Showing posts with label novel - pintu biru pintu merah. Show all posts
Showing posts with label novel - pintu biru pintu merah. Show all posts

Sunday, July 01, 2012

# 3. Pintu biru pintu merah - sebuah novel

Saya ingat pada kali pertama saya warnakan rambut menjadi merah menyala. Waktu itu, rambut lurus saya masih hitam dan melepasi bahu, dan pada ketika itu lelaki-lelaki sepertinya tidak pernah jemu bersiul setiap kali saya lalu di hadapan, di tepi dan terkadang di belakang mereka pun, mereka menoleh dengan bersemangat, dan bersiul.

Bagi yang pendek lidahnya, sehingga bunyi siulan mereka seperti bunyi angin yang menampar atap zink, mereka berkata, “Jalan seorang sahaja?”

Sedangkan mata mereka masih terang, masih bagus, dan jelas sekali saya berjalan seorang diri. Mengapa perlu bertanya lagi? Lelaki, ternyata mereka memang susah mahu dipercaya. Dalam urusan menjaga mata sekalipun mereka sudah gagal, sedangkan awal kecurangan itu adalah kecurangan mata.

Jadi, entah bagaimana hari itu datang akal bagi mewarnakan rambut saya merah dan hasilnya, saya tidak lagi disiul, cuma saya dipandang pelik, aneh dan terkadang sinis.

Ada jugalah yang saya dengar, “Alien mana pula yang sesat ini?”

Saya tidak marah, tetapi gembira. Setidak-tidaknya, dikeji sebegitu lebih memuaskan hati saya dibanding dengan digoda bagi memuaskan nafsu mereka.

Namun kesannya, tidak ramai yang mahu dekat dengan saya selain rakan-rakan yang sudah tahu saya jenis perempuan yang bagaimana. Baik lelaki ataupun perempuan, pada ketika mereka melihat sahaja rambut merah saya, segera mereka memberikan mimik wajah tidak senang, tidak suka dan mahu menghina.

Sehingga ibu rakan serumah saya yang dahulu mahu anaknya keluar dari rumah sewa kami, dan saya mengalah. Saya yang keluar dan semasa mencari rumah sewa baru, saya temukan iklan mencari rakan serumah.

Dipendekkan cerita, saya bertemu dengan bakal rakan serumah saya itu dan terkejutnya saya, dia perempuan bertudung labuh yang berwajah lembut. Namun itu biasa, yang membuatkan saya tertarik, adalah pada ketika dia berkata, “Assalamualaikum. Ini Hanin? Cantiknya awak.”

Dia jujur dengan kata-katanya itu kerana tidak sekali matanya melirik pada rambut saya, dan matanya terus memandang wajah saya. Dia sepertinya tidak peduli dengan apa yang saya pakai dan siapa saya. Tanpa bertangguh, saya setuju menyewa dan tinggal bersama dia.

Tetapi itu hanya sebab kecil, untuk saya bagi terus serumah dengan dia. Ada sebab lain yang lebih besar, sebab yang membuatkan saya masih terkenang-kenang sehingga sekarang.

Suatu petang Sabtu.
Hari itu, rakan sekolah saya, yang kini bekerja di kelab malam dan mahu bertaubat, mahu benar tahu mengapa saya dapat tinggal serumah dengan orang yang berlainan watak dengan saya.

Dan saya pun bercerita, semuanya bermula pada suatu petang Sabtu. Ketika itu saya sedang bercuti dan rakan saya yang bertudung labuh itu, didatangi pula oleh empat orang rakannya yang juga bertudung labuh.

Saya tahu, mereka datang bukan sekadar datang bagi bertanya khabar, tetapi mereka datang bagi duduk dalam satu bulatan, dan ada buku apalah yang mereka baca, dan mereka juga mencatat apa yang sesama mereka perkatakan. Sempat juga saya mendengar, perkataan Arab, usrah. Ya, mungkin itulah namanya, usrah pada waktu petang.

Saya pula seperti biasa apabila cuti, sekiranya tidak membaca buku, saya menonton DVD, dan itulah petang itu yang saya lakukan. Bezanya, kali ini saya pura-pura tertidur kerana saya malas mahu bermanis wajah dan bersalam-salaman dengan mereka. Memang hari itu, saya menjadi sangat malas.

Selepas beberapa ketika, saya terdengar satu kata-kata yang hampir membuatkan saya terbangun.

“Mengapa awak serumah lagi dengan dia?” Entah siapalah antara mereka berempat itu yang bertanya kepada rakan serumah saya.

“Mengapa? Apa salahnya?” Saya kenal suara itu, suara rakan serumah saya.

“Takkan awak tidak tahu, sekiranya kita serumah dengan pencuri, sekiranya lebih 40 hari aura pencuri akan lekat kepada kita. Awak tidak takut?”

“Dia bukan pencuri!” Tegas rakan serumah saya.

“Ya, itu cuma contoh. Tetapi lihat dia, rambut merah, seksi, tidak solat, awak fikir, awak tidak akan terkena auranya?”

“Daripada dalil mana awak dapat berkenaan aura-aura?” Saya hampir tersenyum mendengarkan soalan rakan serumah saya itu.

“Ayah saya beritahu. Tetapi itu bukan soalnya. Soalnya walaupun awak niat mahu berdakwah sekalipun, adakah awak yakin dapat berdakwah kepada dia? Sudah cukupkah ilmu dan sudah cukup tinggikah iman awak? Paling utama, tidakkah nanti dai menyusahkan awak? Sekarang ini pun, setiap kali ada usrah, dia jeling kita seperti kita mahu minta duit dia pula. Semua itu perlu perkiraan, takut-takut nanti awak pula yang berambut merah.”

Mendengarkan kata-kata itu, saya terasa mahu bangun dan menjerit, “Jahanam! Kau siapa mahu menghakimi aku?” Namun saya sabarkan diri walaupuh terasa tangan sudah bergetar-getar.

“Kita kenal manusia dengan dua cara, jarak dan masa. Dengan jarak, kita dekat dengan mereka dan dengan masa, kita selalu bersama mereka, bukan sehari dua. Jadi, bagaimana awak boleh kata, awak kenal dia sehingga dia boleh mempengaruhi saya sekiranya awak sendiri tidak kenal dekat dan lama dengan dia? Lagipula yang lebih utama, ingat lagi hadis Nabi Muhammad saw?”

Penjelasan rakan serumah saya itu membuatkan saya berdecak kagum. Ternyata dia sangat melindungi saya.

“Hadis yang mana?”

“Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan, dan kejahatan masyarakatnya. Direkodkan oleh Al-Bukhari, Tirmizi dan Ahmad: Ini hadis sahih. Jadi, saya fikir duduk serumah dengan pun sudah kira bergaul dengan masyarakat. Yang paling utama, dia bukanlah seperti yang awak sangkakan. Cubalah berkenal-kenal dengan dia,” jelas rakan serumah saya.

Itulah kata-kata akhir yang saya ingat, sebelum saya betul-betul tidur. Kata-kata yang membuatkan saya semakin senang dengan dia.

Monday, June 25, 2012

# 2. Pintu Biru Pintu Merah - sebuah novel

Dia satu-satunya manusia yang pernah bertanya, “Apa yang sebenarnya awak cari dalam hidup?”

Dan saya menjawab, “Bahagia.” Sesuatu yang saya sudah tidak temui semenjak kakak saya hilang. Sesuatu yang saya cari dalam buku-buku falsafah yang saya baca. Sesuatu yang saya fikir sudah hampir saya temui, namun pada hakikatnya terlalu jauh seperti jauhnya Kota New York dari Kuala Lumpur.

Pada ketika teman serumah itu berkata, “Sebenarnya bahagia itu ialah....”

Saya pantas mengangkat tangan, memberi isyarat supaya diam, dan dia akur. Saya tahu ke mana dia mahu menghalakan 'bahagia' itu. Pasti dia menghalakan kepada kata agama. Sekiranya agama itu memberi bahagia, mengapa ayah saya meninggalkan ibu yang sudah memeluk Islam? Ibu saya itu cantiknya dapat mengalahkan cantik pelakon-pelakon wanita di Malaysia. Mengalahkan dengan mudah dan tidak perlu secalit bedak pun. Tetapi atas sebab apa ayah pergi begitu sahaja?

Bagaimana pula dengan kakak saya? Dia, perempuan yang walaupun dijaga nenek saya yang aties, solatnya tidak pernah kurang, tidak pernah ditinggalkan, tetapi mengapa dia lari dari rumah dan meninggalkan saya sendiri? Adakah agama itu bahagia?

Sekadar bercakap-cakap, mungkin ya. Namun pelaksanaannya? Selagi tidak nampak di hadapan mata saya, tidak mungkin saya mahu percaya.

Namun setidak-tidaknya, walaupun saya tidak tahu bahagia itu di mana, saya tahu di mana saya harus bermula. Saya perlu bermula dengan mencari kakak saya. Dan itulah yang tidak mungkin saya dapat lakukan dalam masa sehari, sebulan, setahun, bahkan mungkin bertahun-tahun. Mencari seorang manusia di kota Kuala Lumpur.

Dan pada hari itu, teman saya yang bekerja di kelab malam kembali ke kedai buku tempat saya bekerja. Padanya saya tidak nampak apa-apa perubahan walaupun baru tiga hari lepas, katanya dia mahu bertaubat. Rambutnya masih kuning dengan pakaian terkurang kain, dan paling utama masih ada hitam pada bawah mata. Tanda dia berjaga malam di kelab malam.

“Kata mahu bertaubat?” sapa saya sebaik dia duduk di kerusi di luar kedai.

“Memang aku mahu bertaubat, tetapi bulan ini aku perlu duit,” jawab dia, dan ia membuatkan saya ketawa.

“Ternyata taubat itu juga perlukan duit.”

“Mungkin sebab itu orang hanya bertaubat apabila sudah tua, semasa mereka sudah kaya,” sambung dia.

Dan saya pula terus menyambung, “Pada ketika itu barulah mereka pergi haji dan umrah dan menjadi AJK masjid. Dan kemudiannya mereka mengadu penat dan lelah.”

Dan kami berdua ketawa entah pada perkara apa. Mungkin pada manusia yang mahu bertaubat itu sendiri.

“Kau rasa aku hina sebab tangguhkan taubat sebab duit?” soal dia serius selepas ketawa kami reda.

“Apa bezanya kau dengan orang lain?” soal aku kembali.

“Maksud kau?”

“Apapun alasan seseorang itu menangguhkan taubat, mereka tetap tidak lebih mulia daripada kau. Sama sahaja tarafnya dengan kau yang menangguhkan taubat kerana mahu duit. Cuma, terkadang mereka tidak perasan.”

“Tidak perasan?”

“Ya, tidak perasan kerana mereka fikir alasan mereka itu suci. Misalnya, mahu 'enjoy' puas-puas, berasa diri masih muda, berasa taubat hanya untuk orang tua, berasa mereka tidak perlu taubat kerana sudah buat kebaikkan lain. Sama sahaja dengan kau, cuma bezanya, kau sedar yang alasan kau itu sangat bodoh, dan mereka tidak sedar. Semuanya sama-sama sahaja diperdayakan syaitan.”

Entah mengapa saya mampu terangkan dengan begitu bersemangat. Mungkin kerana saya dikurniakan otak yang kuat mengingat dan saya masih ingat perbincangan rakan serumah saya dengan rakan-rakan tudung labuhnya yang lain. Walaupun saya tahu, penerangan saya itu jauh daripada sempurna tetapi setidak-tidaknya saya dapat perasaan ini - 'hey saya pun tahu fasal agama'. Ya, perasaan itu memberi kepuasan walaupun tidak pasti ia betul ataupun tidak. Ah, bukan semua orang begitu?

“Termasuk kau sekali diperdaya syaitan?” Dia ketawa besar.

Saya biarkan dia ketawa kerana mungkin hanya itu kebahagian yang dia mampu peroleh walaupun saya tidak setuju dengan dia. Bagi saya, syaitan itu adalah manusia itu sendiri. Mungkin kepercayaan saya itu diberikan oleh nenek saya yang masih aties. Ya, saya lebih percayakan orang yang menyayangi saya, berbanding orang yang hanya tahu menjeling tajam.

“Sudahlah cerita hal itu. Ceritalah hal lain.” Segera saya potong ketawanya.

Dia masih ketawa pada perkara yang saya tidak nampak mana lucunya itu.

Sekali lagi saya mencuba memotong ketawanya. “Kau kata tadi tidak ada duit. Jadi kau datang mahu pinjam duit?”

Dan ia berjaya. Dia diam.

“Bukanlah. Aku cuma mahu mengaku, selain aku perlukan duit, memang ternyata taubat dengan mula menjaga solat itu sangat sukar.” Wajahnya mula terlihat serius.

“Maksud kau?” Saya pula ikut hairan.

“Solat wajib itu lima kali sehari, dan anehnya, walaupun ia tidak sampai lima minit tetapi terasa seperti mahu berlari 10 kilometer naik bukit.”

Saya mengirai rambut yang merah dengan fikiran yang terus terbayangkan masa lalu. Teman saya itu, saya kenali dahulu adalah seorang yang tubuhnya gempal, dan kata 'berlari' itu adalah ketakutannya yang nombor satu, dan berlari naik bukit adalah ketakutan yang sudah digandakan sebanyak 10 kali. Mungkin atas sebab itu, analogi yang begitu juga yang dipilih. Hairannya, sekarang pinggangnya sudah seperti pinggang kerengga.

“Apa pula yang aku boleh buat?” Saya semakin jauh keliru.

Dia tersenyum, malu-malu dan mula merapat.

“Saya mahu tahu bagaimana dia boleh menjadikan solat itu nampak mudah.”

Saya semakin berkerut dahi.

“Mengapa tanya dia? Takkan kau tidak ada rakan yang rajin solat? Tanyalah mereka”

“Lain....” Dia mula tunduk tidak senang.

“Lain yang bagaimana?”

“Lainlah. Kau lihat diri kau sendiri. Rambut merah, seksi, tidak solat tetapi kau masih memilih serumah dengan dia. Maknanya, dia betul-betul seorang yang senang didekati. Takkan kau tidak kenal aku? Aku sensetif. Orang keraskan suara sedikit sahaja pun aku sudah terasa. Jadi, aku perlukan orang seperti dia.” Kata-katanya penuh semangat dan membuatkan aku terdiam memikir, dan memang benar kata-katanya itu.

“Kau memang mahu bertaubat?” Saya memandang dia serius.

“Kau fikir aku main-main dengan taubat aku? Aku tidak main-main tetapi aku anggap diri aku tidak kuat. Taubat itu untuk aku, sesuatu yang sangat besar. Sangat besar dan....” Dia kehilangan kata-kata dan saya sengaja membiarkan dia terus begitu.

“Entahlah... ia memang besar. Aku tidak tahu bagaimana mahu terangkan, akukan jahil. Tapi itulah pandangan aku kepada taubat. Sebab itulah aku mahu jumpa dengan rakans serumah kau,” sambung dia lagi.

Saya cuma mengangguk-angguk dan mula keliru kepada rakan saya yang bekerja kelab malam itu. Manusia ternyata memang aneh. Punya alasan bodoh bagi menangguhkan taubat tetapi dalam masa yang sama, punya semangat mahu bertaubat. Ternyata semangat dan alasan bodoh itu memang sering seiring.

“Kau belum lagi ceritakan bagaimana kau boleh tahan serumah dengan dia?” Rakan aku itu mula menuntut janji apabila melihat saya cuma diam. Janji yang aku berikan dahulu.

Saya melihat jam tangan, sudah masuk waktu rehat tengah hari.

“Kita makan dulu. Selepas itu aku cerita.”

Dan kami pun beredar, dengan kepala saya mula memikirkan kembali, bagaimana saya yang merah rambutnya, tetap serumah dengan perempuan bertudung labuh?

Monday, June 18, 2012

# 1. pintu biru pintu merah - sebuah novel

Nama saya Hanin. Cuma Hanin dan jangan tanya 'binti' apa. Orang mengenali saya kerana rambut merah saya. Tidak ada seorang pun yang tahu yang arwah ibu saya seorang mualaf bangsa Belanda. Tidak seorang pun tahu, saya dibesarkan oleh nenek saya yang masih ateis. Tidak seorang pun tahu, ayah saya sudah entah ke mana sejak ubun-ubun saya masih lembut, dan kakak yang sangat sayangi juga sudah hilang ditelan kota Kuala Lumpur.

Rakan-rakan pula hanya mengenali saya sebagai seorang yang keras hati, dan seorang yang tidak percaya kepada lelaki. Selain itu mereka senang kerana saya seorang yang pintar dan ia memudahkan pembelajaran mereka.

Sangat sedikit yang tahu bahawa saya sangat meminati falsafah, dan itu membuatkan saya senang bekerja di sebuah kedai buku kecil, sebagai penolong pengurus. Dan saya kurang pasti, sama ada, ada yang tahu ataupun tidak, walaupun saya beragama Islam dan mengaku saya Islam, namun ada banyak perkara yang saya lihat berkenaan Islam itu, membuatkan saya ragu-ragu kepada agama itu. Ya, saya menjadi sinis kepada agama sendiri. Berkenaan Islam saya boleh katakan, saya cuma memegang dua perkara, tidak berzina dan tidak meminum arak. Solat dan ibadah lain, itu menjadi sesuatu yang jarang saya lakukan.

Ramai juga yang cuma tahu, saya tinggal di rumah flet berpintu biru, dan di hadapan saya ada rumah flet yang pintunya merah. Lebih ramai yang mahu tahu, siapa nama dua lelaki kacak yang tinggal di rumah pintu merah itu, dan jujurnya saya juga mahu tahu kerana cara mereka menjeling saya, membuatkan saya menjadi geram. Bukan jelingan menggoda, bukan juga jelingan menghina, tetapi jelingan yang saya tidak tahu apa, dan saya berharap satu hari nanti saya berani bertanya mengapa mereka menjeling begitu.

Namun, yang paling membuatkan manusia-manusia tertanya-tanya adalah, mengapa perempuan berambut merah, yang jarang solat, tinggal serumah di flet murah berpintu biru, dengan seorang perempuan yang bertudung labuh dan sangat menjaga agamanya.

Mereka bertanya, “Kau tidak kekok?” Saya cuma diam, memberikan mereka wajah biasa saya, wajah perempuan ego yang tidak tersenyum.

Ada juga yang bertanya sambil ketawa kecil, “Bila lagi kau hendak sampai 'seru'?”

Dan untuk itu, saya tetap memberikan wajah perempuan ego yang tidak tersenyum. Untuk mereka, tidak perlu saya berikan jawapan, kerana apabila soalan ditanya dengan nada 'main-main' bagaimana jawapan yang benar akan dianggap berharga? Pasti dianggap 'main-main' juga akhirnya.

Cuma, pada hari ini sedikit berbeza. Saya bertemu dengan rakan sekolah saya yang bekerja di kelab malam. Dia ke kedai buku kecil tempat saya mencari rezeki dengan wajah yang penuh harapan.

“Aku fikir, aku mahu insaf,” katanya sebaik perbualan berkenaan masa lalu yang penuh bahagia tamat, dan mula memasuki perbualan berkenaan dunia realiti.

“Jadi kau insaf di kedai buku? Aneh. Biasanya, orang insaf pergi ke masjid,” sambung saya dengan nada yang sengaja saya tekan supaya terdengar serius.

“Aku ke sini mencari buku-buku agama,” katanya.

“Untuk apa? Untuk bertaubat? Kau bertaubat dengan buku?” asak saya lagi.

“Aku tidak tahu, tetapi setidak-tidaknya aku tahu aku tidak malu mengadu kepada buku,” jawab dia, ragu-ragu sebelum menyambung, “Kau carikan sahaja buku yang bagus, tidak perlu tanya soalan-soalan lagi.”

Akhirnya saya memberikan dia sebuah buku yang nipis.

“Panduan solat?” soal dia sebaik buku sudah bertukar tangan.

“Ya. Itulah buku yang paling baik untuk kau sekiranya mahu bertaubat,” jawab saya yakin.

“Bagaimana kau tahu?” soal dia. Terdengar nadanya tidak percaya.

“Aku dengar teman rumah aku cakap begitu.”

“Apa yang dia cakap?”

“Katanya, taubat itu sering kita faham sebagai, tidak melakukan lagi perkara berdosa yang sering kita lakukan, tetapi kita lupa dan lalai, taubat itu juga ialah berkenaan melakukan perkara wajib yang sering kita tidak lakukan. Itulah yang menyebabkan ramai mengaku bertaubat hari ini, malamnya kembali melanggar apa yang dia katakan taubat. Semuanya kerana dia sibuk menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang tetapi tidak melakukan apa yang wajib dia lakukan. Perkara pertama sebagai Islam yang perlu mereka lakukan apabila mengaku bertaubat adalah, mengerjakan solat fardu kerana solat fardu adalah tiang agama, juga menjaga kita daripada dosa, dan paling utama, ia juga menjaga taubat kita,” terang saya dengan kepala yang perit cuba mengingatkan kembali kata-kata teman serumah saya itu.

Dia memandang saya, dari atas ke bawah dan dengan wajah hairan dia bertanya, “Kau sendiri bagaimana?”

Untuk soalan itu saya akhirnya tersenyum entah mengapa.

“Sebab dia bukan beritahu kepada aku. Aku cuma dengar dia cakap.”

“Dia beritahu kepada siapa?”

“Kepada kawan-kawan dia. Entah apa namanya, usrah? Aku pun tidak pasti,” jawab saya keliru.

Saya sebenarnya tidak tahu dan faham mengapa, setiap minggu, ada satu hari ataupun terkadang dua hari, ada empat lima orang perempuan bertudung labuh datang ke rumah dan duduk dalam satu bulatan. Mereka kemudiannya berbual-bual berkenaan agama, berkenaan cara memperbaiki diri dan itu mereka namakan usrah. Sedang saya ketika itu biasanya baring di sofa dengan gaya seksi sambil menonton televisyen.

Saya sering bertanya dalam hati, 'Bagaimana mahu memperbaiki diri sekiranya hanya duduk dalam bulatan sambil berbual dengan suara perlahan dan terkadang bersuara sebak?' Aneh sekali.

Dengan itu, akhirnya beralih pula cerita berkenaan rakan serumah yang bertudung labuh itu. Cerita berkenaan betapa taatnya dia menjaga solat, berbeza dengan saya, dan betapa tidak jemunya dia menghadiahkan pakaian-pakaian yang menutup aurat sehingga saya bosan, dan keluarlah soalan, “Jadi mengapa kau masih mahu serumah dengan dia?”

Saya mahu ceritakan kepada dia, tetapi entah mengapa saya tiba-tiba hilang semangat, dan cuma berkata, “Lain hari aku ceritakan.”