Tuesday, July 14, 2009

Cinta orang miskin

Kisah dari masa silam.
Cinta yang mengharukan, adalah cinta yang sekadar menatap, di tepi-tepi. Namun cinta itu juga adalah cinta yang paling membesarkan harapan, sepertinya mampu menggenggam bintang. Cinta yang dapat membuat keindahan dunia ini tidak layak sebagaimana mestinya.

Itu yang saya baca daripada sub plot novel Andrea Hirata, 'Sang Pemimpi'*. Kisah cintanya Arai yang sepertinya dikendalikan oleh kekuatan lain. Kekuatan yang membuat hati manusia bocor dengan perlahan-lahan. Namun, bacaan novel itu hanya ulangan tentang kisah yang pernah saya tahu dahulu, jauh-jauh sebelum saya membaca novel itu, saya sudah menemukan kisah cinta yang serupa, dengan kata-kata yang sama ertinya, dan sebuah emosi manusia yang lebih menghambur. Kisah cinta yang membuat saya sekadar menatap, di tepi-tepi.

Kampung saya 23 tahun dahulu.
Kampung saya tidak sepertinya yang kamu lihat di televisyen. Tidak seperti yang kamu mampu siratkan dalam imaginasi. Rangkaian rumah penduduknya jauh-jauh kerana semangat autonomi mereka sangat menjunjung. Mereka hanya membina rumah di atas tanah, nama masing-masing. Lalu jiran terdekat, adalah sejauh dua padang bola.

Kampung saya, kampung yang kaya dengan kelapa. Lalu bangun pagi kamu, hanya akan menemui kelapa. Hijau, hening, sepi, dan langit biru. Itu sahaja yang kamu akan lihat dan terus lihat selama berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun. Sampai kamu mati.

Rezeki kelapa, tumpah ruah bagai kuah sapi kenduri yang melimpah dari belanga. Penduduk kampung saya kaya-kaya. Rumah mereka, walaupun kayu, tapi besar-besar. Makmurnya kami, sampaikan setiap rumah pasti ada yang memasang gigi emas. Bukan sebatang gigi, tapi sebaris gigi.

Susahnya kampung kami pula hanya ada empat. Susah yang mengikat peritnya sampai ke ubun-ubun. Kampung kami tiada tiang elektrik, hanya pelita, lampu gasolin, bateri, dan generator. Kampung kami tiada paip air, cuma tangki hujan dan telaga coklat. Kampung kami juga tiada tong gas, hanya ada dapur kayu yang asapnya mampu memedihkan mata dinosaur. Kampung kami tiada jalan raya, cuma denai becak, sungai sempit, dan terusan yang digali.

Lalu di bawah rumah setiap penduduk, berjajaran enjin bot, dari serendah 25 kuasa kuda hingga 200 kuasa kuda. Ibaratnya, 25 kuasa kuda itu adalah kereta Kancil. Lalu garaj penduduk kampung kami pula letaknya di tepi terusan ataupun tepi sungai yang becak. Di bawahnya, berbaring perahu pelbagai model. Daripada untuk mengangkut kelapa, hingga untuk membawa keluarga berbelanja ke kedai Cina.

Bandar terdekat pula, harus menyabung nyawa mengharung laut. Sekiranya kamu bernasib baik, setiap kali cuti sekolah yang panjang, setahun sekali kamu akan ke bandar membeli kasut baru, beg baru dan naik bas, sambil menggenggam erat-erat tiket bas, untuk ditunjuk kepada kawan-kawan apabila buka sekolah.

Suatu hal yang kami sangat bersyukur, namun dalam waktu yang sama menyesakkan dada, adalah adanya televisyen yang siangnya guna bateri basah, dan malamnya guna generator petrol. Senangnya kami kerana hiburan itu naluri manusia dan televisyen menyediakan semuanya. Walaupun waktu itu orientasi televisyen di kampung saya hanya pada RTM 1 dan RTM 2, kerana TV3 masih terhad di kota-kota, dan membuat saya sangat ketinggalan untuk mengenali sosok manusia yang bernama Zainal Abas*. Tetapi, itu lebih daripada cukup bagi bahagia itu bersemayam di sudut-sudut jiwa kami.

Sakitnya pula adalah, televisyen memberikan semua perkara yang ada di dunia. Makanan segera, mainan G.I Joe, drama Opah yang ada rumah batu, ketuhar, tong gas, kereta, pejabat pos, kedai buku, dan akhbar, sedangkan semua itu tidak akan kamu temui di kampung saya.

Tidak ada surat khabar, makanan segera jauh sekali, pejabat pos hanya mimpi, posmen pula sekadar dalam cita-cita, dan mainan G.I Joe hanya dongengan sedih. Kesannya kalut, membuat penduduk kampung saya merasa tidak makmur, ulu, miskin, terbuang, dan buruk. Ya, mereka hanya ada kelapa, perahu, pelita, televisyen, dan paling moden, pemain video dan pita video Sanggam, Ratapan Si Anak Tiri dan koleksi Jaka Sembong.

Walau kampung saya makmur, namun dalam setandan pisang, pasti ada juga yang dipatuk burung. Begitu juga halnya kampung saya, di suatu sudut kampung yang jauh, di kelilingi pohon-pohon kelapa yang megah, ada seorang pemuda, yang mengabdi diri menjadi pekebun kelapa, dari dahulu, hingga sekarang, dan mungkin hingga matinya begitu. Namun daripada dia saya menemui kisah ini.

Pisang yang dipatuk burung.
Dia, bukanlah lelaki paling gelap yang pernah saya temui, namun bagi kampung kami, dialah lelaki tergelap yang kampung kami pernah ada. Tubuhnya tegap, dadanya bidang dengan bahunya menjulang. Semuanya berkat hari-hari memanjat kelapa, mengopek kelapa, mengangkut kelapa, dan semuanya yang berkenaan kelapa.

Dia lelaki yang diberi asuhan yang terbaik, mudah tersenyum, sepertinya senyuman itu adalah bahasa. Sampaikan mengangkat jenazah ke kubur pun dia boleh terlepas senyum. Ajaib. Dia juga sangat lurus, seperti bayi. Apa yang kamu tanya, dia tidak pernah keras untuk menjawab, walau sekadar bertanya tentang ayam-ayam di bawah rumahnya, ataupun yang bertanya itu hanya anak-anak yang baru boleh bicara. Tidak ada sebibit pun rasa mahu bermegah dalam hatinya.

Di sisi lainnya, hidupnya tidak hanya sebibit kisah duka. Kesenangan seperti terenggut daripada hidupnya. Kebun kelapa ayahnya tidak luas, lalu keluarganya hanya mampu memiliki perahu dan dayung, bukan bot dan enjin bot. Rumah mereka pula beratap nipah dan sudah renta, dengan ayah ibu yang masih hidup, tetapi hanya sekadar mampu memberi nasihat.

Dikhabarkan kepada saya, kononnya dahulu dia lelaki yang sederhana dalam pelajaran, tetapi masih mampu menyambung ke sekolah menengah. Namun jauhnya sekolah menengah yang berasrama itu, sampai harus meninggalkan keluarga selama setengah tahun.

Atas kerana itu, lelaki yang saya mahu ceritakan ini pelajarannya hanya setakat darjah enam. Dia tonggak keluarga, dan sebagai tonggak keluarga, dia tidak mungkin meninggalkan keluarga sampai setengah tahun, sepertinya larangan memakan buah khuldi, boleh sahaja jatuh derhaka. Syukurnya, boleh juga dia membaca, mengira dan tidak perlu masuk kelas dewasa.

Waktu itu, saya masih kecil, darjah satu, dan selepas sekolah, saya suka bertemu lelaki itu yang menjadi kawan saya, walau dia, usianya 15 tahun lebih tua daripada saya. Bukan kerana kampung saya tidak ada rakan sebaya, namun kerana enjin bot ayah saya di bawah 100 kuasa kuda, dan enjin bot ayah semua rakan sebaya saya, semuanya di atas 100 kuasa kuda, saya menjadi orang terbaik untuk diberitahu, “Bot ayah saya lagi laju daripada bot ayah kamu.”

Saya masih kecil, namun untuk dimaklumkan begitu, saya tidak sudi. Penyelesaiannya, saya berkawan sahaja dengan lelaki itu. Setidak-tidaknya dia hanya ada dayung di bawah rumah.

Sekadar menatap.
Seperti hari-hari biasa, datangnya saya ke rumah lelaki itu dengan pedang kayu yang saya paksa ayah saya buat. Semuanya gara-gara drama Ninja. Pedang kayu itu, harta yang saya sangat sayang dan tidak ragu-ragu dibawa tidur. Bersama pedang kayu, saya akhir sampai ke rumah lelaki itu yang sedang berehat-rehat di atas tangga, dan berbahasa senyum dengan saya. Di tangannya ada sebatang pen dan sekeping kertas putih yang mungkin dia ambil dari buku adiknya yang darjah tiga.

“Tulis apa?” soal saya, sambil terus menghayun-hayun pedang.

Dia tersenyum, menampakkan gigi. Namun, tiba-tiba malu-malu dan ragu-ragu terpasang teguh di balik senyumannya itu. Aneh, tidak seperti biasanya, dia tidak pernah ragu-ragu hendak menjawab.

“Kamu kecil lagi, nanti kamu sudah besar, kamu akan tahu,” katanya tersenyum.

“Dia tulis surat cinta untuk anak ketua kampung,” jerit satu suara dari atas rumah yang renta itu. Pasti suara adiknya yang darjah tiga. Cinta? Saya yang waktu itu hanya tahu HMI, drama Opah dan Ninja mengaru-garu kepala, sebelum tersenyum-senyum malu sendiri. Ternyata di hadapan saya itu, ada hal yang mengejutkan hati saya, hal orang dewasa. Namun, seketika saya mengerut dahi dan memandang lelaki di hadapan saya yang masih tersenyum malu sendiri.

“Tetapi diakan sudah belajar tinggi di kota. Kamu pula di sini memanjat kelapa. Dia suka kamu?” soal saya dengan wajah murni, dengan hati yang betul-betul niat sekadar mahu bertanya.

“Apabila kamu sudah sampai waktunya, kamu akan faham sendiri kata saya ini,” katanya dengan masih tersenyum. Diakan suka tersenyum.

“Apa?” soal saya, pantas.

“Cinta itu halus, bila-bila sahaja akan terluka dan pasti akan terluka, derita. Namun cinta itu, akan lebih berharga dalam derita,” katanya tersenyum.

“Kalau tahu akan derita, buat apa bercinta?” soal saya lagi, dan pada waktu itulah, kisah yang saya temukan di dalam Sang Pemimpi, saya jumpa pada untaian kata-katanya, yang lambat-lambat, halus, pasti, dan saya ingat sampai sekarang.

“Cinta itu derita, apabila hati yang kamu mahu takluki, hati yang kamu puja itu adalah tembok kukuh yang tingginya mencuar, dan kerasnya ibarat besi. Untuk meruntuh dan seterunya menakluki tembok itu, kamu hanya ada lumpur di tangan, untuk kamu lempar. Lumpur yang kamu boleh ibaratkan cinta dan rindu. Adakah tembok itu akan runtuh? Tidak, tidak akan runtuh sampai kamu mati. Tetapi lumpur yang kamu lempar itu akan tertinggal di tembok itu, tinggal kesannya, kelabu. Cukuplah itu bagi saya, cukuplah. Walau ia tidak akan runtuh, setidak-tidaknya masih ada harapan, tembok itu akan terbuka pintunya, hanya untuk sekadar melihat lumpur-lumpur kelabu itu, ataupun terus mengikisnya dan membuangnya jauh-jauh. Cukuplah...,” katanya panjang diakhiri keluhan yang cukup pahit, dan saya mengerut dahi dengan pedang ninja bersandar kemas di bahu, tidak tersenyum, tidak menyambung, hanya, sekadar menatap, di tepi-tepi.

*Zainal Abas. Tonton Youtube berikut.

http://www.youtube.com/watch?v=ODbj1Y20CTk



*Sang Pemimpi, boleh dibeli di sini.

http://www.bookcafe.com.my/index.php?target=products&product_id=896

Shooting filem 'Sang Pemimpi' akan dimulakan 20 Julai 2009.

Tuesday, July 07, 2009

Ekonomi Malaysia yang kita sayang

Ijazah untuk orang kampung.
Telah bersandar rasa mahu memarahi diri sendiri, sejak ayah saya mentasbihkan kepada saudara handai taulan, saya sudah punyai kertas mulia bernama ijazah ekonomi. Semuanya kerana angka-angka yang tertulis rapi pada ijazah ekonomi itu, angka yang tidak diketahui maksudnya oleh ayah saya, adalah angka yang memberitahu, betapa mengharukannya pengetahuan saya berkenaan ekonomi, namun ayah saya pula betul-betul berbangga. Betul-betul membuat hati saya menjerit sesal.

Kalau kamu rasa, rasa itu sudah hilang selepas bertahun sudah, itu rasa yang tidak pernah akan betul. Rasa sesal saya sentiasa menunggu dalam kata-kata teman saya, “Kamu fikir, apa pengikut mazhab monetary dan mazhab Keynesian rasa apabila melihat keruntuhan ekonomi deravatif Amerika? Kalau kamu menambah tentang mazhab Friedman pun, boleh.”

Gugupnya saya, seperti Ketua JKKK yang ketahuan memakan duit membina masjid. Pasti, saya tidak mampu menjawab, kerana ijazah saya itu tujuan utamanya, adalah untuk menjadi manusia berijazah di kampung. Biar orang kampung mengatakan, “Dia adalah orang terpandai yang pernah kampung kita miliki.”

Niat yang terang-terang bengkok dan salahnya itu, mencetus kesusahan tanpa tabir, yang memperosokkan saya di tepi jalan menjadi penjaja air kelapa. Ya, sekadar itu sahajalah nilai ijazah ekonomi saya, selain menjadi orang terpandai yang pernah kampung saya miliki, pada zamannya.

Namun tetap juga saya mahu meningkatkan ekonomi, mahu menjadi kaya, dan cuba-cuba membuat orang kampung saya berkata, “Dialah orang yang paling kaya yang pernah kampung kita miliki.”

Teman sekuliah yang baik.
Saya sebagai manusia berijazah ekonomi, yang mengharukan pengetahuannya berkenaan ekonomi, tetap punyai akal dalam sesetengah perkara. Untuk menjadi kaya, perlu berguru, dan manusia yang paling bertuah untuk saya nobatkan sebagai guru adalah bekas teman kuliah saya sendiri.

Ilmunya saya tidak tahu bagaimana hendak mengukurnya, sama ada sehujung kuku ataupun sehujung dunia. Namun daripada lirik matanya kepada saya, setiap kali melihat markah peperiksaan saya, membuat saya geram. Apatah lagi dengan sungging senyumnya, membuat saya menyumpah-nyumpah namanya.

Saya juga tidak pasti, sama ada dia layak melirik saya sebegitu, juga sama ada dia sudah sampai tingkat untuk senyum seperti itu, yang apabila digabungkan seolahnya mengaduk kata, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Apapun saya pasti, saya layak menerima lirik dan senyum yang dijejali hasrat mengecilkan hati itu. Semuanya kerana, pada saat teman saya itu di perpustakaan, saya masih di panggung wayang. Pada saat dia terus di perpustakaan, saya masih di hadapan komputer bermain Diablo 2. Pada saat dia tetap juga di perpustakaan, saya di KLCC, berjalan-jalan.

Namun, atas itu jugalah, saya berlari-lari pada suatu hari hendak berjumpa dengannya, yang saya mafhum dia sudah menjadi pensyarah ekonomi di suatu tempat yang tingkat keilmuwannya tinggi. Untuk menjadi kaya, saya sudah berikrar berlebih-lebihan, untuk tidak akan jera melihat lirik matanya dan menatap sungging senyumnya. Saya cuba.

Ekonomi Malaysia.
Teman saya yang cemerlang otaknya itu, seperti yang sudah serpih-serpih hati saya jangka, tetap akan melirik dan tersenyum yang sepertinya berkata, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Seperti yang saya ikrarkan, saya tidak akan jera dan akhirnya kami berlabuh di sebuah restoran yang tiga tahun sekali pun belum tentu saya mahu masuk dengan hati yang tersenyum.

Dia, teman saya itu sepertinya sudah terlatih berada di situ. Terus sahaja tanpa tangguh, memacu pesanan makanan yang harganya, menyamai harga kasut kulit lembu terbaik. milik ketua kampung saya, yang kononnya dibeli di Madinah al Munawwarah. Lalu sekejap sahaja, bertapuk-tapuk makanan di atas meja, hanya untuk kami berdua.

“Di Malaysia, kalau kamu mahu kaya dengan cepat. Kamu hanya perlu masuk MLM ataupun menjadi orang politik, tetapi memandangkan saya kenal kamu, yang yakin, penjual daging babi salai itu lebih baik daripada penjual MLM, saya cadangkan kamu menjadi sahaja orang politik, dan untuk pelajaran ini, bayangkan sahaja saya orang politik, dan kamu sebagai rakyat,” ujar teman saya itu dengan sorot mata seorang guru disiplin. Saya menarik nafas perlahan, mengangguk perlahan.

“Pelajaran pertama, kalau kamu mahu kaya, yang paling penting adalah, kamu jangan takut berbelanja kepada rakyat. Inilah yang saya lakukan sekarang, tidak takut berbelanja kepada kamu,” kata teman saya tersenyum, entah tersenyum pada udang galah yang menyeruak isinya ataupun pada wajah saya jelas mengkhabarkan erti, “Oh ada udang, ada ketam, oh... ada kambing panggang! Eh yang hitam-hitam itu apa?”

Lalu saya mengangguk takzim. Seperti adab sepatutnya seorang murid kepada gurunya yang bijaksana. Kata-katanya itu, menyenangkan hati. Membuat saya tersenyum-senyum dengan bibir yang sudah berminyak, dengan sedikit biji cili.

“Seterusnya, kamu perlu bersama-sama dengan rakyat dalam menggunakan perbelanjaan itu. Jadi dalam contoh ini, kita sama-sama makan sahaja dulu,” kata teman saya lalu rakusnya dia, seperti orang Habsyah yang berada di dapur restoran orang Kelantan. Hinggakan saya, sudah hilang malunya untuk cepat-cepat merebut udang, ketam, sotong, dan apa-apa sahaja yang tertinggal.

Usai upacara makan yang luar biasa itu, teman saya tersenyum dan melirik saya, dengan senyuman dan lirikan yang bererti, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Tetapi mengapa selepas makan? Apakah maksudnya dia yang makan paling banyak? Saya mengaru lengan.

“Yang paling utama adalah, selepas kamu berbelanja banyak dan sudah makan bersama bersama rakyat, pastikan kamu berbelanja dengan tidak menggunakan duit kamu. Dalam kes ini, saya sebagai orang politik harus pergi dulu, ada kuliah 10 minit lagi. Terima kasih atas makanan tengah hari yang bahagia ini,” kata teman saya dan terus bangun berjabat tangan. Mimik wajahnya cukup tenteram dan girang.

Pipi saya yang baru sihat berona pula, mulai panas. Bayangan kasut kulit lembu terbaik, milik ketua kampung saya sudah menari-nari dalam kepala. Saya terus menyumpah perih. Bertambah galak sumpahan saya, saat teman saya itu, berhenti di pintu restoran dan memberikan lirikan dan senyuman yang semua sudah mafhum maknanya, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”

Usai kata itu berkicau dalam kepala, sayup-sayup pula saya mendengarkan kicauan keramat orang kampung saya, “Dia adalah orang terpandai yang pernah kampung kita miliki.”

Thursday, July 02, 2009

Jakarta, tidak mampu menanggung cinta

Sekarang.
Saya sering mendengarkan kicauan kata-kata teman saya ini, “Kamu tidak akan punya kehidupan dalam cinta, sekiranya kamu tidak punya cinta dalam kehidupan.”

Kata-kata yang sayang untuk saya lepaskan, namun apabila ditahan-tahan dalam hati, ia menjadi bahagia yang perih. Kerana kata itu, nafas saya sesak, kerana saya mahu mengkhabarkan sesuatu kepada pemandu teksi itu sesuatu yang saya junjung, namun sikap tidak rasional saya, melilit-lilit hati saya pada waktu itu. Kesalnya saya, tidak kepalang, hingga sekarang.

Setahun sebelum.
Meletakkan dengan cermat segala keputusan rasional yang meretak dalam kepala adalah perkara yang sering saya lakukan dengan cemerkap. Umpamanya pelayan restoran yang sakit perut, namun pada masa yang sama perlu menghidang air pada pelanggan dengan wajah yang tersenyum.

Saya sering mengumam bahawa saya ini seorang yang rasional. Namun tetap sahaja saya seorang manusia yang kurang serba-serbi, ada juga waktunya saya tidak rasional, namun saya perlahan-lahan akan memujuk hati supaya menjadi lebih rasional. Yang utama berkenaan rasional adalah, saya faham dan mafhum bahawa apakah waktu itu saya sedang rasional ataupun tidak. Itulah rasional yang saya junjung.

Tetapi, ada waktunya matahari itu gerhana, begitu juga saya. Sehinggakan rasional ataupun tidak itu sepertinya air sungai coklat dan air laut yang juga coklat, yang bertemu di muara. Tidak ada garis jelas antaranya, lalu semuanya serupa, sepertinya orang asli di Cameron Highland yang melihat orang Cina di Bukit Cina, Serdang, semuanya sama.

Sehari sebelum.
Hari di Jakarta membuat badan saya panas dingin. Walau semangat saya menggelora di kota yang trafiknya hanya selaju 20 kilometer sejam, saya merasakan saya belum bersedia menyuapi diri saya sendiri, apatah lagi menyuapi warganya yang hidupnya seperti dipegang sengsara.

Di mana-mana, pasti ada tangan halus yang terjulur meminta rupiah. Di mana-mana pasti ada tangan kasar yang akan tahan terawang-awang selama belasan minit sehingga ia digeseri rupiah. Di mana-mana pasti ada sorot mata yang sedang memasang perangkap simpati. Di mana-mana.

Lalu pesan terbaik yang pernah saya terima di Kota Jakarta itu, “Simpan Rupiah mu untuk dirimu sendiri ataupun untuk perutmu. Bukan untuk mereka yang tiba-tiba datang menghulur tangan, kerana sekali Rupiah mu jatuh ke tangan itu, pasti ribuan lagi akan datang kepadamu dan pada saat itu, sudah terlewat untuk kamu menyimpan buat dirimu sendiri.”

Saya menarik nafas panjang. Bukannya hati saya diniati dengan hasrat tidak peduli, jauh sekali dijejali hasrat mahu menghina. Namun seperti yang saya khabarkan tadi, Rupiah saya belum cukup bagi menyuapi diri saya sendiri, apatah lagi hendak membiar diri saya dirubung tangan-tangan yang meminta Rupiah.

Boleh sahaja saya mengaup seribu alasan, namun jujurnya atau lebih tepat, manisnya iman saya itu belum bertaraf madu. Iman saya masih tawar, kalau tidak pun masin, dan terkadang pahitnya, aduhai, hanya rasa hempedu yang boleh membandingnya.

Akhirnya, itulah rasional yang saya rengkuh dalam hati. Rasional yang saya ikrarkan untuk Kota Jakarta.

Sejam sebelum.
Waktu-waktu bahagia saya di Kota Jakarta sudah lungsur perlahan-lahan, seiring dengan lajunya teksi ke lapangan terbang Soekarno Hatta. Oleh kerana saya yang duduk di belakang dan bos saya di sebelah pemandu teksi yang wajahnya keras, namun meneduhkan hati, wajah yang kalau dia mengaku imam besar pun kamu akan percaya. Saya pula, dengan posisi saya itu, saya bebas memicing mata, lalu lelap tidak bertangguh walau bunyi hon teksi itu berhamburan ke serata jalan.

Sehinggalah beberapa ketika, lelah saya surut dan saya membuka mata memerhati Kota Jakarta yang semakin ke pinggir, meninggalkan trafiknya yang ibarat berjalan di lumpur pantai. Saya tersenyum, dengan wajah yang bersedia menatap Malaysia. Saya memandang ke depan, ada alunan muzik kumpulan Scorpian yang berkidung dalam teksi itu. Jantung saya terpacu dan akhirnya tidak ada hal lain selain ia muzik daripada telefon bimbit pemandu teksi.

“Ya, sayang. Sayang sekarang di mana?” Pemandu teksi itu memulakan perbualannya.

“....”
“Kamu dapat ranking kelima? Kalau sayang dapat rangking ketiga kan dapat hadiah,” ucap pemandu teksi itu lembut.

Lalu perbualan itu berlarutan dan saya hanya sempat menyimpan kata-kata, “Jangan naik motor sayang. Nanti ayah marah. Jangan buat ayah marah, ya. Belajar lagi rajin-rajin.”

Saya berusaha melonggarkan kepala, bagi meneka-neka dengan siapa pemandu teksi itu berbicara, dan ternyata itu tidak perlu apabila pemandu teksi itu berpaling ke arah bos saya dan berkata, “Itu anak saya. Dia dapat rangking kelima di dalam kelasnya. Kalau dia dapat rangking satu hingga ketiga, saya berjanji berikan dia hadiah.”

Saya diam. Kata-kata pemandu teksi itu menggaris suatu rasa yang pedih dalam hati tetapi ia belum dalam sehinggalah dia menyambung lagi, “Saya ini hanyalah supir teksi. Makannya sendiri tidak tentu, apatah lagi mahu berlebih-lebih. Saya tidak mampu memberikan anak saya itu apa-apa, saya hanya mampu memberikannya pelajaran. Itu sahaja yang saya mampu.”

Kata-kata itu menggaris semakin dalam, dalam hati saya. Perih dan pedih, melahap-lahap tengah hari bahagia saya. Saya diam dan ketika itu juga saya sudah sampai pada titik akhir perjalanan.

Bos saya yang di samping pemandu teksi itu mula menggelepar tangannya menyeluk poket dan berkata, “Pak, berikan RM10 ini untuk anak bapak. Katakan kepadanya, Bapak dari Malaysia hadiahkan kerana berjaya dapat rangking kelima. Katakan, belajar rajin-rajin.”

Saya kaku, kata-kata itu membesarkan hati saya, tetapi saya hanya kaku di situ melihat pemandu teksi itu mengangkat kedua-dua tangannya melepasi kepala dan berkata, “Alhamdulillah. Semoga berkat kehidupan bapak. Alhamdulillah!”

Saya terus diam. Diam dan diam. Kaku dan kaku. Sehinggalah teksi itu berlalu dan saya sudah berada di hadapan kaunter, berhadapan perempuan cantik Indonesia, kata-kata teman saya pula mula berkicau dalam hati, “Kamu tidak akan punya kehidupan dalam cinta, sekiranya kamu tidak punya cinta dalam kehidupan.”

Saya menahan nafas. Mahu sahaja saya menghempaskan beg berat saya dan mengejar pemandu teksi itu dan berkata, “Bapak tahniah kerana punyai anak yang pintar dan ini hadiah saya untuk bapak dan anak bapak. Semoga dia jadi manusia yang baik masa depannya.” Semuanya untuk menunjukkan cinta, untuk menunjukkan kasih, kerana apalah maknanya kasih kepada manusia sekiranya ditahan-tahan.

Namun, semuanya sudah terlewat. Saya menyumpahi rasional saya pada waktu itu. Entah daripada mana, rasional yang saya ikrarkan untuk Kota Jakarta mengelinjang baik dalam kepala, rasional untuk tidak memberi Rupiah kepada sesiapa. Rasional yang saya sesalkan sehingga sekarang. Saya membiarkan sahaja bos saya yang membuat semua kebaikan lalu menyatakan kasih dan cinta, padahal waktu itu saya juga mampu membuatnya. Lantas, saya membenarkan diri saya tidak punya cinta dalam kehidupan, hanya kerana pesan terbaik yang pernah saya terima di Kota Jakarta.

Tuhan ampunkan hambaMu ini Ampunkan.

Thursday, June 25, 2009

Lelaki jahat ini yang kau sayang

Pasti kita pernah menanggung rasa ini, menanggung perasaan tidak sampai hati. Sampaikan kita terperangkap dalam undangan paksa dari suatu sorot mata.

Hal itu yang sering saya rasa apabila seseorang datang kepada saya, menjual apa sahaja berkenaan sesuatu yang tidak saya perlu. Akhirnya, saya sendiri yang malu-malu mengatakan tidak.

Berbeza pula dengan teman saya, dia sering tidak mendapatkan rasa ini pada cara yang sama saya mendapatkannya. Dia sebagai lelaki yang kacak, mendapatkannya daripada para perempuan yang merayunya.

Dia juga malu-malu memberi kata tepisan, namun akhirnya untuk seorang perempuan, dia berjaya juga melepaskan tanggungan perasaan itu. Dia bahagia.

Cuma akhir-akhir ini dia bercerita berkenaan sesuatu. Suatu cerita yang membuat saya menahan nafas dan menahan pelupuk mata daripada berkedip selalu.

Katanya, “Perempuan itu sudah menjadi isteri saya, namun entah mana silapnya, dia menjadi cemburu yang tidak tahu hujung pangkalnya. Dia cemburu kerana ramainya perempuan yang melirik saya. Juga mula melemparkan kata-kata tidak puas hati kerana, saya ini lelaki yang bergaji rendah, tidak berpelajaran tinggi. Serba-serbi berkenaan dunia yang tidak manis.”

Saya mengangguk dan bertanya, lalu apa tindakannya?

Katanya, “Saya katakan kepadanya, walau saya ini suami yang serba kurang. Walau perempuan sering melirik saya. Tetapi saya ini suami yang tahu diri. Saya ini suami yang tahu maknanya setia, tahu maknanya tanggungjawab. Jika pun kamu mahu mengatakan saya jahat, ingat hal ini, lelaki jahat inilah yang kamu sayang dahulu.”

Saya tidak bertanya lagi. Tidak tahu hendak berkata apa, walau saya ini juga suami. Saya berdoa baik-baik, semoga saya tidak perlu berkata begitu, berkata, “lelaki jahat inilah yang kau sayang.”

Tuesday, June 23, 2009

kita akan berlalu

Saya dimaklumkan oleh teman saya yang baik hati, fikiran dua manusia yang sedang berbicara itu boleh terbahagi kepada empat. Sama ada ia ada dua titik fikir yang akan bertemu ataupun dua titik fikir yang hanya berselisih dan tidak bertemu. Yang ketiga pula, ialah dua titik fikir yang akan bertemu namun salah satu titik itu menyingkir dan hanya mahu berselisih dan keempat, titik fikir yang hanya berselisih, tidak akan bertemu namun, dibengkokkan garisnya dan akhirnya titik-titik fikir itu bertemu.

Saya dinasihatkan, jangan berbicara sekiranya sedar titik fikir kami hanya akan berselisih kerana pasti tidak menemui titik persamaannya, dan ingatan yang paling keras, jangan berbicara dengan manusia yang walau titik fikirnya akan bertemu dengan titik fikir kita, namun manusia itu memilih berbengkok, berselisih dan tidak mahu bertemu. Itu hanya akan menyakitkan hati saya.

Puncanya, menurut teman yang memaklumkan kepada saya,

“Mereka sudah menghakimi fikir mu, sebelum kamu membuka mulut, menerangkan apa fikir mu.”

Saya diam.

Wednesday, June 17, 2009

Lelaki yang menemui cinta selepas tengah malam

Semalam, saat malam sudah berayun-ayun senang, saya pula sedang mengerut dahi, sepertinya mahu menemukan kedua-dua hujung alis mata. Saya sedang berusaha mencetak prestasi yang cemerlang dalam bidang freelance. Mencari rezeki untuk keluarga.

Waktu itu, rasa kosong tertegun di balik hati, kerana saya ditemani dengan merdu suara radio yang bergemeretak. Saya senang, seperti senangnya malam, dibilas-bilas dengan irama lagu daripada radio. Sesekali antara jeda irama itu, diselangi dengan panggilan telefon daripada pendengar dan celoteh DJ.

Dalam jeda itu jugalah, ada sesuatu yang mematut-matut hati saya. Saya mendengarkan satu suara dan saya cukup senang dengan suara itu. Nadanya, tenang, jelas, kukuh, tidak melengking tetapi endah dan jujur. Suara yang menjemput saya pada erti keikhlasan, pada erti perjuangan dan pada ertinya cinta. Ia menjunjung tinggi apa yang dituturkan dan hasilnya, ia mengandungi kesan yang jauh lagi mampu saya gapai.

Itu suara seorang pemandu bas di Putrajaya. Katanya, dia menujukan lagu yang akan diputar kepada isterinya dan anak-anak kesayangannya. Mungkin sahaja waktu itu isterinya sedang mengajari anak-anaknya mengaji, dan dia berpesan yang dia menyayangi mereka sepenuh hatinya, dan meminta maaf yang dia hanya boleh balik selepas detik 12 tengah malam, kerana waktu itu barulah rangkaian kerjanya menemui noktahnya. Sungguh, dia adalah antara sosok lelaki yang membuat hati saya berdecap-decap kagum, namun rasa yang paling terurai-urai dalam hati adalah jutaan simpati. Entah mengapa hati saya merasa begitu.

Itulah suara yang berkicau-kicau dalam hati saya. Rangkaian katanya seolah-olah salji dalam hati, terus saya menarik nafas panjang, dan segera mentasbihkan rasa bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang.

Namun seketika, hati saya terjerembap, terbata-bata. Saya membenamkan fikiran saya pada persoalan, bagaimana sepatutnya saya mengembangkan sikap kepada lelaki itu? Kerana, setidak-tidaknya lelaki itu akan menemui cinta selepas tengah malam. Sedangkan ramai manusia lainnya, apabila digagahi persoalan cinta, hanya mampu menuturkan, hanya Tuhan yang tahu.

Mungkin, itulah peri kehidupan. Terima dan tersenyum, ataupun, terima dan diam.

Thursday, June 11, 2009

tidak disenandung

Kisah anak-anak 1
Kisah anak-anak 2
Kisah anak-anak 3
Kisah anak-anak 4
Kisah anak-anak 5
Kisah anak-anak 6

Saya hari itu, membuang pandang ke tepi pintu, lalu melempar senyum ke wajah bak rembulan yang mengintip di situ, dan daripada wajah itu, saya membaca sesuatu.

Itu wajah anak sepupu saya. Tubuhnya sudah menokok beberapa inci. Namun wajahnya tetap seperti dahulu. Wajah yang menciptakan rangkaian cerita bahagia. Rambutnya dahulu yang sering saja lungsur ke dahi dan melitupi mata, sudah elok ditata. Mungkin ditata oleh ibunya, namun saya berdoa jangan ditata oleh kakak-kakaknya, kerana kakak-kakaknya sering saja bermuka merah dengannya.

Walau begitu, tetap juga tangan halusnya, dia menyibak rambutnya ke belakang, jelas sudah menjadi kebiasaan. Dia ikut mengembangkan senyumnya, lalu meninggalkan lekuk pada kedua-dua belah pipinya.

Dia menggerakkan kakinya, laju ke arah saya dengan wajah yang tetap memantulkan apa dalam hatinya. Tanpa gelembung-gelembung pertanyaan, dia terus sahaja membenam tubuh di sofa, merapat ke arah saya. Dia masih tersenyum. Luar biasa.

Dia menggerak-gerak perlahan kepalanya, ke kiri, ke kanan, dan di situ dapat saya baca, ramahnya tak luntur, tak lenyap walau jeda waktu kami tidak bersua suara, sudah bermuara.

“Bonda memberitahu, saya perlu jadi seperti jarum jam yang menunjukkan jam, bukan jarum minit dan bukan juga jarum saat. Tetapi bonda tidak menerangkan mengapa. Abang tahu?” soalnya, selepas beberapa waktu berbasa-basi berkenaan masa yang ditinggalkan.

Saya menarik nafas panjang. Soalannya itu berorama pekat, lalu menakar rasa yang dalam ke dalam hati.

“Mungkin bonda kamu mahukan kamu diam seperti jarum jam itu. Tidak seperti jarum saat yang sentiasa bergerak, lalu membuat dia hilang tenang kerana asyik memerhati kamu,” jawab saya tersenyum.

Anak sepupu saya itu, menutup mulutnya, ada sesuatu yang ditahan-tahan, namun dapat saya baca, dia sedang girang tak kepalang. Saya mengerut dahi lalu bertanya mengapa.. Apa yang ada pada jawapan saya itu hingga menobatkan rasa lucu dalam hatinya?

“Maaf,” tutur anak sepupu saya tu sebelum menyambung, “Sebenarnya bonda sudah memberitahu jawapannya, dan tadi saya hanya mahu menguji abang, dan jawapan abang itu menggeser jauh daripada jawapan bonda.”

Anak sepupu saya masih menyisakan wajah yang berona lucu pada wajahnya walau sudah diam dan sigap merenung saya. Saya mengerut dahi dan hati saya rasa terhempas. Terus saya bertanya apa yang bondanya kisahkan.

“Kata bonda, saya perlu seperti jarum jam yang menunjukkan waktu jam kerana, ia perlambangan manusia hebat yang merendah diri. Ia pendek, tidak mengundang perhatian, tidak ketara, namun ia cukup penting. Malah pada detik ia bergerak, ia membawa makna yang cukup besar pada manusia. Juga, detik jam dahulu yang akan disebut sebelum minit dan saat. Menurut bonda ia boleh dibuktikan. Cuba sahaja abang memandang jarum jam pada dinding. Apa yang abang rasa sekiranya berpeluang melihat jarum yang menunjukkan waktu jam itu bergerak? Pasti abang berasa bertuah, berasa dihargai nasib, kerana biasanya jarum jam itu tidak kita pedulikan dan jarang kita berpeluang melihat detik ia bergerak. Namun tetap sahaja ia menjadi perkara yang paling utama dalam hidup kita. Jadi bonda mahu saya begitu, merendah diri, tanpa perlu menunjuk, tidak memberitahu saat saya bergerak dan namun, manusia yang memandang saya pada saat saya bergerak akan berasa bertuah dan dihargai. Itu yang disukai Tuhan dan manusia itu yang akan diberkati oleh-Nya. Merendah diri,” jelasnya panjang lebar.

Saya memicing mata, fikiran saya berputar, sebelum kembali menyeluruhi wajahnya, dan saya tersenyum. Rasa nakal menggelinjang dalam kepala saya. Saya mahu melihat dia memimik wajah yang galau, kerana wajahnya yang sebegitu, begitu meneduhkan hati. Saya bertanya, “Apakah menjadi jarum saat dan jarum minit itu tidak bermakna?”

Aneh, anak sepupu saya itu terus sahaja tersenyum. Tidak langsung memimik wajah yang galau. Saya pula yang mengurut pelipis.

“Bonda kata, jarum saat dan jarum minit itu tetap juga berharga kerana jarum-jarum itu sebenarnya bekerja untuk jarum jam, dan jarum jamlah yang mengawal mereka. Jarum saat boleh sahaja berhenti, mati, namun jam tetap masih boleh diguna. Jarum minit juga boleh sahaja tidak bergerak lagi, namun jam masih berguna sebagai penunjuk waktu, namun apabila jarum jam sudah berhenti, apa lagi maknanya hidup sebuah jam?” terangnya dan soalnya kembali.

Saya tersenyum sambil menggaru kepala. Kata-katanya itu bertapuk-tapuk dalam kepala saya, bertebaran menutupi lompong-lompong fikir yang lama kosong.

“Bonda kata lagi, tidak ramai manusia yang sebegitu. Sangat berguna dan penting hidupnya kepada manusia lain, namun kerana ia tidak memaparkan diri, tidak bising, tidak itu ini, maka dia dilupakan, malah sering dipinggirkan. Namun itu yang disukai Tuhan, dan saya yakin bonda saya salah seorang daripadanya, kerana sering saja saya tidak mempedulikan nasihat bonda,” kata anak sepupu saya lagi.

“Jadi menurut kamu, abang ini seperti apa?” soal saya tersenyum.

Anak sepupu saya memandang tak tega, mulutnya seperti kehilangan butir kata, namun dipaksa-paksa sebelum berkata, “Abang ini seperti jarum saat.” Pendek.

Lalu saya terus terjajar ke belakang dengan nafas yang ditahan.

Saturday, June 06, 2009

kisah yang rupawan

Saya punyai rangkaian kisah yang menyisakan garis aneh yang tak luntur dalam hati. Antara rangkaian kisah itu, melungsur kisah yang terjadi lagi pada hari ini.

Semasa saya sekolah, saya adalah murid yang tak punya seberkas pun harapan. Sehinggalah kedatangan seorang guru. Kedatangan guru itu membuat saya menjadi murid yang dipandang. Hampir saja ditatang.

Hal itu membuat bangun saya mendahului matahari. Walau dingin, walau mengundang wajah serong-serong murid lain, semua itu tidak mempan. Saya adalah manusia baru yang dijejali hasrat untuk belajar.

Semuanya atas nama kebersamaan dan itu juga yang diajarkan oleh guru saya itu yang namanya Baharuddin Dolmat. Kebersamaan pada nama. Antara kata-katanya yang bertapuk-tapuk dalam ingatan saya adalah, “Jangan malukan orang yang nama Baharuddin.”

Itu juga yang terjadi pada hari ini. Saya sepertinya disumpahi kisah yang sama. Lalu menjadi rangkaian kisah aneh yang tak luntur. Terjajar menjadi lingkaran-lingkaran yang mendukung sesamanya.

Hari ini, saat saya membuka Facebook, ada lelaki dari Switzerland, orang Tunisia yang menghantar muafakat bagi menjadi teman Facebook. Hujung bibir saya tersungging. Entah bagaimana dia lelaki Tunisia itu menjumpai saya.

Saya dengan bersenandung kecil, membuka profil lelaki Tunisia itu dan saat itu, rangkaian kisah aneh saya kembali terampil anggun. Membumbung tanpa ragu-ragu.

Nama lelaki itu Hatem El Bekri. Namun kisahnya belum lagi menghambur dan menimpali hati. Sehinggalah saya yang masih bersenandung kecil membuka kumpulan temannya Facebooknya. Saya mengerut dahi, rangkaian temannya menyambar senandung kecil saya. Saya diam.

Saya menemukan nama, Amine El Bekri, Lydia El Bekri, El Bekri, Hedi Bekri, Rania Bekri, Soumia Bekri, Toutou Bekri, Adnene El Bekri, Houda El Bekri, Ines El Bekri, Kais El Bekri, Skander El Bekri, Wafae El Bekri, Wej El Bekri, dan yang paling bahagia antara rangkaian nama itu, adalah Bahruddin Bekri.

Walau saya termangu-mangu memandangi jajaran nama itu, walau serpih-serpih prasangka terburuk dan takut sudah sampai ke ubun-ubun, tetap juga saya memasang persangka muslim yang baik. Mungkin sahaja Hatem El Bekri adalah manusia yang mahu menarik nama Bekri itu menjadi rangkaian yang perlu dijaga. Family Bekri. Setidak-tidaknya untuk waktu ini, itu yang saya mahu rasai dan mahu saya fahami.

Lalu kini, kata-kata yang pernah menyatukan percaya diri yang remuk berserakan, kembali melengking tinggi. Walau tidak dikuping telinga, namun dalam hati, tetap saja ia senyaring gemaung singa. “Jangan malukan orang nama Bekri.”

Walaupun kata-kata itu lebih tepat sekiranya ditasbihkan untuk ayah saya, namun sebagai anak yang baik, tetap juga saya yang menyangga, dan menjunjung semerbak kata-kata itu.

:)



Profile Hatem El Bekri

http://www.facebook.com/profile.php?id=1552032570

Thursday, June 04, 2009

cinta manusia jahat

Walau meteor akan menghempap kepala saya, kalau saya tidak mengatakan kata-kata itu, pun hati saya masih berayun-ayun dengan ragu, bagi mengucapkannya. Tidak mungkin dan tidak berani. Itu ucapan milik antagonis dan saya bukan itu. Bukan juga kerana saya protogonis, cuma mafhum tahu, saya laki-laki biasa yang hanya duduk sebagai tamu.

Walau begitu, itu juga kata-kata yang sering melantun anggun dari bibir semua manusia yang mahu menolak cinta. Kata mereka, “Kamu terlalu baik untuk saya.”

Itu kata-kata yang walau sedekat kuku pun tidak saya mahu sentuh. Walau ia terdengar anggun membumi dan santunnya melangit. Tetapi akibat kata-kata itu, kamu akan jatuh sepertinya jatuh dari tujuh petala langit, dan terhempas ke dasar tujuh lapis bumi. Mati dan tidak akan ada sisa walau cuma untuk sisa yang berkeping-keping.

Namun daripada kata-kata itu, saya belajar sesuatu tentang manusia. Semuanya berkat kisah seorang teman. Teman saya itu, perempuan yang cantik, pelajaran tinggi, wang penuh di bank, baiknya tak berpenghujung, dan semuanya yang kamu namakan keindahan manusia. Hampir semuanya ada padanya.

Hampir semuanya kecuali cinta. Sehingga dia bertemu dengan seorang jejaka dan saat itu semuanya hampir sempurna sehinggalah jejaka itu mengatakan, “Kamu terlalu baik untuk saya.”

Teman saya, yang punyai keindahan manusia, terpincang-pincang hatinya. Kepalanya galau, dan darahnya girap-gemirap. Namun tetap dia tersenyum memandang jejaka itu.

“Saya terlalu baik untuk kamu?” tanya teman saya.

Jejaka itu tunduk, sepi. Namun wajahnya tetap mengangkat hati yang memandang.

“Jadi, maksud kamu, cinta saya itu berbeza?” soal teman saya lagi.

“Ya. Cinta kamu berbeza dan saya tidak layak untuk itu,” jelas jejaka itu kemudian.

“Jadi, boleh kamu beritahu saya, apa bezanya cinta orang baik dengan cinta orang jahat? Apa bezanya? Apa pula bezanya kebaikkan orang baik dan kebaikkan orang jahat? Ceritakan juga, apa bezanya kejahatan orang baik dan kejahatan orang jahat? Apa bezanya?” Teman saya mengeser soalannya, lembut ke hujung hati jejaka itu.

Jejaka itu menutup pelupuk mata. Mimik wajahnya memberitahu yang dia sedang berfikir tetapi tidak nampak cahaya untuk fikirnya.

“Manusia sering berkata, jahat itu tetap jahat. Walau siapa pelakunya. Walau pelakunya itu mufti, walau pelakunya itu tahfiz. Jahat tetap juga jahat. Baik juga begitu. Walau pelaku kebaikan itu pembunuh, perogol atau apa-apa sahaja yang kamu gelar manusia jahat. Baik tetap juga baik. Tetapi mengapa cinta perlu diasing-asingkan? Apa cinta orang baik itu berbeza dengan cinta orang jahat? Cinta tidak pernah berbeza. Cinta tetap juga cinta. Jadi walau saya terlalu baik untuk kamu, cinta saya tetap tidak berbeza daripada cinta orang yang jahat. Sama,” jelas teman saya, panjang lebar.

Jejaki itu menarik nafas panjang. Kerut-kerut wajahnya terukir bersama nafas yang disedut dalam-dalam.

“Katakan sahaja, kamu tidak cinta saya. Itu saya mampu mengerti. Tidak perlu menjaga hati, tidak perlu rasa bersalah untuk mengatakan hal yang jujur, ringkaskan sahaja, kerana perkara yang diucap ringkas itu lebih mudah dicerna hati, dan tidak perlu menyeksa batin untuk berfikir, mengapa saya terlalu baik untuk kamu,” sambung teman saya lalu terus berlalu. Jejaka itu pula entah apa ceritanya sekarang.

Tetapi bukan cerita teman saya itu sebab utama saya ragu bagi mengucapkan kata-kata itu, bukan juga kerana saya tahu meteor hampir tidak mungkin menghempap kepala saya, cuma sahaja, saya tidak perlu berfikir ke arah itu. Untuk hidup saya ini, walau tidak sempurna, tetapi saya suka. Itu saja.

dia pengarang kecil

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4
Lelaki Tua: Kisah 5
Lelaki Tua: Kisah 6
Lelaki Tua: Kisah 7
Lelaki Tua: Kisah 8

Hati kecil ini pernah juga menggelora, mahu menjadi pengarang besar. Namun tidak juga besar. Malahnya semakin bergeser menjadi kecil. Entah mana durinya, tidak tahu juga mana selutnya.

Lalu dengan langkah yang berjingkat-jingkat di pasir yang halus, saya duduk di batu kusam, memandangi laut. Bayu menyelinap halus, dan matahari pula sudah menggaris tepat di bawah ubun-ubun. Suasana sepertinya alunan biola yang gemersik, merengkuh, menjunjung, dan menatang semua yang indah-indah.

“Kamu mahu menjadi pengarang besar?” tanya satu suara yang terdengar selesa, tenang dan membesarkan hati.

Saya berpaling dan sesaat tersenyum. Dia, lelaki tua itu lagi yang berbaju merah, tersenyum dan yang menegur tadi. Saya terus sahaja mengangguk.

“Lihat perahu di sana. Itu adalah perahu terbaik yang pernah saya tahu, tetapi mengapa perahu itu tidak dibesar-besarkan orang dan hanya menjadi perahu kecil yang dilambung ombak?”

Saya diam. Mata saya sepertinya anak panah, menancap pada perahu kecil yang bergoncang di laut. Kepala saya mula berputar, umpamanya roda ferris yang berwarna terang dengan lampunya yang girap-gemirap.

“Semuanya kerana pembuat perahu itu tidak menghantar perahunya ke mana-mana pertandingan perahu. Lalu tidak memenangi apa-apa anugerah. Lalu tidaklah orang tahu yang perahu itu adalah yang terbaik, kerana manusia punyai definisi yang mudah berkenaan yang terbaik. Terbaik itu adalah sesuatu yang sudah dinilai, diadili, dianugerahi, dan seterusnya dipuji oleh sekumpulan kecil manusia yang bernama juri. Tetapi itu bukan soalnya,” sambung lelaki tua itu.

“Jadi?” soal saya, sambil mengurut pelipis.

“Jadi, kamu berasa kamu pengarang kecil, kerana kamu juga sama seperti manusia yang lainnya. Menganggap sesuatu yang terbaik itu perlu dinilai, diadili, dianugerahi, dan dipuji oleh kelompok juri. Sedangkan seperti perahu terbaik yang dilambung ombak itu, juri terbaiknya adalah ombak itu sendiri. Biar, tidak dikalungi medal, namun perahu itu tetap kukuh, dan tetap tidak canggung dilambung ombak. Kamu juga perlu begitu,” terang lelaki tua itu.

“Saya perlu bagaimana?” soal saya. Saya mengerut dahi. Roda ferris saya terus sahaja berpusing.

“Kamu perlu seperti perahu itu. Membuktikan tulisan kamu bukan pada nilaian juri tetapi pada nilaian sesiapa sahaja yang membaca tulisan kamu. Sesiapa sahaja, tukang sapu sampah, askar, cikgu, posmen, dan paling utama, Tuhan. Semua itu adalah juri kamu. Bagus untuk mendapat anugerah, namun kamu tetap mampu menjadi pengarang besar sekiranya menulis-menulis begini. Menulis kecil di dalam blog, di atas kertas kumal, dan di mana-mana sahaja. Hanya yang membezakan kamu dengan pengarang besar yang lain, mereka memasuki peraduan, menang dan mendapat anugerah, dan kamu tidak memasuki mana-mana peraduan dan tidak ada apa yang hendak ditunggu. Itu sahaja bezanya,” jelas lelaki tua itu dan terus tersenyum.

Saya menggaru kepala. Roda ferris dalam kepala berhenti berputar, black out. Aduh. Jelas sahaja saya tidak mampu menjadi pengarang besar, tidak mampu menjadi perahu kecil terbaik itu, kerana saya pernah juga memasuki peraduan dan langsung tidak ada khabar berita. Tewas mentah-mentah.

“Tetapi, kalau pun kamu menjadi pengarang kecil, apa salahnya? Kalau kamu menjadi pengarang picisan, apa salahnya? Tidak ada apa salahnya asalkan ia bukan dosa. Yang utama, teruskan tersenyum dan menulis kerana Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita,” pesan lelaki tua itu.

“Terima kasih,” ucap saya lirih, tersenyum sambil hati saya mula berkicau dengan kata-kata, saya ini pengarang kecil. Ya, itu hakikat.

“Lupa saya memberitahu, berkenaan tulisan kamu,” tegur orang tua itu, memandang dengan lirik mata yang teguh. Saya menahan nafas.

“Sebenarnya... saya benci tulisan kamu. Berhenti saja menulis,” sambung lelaki tua itu lagi.

Hati saya terjerembap. Aduh. Baru betul-betul saya berasa diri saya adalah pengarang kecil. Terima kasih kepada lelaki tua yang berbaju merah itu.

“Sepatutnya kamu gambarkan saya sebagai lelaki muda yang kacak. Setidak-tidaknya seperti Rosyam Nor. Sudahlah menggambarkan saya sebagai lelaki tua, dipakaikan pula baju merah. Apa kamu rasa kalau kamu tua dan dipakaikan dengan baju merah? Sedangkan saya tidak suka warna merah, dan tulisan kamu memang membosankan!”

Saya memicing mata. Kalau iya pun tidak suka, tidak perlulah terang-terang begini. Aduh. Hati saya yang terjerembap tadi, tidak berbentuk lagi, hanya tinggal reruntuhan yang menandai pernah ada hati di sini yang perasan mahu menjadi pengarang besar. Namun tetap sahaja dia pengarang kecil.

Monday, June 01, 2009

cinta kita sebagai anak

Kisah Ayah 1
Kisah Ayah 2
Kisah Ayah 3

Waktu itu, saya masih dini, dengan rambut yang menutup dahi, gigi susu yang masih utuh dan tapak kaki yang belum kukuh. Dunia waktu itu berada dalam rangkulan saya. Saya mampu untuk apa sahaja, katakan sahaja, pasti saya memperolehnya dengan bersahaja.

Namun, ada juga perkara yang membuat dunia sepertinya terlalu besar untuk dirangkul. Ia akan membuat saya merapat diri ke dinding, mulut terkatup dan jantung berdegup laju. Waktu pula terasa terhenti, sepertinya waktu dalam jam yang rosak.

Saya ingat lagi waktu itu, ayah saya menoleh, dengan mata yang kosong, bersuara dengan nada yang sudah hilang lemaknya. Juga dengan mimik wajah yang mahu mengatakan sesuatu. Dia menarik nafas panjang dan perlahan-lahan menghampiri saya.

Telinga lembut saya ditarik hujungnya, dipulas dengan tangannya yang kasar. Air mata tanpa disuruh, keluar semahunya, namun suara saya tertahan di dada. Kemudian, tanpa berkata-kata ayah akan berlalu, menyisakan saya sendiri yang akan melungsur tubuh, lalu duduk memeluk kaki, tersedu-sedu. Dalam hati, saya membencinya dalam-dalam.

Dunia betul-betul sudah meninggalkan saya. Saya langsung tidak mengerti mengapa sesaat ayah tersenyum dengan kata-kata berlemak, seketika dia menjadi sepi dan hanya tangan yang berbicara, mendesak-desak.

Sehinggalah saya pada suatu waktu, pada saat saya sudah mampu berfikir sendiri, saya mendengarkan sesuatu daripada seorang guru.

Katanya, “Kamu percaya, ada tukang kayu, yang kerjanya mengukir sepohon kayu mentah, bertahun-tahun lamanya, seusianya, tetapi tidak mahu menerima upahnya?”

Saya menggeleng kepala. Tidak mungkin ada tukang kayu sebegitu.

Cikgu saya tersenyum dan menyambung, “ Ada, dan mereka adalah ayah kamu.”

Saya mengerut dahi.

“Ayah adalah seperti seorang tukang ukir kayu. Di mana tukang ukir kayu, mengukir kayu dengan hanya satu hasrat, menebarkan pesona daripada ukirannya itu. Menjadikan kayu yang kosong, tidak ada apa-apa itu, indah dan menyegarkan. Memandangnya sahaja, membuat manusia tidak bergeming.

Namun, bagi tugas mengukir kayu, sang tukang ukir itu punya pelbagai alat. Ada alat untuk permukaan yang lembut, ada juga bagi permukaan yang keras lagi degil bagi diukir. Semuanya bagi menjamin ukiran akhirnya indah.

Begitu juga kita dan sang ayah. Kita ini umpama kayu yang punyai sisi pelbagai. Ada sisi keras dan sisi halus. Pada saat kita menyerlahkan sisi halus kita, semestinya ayah ada caranya dan pada bahagian sisi keras kita pula, ayah juga punyai caranya. Semuanya hanya bagi satu sebab, mahu membina kita menjadi manusia yang menebar pesona.

Lalu cuba bayangkan si tukang kayu tadi menggunakan alatan yang lembut bagi bahagian yang keras, pasti bahagian itu tidak mampu diukir, malah alatnya juga mungkin binasa, dan tiada lagi magnum opus yang mampu dijunjung.

Sesudah sahaja ukiran itu siap, jelas coraknya, terang warnanya, dia akan menyerahkan ukiran itu berdiri sendiri, dan tukang kayu tadi hanya akan tersenyum tanpa meminta upah pun atas hasil kerjanya itu.”

Saya diam, tidak terkutik. Bayangan wajah ayah yang tersenyum pada saat uban sudah penuh, pada saat kulit sudah kendur, pada saat jejak kakinya sudah tidak dalam, mengelinjang hebat dalam kepala. Ayah, adalah tukang kayu yang tidak langsung meminta upah.

“Juga, kamu perlu ingat, dalam saat mengukir kayu, tukang kayu tadi berkali-kali terluka dengan alatannya sendiri. Terluka kerana tidak mahu ukirannya rosak. Saat lukanya yang paling dalam dan paling parah, adalah pada saat dia mengukir bahagian kayu yang paling keras, kerana alatan bagi bahagian itu adalah yang paling tajam.” Cikgu saya berwajah teguh memandang saya.

Saya terus diam. Bayangan ayah yang menoleh, dengan mata yang kosong, bersuara dengan nada yang sudah hilang lemaknya. Juga dengan mimik wajah yang mahu mengatakan sesuatu, dan menarik telinga saya terus masuk ke kepala. Saya diam. Perlahan-lahan air mata saya luruh dengan suara yang tertahan di dada. Sama seperti waktu saya masih dini.

Pasti, ayah waktu itu juga sebetulnya terluka dengan sikap yang harus dia ambil, lalu ayah menarik nafas panjang dan segera berlalu. Jelas dia tidak mahu melihat saya begitu kerana dia sudah cukup terluka.

Ayah, maafkan anakmu ini kerana membencimu saat dirinya masih dini. Maaf juga kerana anakmu ini tidak mampu menjadi ukiran yang terbaik kerana sudah lama terdedah dengan cuaca, sudah berkulat, cat yang ayah oles sudah mula tanggal. Anai-anai juga sudah mula membocor ukiran ayah ini. Maaf, ayah. Doakan sahaja, ukiran terbaikmu ini akan mampu terus menjadi ukiranmu yang menebar pesona walaupun dirinya sudah renta dengan dosa.

Ayah, doakan saya.

Nota: Hari ayah disambut pada hari ahad minggu ketiga setiap bulan Jun. Namun bagi saya, selagi ayah kita masih hidup, selagi itu adalah hari untuknya.

Friday, May 29, 2009

kita dan perjuangan

Begini kata hati untuk sesuatu yang kamu katakan perjuangan. Kamu sendiri, berjalan dengan langkah yang renta, menghadap manusia yang memberikan kamu senyuman khas, khas untuk mereka yang tewas. Lalu kamu memicing mata, kamu merengkuh sisa semangat yang mengapung dan berharap semoga satu hari nanti, kamu kembali kepada mereka-mereka yang tersenyum itu dan berkata, “Kamu salah tentang aku. Aku akan ubah cara kamu memandang aku. Aku janji!”

Itu juga yang saya fikir berkenaan perjuangan, sehinggalah saya bertemu dengan seorang teman yang memanggil dirinya pejuang.

Katanya, “Kamu tahu perjuangan itu apa?”

Saya diam. Apa yang saya faham berkenaan perjuangan berlegar dalam kepala, namun tidak juga singgah ke lidah.

“Kamu tahu perjuangan adalah sesuatu yang mengubah dunia.”

Saya mengerut dahi.

“Sebelum mengubah dunia kamu perlu tahu, dunia itu apa. Dunia itu diumpamakan seperti buku dan kata-kata dalam buku itu adalah isinya dunia. Saat kamu mengubah satu sahaja huruf dalam buku itu, kamu sudah mengubah buku itu, menjadi buku yang lebih baik ataupun buku yang rosak. Jadi kerana itu, dunia itu adalah apa yang ada di dalamnya dan diri kita ini juga adalah dunia. Lalu usah terlalu bercita-cita besar untuk mengubah apa yang manusia lain fikirkan berkenaan kamu, barulah kamu rasa kamu sudah menjadi sebagai pejuang, barulah kamu berasa sudah mengubah dunia. Cukup sahaja, kamu ubah diri kamu sendiri, kerana kamu sendiri sudah sebahagian daripada dunia. Saat kamu mengubah diri kamu, kamu sudah mengubah dunia dan kamu sudah menjadi pejuang.”

Saya mengangkat kening. Dia saya tatap dengan pandangan yang sederhana.

“Mungkin kamu fikir, itu yang sedang kamu lakukan, itu yang kamu perjuangankan. Sebetulnya kamu silap. Kamu lebih fokus pada perjuangan bagi mengubah pandangan manusia terhadap kamu, sehinggakan lupa bagi mengubah cara kamu melihat diri kamu sendiri. Saat kamu sudah melihat diri kamu dengan cara yang berbeza, kamu sebetulnya sudah berubah, kerana sedia mengakui silap, juga sedia melihat kekuatan sendiri. Kamu sudah menjadi pejuang yang mengubah dunia. Pedulikan bagaimana manusia suci lain melihat kamu, kerana yang utama adalah, bagaimana Tuhan melihat kamu. Seorang manusia yang tahu apa silap dan apa kekuatannya,” jelas teman saya itu lagi.

Saya diam. Lalu kata hati saya berkenaan perjuangan adalah bagaimana hendak menahan diri daripada berusaha mengubah cara manusia melihat saya, tetapi berusaha sebolehnya mengubah cara saya memandang diri saya sendiri. Itu adalah perjuangan yang akan mengubah dunia. Ya, ternyata ia cukup sukar kerana ia sebetulnya perjuangan menentang nafsu dan ego.

“Kamu perlu ingat, kalau diri kamu bagus, dunia sendiri yang akan mendatangi kamu, dunia sendiri yang akan mengubah cara pandangnya kepada kamu, dan itulah perjuangan.” pesan teman saya lagi, tersenyum.

Read Malaysia

Datanglah beramai-ramai ke Pesta Buku Read Malaysia,

29 Mei - 7 Jun
11am - 10pm
MIECC. Mines, Serdang

Tetapi bagaimana mahu ke sana?
Untuk mereka yang tidak tahu, datang sahaja guna komuter ke stesen Serdang,
dari sana ada bas percuma.
Ataupun guna LRT ke Bandar Tasik Selatan, juga ada bas percuma.

FROM SERDANG KTM TO MIECC FROM MIECC TO SERDANG KTM
11.30 AM 12.00 PM
1.00 PM 2.00 PM
3.00 PM 4.00 PM
5.00 PM 6.00 PM
7.00 PM 8.00 PM
8.30 PM 10.15 PM


FROM BDR. TASIK SELATAN LRT TO MIECC FROM MIECC TO BDR. TASIK SELATAN LRT
11.00 AM 12.00 PM
1.00 PM 2.00 PM
3.00 PM 4.00 PM
5.00 PM 6.00 PM
7.00 PM 7.45 PM
8.30 PM 10.15 PM

Maklumat lanjut:
http://www.readmalaysia.my/
http://pts.com.my/index.php/pestabuku/

Tuesday, May 26, 2009

yang pertama maruah

Tidak jarang kata-kata ini saya dengar. Namun tidak sering pula saya betul-betul mengerti maksudnya. Umpamanya melihat bas berwarna terang yang berlalu di depan mata. Saya tahu ia bas yang membawa manusia, namun saya tidak tahu bas itu membawa manusia jenis yang bagaimana. Sama ada mereka golongan pekerja khusus, pelancong ataupun penumpang biasa di tepi jalan. Selalu saya lihat, namun jarang saya mengerti.

Begitu juga dengan yang satu ini. Sejak saya tahu mengingat, kata maruah sering diucap oleh keluarga, cikgu, penceramah, pelakon TV, juga pejuang-pejuang yang pelbagai. Daripada pejuang demokrasi hinggalah kepada pejuang bahasa. Kata maruah tidak segan-segan berhamburan daripada mulut mereka.

Lalu cuba sahaja lihat di sana, di dalam kamus apa maknanya maruah. Pasti pelbagai soal akan merubung hati kita. Sepertinya maksud di kamus sana, tidak sejalan dengan apa yang dimaksudkan pada pengucapan.

Dengan hati yang terbata-bata, saya cuba mengaitkan maruah dengan apa yang terlarang, kerana maksud maruah yang kepalang saya dengar adalah jangan melakukan yang terlarang kerana ia adalah maruah.

Jadi mungkin, dalam membuat dosa itu, barulah konsep maruah itu berfungsi. Jangan buat begitu, nanti maruah keluarga jatuh, jangan buat begini, nanti maruah masyarakat lungsur, dan jangan buat itu ini, nanti maruah bangsa renta. Semua yang terlarang itu adalah maruah.

Ironi, suatu kata yang dijunjung tinggi, sebetulnya adalah bertitik tolak daripada suatu yang terlarang. Namun apa konsep yang saya fahami itu betul? Jelas sekali ia kabur, kerana makna maruah itu hanya daripada tugasnya.

Misalnya, sekiranya kita bertanya, apa maknanya polis. Pasti kita menjawab polis adalah mereka yang menjaga keselamatan,kesejahteraan dan kemakmuran. Pada saat kita tersenyum dengan jawapan itu, sebetulnya kita hanya menyenaraikan tugas polis itu, bukan maksudnya. Jadi apa maksud polis? Mungkin-mungkin sahaja kita boleh memberitahu, polis adalah manusia, dan manusia adalah khalifah di muka bumi ini. Lalu dengan konsep ini, kita juga sebetulnya sering menjadi 'polis' daripada segi tugas, cuma sahaja ia tidak dikatakan begitu.

Kata maruah juga begitu. Saya baru sahaja menarik fungsi kata maruah. Yang indah berkenaan hal ini, maruah itu berbeza daripada suatu tempat ke suatu tempat, daripada satu bangsa kepada satu bangsa. Maksud maruah bagi mereka yang bertudung litup pasti tidak sama dengan mereka yang memakai skirt separas lutut. Maksud maruah bagi Islam juga pasti berbeza dengan maksud maruah bagi mereka yang Kristian. Tetapi, kata maruah itu pasti tetap sama, dan di mana titik kesamaan itu?

Pada suatu hari yang tidak ada apa-apa, saya mengulit sebuah novel. Ia bukan novel yang bercerita berkenaan maruah, ia cuma fiksi namun ada terselit sesuatu yang kecil di sana. Sesuatu yang sering saya ucapkan sebagai penutur tegar, namun, pada waktu itu baru saya mengerti dan menepuk dahi, mengapa baru hari itu saya mengerti.

Ia berkenaan dengan perkataan Bugis, Sirie. Dalam Bugis sirie itu maksudnya maruah, namun sebetulnya, kata khusus bagi maruah dalam bahasa Bugis itu langsung tiada. Maksud sebetul sirie adalah malu atau aib.

Lalu apabila seseorang gadis Bugis malu-malu, para Bacok akan mengusik dan mengatakan mereka mesirie. Begitu juga pada saat terjatuh di hadapan ramai, kata sirie pasti sepakat akan keluar. Namun, pada saat-saat yang lebih genting, umpamanya seseorang sudah melakukan yang terlarang, kata sirie itu juga keluar dan pada waktu inilah sirie itu dimaksudkan dengan maruah.

Kesimpulan yang boleh ditarik di sini, maruah itu maksudnya malu atau aib. Lalu apa yang dimalukan oleh mereka yang bertudung litup dengan mereka yang skirt paras paha itu berbeza, tetapi mereka berkongsi perkataan dan rasa yang sama, yakni malu. Begitu juga halnya dengan apa yang menjadi perkara memalukan di Amerika, pasti berbeza dengan apa yang dimalukan di Malaysia, namun rasanya tetap sama.

Atas itu, boleh sahaja sekarang kita muafakat bahawa, maruah kita tercalar apabila berlaku sesuatu yang memalukan kepada kita. Jelas perkara-perkara yang terlarang itu adalah perkara yang memalukan dan maruah itu adalah sesuatu yang menyebabkan seseorang manusia, sesebuah bangsa dan negara itu malu.

Jadi mudah saya fahami mengapa orang tua berpesan jangan buat itu dan ini kerana ia menjatuhkan maruah. Sebetulnya mereka malu. Mudah juga saya fahami mengapa pejuang itu dan ini mengatakan maruah bangsa dan negara tercabar, kerana mereka sebetulnya aib dengan sesuatu keburukkan.

Mudah difahami mengapa para ustaz sering mengulang hadis, “Iman terdiri daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu dari bahagian-bahagian iman.”. Juga dengan hadis, "Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.". "Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan." Lebih mudah dimengerti, sebab mengapa apabila tiba saat berdoa, perkataan maruah tidak melungsur daripada hati. Yang ada hanyalah “Ya Allah, jagalah aib kami.” Jelas aib atau malu itu sudah melingkari maksud maruah.

Jadi, memalukan dan juga mengaibkan manusia lain adalah sama kesannya apabila kita membuat sesuatu yang terlarang, kerana kita baru sahaja menyinggung berkenaan maruah. Mungkin bukan maruah kita, tetapi jelas ia melibatkan maruah orang lain.

Bagaimana pula hendak menerangkan berkenaan kata mengangkat maruah? Apakah ia bermaksud mengangkat malu? Misalnya sahaja, seorang yang papa kedana, jujurnya ia suatu keadaan yang memalukan walaupun tidak dituliskan secara tersurat. Malu akibat miskin itu boleh sahaja diangkat pergi dengan pencapaian lain. Misalnya berjaya dalam pelajaran ataupun dia itu seorang yang tinggi imannya, dan terus maruahnya diangkat.

Sama juga juga kisahnya dengan mengangkat maruah bangsa dan negara. Umum mengetahui, rasa rendah diri, walau tidak banyak, masih ada dalam diri kita kerana anggapan masyarakat barat berkenaan ketidakupayaan bangsa kita. Hanya pencapaian kita dalam sukan, juga dalam bidang lainnya menjadi penyebab rasa malu itu diangkat lalu hilang.

Itu yang saya cuba fahami, cuba terangkan dalam hati, kerana saya tidak selalu tetapi ada juga menyinggung aib manusia lain. Walau hal itu benar, namun setiap sesuatu pasti ada cara moleknya, ada cara baiknya. Cara yang Junjungan kita gunakan bagi mengangkat maruah mereka yang baru memasuki Islam dan yang akur dengan Islam.

Yang pasti, ia sudah menjadi urusan manusia dengan manusia. Juga seperti yang kita mafhum di akhirat nanti, urusan manusia dengan manusia itu lebih sukar berbanding urusan manusia dengan Allah, kerana Allah itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani, dan Maha Menyanyangi. Manusia pula jelas-jelas bukan begitu sifatnya.

Thursday, May 21, 2009

saat kata-kata itu tersenyum

Kisah anak-anak 1
Kisah anak-anak 2
Kisah anak-anak 3
Kisah anak-anak 4
Kisah anak-anak 5

Dalam hidup, ada banyak kata-kata yang ringan bermain-main di lidah. Namun saat kata itu dijejali di hati, terpancang di kepala, baru kita sedar yang kita langsung tidak mengerti akan maksud kata itu.

Itu yang saya alami pada suatu petang. Pada saat matahari sudah bertoleransi dengan bumi, awan sepertinya dapat digapai tangan dan angin pula bermuafakat dengan manusia.

Saat itu saya duduk takzim di sebuah kerusi batu panjang, di hadapan tasik buatan, di dalam taman, sambil menyeduh udara petang, dan lihai melihat manusia yang berlari-lari dengan maksud agar nikmat kesihatan tidak surut.

Saat itu juga, berlari-lari di depan saya seorang budak lelaki. Mungkin dalam lingkungan sembilan tahun. Berwajah teguh, berkulit coklat sederhana, berambut pendek nampak remang-remang kulit kepala, berbaju merah Liverpool, dan berseluar panjang gelap tanpa jenama. Dia berhenti di hadapan saya dengan dada yang turun naik dengan pantas, wajahnya memerah dan keringat tidak segan-segan mencurah dari dahinya.

Dengan langkah terampil, tidak khuatir, budak lelaki itu menuju ke arah saya lalu duduk di sebelah saya, di hujung kerusi batu. Mata saya mengilat memerhati budak lelaki itu, dari hujung kaki hingga ke hujung rambut.

Mengewap rasa kagum dari hati saya. Semuda ini budak lelaki ini sudah tahu makna menjaga kesihatan tubuh. Sedangkan saya, pada saat sebaya dia, waktu ini sedang enak di hadapan televisyen, ataupun sudah tergoda dengan tilam dan bantal. Lalu mengewap pula senyuman dari wajah saya.

“Kamu joging?” sapa saya yang entah mengapa saya perlu bertanya begitu walaupun jelas sudah dia tadi berlari-lari di hadapan saya. Tetapi ini boleh dikira termasuk dalam golongan yang bertanya, “Makan?” Sedangkan jelas manusia yang ditanya itu memang sedang makan. Fitrah Melayu.

Budak lelaki itu menggeser posisi tubuhnya. Memandang saya, mengangguk pasti dan kemudian bertanyakan soalan bernuansa serupa.

“Abang tak joging?”

Saya mengembangkan senyum ke udara, dengan perlahan menggeleng. Budak lelaki itu tidak menanggapi senyum dan gelengan saya. Terus sahaja dia menatap angkasa, sepertinya pandangannya disita oleh sesuatu di situ. Seketika dia berpaling ke arah saya dengan wajah yang sudah dipasang mimik tidak tahu menahu. Jelas mahu bertanya.

“Abang tahu maksud qanaah?” soal budak lelaki itu dengan mata yang redup. Saya menahan nafas. Soalan budak lelaki itu melahap mentah-mentah hati saya. Walaupun saya pernah tahu dan diberitahu maksud kata-kata itu oleh ustaz dan ustazah namun untuk menerangkannya kepada budak lelaki itu, tidaklah semudah menjentik batu kecil di atas meja. Namun tetap sahaja saya mencuba.

“Qanaah maksudnya berasa cukup dengan apa yang ada.” Saya menjawab ringkas, sejajar dengan apa yang ada dalam kepala.

Saya menarik nafas panjang usai menjawab soalan yang entah mengapa ditanya oleh budak lelaki itu. Saya tersenyum melihat budak lelaki itu mengangguk kepala. Sempat saya memegah-megahkan hati saya atas prestasi jawapan saya.

“Mengapa tanya? Ustaz di sekolah suruh cari maksudnya, ya?” soal saya.

“Apa maksud kata-kata itu hanya perlu dicari dan difahami apabila ditanya ataupun didengar?” soal budak lelaki itu. Soalan yang membenamkan hati saya ke daerah malu. Fikiran saya berkenaan prestasi saya tadi rupanya terpelesat jauh. Terus saya lenyap kata-kata.

Aduh, mengapa pada petang ini, saya harus berjumpa dengan budak lelaki yang sebegini. Katanya bersimbah teguran halus, dan kata-kata itu terus terperangkap dalam hati saya, berkicau-kicau. Saya memicing mata sebentar sebelum kembali memandang wajah budak lelaki itu.

“Jawapan abang terlalu ringan. Jelas ia jawapan yang hanya boleh bermain-main di lidah, namun cuba abang main-mainkan maknanya dalam hati. Pasti abang tak mampu memaknai kata-kata itu,” sambung budak lelaki itu lagi. Hati saya terus terhiris-hiris. Megah diri saya sebagai seorang yang berumur lungsur berantakkan. Luluh tak berbekas.

“Terima kasih atas teguran. Jadi apa makna sebetulnya maksud qanaah itu?” soal saya kemudian. Cuba bersikap lelaki yang bernuansa putih.

“Qanaah bukan sekadar berasa cukup dengan apa yang ada. Tetapi ia juga adalah membuang harapan pada sesuatu yang belum kita punya dan berasa cukup dengan apa yang ada di tangan,” jawab budak lelaki itu.

Saya mengaru lutut. Kata-kata budak lelaki itu semakin kuat berkicau dalam hati saya. Namun tetap juga otak saya terpacu dengan tindakan dan olah budak lelaki cerdas ini.

“Lalau dalam hidup abang, apa yang abang qanaah?” Satu lagi soalan melungsur daripada budak lelaki itu. Saya, lagi-lagi tertegun. Khuatir menanjak-nanjak. Rasanya tak terjawab soalan itu. Apa yang saya qanaah dalam hidup saya? Apa yang saya sudah buang harapan pada hal yang saya belum punya?

“Saya kurang pasti,” jawab saya perlahan. Jelasnya tidak mahu berterus terang mengatakan saya langsung tidak tahu.

“Manusia memang begitu. Apabila berkata berkenaan qanaah saja, terus berfikir berkenaan harta. Sedangkan qanaah itu boleh sahaja berkenaan jiwa. Berkenaan cinta. Manusia jarang sekali qanaah dalam bercinta. Terus sahaja meletak harapan pada apa sesuatu yang belum dia punya, dan tidak berasa cukup dengan apa yang ada di tangan. Terkadang, manusia melakukan hal itu bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang lain. Tidak qanaah pada apa yang dipunyai orang lain, malah tidak mahu mengakuinya, jelas menolaknya. Qanaah itu sifatnya, bukan sahaja pada orang dewasa, juga manusia seperti saya,” jelas budak lelaki itu, tegas namun ramah. Saya lagi-lagi mengaru kepala. Cuba membenam satu-satu hujah budak lelaki itu ke dalam kepala. Namun, tetap juga kepala saya sampai ke titik kosong.

“Jadi, sekiranya kamu sudah tahu makna qanaah, mengapa bertanya lagi?” soal saya, soal yang terpacu daripada kepala.

“Kerana saya mahu sentiasa mengingatkan diri saya,” jawabnya ringkas. Tersenyum sebelum meminta maaf atas kasar sikapnya dan kembali menyambung lariannya. Saya memandangnya hingga dia hilang terus dari pandangan saya.

“Maaf bertanya, ada kamu nampak budak lelaki berambut pendek dan mengenakan baju merah Liverpool?” tegur satu suara. Saya segera menggeser pandangan ke kiri. Seorang lelaki berwajah meneduhkan dan pandangan redup, bertanya lalu tersenyum.

“Ya, ada. Tadi dia duduk di sebelah saya sebelum menyambung lariannya ke sana,” jawab saya sebelum menyambung, “Mengapa? Ada apa perlunya dengan dia?”

“Dia anak saya,” jawab lelaki itu perlahan.

“Dia anak yang cerdas. Bercerita berkenaan qanaah dan segalanya berkenaan hidup. Bertuah abang punyai anak seperti itu,” sambung saya tersenyum sambil kata-kata budak lelaki itu terus terperangkap dalam hati saya.

“Ya, saya memang bertuah tetapi itu yang saya khuatirkan.”

Saya mengerut dahi dan meluncur kata-kata, “Mengapa?”

“Sebenarnya tengah hari tadi, dia baru sahaja meminta izin daripada saya untuk mencintai seorang gadis seusianya dan memohon saya pergi meminang gadis itu. Namun, kamu sendiri tahu, usianya masih satu angka. Jelas saya menolak impiannya mentah-mentah. Akhirnya dia menjauh, mahu joging katanya,” jelas ayah budak lelaki itu dan menyambung, “Sukar punyai anak yang cepat matangnya.”

Saya diam. Fikiran terus melayang jauh. Pada budak lelaki itu, pada ceritanya berkenaan qanaah juga pada cintanya. Aduh, semuanya bersimpul lalu menjadi tali yang membelit-belit hati saya. Perlahan-lahan saya mengerti mengapa budak lelaki itu begitu bersemangat ceritanya berkenaan qanaah.

Monday, May 18, 2009

I Think I Love My Wife

Hujung minggu tadi, saya berkesempatan menonton sebuah filem yang membuat hati saya bocor. Filem I Think I Love My Wife. Saya tidak akan menceritakan apa sinopsisnya filem ini kerana jelas ia bercitra dewasa, khas untuk golongan suami dan isteri.

Falsafah dalam filem ini terurai-urai dalam jiwa, umpama pualam yang menebar pesona keindahan. Lantas hati saya yang sedia bocor, terus lungsur ke sungai-sungai jiwa yang penuh pengertian.

Kata pemeran utama filem ini, “Kita tidak punyai pilihan untuk lahir dalam keluarga yang bagaimana dan tidak punya pilihan untuk mendapat otak yang bagaimana. Mudahnya, kita tidak punyai pilihan untuk banyak perkara dalam hidup kita. Tetapi kita punya pilihan tentang bagaimana cara kita menyayangi pasangan kita.”

Itulah rangkaian kalimat yang membuat hati saya bocor. Namun yang membuatkan hati saya seterusnya lungsur adalah cara yang dipilih lelaki itu bagi menyayangi isterinya. Tidak dengan jambak bunga merah, tidak dengan rumah bermozek eksotik, tidak juga dengan untaian kata yang menatang, memikul, merengkuh dan seterusnya menjunjung. Tetapi cukup dengan kelakuannya. Dia memilih untuk menyayangi isterinya dengan menjadi suami yang setia.

Cara yang cukup sederhana. Insya-Allah.

Thursday, May 14, 2009

lelaki Cina yang senyum sekadarnya

Saya mahu mengerti sesuatu daripada seorang lelaki Cina, yang bekerja di bawah tempat saya mencari rezeki. Dia kusam, pendek dan visual wajahnya di bawah sederhana. Pandangannya tidak tajam, ringan dan terasa mampu dilawan. Senyumnya tidak manis, sekadarnya, untuk memberitahu yang dia sedang berperasaan. Langsung tidak ada kutub ekstrem yang membuat hati berdecak.

Namun, itu yang membuat saya tidak ragu-ragu memberi dia senyuman yang menampak gigi. Tidak juga saya malu-malu hendak menyapa. Bertanya khabar dan kisah. Sedangkan, untuk hari-hari yang biasa, saya bukan lelaki begitu. Teman-teman saya mafhum hal itu.

Namun, ironi, bagi lelaki Cina itu. Saya sepertinya tidak menjadi diri saya sendiri. Akhirnya selepas berbulan-bulan, saya bertanyakan hal itu kepada seorang teman saya yang piawai ilmu jiwanya. Dan saat dia mendengarkan soalan saya dia tersenyum.

“Itu semuanya cerita berkenaan kerendahan hati. Sekiranya kamu ikhlas merendahkan hati, tidak meninggi, manusia lain tidak akan hairan untuk tersenyum dan menegur kamu. Yang utama, saat kamu berdoa, cubalah, usahalah untuk merendah hati. Tidak mudah, tapi boleh diusahakan,” ujar teman saya, masih tersenyum polos.

Fikiran saya terus melayang pada lelaki Cina itu. Lelaki yang dianugerahi kerendahan hati. Lalu terus juga fikiran saya bersoal, kerendahan hati itu harus yang bagaimana dan apa metodenya? Teman saya yang piawai ilmu jiwanya itu sekali lagi saya pandang. Tapi, sekarang sudah maghrib, lain kali saja saya coretkan katanya. :)

Thursday, May 07, 2009

terlepas untuk hari yang cerah

Kisah Kadir 1
Kisah Kadir 2

Berkawan dengan Kadir tidak mudah. Ada sahaja soalan hidupnya yang akan menohok ulu hati kita. Ibaratnya, dunia ini adalah untaian kalimat di atas kertas peperiksaan ekonomi. Penuh dengan teori, rajah dan angka yang mengjungkar jungkirkan dunia. Yang kesemuanya harus dijawab dengan wajah tersenyum menggoda. Aduh, sungguh tinggi mahunya.

Semalam, saat matahari sudah menanjak, pagi pula sudah membahana, Kadir datang ke depan saya dan bertanya satu soalan kehidupan.

“Kamu sebagai suami, sebagai ayah, pasti dalam hidup kamu penuh cinta, tapi walaupun begitu, sebagai manusia pasti kamu banyak terlepas saat-saat manisnya cinta. Jadi ajarkan aku cara menghadapi saat-saat yang saya terlepas itu,” soal Kadir, panjang.

Saya bungkam. Walaupun mafhum dengan sikapnya, namun soalan satu ini betul-betul berkicau-kicau dalam hati saya, menusuk halus, dan tetap di situ tidak mahu keluar. Wajah isteri juga anak mula mengelinjang dalam kepala. Ya, terlalu banyak yang saya terlepas. Senyum mereka, tawa mereka, dan segalanya tentang mereka.

“Kamu bertanyakan soal ini, mengapa?” Saya menyoal kembali. Kadir, mengangguk takzim. Entah apa yang menyelit dalam kalbunya waktu itu.

“Kerana, pada saat ini saya banyak terlepas detik penting dalam hidup saya. Pada waktu umur saya begini, saya masih sendiri, sedangkan teman lainnya sudah lenang dengan anak-anak. Pada waktu umur aku begini, aku masih belum punya kerja, sedangkan teman lain seperti kata Jamal Abdillah, berkereta di sana sini. Lalu bagaimana menurutmu?” terangnya dengan senyum khasnya, senyum seorang Kadir.

Ada rasa dalam kalbu saya yang menyeruak ke dada. Memahat-mahat hati saya yang lembut. Rasa yang kalau boleh dilihat pasti saya tak akan sanggup menatapnya. Saya menarik nafas panjang.

“Saya tidak tahu. Kerana apa sahaja yang terlepas daripada saya, saya hanya mampu membuat perkara ini, menangis juga berdoa semoga apa yang saya terlepas sekarang di dunia, tidak akan terlepas lagi di akhirat sana,” jawab saya. Ya, nadanya perlahan, ada mengandung sendu. Masakan tidak, wajah orang tua saya ikut bergayutan dalam kepala.

Kadir mengangguk perlahan lagi lalu langsung berkata, “Itulah kita, manusia. Sering menjadikan apa yang terlepas itu sebagai satu tujuan hidup. Padahal pada waktu yang terlepas itu, mereka sebetulnya sudah dapat sesuatu. Kamu misalnya, memang kamu terlepas semua saat-saat yang membahagiakan, tetapi pada waktu yang sama, boleh kamu kongsikan apa kebaikan dan keuntungan yang kamu peroleh? Pasti tidak kurang hebatnya walaupun ia cuma sekadar pengalaman.”

Saya mengerut dahi. Seperti yang saya katakan tadi, berkawan dengan Kadir tidak mudah. Saat dia bertanya, saat itu juga dia mampu menjawab dengan wewenangnya. Lalu mengapa bertanya lagi kalau sudah punya jawapannya?

Seketika saya tersenyum kembali, itukan dunia Kadir, dunia yang seperti kertas jawapan ekonomi. Tidak perlu menjawab tepat bagi memperoleh markah, cukup sekadar menunjukkan rumus, berkata tentang teori, melukis graf ataupun rajah, juga kronologi proses penyelesaiannya. Ya, yang penting proses. Itu diajarkan oleh Islam, pentingkan proses berbanding hasil akhirnya. Sekiranya proses tidak dipentingkan, manakan ada manusia yang sanggup mati syahid, sanggup berlapar kerana zuhud. Semuanya berkenaan proses. Hidup kita dinilai pada proses kita menyelesaikan duri-durinya yang tajam bak gigi yu.

Lalu tadi, Kadir tidak ada jawapannya, tetapi baru tadi juga, dia menunjukkan rumus, teori juga langkah penyelesaiannya. Proses. Saya mengangguk sambil membilang apa yang saya peroleh pada momen manis yang saya terlepas.

Wednesday, April 29, 2009

Berdialog dengan Taufiqurrahman al-Azizy



Klik gambar bagi imej yang jelas. Taufiqurrahman berkopiah hijau sedang menandatangi buku, dan saya, lelaki gempal berbaju kuning dab bertopi merah :P

Taufiqurrahman Al-Azizy adalah antara tiga orang penulis novel Islami yang mahsyur di Indonesia. Novelnya, Syahadat Cinta sudah lebih 40 kali diulang cetak juga sudah difilemkan. Hampir setiap minggu beliau ke radio atas jemputan sebagai penulis. Malah, beliau sudah sampai ke Hong Kong dan Taiwan dengan menggunakan gelaran novelis Islami. Rencananya sering terpapar di akhbar di Indonesia dan dia antara penulis yang didengar katanya. Selain itu beliau juga sudah menghasilkan lebih 120 buku fiksyen dan non fiksyen. Betul-betul penulis yang prolifik.

Lalu pada pesta buku yang lalu, saya sempat bertemu dan berbual-bual. Kami berbual di luar sebuah kedai fastfood (Marry Brown). Di situ saya belajar banyak perkara dengan beliau. Katanya, sekiranya mahu menulis berkenaan novel Islami, tulis Islam itu sebagai Islam, bukan Islam sebagai simbol. Pasti untuk itu saya jauh belum mampu.

Pesannya lagi, menulis tidak perlu mencari ilham. Biar ilham itu yang datang sendiri. Lalu bagaimana hendak ilham itu datang sendiri? Katanya, jauhkan dosa kerana orang yang berdosa hatinya gelap lalu ilham sukar menembusi hatinya.

Juga saya belajar banyak perkara berkenaan beliau. Beliau seorang yang tegas juga mudah dan ringkas. Ya, mudah ringkas hinggakan kami hanya duduk di luar kedai fastfood dan berbual tanpa langusng ada aksi JAIM (Jaga Imej). Sekiranya mahu ceritakan soal tegasnya pula, pernah suatu masa dia membaca novel, Tuhan, Izinkan Aku Jadi Pelacur dan akhir pembacaannya dia langsung tidak bersetuju dengan penulis, kerana menggunakan label Islam bagi produk Sastera Mazhab Seks (SMS). Kalau yang menulis novel itu ialah Ayu Atumi, ketua SMS sendiri, dia tidak ambil pusing kerana jelas Ayu Atumi itu memang begitu dan Ayu Atumi bukan Islam. Tetapi yang menulisnya ini Islam dan mengaku novelnya itu produk Islam. Akhirnya dia menghubungi penulis itu, mahu menyatakan bantahannya. Mahu berhujah secara berdepan. Katanya, sekiranya si penulis tidak mahu berbincang dengan jalan baik, bergaduh pun dia boleh. Saya pula terus menahan nafas dan berhenti bertanya apa yang berlaku selanjutnya.

Hari itu juga saya belajar satu perkara, apa yang orang lain fahami tidak semestinya sama dengan apa yang kita fikirkan. Kita boleh berfikir apa-apa sahaja, namun jangan fikir apa yang fikirkan itu sama dengan apa yang oleh lain fahami. Malah dalam agamanya juga begitu. Mudahnya, bersedia bagi tidak difahami atas apa yang kita fikirkan.

Itu terjadi semasa kami sudah mula diam. Topik yang panas tadi mulai sejuk. Salah saya juga kerana saya memang manusia yang diam. Lalu kepala saya mencari idea untuk diperbualkan. Terlalu sayang rasanya bagi melepaskan waktu bersama dengan penulis itu.

Selepas saya menarik nafas, saya berkata, “Di Indonesia, ada tak restoran fastfood (sebutannya pasput) yang menggunakan jenama lokal?”

Tujuan saya bertanya kerana mahu mengetahui apa pendapat beliau berkenaan boikot pada KFC dan Mc Donald. Adakah boikot di Indonesia itu berimpak positif sehingga melahirkan usahawan tempatan dengan jenama fastfood nya sendiri?

Namun beliau diam. Matanya tepat dan tajam memandang saya. Saya mula tersenyum yang dipaksa-paksa. Hatinya saya bergetar dengan kepala pula asyik berlegar soalan, apa salah soalan saya tadi? Saya terus memaksa tersenyum.

Beliau kemudian menarik nafas panjang dan mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan terus menunjukkan ke arah saya. Saya mengerut dahi.

“Ya, saya punya pasport. Kalau di Malaysia, pasport nya warna merah kan?” kata beliau dengan pasport antarabangsa Indonesia berwarna hijau di tangannya.

Saya masih diam. Fastfood menjadi pasport? Saya tersenyum. Namun saya tetap belajar sesuatu daripada situ. Akhir dialog kami tak perlulah saya jelaskan, kerana selepas itu semuanya saya sudah lupa.

Terima kasih kerana sudi datang ke Malaysia untuk berkongsi sesuatu.

Maklumat lanjut berkenaan penulis ini

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Hip/20090429063559/Article/index_html

Friday, April 17, 2009

Cerita tentang 20 peratus

Teman saya, seorang yang suka menonton filem. Juga seorang yang suka mengambil sesuatu daripada filem itu bagi diceritakan. Lalu beberapa hari lalu, dia menonton filem Fast & Furios 4. Seperti biasa ada perkara baru yang diceritakannya kepada saya.

Katanya, ada satu babak dalam filem itu yang membuatnya terfikir. Sesuatu berkenaan manusia. Katanya manusia itu terbahagi kepada dua. Jahatnya 80%, baiknya 20%. Satu lagi baiknya 80%, jahatnya pula 20%.

Itu tidak ada apa-apa lagi. Saya masih boleh tersenyum mendengar dia bercerita, bersemangat. Kemudian dia berkata, manusia baik dan jahat itu bukan dinilai daripada berapa banyak peratus baik dan jahatnya. Di sini saya mula mengerut dahi.

Sambungnya lagi, manusia yang baik dinilai melalui cara dia menunjukkan kebaikannya. Walaupun dia manusia yang 80% jahat dan 20% baik tetapi sekiranya dia berjaya menampilkan 20% kebaikannya itu dengan cemerlang, dia tetap digelar manusia baik. Begitu juga sebaliknya.

Di sini saya sudah mengaru-garu tapak tangan. Hati saya mula bergetar lembut. Kawan saya itu kemudian menjadikan ceritanya sempurna dengan menanyakan saya, saya ini manusia yang jenis bagaimana? Saya terus diam.

Mungkin tahu yang saya sendiri tidak tahu, dia memberitahu, supaya sentiasa menganggap diri sebagai manusia yang punyai hanya 20% kebaikan dan 80% kejahatan. Cuma kita dianggap baik kerana kita hanya menunjukkan 20% kebaikan itu. Manakala 80% kejahatan itu pula terlindung dalam hati.

Tujuannya, supaya kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak melambung dengan kebaikan yang hanya 20% itu. Saya terus terdiam. Hati saya mula menerima satu hakikat, ya saya manusia yang hanya punyai kebaikan 20% tetapi terlihat baik kerana hanya 20% itu sahaja yang saya tunjukkan.

Aduhai, Tuhan ampun kan hamba-Mu ini. Ampunkan.

Pesta Buku Kuala Lumpur

17 - 26 April 2009 di PWTC
Datanglah.
:)

Tuesday, April 14, 2009

mereka juga pernah

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4
Lelaki Tua: Kisah 5
Lelaki Tua: Kisah 6
Lelaki Tua: Kisah 7

Lamanya tidak bercerita dengan dia. Berjumpa pun tidak, entah di mana dia. Mungkin sekarang sedang bersenang-senang dengan cucunya. Entah. Yang utama, hidup ini rasanya kurang satu warna. Cuma saya tidak pasti warna apa, putih ataupun hitam. Kabur. Lalu saya di sini sendiri duduk di hadapan komputer, diam.

“Kamu cari saya?”

Saya mengerut dahi. Perlahan menoleh ke kiri. Seorang tua berbaju merah memandang saya tersenyum. Gayanya kemas, dengan rambut yang berminyak. Senyumnya kali ini lebih cemerlang. Kerut dahi saya semakin banyak. Aik! Baru sahaja saya menuliskan tentang dia, dia sudah muncul di sebelah saya.

“Kamu tahu, apa yang kamu pandang ini, pernah dulu, juga muda. Apa sahaja perkara lama yang kamu pandang sekarang, dahulu pernah baharu,” kata lelaki tua berbaju merah itu. Tangan dilingkarkan ke kerusi.

Saya menetap bibir. Jemari saya di keyboard kaku. Diam.

“Saya juga dulu seperti kamu. Memandang tanpa rasa. Memandang tanpa mahu mengambil hikmah. Cuma pada waktu ini, saat usia saya sudah merangkak senja, baharu saya sedar, suatu perkara....” Lelaki tua itu diam sebentar. Senyumnya sirna, bertukar tegang.

Saya? Lagi-lagi tegang. Mengapa dengan dia?

“Pada usia saya ini, saya baru tersedar yang manusia yang sudah menjadi mayat, pernah dahulu, juga berbaju merah, juga duduk menaip di depan komputer, juga pernah segala-gala yang kita perbuat. Tapi sekarang....”

Saya terus menahan nafas.

Monday, April 13, 2009

karya eksperimen



Sekiranya ditanyakan, genre mana yang lebih saya suka. Saya akan senang mengaku, saya lebih suka dengan genre yang berkisar kepada kehidupan. Seperti Doa Untuk Aku, Dunia Ini Sederhana Kecil dan yang terbaru Detektif Tudung Hitam

Tetapi ada kekecualian. Dalam menghasilkan karya, guru saya mengatakan kita perlu seperti petani di Eropah pada kurun ke-18 yang mengamalkan sistem tanaman giliran. Selepas menanam tanaman kekacang, mereka akan menanam sayuran buah pula dan adakalanya berhenti sebentar. Tujuannya supaya tanah tidak hilang zatnya kerana setiap tanaman yang ditanam bergilir memberikan dan mengambil zat yang berlainan.

Begitu juga saya. Takut-takut nanti kerana kelemahan saya dan kurangnya pengalaman saya dalam penulisan ini membuat tulisan saya klise. Lalu saya cuba menggilirkan genre penulisan. Semoga dengan itu karya tidak terlalu klise. Otak juga segar.

Akhirnya idea itu datang dalam bentuk karya eksperimen. Karya yang disasarkan bagi pembaca lelaki yang lebih menggemari komik. Lalu persoalannya, gaya bahasa, juga plot yang bagaimana? Mujur ada guru yang handal, saya diajar, kisah yang dialognya banyak, akan menjadi kisah yang pantas dan penuh aksi. Susunan plot yang pendek-pendek juga membantu. Itu yang saya cuba walaupun ia bukan stail penulisan kegemaran saya. Akhirnya saya namakan ia karya eksperimen. Adi Gempa juga Perang Kucing, buku sains fiksyen dan fantasi khas untuk lelaki. Buku yang lama tempohnya untuk dihasilkan walaupun tidaklah setebal buku saya yang lain. Semoga ia berjaya. Amin. :)



Friday, April 10, 2009

Untuk pendidik bangsa yang akan ke pedalaman.


Buku ini sudah lama di atas meja. Disuruh baca, disuruh ulas. Namun kerana longgokan buku lain yang perlu dihabis baca sudah mendesak, buku ini tertinggal. Sehingga pada hari ini saya berpeluang menceritakan apa buku ini.

Saya tidak punyai kesabaran sebetulnya bagi menceritakan buku ini berkenaan apa. Namun saya lebih sabar menceritakan rasa yang mungkin dapat diperoleh daripada buku ini.

Ini buku yang ditulis oleh cikgu, yang dihantar mengajar di suatu kawasan pedalaman Sarawak. Buku yang bercerita berkenaan apa yang perlu dan apa yang jangan. Saya suka sekali dengan satu pesanan di dalam buku ini, supaya tetap membawa kita suci al-Quran ke mana-mana sahaja. Walau di tempat tujuan boleh dibeli juga. Sebabnya cukup menyendalkan rasa. Apa sebabnya? Uliti sendiri isi buku ini. :)

Buku ini sebetulnya adalah kisah jujur pengalaman guru itu. Lalu diceritakan pengalaman itu dengan gaya bahasa bercerita yang santai dan mudah. Sehingga boleh dikelaskan sebagai novel travelog. Novel yang memberi inspirasi dan panduan.

Tidak keterlaluan rasanya sekiranya saya cukup-cukup mengusulkan buku ini supaya dibaca oleh para guru yang akan dihantar ke pedalaman. Setidak-tidaknya buku ini mampu menjadi morfin penghilang gelisah hati.

Kesimpulan daripada buku ini, semuanya akan baik-baik saja. Teruskan hidup dan segera dapatkan di kedai buku.:)

Friday, April 03, 2009

selamat pagi sayang

Katakan begini. Hari ini kita baru sahaja membuka mata, dengan selimut yang masih melingkar. Membiar mata perlahan-lahan berkedip, mulut dikemam dan ada rasa lekit di hujung bibir.

Dengan mata terpisat-pisat, tangan yang mengocak-ngocak selimut, membuang jauh ke hujung kaki, tubuh kita lalu tegak. Jemari menyeruak rambut, mengirai-ngirai biar dahi nampak, dengan punggung yang masih tenggelam di tilam, kita mengangkat tangan tinggi, menggeliat.

Hujung bibir kita terjungkit. Di hadapan kita ada seseorang anak kecil yang tidak pernah tahu apa ertinya 'baru bangun' tidur, datang, melompat dan merangkul leher, lalu mencium pipi. Lalu, nikmat mana lagi yang hendak kita dustakan?

:)

Monday, March 23, 2009

Detektif Bertudung Hitam - cuba berbeza



Untuk menukilkan sesuatu yang luar biasa, perlu bermula dengan kisah yang biasa-biasa. Lalu atas itu, novel ini ditulis. Kisah biasa masyarakat kita yang aneh-aneh dan berkenaan semua perkara biasa yang ada di sekitar kita. Itu sahaja. ;-)

Silencez: Ya, novel ini sudah beredar di pasaran dalam minggu ini. Maryamah Karpov pula hanya terbit dalam edisi bahasa Malaysia.

Friday, March 13, 2009

dan malaikat pun....

Waktu itu pagi baru bertatih, masih tersenyum dan tak tahu dosa. Saya duduk takzim di suatu sudut di ruang klinik. Demam.

Sementara menunggu nama saya dipanggil, anak perempuan kecil yang elok tata tudung biru di kepalanya menghampiri saya. Dia tidak tersenyum, tidak juga muncung bibirnya. Matanya terus memerhati saya.

Saya yang waktu itu sedang elok menyemak isi majalah kusam di atas meja, membalas renungan anak perempuan kecil itu. Rasanya, umur anak kecil itu mungkin baru empat ataupun lima tahun. Majalah kusam, saya letak kembali. Duduk saya yang tadi mengiring mula melurus menghadap anak perempuan kecil itu.

“Kenapa pandang saya begitu?” tanya saya dengan kepala yang denyutnya mampu menghalau semut. Sambil tangan saya sudah menari-nari di pelipis, cuba mengusir denyut di situ, jauh-jauh. Namun mata saya tidak pernah jauh daripada wajah anak perempuan itu. Wajahnya berkulit kuning langsat cerah. Bibirnya merah dan bulu matanya aduhai, lentik dan panjang. Apatah lagi dengan mata putih dan hitam yang bulat. Cukup membuat hati saya terkesan.

“Abang mahu dengar cerita? Saya sebenarnya tidak faham cerita ini, tetapi bonda saya yang ceritakan. Katanya apabila saya besar nanti, saya akan faham,” kata anak kecil itu, tiba-tiba.

Saya mengangguk. Berbahasa melalui wajah yang nampak tidak sabar mahu mendengar ceritanya. Namun tetap juga berkata, “Ya, abang sudi.”

“Bonda cerita, hidup ini bukan hanya ada satu peluang. Tuhan sentiasa dan akan memberikan kita peluang. Selagi mana kita percaya dan berbaik sangka dengan Tuhan. Malah terkadang dalam peluang itu ada lagi peluang yang lain. Cuma sahaja manusia yang terlalu memilih peluang. Bonda juga berkata, untuk kebanyakan waktu, bukan manusia yang memilih peluang tetapi peluang yang memilih manusia. Jadi bonda berpesan, sekiranya nanti apabila saya sudah dewasa dan mula berasa tidak punyai peluang untuk dicintai, peluang untuk disayangi, teruskan hidup dengan senyuman. Teruskan berdoa. Kerana doa itu adalah peluang yang di dalam ada sejuta peluang. Hidup itu juga adalah peluang yang di dalamnya ada sejuta lagi peluang. Sekiranya tidak ada peluang dicintai, disayangi, ia adalah peluang untuk kita menyayangi diri kita, menyayangi keluarga dan utama menyayangi Tuhan. Juga adalah peluang untuk kita disayangi Tuhan. Selagi mana kita terus mengambil peluang untuk berdoa dan peluang untuk hidup baik-baik. Bonda pesan lagi, sekiranya nanti saya seolah tidak punya peluang dicintai, jangan terus terburu-buru memilih cinta. Cinta itu bukan maksudnya terburu-buru, cinta adalah hati, berhati-hati. Cinta juga tidak bermaksud putus asa, cinta adalah harapan. Jadi, gunakan peluang yang ada bagi terus berdoa, bagi terus hidup kerana itu adalah peluang yang di dalamnya ada jutaan peluang,” cerita anak kecil itu dengan cukup-cukup panjang lebar.

Saya sepanjang dia bercerita terus-terusan mengangguk, tersenyum. Anak kecil ini betul-betul punyai otak yang cerdas mengingat. Tapi rasanya semua anak kecil begitu, mereka masih terlalu suci.

“Abang tahu, apa sakit bonda saya?” soal anak perempuan kecil itu kemudian lalu terus merapat.

Saya diam. Terdetik hati saya, mengapa perbuatan anak kecil itu sepertinya tidak mengikut aturan, melompat-lompat ceritanya. Sekejap itu, sekejap ini. Mungkin anak kecil memang begitu, dan itu yang saya yakini.

“Bonda kamu mengapa?” soal saya lagi, selepas puas menyeluruhi wajah anak perempuan kecil itu, juga selepas denyut di kepala semakin kecil. Entah, kerana picitan saya ataupun kerana wajah anak kecil itu.

“Bonda beritahu, doa dia sudah termakbul. Saya akan ada adik. Tapi bonda muntah-muntah, lemah juga sering sakit di perut. Jadi bonda saya sakit apa?” soal anak kecil itu dengan nada suara yang sepertinya sedang penuh mulutnya.

Terus sahaja saya tersenyum. Apa yang perlu saya beritahu dia? Itukan sakitnya cinta. Apa bondanya tidak pernah memberitahu hal itu?

“Bonda kamu di mana?” soal saya, kemudian.

Anak perempuan kecil itu diam. Terus-terus sahaja dia memandang saya. Pelupuk matanya tidak berkedip lama, sungguh hebat dia menahan keinginan mata yang mahu mengerdip. Tanpa ada apa-apa tanda daripada saya, anak kecil itu terus sahaja duduk di sebelah saya. Sebelah kanan.

“Saya yang tanya abang dulu. Abang tak jawab lagi soalan saya. Bonda saya sakit apa?” Anak perempuan itu jelas punyai otak yang cerdas. Boleh sahaja dia memberi hujah sebegitu. Seperti Aristotale, menjawab pertanyaan dengan pertanyaan.

Saya mengusap pelipis, menarik nafas dan menata suara yang tertahan di kerongkong. Selesai semuanya, saya berasa cukup bersedia, saya pun berkata, “Sayang, bonda kamu tidak sakit. Kalau boleh dikata sakit pun, bonda kamu sebenarnya sakit buatan cinta. Bonda kamu sedang mengandung adik kamu. Orang yang mengandung memang begitu. Kamu perlu gembira kerana nanti kamu punyai adik, kamu boleh bermain bersama. Abang jamin, kamu pasti sangat menyayangi adik kecil kamu nanti.”

Anak kecil itu masih begitu-begitu wajahnya. Seperti mula tadi. Tersenyum tidak, muncung bibir pun tidak. Hanya mata beningnya sahaja yang terus-terus memandang ke arah saya.

“Ini berita gembira? Saya akan ada adik? Jadi bonda tidak sakit?” soal anak kecil itu lagi, terus-terus.

Saya tersenyum dan terus mengangguk pelan. Anak kecil itu diam. Lama diamnya, dengan mata yang terus mengarah ke arah saya. Saya pula terus-terusan tersenyum.

“Tapi mengapa bonda tidak pernah pulang, langsung tidak pernah. Ayah beritahu, bonda sudah bertemu dengan Tuhan? Sudah masuk ke dalam tanah. Kalau bonda saya tidak sakit, mengapa begitu? Kalau itu berita gembira, mengapa bonda hilang? Apa gembira itu akhirnya memang begitu? Mengapa?” tanya anak kecil itu terus.

Senyum saya lenyap. Denyut kepala saya terbang terus entah ke mana. Hati saya pula sepertinya diapit pintu. Wajah anak kecil itu saya tenung dalam-dalam. Apa lagi yang harus saya katakan? Dan suasana menjadi hening, hening yang tak tertanggung. Fikiran saya kemudian terus melayang kepada cerita bondanya. Adakah itu maksud bondanya dengan pesan, “Sekiranya kamu tidak punyai peluang bagi disayangi, bagi dicintai....”

Seketika hening terganggu, pintu klinik terbuka. Seorang lelaki berwajah bersih tapi mendung terus datang menghampiri anak kecil itu dengan mata yang merah lalu berkata, “Sayang, jangan begini lagi, penat ayah cari.”

Dan seketika juga, dada saya tersendat. Terus-terus sahaja wajah bonda dan ayah berlegar di kepala. Ya, ternyata pesan bonda anak kecil itu berkenaan peluang langsung tidak salah. Peluang yang memilih manusia, dan ada manusia yang masih diberi peluang, untuk mempunyai cinta bonda, ada juga yang sudah tidak lagi punyai peluang itu.