Tuesday, January 04, 2011

Sebaik-baik manusia (Siri cerpen yang tidak sempurna)

Tahun baru

Adapun berkenaan tahun baru, sudah sering benar orang bertanya kepada saya, apa azam saya? Ya, saya ini adalah seorang yang sentiasa berazam kerana saya sangat takut pada kata yang bernama janji. Untuk saya, 'azam' itu adalah ganti kepada 'janji'. Mengapa saya begitu? Semuanya kerana saya percaya, janji itu pasti akan dituntut. Sekiranya tidak di dunia, pasti di akhirat sana saya akan dicari.

Akhirnya apabila tiba tanggal 31 Disember, manusia-manusia mula menjadi baik, bertanya apa azam saya? Tersenyum saya kerana saya juga pernah menjadi manusia-manusia yang baik itu, suka bertanya berkenaan azam dan daripada situlah sebenarnya kisah ini bermula.

Azam

Namanya, biarlah saya rahsiakan. Jantinanya, dia lelaki yang berusia awal 40-an. Bertubuh tegap dengan dagu yang sentiasa tegak apabila berjalan. Kulitnya sudah hangus dibakar matahari kerana dia seorang tukang membuat rumah yang handal lagi terpercaya. Rambutnya pula kasar-kasar dan saya tidak berani bertanya bila kali terakhir dia bersyampu.

Hari itu pula adalah 31 Disember. Hari itu saya bertemu dia di rumah teman saya yang sedang diperbesarkan ruangan dapurnya dan dia adalah tukangnya. Pada ketika itu dia sedang meneliti mata gerudi tangannya. Entah apalah maksud dia memerhati, tidak pula saya bertanya. Pada waktu itu saya lebih bersemangat mahu bertanya, apa azam tahun baru dia.

Pada saat saya bertanya, dia kembali bertanya soalan yang serupa kepada saya. Apa azam tahun baru saya?

Senyum saya lebar, selebarnya mata bayi yang dikejutkan ibunya. Saya sudah siap-siapkan jawapannya dan berkata saya kepada dia, saya mahu menjadi pelajar yang cemerlang. Saya berazam tidak mahu ponteng kuliah, mahu menyiapkan tugasan dengan markah penuh dan banyak lagilah berkenaan pelajaran. Maklumlah waktu itu saya masih lagi bergelar mahasiswa. Kemudiannya saya memandangnya, menuntut jawapannya pula.

Lelaki itu juga tersenyum dan dia sangat mengerti maksud pandangan saya dan segera menjawab soalan saya yang mula-mula. Katanya, “Pada 1 Januari, azam saya tetap sama seperti hari ini, tetap sama seperti hari-hari sebelumnya. Saya berazam mahu memperelok akhlak saya.”

Diam juga saya pada saat dia berkata begitu. Memperelok akhlak? Waktu itu definisi 'akhlak' untuk saya ialah 'tidak membuang sampah merata-rata' dan 'tidak membuat bising di dalam kelas'. Lalu hanya itu sahaja azam tahun barunya? Apa dia sudah tidak teruja untuk hidup?

Pada saat pelbagai soalan bermunculan dalam kepala, lelaki itu kembali berkata, “Kita memasang azam mengikut keutamaan, mengikut apa yang paling penting dalam hidup. Dan oleh kerana agama saya adalah Islam, maka keutamaan saya yang paling utama adalah Islam itu sendiri. Atas sebab itulah saya memasang azam bagi memperbaiki akhlak saya kerana ia dituntut oleh Islam.”

Wajah saya pada ketika itu semakin bersimpang siur garis-garisnya. Ia sudah menghampiri pada corak abstrak lukisan Picasso.

Lelaki yang sudah banyak pengalaman hidupnya itu sangat tahu lukis emosi pada wajah saya. Lukisan wajah manusia yang terhairan-hairan. Dia sebagai lelaki yang baik tidak mahu melihat saya terus begitu dan akhirnya dia berkata dengan kata-kata yang sangat baik.

“Akhlak itu bukan perkara kecil. Akhlak ialah sifat yang ada di dalam diri yang dapat melahirkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa perlu berfikir, meneliti ataupun paksaan. Sabda Rasulullah SAW, 'Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.”

Terdiam saya pada waktu itu. Ternyata lelaki tukang rumah di hadapan saya ini adalah seorang yang tahu hadis. Lelaki itu tidak berhenti di situ dan terus sahaja dia menyambung.

“Adakah kamu fikir Nabi Muhammad SAW diutuskan bagi menyampaikan sesuatu yang hanya terhad pada zamannya? Pastinya tidak dan itulah ciri-ciri akhlak yang disampaikan oleh Nabi junjungan kita. Ia bersifat sempurna, mutlak dan tetap. Ia jauh lebih tinggi daripada moral dan etika yang bersifat sementara, relatif dan subjektif.

"Menurut Imam Ghazali, akhlak yang baik itu terdiri daripada empat perkara, iaitu, bijaksana, memelihara diri daripada sesuatu yang tidak baik, keberanian dalam menundukkan hawa nafsu dan adil.

“Lihat betapa 'luasnya' akhlak itu. Ini belum lagi kita bercerita berkenaan akhlak kepada manusia dan akhlak kepada Allah. Daripada situ sahaja, sekiranya kamu mahu berfikir kamu dapat melihat betapa besarnya tuntutan memperelokkan akhlak itu. Sehingga Rasulullah SAW bersabda. “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

“Itulah akhlak dan sekiranya sahaja perkara berkenaan akhlak itu kita sentiasa berazam menjaga dan mempereloknya, insya-Allah apa sahaja yang mahu kita perbuat akan menjadi yang baik-baik. Insya-Allah.”

Waktu itu saya sedar berkenaan sesuatu tentang diri saya. Saya terlupa berkenaan perkara yang bermaksud 'keutamaan'. Ya, saya sebagai orang Islam, perlu melihat diri saya sebagai orang Islam dan mengutamakan kehendak Islam. Selepas itu automatik dan semulajadi, saya akan mengutamakan diri saya sebagai seorang anak, seorang pelajar, seorang pekerja, dan apa sahaja.

Semua itu bermula daripada soalan, bagaimana caranya saya mahu memperindahkan akhlak saya?

1 comment:

rahmah said...

Terima kasih untuk entri hebat ini. Peringatan yang sangat baik!