Sunday, December 28, 2008

Dunia ini bulat untuk kita

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4
Lelaki Tua: Kisah 5
Lelaki Tua: Kisah 6

"Kamu percaya dunia itu bulat?"

Saya langsung menoleh ke kiri. Seorang lelaki tua berbaju merah sedang berdiri dengan mata yang buntang. Saya mengundur ke belakang, kemudian turut membuntangkan mata. Fikiran saya terus menjengah memori. Ya, ini lelaki tua itu.

“Percaya. Mengapa?” tanya saya selepas 30 saat berlalu beku.

“Jadi apa bezanya kamu dengan manusia yang duduk di dalam rumah tanah di Afrika? Mereka juga percaya yang dunia itu bulat,” balas lelaki tua itu pula.

Saya diam. Angin petang kembali memainkan iramanya. Meliuk nakal di telinga sambil mendesah manja. Seolahnya mahu mengoda mata supaya ke ranjang, lelap untuk seketika. Cepat-cepat saya kejap-kejapkan mata, mengusir godaan angin petang. Lalu pantas memandang orang tua berbaju merah itu. Saya membetulkan posisi tubuh lalu terus menghadap dia.

“Apa?” tanya saya pendek.

“Apa yang apa?” soal lelaki tua itu lagi.

“Apa yang membezakan saya dengan orang Afrika yang berada di dalam rumah tanah itu?” Untuk kali ini saya cuba memanjangkan kata.

Lelaki tua berbaju merah itu menggaru sikunya dan kemudian meniup-niup sikunya itu. Saya mengerut dahi. Mengapa?

“Beza kamu dengan lelaki Afrika itu adalah pada apa yang kamu dan dia tidak percayai,” jawab lelaki tua berbaju merah sambil terus menggaru sikunya.

“Apa?” tanya saya.

“Apa yang apa?” ulang lelaki tua itu pula.

“Apa yang maksud tuan dengan kata-kata tuan tadi?” Saya mula mengerut dahi. Mata pula tetap bertumpu pada siku lelaki tua itu.

“Kamu tidak percaya yang ada tuhan lain selain Allah, tetapi lelaki di Afrika itu pula tidak percaya adanya Allah. Namun kamu dan dia sama-sama percaya dunia ini bulat kerana Tuhan sudah menciptakannya begitu,” terang lelaki tua itu dan terus menggaru sikunya.

Saya diam lagi. Dahi saya bertambah berkerut. Apa sebetulnya yang lelaki tua ini hendak beritahu? Saya terus memandang sikunya.

“Begitu juga kamu dalam hidup. Kamu dan saya itu percaya yang cinta itu membahagiakan. Tetapi kamu dan saya tetap berbeza. Saya tidak percaya cinta tanpa harta itu membahagiakan dan kamu pula tidak percaya cinta dengan harta itu adalah kebahagian yang mutlak. Jadi sebelum kamu tersenyum dengan apa yang kamu sepakati bersama, sama ada dalam soal hati, kerja atau apa pun, sentiasa fikirkan perbezaan yang terlindung. Contoh lain, sama seperti kamu sedang membaca satu novel, dan teman kamu percaya ia menarik pada bab 1, kamu pula percaya ia menarik pada bab akhir. Kesimpulannya tetap sama, ia menarik tetapi tetap berbeza dalam definasinya. Kesimpulannya, manusia ini tetap berbeza walau mereka berkata mereka sama dan sehati sejiwa. Cuma usah perbesarkan perbezaan itu sehingga ia menutup persamaan yang menjadi mula senyuman kamu tadi. Tetap berpegang pada persamaan tetapi tetap jugalah berpegang pada perbezaan, kerana kita semua dicipta oleh-Nya untuk itu,” terang lelaki tua itu dengan lebih panjang lebar.

Saya terus diam dan terus melihat sikunya yang semakin kerap digaru.

Wednesday, December 24, 2008

Langit tidak selalunya cerah


Tag

Saya diberi soalan TAG oleh Yani. Lalu saya keliru, soalan tag itu apa? Selepas meminta pertolongan pakcik Google yang berbaik hati, akhirnya saya mengetahui sesuatu berkenaan soalan tag. Jawapan yang diberikan oleh Pakcik Google menambahkan kekeliruan saya. Tidak ada kesamaan soalan tag Yani itu dengan maksud soalan tag daripada Pakcik Google. Walaupun begitu saya tetap mahu menjawab 'soalan tag' Yani.

Namun saya punyai masalah sikap untuk menjawab soalan yang sebegitu kerana saya suka menyimpulkan jawapan untuk semua soalan itu, iaitu untuk cinta kepada lawan jenis, isteri saya adalah cinta terbaik yang pernah saya peroleh. Cukup? :-P

Tudung

Okey, sebetulnya saya mahu memberitahu sesuatu berkenaan wanita dan tudung. Saya difahamkan sekiranya tudung itu terlalu ketat pada bahagian dagu, lemak akan berkumpul lalu membentuk dagu berlapis. Lalu apabila saya melihat perempuan yang dagunya berlapis, tetapi tidak bertudung, hati saya terus berkata, mungkin dulu dia memakai tudung yang ketat. Kemudian otak nakal saya terus menjalar, bagaimana sekiranya perempuan itu memakai baju yang ketat? Apa lemak-lemak akan berkumpul pada bawah kulit?

Walau bagaimanapun, cerita utamanya adalah, saya adalah lelaki bermotosikal. Seperti juga Mat Kereta yang sanggup berhabis untuk kereta, saya juga begitu. Mujur hanya motosikal, jadi tidak terlalu berhabis. :-)

Untuk menikmati kelajuan perkara paling asas adalah keselamatan. Lalu bercerita berkenaan keselamatan, perlu punyai helmet yang cukup kuat dan aerodinamik bagi membelah angin. Saya punyai helmet sebegitu walaupun ia bukan helmet yang mahal. Saya mengikat ketat helmet itu pada kepala dan disitu masalah saya bermula. Sama seperti tudung yang diikat ketat, dagu saya mulai berlapis, atau dalam bahasa lebih mudahnya, saya sudah kelihatan gemuk. Aduh! Jadi apabila sering melihat saya mengunyah chewing gum, harap kamu semua sudah maklum sebabnya. Hmmm.....

Wednesday, December 17, 2008

Mengapa arasy bergoncang?

Suatu hari, tidak lama dahulu, kawan saya pernah memberitahu yang para artis itu mudah bercerai kerana mereka sering sahaja mendendangkan lagu berkenaan perpisahan ataupun melakonkan cerita yang berkenaan perceraian. Lalu kesemua itu sebetulnya adalah doa. Doa yang meminta apa yang mereka nyanyikan itu, apa yang mereka lakukan itu dengan sesungguh hati. Saya terdiam kerana saya ini juga seorang penggemar lagu yang melankoli. :-P

Tetapi Allah juga yang lebih tahu. Bercerita berkenaan doa juga, saya sudah membaca satu tulisan berkenaan doa yang sangat panjang. Mengapa? Sekiranya sudah membaca tulisan itu pasti kamu tahu sebab saya membacanya sehingga akhir. :-)

Tulisan tentang doa.

Sunday, December 07, 2008

Selamat menyambut Aidiladha

Ini sahaja gambar terbaru yang saya ada tetapi ia tidaklah menggambarkan suasana aidiladha cuma ia sepertinya berlatarbelakangkan pengorbanan :-P. Dengan itu saya mengucapkan selamat menyambut aidiladha. Semoga akhirnya erti 'pengorbanan' itu lebih mudah untuk kita, semudah memetik bunga di pohon. Ya, semoga....



Laskar pelangi? Okey, saya yang berada dipuncak. Hehehe.


Satu-satunya gambar semasa saya tercedera. Malangnya tidak ada pengusung hanya ada penyorong. Terima kasih kepada yang menyorong. Hehehe.

Friday, December 05, 2008

untuk saya, hati yang lupa

Katakan saya hidup di suatu tempat yang bernama gurun lalu saya pasti merindui air. Katakan pula saya hidup di suatu tempat yang bersalju putih, pasti saya merindui api. Lalu untuk beberapa hari ini saya tidak mengerti apa yang sebetulnya saya harapkan.

Seketika hujan datang, seketika nanti panas pula menggelegak di ubun-ubun. Saat hujan datang hati yang lalai ini mengeluh, aduh pasti jalanan akan sempit dengan kenderaan yang perlahan. Saat panas pula yang tersenyum menyapa, hati yang lalai ini mengeluh lagi, aduh pasti kulit nipis ini terbakar lalu memerah dan akhirnya melanin terus bertambah. Aduhai.

Mungkin saya ini tidak sesuai di garis khatulistiwa ini, mungkin sesuai di Sahara bermain pasir ataupun di Antartika menikmati aurora.

Lalu ditakdirkan saya berada di Sahara dan Antartika, apa pula kata saya nanti? Pasti garis Khatulistiwa ini juga yang saya rindu.

Alhamdulillah, saya berada di sini. Alhamdulillah.

Friday, November 28, 2008

kembang bunga pun tak seindah ini

Mungkin pernah, mungkin juga tidak, tetapi saya yakin kebanyakan daripada kita pernah bertanya ataupun ditanyakan soalan begini oleh sang kekasih.

“Berapa besar cintamu kepada ku?”
“Berapa luas cintamu kepada ku?”
“Berapa tinggi cintamu kepada ku?
“Berapa harum cintamu kepada ku?”

Lalu, mungkin pernah, mungkin juga tidak, tetapi saya yakin kebanyakan daripada kita pernah diberi jawab ataupun menjawab begini kepada sang kekasih.

“Sebesar gunung.”
“Seluas lautan.”
“Setinggi bintang.”
“Seharum kasturi.”

Hakikatnya, mungkin kita pernah, mungkin juga tidak, tetapi saya yakin kebanyakan kita pernah membaca ataupun diberitahu berkenaan kata-kata Sayidina Ali ini.

“Cintai kekasih mu sewajarnya, tidak berlebihan, mungkin sahaja nanti dia akan menjadi musuh mu. Benci musuhmu sewajarnya, kerana mungkin sahaja nanti dia akan menjadi kekasih mu.”

Lalu, usah dipanjangkan kata bagi menjawab soal cinta. Jawab sahaja,

“Saya mencintaimu, sewajarnya, sesederhananya dan seadanya kamu.”

Cinta memang sepatutnya begitu, kerana cinta itu indah, kembang bunga pun tidak seindah ini.

:-)

Sunday, November 23, 2008

sering-sering untuk cinta

Lamanya tidak berbicara berkenaan cinta. Apatah lagi sejak menjadi ayah Elisha, kerana cerita cinta itu lebih manis dilidah untuk didengar berbanding ditulis-tulis untuk dibaca.

Saya hanya mahu menulis, tentang cinta yang gagal. Lalu apabila ia gagal, hanya perlu dua soalan sahaja bagi meredakan hati. Iaitu, 'apakah betul apa yang saya lakukan tadi?' dan 'Selepas ini, bagaimana saya mahu mengekal (ataupun mendapatkan) cinta dengan cara yang berbeza?'

Hanya dua soalan itu. Jangan sesekali bertanya, 'apa perkara jelek yang ada pada diri sehingga cinta ditolak?' Jangan tanya 'apa silap saya?' Yang penting, jangan sesekali melihat pada aspek negatif, kerana tanpa sedar, fikiran bawah sedar kita akan menyimpan aspek-aspek negatif itu lalu apabila sekali lagi mahu memberi cinta, perkara itu berulang dan terus berulang.

Walaupun dua soalan itu sama sahaja dengan soalan 'apa yang silap pada diri saya?', 'apa yang jelek tentang sikap saya?' tetapi cara ia ditanyakan itu bernada positif. Yang penting, fokus pada pembaikan. Fokus pada hal yang positif. Seandainya kita sering-sering menyenaraikan jawapan yang positif, minda bawah sedar kita akan diprogram untuk memberi yang positif. Kita pula akan mudah memberikan tindak balas positif pada cinta yang dimahu. Seterusnya bisa mengekalkan cinta untuk sampai ke syurga.

Cuba dulu bertanya pada diri. Tetapi jangan hanya sekali, sering-sering, untuk cinta.
:-)

Friday, November 14, 2008

rinai di hati siapa yang tahu

Antara soalan sederhana yang membuat hati saya merinding adalah, “Apakah saya ini baik?”.

Untuk menjawabnya, saya biasanya menjawab dengan jawapan yang juga sederhana, “Biasa-biasa.”

Namun urusannya tidak pernah sesederhana itu. Ada hal lain yang menyeruak lalu menjadi rinai-rinai yang berat dihati.

Yang utama, adalah, mengapa saya menjawab begitu? Tidak memberi jawapan yang utuh. Sedangkan untuk soalan sesederhana itu, jawapan “Ya,” sudah memadai. Yang pasti bukan kerana tidak mahu membangga diri, cuma kerana memang, ada sesuatu yang tidak kena.

Baik itu sendiri sekiranya sekadar mahu mengguna akal, ia cukup subjektif kerana ia berdasarkan hukum nilai yang berbeza. Lalu pertimbangan baik tidak pernah sama sekiranya sekadar mengguna akal. Misalnya di Jepun, seandainya kita berada di kolam mandi umum di mana kebetulan ada wanita sedang bertelanjang di situ, adalah menjadi suatu yang tidak sopan sekiranya kita memalingkan wajah ataupun segera beredar. Bagi pertimbangan nilai masyarakat di sana, ia perbuatan yang tidak baik. Namun pasti hal itu sangat berbeza di Malaysia.

Mujur Islam itu memberikan definisi 'baik' untuk kita. Lalu untuk hati ini yang segan-segan mengaku dirinya baik, pasti kerana ada sesuatu berkenaan Islam yang sudah dilanggar dan untuk itu saya mengaku banyak perkara yang dilanggar. Apa sahaja yang membuat kita ragu-ragu untuk melakukannya atas nama Islam itu adalah suatu yang bukan bernilai 'Islam'. Misalnya, mana pernah artis Islam memakai pakaian menampakkan paha apabila bertemu dengan peguam syariah, kadi, ataupun ulama. Mengapa? Kerana mereka sedar ia bukan definisi 'baik' menurut Islam. Tetapi tanpa sedar di luar sana mereka tetap mengatakan, “Itu cara saya dan ia hak individu.” Ironi.

Lupakan dulu persoalan lambat mengerjakan solat, tertinggal solat Subuh, mata yang liar dan lidah yang celupar. Ambil dahulu contoh yang paling dekat dengan diri saya, saya suka menulis, dan kerana itu sekiranya mengikut Islam, tulisan saya perlu yang baik-baik. Sedangkan ada waktunya saya, tanpa sedar ataupun dengan sedar, sengaja menuliskan hal-hal yang tidak memberikan faedah untuk Islam itu sendiri. Malah terkadang, ia hingga jatuh kepada dosa.

Tidak perlu sebab sebetulnya untuk mempertahankan diri mengapa melakukan hal sebegitu, ia adalah persoalan asas berkenaan iman. Diri ini pada waktu itu, sudah lemah imannya, nafsu merasuk mudah dan iblis terus tertawa bahagia.

Jelas manusia itu lemah, pasti ada saat dan ruang, nafsu berjaya juga merasuk. Bezanya, kecil besar ruang bagi nafsu itu merasuk sahaja. Lalu untuk soalan yang sederhana tadi, “Adakah saya ini baik?” Saya jika boleh, tidak mahu menjawabnya, kerana jawapan yang sebetulnya adalah, “Tidak.”

Tetapi saya tetap manusia yang fitrah cuba belajar daripada kesilapan, dan menuju ke arah kebaikan, pada setiap saat yang saya teringat, saya tetap berdoa semoga pada suatu saat nanti, sekiranya bukan di dunia, saya berharap di akhirat saya mampu menjawab soalan yang sederhana itu dengan jawapan, “Ya.”

Monday, November 10, 2008

Review Ultraman Nexus, suatu ulasan sciocchezza

Kerana sekarang, kebanyakan teman-teman blogger sudah mulai mereview filem, saya kira itu satu trend. Apatah lagi dengan jargon-jargon perfileman yang membuat saya menahan nafas, terpana. Wow. Untuk tidak ketinggalan trend, saya juga mahu ikut mereview. Masalahnya semua filem sudah direview, baik filem pendek juga filem popular. Lalu apa lagi yang tertinggal untuk saya?

Selepas berfikir semalam, saya mengambil kata putus untuk mereview drama Ultraman Nexus yang saya tonton Sabtu lepas, jam 7.00 malam di TV3. Lalu ikutinya dengan hati yang baik-baik saja. :-)

Ultraman Nexus, TV3

Ultraman adalah satu pronomina bagi adiwira, membuat sesiapapun tidak perlu berfikir kedua kali untuk mengaku tahu. Tanyakan pada sesiapa sahaja, baik anak yang baru tahu berbicara sehingga tua yang sudah lupa bagaimana hendak berbicara.

Dalam drama Ultraman Nexus Sabtu lepas, dikisahkan lelaki yang menjadi Ultraman di bumi telah ditangkap oleh suatu pihak yang tidak menyukai kedatangan makhluk asing. Lalu ia berakibat buruk. Raksasa sewenang-wenangnya bermaharajalela merosak bumi Jepun yang kita cintai. Manusia hilang harap dan matahari seumpamanya sudah tidak akan timbul lagi pada esoknya.

Lalu dalam keadaan yang serba bercelaru itu, pasukan yang menjadi sekutu dengan Ultraman telah berusaha membebaskan Ultraman dan berjaya. Ultraman bebas dan selepas mendapat nasihat yang berguna daripada seorang perempuan yang mengatakan, Ultraman harus mengubah cara bertempurnya, Ultraman pun kembali beraksi. Aksinya mencemaskan, penuh ekofrasia, kerana harus berlawan dengan dua raksasa namun akhirnya, ia bersambung ke minggu hadapan. Satu pengakhiran yang saya kira bukan satu tragedi tetapi lebih kepada satu momen yang spekulatif. Umpama pengakhiran dalam drama Sehangat Lantana, TV3.

Menonton Ultraman ini tidak memerlukan kita membanding-bandingkan ia dengan filem Paris dari Perancis, filem yang sudah ditonton oleh dua juta penonton ketika ditayangkan di negara itu. Tidak perlu juga saya menyarankan contoh filem Denmark, After The Wedding yang dicalonkan sebagai filem luar terbaik pada anugerah Oskar 2007.

Bukan kerana mutu Ultraman tidak setaraf atau sebanding dengan filem yang saya sebutkan itu, tetapi Ultraman genrenya berbeza. Ultraman adalah drama bersiri yang punyai proteksia budaya, sedangkan yang saya sebutkan tadi itu filem yang mengembar-gemburkan prosaik akal manusia. Jadi perbandingan apa yang boleh dilakukan bagi mengulas drama Ultraman Nexus? Di sinilah waktunya prosidi drama boleh digunakan.

Ultraman Nexus yang saya tonton pada Sabtu lepas adalah progeni Ultraman yang menyambung kisah perjuangan Ultraman yang terdahulu. Misinya tetap sama, menyelamatkan dunia. Caranya juga tetap sama, menyilangkan tangan lalu pada titik silangan itu keluar leser yang menghancur luluhkan raksasa. Latarnya juga sama, di Jepun, di sebuah kawasan yang sangat malang.

Namun, untuk Ultraman yang bergaya monoton sejak berzaman, apa yang menjadi tarikan untuk terus-terusan ditayang lalu ditonton? Daripada segi tema, Ultraman bolehlah dirujuk sebagai ikon perjuangan bangsa yang sering dimitos juga dilegendakan. Bezanya Ultraman adalah legenda Jepun moden. Ia sama sahaja dengan legenda dan mitos semangat perjuangan Hang Tuah, King Arthur, Amir Hamzah dan seumpamanya. Mereka adalah wira yang punya keupayaan yang luar biasa. Lalu bersandar semangat tema sebegitu, Ultraman tetap evergreen.

Di sebalik tema itu kita juga bakal dilemparkan dengan mesej profetik. Di mana mesej ini ditempelak melalui harapan masyarakat Jepun yang ingin melihat negara mereka aman damai dan jauh daripada gangguan raksasa. Lalu Ultraman Nexus hadir sebagai pesona profetik yang menyuguhkan rakyat Jepun dengan harapan yang bukan sekadar bersifat proforma malah tanpa sengaja ia bersifat prokurasi daripada pihak raksasa dan Ultraman. Yang menjadi mangsanya adalah rakyat Jepun. Mungkin drama Jangan Main Belakang tepat dijadikan bandingan tema.

Untuk menyelami motif yang tergurat, kita tidak perlu berada di Jepun kerana Ultraman Nexus memberikan kita kesimpulan yang apriori atau deduktif. Kesimpulan yang dibuat daripada umum kepada yang khusus dan berdasarkan fakta yang bertolak daripada sebab akibat. Kerana raksasa menyerang, rumah hancur dan kerana Ultraman memberikan sinar leser, raksasa luluh berantakan. Ini sesuatu yang cukup mengesankan hati-hati yang mati kerana berpegang dengan prinsip profanitas. Kerana hidup kita juga bertolak dengan prinsip deduktif, kita ada kerana kita hamba yang perlu menyembah-Nya. Drama Ta'in, TV3 mungkin boleh disinggung bagi tujuan rujukan.

Kritik sosial Ultraman Nexus jelas melalui gambaran raksasa yang terlihat. Raksasa itu boleh digambarkan sebagai pemimpin yang serakah lalu bagi membayangi keserakahan mereka, anak muda yang penuh kreativiti dan patriotik dikambing hitamkan. Anak muda itu diwakili oleh penduduk di dalam bangunan yang dipijak raksasa. Ultraman pula hadir umpama pemimpin yang tidak mahu daya kreatif anak muda itu dikembiri, cuba melawan dan terus melawan. Kritik humanis juga dapat dikesan melalui orang ramai yang dilanda neurastenia lalu menjerit meminta tolong tanpa sedar yang balai polis pun dipijak raksasa. Tiada lagi gunanya 999 apatah lagi 360, juga 'bersamamu'. Kritik-kritik disensus begini hanya boleh didapati dalam drama, Nun di sana Cintaku, TV2.

Namun Ultraman Nexus tetap karya manusia yang tidak lari daripada kekurangan. Sepanjang durasi 23 minit menonton Ultraman Nexus, konsep sakinah, mawaddah, dan warahmah digambarkan sebagai sesuatu yang bukan aksentuasi. Ia lebih kepada progeria, yakni tua sebelum waktunya. Segala konsep itu terlihat oldies dan ketinggalan zaman sedangkan pada saat darurat raksasa menyerang, sakinah, mawardah dan warahmah itu perlu bagi mengelakkan neorosis dan meneutralkan para neurotik. Namun ia boleh dimaafkan kerana penduduk Jepun rata-ratanya belum mengerti apa itu mawaddah. Drama TV3 Puaka Niyang Rapik adalah drama yang tepat bagi dijadikan misalan.

Pada soal teknikal pula, Ultraman yang sekiranya ditelusuri cara latar belakangnya dibina, mungkin hanya drama 'Akademi Polis' yang mampu menandinginya. Ia cuba tidak bersikap devian tetapi pada masa yang sama ia tetap dibina dengan prinsip dehumanisasi. Manusia tidak perlu selesa. Lalu butir-butir debu yang terapung saat Ultraman terhempas, cukup realistik, begitu juga dengan rumah-rumah kecil yang hancur diinjak raksasa sehinggakan hati kecil saya bertanya, keluarga malang mana yang telah mati beramai-ramai itu?

Pergerakan kameranya mengikut hukum penglihatan kanak-kanak, mudah dan harus seluruhnya. Cukup sederhana dan langsung tidak terlihat unsur deifikasi. Tidak perlu fokus pada jemari Ultraman yang terketar-ketar, tidak perlu fokus pada kaki Ultraman yang sedang menapak perlahan-lahan. Tidak perlu kesan-kesan mendebarkan begitu. Kameranya mencakupi semua pandangan. Teknik yang hanya boleh didapati melalui drama Panggung Seri: Tersasar di Jalanmu di TV1, 8.30 malam Sabtu.

Jalur plotnya juga cukup mencabar hati. Ia berprinsip defoliasi, segala sesuatu itu harus gugur satu per satu lalu menelanjangkan hakikat penceritaan. Kerana kadangkala hati mulai bosan meneka yang betul. Daripada 10 tekaan, tidak ada yang salah. Nah, di sini sekali lagi terserlah kebijakan pembikinan Ultraman. Sebagai perbandingan, ambil masa untuk menonton Drama Bersiri Melayu: Keabadian Cinta pada pukul 4.30 pagi, setiap Ahad. Jangan main-main dengan plot yang dapat diteka betul, dibalik semua itu tersimpul falsafah yang eklektisisme iaitu, tidak semua perkara ada rahsia. Terkadang apa yang kita lihat itu, adalah yang betul tidak ada di sebalik tabir.

Runut-runut bunyi Ultraman juga membuat saya menggeleng kepala. Takjub kerana penerapan prinsip deformatif yang unggul. Apa lagi yang hendak saya katakan, bunyinya indah dikuping telinga. Umpama gula-gula manis yang dikemam-kemam. Seadanya, cukup sederhana. Kita tidak akan terganggu dengan bunyi sehingga merasakan bunyi itu yang mendominasi pandangan. Tidak juga sehingga kita terpaksa bertanya pada diri sendiri apa yang kita dengarkan itu. Mungkin drama Tamil, Karuthu Kalam di TV2 yang mampu memberi rasa yang sama, impak bunyi yang penuh gejolak.

Lalu beralih pada dialog, ternyata Charlie Charpin silap. Silap kerana membuat filem bisu lalu dengan kebisuan itu Charlie Charpin tertinggal deiksis penceritaan. Di dalam drama Ultraman, dialognya membuatkan kita pejam mata menghayati kata bualnya yang penuh empati. Misalnya, “Hati-hati Ultraman.” Kata bual yang kuat semangatnya. Bukan hanya pada pelakon, khusus juga kepada para penonton kerana membuatkan kita terfikir, Ultraman itu juga makhluk biasa, ada kelemahannya dan perlu diingatkan selalu. Belum lagi kata bual yang cukup popular, “Tak guna!” Wah, ini puncak pada kenikmatan mendengar, sekaligus menonton. Kata bual ini bukan sahaja pada waktu amarah malah pada saat kecewa, pada saat gembira, pada saat Ultraman hampir kalah, ia tetap terdengar. Ini mencerminkan tiadanya budaya inziag lalu dilapik dengan kata yang punyai maksud separa intrik. Drama Salam Taj Mahal boleh dijadikan rujukan kerana dialog-dialog hindustannya yang cuba lari daripada konsep disfasia dan disfonia.

Akhir daripada saya, betul, menonton Ultraman Nexus tidak akan membawa kita terbang, tetapi untuk apa kita terbang sekiranya dengan Ultraman Nexus kita boleh menjuntai kaki dari kepala Sphinx sambil menyedut air kelapa ais yang manis. Lalu dapat kamu bayangkan betapa nikmat keadaan waktu itu? Itulah Ultraman Nexus, drama adiwira yang tidak deisme dan tidak juga defaitisme. Ia tahu makna hiburan juga tahu maknanya seni tanpa perlu berusaha keras untuk memberitahu yang ia adalah karya fikir flamboyan untuk masyarakat proletariat.

*Rujukan: TV3, Akhbar Utusan Malaysia, Sabtu 8 November 2008. Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

*Mungkin dalam masa beberapa minggu ini, blog ini akan dipenuhi artikel yang bernada sebegini. Hujung tahun memang meletihkan apatah lagi saat membaca perkara-perkara yang sebetulnya mudah, tetapi dibolak-balikkan lalu akhirnya saya tidak tahu apa yang ditulis. Lalu inilah hasilnya, automatik jiwa saya berlangit ungu, berawan jingga atau mudahnya saya jadi sinikal yang berat. Mujur pelangi saya tetap dua warna. :-P

*sciocchezza (itali) = nonsense

*Hahahaha.....

Monday, November 03, 2008

gadis dan coklat

Dia hanya memerhati coklat di atas meja. Diambil, dibelek-belek lalu kemudian diletak lagi. Entah apa yang membuncah di hatinya sehingga apa sahaja yang berlaku di sekeliling tidak mampu membuyarkan menungannya.

“Kamu kenapa?” tegur seorang temannya yang meriak wajahnya dengan seribu persoalan.

“Coklat ini diberi oleh seorang gadis dan katanya, hatinya umpama coklat,” jawab dia jelas. Dan untuk pertama kalinya dia mempedulikan sekitarnya.

Mungkin untuk pertama kalinya juga, dia dapat menikmati dinginnya bayu petang, juga indahnya sahut-sahutan sang burung. Dia tersenyum.

“Maksudnya?” soal teman dia lagi. Kini giliran dia pula yang memerhati coklat di atas meja.

“Perkara itu yang gadis itu enggan beritahu saya,” jawab dia dan seketika persoalan itu menghapus semburat senyum daripada bibirnya.

“Lalu dengan memerhatikan coklat itu, kamu sudah peroleh jawapannya?”

Dia menggeleng. Tangannya pantas mengambil lagi coklat di atas meja dan sekali lagi membelek-belek perlahan.

“Tetapi semalam saya mengerti sesuatu tentang coklat,” kata dia perlahan.

Temannya hanya mengangkat kening.

“Semalam, sewaktu saya menerima bungkusan coklat ini, coklatnya masih utuh dan manis. Selepas merasanya sedikit, saya meletak kembali di atas meja. Petangnya, saya mahu merasanya lagi. Coklatnya sudah mulai lembut dan mencair ditangan, sehingga-hingganya wajah saya comot. Tetapi coklatnya tetap manis. Lalu saya menyimpannya di peti ais, bagi mengembalikannya ke bentuk asal. Lalu malamnya, saya mahu merasa lagi dan coklatnya menjadi terlalu keras sehinggakan wajah saya berbilur mahu mengunyahnya. Namun rasanya sama, tetap manis,” terang dia dengan panjang lebar.

“Lalu apa yang kamu faham dengan coklat dan hati gadis itu?” tanya temannya sambil mengetuk meja dengan jarinya. Berirama.

Dia diam. Tidak ada jawapan, hanya diam. Lalu sekali lagi dia larut dalam menungannya. Mencari jawapan untuk gadis dan coklat.

Wednesday, October 22, 2008

malam minggu yang sederhana edan





Saya penunggang dan penggemar motosikal. Sebagai penunggang motosikal, saya juga punyai kelab. Namun kami bukan mat rempit, walau terkadang agak menakutkan pengguna jalan yang lain kerana jumlah kami yang besar. Ini sekadar naluri untuk bersosial sesama pemilik motosikal yamaha Fzi150. Lalu atas dasar itu kelab penunggang Yamaha FZi150 tertubuh. Apa itu kelab penunggang Fzi150?

Mungkin forum kelab ini dapat membantu mengetahui apa kelab ini dan apa sebenarnya FZi150.

http://myenthusiasts.org/fz150i/index.php

Yang boleh saya beritahu, minyaknya, sungguh jimat. Dan akhir kata, cari di mana saya. Ekeke. Ini gambar pada perjumpaan malam minggu lepas. Mungkin antara 20 hingga 30 ahli yang datang. Entah kurang pasti. Yang pasti, bersosial bersama mereka yang punyai minat yang sama itu, menyeronokkan. :-)





Monday, October 20, 2008

DIa, tanpa kasih saya

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4
Lelaki Tua: Kisah 5


“Kamu kalau belum membuka akaun emosi, jangan sesekali berkata begitu kepada saya,” tegas satu suara dari samping kiri saya.

Saya menoleh. Seorang lelaki tua yang cukup saya kenal. Yang sering hadir dalam apa sahaja situasi. Kini dia berbaju Melayu itu dan bersamping pelikat hitam. Songkoknya tinggi, umpama songkok penari zapin.

Saya memberhentikan langkah saya, tepat di bawah sepohon rambutan yang bertompok-tompok buah merahnya. Rasanya kelmarin, buahnya yang merah masih lebat tidak jarang. Mungkin angkara sang tupai, namun hati saya pasti ia angkara sang manusia juga.

Saya diam lalu mengerut dahi memandang lelaki tua itu. Panas matahari tidak terasa. Lembutnya angin yang menyapa pula langsung tidak saya nikmati. Kepala terus berputar berfikir, mengapa dengan orang tua ini?

“Kamu tahu apa itu akaun emosi?” tanya orang tua itu lagi seraya membetulkan duduk songkok tingginya. Dia kemudian lalu berjalan merapat kepada saya.

Saya pula menggeleng, diam. Melihat saya menggeleng, lelaki tua itu ikut menggeleng perlahan.

“Akaun emosi itu umpama bank tempat kita menyimpan ringgit. Bezanya, akaun emosi ini berada dalam diri manusia. Kita tidak menyimpan ringgit, tetapi menyimpan kasih. Lebih banyak kasih yang kamu berikan kepada manusia itu, lebih besar akaun emosi kamu dalam diri manusia itu. Misalnya, akaun emosi yang kamu buka dalam diri kedua-dua orang tua kamu. Dalam akaun emosi mereka, kasih kamu menggunung, tidak lagi terhitung. Begitu juga dengan ahli keluarga kamu dan rakan-rakan rapat kamu, kasih kamu dalam akaun emosi mereka banyak walaupun masih bisa dihitung,” terang lelaki tua itu lagi.

Saya terus mengerut dahi.

“Lalu jika namanya akaun, pasti isi akaun itu akan dikeluarkan juga bukan? Jadi bagaimana kasih dalam akaun emosi itu bisa dikeluarkan, bisa terkurang?” soal orang tua tu lagi.

Saya terus menggeleng. Hati saya sudah mulai bergoncang kecil.

“Ia dikeluarkan dengan perbuatan negatif, perbuatan kasar kamu. Perbuatan lepas cakap, perbuatan menyakit hati. Lalu sebab itu sekiranya kamu berkata kasar dengan teman kamu yang rapat, teman kamu itu masih bisa menerima kerana kamu sudah membuka akaun emosi dengan dia. Tetapi sekiranya kamu berkata kasar dengan seorang yang baru kamu kenali, pasti kamu akan dijauhi dan dilabel manusia yang tidak harus didekati. Bagaimana pula sekiranya jika kamu berkasar dengan orang tua kamu? Mereka akan marah tetapi kamu tetap akan didekati dan disayangi sehingga mereka mati kerana akaun emosi mereka sudah penuh dengan kasih kepada kamu dan... bagaimana pula kalau kamu berkasar kepada saya?”

Saya membuntang mata kepada orang tua itu. Maklumatnya jelas, namun persoalannya langsung tidak mampu saya mengerti. Hatinya saya semakin tergoncang hebat.

“Kamu belum membuat akaun emosi lagi dengan saya. Jadi kamu jangan sesuka hati kurang ajar dengan saya. Memanggil saya dengan kata 'oi'. Saya lebih tua daripada kamu. Panggil yang lebih hormat!”

“Oi!”

Saya dan lelaki tua itu diam lalu perlahan-lahan mendongak ke atas pohon rambutan. Seorang lelaki gempal sedang enak meratah rambutan, tersenyum-senyum sambil menayang-nayangkan buah rambutan kepada lelaki tua itu.

Monday, October 13, 2008

ulasan pertama 'Doa Untuk Aku' dan cerita Elisha

Kerana saya masih bermalas-malasan, jadi saya biar Elisha sahaja yang bercerita.





... dan kerana saya lagi masih bermalas-malasan, saya menyalin sahaja review pertama novel 'Doa Untuk Aku' dari laman blog ini.

http://nurfaizahk.blogspot.com/

Saya tidak kenal siapa, tetapi menurutnya, dia adalah:
Saya lebih cenderung untuk memilih novel Bahasa Inggeris berbanding novel Bahasa Melayu.Mungkin kerana saya suka kepada plot cerita yang berbeza daripada yang lain. Tidak dinafikan terdapat juga penulis novel tanah air yang mempunyai kreativiti untuk menghasilkan plot cerita yang berlainan seperti Ramlee Awang Murshid. Saya yang sebelum ini telah diperkenalkan dengan novel-novel hasil tulisan Jodi Picoult oleh seorang rakan saya, Namirah, tertarik untuk membaca lagi novel-novel tulisan beliau.

Ulasan - Doa Untuk Aku - NufaizahK

Atas permintaan Kak Welma, saya mula menulis ulasan untuk Novel Doa Untuk Aku karya Bahruddin Bekri. Memandangkan ini kali pertama saya membuat ulasan buku setelah sekian lama meninggalkan bangku sekolah, jadi saya rasa agak kekok untuk menulisnya. Namun saya cuba untuk membuat ulasan serta ringkasan Novel Doa Untuk Aku sebaiknya.

Kali pertama saya melihat novel ini, saya agak tertarik dengan cover depan Novel Untuk Aku, kerana pada cover tersebut penulis sudah berjaya mempromosikan sebuah lagi buku beliau, iaitu Dunia Ini Sederhana Kecil kepada saya. Sebagai seorang pembaca, saya berkeinginan untuk membaca novel tersebut selepas siap membuat ulasan ini. Saya tidak sangka penulis dapat menyampaikan kandungan novel dalam bentuk sebegini, menyebabkan kita sebagai pembaca, mudah untuk memahami isi penting yang ingin disampaikan oleh penulis dalam novel ini iaitu Doa.

Novel ini mengandungi satu prolog yang lebih menerangkan suasana tempat yang dinamakan Hulu Sungai Baleh iaitu tempat tinggal watak utama dalam novel ini, Adly Bin Ali Luca Cadalora. Wujudkah tempat ini sebenarnya – Saya ingin tanyakan kepada penulis, ataupun tempat ini rekaan penulis semata-semata. Sekiranya wujud, saya ingin sekali melawat ke tempat ini memandangkan saya sebagai orang Sarawak sendiri masih belum sampai ke bahagian Kapit.

Sekiranya berpeluang, saya ingin melihat sendiri keadaan tempat tersebut. Novel ini mempunyai 27 bab yang menceritakan bagaimana misi 40 doa dicapai satu persatu oleh Adly dengan bantuan rakan-rakannya. Bagi saya, penulis telah berjaya menarik ramai pembaca membaca novel ini secara tidak langsung menambahkan pengetahuan dalam bidang agama dengan gaya penulisan yang sempoi sebegini. Sebagai pembaca, saya langsung tidak terbeban dengan fakta-fakta yang disampaikan walaupun sebenarnya saya agak liat membaca buku-buku agama..

Bermula dengan Adly serta Kassim yang berumur 12 tahun ketika itu, penulis mula menerangkan kekuatan doa yang diberitahu seorang pengembara kepada mereka ketika mereka berdua tengah berulang kali menyebut perkataan bodoh. Selain itu, Encik Silvaraj yang merupakan pengetua satu-satunya sekolah menengah di Hulu Sungai Baleh juga pernah menjelaskan kekuatan doa seorang ibu ketika Adly bersedih akibat kehilangan ayahnya. Di sini, penulis juga memberikan sedikit penerangan mengenai hidayah Allah.

Misi Doa untuk Aku bermula apabila Adly dan Kassim bersama-sama menjejakkan kaki ke Universiti Kuching, setelah tiga bulan ibu Adly meninggal iaitu ketika hampir sebulan lagi Peperiksaan akhir akan dijalankan. Adly yang risau dengan kehilangan doa ibu cuba mencari ganti bagi doa tersebut. Dari situlah, Adly sedikit sebanyak mencari penerangan untuk melaksanakan misi mencari 40 doa. Perkenalan dengan Ustaz Jefri serta Syahril memudahkan lagi Adly serta Kassim meluaskan pengetahuan mereka dalam isu agama yang memang kurang dalam diri masing-masing.
Selain itu penulis juga cuba memberikan sedikit info melalui penerangan Jefri tentang persoalan berkhatan bagi umat Islam. Saya merasa sangat lucu dengan jawapan Adly serta Kassim yang tidak mahu berkhatan pada mulanya. Saya telah mencari sumber-sumber lain di Internet berkaitan dengan perkara tersebut. Menurut blog Tunas Islam , berkhatan dilakukan untuk membersihkan anak-anak kerana kemaluan merupakan tempat najis yang harus dibersihkan. Hukum bagi berkhatan juga adalah wajib. Terdapat banyak hikmah dan kelebihan berkhatan dari aspek kebersihan, kesihatan serta sering dijadikan pembeza antara orang Islam dan bukan Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam, wajib berkhatan dan jangan merasa malu untuk melakukan perkara tersebut walaupun sudah dewasa seperti yang dilakukan oleh Adly dan Kassim yang berumur hampir 20 tahun!!!!!!

Perjalanan cerita dalam novel ini juga bertambah rancak dan lucu dengan terbentuknya kumpulan Amin Bin Damit yang diketuai oleh Amin Bin Damit yang secara tidak sengaja mencari nahas dengan Kumpulan Geng Nama Indah (GNI). Persengketaan yang berlaku antara dua kumpulan tersebut akhirnya menjayakan misi 40 doa tersebut. Selain itu, jalan cerita yang diselitkan dengan kisah cinta Kassim pada mulanya dengan Cindai Fiona seterusnya kepada Sumayyah juga menambah kelucuan pada novel Doa Untuk Aku. Pertemuan sekali lagi antara Adly dan Kassim dengan pengembara tersebut menunjukan betapa berkatnya doa yang dimakbulkan…

Selain daripada kesemua perkara yang saya sebutkan di atas, masih terdapat banyak lagi olahan serta konflik yang cuba diselitkan olah Bahruddin Bekri dalam novelnya. Pendek kata, jangan terlepas untuk membaca novel ini untuk mengetahui langkah-langkah untuk menjayakan misi 40 doa oleh Adly dibantu dengan rakan-rakannya. Saya percaya novel ini dapat memberikan rasa baru yang berlainan kepada semua pembaca novel. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut novel-novel yang dikeluarkan oleh penulis, anda boleh ke blog Bahruddin Bekri sendiri. Mr Bahruddin, I’m looking forward for your next books…..

Wednesday, September 24, 2008

Waktu itu - Eidulfitri

Untuk waktu yang berlalu itu, andai ada hati yang tersadung dengan kata yang tertulis, terguris dengan maksud yang berbahasa, terhenyak dengan olah yang terzahir... saya memohon maaf untuk semua hal itu.

Untuk waktu esok juga waktu yang mendatang itu, saya mula bercuti panjang. Pulang bertemu keluarga di kampung yang jauh dari bandar, hanya ada hijau pokok yang sepi. Lalu blog akan terbiar tanpa apa-apa.

Untuk waktu yang masih tersisa itu, apa lagi yang lebih perlu daripada keluarga. Lalu hargai mereka selagi masih ada waktu. Waktu itu walau mungkin tertahan dengan doa, namun akhirnya ia tetap akan berlalu.

Untuk waktu yang tertinggal itu tiada jaminan untuk saya berumur panjang. Lalu sekali lagi, maafkan atas semua kesilapan saya. Saya merayu, maafkan. Jangan ada apa-apa lagi yang tersisa di hati.

Selamat hari raya Eidulfitri.

Ikhlas
Bahruddin Bekri a.k.a dingin

:-)

Friday, September 19, 2008

anak-anak bermain cinta


Petang itu, cuaca bersembunyi daripada keburukan. Yang terlihat di mata, terasa di tubuh, semuanya bercerita tentang keindahan. Malah keindahan lebih bererti dengan adanya seorang anak perempuan bermata bening di depan saya. Mungkin umurnya enam ataupun lima. Dia memakai telekung putih dengan tali pengikat kepalanya masih terjurai-jurai. Dia tersenyum, tidak menghirau hilai tawa rakan-rakan yang sedang berlarian di belakangnya.


“Mengapa Allah anugerah kita sesuatu, sedangkan kita tidak akan mampu memilikinya,” tanya anak perempuan itu selepas saya membalas senyumannya.

“Maksudnya?” tanya saya pula sambil mengerut dahi.

“Allah berikan cinta kepada saya tetapi saya tidak mampu memilikinya,” jelas anak perempuan itu lagi, tidak lagi tersenyum.

Saya terus menatap ke dalam mata bening anak perempuan itu, yang sesekali membetulkan ikat telekung pada kepalanya. Jemari terpulas-pulas.

“Mengapa kamu kata begitu, sayang? Allah kan sudah memberi kamu mata yang bening, memberi kamu telinga, lidah dan sebagainya. Tentu kamu sangat sayangkan mata bening kamu, telinga kamu dan seluruh anggota tubuh kamu. Jadi tentu kamu punyai cinta ke atas diri kamu dan kamu sedang memilikinya, sayang,” terang saya dengan panjang lebar lalu tersenyum.

Anak perempuan bermata bening itu tunduk memerhati lantai. Dengan wajah yang tunduk dia berkata, “Saya punyai cinta kepada ayah, punyai cinta kepada umi. Tetapi saya tidak memiliki ayah dan umi. Lalu mengapa Allah anugerahkan saya rasa cinta pada ayah dan umi sedangkan saya tidak mampu memiliki insan yang bernama ayah dan umi?”

Saya diam. Ada rasa yang tersendat dalam dada, tersepit di kerongkong. Apa yang harus saya jawab? Apa lagi tamsilan yang perlu saya persembahkan pada anak perempuan bermata bening ini?

“Sayang, mengapa tanyakan perkara itu pada abang ini?” tegur suatu suara dari arah kanan saya, dan saya berpaling.


Seorang lelaki berkopiah putih dengan kulit yang tidak cerah tetapi berseri wajahnya tersenyum memandang saya.

“Abang ini kata, dia mahu saya bertanya apa sahaja,” jawab anak perempuan bermata bening itu.

Saya terus diam. Ya, bukankah tadi saya juga yang menawarkan sebuah ruang pertanyaan kepada anak perempuan itu dan sekarang, saya juga yang menutup ruang itu dengan diam. Diam kerana saya betul-betul tidak tahu.

“Bukankan dulu sudah saya terangkan jawapan berkenaan persoalan itu,” kata lelaki berkopiah putih itu dengan lembut lalu tersenyum.

“Lupa,” sahut anak perempuan itu pula sambil mendongak sedikit, dan alhamdulillah dia tersenyum nipis. Menampakkan giginya, putih.

Lelaki berkopiah putih memandang saya dan kemudian kembali memandang anak perempuan di depan saya lalu menggeleng kepala. Tetapi dia tetap tersenyum.

“Sayang, apakah kita tahu maknanya cerah jika kita tidak pernah merasa adanya mendung? Adakah kita tahu maknanya kenyang sekiranya tidak pernah merasa lapar? Adakah kita tahu maknanya sihat sekiranya kita tidak pernah sakit? Apakah kita tahu maknanya siang sekiranya tidak adanya malam? Bagaimana jika di dunia ini tidak ada malam, hanya siang sepanjang waktu? Adakah kita akan merasai nikmatnya siang dan menghargai kedatangannya? Lalu begitu juga kamu, sayang. Apakah kamu tahu maknanya memiliki sekiranya kamu tidak pernah merasa tiada? Adakah kamu tahu maknanya cinta sekiranya tidak tahu maknanya kehilangan? Allah mengurangkan sesuatu dalam hidup kita kerana Dia mahu kita tahu apa maknanya cukup. Allah tidak memberikan ayah dan umi kamu di dunia ini kerana nanti di syurga Dia mahu kamu mengetahui dan merasai nikmatnya erti cinta serta memiliki ayah dan umi. Tetapi itu di syurga, sayang. Kamu perlu kerja keras untuk itu,” terang lelaki berkopiah itu dengan panjang lebar.

“Tetapi mengapa saya?” soal anak perempuan bermata bening itu lagi.

“Ya, mengapa kamu? Mengapa tidak abang di hadapan kamu? Adakah abang di hadapan kamu tahu berkenaan berharganya kasih ayah dan umi sekiranya kamu juga punyai ayah dan umi? Kamu bertuah sayang, dipilih oleh Allah bagi membuatkan manusia lain berfikir, membuatkan manusia lain tahu ertinya cinta. Ia seperti sebuah tugas dan kamu dipilih bagi tugas ini kerana kamu mampu, sayang. Tidak semua manusia mampu seperti kamu, malah saya sendiri belum tentu mampu memikul tugas ini. Berbanggalah kerana Allah memberikan kamu tugas yang paling tinggi dan sukar ini,” terang lelaki berkopiah putih itu lagi.

Saya mengetap bibir memikir berkenaan jawapan lelak berkopiah putih itu. Saya tersenyum dan mengangguk-angguk sendiri.

Anak perempuan bermata bening itu pula tersenyum lebar. Mungkin merasa bangga dengan tugasnya, seperti anak kelas yang baru diberikan tugas sebagai ketua darjah, rasa berharga dan berguna. Saya ikut tersenyum memerhati anak perempuan itu yang mula berjalan jauh meninggalkan saya dan lelaki berkopiah, menuju ke arah kawan-kawannya.


“Saya mahu meminta sedikit pertolongan daripada kamu,” kata lelaki berkopiah putih itu selepas anak perempuan itu sudah hilang daripada pandangan. Dia memandang tepat ke arah wajah saya.

“Boleh.”

“Andai esok saya sudah dijemput menghadap Tuhan, saya harap kamu dan rakan-rakan kamu sudi mengambil anak-anak ini. Mungkin sebagai adik angkat ataupun apa-apa sahaja. Mereka anak-anak yang cerdas, anak-anak yang tahu apa ertinya cinta sebenar. Tetapi mereka malang, tidak punya sesiapa. Jangan biarkan mereka terbiar lagi. Hanya itu yang saya mohon andainya nanti saya sudah tiada,” kata lelaki berkopiah itu dengan mata yang sudah berkaca.

Saya tunduk dan diam. Kerongkong sudah semakin sesak, dada semakin sendat. Pelupuk mata sudah berkedip-kedip. Aduhai. Sesungguhnya besar sungguh cinta yang saya temui di sini. Cinta yang dimain-mainkan oleh anak-anak ini. Saya kemudian kembali mendongak dan memandang tepat wajah lelaki berkopiah itu dan mengangguk perlahan, di latari hilai tawa anak-anak yang bermain cinta.


*Kisah ini terinpirasi daripada lawatan Tim PTS ke rumah ABU di Setapak. Sekiranya mahu menghulurkan sumbangan, boleh terus menghubungi alamat dibawah. Ia kepunyaan lelaki yang berkopiah putih itu, dan amanatnya itu adalah benar.

Asrama Baitul Ummah
No.33, Jalan 3D/6, Taman Setapak Indah
53300 Kuala Lumpur
Tel : 03-4024 3304
Fax : 03-4024 3305
Contact Person: Ustaz Abd Rahman Ramani Abdullah
Mobile : 019-225 4908 / 016-307 7926
Contact Person: Ustazah Siti
Mobile : 017-378 4794

Monday, September 15, 2008

doa untuk aku



Pernah menonton filem SEVEN? Berkenaan pembunuhan yang diungkap daripada tujuh dosa daripada bible?

Pernah membaca novel Rahsia Medee? Yang menyinggung berkenaan pembunuhan tujuh pelaku dosa sosial yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi.

Itu antara daripada puluhan lagi karya, baik filem, drama mahupun novel yang mengangkat golongan-golongan manusia daripada Bible dan seumpamanya.

Versi Islam?

Lalu dengan hati yang menunduk ke bumi, saya persembahkan 'Doa Untuk Aku'. Ia bukan berkisah berkenaan entri saya pada bulan Februari, 'Doa Untuk Aku. Entri ini sudah dikomikkan oleh Wanzu di dalam buku kompilasi Remaja@PTSOne.

Tetapi ia berkisah berkenaan seorang lelaki yang membesar sebagai Islam tetapi tidak pernah tahu apa itu 'Islam'. Namun dia lelaki yang percaya berkenaan sesuatu, iaitu doa. Lalu dengan kekaburannya berkenaan Islam, dia mencari doa, doa lapan golongan yang makbul.

Ini bukan thriller kerana novel ini mengambil semangat filem 'Kiamat Sudah Dekat' yang santai dan humor. Di samping plot utamanya berkenaan doa, terselit juga misteri berkenaan kehilangan ayahnya yang tidak pasti hidup ataupun mati. Juga berkenaan Chempaka, gadis misteri yang tahu satu lagi rahsia berkenaan lelaki ini, rahsia yang cukup besar.

Saya akui, gaya penulisannya berbeza daripada gaya penulisan di blog ini. Di mana gaya novel ini lebih terus dan ringkas. Tanpa bunga-bunga bahasa yang meliuk. Kata editor saya, genre begini seharusnya begitu dan untuk saya, ia adalah cabaran bagi mempelbagaikan gaya penulisan.

Novel ini sudah saya uliti kulitnya sudah saya cium segar baunya, dan insya-Allah ia akan berada di kedai-kedai dalam masa satu ataupun dua minggu lagi.

Saya mohon, bantu saya dengan membeli novel yang original :-P

Terima kasih.

Di bawah adalah kempen anti cetak rompak kerana pernah novel DISK dijadikan e-book, dan saya adalah lelaki yang berjeket hitam. :-P

Wednesday, September 10, 2008

karangan untuk Allah

Kisah anak sepupu 1
Kisah anak sepupu 2


Hujung minggu itu tetap damai walau tanpa kelopak sakura yang gugur, walau tanpa aroma kenanga yang mengharum. Hujung minggu itu saya sudah berada di rumah sepupu saya, duduk di sofa, dan manusia pertama yang menyambut saya adalah anak sepupu saya.

Dia perempuan, umurnya baru mencecah lima. Kulitnya putih, rambutnya lurus sehingga ke bahu, cuma rambut di depan wajahnya dipotong separas mata. Namun seperti biasa, mungkin kerana lama tidak dipotong, rambut lurus itu sudah melewati pelupuk mata.

Saat dia berlari, rambutnya ikut bergoyang, beralun. Senyumnya ikut merekah mempamer giginya yang masih terjaga walau sudah tidak bolah digelar putih. Pipinya yang gebu berlekuk sederhana indah dan matanya yang hitam pekat, buntang bersinar. Lalu, saat semuanya itu bergabung, ia menjadi pemandangan yang meneduhkan hati, dan degup jantung saya pun berhenti.

Dia berhenti di depan saya. Di tangan kirinya ada sekeping kertas putih yang kumal, dan tangan kanannya ada sebatang pensel. Pasti itu semua milik kakaknya. Semoga kakaknya tidak tahu, dan semoga tidak pernah akan tahu.

Dengan hujung jari-jarinya yang montel, dia menolak ke kiri rambut yang melindungi pelupuk matanya, namun hanya sesaat bertahan, rambutnya kembali luruh mengganggu mata. Senyumnya pula tiba-tiba padam. Bibir merahnya muncung, namun mata hitamnya tetap bersinar intan.

“Mengapa sayang?” tanya saya lalu memaut tubuhnya, membawanya ke pangkuan.

“Tidak ada sesiapa yang mahu baca tulisan saya,” jawabnya dengan suara yang penuh di hujung mulut.

“Apa yang kamu tulis?” tanya saya lagi sambil tersenyum. Perlahan-lahan saya menyibak rambut yang menutup matanya.

Dia diam lalu menghulurkan kertas kumal di tangan kirinya. Saya menyambut dan mula membaca kalimatnya. Senyum saya lalu merekah.

“Saya ada kucing, namanya Menem. Saya, ada kucing, namanya Menem. Saya ada kucing, namanya Menem,” ucap saya, membaca kalimat pada kertas kumal itu dan menyambung, “Sekarang kamu sudah boleh tersenyum, abang sudah baca tulisan kamu, sayang.”

Dia meronta, meminta lepas daripada pangkuan lalu dia berdiri menatap saya. Tangan kanannya pantas menggosok-gosok mata kirinya, kemudian kembali menolak ke kiri rambut yang menutup matanya.

“Tulisan saya bagus?” tanyanya.

“Bagus sekali. Terbaik yang saya baca untuk hari ini.”

Dia tersenyum. Mempamer giginya dan lekuk pada pipi. Dia pantas menarik kertas kumal di tangan saya lalu melabuh punggungnya ke lantai. Kertas kumal itu diletaknya ke lantai lalu tubuhnya condong, berada dalam posisi mahu menulis dengan tangan kanannya yang ada pensel sudah diletakkan pada permukaan kertas.

“Mahu menulis apa, sayang?” tanya saya lalu mengjungkit kening.

Dia diam. Terus takzim tunduk sehingga rambutnya membuai-buai jauh dari dahi dan syukur, rambutnya yang membuai-buai itu tidak lagi mengganggu pandangannya. Sesaat kemudian dia menggeleng-geleng. Rambutnya ikut bergoyang dan dia kemudian mendongak sambil tersenyum lalu berkata, “Saya tidak tahu apa yang mahu ditulis. Jadi apa yang bagus untuk ditulis?”

“Tulis apa yang ada di sekeliling kamu, sayang. Apa yang kamu sering dengar, apa yang kamu lihat,” jawab saya sambil memandang wajahnya yang meneduhkan hati.

“Saya sering dengar berkenaan Ramlang Porigi, ketuanan Melayu, rasis, tidur, altantuya. Lalu abang mahu saya tulis berkenaan itu?” soalnya kembali lalu mengetap bibirnya yang merah. Dahinya berkerut lalu hujung pensel yang tumpul digaru-garukan ke kulit kepala.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana mahu menerangkan pada gadis kecil ini?

“Pasti bonda kamu pernah bercerita berkenaan akhirat, bukan? Berkenaan syurga dan neraka,” kata saya.

Dia mengangguk laju lalu kembali mempamer wajahnya yang teduh itu. Aduhai....

“Tulisan itu, umurnya lebih panjang berbanding kita kerana apa sahaja yang kita tulis di dunia ini akan kembali dibaca di akhirat. Lalu tulis perkara-perkara yang benar, perkara-perkara yang baik. Anggap tulisan kamu itu adalah karangan untuk Allah, kerana ia juga dibaca di hadapan-Nya nanti, juga di hadapan seluruh umat manusia. Jangan nanti kita malu sendiri apabila karangan kita dibaca,” kata saya menyambung dengan panjang lebar lalu mengusap-usap rambutnya.

Dia diam tidak bereaksi dan kemudian perlahan-lahan mengangguk dengan dahi berkerut. Sesaat itu juga dada saya merasa sesak, kerana berkata-kata itu sememangnya semudah menepis lalat di pipi tetapi pelaksananya ada sesukar mengolek bongkah di gurun.

Menuliskan perkara-perkara yang hitam itu pernah saya perbuat, malah tidak terhad itu, pernah juga saya menuliskan kata sehingga ada hati yang tersentak dan pasti nanti tulisan hitam saya itu akan dibacakan di akhirat. Aduhai. Malah sekarang, ada waktunya hati terleka sehingga terlepas perkataan-perkataan yang tidak membawa maksud kebaikan.

“Apa perkara-perkara yang baik?” soal dia dan serentak itu dada sesak saya kembali lapang. Saya tersenyum.

“Pasti bonda sering berpesan kepada kamu. Tuliskan pesan-pesan bonda kepada kamu. ”

Bibir merahnya kembali memuncung dan dia berkata, “Bonda, hari-hari mengulang pesan yang sama. Mandi pakai sabun, makan nasi jangan tumpah, tidur awal dan mengaji. Perkara itu baik?”

Saya tersenyum lagi dan kemudian berkata, “Apabila kamu sudah sebaya abang, pasti kamu akan berkata sendiri yang perkara itu baik. Tetapi buat waktu ini terserah kamu bagi membuat anggapan. Cuma abang pasti, kamu ini anak yang pintar dan pasti boleh mengingat sesuatu berkenaan pesan atau kata-kata bonda yang kamu suka. Betulkan sayang, apa yang abang cakap?”

Dia terdiam beberapa detik dan kemudian tersenyum dan kembali tunduk, berada dalam posisi menulis. Penselnya mula menari di kertas kumal. Saya memanjangkan leher. Pantas tangan kanannya menutup tulisannya dan dia tersenyum.

“Abang, jangan lihat!”

Saya kembali mengundur dan dia kembali menyambung penulisannya. Sesekali dia mendongak mahu memastikan saya tidak memanjangkan leher, dan lakunya seperti anak kucing yang baru berjumpa manusia. Sesekali dia menggosok-gosok matanya, menyibak rambutnya yang berayun, mengaru-garu kepala umpama sang profesor yang sedang berfikir dan sesekali dia hanya tersenyum sahaja kepada saya.

“Saya tulis kata-kata bonda yang paling saya suka. Semasa saya sedang pura-pura tidur dan bonda datang menyelimutkan saya, mencium seluruh wajah saya dan membisikkan saya kata-katanya,” kata dia, akhirnya lalu menyerahkan kertas kumal itu kepada saya.

Saya tersenyum dan menyambut kertas kumal itu.

'Bonda kata, dia sayang saya. Ya, Allah, sayangi bonda saya.'

Dia menatap saya lalu tersenyum lirih. Aduhai... wajah itu lagi yang dia tunjukkan. Kemudian perlahan-lahan dia menolak hujung rambutnya dengan jarinya yang montel dan berkata, “Itu karangan untuk Allah.”

Monday, September 08, 2008

dia golongan syurga?

Punyai teman yang datang daripada pelbagai golongan membuat saya mengerti sesuatu, hidup ini bukan hanya sekadar hitam dan putih.

Lalu hari ini saya mahu bercerita berkenaan seorang teman saya. Seorang teman yang punyai warna yang cemerlang, umpama cemerlangnya bintang kejora di langit hitam.

Dia pemuda yang hanya memahami satu perkara berkenaan hidup, apa yang perlu dibuat untuk esok, fikirkan pada esoknya. Lalu hari ini, khusus untuk hari ini. Hidupnya semudah itu. Tidak ada perkara yang membuatnya rusuh. Semuanya masalah ditangani dengan senyuman. Malah ketika matahari membara di kepalanya pun dia masih mampu tersenyum. Walaupun dia hanya berpakaian yang seadanya. Seluar pendek dan berbaju tidak berlengan.

Katanya, “Matahari memang dicipta untuk memberi cahaya, untuk memberi kepanasan dan bukan untuk meneduhkan. Lalu untuk apa mengeluh dan memberitahu dunia betapa panasnya matahari? Tugas kita manusia ini adalah bersyukur sekiranya sesuatu diletakkan pada tempatnya dan Allah tidak pernah silap meletakkan sesuatu pada tempatnya. Baik panasnya matahari, redupnya awan dan malah rawannya hati, semua itu Allah sudah tetapkan tempatnya. Jika kita mengeluh, umpama kita ini cuba memberitahu Tuhan yang Dia salah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Lalu kamu mahu menyalahkan Tuhan?”

Pelupuk jiwa saya terbuntang mendengar kata-katanya. Sungguh, dia pemuda yang istimewa, dan sungguh, kata-katanya tidak pernah gagal membuat hati saya bergetar.

Namun pada suatu hari saya mengerti sesuatu mengapa dia menjadi pemuda yang sering tersenyum. Mengapa dia menjadi pemuda yang hidupnya hari ini untuk hari ini dan esok untuk esok dan mengapa dia adalah teman yang cemerlang warnanya.

“Mengapa kamu begini?” tanya saya sambil mengaru dahi.

“Mengapa kamu bertanya begitu?” tanyanya pula dan ia sesuatu yang cukup saya tidak gemar. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Jelas dia penggemar falsafah Yunani.

“Kerana saya melihat ia berbeza,” jawab saya.

“Sekarang sudah masanya bulan Ramadan. Lalu apa salah saya berubah begini? Sedangkan artis-artis itu berubah. Rancangan televisyen dan radio berubah, menu makanan berubah, wajah-wajah masjid berubah, mengapa saya tidak boleh berubah?”

“Tetapi mengapa kamu berubah seperti langit dan bumi?”

Pemuda itu diam sebentar dan menggeleng-geleng kepala lalu berkata lirih, “Kawan, kamu betul-betul tidak mahu saya berubah? Kamu lebih suka saya berseluar pendek separas paha dan tidak berbaju? Kamu lebih suka jika saya tidak menutup aurat?”

“Aduh, jangan meletakkan kefahaman yang salah pada kata-kata saya. Saya senang kamu menutup aurat tetapi mengapa begini?”


http://www.animango.net/sampah/tudung.jpg




Sejak itu saya mengerti mengapa dia adalah teman yang cemerlang warnanya. Mengapa dia sering tersenyum untuk apa sahaja yang datang. Ternyata dia adalah golongan yang terlepas daripada segala jenis hukum ke atasnya. Mungkin dia adalah golongan syurga kerana dia begitu sejak umurnya sembilan tahun, namun Tuhan juga yang lebih tahu.

Kredit: Animango.com

Friday, September 05, 2008

ketawa untuk esok

Saya pernah melihat kalimat ini daripada teman saya. Tulisnya, 'Apabila kita melihat masa lalu yang membuat kita menangis, kita akan ketawa tetapi akan menangiskah kita apabila melihat masa lalu yang membuat kita bahagia?'

Tidak pasti bagaimana caranya mahu menanggapi kalimat itu lalu pada suatu pagi yang berlangit biru, pada hawa yang bersahabat dengan nipisnya kulit, saya jongok di sebelahnya yang sedang duduk bersila rapat.

Selepas berbasa-basi seketika dan bercerita berkenaan itu ini saya terus pada apa yang mahu saya tanya dan dia tersenyum.

“Kalimat itu bukan berkenaan apa-apa. Ia cuma berkenaan kebodohan saya semasa berada di dunia cinta,” kata teman saya dan saya mengangguk.

“Dunia cinta itu memang berbeza. Apa yang membahagiakan pada hari ini belum tentu membuatkan kita ketawa pada esoknya, dan apa yang membuatkan kita menangis hari ini belum tentu juga akan membuat kita terus hiba pada esoknya. Tetapi bukan itu yang utama daripada kalimat itu. Kamu tahu apa yang utama?” terang teman saya lagi dan terus menyambung bicara.

Saya hanya menggeleng lalu ikut bersila di sebelahnya selepas lutut sudah bergetar lantaran lamanya berjongok.

“Yang utama daripada kalimat itu adalah... harapan. Mungkin hari ini kita akan menangis tetapi esok pasti tetap ada harapan untuk kita ketawakan diri kita yang menangis pada hari ini. Jadi jangan berhenti berharap, jangan pula terlalu mengharap,” terang teman saya itu dan kemudian dengan takzim kembali tersenyum. Mungkin dia tersenyum pada saya ataupun sedang tersenyum pada masa silam.

“Lalu sekiranya ada yang masih terus menangis, terus berdendam pada hari semalam yang membuat dia kecewa, itu pula bagaimana? Adakah itu kebijakan kerana kamu kata kalimat itu adalah berkenaan kebodohan masa silam kamu berkenaan cinta,” tanya saya pula tanpa ada niat mahu meneladani Socrates.

Teman saya tidak terus menjawab. Hanya tunduk dan apabila mengangkat wajah dia berkata, “Sebetulnya kalimat ini bukan hanya terhad untuk cinta, malah meluas untuk kehidupan lainnya. Soal akademik, keluarga dan sebagainya. Namun apabila ia jatuh ke tangan saya, saya menyempitkannya menjadi soal diri saya sahaja. Lalu persoalan bodoh atau tidak itu bukan soalnya lagi kerana ia sudah berkait dengan diri orang lain bukan diri saya. Seperti yang saya kata tadi, yang utama adalah harapan lalu sekiranya ada manusia yang terus begitu dia adalah manusia yang memberi harapan yang tinggi pada perkara yang tidak mungkin. Tidak salah berharap tetapi berharaplah pada perkara yang pasti kerana di dunia ini, banyak lagi perkara yang boleh kita harapkan.”

Saya mengangguk dan kembali perlahan-lahan berjongok.

Friday, August 29, 2008

ini rahmat

Saatnya langit Syaaban hilang jingganya dan sempurna gelapnya menjadi Ramadan. Saatnya untuk mendatangi rumah-Nya, tarawih dan berniat untuk esok, saya berpuasa kerana-Nya. Saatnya juga rahmat mengucur dari langit umpama air bening yang mengucur dari atap semasa hujan. Tidak pernah berhenti. Cuma soalnya kepada kita, mahu menakung rahmat yang mengucur itu ataupun sekadar melihat ia jatuh berderai diserap bumi, dan kita hanya menarik selimut kelabu bagi menghangat tubuh, enak memejam mata. Ya, titik rahmat itu sememangnya enak dengungnya ditelinga.

Selamat datang Ramadan. Ya, Allah berikan saya kesabaran pada bulan ini bagi menakung rahmat-Mu yang mengucur, membasahi hari-hari Ramadan. Amin.

Thursday, August 28, 2008

Timur yang merona merah

Dahulu kita punyai pejuang yang melihat penjajahan itu sebagai suatu percintaan nafsu yang murah. Seperti sang pemuda melihat sang gadis yang cantik dan malu-malu. Lalu sang pemuda memberikan sang gadis senyuman memuja, menuturkan kata-kata yang memuji setinggi langit pada indahnya wajah sang gadis. Niatnya hanya satu, agar sang gadis melemah lalu hatinya jatuh.

Gadis yang sememangnya lemah diri itu teruja lalu bermain mata. Cinta terjadi, dosa pahala bukan lagi dalam hitungan. Terkadang sang gadis cemburu dengan sikap sang pemuda yang rakus lalu marah. Pemuda bijak bermain kata, sang gadis melemah. Terkadang kesabaran sang gadis sampai batasan, namun sang pemuda ternyata lebih gagah, memberi bekas merah pada wajah sang gadis. Sang gadis hanya menitis air mata, pasrah. Sang pemuda tersenyum puas.

Sang pemuda bernama Barat dan sang gadis bernama Timur. Dahulu Barat melihat Timur suatu kawasan penuh emas lalu mereka berbondong-bondong datang lalu berjanji untuk peradaban. Namun saat Timur sedar mereka dipergunakan, mereka marah namun Barat lebih kuat.

Walau hari ini percintaan Barat dan Timur sudah putus namun cinta itu tetap datang dengan pelbagai cara. Lalu tanpa sedar, dengan teknologi, Barat sekali lagi cuba mencumbui Timur, dan Timur merona merah pipinya. Semuanya berlaku dengan halus dan sekali lagi, sejarah tetap sahaja berulang.

*Selamat hari Merdeka ke-51 untuk.... ?

Wednesday, August 27, 2008

seadanya :-)

Kadangkala untuk hidup seadanya itu sukar. Hidup seadanya itu umpama bunga di dalam pasu. Subur, namun akarnya hanya berada dalam batasan. Temaram sinar kelopaknya itu menawan, namun akarnya bergulung terseksa dan hanya mengharap belas untuk dibaja, untuk disiram. Ia cantik, tapi seadanya. Lalu seandainya akar itu mampu menjalar bebas, mungkin indahnya itu lebih berpendar-pendar.

Hati juga begitu. Kita mahu seadanya. Lalu kata syukur itu bergema. Lupa barangkali syukur itu untuk menerangkan perbuatan kita dan amalan kita yang seadanya. Jadi apa perlu syukur itu untuk mewakili kata 'seadanya'?

Sedangkan hidup seadanya di dunia itu sukar, apatah lagi di akhirat, hanya membawa amalan yang seadanya.

Lalu ulu hati saya berdenyut. Ternyata amalan, ibadah selama ini tidak lebih daripada sekadar bunga di dalam pasu. Cantik tapi seadanya.

Tuesday, August 12, 2008

surat untuk ayah

Ayah, lamanya tidak bertanya khabar, tidak juga mengirim berita. Hanya sekejap-sekejap mengirim doa. Namun pagi ini, saat hati ini merinding dengan persoalan hati, bayang ayah datang juga di pelupuk mata.

Ayah, sudah lama persoalan ini berkocak lalu mengombak dalam hati, mahu dibicarakan tidak pasti, mahu dilukiskan tidak mengerti. Mujur, hati masih mampu menuntun jari-jari ini untuk menuliskannya. Biar ayah tahu, anakmu ini tetap cuba menjadi seperti ayah dan ibu, manusia-manusia yang sedar dan bersyukur yang dirinya adalah hamba.

Ayah, apa bezanya dosa dan pahala? Saat pahala disulam, hati ini tersenyum lalu berharap ia sampai ke langit menjadi sulaman indah buat akhirat. Saat dosa dirajut, hati ini tanpa sedar, juga tersenyum, biar langsung tidak pernah berharap agar ia menjadi rajutan api untuk akhirat.

Ayah, mengapa hati ini tersenyum saat pahala dan dosa itu digurat dengan jemari? Mengapa hati tersenyum saat dosa dan pahala itu sayup-sayup ditatap mata? Mengapa hati ini masih mampu tersenyum saat dosa dan pahala itu lirih diucap lidah? Sekiranya saat dosa dan pahala itu dizahir, hati tetap tersenyum, lalu apa beza kedua-duanya?

Ayah, jiwa ini khuatir tidak mampu seperti ayah, manusia yang sedar dirinya hamba. Khuatir dengan banyaknya dosa yang dikumpul lalu bertambah rusuh kerana hati ini masih mampu merekahkan senyum.

Ayah, apa mungkin anakmu ini sudah mati hatinya? Apa mungkin anakmu ini sudah tidak kenal siapa Tuhannya? Lalu, nikmat dosa dan pahala itu tetap dirasa sama. Ayah, bagaimana?

Ayah, kalimat apa yang nian indah dilidah untuk dilafaz kepada hati, agar menangis saat dosa tertulis? Kalimat apa yang nian indah dimata untuk dilukis pada hati agar disesali saat dosa sudah berkudis?

Ayah, jangan tahan jawapanmu, titipkannya melalui doa, kirimkannya melalui apa sahaja. Agar anakmu ini lekas tahu beza dosa dan pahala, agar anakmu ini nanti sedar dirinya adalah hamba dan agar anakmu ini tidak lagi tersenyum saat dirinya sudah berdosa.

Friday, August 08, 2008

hati yang terbata-bata

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4

Lelaki tua yang sering saya ketemu, saya jumpa lagi. Kali ini saya ketemu lelaki tua itu sedang duduk sendiri di perhentian bas pada suatu pagi. Pada saat burung-burung sudah bangun mencari rezeki, pada saat binatang malam sudah tidur kembali di dalam sarang.

Dia memakai baju biru berbunga-bunga. Entah bunga apa namun tetap harmoni. Wajahnya dipenuhi garis umur yang umpama alur sungai yang diperhati dari udara. Rambutnya rapi dan ada sedikit janggut yang tumbuh, umpama rumput yang hidup pada musim kemarau.

Lelaki tua itu tersenyum lalu dengan tangan kiri dia memberi isyarat, mahu saya duduk di sebelahnya. Perlahan saya melabuh punggung di sampingnya. Saya menarik nafas panjang memerhati kakinya yang bogel, tanpa alas.

“Alas kaki?” tanya saya dengan mata yang masih memerhati.

“Tak perlu guna alas kaki, jalan raya kitakan sudah bagus. Bukan seperti dahulu yang penuh duri. Lagipun saya bukan selamanya mahu berjalan, saya menunggu bas dan mungkin naik LRT, lalu apa perlunya alas kaki?” soal lelaki itu kembali.

“Tetapi bagaimana pula dengan tanggapan ramai? Tidak mengenakan alas kaki nanti dituduh gila.”

Lelaki tua itu ketawa dan apabila ketawanya mereda, dia berkata, “Apa yang kamu perlu takut? Kaki saya yang berjalan, bukan kaki mereka. Otak saya yang berfikir, bukan otak mereka, lalu mengapa saya perlu mengambil berat tanggapan mereka?”

“Di sesetengah kawasan, dengan berjalan tanpa alas kaki, kamu tidak akan dibenarkan masuk,” tegas saya.

“Tempat apa?”

“Pusat beli-belah misalnya.”

“Bagaimana dengan masjid?” soal lelaki tua itu kembali.

“Boleh.”

“Lalu sebab itu saya tidak memakai alas kaki,” kata lelaki tua itu lagi lalu melempar senyuman.

“Mengapa?” soal saya dengan dahi yang sudah terlipat.

“Saya ini manusia yang lemah, tidak mampu menutup satu pun lubang nafsu sendiri, sedangkan lubang nafsu itu ada sembilan, jadi dengan tidak memakai alas kaki, saya boleh mengelak hadir ke tempat-tempat di mana nafsu saya dapat dimasuki bisikan setan dengan cepat. Pusat beli-belah misalnya, penuh dengan perempuan-perempuan berbaju sendat, saya tidak mampu menahan mata saya, lalu nafsu saya bergelora dan begitu juga dengan lubang-lubang nafsu yang lain. Jadi dengan kaki yang tidak beralas, saya hanya boleh ke kedai kecil dan juga ke masjid dan berharap di jalanan nanti saya mampu menutup lubang nafsu saya daripada dibisiki setan. Bukan itu sahaja, saya juga berharap dengan tidak memakai alas kaki, saya lebih mampu merendah diri dan juga tidak timbul rasa bermegah-megah apabila ketemu orang yang tidak punyai upaya membeli alas kaki,” terang lelaki tua itu dengan panjang lebar.

Saya menggaru dahi lalu memerhati wajah lelaki tua itu. Aneh sekali falsafahnya. Seolah dia lelaki tua yang hanya boleh didapati daripada kisah-kisah kitab lama. Hanya kerana mahu mengurung nafsu agar tidak terusik dengan bisikan setan, dia sanggup berjalan tanpa alas kaki. Aduhai, lalu bagaimana saya harus menilainya? Gila ataupun wali?

Namun persoalan berkenaan nafsunya itu tetap mengocak dalam hati. Saya menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan-lahan.

“Lubang nafsu ada sembilan? Apa?” tanya saya kemudian.

“Sebenarnya lubang nafsu ada sepuluh, tetapi satu sudah tertutup lalu tinggal sembilan. Yang sembilan itu pula adalah kedua-dua mata, telinga, hidung, mulut dan juga lubang kelamin dan dubur. Kesemuanya ada sembilan lubang.”

“Lubang kesepuluh itu pula apa?”

“Lubang pusat,” jawab lelaki tua itu lalu menunjukkan jarinya ke arah perut dan menyambung, “Ia hanya terbuka semasa kita masih di dalam rahim ibu dan pada saat itu kesembilan-sembilan lubang nafsu yang lain masih terkatup rapat dan hanya di alam rahim sahajalah, kita ini menjadi manusia yang benar-benar suci.”

Saya mengangguk namun dalam hati masih berfikir-fikir berkenaan kalimat lelaki tua ini. Terlalu berat. Apa mungkin dia ahli tarekat? Apa mungkin dia mengaku Arief bukan Abid?

“Ingat, nafsu manusia itu seperti bunga yang sentiasa ada dalam hati. Kita tidak mampu membunuhnya tetapi kita hanya mampu membuatnya agar tidak berkembang dan sebab itu saya begini, saya mahu mengelaknya daripada berkembang.”

Lalu sesaat ke depan, hati saya jadi terbata-bata.

Tuesday, July 29, 2008

Tuhan mahu saya berehat

Lumpuh, hati dan juga jiwa itu terlalu sakit. Sehingga apa sahaja yang mahu ditulis, mahu dikata tersekat di kerongkong, tersekat di jari.

Maaf, untuk sementara ini hati dan jiwa saya lumpuh. Letih barangkali, ataupun Tuhan mahu saya berehat barang sebentar.

:-)

Tuesday, July 22, 2008

catatan cinta daripada Tuhan



Untuk manusia yang seperti saya, yang adakalanya berada dalam keadaan lupa pada namanya cubaan Tuhan lalu terlintas dalam hati menyoal mengapa, saya mahu berkongsi sesuatu. Ia saya peroleh daripada rakan saya yang pandai bercerita. Mungkin kerana minat membacanya terlalu tinggi sehingga apa yang dibacanya itu diterjemah dalam kuras-kuras bahasa yang indah dan menyenangkan.

Kata teman saya ini, hidup kita umpama sekeping kertas putih. Apa sahaja yang tertulis di atasnya adalah catatan daripada Tuhan, walau hanya setitik noktah hitam. Lalu dia dengan wajah yang tersenyum, berpesan kepada saya, supaya hati-hati semasa membaca catatan daripada Tuhan kerana, semua catatan itu adalah catatan cinta daripada-Nya.

Lalu, apa pun yang berlaku di atas kertas putih, biar betapa berkecamuknya contengan di atas kertas putih itu, biar betapa comotnya catatan itu, tetapi tetap baca ia sebagai catatan cinta. Baca ia dengan hati yang terbuka dan jangan menyalah tafsirkan maknanya sehingga catatan itu menjadi catatan benci, yang akhirnya kita tanpa sedar bersoal kepada Tuhan, mengapa?

Untuk teman saya yang suka membaca buku itu, teruskan membaca dan kongsikan lebih banyak dengan saya kerana ungkapan-ungkapan seperti ini, lebih mudah saya terima dan fahami. Bertambah mudah kerana catatan di atas kertas hidup saya tertulis perkataan ELISHA. Syukur alhamdulillah, begitu indah catatan cinta-Mu. Alhamdulillah.

Tuesday, July 15, 2008

lelaki yang tidak dipercayai

Berjalan-jalan bersebelahan dengan lelaki yang langsung tidak dipercayai ini memang menyenangkan. Dia lelaki yang tidak dipercayai langsung oleh sesiapa, tetapi bagi aku ia cukup menyenangkan. Sesekali berbual dengan lelaki ini aku akan tersenyum mendengar kisahnya yang cuba menipu.

“Kamu tahu pertama kali aku pergi temu duga, aku ditanya berkenaan apa yang aku boleh lakukan untuk syarikat itu dan aku beritahu tetapi aku dituduh menipu,” katanya perlahan.

Aku teruskan berjalan di bawah matahari sambil tersenyum mendengar ceritanya tanpa niat mahu komentar.

“Semasa aku ketemu seorang perempuan yang aku simpan rinduku kepadanya, aku ditanya apa betul aku sungguh mencintainya, aku berlaku jujur dengan mengatakan ya. Tetapi sekali lagi aku dituduh penipu,” sambung lelaki yang tidak dipercayai itu.

Aku teruskan berjalan. Keringat pada dahi terus aku sapu.

“Aku juga pernah bertemu dengan seorang yang mengaku pakar membaca bahasa tubuh dan saat pertama kali bertemu aku terus mengatakan aku ini penipu. Malah jarinya dituding terus pada muka aku sambil bercakap-cakap berkenaan fakta yang dia pelajari berkenaan bahasa tubuh,” lanjut lelaki yang tidak dipercayai itu lagi sambil kakinya terus cepat melangkah. Aduh aku pula yang terpaksa berjalan laju bagi menyainginya.

“Jadi, kamu mengaku yang kamu memang lelaki penipu dan tidak dipercaya?” tanya aku buat pertama kali selepas berjaya kembali menyainginya.

“Tidak. Apa sahaja yang keluar daripada mulut aku, itu adalah betul. Masalahnya manusia lebih suka membaca bahasa tubuh pada setiap orang yang mereka ketemu. Tetapi bukan semua mansuia itu boleh dibaca bahasa tubuhnya. Jadi kadang kala perlu juga bertanya dan bersangka baik,” jawab lelaki yang tidak dipercayai itu.

“Maksud kamu?” Aku mula mengerut dahi.

“Aku manusia normal namun aku punyai austime. Lalu apabila aku bercakap aku tidak mampu memandang tepat pada wajah seseorang. Aku tidak mampu bertentang mata dengan mereka. Padahal dalam bahasa tubuh, tidak memandang wajah dan mata semasa bercakap itu bermaksud penipu. Tetapi aku bukan itu. Aku penghidap autisme yang sudah sembuh walau belum sepenuhnya, tetapi aku masih boleh berlaku normal pada sekian-sekian keadaan tetapi tidak bagi memandang wajah dan bertentang mata,” terang lelaki yang tidak dipercayai itu. Lirih.

Aku tidak lagi tersenyum tetapi langkah saya terus melaju bersama lajunya langkah lelaki yang tidak dipercayai itu. Dalam hati hanya ada satu perkataan, austime, dan aku perlu cari apa betul kata-kata lelaki yang tidak dipercayai ini berkenaan dirinya ataupun memang dia lelaki yang tidak boleh dipercayai.

http://en.wikipedia.org/wiki/Autism

Wednesday, July 09, 2008

puisi untuk Elisha

malam, jika kamu mahu bicara
pilih aku, jangan dia
selubungi aku, jangan dia
gelapkan aku, jangan dia

malam
ku pohon,
jangan dia

Monday, July 07, 2008

MASKARA 9 - cerita tentang diri sendiri :-)



Gambar: Ehsan ajamihashim.blogspot.com (Sebetulnya, saya ambil terus :-)

Kawan, mengapa saya mahu bercerita tentang ini? Kerana sejak terakhir kali membaca puisi 'Ke Makam Bonda' semasa darjah lima di hadapan kelas, malam Sabtu lepas saya kembali membaca puisi di hadapan khalayak. Enam belas tahun selang masanya. Kawan, lama yang bukan main,.

Kawan, kamu tahu rasanya bagaimana? Rasanya seperti lelaki belum bersunat yang baru tahu menggunakan mesin fotostat. Rasanya cukup sensasi lalu kembali ke rumah bercerita kemahiran terbarunya, juga bersama dengan beberapa keping Mykad sendiri yang sudah difotostat.

Kawan, ceritanya bermula begini....

Dalam hidup, pada setiap saat kita berdoa bagi diberi peluang bagi berjaya, kerana sehebat mana pun kita tetapi sekiranya tiada peluang, maka kehebatan itu tetap umpama emas yang terbenam di mana-mana, mungkin ia di bawah tapak kaki kita.

Namun, terkadang kita terlupa, sekadar memberi peluang bagi manusia bagi berjaya sebenarnya tidak adil. Perlu juga diberi peluang bagi gagal. Itu yang saya pohon, beri saya peluang berjaya dan gagal yang sama rata, kerana untuk manusia biasa-biasa seperti saya, peluang bagi berjaya itu juga biasa-biasa, dan itu yang saya peroleh malam Sabtu lalu di MASKARA, peluang bagi gagal.

Lalu dengan falsafah, 'Save the best for last', dan seumpama permainan catur, saya menjadi bidak yang memulakan persembahan. Kawan, saya kan lawan bagi maksud 'the best' bagi falsafah itu. Terima kasih Mat Jan kerana sedaya upaya mempromosi saya walaupun sukar mencari titik-titik bengitnya. Maaf Mat Jan buat tugas kamu sukar. :-)

Kawan, apa rasanya menjadi kumbang yang terpaksa berjalan di sarang labah-labah? Itu yang saya rasa pada malam MASKARA, dengan berbekalkan darah gemuruh dan rasa panik, saya tetap berdiri di hadapan khalayak, lalu ia menjadi sejarah buat saya. Kawan, saya menjadi kumbang yang mati dimakan labah-labah, tetapi tanpa disuntik bisa, saya mati dengan aman, dan buat pertama kalinya saya boleh pulang dan tidur tanpa rasa kesal. Seperti tidur pengantin pada malam pertamanya.

Kawan, antara bebanan berada di hadapan, bukannya beban pada diri sendiri, tetapi beban utamanya adalah kepada kawan-kawan yang menjadi penonton. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu kamu merasa malu dengan saya. Aduhai. Biar kamu tidak bangga, tetapi jangan kerana saya, kamu rasa malu. Itu yang saya peroleh. Saya tetap memalukan diri di hadapan khalayak dengan aksi yang selayaknya bagi bidak catur, tetapi kawan, kamu adalah kawan-kawan yang memberi peluang yang adil kepada saya, peluang bagi berjaya dan gagal. Di situ adalah puncak nikmatnya MASKARA untuk saya, bebas untuk jujur.

Kawan, terima kasih :-)

Puisi yang dibaca pada malam MASKARA - Kemaskini
(Puisi ini adalah respon bagi slogan 'ubah gaya hidup')
Terjemahan Bugis? Maaf, saya malas hendak menulis, :-)


Ayah,
langit kita kita pernah hijau,
kita duduk bersama di suatu ruang,
membiar hawa sejuk mengulit tubuh,
tetapi kita tetap gembira menikmati dunia,
kata ayah, kereta buruk minyaknya jimat,

Ayah,
langit kita pernah merah,
kita duduk bersama dipelana sempit,
membiar angin menolak dada,
tetapi kita tetap gembira mencari dunia,
kata ayah, motor buruk minyaknya murah,

Ayah,
langit kita pernah hitam,
kita duduk bersama di suatu ruang,
membiar angin membasuh wajah,
tetapi kita gembira melihat dunia,
kata ayah, bas buruk tambangnya murah

Ayah,
langit kita kini sudah tiada warna,
kita sudah tidak duduk bersama,
kita juga sudah tidak gembira menjulang dunia,
kata ayah, kita jalan kaki saja,
minyak hitam, merah dan hijau sudah naik harganya.
.

Tuesday, July 01, 2008

Cintanya seperti bintang

Kisah Kadir

Kadir banyak kisah cintanya. Kisah cinta Kadir itu rahsia tetapi untuk saya dia suka bercerita. Mungkin kerana apabila dia bercerita, teh tarik dan nasi lemaknya jadi percuma. Saya yang akan mengongkosi belanjanya. Walaupun begitu, kisah cinta Kadir tetap membuat saya mengerut dahi.

Terbaru, katanya dia pernah bercinta dengan anak Fateh Terim, jurulatih bola sepak negara Turki. Sambil mengosok-gosok batang hidung dia mengangguk perlahan memandang bungkusan nasi lemak di atas meja. Sesekali matanya di selang seli melirik ke arah saya, saya diam. Perlahan-lahan tangannya mengambil nasi lemak itu lalu matanya kembali memandang saya.

“Saya makan dulu ya. Saya tak bawa wang,” kata Kadir tersenyum menampakkan giginya.

Saya mengangguk perlahan lalu tangan di atas meja saya turunkan ke bawah.

“Anak Fateh Terim cantik, matanya bulat berwarna coklat,” kata Kadir lalu menyuap sudu pertama.

Saya hanya diam mendengar. Tangan sudah saya masukkan ke dalam poket kanan.

“Suatu hari kami berdua berada di stadium, melihat ayahnya sedang melatih pasukan bola sepak Turki. Bagi persediaan UERO 2008. Dia memandang saya lalu bertanya apa saya nampak bintang di langit sana dan saya pun mendongak.”

Habis berkata, Kadir berhenti sebentar dan memasukkan lagi lima sudu nasi lemak ke dalam perut.

“Saya berkata tidak dan dia tersenyum. Katanya, begitu juga cintanya kepada saya. Ia ada tetapi tidak nampak seperti bintang di langit. Cuma apabila waktu malam dan malam tertentu sahaja ia akan terlihat,” kata Kadir lalu tersenyum. Dia kemudian kembali mengunyah nasi lemaknya.

“Anak Fetih Terim kemudian menyambung, kerana cintanya kepada saya itu seperti bintang, lalu , hatinya kepada saya umpama siang hari yang tidak akan pernah malam. Saya tidak akan nampak cintanya dan tidak akan peroleh manisnya. Saya hanya datang dalam hatinya pada saat hatinya gelap dan malam. Jadi untuk itu, dia harap saya akan faham. Cintanya tidak untuk saya. Usai dia berkata begitu saya bungkam,” terang Kadir lagi.

Saya mengaru kening, mengerut dahi. Tangan kanan di dalam poket saya genggam, saya keluarkan lalu memasukkan ke dalam poket kiri. Dia diam tetapi suapan nasi lemaknya tetap deras.

“Siapa nama anak Fetih Terim?” tanya saya kemudian lalu menarik nafas panjang.

“Hamit Altintop,” katanya perlahan.

Saya mengerut dahi. Setahu saya, Hamit Altintop itu lelaki, pemain tengah bola sepak Turki lalu bagaimana dia bisa...? Argh. Tangan yang diseluk di kocek kiri saya segera keluarkan.

“Kamu tidak usah khuatir. Saya tetap tabah dan tidak tergugah dengan peristiwa itu. Jadi cuba tersenyum untuk saya dan usah dikerutkan dahi. Jangan risaukan cerita cinta saya.”

“Kadir..,” kata saya perlahan.

“Tak perlu bersedih dengan cerita cinta saya. Saya sendiri sudah melupakannya,” kata Kadir lalu menghabiskan sisa-sisa nasi lemaknya itu.

“Sebenarnya, saya terlupa membawa duit. Itu sahaja dan Hamit Altintop itu lelaki dan saya percaya kamu bukan Saiful Bahri.”

Kadir tersedak.

Friday, June 27, 2008

Geng kicap itu indah

http://gengkicap.blogspot.com/

Saya masih ingat dengan jelas perasaan itu, semasa ayah membisikan minggu hadapan kami akan ke bandar. Saya melompat setinggi bahu ayah, sambil tersenyum lebar. Lalu segala kelengkapan akan segera disediakan bonda. Mulai dari baju saya yang ada gambar Dark Vader, baju saya yang terbaik sehingga pada seluar saya yang kakinya besar, juga seluar yang terbaik mengikut ukuran ayah. Saya betul-betul teruja kerana tahu akan berjumpa sesuatu yang baru di sana. Malamnya sebelum pergi, saya akan diserang insomnia, parah.

Itu cerita lebih 20 tahun dahulu. Namun semalam, saya merasai lagi perasaan yang sama. Apabila Geng Kicap mengatakan mereka akan hadir. Saya jadi tidak menentu. Saya memilih baju terbaik saya dari koleksi baju yang kurang, juga seluar terbaik saya yang juga daripada koleksi seluar yang kurang. Malamnya saya diserang insomnia.

Bezanya, 20 tahun lalu saya hanya ke bandar tetapi hari ini, saya tidak perlu ke mana-mana kerana ada yang mahu berjumpa. Mulanya, hati ragu-ragu, apa perlu berjumpa saya? Saya kan bukan apa-apa. Namun, mungkin itu yang membuatkan saya menghirup kembali rasa 20 tahun lalu, berjumpa sesuatu yang baru. Tetapi, apabila nama saya dipanggil di balik pintu, saya beku. Otak saya menjengah ke ruang kosong, terkejut. Baru saya sedar satu perkara berkenaan diri saya, saya bukan manusia yang fasih berbicara dengan bahasa yang ditutur, hanya fasih dengan bahasa yang ditulis.

Pada muka pintu mereka berdiri, bertiga, manis, tersenyum dan saya terus dapat mengagak mereka adalah Geng Kicap walaupun mereka tidak membawa kicap. Ya, siapa lagi yang mahu berjumpa saya selain mereka. Otak saya yang sudah sedia kosong bertambah kosong. Lalu hati bertanya, mahu diapakan mereka?

Selepas menarik nafas pendek, dan menjemput mereka duduk, saya tetap kosong. Tidak tahu apa yang mahu diperbuat dan yang saya tahu hanya rasa gembira dan khuatir. Gembira kerana mereka datang dan khuatir kerana saya ini anak kampung. Anak kampung yang terbiasa hidup dengan nuansa hijau pucuk pisang yang menenangkan tetapi tidak dengan kejutan. Ini betul-betul kejutan dan kepala saya betul-betul kosong.

Lalu dengan kepala kosong, saya tidak sedar siapa yang memulakan bicara, tahu-tahu sahaja saya sedang memegang buku yang perlu ditandatangani. Sekali lagi saya kosong. Tidak tahu apa yang mahu dituliskan pada buku. Saya kan anak kampung. Hati saya berdoa, 'Ya, Allah, kurniakan setitis idea bagi dituliskan di atas tandatangan'. Namun tetap juga kosong. Lalu, dengan kepala kosong, saya menuliskan kata-kata yang entah dari mana, yang pasti ia dari hati yang kosong.

Usai memberi tandatangan, baru saya tersedar, saya terlupa membaca bismillah. Mungkin sebab itu idea tidak kunjung hadir. Tetapi selepas membaca bismillah, tetap saya tidak tahu apa yang perlu diperbuat kepada tetamu istimewa ini. Mahu, diberi minum, tidak ada dapur. Mahu diajak berbual, saya malu dan kepala sedang kosong, terkejut. Lalu saya bawa mereka berjalan-jalan walau saya tahu mereka datang bukan untuk berjalan-jalan di sekitar pejabat. Hadiahkan mereka buku biar saya tahu mereka datang bukan untuk itu. Tetapi, maafkan saya, saya kan anak kampung yang terkejut.

Letih berjalan dari tingkat dua ke tingkat tiga dan kembali ke tingkat dua, saya bawa mereka kembali duduk. Bawa mereka berbual-bual, tetapi aduhai, pada saat sekarang pun saya tidak tahu apa yang saya bualkan. Harap-harap tidak ada berkenaan yang memalukan.

Namun saat mereka sudah hilang daripada pandangan dan selepas saya beransur-ansur tenang, saya cuba membaca perasaan sendiri, saya tersenyum. Di balik rasa gembira, khuatir dan kosong itu ada satu lagi perasaan yang mendasar di hati, terharu. Ya, saya kan anak kampung yang terkejut. Apalagi perasaan yang hadir selain itu.

Maaf, atas segala kekurangan tadi. Walau saya sudah memakai pakaian terbaik saya, saya tetap tidak mampu memberi yang terbaik. Aduhai, bersalahnya hati. Hanya ucapan terima kasih untuk mereka bertiga (Maaf tidak disebutkan nama, kerana tidak pasti mereka mahu privacy ataupun bagaimana :-P) daripada Geng Kicap yang berbaik hati hadir dan cukup mengagumkan semangatnya. Terima kasih kerana memberikan saya rasa 20 tahun dahulu. Betul, nostalgia itu bukan apa-apa tetapi saya kan anak kampung, untuk anak kampung, nostalgia adalah segala.

Terima kasih. :-)