Berkata salah.
Tidak banyak waktu, saya mendapati diri saya tersudut dalam pemikiran yang tidak mampu menidakkan hal yang salah. Namun, pada saat itu terjadi, ia betul-betul terbenam dalam hati saya. Cuba juga saya kais-kais, supaya saya mampu mengatakan hal yang salah itu salah, namun, hati saya tidak mampu bergemeretak untuk berkata salah.
Itu yang saya alami pada suatu waktu, dan saya tidak pernah akan tahu, pada akhir waktu itu air mata saya menitik tanpa malu-malu.
Ayah.
Punyai ayah yang keras sikapnya itu, biasa. Putih tetap putih, dan hitam tetap hitam. Sekiranya cuba-cuba berkata kelabu, pasti ada bahagian tubuh yang akan merah gelita.
Namun saya pelajari, pada suatu waktu, hanya kerana satu perkara, sikap keras yang bertahun-tahun itu, akan menjadi umpama embun. Tidak dipeduli dan tidak apa-apa. Sikap keras itu tidak hilang daripada sang ayah, namun akan hilang daripada pemikiran sang anak, cukup hanya untuk satu perkara, dan itu betul-betul saya ketahui dalam cara yang paling sukar.
Dia.
Teman karib saya tidak ramai, malah tidak perlu jari-jari tangan kiri untuk dibilang. Cukup sekadar jari di tangan kanan, dan salah seorang teman karib saya, yang saya tasbihkan sebagai teman berkedudukan seperti ibu jari, adalah dia.
Dia, sudah rutin, malah sering kali bersusah payah hanya untuk menjemput saya ke rumahnya sebagai tamu. Hari itu, juga begitu. Pada hari dia menerima wang bonus daripada ketuanya yang baik hati. Dia dan saya cukup gembira. Namun gembiranya dia, terlalu tinggi, hingga ia menjadi misteri kepada saya. Lalu saya bertanya mengapa dan jawapannya membuat saya menahan nafas yang sayu.
“Seumur hidup ayah saya, dia tidak pernah menerima wang berjumlah empat angka daripada saya. Hari ini, untuk pertama kalinya, saya mahu berikan dia wang berjumlah empat angka. Itu cita-cita saya, kerana saya sudah terlambat untuk berbuat begitu dengan ibu saya. Untuk ayah saya, saya tidak mahu lagi terlepas.”
Saya, jujurnya, sebak. Namun itu belum apa-apa, kerana apa yang menanti saya, akan membuat saya terus menitis air mata.
Syurga.
Saya dan teman karib saya itu, sampai juga ke rumah kampung, milik ayah teman karib saya. Dengan wajah yang masih riang, teman karib saya terus meluru kepada ayahnya, yang dahulu pernah diberitahu kepada saya, sebagai ayah yang cukup keras. Tergolong dalam manusia yang hitam putih tanpa kelabu.
Dia, teman saya itu, terburu-buru namun cermat menghulurkan wang untuk ayahnya yang keras itu, namun sudah dimakan uban rambutnya.
“Ini untuk ayah,” kata dia, tersenyum membesarkan hati.
Ayah teman saya itu diam. Memerhati sahaja sampul surat yang penuh berisi wang. Kemudian dia menyerahkan kembali kepada anaknya, tanpa senyuman, namun memmasang wajah bersedia untuk berkata sesuatu yang perih.
“Gunakan wang ini untuk upah haji arwah ibu kamu. Untuk ayah, insya-Allah sekiranya Tuhan masih memberi rezeki, pasti ada lagi bahagian untuk ayah. Namun untuk ibu kamu, hanya itu sahaja rezekinya di sana.”
Teman saya terus menitik air mata, dan saya seperti sudah saya mafhumkan, tanpa malu-malu, namun tetap sembunyi-sembunyi, perlahan-lahan mengesat pelupuk mata.
Berkata benar.
Itu hal yang saya tidak mampu katakan salah. Walau akal sihat saya mengatakan, wang itu harus digunakan oleh si ayah selagi nyawanya masih ada. Gunakan sahaja untuk bersenang-senang selagi masih ada waktu. Tidak perlu untuk arwah si ibu kerana, sekiranya si anak ada rezeki lagi, pasti boleh dibuatkan upah haji untuk arwah si ibu. Bukan sebaliknya.
Namun, hati saya tidak mampu mengatakan itu hal yang salah, untuk sebab yang saya sebak pada setiap waktu apabila saya fikirkan.
Sikap itu juga, yang membuat apa sahaja salah sang ayah, apa sahaja sikap tidak betulnya dahulu, menjadi ibarat titik embun pada sang anak. Itu yang teman saya rasai, dan itu juga yang saya pelajari.
2 comments:
touch in my heart
menitik airmata saya membacanya. kalau si bu ditempat si ayah pun akan buat benda yg sama...
huhuhu.
hati ayah dan ibu.
Post a Comment