cukup untuk membeli mi, dia memberi wajah gembira, katanya dia suka makan mi. Itu membuat saya lega dan tidak terasa langsung tekanan.

Pada ketika saya tidak ada wang bagi membelikannya baju baru, dia tetap tersenyum dan berkata, kalau dia pakai baju apapun, sekiranya tetap berjalan di sebelah saya, dia tetap akan kelihatan cantik. Dia adalah perempuan yang melegakan hati suami. Suami ini sebenarnya lebih kepada mahu lega. Lega sekiranya isterinya menerima. Lelaki tahu, gembira dan suka itu bukan untuk dia, itu semua untuk anak dan isterinya. Untuk dia, cukuplah lega. Dan perempuan yang sedang tidur tenang di hadapan saya ini, adalah perempuan yang tahu memberikan saya rasa lega itu. Mata saya berkaca dan perlahan-lahan saya cium ubun-ubunnya.

***
Sudah beberapa kali ayah Mia menelefon, tetapi saya tidak mengangkatnya. Saya sudah nekad. Saya tidak mahu lagi berada dalam situasi ini. Situasi yang tersudut dalam keadaan tidak menentu. Saya tahu, saya bukannya orang yang kuat berhadapan dengan air mata seorang ayah yang sanggup berkorban apa sahaja untuk anaknya. Saya tidak kuat.

Sehinggalah datang SMS dari ayah Mia.

Tiga jam lagi Mia akan berangkat ke Syiria. Saya mohon, awak datanglah. Sekiranya terbuka hati awak, awak tahan dia daripada pergi. Sekiranya tidak, cukup awak ucapkan selamat tinggal. Saya sudah berjanji kepada dia yang awak akan datang. Tolonglah! Jangan sampai awak menyesal!'

Saya tersentak. Apakah saya perlu pergi untuk mengucapkan selamat tinggal? Saya mula berdiri dan menuju ke tingkap, memerhatikan jalan raya di bawah yang mula sesak, sesesak fikiran saya.

***

Mia duduk di kerusi di lapangan terbang dengan sopan. Dia melihat jamnya dan mula memandang ke kiri dan ke kanan. Ayah dan ibunya yang berada di sisi nampak keruh wajahnya dengan hiba. Anak perempuan seorang mereka akan pergi ke Syiria.

Ayah, emak, jangan risau. Saya pergi tidak lama,” pujuk Mia.

Kamu kata, dua tiga tahun tidak lama?” soal ibunya pula.

Ya. Mana ada lama.”

Kalau begitu, nanti bawa balik menantu Arab untuk ayah,” kata ayah Mia yang masih mahu bergurau dalam nada datar.

Ayah dan ibu doakanlah.”

Namun Mia tetap memandang ke kiri dan ke kanan, sepertinya sedang mencari seseorang. Ayah Mia tahu, siapa yang Mia cari, kerana dia sudah memberitahu Mia, lelaki yang dia cintai itu akan datang.

Ayah Mia, mendail lagi tetapi tetap tidak ada jawapan. Ayah Mia terus menulis SMS, 'Mohon datang segera. Saya sudah janjikan yang awak akan datang!' Itu SMS kelapan yang dia hantar.

Kemudian terdengar, 'Panggilan terakhir untuk Anna Damia binti Roslan.....”

Mia segera memandang ke arah ayah dan ibunya. Dia terus memeluk mereka berdua, dan dengan pantas dia menarik begnya menuju ke pintu masuk pemeriksaan.

Ketika itulah saya berlari sekuat hati. Mungkin ini cara terakhir yang saya boleh lakukan, demi kenangan masa lalu. Walau siapapun Mia sekarang, tetaplah dahulu dia ada memberikan bahagianya untuk saya. Jadi mungkin, bertemu dengannya di tempat perpisahan agung ini akan memadamkan segala kenangan yang terus menjadi bara dalam hati. Saya mendengar nama Mia dipanggil lagi dan ketika itu, Mia hanya satu langkah dari memasuki pintu pemeriksaan.

Mia....!” laung saya. Mia berhenti dan dia berpaling. Dia tersenyum manis. Dia berdiri dengan wajah yang memasang harapan. Mungkin dia mahu mendengar saya berkata, “Jangan pergi!”. Mungkin itu yang dia tunggu.

Saya pula hanya berdiri menatap. Mahu sahaja hati saya berkata, 'Saya masih cintakan awak, tetapi saya tidak kuat untuk dua cinta'. Namun itupun saya tidak kuat untuk mengatakannya.

Akhirnya, kami hanya bertatapan sebelum saya berkata dengan hati yang luruh, “Mia, selamat jalan!”

Terima kasih,” kata Mia tersenyum dan sebaik dia memalingkan wajah, ada air matanya yang tumpah. Saya pula terus berdiri memerhatikan Mia yang tidak lagi berpaling, hanya kerana tidak mahu sesiapa melihat air matanya yang mencurah-curah.

Kemudian saya terasa bahu saya dipegang. Saya berpaling dan ayah Mia berada di sisi saya dengan mata yang sudah berkolam.

Terima kasih, nak, kerana sudi datang,” katanya sangat lemah.

***
Sudah seminggu Mia ke Syiria. Hidup saya dan Syafiqa kembali seperti biasa. Tidak ada lagi persoalan tentang Mia. Saya kira, kami dan Mia mungkin sudah dapat meneruskan hidup masing-masing, Sekiranya ada jodoh, pasti tetap ada. Namun saya tetap sentiasa mendoakan Mia akan bertemu lelaki yang lebih baik, yang akan menyembuh lukanya dan terus bahagia.

Lalu hari itu, seperti biasa sebelum memulakan kerja, saya akan melayari internet, membaca berita-berita terkini. Semasa saya terus skroll ke bawah, saya terbaca,

'Sukarelawan Malaysia ke Syiria terbunuh terkena bom'.

Dada saya berdegup kencang. Saya teruskan membaca, dan terbaca, 'sukarelawan yang bernama Anna Damia....'

Saya terus menekup wajah. Dada saya berasa sangat sesak. Terlalu sesak dan tidak terasa tangan saya mula basah dengan air mata. Teringat kembali pada wajah Mia di lapangan terbang. Teringat kembali pada saat mula-mula berkenalan di restoran. Teringat kembali pada sisa senyumannya untuk saya. Semuanya terbayang jelas dalam kepala. Semuanya... Saya tidak tahu, apa yang perlu saya rasa sekarang. Yang pasti, Mia sudah pergi. Pergi menemui Penciptanya. Mia sudah tiada. Pada ketika dia kecewa dengan cinta makhluk, Tuhan panggil dia pulang untuk diberi cinta yang jauh lebih manis daripada apapun. Cinta yang lebih suci, cinta yang lebih abadi.

Saya pula tidak sedar, entah berapa lama menekup muka yang sudah basah.

Cinta itu memang begitu, apabila ia sudah tiada, tetap akan ada yang tersisa sebagai air mata.