Hati yang mendung.
Hati saya dan langit seperti sudah sepakat, untuk menjadi muram dan hitam, pada petang itu. Tidak sering saya begitu, namun pada saat ia terjadi, sesal saya tidak akan surut, sampai bila-bila.
Semuanya kerana saya tidak bersedia, untuk melihat hal yang sederhana itu sebagai hal yang besar. Menghampakan, untuk saya memperoleh pandangan sebegitu.
Lelaki pesona.
Dia termasuk dalam keluarga saya yang dekat. Pangkatnya sebagai abang kepada nenek saya. Dia lelaki yang banyak kisah menakjubkan untuk saya dengari. Bermula dengan kisahnya semasa masih di Sulawesi, masih berambut panjang menentang belanda. Hingga pada kisahnya yang membuat bulu roma saya berdiri, dia mencabar lembaga hitam tinggi yang menghadang jalannya. Kisah-kisahnya itu, tidak sekali pun membuat hati saya merinding dengan soalan, kerana untuk saya, dia adalah lelaki yang penuh pesona.
Duduknya jauh dari kami, duduknya di ulu. Jalan ke rumah orennya berliku dan harus menempuhi jalan yang diceritakannya, pernah dihadang oleh lembaga hitam yang tingginya menjulang. Jalan yang sunyi, penuh pokok-pokok liar.
Atas sebab itu, saya sangat jarang untuk ke rumahnya, hanya kerana saya takut untuk bertemu dengan lembaga hitam yang tinggi menjulang. Tanpa saya tahu, takut saya itu bukan apa-apa, sekiranya mahu dibanding dengan hal yang sederhana itu.
Ramadhan.
Pada zaman 80-an, Ramadhan di kampung saya adalah sesuatu yang cukup luar biasa untuk saya. Pada saat Ramadhan itu tiba, saya dapat merasakan udaranya berbeza, cahaya mataharinya juga berbeza, dan segala-galanya cukup berbeza. Waktu itu, walaupun tanpa bazar Ramadhan, saya tetap tahu itu adalah Ramadhan.
Ramadhan pada waktu itu adalah waktu yang paling nyaman. Waktu itu walaupun puasa, saya tidak letih untuk ke kedai Cina membeli blok ais untuk dicampur dengan air kelapa. Air kelapa yang dicampur dengan perahan limau dan sedikit pati sirap, membuat air kelapa itu berwarna merah jambu dan memberi rasa manis yang luar biasa.
Pada waktu malamnya pula, walaupun terpaksa berjalan kaki dengan lampu suluh yang malap, dan terkadang dengan pelita bersumbu besar sekiranya bateri habis, kami tetap ke masjid dengan rasa gembira. Terkadang, apabila minyak pelita habis di tengah jalan, terpaksa membakar daun pisang kering, dan ia menjadi suar selama beberapa minit. Cukup untuk beberapa langkah sebelum terpaksa berhenti lagi untuk membakar daun pisang kering yang lain.
Pada malam selepas terawih itulah saya mendengarkan permintaan sederhana itu, permintaan yang saya tidak bersedia untuk memasang wajah yang tersenyum bersedia. Permintaan yang hingga kini masih berlegar-legar dalam kepala.
Silaturahim
Pada suatu malam yang berbintang, ayah saya mengajak saya ke rumah datuk saudara saya itu. Kata ayah saya, “Kita pergi untuk silaturahim.”
Mendengar itu, saya hanya tersenyum. Pada malam Ramadhan, saya lebih suka bermain bunga api dengan sepupu-sepupu saya. Bermain mercun hingga bawah rumah saya bertaburan dengan kertas-kertas yang berwarna-warni. Sekiranya tidak begitu, saya lebih suka duduk di rumah yang waktu itu sudah ada generator, menonton televisyen hingga generator mati sebelum pukul 10 malam. Tetapi untuk berjalan ke rumah datuk saudara saya yang jalannya ada lembaga hitam yang menjulang, adalah perkara terakhir yang akan saya buat.
“Tunggu hari raya nanti,” jawab saya untuk ayah saya, lalu dengan pantas berlarian keluar masjid, berjalan ramai-ramai dengan teman saya, membelah gelapnya kampung dengan bunga api dan mercun.
Malam itu, saya tidak pernah tahu, permintaan sederhana ayah saya itu, adalah permintaan yang sangat saya sesali.
Tuhan.
Dua hari selepas itu, semasa Ramadhan sudah menjelang senja, ayah saya berlari pantas menuju ke rumah dengan wajah yang merah. Lekas dia bertanya, “Di mana ibu mu?”
Saya memberitahu ibu sedang sibuk membelek-belek majalah yang dikirim sepupu saya dibandar, kerana di dalamnya ada resepi baru untuk biskut raya. Kemudian saya pula bertanya, “Mengapa?”
Ayah saya dengan wajah yang merah kerana berlari memberitahu dengan suara yang ditahan-tahan, “Datuk saudara mu sudah pergi meninggalkan kita.”
Saya, waktu itu masih belum baligh, namun saya tetap tahu maknanya perkara itu. Tidak saya sedar betapa lama saya menangis. Permintaan ayah saya yang sederhana, beberapa malam lepas kembali berlegar dalam kepala.
Kini.
Pada saat Ramadan ini tiba, saya tidak mahu salah lagi dalam hal yang sederhana. Walaupun kisah ini boleh sahaja terjadi dalam bulan apa pun, tetapi, saya tetap sesal kerana pernah menyebut, “Tunggu hari raya nanti.”
Jadi, saya tidak mahu lagi mengatakan hal itu dan di sini saya hanya mahu berkata yang sederhana, di bulan Ramadan ini, “Maafkan semua salah saya, yang sedar mahupun tidak, kerana takut, kita tidak akan ada untuk 1 Syawal nanti.”
2 comments:
Salam Ramadhan..
Mmenbaca entry ini...membibitkan kerinduan kepada Tanah Bonda kelahiran. Kenyalang.
salam ramadhan...
untuk peminat liverpool di Malaysia...
http://liverpool-malaysia.blogspot.com/
Post a Comment