Saturday, January 29, 2011

Interlok mat motor

Biasalah, penunggang motosikal kecil seperti saya ini, berkawan-kawan juga dengan penunggang motosikal kecil yang lain. Berjumpa di warung, duduk semeja lalu berbual berkenaan dunia motosikal yang kecil. Bicaranya, hanya seputar masalah enjin, bunyi, aksesori import dan terkadang berlarut pada cukai motosikal import yang tidak masuk akal. Inilah dunia kami, dunia orang kecil.

Namun ada waktunya, perbincangan tembus keluar juga dari dunia kecil kami. Berbicara berkenaan peribadi, keluarga, masalah negara dan entah bagaimana pada malam itu kami berbicara berkenaan hal yang sangat jarang. Perbualan yang saya tidak pasti bagaimana mahu menceritakannya kerana ia bersangkutan dengan novel Interlok.

Semuanya bermula pada ketika seorang teman yang berwajah garang, tahu yang saya ini seorang penulis lalu bertanya soalan yang mudah.

“Novel Interlok ni apa cerita? Asyik bising kat TV.”

Tidak tahulah saya menjawabnya. Saya ini bukan orang sastera. Namun oleh kerana Interlok itu buku, saya sangat tidak setuju ia dibakar. Entah apalah rasional yang diguna oleh pembakar buku itu. Mungkin rasional yang dipinjam daripada tentera Hulagu Khan semasa menakluki Baghdad.

Lalu perbualan berlanjut antara kami sehingga seorang rakan saya mengeluarkan pendapatnya yang membuat saya diam lama.

“Yang aku faham, novel Interlok ini banyak edisi. Edisi asal, edisi murid, edisi apatah lagi. Kalau sudah ada gelar 'edisi' maknanya ia sudah diubah. Kalau sudah diubah, mengapa pula orang sastera guna hujah mempertahankan kesucian sastera? Alang-alang sudah ubah edisi murid, ubah teruslah apa yang membuat orang India tidak puas hati. Apa yang susahnya? Sebab orang yang suruh ubah itu India?”

Wah, tidak berani saya menyambung. Namun pendapat itu ditentang juga oleh rakan yang lain. Hujahnya, sastera itu adalah paparan sebenar dan ia tidak perlu diubah kerana sekiranya diubah paparan sebenar akan menjadi tidak asli. Tidak tahu saya sama ada betul ataupun tidak hujah itu. Namun saya yakin, mereka semua ini bukanlah serius mahu berbicara berkenaan Interlok melainkan ia sangat menarik bagi diperdebatkan untuk mengisi masa.

Sesekali debat itu diselangi juga dengan masalah bola sepak liga Inggeris dan kemudiannya seorang teman kembali menyemarak debat Interlok dengan pendapatnya yang membuat saya sekali lagi diam.

“Interlok ni macam nasi goreng pedas. Kalau masak untuk orang dewasa, kita bubuh cili banyak-banyak. Kalau kita buat untuk budak-budak, kita kurangkan cilinya. Jadilah nasi goreng pedas edisi murid. Kemudiannya datang lagi budak-budak yang tidak tahan pedas, mintak kurangkan pedas lagi. Kurangkan jelah pedasnya. Dah alang-alang buat nasi goreng pedas edisi murid. Apa susah sangatnya?”

Mahu juga waktu itu saya menjawab, kalaulah Interlok itu semudah nasi goreng pedas, namun saya pendam sahaja dalam hati. Yalah, berbicara perkara yang bukan bidang saya dengan orang yang bukan juga dalam bidangnya terasa aneh. Sepertinya ikan yang berbicara sesama ikan berkenaan rumput apa yang sesuai dibuat sarang burung.

Itulah dunia, dalam perbualan begitu terkadang tersesat juga hujah-hujah yang saya fikir besar. Hujah-hujah yang membuatkan saya terpaksa kembali menilai rakan-rakan permotoran saya. Misalnya dengan hujah teman saya yang seorang ini.

“Perjanjian apa yang Nabi Muhammmad SAW buat dengan orang Quraisy sehingga Nabi terpaksa banyak ubah perjanjian itu?” soal rakan saya sambil meluruhkan abu yang sudah terkumpul di hujung rokok.

“Perjanjian Hudaibiyah.”

Haa... mengapa sasterawan kita tidak ikut hikmah perjanjian Hudaibiyah? Sedangkan Nabi pun boleh bertoleransi bagi mengubah perjanjian, apalah sangat dengan Novel Interlok,” kata rakan saya lalu menghisap rokoknya dengan nikmat, “Apa yang aku ingat ustaz cerita dulu, orang Quraisy nak Nabi buang tulisan yang menyatakan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah kerana mereka cakap, mereka tidak mengakui Nabi sebagai pesuruh Allah. Nabi rilek je, dibuangnya tulisan itu. Orang Quraisy nak ubah itu ini, Nabi rilek lagi sebab Nabi kita jelas objektifnya. Jadi dalam kes novel Interlok, adakah sasterawan kita jelas objektifnya? Kalau sekadar objektifnya mahu mempertahankan kebebasan berkarya dan kesucian karya, leceh sangat objektif tu. Adakah perjanjian Hudaibiyah objektifnya begitu?”

“Kau cakap pandailah. Apa hikmah perjanjian Hudaibiyah dan apa pula persamaannya dengan novel Interlok?gertak rakan saya lalu ketawa.

“Ahh senang,” jawab rakan aku dengan nada yang yakin. Orang seperti kami memang mudah menjawab begitu, kerana kami cuma berbual sesama rakan-rakan, bukan siapa-siapa.

Yang aku ingat, hikmah perjanjian Hudaibiyah ialah berkembangnya ajaran Islam, kehidupan masyarakat aman damai, Rasulullah diiktiraf sebagai rasul dan Madinah juga ikut diiktiraf sebagai negara Islam. Membuka jalan kepada pembebasan Kota Mekah dan Rasulullah dapat membuat perhubungan dengan kabilah Arab yang lain.

“Kalau kita tengok situ, novel Interlok yang setuju diubah pun boleh copy hikmah perjanjian Hudaibiyah. Kita boleh memperkembangkan sastera Melayu kepada masyarakat India, masyarakat hidup aman damai, penulis Interlok diiktiraf sebagai penulis yang hebat oleh orang India dan sastera Melayu pun ikut diiktiraf. Membuka jalan kepada pembebasan sastera Melayu yang dianggap bosan dan kita boleh menjadikan Interlok sebagai penghubung Melayu dengan masyarakat India.”

“Tetapi waktu itu Islam masih lemah. Mungkin sebab itu perjanjian Hudaibiyah banyak timbang rasanya.”

“Mana ada lemah. Waktu itu Islam sudah kuat. Tetapi mengapa masih buat perjanjian begitu? Dan adakah sastera Melayu kita ini memang kuat sekarang?” soal rakan saya, “Lemah ataupun tidak Islam waktu itu, yang pasti hikmah perjanjian Hudaibiyah itu sangat besar dan pasti Nabi kita sudah nampak semua itu.”

Aduhai, tidak tahu saya, bagaimana mahu menanggapi persoalan Interlok. Sampaikan hujah perjanjian Hudaibiyah pun sudah ikut dimasukkan dalam perbincangan kami. Perbincangan yang asalnya hanya mahu mengisi masa senggang.

Dan hujah penutup malam itu adalah daripada rakan saya yang berwajah garang.

“Apalah susah-susah sangat pasal Interlok ni. Sastera kan jalan kebenaran yang keempat selepas agama, falsafah dan ilmu. Jadi, Interlok bukan agama, bukan falsafah dan bukan ilmu pengetahuan. Ia sastera dan layan ia selayaknya pada tempatnya. Ia tidak suci dan nak ubah, ubahlah asalkan semua orang dapat manfaat.”

Kami semua berpaling ke arah rakan saya yang seorang itu. Yang tidak pernah jemu mengusap-usap kepalanya yang botak.

“Siapa cakap sastera adalah jalan kebenaran yang keempat?”

“Aristotle.”





Thursday, January 27, 2011

ke seluruh hati

Saya yakin, bertemu dengan dia, seorang yang lebih muda usianya daripada saya, adalah rahmat yang sangat besar. Melalui dia saya kembali bersemangat untuk menjalani hidup saya sehari-hari. Bukanlah bermaksud sebelum ini saya sudah hilang semangat dan hanya menunggu mati, tetapi kerana semangat saya sudah pudar, tidak marak dan tidak mampu menebar ke seluruh hati.

Nasihatnya, nasihat biasa. Namun kerana ikhlasnya hati dia memberikan nasihat, kesannya menjadi sangat luar biasa.

Katanya, “Apabila kamu sudah nekad memberitahu diri kamu, bahawa kamu suka memakan pau kacang yang sudah sejuk, maka akan ada manusia lain yang dengan mudah memberitahu, bahawa mereka juga seperti kamu, dan pasti juga akan ada manusia yang tidak bersetuju kerana mereka lebih suka dengan pau kacang yang masih panas.”

Awalnya, saya terhairan-hairan dengan maksud yang terlindung di balik nasihat pau itu. Namun akhirnya saya semakin mengerti pada saat dia menyambung kata-katanya.

“Pada saat kamu sudah jelas dengan jalan kamu, iaitu menjadi peminat pau kacang sejuk, maka akan jelas juga kepada kamu, akan ada orang yang sependapat dan tidak sependapat dengan kamu. Maksudnya, semakin jelas jalan yang kamu pilih, semakin jelas pula orang yang menyokong kamu dan semakin jelas pula orang yang langsung tidak menyokong kamu.”

Dia diam, merenung saya dan dia yakin, saya masih terhairan-hairan dan dia menyambung lagi.

“Kamu juga boleh menterbalikkan suasana itu kepada diri kamu. Ambil sahaja contoh berkenaan novel-novel kamu. Kamu sendiri mengaku bahawa ada manusia yang sangat senang dengan gaya penulisan kamu dan ada juga yang langsung tidak bersetuju dengan cara kamu. Itu sebenarnya adalah pesan secara halus yang kamu mempunyai gaya dan cara penulisan kamu yang jelas. Ataupun gaya kamu yang tersendiri. Lalu pada saat kamu sedar bahawa ada yang tidak setuju dengan gaya penulisan kamu, pegang sahaja kata-kata tadi, bahawa kamu sudah memilih jalan yang jelas dan itulah jalan-jalan orang yang berprinsip.”

Pada saat itu juga sepertinya bahu saya baru meletakkan beban yang maha berat. Fikiran saya berasa ringan dan saya mengerti sesuatu daripada situ. Hanya mereka yang punyai perjuangan yang jelas dan berprinsip sahaja yang akan ada penentangnya.

Akhirnya senyum saya pun tersebar ke seluruh hati.







Monday, January 17, 2011

Lesu.

Sudah 17 hari di tahun 2011, hidup aku masih lesu. Terlalu banyak harapan manusia mungkin harus aku bawa. Ataupun mungkin sebenarnya aku sedang menipu diri aku berkenaan harapan. Mungkin sahaja di balik kata 'harapan manusia' itu sebenarnya, hampir seluruhnya adalah harapan aku sendiri. Harapan yang berat-berat. Harapan yang aku sandarkan kepada jari-jari aku.

Tuesday, January 11, 2011

Ini ruang, untuk saya dan kamu

Katakan sahaja begini, saya dan kamu bertemu di satu titik, dan saya suka menggelarnya sebagai titik harmoni. Mungkin titik harmoni itu adalah tempat kerja yang sama di dalam sebuah pejabat. Kita duduk bersebelahan dan punyai tugas yang serupa. Kita berkongsi cerita dan keluh-kesah. Namun adakah kita berkongsi cita-cita hanya kerana kita mencari rezeki di atas bumbung yang sama? Mungkin ya, dan mungkin juga persamaan kita hanya sampai di situ.

Lalu apabila ada yang bertanya, mengapa kita tidak mampu berkongsi cita-cita yang sama? Ini kerana kita adalah dua manusia yang sangat berbeza. Ia berbeza pada hari pertama kita melangkah ke tempat kerja itu sendiri.

Untuk kamu, kamu adalah manusia yang paling beruntung di dunia. Usai pengajian terus mendapat tawaran pekerjaan dan itu adalah kerja pertama kamu. Kamu mungkin tidak bercita-cita mahu menjadikan kerja pertama kamu itu sebagai sesuatu yang kekal dan kamu hanya mahu mencari pengalaman. Ini kerana kamu masih kuat dan segar.

Untuk saya pula, mungkin ini bukan kerja pertama saya. Sudah seluruh ceruk bumi saya merantau, mencari kerja yang serasi dengan jiwa dan bekerja dengan pelbagai jenis manusia. Akhirnya saya menemui suatu pekerjaan baru dan di tempat kerja itulah, titik kita bertemu. Pekerjaan baru itu pula adalah kerja yang paling saya suka, dan saya mahu mengakhiri riwayat kerja saya di situ kerana saya sudah lemah dan lelah.

Akhirnya dua perkara berbeza bertemu di titik itu. Kamu seorang yang masih segar dan muda, dan saya seorang yang tua dan lelah. Itulah titik yang saya gelar sebagai titik harmoni. Titik yang perlu dijaga dengan baik kerana dalam titik harmoni itu ada ruang dan peluang untuk perkara yang digelar - silaturahim.

Kamu juga pasti tahu betapa besarnya erti silaturahim itu dalam Islam. Sehingga ada ayat al Quran dan hadis-hadis Nabi yang menyentuh perkara itu. Antaranya, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim.”

Jadi, adakah silaturahim itu masih terlihat kecil untuk saya?

Lalu bagaimana saya mahu menjaga titik harmoni itu bagi memanfaatkan ruang dan peluang itu? Adakah saya perlu memahami hidup kamu sepenuhnya ataupun ada cara yang lain? Tetapi pada saat itu juga saya tersedar, saya tidak mungkin memahami hidup kamu dalam hanya 30 minit ataupun satu jam, lima jam dan malah sebulan kerana kamu sendiri sudah hidup lebih 20 tahun. Hidup selama itu sudah menjadikan kamu manusia yang serba kompleks.

Sekiranya saya ada ilmu membaca bahasa tubuh yang tinggi sekalipun, ataupun saya mampu membaca hati kamu, tetap saya tidak akan mampu memahami kamu. Melainkan sahaja kamu punyai rakaman hidup selama lebih 20 tahun dan saya menontonnya pula untuk lebih 20 tahun tanpa henti. Kamu pun pasti mengerti, ia tidak masuk akal.

Akhirnya semuanya berbalik kepada perkara yang saya punyai dalam diri saya. Saya perlu memahami perkara itu, iaitu saya punyai cara pandang yang berbeza terhadap dunia. Apabila saya memahami diri saya yang punyai cara pandang yang berbeza, ia sudah cukup untuk saya tahu dan yakin yang kamu juga pasti punyai cara pandang hidup yang berbeza daripada saya. Tanpa sedar saya sebenarnya sudah mewujudkan rasa hormat kepada kamu. Bagaimana mungkin?

Pada asalnya tidak ada cara pandang yang salah bagi kita memandang hidup kita. Saya punyai alasan dan kamu juga punyai sebabnya. Asalkan sahaja semuanya masih tidak melanggar garis dosa dan merosakkan akidah. Cuma sahaja, ia menjadi salah pada saat saya mengatakan cara pandang kamu itu salah dan hanya cara saya yang betul.

Sepertinya saya memaksa kamu tetap sahaja bekerja di sini. Di sini kerjanya bagus, gajinya tinggi dan segala macam perkara yang bagus-bagus berkenaan bekerja di situ. Sedangkan kamu pula mahu keluar merebut peluang lain yang tersedia di luar.

Begitu juga pada ketika kamu memandang saya, dalam diam dan mungkin tanpa sedar kamu berkata, saya ini tidak punyai wawasan dan tidak punyai cita-cita tinggi kerana mahu terus bekerja di tempat ini. Lalu pada saat kita saling menyalahkan, titik harmoni tempat kita bertemu tadi tidak akan lagi wujud dan tidak akan ada lagi ruang dan peluang untuk silaturahim.

Itu yang saya cuba ingati dan cuba saya fahami pada saat saya bertemu dengan kamu dan sesiapa sahaja orang baru. Mungkin sahaja kita akan bertemu di perhentian bas, di majlis kenduri, di stadium, di Facebook, di Blog, di hati, dan segala macam tempat dan ketika. Itulah adalah titik harmoni dalam hidup dan selagi mana saya cuba menghormati cara kamu yang tidak mendatangkan dosa dalam memandang hidup ini, titik harmoni itu akan tetap ada di situ dan wujud sebagai manfaat untuk kita, kerana titik harmoni itulah ruang silaturahim untuk saya dan kamu.

Doakan sahaja, saya dan kamu tetap mampu menjaga titik-titik harmoni itu. Paling utama untuk diri saya sendiri, semoga saya tetap ingat akan perkara ini. Semoga.

Tuesday, January 04, 2011

Sebaik-baik manusia (Siri cerpen yang tidak sempurna)

Tahun baru

Adapun berkenaan tahun baru, sudah sering benar orang bertanya kepada saya, apa azam saya? Ya, saya ini adalah seorang yang sentiasa berazam kerana saya sangat takut pada kata yang bernama janji. Untuk saya, 'azam' itu adalah ganti kepada 'janji'. Mengapa saya begitu? Semuanya kerana saya percaya, janji itu pasti akan dituntut. Sekiranya tidak di dunia, pasti di akhirat sana saya akan dicari.

Akhirnya apabila tiba tanggal 31 Disember, manusia-manusia mula menjadi baik, bertanya apa azam saya? Tersenyum saya kerana saya juga pernah menjadi manusia-manusia yang baik itu, suka bertanya berkenaan azam dan daripada situlah sebenarnya kisah ini bermula.

Azam

Namanya, biarlah saya rahsiakan. Jantinanya, dia lelaki yang berusia awal 40-an. Bertubuh tegap dengan dagu yang sentiasa tegak apabila berjalan. Kulitnya sudah hangus dibakar matahari kerana dia seorang tukang membuat rumah yang handal lagi terpercaya. Rambutnya pula kasar-kasar dan saya tidak berani bertanya bila kali terakhir dia bersyampu.

Hari itu pula adalah 31 Disember. Hari itu saya bertemu dia di rumah teman saya yang sedang diperbesarkan ruangan dapurnya dan dia adalah tukangnya. Pada ketika itu dia sedang meneliti mata gerudi tangannya. Entah apalah maksud dia memerhati, tidak pula saya bertanya. Pada waktu itu saya lebih bersemangat mahu bertanya, apa azam tahun baru dia.

Pada saat saya bertanya, dia kembali bertanya soalan yang serupa kepada saya. Apa azam tahun baru saya?

Senyum saya lebar, selebarnya mata bayi yang dikejutkan ibunya. Saya sudah siap-siapkan jawapannya dan berkata saya kepada dia, saya mahu menjadi pelajar yang cemerlang. Saya berazam tidak mahu ponteng kuliah, mahu menyiapkan tugasan dengan markah penuh dan banyak lagilah berkenaan pelajaran. Maklumlah waktu itu saya masih lagi bergelar mahasiswa. Kemudiannya saya memandangnya, menuntut jawapannya pula.

Lelaki itu juga tersenyum dan dia sangat mengerti maksud pandangan saya dan segera menjawab soalan saya yang mula-mula. Katanya, “Pada 1 Januari, azam saya tetap sama seperti hari ini, tetap sama seperti hari-hari sebelumnya. Saya berazam mahu memperelok akhlak saya.”

Diam juga saya pada saat dia berkata begitu. Memperelok akhlak? Waktu itu definisi 'akhlak' untuk saya ialah 'tidak membuang sampah merata-rata' dan 'tidak membuat bising di dalam kelas'. Lalu hanya itu sahaja azam tahun barunya? Apa dia sudah tidak teruja untuk hidup?

Pada saat pelbagai soalan bermunculan dalam kepala, lelaki itu kembali berkata, “Kita memasang azam mengikut keutamaan, mengikut apa yang paling penting dalam hidup. Dan oleh kerana agama saya adalah Islam, maka keutamaan saya yang paling utama adalah Islam itu sendiri. Atas sebab itulah saya memasang azam bagi memperbaiki akhlak saya kerana ia dituntut oleh Islam.”

Wajah saya pada ketika itu semakin bersimpang siur garis-garisnya. Ia sudah menghampiri pada corak abstrak lukisan Picasso.

Lelaki yang sudah banyak pengalaman hidupnya itu sangat tahu lukis emosi pada wajah saya. Lukisan wajah manusia yang terhairan-hairan. Dia sebagai lelaki yang baik tidak mahu melihat saya terus begitu dan akhirnya dia berkata dengan kata-kata yang sangat baik.

“Akhlak itu bukan perkara kecil. Akhlak ialah sifat yang ada di dalam diri yang dapat melahirkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa perlu berfikir, meneliti ataupun paksaan. Sabda Rasulullah SAW, 'Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.”

Terdiam saya pada waktu itu. Ternyata lelaki tukang rumah di hadapan saya ini adalah seorang yang tahu hadis. Lelaki itu tidak berhenti di situ dan terus sahaja dia menyambung.

“Adakah kamu fikir Nabi Muhammad SAW diutuskan bagi menyampaikan sesuatu yang hanya terhad pada zamannya? Pastinya tidak dan itulah ciri-ciri akhlak yang disampaikan oleh Nabi junjungan kita. Ia bersifat sempurna, mutlak dan tetap. Ia jauh lebih tinggi daripada moral dan etika yang bersifat sementara, relatif dan subjektif.

"Menurut Imam Ghazali, akhlak yang baik itu terdiri daripada empat perkara, iaitu, bijaksana, memelihara diri daripada sesuatu yang tidak baik, keberanian dalam menundukkan hawa nafsu dan adil.

“Lihat betapa 'luasnya' akhlak itu. Ini belum lagi kita bercerita berkenaan akhlak kepada manusia dan akhlak kepada Allah. Daripada situ sahaja, sekiranya kamu mahu berfikir kamu dapat melihat betapa besarnya tuntutan memperelokkan akhlak itu. Sehingga Rasulullah SAW bersabda. “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

“Itulah akhlak dan sekiranya sahaja perkara berkenaan akhlak itu kita sentiasa berazam menjaga dan mempereloknya, insya-Allah apa sahaja yang mahu kita perbuat akan menjadi yang baik-baik. Insya-Allah.”

Waktu itu saya sedar berkenaan sesuatu tentang diri saya. Saya terlupa berkenaan perkara yang bermaksud 'keutamaan'. Ya, saya sebagai orang Islam, perlu melihat diri saya sebagai orang Islam dan mengutamakan kehendak Islam. Selepas itu automatik dan semulajadi, saya akan mengutamakan diri saya sebagai seorang anak, seorang pelajar, seorang pekerja, dan apa sahaja.

Semua itu bermula daripada soalan, bagaimana caranya saya mahu memperindahkan akhlak saya?

Saturday, January 01, 2011

cinta di dalam bilik kaca

“Jangan sesekali mengejar orang yang sudah masuk ke dalam bilik kaca.”

Itu adalah nasihat yang saya anggap sebagai kata-kata yang bersifat simbol. Pastinya ia kata-kata untuk simbol cinta. Ia membawa maksud jangan mengejar seseorang yang kamu boleh lihat, mampu dengar suaranya tetapi tidak akan sesekali kamu mampu sentuh.

Itu keyakinan saya kerana orang bercinta memang banyak simbolnya. Bulan boleh sahaja menjadi wajah kekasih hatinya, bintang utara pula diumpamakan seperti dirinya. Dia sebagai bintang utara duduk setia di sisi bulan, menjaga dan terus memerhati sampai mati.

Lalu dengan berfikiran bahawa nasihat itu cuma simbol atau kata-kata yang letaknya pada permukaan, saya tidak sesekali meletakkan nasihat itu dalam hati. Iyalah, untuk orang yang sudah bergelar suami, sudah mempunyai wanita yang halal untuknya, untuk apa lagi mengejar orang berada di dalam bilik kaca?

Itulah yang saya fikir sehinggalah pada suatu pagi. Nasihat itu akhirnya betul-betul menghempap hati. Semuanya bermula dengan kisah isteri saya juga. Dia seorang yang bekerjaya di seberang laut dan bersama dia adalah anak perempuan tunggal saya. Lalu pada pagi yang hening, saya menghantar mereka ke lapangan terbang demi kerjayanya..

Awalnya semuanya berlangsung seperti biasa. Antara saya dan isteri, saling memberi ucap selamat, saling memberi pelukan kasih. Untuk anak perempuan saya pula, saya memeluknya lebih erat dan menciumnya dengan lebih kerap dan itulah yang berlaku dengan tenang sehinggalah mereka melangkah pergi dari saya.

Biasanya, saya hanya berdiri memerhatikan mereka sambil berlambai tangan. Namun pada pagi itu, saya mahu mencuba sesuatu yang baru. Saya mengejar mereka. Saya mengikuti langkah mereka dan pada pada waktu itulah hati saya teruji apabila mereka memasuki ruangan yang berdindingkan kaca.

Anak perempuan saya memandang saya. Dia tersenyum lalu menampakkan gigi halus dan lesung pipit ceteknya. Tidak cukup dengan itu, dia menepuk-nepuk pula dinding bilik kaca. Waktu itu saya benar-benar mahu memeluknya, saya mahu menciumnya namun dia sudah berada di dalam bilik kaca.....

Allah sahaja yang tahu betapa peritnya hati dan panasnya mata saya.

Pagi itulah saya belajar sesuatu berkenaan nasihat. Nasihat mampu menjadi simbol dan ia juga mampu menjadi sesuatu yang terus kepada maksud. Semoga pada tahun baru ini, saya mampu sentiasa melihat sesuatu itu daripada dua sisi. Sisinya sebagai simbol dan sisi yang terus kepada maksud.

Untuk permulaannya, saya sangat mengerti cinta di dalam bilik kaca itu sememangnya sangat menyeksa. Sama ada ia dilihat pada sisinya sebagai simbol ataupun pada sisinya sebagai maksud yang terus.

Thursday, November 25, 2010

Penulis yang begitu

Yakin saya, ada ketikanya kamu akan, ataupun sudah membaca satu karya, dan usai membaca karya itu, terdetik dalam hati kamu, “Saya boleh menuliskan lebih baik daripada ini.”

Ketahuilah, itulah yang akan kamu rasa apabila selesai membaca buku-buku saya. Sengaja saya memberitahu kerana ada yang bertanya, saya ini yang tidak malu mengaku menjadi penulis, sebenarnya penulis yang bagaimana?

Saya penulis yang begitu, yang apabila kamu baca karyanya, kamu yakin kamu boleh menuliskan lebih baik daripada apa yang saya tulis.

Bukanlah saya sengaja mahu menulis begitu, melainkan kerana kekurangan saya juga. Mahu juga saya menulis yang hebatnya meninggi sehingga ke langit dan pembaca saya berkata, “Sampai mati pun saya tidak mampu menulis seindah ini.”

Namun, terhadnya keupayaan saya, saya hanya mampu berangan-angan. Kecewa juga saya kerana selepas berusaha setengah mati tetap juga tulisan saya itu terlihat begitu. Saya memang mati-mati mahu meninggikan harkat penulisan saya, akhirnya bakat saya yang kurang ini berkata lembut,”Maaf, saya hanya mampu membawa kamu setinggi ini.”

Jauh-jauh saya akui, kecewa saya menggunung. Sehingga satu waktu, saya kecewa lagi, namun dalam bentuk yang berbeza. Saya kecewa, mengapa saya dahulu perlu kecewa dengan kekurangan saya?

Semuanya atas ketentuan Tuhan juga. Saya menemui kembali seorang teman yang sangat baik, teliti fikirnya dan berseni tangannya. Pekerjaannya tidak ada kena-mengena dengan penulisan melainkan dia seorang guru pendidikan seni sebuah sekolah rendah.

Sebagai guru pendidikan seni, antara yang dia ajarkan kepada anak muridnya adalah seni membentuk pasu daripada tanah liat. Lalu berbaris-barislah pasu tanah liat di atas mejanya menanti diberi markah. Mengenali dia, saya sangat tahu, tangannya memang tangan yang luar biasa bakat seninya. Apa sahaja yang dia sentuh akan menjadi indah. Malah dia pernah membentuk pasu yang terlihat sangat mahal. Luar biasanya bakat pada tangan dia membuat saya terkagum-kagum.

Atas takdir Tuhan juga, pada hari itu kagum saya kepada dia semakin membesar. Semuanya kerana apabila saya memberitahu dia berkenaan kekurangan bakat penulisan saya dan kecewanya saya pada hal itu, dia dengan gaya seorang guru yang baik terus menunjuk ke arah pasu-pasu yang tersusun elok di atas meja.

Dia mengambil satu pasu yang sangat biasa dan kasar buatannya dan memberikan kepada saya. Teman saya mengaku dengan tersenyum bahawa itu adalah pasu buatannya. Katanya lagi, “Saya sekarang hanya mampu membuat pasu sebegitu. Malah saya selesa menjadi begitu.”

Mulanya terfikir juga saya, mungkin tangan seninya sudah hilang ataupun kerana sibuknya memberi markah kepada murid membuatkan dia lewa pada pekerjaan seni. Namun dia berkata, “Ini bukan kerana saya tidak menghargai seni ataupun apa-apa sahaja yang kamu fikir. Ini kerana manfaat yang saya peroleh daripada pasu biasa ini lebih besar daripada pasu cantik yang saya perbuat.”

Untuk waktu itu, saya tidak tahu atas alasan apa dia berkata begitu. Malah dia berani-berani pula menyamakan pasu biasa dan kasar itu dengan karya penulisan saya. Ya, saya mengaku saya kurang berbakat, namun dicela dengan cara itu secara berhadapan, memang saya tidak mampu menidakkan sakit hati saya dan akhirnya saya berkata, “Mana mungkin perkara yang biasa-biasa itu menjadi lebih banyak manfaatnya daripada perkara yang hebat dan indah. Sekiranya pun kamu mahu membesarkan hati saya, ini bukan jalannya.”

“Saya bukan mahu membesarkan hati kamu. Saya cuma mahu memberitahu kamu betapa untungnya kamu menjadi penulis yang biasa. Penulis yang kurang bakatnya....”

Belum teman saya itu habis bicara pantas saya mencelah dengan wajah yang tidak senang.

“Untung yang bagaimana? Penulis yang kurang bakatnya seperti saya ini, bukunya tidak laku, namanya tidak orang kenal dan jauh-jauh sekali mahu menang sayembara. Karya saya tidak evergreen, dan pasti akan dilupa orang. Lalu untung apanya saya menjadi penulis yang biasa?”

Tersenyum dia. Habis senyumannya dia berkata dengan kata-kata yang saya terus pegang sehingga hari ini.

“Kamu mungkin tidak membuatkan manusia menjadi lebih baik walaupun isi penulisan kamu baik, tetapi kamu tetap memberikan sesuatu yang besar. Saya yakin, kamu akhirnya mungkin sahaja memberikan inspirasi kepada sebilangan kecil manusia yang luar biasa bakat penulisannya bagi menjadi seorang penulis. Pasti sahaja selepas mereka membaca karya kamu terdetik dalam hati mereka, yang mereka mampu menulis lebih baik daripada kamu. Akhirnya, manusia yang berbakat besar itu menjadi penulis dan karya merekalah yang menjadi asbab mengubah manusia lain menjadi lebih baik.

"Itu yang saya perbuat. Hasil seni pasu saya memang tidak akan membuatkan ibu bapa pelajar saya kagum, namun ia memberikan inspirasi kepada pelajar saya bagi membuat yang lebih baik daripada itu. Sesuatu yang membuatkan mereka yakin dengan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Ia akan membuatkan ibu bapa kagum dan gembira kepada anak mereka. Itu jauh lebih bermakna dan bermanfaat kepada saya.”

Terdiam dan terus saya berfikir-fikir pada logik kata-katanya. Saya kira dia sudah selesai dan rupa-rupanya, dia menyimpan kata-kata terbaiknya dan menyambung.

“Kamu barangkali terlupa niat kamu semasa mahu menulis. Niat mahu menuliskan yang baik-baik. Sekiranya sahaja kamu sudah menuliskan yang baik-baik namun dengan cara yang biasa, cara orang yang tidak berbakat, tidak ada apa lagi yang kamu perlu gusar. Mungkin sahaja tulisan kamu itu tidak enak dibaca dan dicaci, dilupa dan tidak evergreen. Biarlah kerana mereka bukan mencaci niat dan isi karya kamu tetapi sebenarnya pada kekurangan bakat kamu.

"Kerana pada akhirnya, kamu akan sedar, mungkin karya kamu manusia akan lupa, tidak nampak di mana baiknya tetapi yakinlah, Allah maha tahu. Dia tahu niat kamu dan tahu apa yang kamu mahu sampaikan. Allah juga tidak akan pernah lupa segala apa yang kamu niatkan. Biarlah manusia lupa karya kamu, asalkan kamu sudah berniat dan berusaha dengan sebaik-baiknya, kerana Allah tidak akan pernah lupa. Rezeki itu tetap Dia juga yang memberi.”

Terus sahaja saya tersedar sesuatu, bahawa sesungguhnya tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia.



Saturday, November 20, 2010

Puteri pencinta hujan

Tidak tahu saya bagaimana mahu mengkhabarkan kisah sebegini. Eloknya kisah sebegini diam-diam sahaja dalam kepala, ataupun terus sahaja tenggelam mati dalam hati.

Lalu pada saat ia bergaung dalam kepala dan terkapai-kapai dalam hati, mahu tidak mahu terpaksa juga saya mengkisahkan kisah yang kecil seperti kaki semut ini.

Bermula daripada hujan yang turun pada setiap petang, kisah ini juga ikut turun bersama. Teringat saya pada saat saya masih dini, belum tahu dunia. Pada ketika itu hujan, saya bersama sepupu berlari-lari keluar rumah dan membiarkan diri ditimpa hujan.

Indahnya waktu itu memang tidak terbanding dengan mana-mana permainan komputer yang kamu kenal sekarang. Hanya semudah itu permainan saya dan sepupu, melompat-lompat dalam hujan, basah dan sesekali mendongak ke langit dengan mulut ternganga. Mahu juga saya merasa air suci yang turunnya ribuan meter dari langit. Aneh, untuk saya pada waktu memikirkan bagaimana air mampu terawang-awang di langit lalu pada suatu waktu yang tidak saya tahu, ia turun berupa titik-titik yang bening.

Rasa aneh itu masih tersisa lagi dan pada ketika hujan merintik saya diam-diam membuang pandang ke luar jendela. Saya gembira memerhatikan titik-titik air yang turun dengan pelbagai gaya, lembut, keras, garang dan malu-malu. Aduhai, besarnya kuasa Tuhan.

Namun ada juga rasa yang sudah hilang seperti air hujan yang hilang ditelan tanah ataupun dihisap matahari. Saya sudah lupa bagaimana rasanya saya dimarah-marah ibu kerana bermain hujan. Saya juga sudah lupa bagaimana rasanya dijeling ayah yang membuat hati kecut seperti kecutnya jari-jari saya kerana sejuknya hujan.

Kini, pada saat saya berhujan di jalan raya pada setiap petang November dan Disember, tidak ada sesiapa lagi yang akan marah-marah dan tidak ada sesiapa lagi yang akan mahu menjeling tajam. Betullah, rindu itu datang pada saat sesuatu itu tersenyum menjadi kenangan.

Namun dalam dunia, perkara apakah yang Tuhan tidak mampu menggantikannya? Sesungguhnya Tuhan itu maha adil. Didatangkan kepada saya seorang puteri manis yang mencintai hujan. Pada ketika hujan turunlah puteri manis saya berteriak-teriak meluru ke pintu mahu menggenggam titik-titik hujan. Ada waktunya dia bukan sekadar berjaya menggenggam titik hujan, malah juga dia berjaya menjadikan titik-titik hujan sebagai baju dan mahkota pada ubun-ubun.

Indahnya aturan Tuhan, pada waktu itu jugalah saya diberi ganti rasa yang baru... rasa bagaimana ibu dan ayah saya dahulu melihat diri saya bermain hujan. Tidak saya sedar, saya sudah menjeling tajam kepada puteri pencinta hujan.

Puteri saya bersama dengan anak sepupu-sepupu saya. Mereka ini yang menjadi pewaris hujan. Anak sepupu saya yang tinggi itu menjadi asbab saya tahu, bahawa UPSR juga ada 6A kerana dia berjaya mendapat 6A UPSR 2010. Tahniah untuk dia.

Sunday, November 07, 2010

Kerana hati lelah ini duduk di kerusi

Bukan salah menulis, namun salah saya juga. Sekiranya sahaja saya nanti terlihat bertubuh tambun, mengertilah sejak dua tiga bulan ini saya seperti manusia yang dirasuk hantu lapar.

Muasalnya kerana saya menulis sesuatu yang membuatkan saya letih. Saya sememangnya sangat letih menulis sesuatu yang terkeluar daripada jiwa. Saya akui, jiwa saya ini kasar. Dahulunya saya ini berkawan-kawan juga dengan orang yang kasar dan malah sampai sekarang saya masih karib dengan orang yang kasar-kasar. Lalu penulisan saya cenderung 'kasar'.

Menulis sesuatu yang bukan saudara pada perkataan 'kasar' membuat saya lelah. Lelah saya memikirkan bagaimana mahu menjadikan idea saya muas dengan perkara yang kurang kasarnya itu. Lelah itu ternyata begitu berkuasa sehingga membengkokkan hati saya menjadi jemawa.

Akhirnya dengan hanya duduk di kerusi, saya menghabiskan banyak sekali nasi bergoreng, daging-daging berlemak, air manis-manis, roti dan biskut berperisa, kurang tidur, stres dan segala macam hal yang membuatkan tubuh saya menjadi tambun.

Bukan salah menulis, salah saya juga yang kurang aturan atau lebih tepat, tiada langsung perancangan. Kebiasaannya saya ini menulis tanpa tahu jalan mana yang harus saya bawa tulisan saya berjalan-jalan. Tanpa bab, tanpa plot dan tanpa watak. Biarlah semuanya mengalir sendiri. Tempatnya tujunya sudah lama tahu, namun jalan ke arah itu saya suka menjadi manusia yang mengembara tanpa perancangan.

Alhamdulillah, selepas beberapa waktu tersesat dalam 'mengembara', untuk seminggu ini mungkin saya boleh menarik nafas panjang kerana selesainya manuskrip novel 'Penulis yang Disayang Tuhan' dan 'Diari Mat Despatch 2'.

Manuskrip yang cuba lari daripada jiwa kasar saya namun tetap juga terselit di sana sini kasarnya. Semoga ia bermanfaat untuk saya, memberi nasihat untuk saya dan kemudiannya, semoga ia bermanfaat untuk semua yang membacanya. Semoga. Amin.



Wednesday, September 22, 2010

Manusia yang mengaku cinta menulis.

Jalan di belakang.

Lama saya tidak bercerita berkenaan sesuatu. Bukanlah tidak ada kisah, kerana pengalaman hidup ini masih banyak yang belum ditiup-tiup, seperti debu tebal pada tingkap rumah pusaka. Masih pekat dan elok nian dibuat batuk dan bersin.

Begitulah jalan hidup ini, cukup berliku dan bersimpang siur halanya. Banyak waktu terpaksa berhenti untuk memandang ke hadapan dan merenung-renung jalan yang betul. Namun yang pasti, akan ada lebih banyak waktu untuk berhenti, bukan untuk memandang ke hadapan, tetapi untuk berpaling ke belakang. Melihat kembali jalan-jalan yang pernah digagahi. Apakah jalan yang bahagia ataupun jalan yang membawa luka.

Itulah saya, berhenti lama hanya untuk memandang jalan yang selama ini saya tempuh. Diakui dengan penuh dengan rasa rendah hati, saya segan melihat jalan yang pernah saya jejaki. Mengaku menjadi manusia yang cinta menulis, saya adalah manusia yang pernah menuliskan banyak perkara yang membuat dosa kepada diri, dan lebih membuat saya takut dan malu, saya pernah menuliskan dosa yang berantai-rantai sesama manusia.

Itulah saya, manusia yang kurang ilmunya. Itulah mungkin yang terpamer pada tulisan saya. Tidak mampu saya menuliskan watak utama yang pandai agama yang sangat sempurna. Yang basah lidahnya dengan hafalan ayat suci atau lunak suaranya membacakan hadis. Watak-watak saya adalah lelaki yang sangat biasa yang kurang ilmu agama, yang masih samar matanya dan mahu mencari Islam dalam dirinya. Betullah, kata bijak pandai, tidak banyak, mungkin ada sedikit berkenaan tentang diri kita ataupun pengalaman kita yang kita akan tulis berkali-kali.

Malu juga saya, kerana saya ini yang mengaku sebagai manusia yang cinta menulis, tidak mampu menulis pemikiran besar berkenaan masalah umat, paling tidak, saya juga tidak mampu menulis berkenaan masalah orang lain. Saya cuma menuliskan berkenaan diri sendiri, orang yang mencari Islam dalam dirinya. Berlikunya jalan manusia yang kurang ilmu seperti saya. Namun yang membuatkan saya semakin malu, saya masih mampu bermegah pula dengan perkara yang tidak layak itu.

Pada waktu saya berhenti dan memandang jauh ke belakang, sebetulnya saya terpandang kisah seorang teman saya. Kisah yang bermula dengan berjabat tangan.

Lelaki di jeti.

Teman saya itu, bukan teman saya yang rapat. Dia cuma teman sekelas sejak dari darjah satu sampai darjah enam. Atas diri dia, saya punyai banyak kelebihan. Ayah teman saya itu lebih miskin daripada ayah saya, dan paling malang, otak teman saya itu sangat sedikit pandainya berbanding otak saya.

Itulah hidup yang saya dan dia lalui. Saya ibarat serigala di dalam kandang musang. Jadilah teman saya itu malu-malu dengan saya dan tidak mampu berkata tidak dengan apa sahaja suruhan saya.

Lagilah malang teman saya itu, kerana belum lagi sempat dia mencium bau kertas ujian PMR, dia sudah berhenti belajar. Namun tidak sulit bagi menerima baik keputusan itu kerana sudahlah ayah teman saya itu miskin, malah ayahnya juga sudah dijemput Tuhan. Tidak ada harapan lain selain berhenti.

Keputusan teman saya itu semakin terasa ringan kerana dalam pelajaran dia bukanlah pelajar garis atas, dan pada waktu itu dia percaya yang hidupnya tidak akan ada bezanya sekalipun dia ada sijil PMR dan SPM. Pada waktu itulah, saya masih ingat lagi, saya berjabat tangan kali terakhir dengan teman saya itu sebagai dua orang pelajar sekolah yang masih lembut ubun-ubun ilmunya dan masih lembut tapak tangannya.

Kehidupan pun terus berlangsung, dan saya tidak lagi mendengar apa-apa cerita tentang teman saya yang terlupakan itu. Saya terus bersekolah dan menyerahkan hidup bulat-bulat kepada takdir tanpa saya sedar yang takdir itu boleh dibentuk-bentuk seperti mengukir kayu. Mujur, Tuhan mahukan saya menjadi orang kampung yang memasuki universiti. Jadilah saya pelajar universiti yang gembira kerana ada duit PTPTN dan semakin gembira pada saat cuti semester, saya pulang ke kampung dengan megah sehingga Tuhan menemukan saya kembali dengan teman saya itu di sebuah jeti.

Tangan ke hati.

Liku hidup teman saya yang tidak rapat itu, berbeza daripada saya, seperti berbezanya mukjizat nabi dan ilmu sihir para penyihir. Teman saya berjuang membentuk takdirnya, namun jalannya seribu kali jauh lebih berliku daripada saya.

Dia bekerja menjadi kuli di kedai Cina. Sekiranya kuli batak itu kuli yang paling kasar, teman saya itu mungkin sama ataupun di bawah sedikit daripada kuli batak. Kerjanya rencam dan segala perkara yang membabitkan peluh dan tulang keras di kedai Cina itu, pasti diberikan kepada teman saya itu.

Pada hari itu, teman saya berada di jeti, menghantar minyak petrol untuk bot ekspres yang mahu ke bandar. Minyak petrol yang diisi di dalam tong besi yang berat, diletakkan pula di atas kereta tarik. Kereta itu ditarik dengan tenaga manusia, atau lebih tepatnya, ditarik oleh teman saya.

Saya waktu itu masih membawa kemegahan saya sebagai manusia yang dibiayai oleh PTPTN. Saya berdiri di hadapannya dan tersenyum megah dan teman saya itu pula membalas dengan senyuman yang saya yakin, ia seperti senyuman orang Afrika yang sedang menuangkan air kopi untuk tuannya. Senyuman yang getir.

Tidak lama untuk bersikap mesra dengannya kerana waktu itu, saya cukup percaya diri. Saya yang mula-mula menghulurkan tangan kepadanya bagi bersalaman dan pada saat tangan kami menyatu erat, pada saat itulah, megah saya runtuh. Pada saat itulah saya seperti burung layang-layang yang dilanggar ribut. Mahu jatuh, tetapi tetap berusaha terbang dan akhirnya tetap juga terpaksa hinggap pada dahan yang juga mahu patah.

Pada saat tangan kami bersentuhan erat itu, saya dibawa ke dalam dunia yang bertentangan dengan apa yang saya ada pada waktu itu. Saya dibawa masuk ke dalam dunia teman saya. Semuanya kerana, saya dengan sangat sedar, tapak tangan teman saya itu sangat kasar. Belum pernah saya bersalaman dengan orang yang sekasar itu tapak tangannya. Sedangkan dahulu tapak tangannya lembut dan halus, sama seperti saya.

Saya betul-betul tersentak. Pada waktu itu saya sedar, betapa beruntungnya saya menjadi orang kampung yang masuk universiti tetapi adakah saya sudah cukup bersyukur? Rasanya, tidak kerana saya sebelum itu masih megah dengan status yang tidak seberapa itu.

Namun itu cuma permulaan, ibarat bola penalti yang baru diletakkan di hadapan pintu gol. Kata-kata teman saya nanti yang akan menyempurnakan tendangan bola itu ke dalam hati saya.

Katanya, “Bersyukurlah tangan kamu masih lembut dan kamu ada banyak ruang bagi merebut peluang. Namun, bersyukur bukan sekadar pada kata-kata tetapi kamu perlu menjalankan syukur itu. Menjalankan syukur itu adalah dengan menjalankan peranan kita dengan melakukan yang terbaik ataupun memberikan yang terbaik. Jadilah anak yang baik, jadilah pelajar yang baik dan jadilah manusia yang baik. Jadi, jaga hati kamu. Jangan benarkan sebarang kata-kata yang akan membuatkan kamu berhenti daripada melakukan yang terbaik daripada memasuki hati kamu. Jangan lengah pada pujian dan jangan pula resah pada makian. Itu hanya membuatkan kamu berhenti daripada menjalankan syukur.”

Saya waktu itu sebenarnya keliru, kerana tiba-tiba sahaja dia berkata begitu. Tidak lama saya keliru kerana teman saya itu ketawa kecil sambil menjelaskan, “Saya sebenarnya menasihatkan dan memperingatkan diri saya sendiri tetapi agak aneh pula sekiranya saya berkata seorang diri di atas jeti ini. Saya perlu menjalankan syukur dan saya perlu melakukan yang terbaik walaupun saya cuma seorang kuli.”

Menjalankan syukur.

Mengingat kembali perkara itu dan merenung kembali pada jalan yang bersimpang siur di hadapan, saya mampu berkata kepada diri saya, saya tetap perlu melakukan yang terbaik dan saya tetap perlu memberikan yang terbaik walau siapapun diri saya. Saya tidak boleh dan mampu lagi berhenti lama-lama kerana saya harus menjalankan syukur sebagai manusia yang mengaku cinta menulis.

Penafian: Ini adalah fiksyen namun walaupun fiksyen pasti saya secara sedar ataupun tidak, tetap menyelitkan sesuatu tentang diri saya dan juga orang di sekitar saya.

Monday, August 30, 2010

Ada suatu waktu yang sangat gelap

Dalam suatu waktu yang sangat gelap, ada banyak perkara yang akan menyerap ke dalam kepala, bersatu hanya untuk menjadi dua perkara. Memeram menjadi dendam, terluah menjadi marah.

Untuk manusia biasa seperti aku, sudah aku merutinkan diri untuk berdoa semoga menjauh daripada waktu yang sangat gelap itu. Tetapi itulah hidup manusia. Ia umpama titik yang berada dalam satu bulatan. Pada saat bulatan itu bergolek, maka titik itu sesaat di atas dan sesaat di bawah.

Ada suatu waktu, titik itu akan berada di bawah, berada pada suatu waktu yang sangat gelap. Pasti aku dan kamu mafhum, titik itu adalah hidup manusia.

Mengingati bahawa titik itu pasti berada di bawah, seperti mengingati, suatu hari nanti, ibu ayah kita pasti akan mati. Jiwa tidak mahu bersedia untuk itu, namun jauh-jauh ke dasar hati, hati mengakui, mahu tidak mahu, ia pasti terjadi.

Lalu, doa saya untuk menjauh daripada suatu waktu yang sangat gelap itu seperti doa untuk berumur kekal abadi. Doa yang menyalahi fitrah aku sebagai manusia, menyongsang fitrah aku sebagai hambaNya yang pasti sentiasa diuji.

Ketika hati mahu berkira-kira mencari seikat doa baru untuk dihulurkan kepada Maha Pencipta, pada ketika itulah nasihat seorang teman ini bergema.

Katanya pada suatu hari yang indah, “Ikhlaskan diri kamu untuk semuanya kerana Allah. Ikhlaskan diri kamu untuk apa sahaja yang mendatang. Ikhlaskan hati untuk membahagiakan orang lain dengan tidak memeram dendam dalam kepala dan tidak meluah marah daripada lidah. Ikhlas bukan sekadar pada ibadah, ikhlas juga pada ujian yang mendatang.”

Semoga cepat-cepat, aku hilang daripada suatu waktu yang sangat gelap itu. Ataupun semoga waktu sangat gelap itu yang buru-buru menghilang daripada aku.

Saturday, August 28, 2010

hanya seorang manusia yang tahu

Hanya seorang manusia yang tahu...

tingginya langit dalam kepala

dalamnya neraka dalam jiwa


hanya manusia seorang itu juga yang tahu

ke mana perginya jemawa hati

untuk kata puji yang merinding

jatuh di mananya masyghul jiwa

pada kata hina yang meruntuh


manusia seorang yang tahu,

adalah

aku

Monday, August 09, 2010

Bagaimana rasanya menjadi orang pandai

Saya ingat lagi pada suatu waktu, saya adalah murid yang tersudut dalam dunia saya sendiri. Bukannya kerana saya duduk tersudut di belakang kanan kelas, malah saya adalah murid yang duduk di baris paling hadapan.

Dunia saya adalah dunia yang dipenuhi tanda tanya. Bukan bertanya perkara yang berat-berat, bukan juga bertanya berkenaan dunia seluruhnya. Saya cuma bertanya hal yang sederhana, bagaimana rasanya menjadi orang yang pandai.

Saya kira-kira, pertanyaan sederhana itu sebenarnya adalah persoalan hidup yang cukup pandai daripada seorang murid yang sederhana. Bukan sederhana pandai tetapi lebih kepada sederhana kurang pandai. Semuanya kerana pada setiap waktu, saya berasa tidak mampu menjadi murid sanjungan guru kerana markah ujian saya yang sekadar melepasi takat lulus.

Waktu itu saya betul-betul mahu tahu rasanya menjadi pelajar pandai. Rasa mahu tahu, saya biar, saya pendam. Mahu bertanya, entah bagaimana pula kata-kata yang harus saya ucap. Tidak pandai saya menyusun kata. Belum lagi saya memikir apa pula jawapan pada soalan sederhana itu. Saya cukup tidak tahu.

Itulah dunia saya, dunia yang tersudut jauh daripada pengetahuan murid-murid pandai. Ada waktunya saya menjawab sendiri untuk soalan saya. Menjadi murid pandai itu, adalah untung yang lumayan. Disayang guru, disayang ustaz dan malah sering mendapat surat-surat daripada peminat rahsia. Menjadi murid yang pandai juga, lumayan kerana mereka dengan automatik akan membaca pelbagai jenis buku yang berat dan tebal tanpa ada rasa dipaksa-paksa. Betapa nikmatnya apabila rasa dipaksa-paksa membaca itu tiada dalam diri. Pasti hati dan jiwa menjadi ringan. Itu cuma agak-agak saya, entah ya entah tidak kerana sehingga saya habis sekolah saya tidak pernah merasa menjadi murid yang pandai.

Sehingga pada suatu waktu, pada saat saya tidak peduli lagi rasa mahu tahu bagaimana rasanya menjadi murid pandai, saya mendengarkan ataupun mungkin Tuhan mahu memperdengarkan saya saya dengan kata-kata itu, kata-kata yang saya kutip daripada seorang ayah kepada anaknya, yang pernah bertanya soalan yang sama seperti yang saya tanyakan dulu-dulu.

***

Waktu itu saya baru masuk ke dalam sebuah bas, dan mencapai wang kertas biru yang sudah kumal. Pemandu bas sepertinya lelaki yang sudah tidak berjiwa, kaku dan hanya memandang pada saat saya menyodorkan wang kertas biru kumal itu. Dia tidak menghulurkan senyum kerana mungkin senyumannya sudah habis sebelum jam 10 tadi. Hanya kertas putih yang dihulur pengganti senyum.

Saya ingat lagi, langkah saya seperti langkah kucing yang tersalah masuk rumah. Mata melilau mencari tempat duduk kosong dan akhirnya, saya tetapkan hati duduk di belakang sekali, tempat duduk yang boleh memuatkan lima lelaki dewasa dan kebetulan tinggal satu lagi yang tidak terisi, tempat duduk di tengah-tengah.

Pada saat saya melabuhkan punggung saya, pertamanya saya berpaling ke kiri saya, tersenyum kepada dua lelaki yang wajahnya jelas bukan Melayu. Mungkin pekerja Bangladesh, mungkin India, mungkin juga Nepal. Entah. Yang pastinya mereka dari Asia Selatan dan mereka memandang takut-takut ke arah saya, sepertinya saya sedang mengenakan seragam polis.

Selepas itu saya berpaling pula ke arah kanan dan di situ duduk seorang lelaki berbaju putih yang dihiasi jalur hitam. Wajahnya keras dan tidak perlu dia memberitahu kerana wajah kerasnya itu sudah memberitahu yang dia adalah lelaki yang penuh pengalaman hidup. Dia tersenyum baik, dan saya yakin dia mahu membesarkan hati saya. Di sebelahnya pula seorang anak kecil dalam pakaian seragam sekolah, sedang asyik memandang ke luar jendela. Saya sangat yakin anak kecil itu adalah anak kandung asli kepada lelaki itu. Namun, anak kecil itu tidak mempedulikan saya, saya juga tahu saya tidak perlu berbuat baik dengan anak kecil itu walaupun pada akhirnya saya akan akur, saya terhutang budi kepada dia.

***

Perjalanan bermula dengan lenggang-lenggang kecil, membuat tubuh saya terhuyung ke kiri menghimpit lelaki Asia Selatan, dan sesekali tubuh saya merapat juga pada lelaki yang berwajah penuh pengalaman.

Sekiranya tidak kerana anak kecil itu menoleh ke arah ayahnya, pasti perjalanan saya ibarat burung helang yang terbang sendiri. Sekiranya juga tidak kerana anak kecil itu bertanya kepada ayahnya, pastinya perjalanan saya ibarat matahari yang perlahan-lahan tenggelam menjadi senja.

Anak kecil itu, berpaling ke arah ayahnya dan bertanya, “Ayah, bagaimana rasanya menjadi murid pandai?”

Saya terlempar jauh ke sudut itu semula. Sudut yang mungkin kini dihuni oleh anak kecil itu. Siaga saya memasang telinga dan sang ayah dengan wajah yang penuh bijaksana berpaling lalu berkata, “Mengapa tanya soalan itu?”

“Kerana saya bukan budak pandai. Saya tidak pernah sampai nombor sepuluh. Saya juga tidak pernah dapat hadiah,” jawab anak kecil itu yang ternyata begitu jauh beraninya berbanding saya pada saat saya seusia dia.

Dengan ekor mata saya melihat samar, lelaki yang berwajah penuh pengalaman itu menarik nafas panjang. Dia menoleh penuh prihatin dan berkata dengan takzim, “Antara tangan kanan dan tangan kiri mu, tangan mana yang kamu guna untuk menulis?”

“Tangan kanan!” jawab anak kecil itu pantas dengan nada suara yang khas.

“Tangan mana yang kamu guna untuk makan?” soal sang ayah lagi.

“Tangan kanan!” Anak kecil itu tidak langsung menyertakan ragu dalam jawapannya.

“Tangan mana pula yang kamu guna untuk membuka pintu?” Sang ayah terus menyoal.

“Tangan kanan!” jawab anak kecil itu lagi.

“Sekarang jelas, tangan kanan kamu lebih pandai daripada tangan kiri kerana tangan kanan kamu dapat membuat pelbagai perkara, tetapi bagaimana pula dengan tangan kiri kamu? Adakah tangan kiri kamu itu tidak pandai?” soal sang ayah lagi.

Si anak diam. Saya cukup pasti, pasti si anak juga merasai apa yang saya rasa. Rasa ingin tahu yang besarnya dari hujung awan di barat sampai hujung laut di timur.

“Adakah kamu mahu membuang tangan kiri kamu?” Sang ayah terus menyoal dan sang anak hanya menggeleng.

“Mengapa?” soal ayah dengan penuh lembut.

“Tangan kiri saya juga berguna. Berguna semasa saya buang air, berguna semasa saya mahu menunggang basikal, berguna semasa saya mahu bermain layang-layang dan paling berguna semasa saya menjadi penjaga gol!” balas si anak dengan penuh semangat.

“Tetapi tetap juga tangan kanan kamu yang lebih pandai, bukan? Pandai menulis, pandai membuka pintu dan pandai menggunakan sudu. Jadi antara tangan kanan kamu dan tangan kiri yang mana paling berguna?” soal sang ayah. Matanya menatap penuh kasih dan ada bahagia yang tersembunyi di balik matanya.

“Dua-duanya berguna!” kata sang anak dengan penuh yakin namun garis-garis pada wajahnya tetap menampakkan yang dia belum mengerti. Sama seperti saya yang tidak pasti untuk apa perbandingan itu bagi menjawab soalan sang anak.

“Tetapi saya bukan tangan kanan ataupun tangan kiri. Saya manusia utuh,” kata si anak dengan wajahnya yang menampakkan dia takut bagi mengaku tidak faham, namun hatinya semakin kuat mahu tahu berkenaan perkara itu.

“Ini memang bukan soal tangan. Ini soal kamu. Kamu tahu, rasa menjadi orang pandai itu bukanlah rasa yang munasabah. Sekiranya kamu berusaha, kamu pasti pandai. Tetapi sama ada kamu pandai apa pun tidak, Allah hanya sayang kepada orang yang paling berguna antara kita. Seperti tangan kanan dan tangan kiri, kamu sayang kedua-duanya kerana kedua-duanya sangat berguna kepada kamu. Allah juga sayang hambaNya yang paling berguna. Berguna bermakna bermanfaat kepada diri, kepada orang tua, keluarga dan seluruhnya. Jadi, walaupun kamu rasa kamu tidak pandai, selagi mana kamu menjadi manusia yang berguna kepada manusia lainnya, kamu tetap disayang oleh Allah. Disayang oleh Allah adalah rasa yang paling munasabah yang harus kamu fikirkan berbanding rasa, bagaimana rasanya menjadi orang pandai,” terang sang ayah dengan tertib dan perlahan-lahan.

Si anak diam dan dengan tersenyum dia berkata, “Bermakna saya harus menukar soalan saya?”

Sang ayah tersenyum dan dengan tangan kasanrnya dia mengusap-usap rambut anaknya. Pada waktu itu juga, saya yang selama ini tersudut pada dunia saya, umpamanya keluar dari dunia itu dan kini tersudut pula pada dunia yang baharu. Dunia yang hanya punyai soalan, “Bagaimana rasanya disayang Allah?”


Friday, July 23, 2010

Zali Lelaki yang Tenang - Episod 4

Inilah kisah itu, kisah yang diam-diam memerap ke dalam hati Zali yang tenang. Semuanya gara-gara guru baharu yang datang ke kampung mereka. Guru yang akan menjadi guru besar yang baik, ataupun setidak-tidaknya itulah harapan anak-anak sekolah, dan ibu ayah kepada anak-anak sekolah itu. Kisah ini bermula pada suatu petang yang awannnya berguling-guling malas....

***

Pada petang itu, pada waktu Zali sudah habis kerjanya di pejabat daerah, dia tidak mampu lagi mengikat sabarnya untuk ke kedai kopi yang bermeja 15. Dia mahu duduk berlama-lama di situ sambil-sambil sengaja mengusutkan kepala dengan hal-hal yang tidak berpenghasilan.

Saat Zali tiba di kedai kopi yang hanya beberapa langkah dari pejabat daerah, semua meja sudah hampir habis tidak bersisa. Di hujung sana terlihat ketua kampung bersama dengan rakan-rakan baiknya, di hujung sini pula terlihat Abang Ramli penjual ikan juga dengan rakan-rakannya. Malah ada ramai lagi penduduk kampung yang Zali sangat kenal wajahnya. Izwa dan Sabri pula sudah sedia menunggu dengan wajah manusia yang sedar yang ekonomi mereka sudah padam. Seorang hanya kuli yang tenaganya dikerah sampai ke hujung kaki, dan seorang lagi penganggur yang mempunyai senyum getir yang dipaksakan pada wajahnya.

Hanya Zali yang ternampak tenang. Duduk dengan wajah lelaki bekerja, yang punyai masa hadapan dan tidak perlu menyimpan serpih-serpih rendah diri pada wajahnya. Zali sepertinya setangah kerani setengah pegawai tinggi. Pada jawatannya dia adalah kerani, namun pada gaya dan mimik wajahnya, dia adalah pegawai tinggi.

“Jadi seperti biasa, kamu teka pukul berapa Makcik Salina akan datang?” tanya Zali sambil matanya menatap seorang demi seorang, wajah teman-temannya.

Izwa segera menatap jamnya yang bertali kulit dan terus berkata, “10 minit lagi.”

Sabri pula langsung memancang pandangannya pada kereta ketua kampung di hadapannya. Tidak pasti apa yang boleh dia peroleh daripada hal itu namun jelas ia membuatkan Sabri tersenyum kecil dan berkata, “Mungkin 20 minit lagi.”

Zali tetap dengan wajahnya yang tenang dan dengan gaya lelaki yang tahu benar definisi masa, dia berkata, “Aku yakin dia datang lima minit lagi.”

“Baik, kita lihat siapa yang betul,” sambung Izwa. Wajahnya benar-benar yakin, sehingga membangunkan rasa kagum pada hati Sabri yang masih menatap pada kereta ketua kampung di hadapannya. Matanya walaupun masih pejam celik, namun wajahnya tidak sesekali berpaling. Sepertinya dia tidak mahu terlepas sesuatu.

Zali dengan wajah yang mahu tahu menggeser punggungnya, memaling ke belakang melihat pada apa yang membuatkan Sabri seperti pencuri yang terjumpa emas. Pandangan Zali hanya disita oleh kereta ketua kampung yang berwarna merah. Ia jenama Proton Saga keluaran tahun 1990. Memang sudah sangat tua tetapi ketua kampung masih memegah-megahkan kereta merah itu sebagai kereta yang memiliki pesona setaraf Gunung Fuji,

Zali sepet-sepet matanya memandang namun, tidak juga dia dapat menangkap istimewanya kereta tua ketua kampung itu. Sehingga mulut Zali menjadi ringan mahu bertanya dan kepalanya sudah sedia kembali berpaling ke arah Sabri. Namun pada saat semuanya hampir sempurna, Zali membatalkan niatnya.

Sebuah kereta MPV mewah berwarna hitam dan cerminnya juga hitam yang tidak mungkin nampak isinya, berhenti elok di hadapan kereta ketua kampung. Pasti, itu adalah kereta yang paling mewah di kampung itu sekarang. Zali, Sabri dan Izwa segera menarik sepenuh rasa ingin tahu mereka pada kereta mewah itu. Malah bukan mereka sahaja, hampir kesemua manusia yang berada di kedai kopi 15 meja itu ikut memandang dengan wajah orang yang berfikir keras.

“Siapa?” soal Zali dengan mata yang masih memandang ke arah kereta mewah.

“Mungkin orang kaya bandar yang mahu mencari tanah,” jawab Izwa yakin. Masih ingat lagi dia dua hari lepas, rakan ayahnya, orang bandar yang kaya datang mahu mencari tanah. Mungkin kali ini juga serupa.

Zali tidak bereaksi dengan jawapan Izwa. Wajahnya jelas menampakkan dia setuju. Sabri pula tetap seperti tadi, matanya masih menatap ke arah kereta ketua kampung. Manakala semua orang di kedai kopi itu juga masih belum memalingkan wajah daripada kereta mewah itu. Cuma mulut-mulut mereka sahaja yang jelas mengalirkan pelbagai jangkaan.

Hati mereka yang memandang ke arah kereta mewah itu sudah menggelinding. Sudah tertera wajah yang mahu berkata – cepatlah keluar. Namun tidak juga pintu kereta mewah itu terbuka. Zali pula sudah bersimbah hatinya dengan rasa ingin tahu, mujur masih mampu juga dipujuk-pujuk hatinya.

“Mengapa tidak keluar?” soal Izwa yang anehnya, sudah terlihat cemas.

Pada saat soalan Izwa itu tercetus, keadaan di kedai kopi yang tadinya hanya berbisik-bisik, mula kembali kuat bunyinya. Hampir semua kata-kata mempersoalkan mengapa belum ada sesiapa lagi yang keluar daripada kereta itu.

Pada satu detik, pintu kereta terbuka, dan nafas-nafas lega terdengar. Malah Zali mulai runtuh rasa ingin tahunya. Zali kini mampu kembali menawarkan wajahnya yang tenang sambil mata terus memandang ke arah kereta itu.

Daripada pintu yang terbuka itu, keluar seorang lelaki yang berwajah keras dengan jambang yang lebat dan punyai sorot mata yang penuh wibawa. Lelaki itu cukup terampil dan mampu membenamkan rasa hormat kepada sesiapapun yang memandang. Zali tidak terkecuali.

Lelaki itu berjalan beberapa langkah sebelum berhenti dan dia segera mengerti seluruh mata yang ada di kedai kopi itu sedang menyelidiki dirinya. Lelaki itu tidak mati tingkah, dia segera tersenyum, mengangkat tangan kanan melepasi kepala dan berkata, “Assalamualaikum! Saya Rahmat bin Junaidi, guru besar baru di kampung ini.”


Bunyi 'owh' kedengaran di seluruh kedai kopi. Wajah-wajah yang sudah puas kerana berjaya memenuhi rasa ingin tahu mereka. Zali ikut mengangguk puas. Ya, memang sudah tersebar berita yang akan ada guru besar baharu ke kampungnya bagi menggantikan guru besar lama yang mahu pencen di kampung asalnya.

Pada ketika Zali mahu menggeser punggungnya, mahu menghadap Sabri, pintu kereta mewah itu terbuka lagi dan kali ini, semua mata terus tertumpu ke arah pintu yang terbuka. Diam dan sepi. Nafas mereka semua tertahan dan seorang perempuan bertudung rapi dengan jubah yang kemas melangkah turun dari pintu belakang. Bukan penampilan itu yang membuatkan mereka diam dan sepi, melainkan kerana paras wajah perempuan itu yang seperti batu delima di atas mahkota. Cantiknya tiada banding dan ia menimpali hati-hati lelaki di kedai kopi itu termasuk Zali, Izwa dan.... Sabri belum pasti kerana matanya masih tetap pada kereta tua ketua kampung. Sabri jelas terlihat tidak terkesan dengan pesona yang datangnya dari kereta mewah hitam itu.

Perempuan itu cuba melangkah laju, mahu membuntuti Encik Rahmat keran pastinya dia sangat sedar yang dirinya kini menjadi jelingan ramai. Namun hanya dua langkah dia berhenti, betul-betul di hadapan kereta ketua kampung. Seorang perempuan tua yang entah dari mana munculnya berdiri dan tersenyum ke arah perempuan yang sangat cantik itu.

“Mahu beli kerepek? Kerepek ubi, kerepek pisang dan kerepek keladi pun ada,” kata perempuan tua sambil menghulurkan bungkusan plastik hitam ke arah perempuan cantik itu.

“Makcik Salina,” kata Izwa lalu segera memandang jamnya dan menyambung, “Aku betul. Dia datang tepat 10 minit.”

Zali ikut memerhatikan jam tangannya dan memang benar, kali ini Izwa yang menjadi pemenang. Pemenang bagi peraduan meneka pukul berapa Makcik Salin akan datang ke kedai kopi bagi menjual segala macam jenis kerepeknya.

Seketika itu juga, Sabri tiba-tiba berdiri dan dengan langkah yang laju terus menuju ke arah kereta ketua kampung ataupun adakah ke arah perempuan cantik itu? Zali dan Sabri mengerutkan dahinya. Mata mereka terus tajam memerhati langkah Sabri yang semakin pantas dan semakin hampir ke arah perempuan cantik itu dan Makcik Salina. Sabri kini mula semakin hampir... dan terus hampir.

Bersambung


*Mahu baca episod sebelumnya, klik sahaja pada label di bawah. Terima kasih. :)




Friday, July 16, 2010

Untuk dimengerti

Ini perkara yang paling mudah, untuk hati dan akal bersila bersama, bersepakat dan seterus menggotong perkara itu dalam satu sikap yang manusia gelar – termenung.

Tidak banyak yang saya, kamu dan kita tahu atas sebab apa, saya, kamu dan kita untuk melepaskan masa kita untuk termenung. Ia sepertinya burung yang lepas dari sangkar, terbuang tanpa apa-apa maksud, tanpa peroleh apa-apa yang khusus. Sia-sia.

Seketika memikirkan perkara -termenung- seketika saya menjadi takut. Memberi konotasi gelap pada kata itu bererti saya ini seumpama kucing hitam yang duduk di sudut gelap kota dan sekadar melihat orang lain berusaha sambil berharap pada sisa tulang ikan yang masih ada isi.

Itu bukan tujuan saya, kamu dan kita. Saya, kamu dan kita adalah manusia yang perlu adil pada setiap perkara. Lalu pada kata -termenung- adakaha adil ia dikatakan satu hal gelap perlu disingkir jauh ke jurang Mariana?

Tidak dan tidak. Itu bukan kita dan jujurnya, pada saat ini saya masih termenung untuk mengerti apa itu termenung. Untuk itu, saya mengerti sesuatu berkenaan termenung. Ia umpama rumah yang kosong di tepi sebuah lebuh raya. Pada saat manusia-manusia yang gigih dan penuh daya usaha sudah lelah berjalan dan berusaha, mereka akan singgah dan meluruskan tubuh mereka di dalam rumah kosong itu. Rumah kosong yang memberikan mereka istirahat, rumah yang memberikan mereka waktu rehat.

Itulah termenung, ia umpama rumah rehat ghaib untuk manusia. Duduklah berlama-lama di situ dan tunggu pada saat tenaga dan idea itu kembali mengalir pada hati dan akal kita. Semakin lelah manusia, semakin lama dia berbaring di 'rumah rehat' ghaib.

Itu yang saya mahu beritahu, termenung ini untuk dimengerti dan bos, izinkan saya untuk termenung lagi. haha

Tuesday, June 29, 2010

Sehingga kamu disunting.

Ini lelaki yang sudah kasar tapak tangannya. Berbahu rata dan kepala sudah dicacak-cacak uban. Wajahnya belum ketara garis usia tetapi masih mampu rapi menyimpan rahsia. Ulas bibirnya merah samar, namun masih mampu menolak kata-kata yang nyata kerasnya. Ini adalah lelaki yang biasa.

Ini pula anak gadis kecil yang lentik alis dan bundar bola matanya. Rambutnya lembut ikal dan harumnya menyimbah tenang ke wajah sesiapa. Jari-jarinya halus dan sentuhannya tembus ke hati. Bibirnya penuh merah dengan bicara tidak jelas tetapi menekan-nekan jauh ke belahan jiwa. Wajahnya tidak ada garis usia dan langsung tidak mampu menampung rahsia. Ini, anak gadis kecil yang luar biasa.

Lelaki biasa dan anak gadis kecil yang luar biasa adalah kisah kita. Kisah seorang ayah dengan anak gadis kecilnya. Kisah yang ayah mahu kamu baca pada saat kamu sudah mampu mengerti ertinya dunia. Kisah yang ayah mahu kamu simpan dalam kedut-kedut usia dewasa.

Benarlah ayah ini lelaki biasa, bicara ayah tidak mampu lembut sentiasa. Renungan mata juga tidak mampu selalu bahagia. Ada waktunya, nada suara meninggi ke awan, ada kalanya suara perih menghunjam bumi.

Maafkan ayah, ayah ini lelaki biasa, terkadang lupa bagaimana mahu menampakkan sayang, terkadang lupa bagaimana mahu menggeser kasih. Tidaklah ayah sengaja, jauh sekali mahu begitu. Ketahuilah, pada saat pelupuk mata kamu sudah lelah, ayah akan berada di sisi kamu. Menyela lembut rambut harum kamu dengan jari-jari kasar, dan mencium pipi merah kamu dengan rasa yang penuh kasih. Tidak sesekali ayah lupa berbisik, “Ayah sayang kamu, ayah cintakan kamu.”

Tidaklah ayah sengaja mahu sembunyikan kasih, tidaklah juga ayah menyamarkan sayang. Ayah sekadar mahu kamu tahu, garis hidup perlu ada batasan yang keras, yang mampu menjadi pendinding ubun-ubun kamu yang masih lembut dan hati kamu yang masih halus. Ayah adalah pendinding keras itu, agar kamu tumbuh menjadi gadis yang disayang Tuhan, agar hati kamu tahu batas-batas diri seorang Islam.

Ayah tidak tahu sama ada kamu akan mengingat ayah sebagai lelaki keras yang mendakap kamu penuh sayang. Ayah juga tidak akan tahu, sama ada kamu mengenang ayah sebagai lelaki keras yang pernah menghamburkan bicara kasih untuk kamu tersenyum selalu. Tetapi ayah akan belajar dan mencuba menjadi ayah yang kamu sayang, ayah yang kamu kenang. Doa ayah, ayah mahu kita akan sama-sama menjadi hambaNya yang Dia sayang.

Semoga, kamu akan sentiasa ingat, ayah pernah mendakap kamu pada saat mata bundar kamu itu masih belum lelah. Semoga juga kamu terus ingat, ayah sering memberi nasihat berkata penuh madu dan semoga, kamu masih ingat ayah adalah lelaki yang tidak pernah putus berdoa untuk bahagianya kamu. Yang lebih utama, ayah mahu kamu sentiasa tahu dan sedar, ayah adalah lelaki yang menjadi pendinding kamu yang keras.

Sekiranya kamu bertanya, sampai bila ayah akan menjadi pendinding kamu, ayah hanya mampu berkata dengan bahagia yang perih, “Sehingga ada lelaki yang lebih baik daripada ayah, yang datang dengan sopan dan meminta hati kamu dengan kasih.”


Tuesday, June 22, 2010

Tag

Ini adalah tag daripada Cikpuan Siti Rahmah. Beliau bakal penulis PTS. Sudah lama dia tag namun kerana kesibukkan yang membuatkan saya tiada idea dan tiada semangat, jadi baru hari ini saya menjawab tag ini dengan sebaik mungkin. Ini blog beliau - http://rahmahmokhtaruddin.blogspot.com/

1) adakah anda rasa HOT?
- Ya, apabila kipas rosak ataupun saya sedang berjalan di padang pasir Mojave. Saya tahu saya tidak menjawab soalan tetapi sekiranya saya menjawab soalan pasti saya perlu sertakan entri ini dengan tanda 18 tahun ke atas dan anda pasti tidak mahu itu, bukan? Apa? Anda mahu?

2) Upload wallpaper PC/laptop yang anda gunakan sekarang..?



3) Cerita pasal gambar nih...
- Anak saya yang solehah semasa umur belum setahun. Saya sayang dia dan saya doakan dia tumbuh menjadi puteri yang yang dekat kepada Allah. amin

4) Kali terakhir makan PIZZA...?
- Dua minggu lepas dari tarikh hari ini. Sekiranya anda baca entri ini pada tahun 2018, jangan pula anggap saya makan pizza dua minggu lepas. Entah-entah saya sudah meninggal dunia. Okey, pizza itu adik ipar saya yang beli. Saya tumpang makan.

5) Lagu terakhir anda dengar...?
- Abang Joni. Jiran pasang boleh tahan kuat. Nak buat konsertkah? Saya sampai boleh ternyanyi lagu Abang Joni semasa sedang mandi, semasa menunggang motosikal dan semasa melayari FB.

6) Apa anda buat selain selesaikan tag nih...?
- Tulis novel yang sudah terlajak dateline. Saya sangat takut sekarang.

7) Selain nama sendiri anda dipanggil nama apa...?
- Tuan, Encik, papa, Tuan Penulis, Tuan editor, dan Bekri. Ya, ada orang panggil saya dengan nama ayah saya.

8) Tag lagi 5 orang sape yer nak tag...?
- Bukan tidak mahu tag tetapi saya lebih suka kepada konsep hero. Saya mahu menjadi hero yang menghentikan tag berantai ini. Biarlah saya berkorban. Tag ini bolehlah dikatakan sebagai hajat. Jadi apabila kita menunaikan hajat manusia yang lain, insyaAllah Tuhan akan menunaikan hajat kita. Oleh kerana anggapan saya begitu, saya melihat tag datang bersama tanggungjawab yang besar. Saya yakin tidak semua blogger mampu menerima tanggunjawab yang besar ini dan saya mahu ulang kembali kata-kata saya tadi, biarlah saya yang berkorban.

9) Siapa orang no 1 pada anda..?
- Saya tidak letakkan nombor pada manusia. Kecualilah saya cikgu dan saya terpaksa beri nombor kepada anak murid saya. Namun sekiranya dipaksa juga beri nombor, saya cuma boleh beritahu semua orang adalah nombor satu bagi saya, kerana Allah tidak mencipta ada dua manusia yang sama. Semua manusia berbeza-beza dan semuanya satu.

Okey, saya tidak jawab soalan. Baiklah, saya guna istilah keutamaan. Keutamaan saya sebagai anak, mestilah ibu bapa saya, anak isteri saya, keluarga saya, dan seterusnya rakan-rakan saya yang baik hati. Pembaca-pembaca blog ini dan sesiapa yang menyebut nama saya dengan betul termasuk dalam senarai rakan-rakan saya yang baik hati dan anda termasuk dalam keutamaan saya.

10) Katakan sesuatu pada orang no 5...?
- Antara sebab saya tidak mahu tag orang lagi adalah saya tidak mahu jawab soalan lagi. Saya segan ditanya banyak. hahaha.

11) No 3 ada hubungan dengan sape...?
- Sama seperti nombor 10.

12) Bagaimana pulak dengan no 2....?
- Sama seperti nombor 10.

13) Kata-kata cinta dengan orang no 4...?
- Sama seperti nombor 10.

14) Berikan 5 fakta yang anda tahu pasal orang yang tag anda...?
- Dia anak Mejar.

- Dia bakal penulis bestseller.

- Dia cantik dan jejaka yang beriman di luar sana mungkin boleh segera menonton filem 'Ketika Cinta Bertasbih'.

- Dia suka membaca.

- Dia berpelajaran tinggi.

Friday, May 28, 2010

Bab 3: Zali Lelaki yang Tenang - Sebuah Novel.

Bab 3. Bagi membaca bab 1 dan 2 klik sahaja pada label entri ini.

Sudah diberitahu yang Zali menjadi lelaki yang tenang kerana dibantu kuat oleh rakan-rakannya. Sebenarnya Zali hanya ada dua rakan yang sangat baik dan rakan itulah yang membuatkannya terlihat sebagai lelaki yang tenang.

Salah seorangnya, sudah diceritakan sebelum ini, iaitu Sabri. Manakala seorang lagi, juga adalah rakan yang bertanggungjawab menampakkan Zali sebagai seorang yang tenang selalu. Dia jugalah yang bertanggungjawab mempopularkan Zali sebagai lelaki yang tenang di kampung itu.

Namanya Mohamad Izwa bin Sulaiman Taha. Dalam keluarganya dia dipanggil Wa. Di kalangan rakan-rakan sekolahnya dia dipanggil Taha sempena nama ayahnya. Di kalangan orang kampung dia dipanggil 'Anak Sulaiman'. Sementara tauke Cina di kampung memanggilnya Mohamad. Hanya Zali yang memanggilnya Izwa.

Izwa sama seperti Sabri, menjadi teman Zali dari darjah satu sampai tingkatan tiga. Bezanya, Izwa tidak berhenti sekolah selepas tingkatan tiga tetapi dia berpindah ke sekolah berasrama penuh kerana keputusan PMR yang cemerlang. Selepas itu dia menyambung diploma dalam bidang komputer. Selepas habis diploma, dia menyambung pula sarjana muda dalam bidang yang sama. Dia menjadi penduduk yang paling pandai di kampung itu. Berbeza dengan Sabri juga, Izwa ini sangat terkenal. Malah kanak-kanak di tadika juga menjadikan Izwa sebagai idola. Kata mereka, “Saya mahu jadi seperti 'Anak Sulaiman'.

Izwa terkenal bukan sahaja kerana otaknya yang bergeliga, malah kerana dia mempunyai paras rupa yang elok rupawan. Semuanya diperoleh daripada ibunya, seorang penduduk Indonesia kacukan Belanda dan Aceh. Izwa bertubuh lampai, berambut coklat, berkulit cerah dan paling istimewa, dia punyai mata coklat yang jernih.

Yang paling membuatkan Izwa terkenal, bukan kerana dirinya sahaja, tetapi kerana ayahnya, Sulaiman Taha. Ayahnya adalah pemilik kilang papan dan ayahnya juga adalah orang yang paling awal mempunyai kereta di kampung itu. Yang paling membuatkan Sulaiman Taha terkenal adalah kerana dia punyai tiga isteri dan ibu Izwa adalah isteri bongsu yang dikahwininya di Indonesia. Jadi kerana itulah Izwa dipanggil sebagai 'Anak Sulaiman' oleh orang kampung.

Walaupun sepertinya Izwa itu sempurna, Izwa tetap punyai kelemahannya. Dia masih menjadi penganggur. Sudah jenuh Izwa meminta kerja namun pada saat temuduga, Izwa tidak pernah berjaya. Bukan kerana Izwa pemalu, bukan juga kerana Izwa gemuruh tetapi kerana Izwa sangat jujur. Apa sahaja yang terlintas dalam hatinya dia akan segera menyampaikan tanpa rasa ragu-ragu.

Misalnya semasa dia ditemuduga menjadi pegawai sistem maklumat di sebuah syarikat swasta. Soalannya mudah, cuma bertanya berapa gaji yang dia mahu tetapi Izwa menjawab, “Saya mahu RM500.00 sahaja kerana saya tidak fikir syarikat ini mampu memberikan lebih daripada itu. Komputer pun masih gunakan monitor yang seperti kotak.”

Anehnya Izwa tidak pernah mahu mengaku yang dia terlalu jujur. Dia cuma berkata, “Hidup ini seperti soalan peperiksaan, jadi adakah kita mahu menjawab salah pada soalan itu?”

Mungkin inilah akibatnya hidup terlalu berorientasikan peperiksaan, sehingga pandangan hidup juga menjadi seperti itu. Itulah yang membantu Zali terlihat menjadi lelaki yang tenang, kerana Izwa yang jujur tidak bertempat itu sering menjadi mangsa kemarahan makcik-makcik yang bergincu merah dan berbedak tebal. Izwa sangat jujur memberikan komentar berkenaan hal itu. Katanya, “Gincu dan bedak itu sekiranya didermakan ke Afrika pasti boleh memutihkan 10 lelaki Afrika dan memerahkan bibir 20 wanita Afrka.”

Disinilah peranan Zali. Dia adalah orang yang kembali menaikkan semangat makcik-makcik itu dan mengelakkan Izwa menjadi mangsa serangan mulut. Semuanya dilakukan dengan tenang dan harmoni. Bukan itu sahaja, malah Izwa yang jujur itu sering berkata, “Zali, kerana dia adalah lelaki yang tenang.” Ia bagi menjawab soalan orang kampung, “Siapa lagi yang layak menjadi angkasawan negara?”

Dengan jawapan Izwa, Zali tersohor di seluruh kampung sebagai lelaki yang tenang. Izwa pula tetap seperti dirinya, menjadi lelaki yang sangat jujur sehingga tidak ada konsep menjaga hati. Namun kejujuran Izwa sepertinya tergugat pada saat sebuah keluarga guru datang ke kampung itu. Guru baru dinaikkan pangkat menjadi guru besar dan seterusnya dihantar berkhidmat ke kampung itu.

Bersambung....

Wednesday, May 19, 2010

Bab 2 : Zali Lelaki yang Tenang - sebuah novel

Ini sebuah novel yang berada dalam kategori ringan (Kalau saya boleh gunakan istilah 'novel'). Tidak ada sinopsis dan tidak ada kerangka cerita, dan ia akan mengalir begitu sahaja tanpa saya sendiri tahu apa akhirnya dan bagaimana ceritanya. Saya cuma mahu berseronok-seronok dengan apa yang digelar e-novel. Selamat membaca. :)

Bagi membaca Bab 1 klik sahaja pada label ini - Zali Lelaki Yang Tenang

Bab 2

Ketenangan Zali sebenarnya bukan sahaja didorong oleh dirinya, bukan juga oleh suasana kampungnya dan bukan juga faktor keluarganya sahaja. Antara faktor lain dan juga antara faktor utama Zali dikenali sebagai lelaki yang tenang adalah kerana dia mempunyai teman-teman yang tidak tenang.

Teman-temanlah yang menjadikan Zali sebagai lelaki yang menjadi pusat perhatian. Bayangkan sahaja, pada saat semua teman-teman Zali mengerutkan wajah, Zali masih boleh berwajah kosong dengan mata yang redup. Lalu pada saat itu, apa yang menarik perhatian kita? Pasti wajah Zali yang kosong itu dan sekaligus menjadikan dia lelaki yang tenang.

Siapa teman-teman Zali itu? Kenalkan dulu Sabri, teman sekelas Zali dari darjah satu sampai tingkatan tiga. Selepas tingkatan tiga, Sabri berhenti sekolah dengan alasan, tingkatan empat dan lima tidak menjanjikan apa-apa untuk dia. Dia mendapat semua E dalam subjek yang diambil semasa PMR. Lalu kesemua penduduk kampung yang mengenali Sabri, sepertinya merestui hasrat Sabri dan pada saat orang kampung yang mengenali Sabri melihat Sabri, mereka memberikan pandangan yang seolahnya berkata, 'Kamu adalah penerus generasi yang bekerja dengan Tauke Cina. Selamat berjaya, Sabri'.

Mujur tidak ramai penduduk kampung yang mengenali Sabri. Mungkin hanya 2/5 yang kenal dan selebihnya, lupa-lupa ingat dan perlu diberitahu siapa bapa Sabri, ibunya, datuknya dan sepupu-sepupunya. Selepas itu barulah mereka akan mengangguk-angguk seperti tahu walaupun jelas memek wajahnya mereka masih ragu-ragu.

Mengenali Sabri sebagai rakan Zali, seolah seperti kita mengenali Zainuddin sebagai rakan Micheal Jackson. Semua tahu siapa itu Micheal Jackson, tetapi siapa pula Zainuddin? Dalam kisah ini Sabri adalah Zainuddin yang tidak seorang pun tahu siapa dia, dan Zali pula adalah Micheal Jackson, di mana satu kampung mengenali Zali.

Tidak susah bagi memahami mengapa Sabri itu menjadi Zainuddin sekiranya kita pernah mendapat semua E dalam PMR dan sekarang sedang bekerja sebagai kuli di kedai runcit Tauke Cina. Lalu Sabri lelaki yang tubuhnya rendah tetapi tegap dan berotot-otot sering sembunyi di dalam setor Tauke Cina. Hanya keluar bagi memikul guni tepung gandum, beras, gula dan sesekali baja kelapa sawit.

Antara sebab utama Sabri keluar dari setor juga adalah apabila Zali memanggilnya bagi minum petang di kedai kopi, selang tiga buah kedai dari tempat Sabri bekerja. Pada saat itu Sabri tidak membantah dan segera mengenakan topi berlambang harimau ke kepalanya. Dengarnya, topi berlambang harimau itu pemberian daripada seseorang yang istimewa, namun tidak seorang pun tahu, siapa orang istimewa yang dimaksudkan oleh Sabri. Sekiranya ditanya Sabri hanya menjawab, “Istimewa itu adalah sesuatu yang rahsia. Sekiranya sudah diberitahu ia tidak lagi menjadi istimewa.”

Zali pula walaupun cukup tenang mendengar jawapan Sabri, sesekali geram juga hatinya mahu tahu siapa orang istimewa itu, tetapi mulut Sabri seperti pintu makam firaun, yang tertutup rapat. Namun Zali tetap tenang.

Adapun semasa bersama Zali, Sabri menjadi lelaki yang tidak tenang kerana pada saat Zali berkata-kata, dia antara mahu percaya ataupun tidak. Mahu percaya tetapi kedengaran terlalu hebat, dan mahu tidak percaya pula mana tahu perkara itu memang betul. Yalah, diakan cuma kuli kedai runcit, lalu apa sangatlah pengetahuan yang dia ada. Misalnya semasa Zali bercerita berkenaan motosikal abang sulungnya yang bekerja sebagai askar.

“Motosikal abang aku itu boleh melompat melepasi lori Tauke Ah Yi. Sekiranya ada tanjakkan ia boleh melompat melepasi rumah ketua kampung kita,” kata Zali dengan wajah yang tenang.

Sabri antara mahu percaya ataupun tidak. Bagaimana motosikal boleh melompat melepasi lori Tauke Ah Yi? Sedangkan tinggi lori itu bukan main lagi. Apatah lagi sekiranya ia boleh melepasi pula rumah ketua kampung. Rumah ketua kampung mereka adalah rumah yang paling tinggi di situ. Tinggi tiang rumahnya sahaja sudah dua meter dan lelaki dewasa boleh berlumba lari di bawah rumah tanpa gusar kepala benjol.

Namun pada satu sisi Sabri terpaksa akur berkenaan pengetahuan yang dia ada. Dia cuma kuli yang hidupnya di setor kedai runcit. Mungkin sahaja di luar sana memang ada motosikal yang boleh melompat tinggi. Mana tahu? Jadi kekallah wajah Sabri berkerut dan ia sangat membantu menonjolkan Zali sebagai lelaki yang tenang.

Sikap Sabri yang waswas dan ragu-ragu itu akhirnya semakin menjadi-jadi pada saat kedatangan sebuah keluarga guru ke kampung itu. Guru yang baharu dinaikkan pangkat menjadi guru besar, guru yang menjadikan Sabri semakin terlihat tidak tenang.


Bersambung....


Wednesday, May 12, 2010

Zali Lelaki yang Tenang - sebuah novel.

Ini sebuah novel yang berada dalam kategori ringan (Kalau saya boleh gunakan istilah 'novel'). Tidak ada sinopsis dan tidak ada kerangka cerita, dan ia akan mengalir begitu sahaja tanpa saya sendiri tahu apa akhirnya dan bagaimana ceritanya. Saya cuma mahu berseronok-seronok dengan apa yang digelar e-novel. Selamat membaca. :)

Bab 1

Dia lelaki yang tenang. Sekiranya dia sedang menghirup sup, dan ada manusia yang tiba-tiba menegurnya, dia akan menghabiskan dulu hirupan supnya, sebelum berpaling tersenyum kepada manusia itu. Sekiranya juga pada suatu tengah hari terik, dia terbangun dan melihat jam dia sudah terlewat ke tempat kerja, dia hanya menggeliat sebelum bangun dan menyiapkan diri dengan hanya membasuh muka. Tidak ada langsung gelisah pada wajahnya kerana dia lelaki tenang.

Namanya Zali bin Mahyuddin. Entah daripada mana ayahnya mendapat ilham bagi menamakannya Zali masih menjadi topik petang yang hangat di kedai kopi. Kata seorang lelaki tua yang sering disalah anggap sebagai ketua kampung, Mahyuddin sebenarnya mahu menamakan Zali itu Jali, namun tersilap tulis di atas borang. Kata seorang lagi lelaki tua, yang sering disalah anggap sebagai orang kaya, Mahyuddin mendapatkan ilham menamakan Zali daripada filem P.Ramlee, anakku Sazali, namun kerana khuatir anaknya nanti menjadi derhaka, dipendekkan sahaja menjadi Zali.

Itu kata orang kampung di kedai kopi. Namun yang sebenarnya tidak ada seorang pun yang benar-benar pasti mengapa Mahyuddin menamakan anaknya Zali. Malah sekiranya ditanyakan kepada Mahyuddin, Mahyuddin hanya mampu menggaru-garu kepala, tersenyum dan berkata, “Wallahuaklam.”

Zali sebagai lelaki tenang, yang sering menjadi perdebatan namanya di kedai kopi, sering juga singgah ke kedai kopi. Berlagak seperti lulusan universiti yang menganggur, sedangkan satu kampung tahu, dia cuma belajar sampai ke tingkatan enam, sebelum bekerja menjadi kerani di pejabat daerah. Namun sering juga anak-anak gadis selang beberapa buah kampung tertipu dengan gayanya. Semuanya kerana dia sangat tenang pada saat berbahas berkenaan pengangguran di kedai kopi. Mengapa ada ramai penganggur dan bagaimana mahu mengurangkannya. Zali mampu berbahas dengan baik berkenaan perkara itu dan lebih utama, dia cukup tenang menyentuh hal itu.

Hidup Zali juga tenang kerana keadaan kampungnya yang tenang. Kampungnya yang baru 15 tahun ada jalan raya, 10 tahun ada elektrik dan lima tahun lepas baru ada paip air, sangat kurang jumlah penduduk mudanya. Jadi jalan raya sangat tenang tanpa bunyi motosikal anak muda dan makcik-makcik boleh berlenggang dengan gelang emas sebesar ibu jari dilengan tanpa khuatir yang namanya peragut.

Lebih menenangkan hidup Zali, dia adalah anak bongsu daripada lima adik beradik. Abang sulungnya bekerja sebagai askar, kakak nombor duanya menjadi cikgu, abang nombor tiganya menjadi pegawai tadbir dan abang nombor empatnya menjadi doktor. Dia pula anak bongsu yang masih tinggal dengan ibu bapa tanpa perlu resah memikirkan duit sewa, duit makan dan segala perkara yang sedang difikirkan oleh lelaki bujang di Kuala Lumpur sekarang.

Setenang-tenang lelaki bernama Zali, ada juga kekecualiannya. Dia sangat tidak tenang pada saat melihat wajah ibunya. Sekiranya ibunya berwajah kosong, Zali segera bertanya mengapa? Sekiranya ibunya berwajah tenang, Zali akan bertanya mengapa. Sekiranya ibunya berwajah mendung, lagilah Zali segera bertanya mengapa.

Itu kerja Zali, hanya bertanya kepada ibunya. Ibunya pula seperti mana ibu-ibu yang lainnya di dunia, tidak pernah mampu berahsia kepada anaknya. Sekiranya pada hari itu dia berwajah geram kerana kucing melarikan ikan terubuk yang mahu dipanggang, dia akan menceritakannya kepada Zali. Sekiranya dia hari itu dia tersenyum kerana terpakai berus gigi Zali, juga dia beritahu kepada Zali.

Sehinggalah pada satu hari hidup Zali tidak akan lagi tenang. Semuanya kerana kehadiran sebuah keluarga di kampung itu. Keluarga seorang guru yang baru dinaikkan pangkat menjadi menjadi guru besar, dan sekolah rendah di kampung Zali menjadi tempatnya berkhidmat. Sejak kehadiran keluarga itu hidup Zali mula menjadi tidak tenang.


Bersambung.