Thursday, March 21, 2013

literal rasa hati

Dahulu, saya pernah mendengarkan seorang bergurau apabila membaca peringatan, 'Judi adalah Haram di sisi Agama Islam'.

Katanya, "Judi hanya haram di sisi agama, maknanya ia tidak haram ditengah-tengah agama. Sebab itu aku berjudi."

Saya tahu dia cuma bergurau tetapi kesannya bukan main-main. Cuma, pada waktu itu, saya jahil, (sampai sekarang pun jahil lagi), bagi menyusun ayat menghujahkan tindakan dia. Akhirnya saya cuma diam kerana saya yakin, hujah saya yang tidak berstrategi dan disusun elok itu akan dijawab dengan olok-olok yang sama, dan menjadi bahan ketawa. Lalu menambahkan dosa2 kami.

Ibarat bertanyakan hukum menutup aurat kepada artis seksi yang sudah kita tahu pendiriannya. Lalu dia menjawab, "Tidak wajib."

Didengar oleh orang ramai, lalu mengutuk artis itu, dan artis itu semakin jauh daripada agama. Kita yang bertanya ini, yang sudah tahu akan jawapan artis itu, adakah kita beroleh pahala?

Saya bukan mahu perkatakan lanjut berkenaan seloroh itu. Saya tidak ada ilmu.

Saya cuma mahu bawakan contoh, yang tidak semua perkara boleh dibaca dengan makna literal atau harfiahnya.

Misalnya, kalau saya tulis, 'Kalau tidak faham status ini, pergi terjun sungai'.

Bukanlah bermakna, suruh pergi terjun sungai tetapi, faham2 sahajalah.

Begitu juga dalam hidup kita. TIDAK semua perkara yang datang dalam hidup kita, dapat kita terjemahkan secara literal.

Terutamanya yang menyangkut soal hati. Terkadang, tanpa sedar kita menyangka-nyangka, atau, tanpa sedar kita berasa benci.

Sekiranya kita terjemahkan secara literal rasa hati itu, maka jahatlah orang atau perkara yang kita sangka2 dan benci itu.

Menterjemahkan rasa hati itu terkadang mengejutkan kita juga. Rasa menyangka2 dan benci itu, apabila kita siasat bukanlah sebab orang itu, tetapi sebab kita sendiri, yang sudah keras hati atau terpujuk nafsu.

Thursday, March 14, 2013

yang diikat hormat


Pada suatu tahap, kita manusia ini semuanya sependapat. Kita memberi harapan yang serupa, tetapi detik itu cuma hanya beberapa saat.

Detiknya, pada ketika kita semua menjawab dengan jawapan yang sama, “Sesuatu mesti dilakukan.”

Pada kata, 'sesuatu' itulah yang menyimpan semua permasalahan manusia, kerana 'sesuatu' itu menyimpan jutaan jalur jawapan untuk satu soalan.

Dan manusia pula, sedangkan dalam bercinta yang sering dibutakan pada kebenaran, dapat menimbulkan ribut resah, apatah lagi manusia yang memang berjumpa hanya bagi membuktikan diri masing-masing adalah lebih benar.

Saya pula bukanlah mahu menulis, cara bagi membuatkan manusia itu bersetuju dengan pendapat yang satu, kerana itu 'mustahil'.

Saya cuma mahu menulis sesuatu yang kecil, yang dekat dengan diri saya. Hanya, berjarak sedegup jantung.

Hati.

Pada hati itu, kita berkongsi rasa mahu dihormati. Pada hati itu juga, kita mahu dilayan dengan adab-adab terbaik yang pernah kita tahu.

Itulah punca yang kita gelar, 'sakit hati'. Bukan kerana, hujah kita dipatah dan pijak-pijak ke tanah, bukan juga kerana label-label yang menampakkan kita ini manusia hitam, bukan juga kerana tindak yang membuatkan fizikal kita cedera.

Kita, 'sakit hati' kerana, hati kita tidak bersetuju dengan cara hujah kita dipatah-patah oleh manusia lain, hati kita tidak setuju dengan cara kita diberi label, dan hati kita tidak setuju dengan cara mereka menyentuh tubuh kita.

Hati kita, tanpa sedar kita sebenarnya mahu sesuatu yang lebih daripada kebenaran. Kita ini manusia yang sentiasa tamak, dan itulah yang dipupuk oleh hati. Hati kita mahukan lebih daripada kebenaran, iaitu kehormatan dalam pada ketika kebenaran itu disampaikan.

Hanya hormat.

Hormat itu sangat mahal kerana ia hanya jelas pada ketika kita sembunyi-sembunyi memberi nasihat. Ia hanya tinggi pada ketika kita merendah diri menerima nasihat.

Ya, kita tidak mungkin sependapat kerana 'sesuatu' itu jurainya berjuta-juta, tetapi kita mampu menyimpulkan jurai 'sesuatu' itu dengan tali hormat.

Semoga.




Friday, February 15, 2013

Pada simpang jalan yang tidak terlihat



Kini, saya peruntukan sedikit waktu di gym. Semuanya demi kesihatan dan gym yang saya pilih itu, adalah antara gym paling murah biayanya, yang boleh saya temui.

Biasanya, apabila berada di gym, saya memilih treadmill paling tepi. Di sebelah kanan. Alasan saya, mungkin kerana ia 'kanan', dan semuanya perlu bermula dari kanan.

Di situlah saya berlari sambil memerhatikan latar bukit pagi yang diselimuti kabus. Memang indah, tetapi tetap sahajalah memberi rasa jemu sekiranya hanya itu yang dilihat.

Mujur, di hadapan saya itu ada sebatang jalan raya dan memerhatikan kenderaan yang lalu lalang mampu membuat fikiran saya 'lari' daripada memikirkan persoalan, 'belum 30 minit lagi?'.

Ya, di atas di treadmill itu, saya mencuba membina disiplin bagi berlari 30 minit, dan ternyata, ia sangat mencabar kesabaran. Hairan.

Cuma tadi, pada ketika saya pergi ke gym, treadmill kegemaran saya di sebelah kanan sudah digunakan oleh orang lain. Yang ada cuma treadmill di hujung kiri sekali. Tidak apalah, kerana perjuangan saya adalah berlari bagi 30 minit, bukan isu kanan atau kiri.

Ternyata, saya terkejut.

Berlari di bahagian kiri itu, membolehkan saya melihat apa yang selama ini tidak saya lihat apabila berlari di sebelah kanan.

Dari bahagian itu, saya melihat simpang jalan yang luas. Ada lebih banyak kenderaan, ada penjual nasi lemak, ada anak-anak sekolah, dan semua itu memberikan ruang kepada saya untuk bersabar bagi menghabiskan larian.

Ternyata, hidup itu bukan hanya di sebelah kanan.

Sekiranya sebelum ini, kita hanya melihat hanya ada 'sebatang jalan' dalam hidup kita, percayalah kita sebenarnya belum melihat semuanya. Apa yang perlu, beranikan diri bagi mengubah cara pandang, dan pasti kita akan menemukan 'simpang jalan', yang memberikan kita lebih banyak pilihan dalam hidup.

Dan hidup tidaklah indah sekiranya disempitkan hanya dengan pilihan, antara 'kanan' dan 'kiri'. Kanan dan kiri itu bukan tujuan, kerana tujuan utama kita adalah terus berlari pada landasan. Isunya, adalah kekuatan bagi meneruskan larian.

Kerana manusia, fitrahnya cepat berasa bosan, dan janganlah hanya kerana kebosanan melihat sebatang jalan' di hadapan, kita berhenti berlari.

Teruslah berlari, dan ubahlah cara pandang, kerana kadangkala manusia beroleh kekuatan baru hanya dengan mengubah cara pandang. Mengubah cara pandang juga bermaksud, mencari jalan lain bagi bersangka baik.

Sentiasalah bersangka baik, kerana itulah yang menguatkan sabar dalam berlari menerusi kehidupan.

Thursday, December 27, 2012

ketika air kopi tinggal suku


Pagi tadi semasa minum kopi, saya merasa sedikit pahit, namun tetap jugalah saya minum. Dan pada ketika air kopi tinggal suku, barulah saya perasan saya lupa mengacau kopi dan susunya. 

Apabila saya kacau, kopi yang tinggal suku itu terasa sangat manis pula. Terlalu manis sehingga tidak mampu saya minum.

Agaknya itu hidup. Ada waktunya kita terlupa yang 'manis' itu ada di dasar, perlu dicari, dan pada ketika malas mencari, yang kita peroleh cuma pahit. Ada waktunya juga, pada ketika teringat berkenaan 'manis' itu, semuanya sudah terlewat. 

Mujurlah, Tuhan sudah membantu, 'membancuh', hidup kita antara yang pahit dan manis. Cuma apabila kita terlupa kepada Tuhan, pada waktu itulah kita berasa hidup ini hanya pahit semata-mata, ataupun hanya manis yang ada sehingga lupa, hidup kita bukan ada apa-apa maknanya sekiranya hanya berkenaan yang pahit-pahit, ataupun hanya berkenaan yang manis-manis.

Jadi, hiruplah hidup yang pahit manis ini dengan senyuman dan bismillah. :)

Tuesday, December 11, 2012

tersenyum


Sesekali melihat diri pada ruang yang berbeza, membuat saya tertanya-tanya, apakah sepatutnya saya berada di ruang ini pada masa lalu?

Iya, lambat dan cepatnya waktu itu sentiasa memberi misteri pada manusia. Sentiasa memberi pertanyaan, “Mengapa dahulu aku tidak begitu?” Atau, “Mengapa aku tidak buat sahaja itu dahulu?”

Jawapan untuk setiap persoalan yang berasaskan pada lambat dan cepatnya waktu, tidak semudah tersenyum kepada gadis cantik. Sukarnya adalah seperti sukarnya menahan diri daripada tersenyum kepada gadis cantik yang tersenyum kepada kita.

Lalu kembali kepada had yang perlu kita tahu sahaja, Tuhan punyai rencana yang lebih baik untuk hamba-Nya, iaitu kita.

Sekiranya, kita yakin itu adalah rencana Tuhan untuk kita, kita akan bersyukur tetapi dengan syarat yang sangat berat, sebelum rencana itu terjadi, kita sudah berusaha sedaya upaya, dan percayalah, apapun hasilnya, baik ataupun buruk, sekiranya kita yakin itu rencana Tuhan selepas segala daya kita berikan, kita akan tetap tersenyum walaupun tanpa gadis cantik di hadapan kita.

Wednesday, October 24, 2012

Saya dan Hawking

Malam itu saya serba salah. Berada di ruang tamu dengan mendengarkan atap genting ditimpa titis hujan, membuat rasa serba salah berubah menjadi resah.

Di televisyen 32 inci, doku drama tentang Stephen Hawking sudah hampir separuh ditonton.

Sambil itu, mata saya melirik juga pada baldi biru di penjuru rumah. Baju-baju dan seluar saya, 90 peratus ada di dalamnya.

Fikiran saya juga mula menjadi separuh. Separuh pada kisah Hawking dan separuh pada pakaian basah yang saya buntu bagaimana mahu menguruskannya.

Bukan hujan yang salah, tetapi saya yang berlambat-lambat mahu membasuh. Selepas dua minggu, selepas semua pakaian yang ada di dalam almari sudah saya pakai, barulah datang kesedaran, "Aku mesti basuh baju aku!"

Sekarang baju-baju dan seluar itu masih basah di dalam baldi biru dan hujan kedengaran semakin kuat menyanyi.

Hawking pula sudah tersenyum lebar. Teori big bang sudah bermain-main dalam fikirannya. Mungkin pada waktu itu, wajah Profesor Hoyle, yang sentiasa menentangnya juga muncul bersama, namun dalam bentuk yang memberikan rasa ketenangan dan kemenangan.

Saya pula, sudah semakin gusar dan sudah mahu kalah kepada hujan.

Hawking semakin jauh dengan teorinya, dan pada ketika itulah saya terpandang kipas meja saya yang berwarna hijau cair.

Di televisyen Hawking tersenyum kepada nombor-nombor pada papan hijau. Teori bagaimana alam semesta bermula dan akan berakhir sudah dalam kepalanya.

Saya pula tersenyum kepada kipas hijau cair saya. Teori bagi mengakhiri masalah baju basah sudah ada dalam kepala saya.

Kami sama-sama tersenyum.

Thursday, October 11, 2012

pada impian

Dalam mimpi sekalipun, mungkin kita akan menemui perkara ini. Sesuatu yang tidak berjalan seiring dengan naluri. Namun, ia lebih sekadar daripada 'naluri', ia lebih luas, seluasnya tapak tangan kita pada penglihatan kuman. Ia mampu menyangkut soal hati, kemahuan, cita-cita, prinsip, dan apa sahajalah yang ada dalam batang tubuh manusia.

Pada ketika ia tidak sejalan, pada ketika itulah ia menjadi VS.

Mungkin itulah namanya cabaran. Yang bermula dengan Impian VS Realiti. Semasa manusia membina impian yang muluk-muluk, semasa mahu sahaja melangkah ke arah impian itu, manusia dibentangkan realiti yang bersegi-segi. Yang perit tidak tertanggung, yang sakitnya membuat semangat mati.

Itu rasanya terlalu umum dan jauh. Ada VS yang lebih dekat pada diri dan masa sekarang. Misalnya diri saya yang kerjanya sebagai editor. VS itu bermula semasa menghidupkan komputer. Editor VS penulis, Editor VS Pembaca Pruf, Editor VS Pereka Grafik, Editor VS Marketing, Editor VS Sales, Editor VS Pembaca, dan segala macam perkara yang tidak seiringan dengan kemahuan dan naluri editor.

Untuk manusia lain, yang masih menjadi pelajar, yang bekerja kerajaan mungkin VS juga berbeza-beza. Tetapi yang tetap sama, itulah punca kepada ketegangan hidup. Ada yang menganggap itulah yang menyebabkan dunia berputar, ia terlihat wajar dan menjadi tidak ada apa-apa.

Maka itulah saya, menerima semua itu sebagai sesuatu yang wajar. Cuma ada waktunya VS itu tidak menjadi sesuatu yang wajar. Pada ketika ia melibatkan hati dan perasaan yang lebih dalam tanpa kawalan fikiran yang waras. Kewajaran akan hilang dan terkadang ia bertukar menjadi gila, hanya kerana perkataan ini, Cinta.

Bayangkan sahaja siapa yang akan menang sekiranya:

Cinta VS _______.

Letakkan apa sahaja, diruangan kosong itu, dan biasanya cinta yang tetap akan menang. Pelajaran akan tewas, ibu bapa pun biasanya beralah dan lebih sering terjadi Agama juga sering kecundang.

Direnung-renung, mungkin masalahnya ada pada perkataan VS itu sendiri. Apa sahaja yang mahu diberikan VS, usahakan bagi mengubah VS itu menjadi sesuatu yang lebih akrab. Mungkin sesuatu yang bersifat boleh dibawa berunding, sesuatu yang tersenyum baik kepadadiri kita sendiri. Mungkin kata 'kawan' atau 'kerjasama' adalah sesuatu yang lebih manis.

Bayangkan lagi bagaimana mudahnya hidup saya sebagai editor sekiranya, Editor 'Kerjasama' Penulis, Editor 'Kerjasama' Sales, dan seterusnya.

Bayangkan pula bagaimana indahnya Cinta sekiranya, Cinta 'Kawan' Ibu bapa, Cinta 'Kawan' Agama, dan seterusnya. Indah dan semuanya memberi makna yang setinggi-tinggi langit.

Lalu pada ketika semuanya terlihat indah, pada ketika itulah ia menjadi impian dan pada kata impian itulah kita akan sampai pada permainan ini - Impian VS Realiti. Yang kita semua mampu jangka, jenis realiti apa yang sudah menunggu kita di hadapan sana. Realiti yang tidak pernah mesra dengan impian. Yang pasti Impian itu perlukan bantuan, dan bantuan yang manusia ada hanyalah Tuhan. Impian (Tuhan) VS Realiti, insya Allah kita mampu. Amin.

Wednesday, September 26, 2012

perempuan bertudung labuh di tepi tingkap - sebuah cerpen

Inilah cerita tentang pencinta. Iaitu saya. Malu juga mahu mengulang kembali kisah itu di sini, kerana kisah cinta itu jelas tidak membawa pahala. Kisah yang bermula ketika umur saya baru 16. Pada umur begitu saya sudah mahu memikat hati perempuan. Sudah mahu memberi mereka kasih dan sangat berharap juga dibalas kasih.

Namun, di sebalik kisah cinta yang tidak tahu tuju halanya itu, tetap ada kisah yang membuat saya teringat-ingat sampai sekarang.

Dia cantik.

Saya baru tingkatan lima. Saya sudah tumbuh kumis halus, dan kulit saya yang cerah membuat kumis itu terlihat jelas. Rambut saya pula belah tepi dan menutup dahi. Bertubuh tinggi dan segala gabungan itu menjadikan saya pelajar lelaki yang tinggi percaya diri.

Namun untuk urusan yang satu ini, saya menjadi lelaki bisu. Iaitu urusan dengan kaum perempuan, terlebih-lebih lagi dengan dia. Dia pelajar perempuan bertudung labuh, pintar, putih dan segala perkara yang baik ada pada dia. Dia yang duduk di tepi tingkap dengan wajah yang sentiasa bersemangat.

Saya waktu itu berada pada kemuncak hormon lelaki, lantas punya cita-cita yang tinggi. Entah mengapa, saya mengikuti puluhan pelajar lelaki lain ikut jatuh hati kepada dia, perempuan yang duduk di tepi tingkap. Mujur juga dia tidak pernah endah dengan segala macam surat yang dia terima dan segala macam usikan yang diberi.

Tetapi tetap sahaja hati saya cemburu dan gusar kerana, saingan saya bukan calang-calang. Ada yang ayahnya jutawan, ahli politik, kerabat raja, dan malah ada atlit sekolah, ketua pengawas, dan segala macam lagi yang membuatkan saya nekad bagi mencuba dan berusaha.

Saya mahu mencuba bagi memberitahu isi hati saya kepada dia. Mana tahu dia sudi, kerana ada juga sekali dua saya bertentang mata ketika saya menjeling ke arah dia, sebelum saya cepat-cepat tunduk malu.

Cuma caranya saya tidak tahu dan mujur, saya ada seorang yang saya percaya.

Sepupu.

Dia sepupu saya yang umurnya sudah 25 tahun. Tidak punya pekerjaan walaupun lepasan Giat Mara Katanya susah mahu mencari kerja. Lalu kerjanya hanya menunggang motosikal di sekeliling kampung, dan sesekali menerima upah membaiki motosikal.

Yang paling saya suka dengan dia, dia seorang yang 'gila-gila', selamba, jenis yang mendengar, suka berjenaka dan paling utama, sejak dari kecil dialah sepupu yang paling rapat dengan saya. Kepada dia, saya menceritakan hajat hati yang berat itu dan dengan lagak lelaki yang serba tahu dia berkata,

“Mari aku bawa kau berjumpa dengan seseorang. Dia akan memberi kau penawar, dan dia akan menjadikan perempuan itu kekasih kau yang menyayangi kau sampai mati.”

Kata-katanya membuatkan saya menarik nafas panjang. Lega. Sepertinya saya baru sembuh dari demam selesema, sembuh daripada hidung tersumbat.

Namun itu tidak lama, kerana hati saya kembali kecut kerana takut yang teramat sangat. Kecut apabila berjumpa dengan 'seseorang' itu.

Rumah di tengah kampung. 

Dengan membonceng motosikal, saya dibawa sepupu saya bagi berjumpa dengan orang itu. Katanya, “Ikut sahaja aku. Kau akan berpuas hati.”

Aku senyum dan berharap dia benar, dan lebih berharap perempuan di tepi tingkap itu jatuh cinta kepada aku. Berharap dan terus berharap.

Cuma pada ketika motosikal sepupu saya berhenti di hadapan rumah di tengah kampung, degup jantung saya melaju kencang. Degup jantung kuda berlari pun rasanya tidak seperti itu.

“Mengapa berhenti di sini?”

“Itulah rumah orang yang punya penawar itu.”

“Itu rumah Imam Masjid. Mana mungkin,” kata saya dengan fikiran yang kembali mengingat baik-baik siapa imam itu.

Dengan imam itulah saya belajar tajwid, dan daripada situ saya tahu bagaimana tegasnya dia dalam mendidik. Tidak ada pelajarnya yang berani berkata tidak sekiranya dia berdehem. Pada ketika dia membuntangkan matanya, semua tunduk memandang lantai. Pada ketika dia bersuara pula, semua seperti sudah tercabut jantung. Tidak perlulah saya ceritakan lagi bagaimana sekiranya dia berdiri dan menghentak kaki. Cukuplah sampai kisah kami tercabut jantung.

Atas ingatan yang masih segar itu, saya mengambil keputusan beredar dari situ, tetapi Tuhan sudah mengatur segalanya, kerana pada langkah pertama saya mendengar suara itu, “Amir, mahu ke mana?”

Suara itu sangat saya kenal, dan itulah suara Tok Imam masjid. Degup jantung kembali melaju, dan belum sempat reda, sepupu saya pula berkata, “Dia mahu jumpa Tok. Dia mahu tanya petua.”

Saya memejam mata. Sempat hati berkata, “Ya, Allah cubaan jenis apa yang Kau turunkan kepada aku. Ya, Allah bantulah aku. Ya, Allah ampunkan aku.”

Bertolak daripada jawapan sepupu saya itulah, saya tidak sedar sudah berada di dalam rumah Tok Imam itu, sudah duduk di sofa sambil menghirup kopi pahit.

“Kamu kata tadi mahu minta petua, petua apa?” soal Tok Imam selepas melihat saya meletakkan cawan kopi.

Dalam debar yang meninggi, sepupu saya seperti biasa dengan yakin berkata, “Masalah cinta.”

Saya sempat berharap, semoga pada saat itu ada petir yang menyambar rumah Tok Imam, biar hangus dan dapatlah saya segera melarikan diri dari situ. Namun, niat jahat itu tidak terkabul dan bermulalah pesan yang membuatkan saya menceritakan kembali kisah ini.

Tok Imam. 

Tok Imam hanya mengangguk mendengar setiap jawapan saya. Malunya saya mahu menjawab soalan dia hanya Tuhan yang tahu. Dia bertanya siapa nama gadis itu, sudah berapa lama saya jatuh cinta dan semuanya soalan yang berkenaan cinta.

Saya pula hanya ada dua pilihan, melompat dari tingkap rumah ataupun menjawab soalan dia, dan saya memilih menjawab soalan dia kerana rumah Tok Imam itu boleh tahan juga tingginya.

“Cinta itu bukan sesuatu yang luar biasa. Pada umur kamu ini, itulah adalah perkara biasa. Malah pada ketika saya seumur kamu, isteri saya sudah mengandung anak pertama.”

Kata-kata Tok Imam itu membuat saya sedikit lega. Lega kerana dia tidak meninggikan suara, dan lega kerana akhirnya saya tahu perasaan ini cuma hal biasa.

“Cuma, setiap zaman ada kaedahnya. Itu sahaja yang membezakan cinta. Cinta zaman saya, begitu kaedahnya, dan zaman sekarang pula pasti berbeza. Kaedah yang ditentukan oleh kelaziman. Jadi pada zaman sekarang, adakah bernikah pada usia kamu ini satu kelaziman?”

Saya menggeleng.

“Oleh kerana ia bukan kelaziman, maka kamu perlu ikut kelaziman zaman sekarang. Iaitu belajar sampai habis, bekerja dan kemudian beristeri.”

“Tetapi Tok, saya takut dia tidak akan tahan melawan perasaan cintanya, Takkan tidak ada cara lain?” sampuk sepupu saya dengan segera dan membuat saya berasa mahu menerajang dia pada ketika itu juga.

Tok Imam melepas kopiah putihnya dan meletakkan ke atas meja kopi. Dia merenung wajah saya yang tunduk.

“Beginilah, saya tidak boleh menghalang rasa cinta dalam hati kamu. Tetapi kamu pasti boleh berfikir, jadi saya harap kamu dengar betul-betul kata saya, dan kamu kemudian fikir sendiri. Boleh?”

Saya mengangguk, tidak ada pilihan.

“Kita ini orang yang beragama Islam. Seperti yang kamu tahu, ajaran Islam itu sangat indah, cantik dan sempurna. Ibaratnya, sekiranya ajaran Islam itu dapat dilihat, ia akan berupa makanan yang sangat sedap, lazat, cantik dan berkhasiat di dunia ini. Sudahlah mata kita dapat nikmat dengan melihat cantiknya makanan itu, lidah kita pula dapat merasa nikmatnya, dan jauh ke dalam tubuh kita, kita dapat khasiatnya. Jadi kamu fahamkan baik-baik perumpamaan saya itu. Boleh?”

Saya angguk dan fikiran saya mula berputar keras memikirkan perumpamaan ajaran Islam dan makanan yang lazat itu.

“Sekarang kamu bayangkan pula, makanan yang lazat itu adalah seperti cinta. Ia cantik, lazat dan berkhasiat. Boleh?”

Saya angguk lagi, dan pada kali ini saya tidak punya masalah membayangkannya.

“Jadi sekarang, lihat roti di hadapan kamu.”

Segera saya memandang roti bakar di atas meja, yang dihidangkan oleh Tok Imam. Memandang dengan penuh debar. Entah apa lagi yang dia suruh saya bayangkan. Adakah dia mahu saya bayangkan yang roti bakar itu adalah diri saya?

Tok Imam mengambil roti itu dan berkata, “Roti bakar ini sangat sedap. Jadi kamu bayangkanlah inilah makanan yang paling sedap di dunia. Boleh?”

Saya tetap angguk tetapi sudah mula pening sedikit.

“Sekarang, makan,” kata Tok Imam dan terus melemparkan roti bakar itu ke arah wajah saya. Saya terkejut besar. Masa seperti berhenti. Buat pertama kalinya dalam hidup saya, ada roti bakar yang melekat pada wajah saya. Sepupu saya di sebelah juga ikut kaku, terkejut.

“Sekarang apa pelajaran yang kamu dapat?” soal Tok Imam itu dengan tiba-tiba.

Saya perlahan-lahan meletakkan roti bakar itu kembali ke dalam pinggan.

“Saya tidak tahu,” ujar saya yang masih terkejut.

“Begitulah agama Islam. Walaupun ajarannya indah, cantik dan baik, sekiranya cara kita 'menghidangkan' ajaran itu tidak baik, terus melempar ke muka orang, pasti sesedap mana pun makanan itu orang tidak akan mahu makan. Malah orang itu akan bermusuh dengan kita, akan mengutuk makanan kita tidak sedap. Begitulah yang terjadi sekarang dengan agama Islam. Kamu sendiri boleh lihat dengan jelas di sekeliling kamu. Contohnya, hukum menutup aurat. Ia ajaran yang indah dan punya hikmah yang tinggi. Tetapi bagaimana kita memberitahu orang lain berkenaan ajaran dan hukum itu? Kita marah-marah, kutuk dan segala macam sehingga orang itu menjauhkan diri dari kita. Apa salahnya kita 'menghidangkan' ajaran agama yang cantik dan indah itu dengan baik-baik? Faham?”

Saya menelan liur mendengarkan ceramah Tok Imam, sambil mengangguk, sambil bertanya dalam hati, “Bagaimana soal cinta saya? Mengapa jauh betul larinya?”

“Begitulah juga cinta. Kamu perlu 'hidangkan' cinta itu dengan sebaik-baik cara. Walau sesuci manapun cinta kamu sekiranya cara kamu 'hidangkan' cinta itu tidak betul, cinta kamu tetap tidak ada harganya. Dan cara menghidangkan cinta dengan betul adalah dengan cara agama. Sekiranya tidak, kamu seperti sedang yang melempar roti kepada wajah perempuan yang kamu gila-gilakan itu. Apa rasanya dilempar roti tadi? Kamu suka?”

Saya segera menggeleng dan sedia mengelak sekiranya Tok Imam itu akan kembali melempar roti ke arah saya.

“Jadi, saya nasihatkan sekiranya kamu benar-benar suka kepada gadis itu, kamu jumpa ayahnya. Itulah cara agama. Itulah cara menghidangkan cinta dengan betul. Sekiranya kamu tidak berani lagi, anggaplah kamu sudah putus cinta. Tetapi janganlah kamu risau. Umur kamu baru 16 tahun, dan lelaki yang putus cinta pada umur begini, adalah perkara biasa, seperti biasanya mereka mudah jatuh cinta. Jadi kamu berani?”

Saya tahu, saya tidak akan pernah berani berjumpa dengan ayah perempuan itu pada waktu itu. Dan saya juga tahu, buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya sudah putus cinta. Atas sebab putus cinta itulah, kisah ini masih saya ingat. Malah, wajah cinta pertama itu juga masih saya ingat, seperti mana saya ingat rasanya dilempar roti bakar. Namun, yang berbeza, perempuan bertudung labuh yang duduk di tepi tingkap itu kini sudah entah di mana. Semoga dia bahagia.

Monday, September 24, 2012

Diari Mat Despatch : Naluri Ayah - sedikit perkongsian.


Pernah sekali ada pembaca bertanya, mengapa pada setiap novel saya, latarnya adalah Sarawak. Sama ada latar tempatnya, ataupun ada wataknya orang Sarawak.

Pertamanya, jawapan yang saya yakin dapat diteka oleh pembaca itu, adalah kerana lebih mudah kepada saya bagi memberi gambaran berkenaan latar. Malah dalam mana-mana teknik dan cara penulisan mana sekalipun, mereka akan menyarankan menulis sesuatu yang dekat dengan hati. Itu yang saya lakukan, menulis sesuatu yang dekat dengan hati saya sendiri.

Itu yang pertama. Yang kedua, kerana saya ini pendiam, pemalu, dan segala macam perkara yang tidak memihak. Namun saya tetap mahu memberi penghargaan dan penghormatan kepada tanah lahir saya. Dan buat masa ini, hanya melalui tulisan segala 'penghargaan' dan 'penghormatan', itu mampu saya berikan.

Atas nama penghargaan dan penghormatan juga, ada banyak nama rakan-rakan yang saya masukkan dalam penulisan saya. Ada kisah-kisah mereka yang saya jadikan babak dalam penulisan. Malah untuk ayah dan ibu, untuk mereka juga saya usahakan memberikan penghargaan terus melalui kisah dalam novel-novel saya.

Masih dengan sebab penghormatan dan penghargaan jugalah, novel terbaru saya ini ditulis. Semestinya ia penghargaan dan hormat kepada semua yang bergelar ayah, kerana ayah juga seperti ibu kita, mereka adalah satu-satunya.


Selamat membaca. :)

*Boleh dibeli secara online di http://www.bookcafe.com.my/en/

Berkenaan buku


Saya juga menulis buku. Pada kali ini, saya menulis dua genre yang berbeza dengan khalayak pembaca yang juga berbeza tetapi, saya usahakan semuanya tetap memberi manfaat yang sama. Insya-Allah. :)


Diari Mat Despatch

Ayah tidak pernah mengajar aku cara bercinta.
Namun, ayah mengajar aku erti cinta.

Semuanya bermula apabila ayah aku yang bermulut sinis, 
kagum kepada orang kerja pejabat, dan mudah percaya kepada orang lain, 
datang melawat aku di rumah sewa.

Hidup aku yang tenang menjadi 'huru-hara'.
Huru-hara yang bagaimana? Aku sudah tulis semuanya dalam diari ini.


Padanya Ada Hikmah
Kadangkala hati menyangka, kisah yang terjadi kepada kita tidak ada kesenangan padanya. Kadangkala hati juga bertanya, mengapa Tuhan memberikan kasih yang tidak ada manisnya. Mungkin kita lupa, Tuhan Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Lalu pada setiap kisah yang diberikan kepada manusia, dia menyertakan sayangnya dan menyisipkan kasihan-Nya. Semua itu disembunyikan pada kata yang bernama hikmah.
Inilah 35 kisah penuh hikmah, yang terinspirasi daripada pengalaman Prof. Dr. Muhaya. Sekiranya ada yang bertanya seberapa mirip pengalaman Prof. Dr. Muhaya pada kisah yang diceritakan, jawapannya dapat dibaca pada halaman 'Bagaimana buku ini seharusnya dibaca'.

Kedua-duanya boleh dibeli secara online dari sini http://www.bookcafe.com.my/en/
:)

Tuesday, September 11, 2012

Itu yang Tuhan suka?

Semasa cuti semestar pertama matrikulasi, waktu itu umur saya baru 18 tahun. Darah muda. Itulah pertama kali saya kembali ke Sarawak dengan menaiki kapal terbang. Sebelum kembali, saya pastikan pakaian saya adalah pakaian orang kota metropolitan. Saya tidak punya wang yang banyak, jadi seluar saya, seluar 'bundle', dan baju pula dibeli di Petaling Street, namun saya tetap yakin sudah mengikut trend orang kota dan paling utama terlihat berpelajaran tinggi.

Mungkin itulah risikonya menjadi orang kampung yang punyai televisyen. Di televisyen kamu dapat melihat trend terkini, tetapi kamu tidak tahu bagaimana mahu mengikuti trend itu kerana kedai pakaian yang paling dekat adalah sehari perjalanan. Paling utama, kamu tidak punyai wang. Lalu pada ketika kamu sudah berada di kota, pada ketika wang kamu cukup-cukup sahaja, kamu kerasukan trend orang kota.

Jadi besar harapan saya, turun sahaja dari kapal terbang, orang di Sarawak akan terkagum-kagum kepada saya. Itu yang membuat saya tersenyum-senyum tatkala melihat bumi Sarawak dari udara.

Sepertinya harapan saya itu termakbul, kerana semasa turun sahaja dari kapal terbang, di pintu masuk sana berdiri seorang yang saya kenali. Dia senior saya di sekolah menengah. Saya yakin dia bekerja di lapangan terbang itu, tetapi sebagai apa saya tidak tahu. Ya, tidak ada orang awam yang akan berdiri di situ selain mereka yang bekerja.

Melangkah yakinlah saya, dan semasa lalu di hadapannya dia seperti terkejut melihat saya. Saya pula sudah tersenyum. Saya tahu, dia mula kagum. Mungkin rupa golongan terpelajar sangat terserlah pada penampilan saya. Tetapi itu belum cukup kerana saya menunggu dia menyatakan kekagumannya. Lalu saya menunggu.

“Dari KL?” tanya dia dengan wajah yang saya anggap wajah orang kagum.

Saya mengangguk. Tersenyum sambil hati berharap besar dia bertanya pula, di mana saya belajar. Biar saya menjawabnya dan menambahkan kekaguman dia. Bahawa saya ini punya masa hadapan yang cerah.

Pada ketika dia bersedia membuka mulut, saya sudah berdebar.

“Kerja kilang apa di KL?”

Pertanyaan dia meruntuhkan segala keyakinan diri saya. Runtuh tinggal debu. Saya cuma terlihat seperti pekerja kilang di mata dia? Aduh.... Sempat juga saya memperlihatkan wajah terkejut. Saya tidak sempat menguasai diri saya semasa berkata, “Taklah. Saya sambung belajar.”

Dia cuma memuncungkan mulut membuat bunyi Ooo yang perlahan. Langsung tidak ada rasa kagum, cuma dia terlihat ragu-ragu.

Saya pula yang sudah hilang keyakinan diri, cepat-cepat berlalu dari situ. Jalan tunduk dan pada setiap mata yang memandang saya, saya yakin yang mereka memandang saya sebagai pekerja kilang.

Itulah kepercayaan saya yang baru. Saya terlihat seperti pekerja kilang. Sejak dari hari itulah, pada setiap kali saya turun dari kapal terbang, saya menyiapkan diri saya turun sebagai seorang pekerja kilang. Malah bukan itu sahaja, semasa turun dari bas, turun dari kereta, motosikal dan malah LRT, saya sudah menganggap, saya cuma dilihat sebagai pekerja kilang.

Tidak ada salahnya menjadi pekerja kilang, yang salahnya adalah diri saya yang cepat benar berasa besar diri. Namun, tetap sahaja setiap itu ada hikmahnya, dan hikmah daripada perkara itu, saya belajar berkenaan merendah hati.

Saya belajar mengenali diri saya, yang saya tidak ada 'tokoh' penampilan seorang yang terpelajar, mulia dan apa sahajalah yang tinggi-tinggi. Saya ini, pakailah apapun, saya tetap terlihat sebagai orang kampung yang bekerja kilang. Paling tinggi mungkin orang melihat, supervisor kilang.

Itulah kesedaran diri yang paling bagus yang pernah saya ada, kesedaran yang mengawal diri saya daripada berlebih-lebih dalam perkara apapun. Biar sederhana, biar murah dan biar merendah hati. Paling utama, mengajar saya tidak cuba mengikut seperti orang lain, dan tidak meletakkan harapan pada jangkaan manusia. Bukankah itu maknanya bahagia dan bukankah itu yang Tuhan suka?

Mudah-mudahan.

Tuesday, August 14, 2012

adakah saya sudah mengecewakan kamu? - sebuah fiksyen sempena Ramadhan dan Syawal.

Beberapa balang kuih yang saya beli tadi sudah tersusun di atas para dapur. Entah apalah nama kuih-kuih itu, saya tidak tahu. Rasanya juga saya tidak pasti. Mungkin buka puasa nanti boleh dicuba satu dua.

Melihat warnanya yang kuning-kuning berkilat, rasanya pasti lemak-lemak manis. Dengan potongan ceri di atasnya, menambah sedikit rasa manis masam. Barangkali begitulah.

Yang satu lagi, coklat gelap dan saya tahu bahan asasnya adalah coklat cuma kurang pasti rasanya sama ada manis ataupun sedikit pahit. Namun melihat teksturnya, yakin saya saat ia bersentuh dengan lidah ia akan rapuh seperti butir pasir terkena air. Semogalah sangkaan saya betul.

Kuih-kuih zaman sekarang, bukan saya tahu pun nama dan jenisnya. Terkadang yang saya gelar kuih, mereka kata itu biskut. Sekiranya tidak pun mereka gelar ia kek. Jadi yang mana kuih, mana biskut dan mana kek, tidak saya terlalu peduli. Yang saya mahu peduli adalah rasanya. Semoga-moga beroleh jugalah kuih-kuih yang kena dengan rasa lidah saya nanti, dan paling utama ia kena dengan selera si dia.

Takut benar saya sekiranya saya mengecewakan dia. Walaupun pada hakikatnya, saya belilah kuih jenis apapun, dia tetap juga tersenyum kasih. Tetap juga dia mengunyah perlahan-lahan sambil memperlihatkan wajahnya yang puas.

Yang saya suka, sekiranya ada sisa-sisa kuih di hujung bibirnya. Saya ketawa kecil, menyapunya dengan hujung jari, lalu dia ikut tersenyum.

Bukankah semasa saya kecil dahulu pun dia berbuat begitu juga? Tetapi bezanya, semasa kecil saya melarikan wajah saya tidak mahu di sentuh oleh hujung jari dia. Mungkin saya malu pada anak tuan rumah ataupun malu kepada sepupu-sepupu yang sebaya saya.

Tetapi itulah susahnya apabila dewasa, kerana kita faham akan sesuatu tetapi hati pura-pura tidak mengerti. Si dia itu bukanlah berharap dengan balang-balang kuih saya, melainkan dia berharap dengan kehadiran saya sepanjang waktu dengan dia.

Itu saya faham, tetapi tuntutan dunia yang tidak akan putus sampai mati ini membuatkan hati saya pura-pura tidak faham. Berharap-harap semoga dia mengerti, semoga dia redha dan semoga dia terus memberi restu.

Paling membuatkan saya keliru, saya malah berharap hanya dengan kuih-kuih yang saya beli ini, dengan dua tiga pasang tudung, baju dan sepucuk sampul hijau, akan dapat membalas semua kekosongan hati dia.

Lalu pada ketika saya mencium tangannya, pada ketika saya memeluk dia, dan pada ketika saya memanjai pipinya, saya bertanya dalam hati, "Adakah saya sudah mengecewakan kamu?"

Tuesday, August 07, 2012

Yang namanya ikhlas

Dalam menulis, paling tidak pasti ada sekali orang bertanya, "Kamu ini ikhlas dalam menulis ataupun sekadar mahu wang atau populariti?"

Susahnya soalan itu, tidak dapat dibanding dengan mana-mana soalan yang pernah ditanyakan dalam peperiksaan.

Bagaimana mahu menjawabnya? Saya sendiri apabila ditanyakan itu, tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Cuma sesekali terlintas dalam hati, sekiranya soalan itu perlu penulis seperti saya menjawabnya, jadi pekerjaan lain seperti guru, doktor, kerani, PTD, wartawan juga perlu menjawab soalan yang serupa, soalan berkenaan ikhlas. Tidak wajar pula persoalan itu dibebankan kepada penulis sahaja.

Mengapa ikhlas itu sukar dijawab oleh saya? Pertamanya saya kurang ilmu. Malah bacaan saya berkenaan 'ikhlas' itu sendiri semakin membuatkan saya berasa rendah diri.

Manakan tidak, yang saya baca ikhlas itu bukan sekadar satu situasi iaitu sebelum memulakan kerja, tetapi ikhlas itu perlu pada tiga situasi. Pertama, sebelum memulakan kerja. Niatnya ikhlas kerana Allah, kedua semasa melakukan kerja, dan paling sukar, selepas menyelesaikan kerja itu, juga perlu ikhlas.

Pada situasi yang pertama, adalah situasi yang selalu dijaga. Hati cuba benar menjadi ikhlas. Pada situasi kedua, segala susah dan dugaan semasa membuat kerja juga perlu ikhlas, tidaklah dicanang-canangkan kepada semua, dan pada situasi ketiga, selesai kerja, hati tetap perlu ikhlas. Sekiranya dipuji perlu cepat2 kembalikan pujian itu kepada Allah. Sekiranya dikeji, segara ingat kepada Allah. Tidak ada ungkit-mengungkit apalagi yang namanya berbangga-bangga, dikhuatiri hilang ikhlasnya.

Sedangkan dunia penulisan itu, hasil akhirnya adalah tulisan yang tahan lama dan terus dibaca sehingga bertahun-tahun. Dengan iman yang nipis, betapa sukarnya mahu mempertahankan ikhlas itu.

Malahan saya membaca, ikhlas itu dengan mudahnya hilang pada kata-kata, "Saya membuat semua itu dengan ikhlas." Orang yang ikhlas tidak memberitahu mereka ikhlas.

Itu menambahkan rasa rendah diri, kerana saya pasti, saya lebih banyak terlanjur berbuat riak daripada sedar. Astagfirullahal'azhim.

Itulah yang namanya ikhlas, ia adalah rahsia Allah. Jadi, bagaimana mahu menjawab soalan, adakah ikhlas ataupun tidak? Mungkin jawapannya, terus berusaha ke arah itu kerana ia adalah usaha sepanjang usia.

Apapun, Allah jugalah yang lebih tahu.

Friday, August 03, 2012

Jalan orang-orang yang dikurniakan nikmat

Saya menerima e-mel ini,
Assalamualaikum WBT.
Saya doakan tuan dan keluarga sentiasa dalam peliharaan Allah, amin. Maaf sekiranya e-mel ini mengganggu. 
Saya berbesar hati mahu berkongsi ini dengan tuan. Buatlah apa sahaja yang tuan mahu (mahu tulis semulakah, mahu jadikan idea penulisankah, jadikan inspirasikah dsb). Seperti biasa, saya mohon dirahsiakan identiti. Harapnya, ini dakwah kecil saya, mudah-mudahan dapat ganjaran pahala oleh Allah dan saya layak masuk syurga, amin.
Semoga tuan juga dapat pahala tuan, amin.
Terima kasih dan salam hormat.

Jadi, saya ambil kisah benar daripada si pengirim e-mel sebagai inspirasi untuk cerpen di bawah. Semoga bermanfaat.


Muda.

Pada usia saya yang begini, saya tidak pernah sekali terlintas berkenaan perkara itu. Tidak sesekali. Walaupun akal saya sudah teruji pintarnya pada kertas ujian, namun tetap juga saya tidak pernah bertanyakan soalan mudah itu.

Dan pada ketika saya bertanyakan soalan itu, saya bertanyakan pada saat hati saya tersembam pilu.

Sepupu. 

Antara ramai sepupu saya, dia antara yang saya paling senangi. Kami rapat sepertinya adik-beradik walaupun dia lelaki dan saya perempuan. Kami bermain bersama-sama, belajar juga bersaing dan paling memberi memori, kami merancang masa hadapan kami supaya ia seiring.

“Nanti tentu anak-anak kita rapat seperti kita,” kata dia membuatkan saya yang waktu itu malu-malu. Maklumlah belum lagi terfikir berkenaan cinta berlainan jantina.

Namun jauh dalam hati, saya benar-benar mengharapkan itu terjadi. Saya mengimpikan semoga anak dia nanti akan bermain-main dengan anak saya. Semoga anak-anak kami, bergembira, ketawa dan berduka bersama-sama, seperti mana kami lakukan.

Itulah perancangan manusia, yang belum tahu bagaimana hujungnya, dan hujungnya tiba juga pada hari itu dalam bentuk yang saya tidak sangka.

Belajar. 

Kali terakhir saya bertemu dia adalah tiga bulan lalu, sebelum saya berangkat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dia turut datang menghantar saya ke lapangan terbang, dan walaupun nasihat dia mungkin tidak sepilu nasihat ibu saya, dan tidak setegas nasihat ayah, tetapi tetap juga membekas dalam hati.

“Sudah belajar tinggi-tinggi, jangan lupakan saya,” kata dia ketawa.

Saya ikut ketawa tanpa sedar itulah ketawa yang terakhir kami kerana, tiga bulan kemudiannya, saya menerima khabar yang sepupu saya itu kemalangan jalan raya. Dia koma.

Hampir luruh segala semangat yang menopang jiwa saya. Sekiranya sahaja saya ini ada wang lebih, pasti waktu itu juga saya mahu pulang ke tanah air. Apakan daya, saya masih belajar dan masih ditanggung oleh keluarga dengan kos yang tidak sedikit.

Saya cuma mampu berpesan kepada keluarga supaya mengutuskan khabar berkenaan dia, dari semasa ke semasa. Selain itu tidak banyak yang saya mampu lakukan selain berdoa dan terus berdoa. Berdoa dalam sujud, berdoa pada siangnya, berdoa pada malamnya, dan berdoa di mana-mana.

“Ya, Allah selamatkan sepupu saya. Panjangkanlah umurnya.....Ya Allah, berilah diapeluang. Dia layak, ya Allah, dia layak... Tolong, ya Allah. ”

Namun Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya dan hari itu saya menerima khabar terakhir berkenaan dia... dia sudah berjumpa Penciptanya.

Saya menangis semahu-mahunya. Ya, semahu-mahunya.... Tidak ada lagi yang mampu saya lakukan selain menangis dan terus menangis, sehinggalah saya sering menyendiri hanya kerana tidak mahu rakan-rakan melihat merah mata saya.

Begitulah hidup yang sudah diatur oleh Allah untuk saya, langsung tidak saya menyangka, dalam keadaan saya paling pilu, dan pada ketika saya menyendiri itulah, saya diberi peringatan yang halus, dan ia bermula apabila saya bertanya, bilakah waktu saya akan tiba?

Sepupu saya yang seusia saya, yang masih muda sudah pergi terlebih dahulu, dan pasti itulah contoh paling dekat untuk diri saya, yang mati itu tidak kenal usia. Lalu bagaimana dengan amalan saya selama ini? Adakah sudah cukup? Bagaimana pula dengan dosa saya? Adakah masih tidak cukup-cukup?

Saya menjadi takut mengenangkan semua perkara itu. Takut yang akhirnya menjadi lapisan iman terakhir kepada saya, bagi memujuk diri supaya redha dengan ketentuan Ilahi dengan bisikan, “Redhalah.... Allah lebih sayang kepada dia. Lebih sayang kepada dia.”

Puaslah saya pujuk hati dengan kata-kata itu. Selain sedih, saya juga mula berasa gundah berkenaan keadaan diri yang serba kurang ini, dan dosa-dosa yang saya yakin sudah tebal menambah menjadi gelana.

Fikiran saya berkecamuk. Pada ketika sedih sepertinya menikam tembus ke hati, gusar pula ikut mencucuk. Tidak tahu di mana saya harus bermula, dan sekali lagi, selain menangis, lalu saya tambahkan doa, “Ya, Allah tunjukkanlah saya jalan keluar, ya Allah. Ya, Allah.... Ya Allah berikanlah saya petunjuk dan hidayah... ya Allah.”

Pada ketika kecamuk saya sudah meninggi, pada ketika itulah saya teringatkan soalan sepupu saya, soalan yang dia tanyakan semasa kami masih kecil, semasa kami pergi mengaji.

Soalan.

Waktu itu, saya sudah mampu mengingat dengan baik. Saya dan dia seperti biasa belajar mengaji daripada nenek, lalu pada setiap kali itu jugalah nenek akan menyuruh kami mengulang-ulang bacaan Al Fatihah, berkali-kali sebelum mula mengaji.

Usai mengaji itulah, pada suatu ketika kami duduk di tangga, dia bertanya, “Mengapa yang pertama sekali diajar kepada kita adalah Al Fatihah? Mengapa?”

Soalan masa lalu itu berputar-putar dalam fikiran saya yang berkecamuk, lalu tergerak hati saya membaca Al Fatihah berserta dengan maksudnya, dan apabila saya tiba pada ayat itu jantung saya berdegup kencang.... namun anehnya, kusut dan kecamuk dalam fikiran mula berkurang.

Tunjukanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Ya, Allah... air mata saya kembali menitik laju. Saya mengulang-ulang baca ayat itu, mengulang-ulang sehingga saya tidak mampu membilangnya lagi. Ternyata, dalam Al Fatihah itu sudah ada ayat yang cukup syahdu, ayat yang menjadi doa kepada mereka yang mahu beringat.Adakah itu sudah cukup menjawab soalan, "Mengapa yang pertama diajar adalah Al Fatihah?" Jujurnya saya tidak tahu, dan saya mahu tahu, tetapi untuk saya, mungkin itu sudah menjadi sebab bagi terus bersungguh-sungguh pada ketika membaca Al Fatihah.

Untuk sepupu saya itu, terima kasih kerana ketika pergimu, kamu meninggalkan soalan itu untuk aku jawab pada ketika hati sudah putus harap. Bahagialah kamu di sana. Walaupun kita tidak sempat membesarkan anak-anak kita bersama-sama di dunia, masih ada akhirat untuk kita. Semoga di sana, anak-anak kita akan saling bermain, seperti mana kita bermain dahulu. Al- Fatihah.

Monday, July 23, 2012

kisah orang Rusia - sebuah fiksyen

Andrey asyik tersenyum. Dia tahu dia sudah menang. Kata-katanya berkenaan sastera yang memetik beberapa nama membuat Dimitri terdiam. 

Mana mungkin lelaki yang tidak punya sekolah seperti Dimitri itu punya upaya menjawab segala hujahnya. Dimitri itu memang bukan tandingannya. Dia yang punyai otak yang geliga, yang akhirnya berjaya menuntut di Novosibirsk State University, sudah pasti tidak mampu dikalahkan oleh pemuda kelahiran ulu Siberia itu.

"Dahulu, kamu belajar di mana?" Akhirnya Dimitri membuka mulut, dengan nada yang berat.

"Novosibirsk State University." Andrey terlihat bangga.

"Bagaimana kamu masuk ke universiti itu?" Dimitri terus bertanya dengan wajah yang rendah diri.

Dengan bangga Andrey bercerita berkenaan bagaimana cemerlangnya dia sejak umur lima tahun. Bertambah bersemangat apabila dia bercerita apa syarat-syarat yang Novosibirsk State University letakkan kepada mereka yang mahu menjadi warganya.

Akhirnya Andrey memberi kesimpulan, "Perlu otak yang pintar untuk ke sana, kerana hanya dengann otak sebegitu ilmu-ilmu yang diperturunkan oleh guru tidak sia-sia."

"Jadi, hujah kamu tadi berdasarkan apa yang guru-guru kamu ajar?" duga Dimitri.

"Ya. Saya ulang apa yang guru saya ajar, dan kamu cukup bertuah mendengarkannya."

"Ternyata kamu tidak belajar apa-apa di universiti," potong Dimitri yang tiba-tiba menjadi yakin nada suaranya.

"Jangan kurang ajar," tegas Andrey.

"Kamu sudah kata, untuk menerima pelajaran di universiti itu perlu otak pintar, perlu lulus segala macam ujian. Kerana hanya dengan cara itu apa yang diajar oleh guru boleh masuk ke dalam kepala. Kamu juga sudah tahu yang saya ini tidak pintar, orang kebanyakan, belajarnya tidak tinggi, otak yang biasa-biasa, tetapi anehnya mengapa kamu mengulang kembali apa yang diajar oleh guru kamu kepada aku? Bagaimana orang yang tidak pintar seperrti aku boleh mengerti kata-kata kamu? Sedangkan apa yang guru kamu ajar itu, memang khusus untuk orang pintar seperti kamu, bukan seperti aku. Tidakkah kamu fikir, kamu ini bukan mahu membuatkan aku faham dan menyelesaikan masalah, tetapi hanya mahu membuatkan kamu terlihat pandai dan aku pun jadi kagum."

Alaxender memerah wajahnya. Dingin hujan St. Petersburg tidak mampu lagi menampung hawa panas daripada hatinya.

"Susah bercakap dengan orang tidak terpelajar seperti kamu."

"Memang susah sekiranya kamu menggunakan jargon-jargon yang hanya khusus untuk ahli akademik seperti kamu. Kamu yang mengaku pandai, cabarlah diri kamu bagi berbahasa mudah dengan saya, orang kebanyakkan. Berbahasa yang saya faham, agar otak saya menjadi sedikit pandai, bukannya menjadi bingung dengan segala macam nama orang yang saya tidak kenal dan segala macam teori yang gah. Apapun aku mengaku, kamu sudah berjaya untuk terlihat pandai, dan kamu sudah berjaya membuat aku kagum. Terima kasihlah atas semua itu."

Usai berkata, Dimitri terus mencapai payung, merentasi jalan berlecak dan hujan yang tiada tanda mahu berhenti.

Monday, July 16, 2012

Kerusi Nan Bercinta

Kerusi panjang itu, dapat menerima dengan baik tiga orang dewasa. Tidak ada tujuan lain, selain memang untuk manusia duduk merehatkan tumit sebelum nombor giliran dipanggil. Sekiranya nombor giliran jauh lagi, memang sangat nikmat bagi duduk di kerusi.

Hari itu, nombor giliran Nan sudah mencapai angka 130, sedangkan nombor yang tertera pada kaunter, baru 50. Segera mata Nan mengalih pada kerusi yang masih kosong, dan semasa melangkah ke sana, seorang lelaki duduk di hujung kanan, dan seorang perempun duduk di hujung kiri kerusi.

Nan berhenti dan memikir. Walaupun masih ada tempat duduk di tengah-tengah, entah mengapa ia sepertinya sudah penuh. Ya, pada mata Nan, ia memang masih kosong, dan dengan saiz punggung Nan, ia memang muat-muat.

Tetapi pada fikiran Nan, ia sudah penuh. Cuba juga Nan berdiri di hadapan mereka, dengan harap lelaki dan perempuan itu, ada yang tersenyum menjemput saya duduk, tetapi hampa.

Wajah mereka adalah wajah yang berkata, "Tolonglah jangan duduk di tengah ini. Berdiri sahaja kamu di tepi pintu sana."

Nan tahu, menyangka-nyangka itu tidak bagus, tetapi Nan pasti itu dalam fikiran mereka, kerana Nan juga pernah berada di hujung kanan dan kiri kerusi itu.

Sekiranya sahaja lelaki dan perempuan di hujung sana tersenyum-senyum sesama mereka, berbual dan kenal mesra, mungkin ada juga ruang untuk Nan duduk mencelah, tetapi sekarang tiada usaha daripada mereka bagi bertemu mata, dan Nan langsung tidak punya daya bagi berbuat sesuatu kecuali kecewa.

Mungkin kerana itulah, dunia tidak pernah aman kerana manusia suka berada dihujung-hujung yang ekstrim. Manusia yang punya peluang berada di tengah-tengah pula, sentiasa ragu dan memilih berdiri di penjuru pintu.

Ah... kerusi Nan bercinta

Friday, July 06, 2012

Ayah cuba juga menunggu - sebuah fiskyen


Matahari, tanpa angin, yang ada hanya pintu yang terbuka. Tidak banyak pilihan, selain duduk di hadapan pintu, memasang rokok sebatang, sambil berharap-harap ada angin yang tersesat. Sambil menunggu angin, dia berusaha juga mengibas-ngibas tubuhnya yang berkeringat dengan baju hitam yang tertulis, 'F**k the system'.

Di belakanganya berdiri seorang lelaki tua yang berpenampilan mahu ke surau. Melangkah sahaja ke pintu, dia berhenti, betul-betul di sebelah lelaki yang tubuh berkeringat.

"Kamu ini, umur sudah masuk jubli perak. Tetapi setiap hari, tetap juga hanya duduk di hadapan pintu. Mahu jadi apa dengan kamu?"

Lelaki itu menghembus asap rokoknya. Berkepul-kepul.

"Ayah mana faham perjuangan saya."

"Bagaimana ayah mahu faham sekiranya setiap hari kamu minta duit daripada ibu kamu? Ibu kamu pula minta daripada ayah. Cubalah kamu ringan-ringankan tangan kamu menanam pisang. Lepas setahun, kamu juga yang berduit."

"Ayah tidak perlulah perli saya."

Lelaki tua itu memilih duduk di anak tangga, mungkin kerana lututnya yang sudah longgar.

"Kamu kata, kamu ini indie, underground, apa lagi? Punk? Hardcore? Kamu fikir ayah tahu apa perkara itu? Ayah langsung tidak faham. Ayah cuma faham, pisang itu sekiranya ditanam sekarang, ada juga yang boleh ditunggu."

Dia semakin kuat menarik asap masuk ke paru-parunya, menghembus hanya sedikit asap. Lega, lalu berkata, "Jadi, ayah tunggu sahajalah. Nanti lihat di mana saya berada."

"Sebenarnya ayah cuba menunggu. Cuba juga membaca sedikit-sedikit tentang apa yang kamu perjuangkan. Lalu kesimpulan daripada itu, apa yang kamu gelar indie, underground dan segala macam itu, semua itu mainan anak orang kaya. Anak-anak orang kaya yang tidak pernah hidup susah, lalu mereka melihat cara hidup yang sukar dan susah sebagai sesuatu yang menarik, sesuatu yang boleh 'dimain-mainkan' dengan kata 'perjuangan'. Oleh kerana itulah mereka terlihat sangat hebat di TV, di majalah. Yang menjadi mangsa, anak-anak orang miskin seperti kamu. Sekiranya mereka tidak makan, tidur di tepi jalan, baju busuk, atau apa sahajalah kesusahan tidak mengapa kerana ayah dan ibu mereka kaya. Mereka tidak perlu risau orang tua mereka yang ada insurans ratusan ribu. Tetapi kamu ini, ayah dan ibu ini sudah tua, jangankan insurans, pencen pun tidak ada. Tabung Haji pun entah bila mahu penuh. Buatlah 'mainan' kamu sendiri, mainan orang miskin."

Lelaki tua itu berhenti, menelan liur, merehat tekak, sebelum menyambung, "Itu, parang, cangkul mainan kamu. Sekiranya tidak suka,tetap ada pilihan, itu surat khabar di ruangan iklan kerja, itulah 'mainan' kamu anak orang miskin."

Rokok sudah habis sebatang, angin tidak ada juga yang menyerbu. Hanya kata-kata lelaki tua itu yang merobohkan telinga.

"Ayah tidak faham. Saya cakap banyak pun, buat penat saya sahaja."

"Ayah memang tidak faham, sekiranya ayah faham mungkin ayah juga seperti kamu, menjerit2 'f**k the system', memakai jeans lusuh, lalu duduk di hadapan pintu. Mungkin kamu lebih suka ayah begitu."

Lelaki tua itu bangun, lalu mengemaskan ikatan kain pelekatnya.

Sunday, July 01, 2012

# 3. Pintu biru pintu merah - sebuah novel

Saya ingat pada kali pertama saya warnakan rambut menjadi merah menyala. Waktu itu, rambut lurus saya masih hitam dan melepasi bahu, dan pada ketika itu lelaki-lelaki sepertinya tidak pernah jemu bersiul setiap kali saya lalu di hadapan, di tepi dan terkadang di belakang mereka pun, mereka menoleh dengan bersemangat, dan bersiul.

Bagi yang pendek lidahnya, sehingga bunyi siulan mereka seperti bunyi angin yang menampar atap zink, mereka berkata, “Jalan seorang sahaja?”

Sedangkan mata mereka masih terang, masih bagus, dan jelas sekali saya berjalan seorang diri. Mengapa perlu bertanya lagi? Lelaki, ternyata mereka memang susah mahu dipercaya. Dalam urusan menjaga mata sekalipun mereka sudah gagal, sedangkan awal kecurangan itu adalah kecurangan mata.

Jadi, entah bagaimana hari itu datang akal bagi mewarnakan rambut saya merah dan hasilnya, saya tidak lagi disiul, cuma saya dipandang pelik, aneh dan terkadang sinis.

Ada jugalah yang saya dengar, “Alien mana pula yang sesat ini?”

Saya tidak marah, tetapi gembira. Setidak-tidaknya, dikeji sebegitu lebih memuaskan hati saya dibanding dengan digoda bagi memuaskan nafsu mereka.

Namun kesannya, tidak ramai yang mahu dekat dengan saya selain rakan-rakan yang sudah tahu saya jenis perempuan yang bagaimana. Baik lelaki ataupun perempuan, pada ketika mereka melihat sahaja rambut merah saya, segera mereka memberikan mimik wajah tidak senang, tidak suka dan mahu menghina.

Sehingga ibu rakan serumah saya yang dahulu mahu anaknya keluar dari rumah sewa kami, dan saya mengalah. Saya yang keluar dan semasa mencari rumah sewa baru, saya temukan iklan mencari rakan serumah.

Dipendekkan cerita, saya bertemu dengan bakal rakan serumah saya itu dan terkejutnya saya, dia perempuan bertudung labuh yang berwajah lembut. Namun itu biasa, yang membuatkan saya tertarik, adalah pada ketika dia berkata, “Assalamualaikum. Ini Hanin? Cantiknya awak.”

Dia jujur dengan kata-katanya itu kerana tidak sekali matanya melirik pada rambut saya, dan matanya terus memandang wajah saya. Dia sepertinya tidak peduli dengan apa yang saya pakai dan siapa saya. Tanpa bertangguh, saya setuju menyewa dan tinggal bersama dia.

Tetapi itu hanya sebab kecil, untuk saya bagi terus serumah dengan dia. Ada sebab lain yang lebih besar, sebab yang membuatkan saya masih terkenang-kenang sehingga sekarang.

Suatu petang Sabtu.
Hari itu, rakan sekolah saya, yang kini bekerja di kelab malam dan mahu bertaubat, mahu benar tahu mengapa saya dapat tinggal serumah dengan orang yang berlainan watak dengan saya.

Dan saya pun bercerita, semuanya bermula pada suatu petang Sabtu. Ketika itu saya sedang bercuti dan rakan saya yang bertudung labuh itu, didatangi pula oleh empat orang rakannya yang juga bertudung labuh.

Saya tahu, mereka datang bukan sekadar datang bagi bertanya khabar, tetapi mereka datang bagi duduk dalam satu bulatan, dan ada buku apalah yang mereka baca, dan mereka juga mencatat apa yang sesama mereka perkatakan. Sempat juga saya mendengar, perkataan Arab, usrah. Ya, mungkin itulah namanya, usrah pada waktu petang.

Saya pula seperti biasa apabila cuti, sekiranya tidak membaca buku, saya menonton DVD, dan itulah petang itu yang saya lakukan. Bezanya, kali ini saya pura-pura tertidur kerana saya malas mahu bermanis wajah dan bersalam-salaman dengan mereka. Memang hari itu, saya menjadi sangat malas.

Selepas beberapa ketika, saya terdengar satu kata-kata yang hampir membuatkan saya terbangun.

“Mengapa awak serumah lagi dengan dia?” Entah siapalah antara mereka berempat itu yang bertanya kepada rakan serumah saya.

“Mengapa? Apa salahnya?” Saya kenal suara itu, suara rakan serumah saya.

“Takkan awak tidak tahu, sekiranya kita serumah dengan pencuri, sekiranya lebih 40 hari aura pencuri akan lekat kepada kita. Awak tidak takut?”

“Dia bukan pencuri!” Tegas rakan serumah saya.

“Ya, itu cuma contoh. Tetapi lihat dia, rambut merah, seksi, tidak solat, awak fikir, awak tidak akan terkena auranya?”

“Daripada dalil mana awak dapat berkenaan aura-aura?” Saya hampir tersenyum mendengarkan soalan rakan serumah saya itu.

“Ayah saya beritahu. Tetapi itu bukan soalnya. Soalnya walaupun awak niat mahu berdakwah sekalipun, adakah awak yakin dapat berdakwah kepada dia? Sudah cukupkah ilmu dan sudah cukup tinggikah iman awak? Paling utama, tidakkah nanti dai menyusahkan awak? Sekarang ini pun, setiap kali ada usrah, dia jeling kita seperti kita mahu minta duit dia pula. Semua itu perlu perkiraan, takut-takut nanti awak pula yang berambut merah.”

Mendengarkan kata-kata itu, saya terasa mahu bangun dan menjerit, “Jahanam! Kau siapa mahu menghakimi aku?” Namun saya sabarkan diri walaupuh terasa tangan sudah bergetar-getar.

“Kita kenal manusia dengan dua cara, jarak dan masa. Dengan jarak, kita dekat dengan mereka dan dengan masa, kita selalu bersama mereka, bukan sehari dua. Jadi, bagaimana awak boleh kata, awak kenal dia sehingga dia boleh mempengaruhi saya sekiranya awak sendiri tidak kenal dekat dan lama dengan dia? Lagipula yang lebih utama, ingat lagi hadis Nabi Muhammad saw?”

Penjelasan rakan serumah saya itu membuatkan saya berdecak kagum. Ternyata dia sangat melindungi saya.

“Hadis yang mana?”

“Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan, dan kejahatan masyarakatnya. Direkodkan oleh Al-Bukhari, Tirmizi dan Ahmad: Ini hadis sahih. Jadi, saya fikir duduk serumah dengan pun sudah kira bergaul dengan masyarakat. Yang paling utama, dia bukanlah seperti yang awak sangkakan. Cubalah berkenal-kenal dengan dia,” jelas rakan serumah saya.

Itulah kata-kata akhir yang saya ingat, sebelum saya betul-betul tidur. Kata-kata yang membuatkan saya semakin senang dengan dia.

Thursday, June 28, 2012

kecil - sebuah fiksyen

"Kecilnya," detik hati saya pada saat melangkah ke ruang yang dia panggil rumah.

"Di sini...," dia berjalan menuju ke tingkap, membuka tingkap sebelum berpaling kembali kepada saya, "... ruang-ruang sempit adalah antara ciri-ciri hidup urban. Kau kena hidup dengannya."

Saya diam, dan dia menyambung.

"Ruang yang sempit, duit yang sikit, hidup yang perit yang membuat manusia-manusia di kota ini berkejar-kejar untuk sesuatu yang lebih besar di luar sana. Sesuatu yang besar yang terkadang mereka sendiri tidak pasti. Sekiranya kau tidak mampu bangun dengan semangat yang berkobar-kobar pada waktu paginya, kau lebih selamat di kampung."

Saya terus diam. Memerhati ke luar tingkap yang terbuka dengan fikiran yang sudah sampai ke kampung.

Monday, June 25, 2012

# 2. Pintu Biru Pintu Merah - sebuah novel

Dia satu-satunya manusia yang pernah bertanya, “Apa yang sebenarnya awak cari dalam hidup?”

Dan saya menjawab, “Bahagia.” Sesuatu yang saya sudah tidak temui semenjak kakak saya hilang. Sesuatu yang saya cari dalam buku-buku falsafah yang saya baca. Sesuatu yang saya fikir sudah hampir saya temui, namun pada hakikatnya terlalu jauh seperti jauhnya Kota New York dari Kuala Lumpur.

Pada ketika teman serumah itu berkata, “Sebenarnya bahagia itu ialah....”

Saya pantas mengangkat tangan, memberi isyarat supaya diam, dan dia akur. Saya tahu ke mana dia mahu menghalakan 'bahagia' itu. Pasti dia menghalakan kepada kata agama. Sekiranya agama itu memberi bahagia, mengapa ayah saya meninggalkan ibu yang sudah memeluk Islam? Ibu saya itu cantiknya dapat mengalahkan cantik pelakon-pelakon wanita di Malaysia. Mengalahkan dengan mudah dan tidak perlu secalit bedak pun. Tetapi atas sebab apa ayah pergi begitu sahaja?

Bagaimana pula dengan kakak saya? Dia, perempuan yang walaupun dijaga nenek saya yang aties, solatnya tidak pernah kurang, tidak pernah ditinggalkan, tetapi mengapa dia lari dari rumah dan meninggalkan saya sendiri? Adakah agama itu bahagia?

Sekadar bercakap-cakap, mungkin ya. Namun pelaksanaannya? Selagi tidak nampak di hadapan mata saya, tidak mungkin saya mahu percaya.

Namun setidak-tidaknya, walaupun saya tidak tahu bahagia itu di mana, saya tahu di mana saya harus bermula. Saya perlu bermula dengan mencari kakak saya. Dan itulah yang tidak mungkin saya dapat lakukan dalam masa sehari, sebulan, setahun, bahkan mungkin bertahun-tahun. Mencari seorang manusia di kota Kuala Lumpur.

Dan pada hari itu, teman saya yang bekerja di kelab malam kembali ke kedai buku tempat saya bekerja. Padanya saya tidak nampak apa-apa perubahan walaupun baru tiga hari lepas, katanya dia mahu bertaubat. Rambutnya masih kuning dengan pakaian terkurang kain, dan paling utama masih ada hitam pada bawah mata. Tanda dia berjaga malam di kelab malam.

“Kata mahu bertaubat?” sapa saya sebaik dia duduk di kerusi di luar kedai.

“Memang aku mahu bertaubat, tetapi bulan ini aku perlu duit,” jawab dia, dan ia membuatkan saya ketawa.

“Ternyata taubat itu juga perlukan duit.”

“Mungkin sebab itu orang hanya bertaubat apabila sudah tua, semasa mereka sudah kaya,” sambung dia.

Dan saya pula terus menyambung, “Pada ketika itu barulah mereka pergi haji dan umrah dan menjadi AJK masjid. Dan kemudiannya mereka mengadu penat dan lelah.”

Dan kami berdua ketawa entah pada perkara apa. Mungkin pada manusia yang mahu bertaubat itu sendiri.

“Kau rasa aku hina sebab tangguhkan taubat sebab duit?” soal dia serius selepas ketawa kami reda.

“Apa bezanya kau dengan orang lain?” soal aku kembali.

“Maksud kau?”

“Apapun alasan seseorang itu menangguhkan taubat, mereka tetap tidak lebih mulia daripada kau. Sama sahaja tarafnya dengan kau yang menangguhkan taubat kerana mahu duit. Cuma, terkadang mereka tidak perasan.”

“Tidak perasan?”

“Ya, tidak perasan kerana mereka fikir alasan mereka itu suci. Misalnya, mahu 'enjoy' puas-puas, berasa diri masih muda, berasa taubat hanya untuk orang tua, berasa mereka tidak perlu taubat kerana sudah buat kebaikkan lain. Sama sahaja dengan kau, cuma bezanya, kau sedar yang alasan kau itu sangat bodoh, dan mereka tidak sedar. Semuanya sama-sama sahaja diperdayakan syaitan.”

Entah mengapa saya mampu terangkan dengan begitu bersemangat. Mungkin kerana saya dikurniakan otak yang kuat mengingat dan saya masih ingat perbincangan rakan serumah saya dengan rakan-rakan tudung labuhnya yang lain. Walaupun saya tahu, penerangan saya itu jauh daripada sempurna tetapi setidak-tidaknya saya dapat perasaan ini - 'hey saya pun tahu fasal agama'. Ya, perasaan itu memberi kepuasan walaupun tidak pasti ia betul ataupun tidak. Ah, bukan semua orang begitu?

“Termasuk kau sekali diperdaya syaitan?” Dia ketawa besar.

Saya biarkan dia ketawa kerana mungkin hanya itu kebahagian yang dia mampu peroleh walaupun saya tidak setuju dengan dia. Bagi saya, syaitan itu adalah manusia itu sendiri. Mungkin kepercayaan saya itu diberikan oleh nenek saya yang masih aties. Ya, saya lebih percayakan orang yang menyayangi saya, berbanding orang yang hanya tahu menjeling tajam.

“Sudahlah cerita hal itu. Ceritalah hal lain.” Segera saya potong ketawanya.

Dia masih ketawa pada perkara yang saya tidak nampak mana lucunya itu.

Sekali lagi saya mencuba memotong ketawanya. “Kau kata tadi tidak ada duit. Jadi kau datang mahu pinjam duit?”

Dan ia berjaya. Dia diam.

“Bukanlah. Aku cuma mahu mengaku, selain aku perlukan duit, memang ternyata taubat dengan mula menjaga solat itu sangat sukar.” Wajahnya mula terlihat serius.

“Maksud kau?” Saya pula ikut hairan.

“Solat wajib itu lima kali sehari, dan anehnya, walaupun ia tidak sampai lima minit tetapi terasa seperti mahu berlari 10 kilometer naik bukit.”

Saya mengirai rambut yang merah dengan fikiran yang terus terbayangkan masa lalu. Teman saya itu, saya kenali dahulu adalah seorang yang tubuhnya gempal, dan kata 'berlari' itu adalah ketakutannya yang nombor satu, dan berlari naik bukit adalah ketakutan yang sudah digandakan sebanyak 10 kali. Mungkin atas sebab itu, analogi yang begitu juga yang dipilih. Hairannya, sekarang pinggangnya sudah seperti pinggang kerengga.

“Apa pula yang aku boleh buat?” Saya semakin jauh keliru.

Dia tersenyum, malu-malu dan mula merapat.

“Saya mahu tahu bagaimana dia boleh menjadikan solat itu nampak mudah.”

Saya semakin berkerut dahi.

“Mengapa tanya dia? Takkan kau tidak ada rakan yang rajin solat? Tanyalah mereka”

“Lain....” Dia mula tunduk tidak senang.

“Lain yang bagaimana?”

“Lainlah. Kau lihat diri kau sendiri. Rambut merah, seksi, tidak solat tetapi kau masih memilih serumah dengan dia. Maknanya, dia betul-betul seorang yang senang didekati. Takkan kau tidak kenal aku? Aku sensetif. Orang keraskan suara sedikit sahaja pun aku sudah terasa. Jadi, aku perlukan orang seperti dia.” Kata-katanya penuh semangat dan membuatkan aku terdiam memikir, dan memang benar kata-katanya itu.

“Kau memang mahu bertaubat?” Saya memandang dia serius.

“Kau fikir aku main-main dengan taubat aku? Aku tidak main-main tetapi aku anggap diri aku tidak kuat. Taubat itu untuk aku, sesuatu yang sangat besar. Sangat besar dan....” Dia kehilangan kata-kata dan saya sengaja membiarkan dia terus begitu.

“Entahlah... ia memang besar. Aku tidak tahu bagaimana mahu terangkan, akukan jahil. Tapi itulah pandangan aku kepada taubat. Sebab itulah aku mahu jumpa dengan rakans serumah kau,” sambung dia lagi.

Saya cuma mengangguk-angguk dan mula keliru kepada rakan saya yang bekerja kelab malam itu. Manusia ternyata memang aneh. Punya alasan bodoh bagi menangguhkan taubat tetapi dalam masa yang sama, punya semangat mahu bertaubat. Ternyata semangat dan alasan bodoh itu memang sering seiring.

“Kau belum lagi ceritakan bagaimana kau boleh tahan serumah dengan dia?” Rakan aku itu mula menuntut janji apabila melihat saya cuma diam. Janji yang aku berikan dahulu.

Saya melihat jam tangan, sudah masuk waktu rehat tengah hari.

“Kita makan dulu. Selepas itu aku cerita.”

Dan kami pun beredar, dengan kepala saya mula memikirkan kembali, bagaimana saya yang merah rambutnya, tetap serumah dengan perempuan bertudung labuh?