Katakan sahaja begini, saya dan kamu bertemu di satu titik, dan saya suka menggelarnya sebagai titik harmoni. Mungkin titik harmoni itu adalah tempat kerja yang sama di dalam sebuah pejabat. Kita duduk bersebelahan dan punyai tugas yang serupa. Kita berkongsi cerita dan keluh-kesah. Namun adakah kita berkongsi cita-cita hanya kerana kita mencari rezeki di atas bumbung yang sama? Mungkin ya, dan mungkin juga persamaan kita hanya sampai di situ.
Lalu apabila ada yang bertanya, mengapa kita tidak mampu berkongsi cita-cita yang sama? Ini kerana kita adalah dua manusia yang sangat berbeza. Ia berbeza pada hari pertama kita melangkah ke tempat kerja itu sendiri.
Untuk kamu, kamu adalah manusia yang paling beruntung di dunia. Usai pengajian terus mendapat tawaran pekerjaan dan itu adalah kerja pertama kamu. Kamu mungkin tidak bercita-cita mahu menjadikan kerja pertama kamu itu sebagai sesuatu yang kekal dan kamu hanya mahu mencari pengalaman. Ini kerana kamu masih kuat dan segar.
Untuk saya pula, mungkin ini bukan kerja pertama saya. Sudah seluruh ceruk bumi saya merantau, mencari kerja yang serasi dengan jiwa dan bekerja dengan pelbagai jenis manusia. Akhirnya saya menemui suatu pekerjaan baru dan di tempat kerja itulah, titik kita bertemu. Pekerjaan baru itu pula adalah kerja yang paling saya suka, dan saya mahu mengakhiri riwayat kerja saya di situ kerana saya sudah lemah dan lelah.
Akhirnya dua perkara berbeza bertemu di titik itu. Kamu seorang yang masih segar dan muda, dan saya seorang yang tua dan lelah. Itulah titik yang saya gelar sebagai titik harmoni. Titik yang perlu dijaga dengan baik kerana dalam titik harmoni itu ada ruang dan peluang untuk perkara yang digelar - silaturahim.
Kamu juga pasti tahu betapa besarnya erti silaturahim itu dalam Islam. Sehingga ada ayat al Quran dan hadis-hadis Nabi yang menyentuh perkara itu. Antaranya, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim.”
Jadi, adakah silaturahim itu masih terlihat kecil untuk saya?
Lalu bagaimana saya mahu menjaga titik harmoni itu bagi memanfaatkan ruang dan peluang itu? Adakah saya perlu memahami hidup kamu sepenuhnya ataupun ada cara yang lain? Tetapi pada saat itu juga saya tersedar, saya tidak mungkin memahami hidup kamu dalam hanya 30 minit ataupun satu jam, lima jam dan malah sebulan kerana kamu sendiri sudah hidup lebih 20 tahun. Hidup selama itu sudah menjadikan kamu manusia yang serba kompleks.
Sekiranya saya ada ilmu membaca bahasa tubuh yang tinggi sekalipun, ataupun saya mampu membaca hati kamu, tetap saya tidak akan mampu memahami kamu. Melainkan sahaja kamu punyai rakaman hidup selama lebih 20 tahun dan saya menontonnya pula untuk lebih 20 tahun tanpa henti. Kamu pun pasti mengerti, ia tidak masuk akal.
Akhirnya semuanya berbalik kepada perkara yang saya punyai dalam diri saya. Saya perlu memahami perkara itu, iaitu saya punyai cara pandang yang berbeza terhadap dunia. Apabila saya memahami diri saya yang punyai cara pandang yang berbeza, ia sudah cukup untuk saya tahu dan yakin yang kamu juga pasti punyai cara pandang hidup yang berbeza daripada saya. Tanpa sedar saya sebenarnya sudah mewujudkan rasa hormat kepada kamu. Bagaimana mungkin?
Pada asalnya tidak ada cara pandang yang salah bagi kita memandang hidup kita. Saya punyai alasan dan kamu juga punyai sebabnya. Asalkan sahaja semuanya masih tidak melanggar garis dosa dan merosakkan akidah. Cuma sahaja, ia menjadi salah pada saat saya mengatakan cara pandang kamu itu salah dan hanya cara saya yang betul.
Sepertinya saya memaksa kamu tetap sahaja bekerja di sini. Di sini kerjanya bagus, gajinya tinggi dan segala macam perkara yang bagus-bagus berkenaan bekerja di situ. Sedangkan kamu pula mahu keluar merebut peluang lain yang tersedia di luar.
Begitu juga pada ketika kamu memandang saya, dalam diam dan mungkin tanpa sedar kamu berkata, saya ini tidak punyai wawasan dan tidak punyai cita-cita tinggi kerana mahu terus bekerja di tempat ini. Lalu pada saat kita saling menyalahkan, titik harmoni tempat kita bertemu tadi tidak akan lagi wujud dan tidak akan ada lagi ruang dan peluang untuk silaturahim.
Itu yang saya cuba ingati dan cuba saya fahami pada saat saya bertemu dengan kamu dan sesiapa sahaja orang baru. Mungkin sahaja kita akan bertemu di perhentian bas, di majlis kenduri, di stadium, di Facebook, di Blog, di hati, dan segala macam tempat dan ketika. Itulah adalah titik harmoni dalam hidup dan selagi mana saya cuba menghormati cara kamu yang tidak mendatangkan dosa dalam memandang hidup ini, titik harmoni itu akan tetap ada di situ dan wujud sebagai manfaat untuk kita, kerana titik harmoni itulah ruang silaturahim untuk saya dan kamu.
Doakan sahaja, saya dan kamu tetap mampu menjaga titik-titik harmoni itu. Paling utama untuk diri saya sendiri, semoga saya tetap ingat akan perkara ini. Semoga.
No comments:
Post a Comment