Tuesday, July 29, 2008
Tuhan mahu saya berehat
Maaf, untuk sementara ini hati dan jiwa saya lumpuh. Letih barangkali, ataupun Tuhan mahu saya berehat barang sebentar.
:-)
Tuesday, July 22, 2008
catatan cinta daripada Tuhan

Untuk manusia yang seperti saya, yang adakalanya berada dalam keadaan lupa pada namanya cubaan Tuhan lalu terlintas dalam hati menyoal mengapa, saya mahu berkongsi sesuatu. Ia saya peroleh daripada rakan saya yang pandai bercerita. Mungkin kerana minat membacanya terlalu tinggi sehingga apa yang dibacanya itu diterjemah dalam kuras-kuras bahasa yang indah dan menyenangkan.
Kata teman saya ini, hidup kita umpama sekeping kertas putih. Apa sahaja yang tertulis di atasnya adalah catatan daripada Tuhan, walau hanya setitik noktah hitam. Lalu dia dengan wajah yang tersenyum, berpesan kepada saya, supaya hati-hati semasa membaca catatan daripada Tuhan kerana, semua catatan itu adalah catatan cinta daripada-Nya.
Lalu, apa pun yang berlaku di atas kertas putih, biar betapa berkecamuknya contengan di atas kertas putih itu, biar betapa comotnya catatan itu, tetapi tetap baca ia sebagai catatan cinta. Baca ia dengan hati yang terbuka dan jangan menyalah tafsirkan maknanya sehingga catatan itu menjadi catatan benci, yang akhirnya kita tanpa sedar bersoal kepada Tuhan, mengapa?
Untuk teman saya yang suka membaca buku itu, teruskan membaca dan kongsikan lebih banyak dengan saya kerana ungkapan-ungkapan seperti ini, lebih mudah saya terima dan fahami. Bertambah mudah kerana catatan di atas kertas hidup saya tertulis perkataan ELISHA. Syukur alhamdulillah, begitu indah catatan cinta-Mu. Alhamdulillah.
Tuesday, July 15, 2008
lelaki yang tidak dipercayai
“Kamu tahu pertama kali aku pergi temu duga, aku ditanya berkenaan apa yang aku boleh lakukan untuk syarikat itu dan aku beritahu tetapi aku dituduh menipu,” katanya perlahan.
Aku teruskan berjalan di bawah matahari sambil tersenyum mendengar ceritanya tanpa niat mahu komentar.
“Semasa aku ketemu seorang perempuan yang aku simpan rinduku kepadanya, aku ditanya apa betul aku sungguh mencintainya, aku berlaku jujur dengan mengatakan ya. Tetapi sekali lagi aku dituduh penipu,” sambung lelaki yang tidak dipercayai itu.
Aku teruskan berjalan. Keringat pada dahi terus aku sapu.
“Aku juga pernah bertemu dengan seorang yang mengaku pakar membaca bahasa tubuh dan saat pertama kali bertemu aku terus mengatakan aku ini penipu. Malah jarinya dituding terus pada muka aku sambil bercakap-cakap berkenaan fakta yang dia pelajari berkenaan bahasa tubuh,” lanjut lelaki yang tidak dipercayai itu lagi sambil kakinya terus cepat melangkah. Aduh aku pula yang terpaksa berjalan laju bagi menyainginya.
“Jadi, kamu mengaku yang kamu memang lelaki penipu dan tidak dipercaya?” tanya aku buat pertama kali selepas berjaya kembali menyainginya.
“Tidak. Apa sahaja yang keluar daripada mulut aku, itu adalah betul. Masalahnya manusia lebih suka membaca bahasa tubuh pada setiap orang yang mereka ketemu. Tetapi bukan semua mansuia itu boleh dibaca bahasa tubuhnya. Jadi kadang kala perlu juga bertanya dan bersangka baik,” jawab lelaki yang tidak dipercayai itu.
“Maksud kamu?” Aku mula mengerut dahi.
“Aku manusia normal namun aku punyai austime. Lalu apabila aku bercakap aku tidak mampu memandang tepat pada wajah seseorang. Aku tidak mampu bertentang mata dengan mereka. Padahal dalam bahasa tubuh, tidak memandang wajah dan mata semasa bercakap itu bermaksud penipu. Tetapi aku bukan itu. Aku penghidap autisme yang sudah sembuh walau belum sepenuhnya, tetapi aku masih boleh berlaku normal pada sekian-sekian keadaan tetapi tidak bagi memandang wajah dan bertentang mata,” terang lelaki yang tidak dipercayai itu. Lirih.
Aku tidak lagi tersenyum tetapi langkah saya terus melaju bersama lajunya langkah lelaki yang tidak dipercayai itu. Dalam hati hanya ada satu perkataan, austime, dan aku perlu cari apa betul kata-kata lelaki yang tidak dipercayai ini berkenaan dirinya ataupun memang dia lelaki yang tidak boleh dipercayai.
http://en.wikipedia.org/wiki/Autism
Wednesday, July 09, 2008
puisi untuk Elisha
pilih aku, jangan dia
selubungi aku, jangan dia
gelapkan aku, jangan dia
malam
ku pohon,
jangan dia
Monday, July 07, 2008
MASKARA 9 - cerita tentang diri sendiri :-)
.jpg)
Gambar: Ehsan ajamihashim.blogspot.com (Sebetulnya, saya ambil terus :-)
Kawan, mengapa saya mahu bercerita tentang ini? Kerana sejak terakhir kali membaca puisi 'Ke Makam Bonda' semasa darjah lima di hadapan kelas, malam Sabtu lepas saya kembali membaca puisi di hadapan khalayak. Enam belas tahun selang masanya. Kawan, lama yang bukan main,.
Kawan, kamu tahu rasanya bagaimana? Rasanya seperti lelaki belum bersunat yang baru tahu menggunakan mesin fotostat. Rasanya cukup sensasi lalu kembali ke rumah bercerita kemahiran terbarunya, juga bersama dengan beberapa keping Mykad sendiri yang sudah difotostat.
Kawan, ceritanya bermula begini....
Dalam hidup, pada setiap saat kita berdoa bagi diberi peluang bagi berjaya, kerana sehebat mana pun kita tetapi sekiranya tiada peluang, maka kehebatan itu tetap umpama emas yang terbenam di mana-mana, mungkin ia di bawah tapak kaki kita.
Namun, terkadang kita terlupa, sekadar memberi peluang bagi manusia bagi berjaya sebenarnya tidak adil. Perlu juga diberi peluang bagi gagal. Itu yang saya pohon, beri saya peluang berjaya dan gagal yang sama rata, kerana untuk manusia biasa-biasa seperti saya, peluang bagi berjaya itu juga biasa-biasa, dan itu yang saya peroleh malam Sabtu lalu di MASKARA, peluang bagi gagal.
Lalu dengan falsafah, 'Save the best for last', dan seumpama permainan catur, saya menjadi bidak yang memulakan persembahan. Kawan, saya kan lawan bagi maksud 'the best' bagi falsafah itu. Terima kasih Mat Jan kerana sedaya upaya mempromosi saya walaupun sukar mencari titik-titik bengitnya. Maaf Mat Jan buat tugas kamu sukar. :-)
Kawan, apa rasanya menjadi kumbang yang terpaksa berjalan di sarang labah-labah? Itu yang saya rasa pada malam MASKARA, dengan berbekalkan darah gemuruh dan rasa panik, saya tetap berdiri di hadapan khalayak, lalu ia menjadi sejarah buat saya. Kawan, saya menjadi kumbang yang mati dimakan labah-labah, tetapi tanpa disuntik bisa, saya mati dengan aman, dan buat pertama kalinya saya boleh pulang dan tidur tanpa rasa kesal. Seperti tidur pengantin pada malam pertamanya.
Kawan, antara bebanan berada di hadapan, bukannya beban pada diri sendiri, tetapi beban utamanya adalah kepada kawan-kawan yang menjadi penonton. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu kamu merasa malu dengan saya. Aduhai. Biar kamu tidak bangga, tetapi jangan kerana saya, kamu rasa malu. Itu yang saya peroleh. Saya tetap memalukan diri di hadapan khalayak dengan aksi yang selayaknya bagi bidak catur, tetapi kawan, kamu adalah kawan-kawan yang memberi peluang yang adil kepada saya, peluang bagi berjaya dan gagal. Di situ adalah puncak nikmatnya MASKARA untuk saya, bebas untuk jujur.
Kawan, terima kasih :-)
Puisi yang dibaca pada malam MASKARA - Kemaskini
(Puisi ini adalah respon bagi slogan 'ubah gaya hidup')
Terjemahan Bugis? Maaf, saya malas hendak menulis, :-)
Ayah,
langit kita kita pernah hijau,
kita duduk bersama di suatu ruang,
membiar hawa sejuk mengulit tubuh,
tetapi kita tetap gembira menikmati dunia,
kata ayah, kereta buruk minyaknya jimat,
Ayah,
langit kita pernah merah,
kita duduk bersama dipelana sempit,
membiar angin menolak dada,
tetapi kita tetap gembira mencari dunia,
kata ayah, motor buruk minyaknya murah,
Ayah,
langit kita pernah hitam,
kita duduk bersama di suatu ruang,
membiar angin membasuh wajah,
tetapi kita gembira melihat dunia,
kata ayah, bas buruk tambangnya murah
Ayah,
langit kita kini sudah tiada warna,
kita sudah tidak duduk bersama,
kita juga sudah tidak gembira menjulang dunia,
kata ayah, kita jalan kaki saja,
minyak hitam, merah dan hijau sudah naik harganya.
.
Tuesday, July 01, 2008
Cintanya seperti bintang
Kadir banyak kisah cintanya. Kisah cinta Kadir itu rahsia tetapi untuk saya dia suka bercerita. Mungkin kerana apabila dia bercerita, teh tarik dan nasi lemaknya jadi percuma. Saya yang akan mengongkosi belanjanya. Walaupun begitu, kisah cinta Kadir tetap membuat saya mengerut dahi.
Terbaru, katanya dia pernah bercinta dengan anak Fateh Terim, jurulatih bola sepak negara Turki. Sambil mengosok-gosok batang hidung dia mengangguk perlahan memandang bungkusan nasi lemak di atas meja. Sesekali matanya di selang seli melirik ke arah saya, saya diam. Perlahan-lahan tangannya mengambil nasi lemak itu lalu matanya kembali memandang saya.
“Saya makan dulu ya. Saya tak bawa wang,” kata Kadir tersenyum menampakkan giginya.
Saya mengangguk perlahan lalu tangan di atas meja saya turunkan ke bawah.
“Anak Fateh Terim cantik, matanya bulat berwarna coklat,” kata Kadir lalu menyuap sudu pertama.
Saya hanya diam mendengar. Tangan sudah saya masukkan ke dalam poket kanan.
“Suatu hari kami berdua berada di stadium, melihat ayahnya sedang melatih pasukan bola sepak Turki. Bagi persediaan UERO 2008. Dia memandang saya lalu bertanya apa saya nampak bintang di langit sana dan saya pun mendongak.”
Habis berkata, Kadir berhenti sebentar dan memasukkan lagi lima sudu nasi lemak ke dalam perut.
“Saya berkata tidak dan dia tersenyum. Katanya, begitu juga cintanya kepada saya. Ia ada tetapi tidak nampak seperti bintang di langit. Cuma apabila waktu malam dan malam tertentu sahaja ia akan terlihat,” kata Kadir lalu tersenyum. Dia kemudian kembali mengunyah nasi lemaknya.
“Anak Fetih Terim kemudian menyambung, kerana cintanya kepada saya itu seperti bintang, lalu , hatinya kepada saya umpama siang hari yang tidak akan pernah malam. Saya tidak akan nampak cintanya dan tidak akan peroleh manisnya. Saya hanya datang dalam hatinya pada saat hatinya gelap dan malam. Jadi untuk itu, dia harap saya akan faham. Cintanya tidak untuk saya. Usai dia berkata begitu saya bungkam,” terang Kadir lagi.
Saya mengaru kening, mengerut dahi. Tangan kanan di dalam poket saya genggam, saya keluarkan lalu memasukkan ke dalam poket kiri. Dia diam tetapi suapan nasi lemaknya tetap deras.
“Siapa nama anak Fetih Terim?” tanya saya kemudian lalu menarik nafas panjang.
“Hamit Altintop,” katanya perlahan.
Saya mengerut dahi. Setahu saya, Hamit Altintop itu lelaki, pemain tengah bola sepak Turki lalu bagaimana dia bisa...? Argh. Tangan yang diseluk di kocek kiri saya segera keluarkan.
“Kamu tidak usah khuatir. Saya tetap tabah dan tidak tergugah dengan peristiwa itu. Jadi cuba tersenyum untuk saya dan usah dikerutkan dahi. Jangan risaukan cerita cinta saya.”
“Kadir..,” kata saya perlahan.
“Tak perlu bersedih dengan cerita cinta saya. Saya sendiri sudah melupakannya,” kata Kadir lalu menghabiskan sisa-sisa nasi lemaknya itu.
“Sebenarnya, saya terlupa membawa duit. Itu sahaja dan Hamit Altintop itu lelaki dan saya percaya kamu bukan Saiful Bahri.”
Kadir tersedak.
Friday, June 27, 2008
Geng kicap itu indah
Saya masih ingat dengan jelas perasaan itu, semasa ayah membisikan minggu hadapan kami akan ke bandar. Saya melompat setinggi bahu ayah, sambil tersenyum lebar. Lalu segala kelengkapan akan segera disediakan bonda. Mulai dari baju saya yang ada gambar Dark Vader, baju saya yang terbaik sehingga pada seluar saya yang kakinya besar, juga seluar yang terbaik mengikut ukuran ayah. Saya betul-betul teruja kerana tahu akan berjumpa sesuatu yang baru di sana. Malamnya sebelum pergi, saya akan diserang insomnia, parah.
Itu cerita lebih 20 tahun dahulu. Namun semalam, saya merasai lagi perasaan yang sama. Apabila Geng Kicap mengatakan mereka akan hadir. Saya jadi tidak menentu. Saya memilih baju terbaik saya dari koleksi baju yang kurang, juga seluar terbaik saya yang juga daripada koleksi seluar yang kurang. Malamnya saya diserang insomnia.
Bezanya, 20 tahun lalu saya hanya ke bandar tetapi hari ini, saya tidak perlu ke mana-mana kerana ada yang mahu berjumpa. Mulanya, hati ragu-ragu, apa perlu berjumpa saya? Saya kan bukan apa-apa. Namun, mungkin itu yang membuatkan saya menghirup kembali rasa 20 tahun lalu, berjumpa sesuatu yang baru. Tetapi, apabila nama saya dipanggil di balik pintu, saya beku. Otak saya menjengah ke ruang kosong, terkejut. Baru saya sedar satu perkara berkenaan diri saya, saya bukan manusia yang fasih berbicara dengan bahasa yang ditutur, hanya fasih dengan bahasa yang ditulis.
Pada muka pintu mereka berdiri, bertiga, manis, tersenyum dan saya terus dapat mengagak mereka adalah Geng Kicap walaupun mereka tidak membawa kicap. Ya, siapa lagi yang mahu berjumpa saya selain mereka. Otak saya yang sudah sedia kosong bertambah kosong. Lalu hati bertanya, mahu diapakan mereka?
Selepas menarik nafas pendek, dan menjemput mereka duduk, saya tetap kosong. Tidak tahu apa yang mahu diperbuat dan yang saya tahu hanya rasa gembira dan khuatir. Gembira kerana mereka datang dan khuatir kerana saya ini anak kampung. Anak kampung yang terbiasa hidup dengan nuansa hijau pucuk pisang yang menenangkan tetapi tidak dengan kejutan. Ini betul-betul kejutan dan kepala saya betul-betul kosong.
Lalu dengan kepala kosong, saya tidak sedar siapa yang memulakan bicara, tahu-tahu sahaja saya sedang memegang buku yang perlu ditandatangani. Sekali lagi saya kosong. Tidak tahu apa yang mahu dituliskan pada buku. Saya kan anak kampung. Hati saya berdoa, 'Ya, Allah, kurniakan setitis idea bagi dituliskan di atas tandatangan'. Namun tetap juga kosong. Lalu, dengan kepala kosong, saya menuliskan kata-kata yang entah dari mana, yang pasti ia dari hati yang kosong.
Usai memberi tandatangan, baru saya tersedar, saya terlupa membaca bismillah. Mungkin sebab itu idea tidak kunjung hadir. Tetapi selepas membaca bismillah, tetap saya tidak tahu apa yang perlu diperbuat kepada tetamu istimewa ini. Mahu, diberi minum, tidak ada dapur. Mahu diajak berbual, saya malu dan kepala sedang kosong, terkejut. Lalu saya bawa mereka berjalan-jalan walau saya tahu mereka datang bukan untuk berjalan-jalan di sekitar pejabat. Hadiahkan mereka buku biar saya tahu mereka datang bukan untuk itu. Tetapi, maafkan saya, saya kan anak kampung yang terkejut.
Letih berjalan dari tingkat dua ke tingkat tiga dan kembali ke tingkat dua, saya bawa mereka kembali duduk. Bawa mereka berbual-bual, tetapi aduhai, pada saat sekarang pun saya tidak tahu apa yang saya bualkan. Harap-harap tidak ada berkenaan yang memalukan.
Namun saat mereka sudah hilang daripada pandangan dan selepas saya beransur-ansur tenang, saya cuba membaca perasaan sendiri, saya tersenyum. Di balik rasa gembira, khuatir dan kosong itu ada satu lagi perasaan yang mendasar di hati, terharu. Ya, saya kan anak kampung yang terkejut. Apalagi perasaan yang hadir selain itu.
Maaf, atas segala kekurangan tadi. Walau saya sudah memakai pakaian terbaik saya, saya tetap tidak mampu memberi yang terbaik. Aduhai, bersalahnya hati. Hanya ucapan terima kasih untuk mereka bertiga (Maaf tidak disebutkan nama, kerana tidak pasti mereka mahu privacy ataupun bagaimana :-P) daripada Geng Kicap yang berbaik hati hadir dan cukup mengagumkan semangatnya. Terima kasih kerana memberikan saya rasa 20 tahun dahulu. Betul, nostalgia itu bukan apa-apa tetapi saya kan anak kampung, untuk anak kampung, nostalgia adalah segala.
Terima kasih. :-)
Wednesday, June 25, 2008
bukan manusia bersayap
Lalu kepada Tuhan, saya berbicara dengan ayat yang saya pilih bahasanya, saya pilih susunan kalimatnya. Saya yakin satu perkara, rezeki itu ada di mana-mana. Mungkin ada bergantungan di langit. Cuma, saya perlu terbang ke langit bagi mengapai rezeki itu.
Di situ masalah saya kerana saya bukan manusia bersayap. Saya manusia yang serba kurangnya. Namun saya tetap yakin, untuk manusia yang serba kurangnya seperti saya ini, rezeki saya, Tuhan tetap sediakan. Cuma jangan putus sabarnya, terus sahaja mencari sampai mati. Mungkin tidak bersayap, tetapi Tuhan sudah memasakkan gunung-gunung yang mencecah awan untuk saya daki, biar sahaja ia berliku. Semoga sahaja saya sampai ke langit sana.
Namun, saya juga manusia. Sampai juga saya pada batas sabar yang sememangnya sudah tidak jauh. Lalu tanpa senyum saya duduk di sebelah teman saya yang juga seperti saya, manusia yang serba kurang.
“Rezeki Tuhan itu ada di mana-mana. Lalu mengapa perlu berduka, sehingga melipat dahi? Lagipun Tuhan sudah berjanji, selepas didatangkan Nya ribut di langit pasti diakhiri dengan pelangi,” kata teman saya yang juga seperti saya itu.
Saya mengangguk perlahan. Wajahnya saya tenung, lamat-lamat. Itu saya mengerti, tetapi bagaimana rasanya menjadi lebah yang terpaksa mencicip embun tawar, sedang di sarangnya melimpah madu manis? Bagaimana rasanya menjadi manusia yang terpaksa makan sisa di pinggan orang lain sedangkan di hadapannya menumpuk makanan lazat? Pasti kata kesal itu berlarik-larik di atas hati. Saya memejam mata lalu ada dering-dering loceng terdengar, sayup-sayup tapi pasti dan ia menjadi bunyi latar pada saat matahari sudah tegak bermegah.
“Rezeki Tuhan, itu luas. Yang penting, jangan sesekali kita menutup rezeki manusia lainnya. Takut-takut Tuhan menutup rezeki kita,” kata teman saya itu lagi sambil mengangguk, patah-patah.
Saya tunduk. Dalam hati, saya sudah tidak mampu lagi memilih bahasa terpilih bagi berbicara dengan Tuhan. Apa sahaja yang terlintas pada waktu itu, terus sahaja saya katakan, langsung.
“Rezeki Tuhan, itu luas. Yang penting, jangan sesekali kita menutup rezeki manusia lainnya. Takut-takut Tuhan menutup rezeki kita,” ulang teman saya itu buat kali kedua sambil menyeka peluh yang cicir dari dahinya.
Saya langsung menarik nafas berat, lalu menghembusnya lambat-lambat. Saya berpaling memandang teman saya. Dia mengangkat keningnya. Saya mengerut dahi, pelipis saya sudah terlihat urat birunya. Pelupuk mata saya redupkan, namun, mulut saya tetap terkunci.
“Maksud saya, lelaki tua di depan kita,” kata teman saya itu.
Saya memandang ke depan, seorang lelaki tua yang berbasikal sedang tersenyum. Di belakangnya ada peti yang tertulis 'Mat Kool kawan ku'. Di bawah tulisan itu ada tulisan kecil, tulisan tangan 'kawan ku, kawan mu jua'.
“Ingat, jangan sesekali kita menutup rezeki manusia lain, dan dengan membeli ais krim lelaki tua ini kita sudah membuka pintu rezekinya,” kata teman saya itu.
Saya mengangguk lalu menyeluk poket, ada lagi tersisa tiga not biru kecil, RM3.00. Not-not yang terakhir dan saya perlu berjimat banyak biarpun di dalam peti yang sejuk itu ada ais krim yang ada butir-butir coklat. Mahu saya memilihnya tetapi kata jimat terus berdengung. Saya lantas menghulur RM0.50, membeli sepotong ais krim berwarna merah, ais krim murah. Teman saya tersenyum.
“Rezeki Tuhan, itu luas. Yang penting, jangan sesekali kita menutup rezeki manusia lainnya. Takut-takut Tuhan menutup rezeki kita,” ulang teman saya buat kali ketiga.
Saya lalu berpaling kepadanya sambil mencicip ais krim merah, ais krim murah yang saya peroleh. Saya mengangkat kening. Bertanya kepadanya dengan bahasa tubuh. Mengapa perlu diulang lagi kalimat itu?
Teman saya tersenyum, lalu perlahan-lahan meletak tangan kanannya ke pundak saya dan berkata perlahan, “Kawan, saya tidak punya wang.”
Saya mengangguk, mengerti maksudnya. Bibir saya muncung seperti tapir yang mencari semut, lalu menunjuk ke arah lelaki tua, penjual ais krim itu.
Teman saya tersenyum, menampak giginya yang putih mutiara. Selepas memilih ais krim, terus dia menunjuk ke arah saya. Lelaki penjual ais krim itu faham dan terus menghulurkan tangannya kepada saya lalu berkata, “RM2.50.”
Saya mengerut dahi, berpaling kepada teman saya.
“Rezeki Tuhan, itu luas. Yang penting, jangan sesekali kita menutup rezeki manusia lainnya. Takut-takut Tuhan menutup rezeki kita,” kata teman saya itu lagi, lalu kembali mencicip ais krim mahalnya, ais krim yang ada butir-butir coklat.
Di bawah matahari yang membakar, dilatari dering loceng yang semakin sayup-sayup, dicucuri peluh dari dahi berkerut, saya mengerti sesuatu, jangan tutup rezeki manusia lainnya. Kawan, terima kasih dan saya akan ingat dan saya akan cuba walau saya ini bukan manusia bersayap, dan kawan, kamu juga jangan lupa aiskrim yang ada butir-butir coklat itu. Huh.
Monday, June 23, 2008
tidur-tidur kucing
“Nanti, kamu akan lebih kesal dengan perkara yang kamu tidak pernah lakukan, berbanding dengan perkara yang pernah kamu lakukan.”
Mendengarkan kata-kata itu saya terus menarik selimut. Kata saya, “Saya akan tidur lagi kerana khuatir jika saya tidak tidur sekarang, saya akan kesal.”
“Jangan! Bukan itu maksud saya.”
“Lalu?”
“Maksud saya, perkara yang kamu tidak dapat lakukan sekiranya kamu tidur.”
Saya lalu bangun, melipat dahi. Hujung jari saya menyeka hujung mata. Ada sesuatu yang kenyal.
“Apa?”
“Apa-apa sahaja yang kamu mahu lakukan.”
Saya lalu terbaring lagi. Menarik selimut, menutup kepala.
“Kamu tidur lagi?”
“Ya. Kamu perlu tahu, tidak semua orang tahu makna kesal. Misalnya saya. Kesal bagi saya adalah kesal yang pertama, saya lebih kesal dengan apa yang saya pernah buat berbanding apa yang saya tidak buat.”
“Tetapi mengapa perlu tidur?”
“Sebab malam tadi, saya menonton EURO. Lalu saya kesal kerana dengan menonton EURO, saya menjadi terlalu mengantuk. Ah, mujur juga Sepanyol menang.”
“Lalu tidur kamu itu akan melanjutkan kekesalan kamu. Bangun sahaja kamu daripada tidur, saya yakin itu yang akan kamu rasa.”
“Lalu?”
“Entah. Saya pun tidak tahu.”
Hati saya sebal. Dasar pelakon. Hanya tahu membaca skrip tetapi tidak tahu apa yang diucap.
“Maksud saya begini, kalau kita tidak mencuba, nanti kita akan kesal. Jadi baik mencuba.”
“Walaupun perkara dosa?”
Rosyam Nor menggeleng perlahan. Bibirnya terkatup rapat.
“Dosa dan pahala itu asas kehidupan. Lalu tidak perlu saya terangkan berkenaan dosa dan pahala. Saya cuma mahu katakan berkenaan perkara yang tidak berdosa.”
“Jadi apa yang kamu mahu saya buat?”
Rosyam Nor diam, tunduk, pelipisnya menegang. Sesaat kemudian dia kembali mendongak dan tersenyum.
“Ceritakan bagaimana Sepanyol menang? Saya tertidur. Terlupa minum Pawer Rut. Saya terminum kacip Fatimah.”
Saya langsung berubah menjadi kucing putih.
*Nota: Suara hati saya apbila melihat iklan Pawer Rut. Saya sangatlah tidak suka.
Thursday, June 19, 2008
narsis
http://ketikamembaca.blogspot.com/2008/06/dunia-ini-sederhana-kecil.html#links
http://gengkicap.blogspot.com/2008/06/duniai-ni-sederhana-kecil.html
Kawan, kamu tahukan narsis itu penyakit hati. Lalu maafkan saya. Doakan saya murah rezeki, mengecil penyakit hatinya dan bertambah berkat hidupnya. :-P
Terima kasih.
*Asal kata Narsis http://en.wikipedia.org/wiki/Narcissism
Monday, June 16, 2008
garis hidupnya begitu
Kadir bukan begitu. Bukan lelaki yang suka mengecewakan. Dia adalah teman yang percaya pada garis hidup. Baginya, semua yang ada di dunia ini sudah berada dalam satu garis. Hidupnya juga begitu.
Lalu itu yang Kadir beritahu kepada kekasihnya, Paris Hilton semasa mereka berdu menyelusuri pantai. Membiar ombak memagut kaki. Membiar bayu mengelus tubuh.
“Kamu tahu apa ini?” tanya Kadir selepas melakarkan satu garis dengan sepotong kayu yang terhanyut ke pantai.
Paris Hilton mengerut dahi. Kayu yang dipegang oleh Kadir diperhati tajam.
“Itu kayu bakau. Rantingnya, lebih tepat,” jawab Paris Hilton lalu tersenyum. Kini Kadir pula mengerut dahi seraya menggelang laju, seumpamanya gelengan kucing yang baru terkena hujan.
“Kalau bukan kayu bakau, pasti ia pucuk pohon Rhu,” teka Paris Hilton lagi.
Kadir masih setia menggeleng kepala. Matahari yang sudah hampir menyentuh ufuk mencipta rona jingga pada wajahnya.
“Jadi kalau bukan bakau ataupun rhu, itu kayu apa?” tanya Paris Hilton pula. Nadanya mendadak tinggi. Bibirnya yang merah terlihat ke depan.
“Saya bukan bicara soal kayu. Saya bertanya, ini apa?” kata Kadir sambil kayu pada tangannya ditunjukkan pada garis di atas pasir.
“Itu kan pasir.”
“Bukan! Saya tanya ini. Ini garis. Garis di atas pasir.” Akhirnya nada suara Kadir yang tadinya datar juga ikut membukit. Paris Hilton tahu apa yang perlu diperbuat, dia tersenyum.
“Jadi, mengapa dengan garis itu?”
“Hidup kita ini umpama sebuah garis. Sekiranya kita bernasib baik garis hidup kita akan bertemu. Lalu bersatu menjadi satu. Namun untuk kebanyakkan waktu, garis hidup kita hanya bersilang dan itu yang aku dan kamu sedang lalui,” terang Kadir lalu berpaling memandang matahari.
Paris Hilton menggaru kepala lalu berkata, “Maksud kamu?”
“Cinta kita cukup sampai di sini. Itu sahaja. Kita tidak tercipta untuk bersatu.”
“Apa? Lalu bagaimana dengan segala janji yang aku dengar? Lalu bagaimana dengan diri aku? Aku juga mahu bahagia.”
“Paris Hilton. Bahagia itu bukan lagi berkenaan pengorbanan daripada pihak yang merelakan. Pengorbanan itu juga perlu daripada pihak yang ditinggalkan. Seperti kamu, perlu rela supaya aku bahagia. Kebahagiaan itu betulnya lebih mudah sekiranya tidak dipaksakan.”
Paris Hilton diam. Kadir membaling jauh kayu pada tangannya. Akhirnya satu perkara sudah terlepas dari hatinya. Perkara yang dari dulu mahu diluah tetapi tertampung dengan rasa bersalah.
“Okey, aku mengerti. Aku tidak akan memaksakan bahagia itu kepada diri aku juga kepada kamu. Dan usah khuatir, sekiranya aku derita dengan keputusan kamu ini, aku tidak akan memaksakan derita itu kepada kamu. Saya setuju. Lagipun juga, ayah pernah beritahu, kita tidak sekufu dan kamu bukan juga lelaki yang layak bagi membimbing aku.” Paris Hilton berkata fasih, seperti bukan dirinya yang bicara.
Itu cerita Kadir kepada saya. Katanya sejak kejadian itu, Paris Hilton tidak pernah lagi berpaling. Terus berlalu tenggelam dalam dunia Hollywood. Kadir pula tetap begitu, seorang lelaki yang percaya, pada suatu hari nanti, hujung garis hidupnya akan bersentuhan juga dengan hujung garis hidup seseorang. Sehingga itu, dia akan tetap tersenyum kerna dia percaya, itu sudah tersedia dalam garis hidupnya.
Monday, June 09, 2008
do the talking
Malam itu saya sendiri. Duduk di bilik sambil menikmati angin yang menghembus berkala-kala. Seperti hembusan ibu pada nasi anaknya yang masih panas. Berkala-kala.
Saya memikirkan saya bisa peroleh hembusan yang lebih kerap sekiranya mendekat dengan tingkap. Namun sesaat saya berdiri mahu mendekat, saya langsung tersentap lalu kaku. Seperti pendekar Cina yang dimatikan urat geraknya oleh lawan.
Di bibir tingkap, ada jari yang sedang berpaut. Jari yang kasar dan dengan kuku yang keras. Seperti kuku penghuni Sahara yang kebuluran. Jari-jari itu semakin mencengkam kuat. Seperti mahu menaikkan sesuatu yang maha berat. Seketika, peluh dingin pun seolah menyatu dengan kulit leher dan dahi. Seperti embun yang terkumpul pada daun keladi.
Dengan berserta dengusan yang seperti dengusan seorang nelayan yang menarik tali perahunya, satu kepala muncul di birai tingkap. Mula-mula hanya rambut, beransur-ansur kepala dan seterusnya seluruh tubuh. Saya langsung meraup wajah yang sudah hilang darahnya.
“Apa khabar?” tegur lelaki tua yang memanjat tingkap bilik saya. Dia sedang duduk di birai tingkap sambil menyeka peluh yang berjatuhan dari dahi.
“Bagaimana kamu naik?” tanya saya pula tanpa menjawab soalannya yang pertama.
Lelaki tua itu menggeleng lalu tersenyum. Dia kemudiannya memejamkan mata apabila ada angin malam yang melalui celah-celah ketiaknya.
“Apa beza semut pejuang dengan semut politik?” tanya lelaki tua itu apabila matanya sudah terbuka.
Saya yang masih kaku mengaru lengan kiri. Pelan-pelan seperti budak yang bermain-main dengan kurapnya. Soalan saya juga tidak terjawab, malah diberinya pula satu soalan yang baru.
Saya jadi keliru. Selalunya yang saya tahu, hanya ada semut pekerja dan semut askar. Tidak pula saya mendengarkan semut pejuang dengan semut politik. Akhirnya saya menggeleng kepala.
“Dalam dunia semut, tidak ada istilah politik. Yang ada hanya pejuang. Jadi dalam dunia semut semuanya adalah semut pejuang. Semut-semut yang tidak pandai berkata-kata. Tidak pandai mengarah. Semuanya terus bekerja untuk sang ratu. Biar akhirnya mereka akan mati dipijak manusia ataupun mati disembur racun, namun mereka tidak pernah mengadu mahupun meminta yang berlebihan daripada sang ratu. Bagi mereka, anak-anak semut yang lain perlu diberi makan. Sarang-sarang perlu dikukuhkan. Tanpa perlu memberitahu sesiapapun berkenaan jasa dan usaha mereka. Bagi mereka, biar kerja mereka yang do the talking,” terang lelaki tua itu lagi.
Saya mengaru pula belakang leher. Saya memandang lelaki tua di hadapan saya. Mengapa dia tiba-tiba sahaja bicara soal semut? Malah bisa pula berkata English.
“Berbeza dengan manusia. Ada manusia politik dan ada manusia pejuang. Menurut Andre Hirata, pengarang novel 'Laskar Pelangi', manusia politik itu adalah manusia yang tidak punyai otak yang bagus tetapi punyai yakin diri dan bisa memanupilasi dengan baik. Hanya tahu berkata-kata tanpa ada tindakan yang mengesankan. Manakala manusia pejuang pula adalah seperti rakannya Syahdan, lelaki yang bertubuh kecil dan tidak dihiraukan. Malah sentiasa sahaja disuruh-suruh tetapi akhirnya Syahdan menjadi orang yang berjaya, kerana Syahdan adalah pejuang.”
Saya masih lagi diam. Adakah ini bermaksud saya perlu membaca novel Laskar Pelangi bagi mengetahui siapa itu manusia politik dan siapa pula Syahdan?
“Tetapi kamu tidak perlu membaca Laskar Pelangi,” kata lelaki tua itu seperti faham maksud kerutan pada dahi saya.
“Saya cuma mahu memberitahu, manusia pejuang itu seperti semut. Tidak pandai memberitahu apa sumbangan mereka tetapi sentiasa sahaja bekerja untuk menyumbang. Bagi mereka, menjadi manusia yang banyak memberi adalah lebih baik daripada manusia yang banyak menerima. Namun kerana mereka seperti semut, mereka tidak akan kelihatan. Seperti tikus-tikus yang bersembunyi di dalam lubang. Mereka juga tidak dipedulikan seperti rumput-rumput kering di jalanan. Mereka sering dipijak lalu mati bersama jasa mereka. Tetapi mereka tetap mulia.”
Saya terus merenung lelaki tua yang duduk di birai tingkap saya. Angin malam yang menghembus semua hanya dia yang peroleh. Saya hanya peroleh sisa-sisa angin yang sudah pun melalui celah ketiaknya.
“Jadi sekiranya kamu merasakan kamu bukan dalam golongan yang fasih berkata-kata. Bukan berada dalam golongan yang bisa memberitahu apa jasa-jasa kamu. Kamu jangan khuatir. Kamu tetap bisa jadi seseorang. Bisa jadi pejuang. Tetapi kamu perlu pastikan, kamu tidak malas dan usaha kamu akan do the talking. Mungkin tidak sekarang, mungkin pada masa hadapan. Mungkin juga hanya di akhirat, usaha kamu itu do the talking,” pesan lelaki tua itu lagi.
Tiba-tiba lelaki tua itu hilang keseimbangan tubuh. Seperti botol yang berada di penjuru meja yang tinggi. Lelaki tua itu jatuh dan saya terus berlari ke tingkap lalu memandang ke bawah. Hanya gelap. Lelaki tua itu hilang bersama malam yang pekat. Tetapi akhirnya angin tetap juga menghembus pada tubuh saya yang sudah berkeringat. Saya pula yang memejamkan mata.
*Kisah lelaki tua dan saya
Monday, June 02, 2008
Terima Kasih - Dunia Ini Sederhana Kecil
Bosan-bosan hujung minggu. Saya peruntukkan masa bosan ini dengan mencari ayat 'Dunia Ini Sederhana Kecil' di internet.
Ternyata saya terjumpa. Sama ada ia adalah ulasan ringkas ataupun ia sekadar promosi. Saya berterima kasih kepada semuanya. Kepada para pembaca, pengulas, tukang iklan dan semua yang terlibat.
Pernah juga teman saya memberitahu secara bersemuka, novel saya lucu. Tetapi saya ragu-ragu, apa benar dia baca? Hihihi.
Ada ulasan itu datangnya daripada forum seperti
http://eforum.cari.com.my/viewthread.php?tid=351316&extra=page%3D2&page=2
Ulasan daripada Mardhiah12, moderator bagi forum ini.
Baru langsai habis pembacaan Dunia Ini Sederhana Kecil tulisan Behruddin Bekri. Berat? Oh, bagi saya tidak. Banyak unsur falsafah, banyak juga isu sensitif yang disentuh tetapi masih sarat dengan isu semasa dan unsur humor.
Cerita tentang Syamil yang merupakan graduan lepasan ijazah yang sangat sukar untuk memperoleh sebarang pekerjaan. Masalah tentang sewa rumah, bayaran bil telefon dan sebagainya..Tentang teman sebiliknya, Jid, yang mempunyai sedikit sifat-sifat kewanitaan tetapi berjaya diubah oleh Syamil...Tentang Haliza, Daniel, Tasya & Rina. Kawan satu kuliah..Tentang pencarian Formula B oleh Dato' Hiusham..Titiknya ada bertemu di satu penghujung. Olahannya sangat menarik, berjaya membuat pembaca terasa terhibur...Permulaanya agak membosankan, tetapi penulis berjaya menimbulkan unsur-unsur saspens yang kemudiannya menarik minat pembaca..
Watak Syamil berjaya digarap terutamanya apabila Syamil sibuk mencari pekerjaan. Bagi saya, buku ini sesuai untuk golongan remaja, lepasan ijazah menganggur. Ada pada suatu masa, bunyinya agak sinikal, tetapi masih, masih menghiburkan...Sungguh!
Ulasan daripada Silencez, juga daripada forum cari
wa dah habis baca buku ni semalam. bagus jugak. dlm ketawa2, ada byk benda yg boleh buat kita berfikir sendiri. kiranya makna tersirat la tu hehe. tapi yg tak bestnya.. byk tersilap watak. contoh waktu syamir tgh terkial2 nak buat iklan ke kalau tak salah.. jid masuk bilik. sepatutnya jid tanya syamir, sbb ayat tu lebih kurang camni.. "syamir, ......(wa tak ingat dah).." tanya syamir. takkan la syamir tanya diri sendiri kan. ada la lagi. part tasha pun ada gak tersilap camtu. apa pun, satu buku yg bagus.
smlm tergelak besar.. bila sampai ke bahagian yg am kasi tau si syamir mengigau pasal kicap kat bawah pokok! "kicap.. kicap.. mari beli kicap.." borak2 dgn jid pun boleh tertidur & mengigau pasal kicap haha. kicap dah betul2 menghantui dia lah. lepas ni korang kalau nampak botol kicap, mesti teringat cerita ni hehe.
1 part lagi.. waktu syamir & musa jual kicap kat maid indon. bila musa kata, "aik, takkan muka bekas kekasih mcm botol kicap."
tapi sikit tak puas hati. wa nak tau gak apa reaksi en hasan ke (bos kicap) waktu syamir usik dia, yg inspektor tu & isteri kat kg kirim salam & tanya bila nak balik dari jerman![]()
sapa2 yg nak buat keje part time, boleh lah ambik idea syamir.. jadi penasihat pun ok gak. sekali call rm50 masuk. cover duit utk beli buku. lelaki bedak sejuk
![]()
moralnya.. kena berusaha tak putus2. mana ada kemahuan, di situ ada jalan
Ulasan daripad Ayuni, Forum Cari.
Walaupun dilabelkan sebagai buku remaja (ceria, kelakar bla.. bla)
Tetapi ia sarat falsafah n sedikit berat... mungkin sesuai digolongkan dalam bacaan dewasa.. mungkin unsur humornya yang membuat ia terlihat ringan. Ini yang saya rasalah.
Ada tiga jalan cerita yang sentiasa beriringan dalam cerita ini, tidak bersentuha tetapi sekali sekala berlaku cross over n endingnya ala-ala filem komedi romanti korea n Jepun lak.
Saya juga terjumpa ulasan daripada Forum bincang.net
Daripada saudara Lang,
http://bincang.net/forum/showthread.php?t=86136
Aku dah abis baca hebat tul aku kakakaka.
Komen aku banyak nye ko salah eje ye ali. Asal inspektor rahman tibe2 jadi harun kekeke.
Yang part ko malu tue. Memang malu kekeke zaman nabi lut.
Overall best. Bagus la cerita pasal formula D
Ending die awat camtue.
Kasi la depa jumpe. Kissing ke. Tak pun kawen ke kekeke
Ending ala drama jepun lak...
Ulasan daripada editor saya sendiri yang baik dan cantik :-D
Apabila editor menjadi pembaca...
Sebagai pembaca biasa, saya juga ada kegemaran tersendiri. Jadi, dengan berbesar hatinya saya hendak berkongsi pandangan peribadi saya berkenaan buku terbitan PTS One yang saya rasa menarik dengan kawan-kawan.
Menarik sangatkah buku ini?
Pada saya. ya. Buku ini sangat menarik.
Ada apa dengan buku ini?
Saya suka olahannya. Buku ini mungkin berat sedikit bagi sesetengah kawan-kawan yang sukakan olahan yang lebih ringkas. Tetapi, sekiranya kawan-kawan hendak merasa terhibur di samping berfikir serba sedikit berkenaan falsafah hidup, maka buku ini memenuhi permintaan pembaca. Lawaknya spontan, tidak dibuat-buat dan tidak dijangka. Kesimpulannya, buku ini buat saya tersenyum dan ketawa. Mungkin kawan-kawan juga akan merasa yang sama. Jadi, silalah baca. :)
Siapa yang sesuai baca?
Kawan-kawan remaja yang belum berhadapan dengan dunia sebenar.
Alam pekerjaan adalah sesuatu yang rumit berbanding persekolahan. Orang yang bernasib baik, mudah. Semuanya berjalan lancar. Tetapi, tidak semua orang begitu. Sekurang-kurangnya kawan-kawan mendapat sedikit gambaran dan sediakan payung sebelum hujan.
Kawan-kawan yang baru habis belajar dan sedang bersusah payah mencari kerja.
Mungkin (mungkin sahaja) buku ini akan memberi kawan-kawan perasaan lega dan harapan. Lega kerana – okey, ada orang lain yang senasib. Harapan kerana – kalau Syamir mampu menempuhnya, kawan-kawan juga tentu boleh.
Mereka yang sudah mempunyai pekerjaan.
Bersyukurlah dan hargailah kerja yang kawan-kawan miliki kerana walaupun mungkin gajinya kecil, bos macam bagus dan semua yang buruk-buruk ada dalam dunia pekerjaan kawan-kawan, sekurang-kurangnya, kawan-kawan ada pekerjaan untuk mendapat duit bagi membayar duit PTPTN, hutang kereta dan sewa rumah dan membeli makanan. (err... macam kenal saja orang yang selalu terlupa untuk bersyukur ini...)
Semua yang suka buku.
Kesimpulannya, semua orang patut baca buku ini. Hehehe....
Dan kini, saya menantikan karya Bahruddin Bekri yang seterusnya. Sebagai editor, juga sebagai pembaca. :)
Juga ucapan terima kasih ini kepada para pengiklan tidak berbayar buku ini
http://www.dunia-vovin.com/2008/dunia-ini-sederhana-kecil.htm
http://becok.blogspot.com/2008/03/dunia-ini-sederhana-kecil.html
Terima kasih semua. Segala saran dan kritikan saya sangatlah hargai. Jumpa lagi nanti.
Alternatifnya, ia boleh di dapati di sini. Klik.
Book Cafe
Thursday, May 29, 2008
Cogito ergo sum
Maknanya, “Aku berfikir, maka aku ada.”
Menurutnya, untuk kita sampai pada makna 'Ada' perlu dimulai dengan meragu-ragukan sesuatu.
Lalu ia digelar doktrin Cartesian yang menjadi paradigma dalam sains moden.
Lalu saya sering sahaja meragu-ragukan sesuatu. Apatah lagi sekiranya ia melibat soal hati. Sering meragu-ragukan sama ada seseorang itu betul tuturnya untuk merindu. Betul tuturnya untuk mencinta. Betul tuturnya untuk membenci.
Lalu silapnya di situ. Sering sahaja saya berhenti pada kata 'ragu-ragu' tidak terus menyelidik sehingga makna, 'ada'.
Akhirnya, hidup celaru. Tutur cinta diragui. Tutur benci juga diragui. Di bawah sedar, saya sudah menanamkan kepercayaan. Tutur cinta itu hanya bayangan rama-rama pada tasik, hilang apabila dibaling batu. Tutur benci juga dikatakan palsu, umpama pekat malam yang hilang apabila waktu.
Lalu, pentingnya jujur dan telus. Untuk itu saya masih mendidik diri bagi tidak berhenti pada kata 'ragu-ragu'. Masih mendidik diri supaya bisa jujur pada diri. Supaya bisa ketemu 'ada'. Itu yang perlu. Doakan. :-)
Tuesday, May 27, 2008
Buat duit dengan terbit buku sendiri
Jangan silap. Ia bukan sekadar tajuk entri. Ia juga adalah tajuk buku. :-)
Pada awal 80-an saya tidak boleh menerbitkan buku saya sendiri. Bukan kerana saya tidak punyai wang ataupun tidak punyai materi. Tetapi awal tahun 80-an saya baru lahir. Lalu bagaimana saya bisa menerbitkan buku sendiri? :-)
Lalu awal 90-an pun sama. Saya baru sekolah rendah lalu ke sekolah menengah. Duduk pula di pedalaman yang jauh dari bandar. Waktu itu hanya tahu berkenaan pokok kelapa dan pisang. Sedikit berkenaan ikan sungai.
Awal milenium hidup terus berbeza. Saya bergelumang pula hal-hal yang tak perlu. Ya, hidup jadi sia-sia. Mujur juga bisa tamatkan kuliah.
Lalu sekarang, tahun 2008 saya mahu menerbitkan buku sendiri. Mahu peroleh untung berjuta :-).
Langkah pertamanya, saya membaca buku ini. Buku yang ditulis oleh Encik. Nazrul Samsudin. Punyai enam tahun pengalaman menerbitkan buku. Lalu bukunya ini pasti bukan buku yang sekadar berteori. Sudah melalui praktik yang perlu.
Mula cerita buku ini adalah berkenaan mengapa kita perlu menerbitkan buku. Bukan sekadar mahu peroleh wang berjuta. Banyak lagi sebab yang mendorong dan juga perlu dipertimbangkan. Seterusnya bercerita berkenaan cabaran. Baik yang kecil sehingga sebesar-besar cabaran. Dan ia juga perlu dipertimbangkankan dengan wajar.
Perkara-perkara teknikal juga dijelaskan dengan bahasa yang mudah. Bahasa yang memang berniat berkongsi bukan sekadar memberitahu. Lalu saya gembira. Ya, perasaan apa lagi yang boleh muncul selain itu sekiranya saya boleh belajar sesuatu yang baru? :-)
Apa lagi yang saya peroleh daripada buku ini? Saya peroleh pandangan baru berkenaan penerbitan buku. Ia rumit tetapi tidak mustahil. Malah menyeronokkan. Tidak juga membebankan. Sekali lagi saya gembira. Tidak sia-sia membacanya dengan kepala terangguk-angguk.
Sisi gelap buku ini? Ini bukan buku fiksyen yang perlu kritikan sebegitu. Malah ini adalah buku yang perlu diberikan pujian kerana mungkin ia buku seumpamanya di Malaysia. Kalau tidak pun, ia buku pertama seumpamanya yang saya baca. ;-). Lalu perbandingan apa yang hendak dibuat bagi dijadikan asas kritikan? Malah daripada 10, saya beri 9.5. Mana 0.5 lagi daripada 10? 10 itu hanya untuk Tuhan. Ingat. Manusia tidak sempurna. :-)
Jadi buku ini bagus untuk siapa? Bagus untuk semua yang punyai niat membuat buku. Baik para blogger hingga kepada para perunding motivasi. Juga bagus untuk yang tidak tahu membeli buku yang bagaimana lagi.
Dan akhir sekali saya mahu memberitahu, keinginan menerbitkan buku sendiri itu bermula dari niat. Jadi untuk waktu ini saya berniat saja dulu. :-) Langkah seterusnya akan menyusul. Cuma jangan tanya bila. Hihihi.
Okey. Dapatkan buku ini segera sebelum diulang cetak. Kerna mengikut apa yang saya baca dalam buku ini, ulang cetak juga memakan masa berminggu. Ya. Bergembira.
Wednesday, May 21, 2008
untuk masa silam, saya mengaku
Langit sudah petang dan burung sudah pulang. Tinggal saya berdua dengan seorang teman di sebuah warung, ketawa bergemerincing. Lalu, lalu seorang tua yang saya kenal. Lelaki tua yang berbaju merah. Terus dia tiba-tiba sahaja menyertai kami. Sedangkan teman saya yang satu itu sudah menjungkit kening.
Tanpa mengeluarkan kata meminta izin terus sahaja dia meneguk teh saya yang sudah suku. Ketawa kami berdua mengendur. Mata tetap tancap pada lelaki tua itu. Habis air saya dihirup dia memandang kami dengan mata yang separuh redup.
“Kamu semua perlu hati-hati...,” kata lelaki tua itu sebelum dia mula menguap. Selepas habis menguap dia menyambung.
“Perlu hati-hati sekiranya ada seseorang yang datang kepada kamu membawa berita berkenaan seseorang yang kamu kenal.”
Saya mengaru kepala. Mata memicing ke kanan memerhati pokok di seberang jalan yang masih tetap sama sahaja sejak dari hari-hari lalu. Bezanya mungkin, ada daun-daunnya yang sudah luruh dan menguning.
“Misalnya, kalau ada orang yang membawa berita tentang saya, menceritakan sisi gelap pada masa silam saya, lalu apa yang mahu kamu perbuat?” soal lelaki tua itu. Matanya mengarah ke arah saya dengan bulat dan tidak lagi redup.
Saya hanya menggeleng lalu mencapai gelas teh saya sebelum kembali menyedari teh saya sudah dihabiskan oleh lelaki tua itu.
“Jangan kamu tidak percaya. Percaya sahaja berita orang itu walaupun kamu tidak kenal kerana saya juga manusia biasa yang punyai sisi gelap saya sendiri tetapi ingat satu hal....” Orang tua itu menarik nafas panjang sebelum mengambil pula air coklat panas teman saya yang masih belum sampai separuh. Dia menghirup pelan-pelan. Teman saya hanya buntang matanya memerhati.
“Cuma ingat satu hal, saya juga manusia yang pasti punyai hati. Biar segelap mana pun masa silam saya, jangan kamu menidakkan apa kebaikan yang saya sudah perbuat pada masa sekarang. Tolong jangan menghukum saya. Kerana jika pun saya layak dihukum, hanya Tuhan dan orang yang pernah merasai gelapnya masa silam saya yang layak menghenyak hati saya.”
Air coklat teman saya sudah tinggal separuh dihirup. Tangan lelaki tua itu menyeka baki air coklat yang tersekat di hujung bibir. Menyeka dengan lembut seperti menyeka air mata seorang gadis.
“Lagi, satu hal yang kamu semua perlu ingat. Manusia itu fitrahnya mahu berubah. Kerna untuk apa kata taubat jika manusia itu tidak bisa berubah. Untuk apa buku-buku pembina jiwa sekiranya manusia itu sudah tidak bisa berubah. Begitu juga dengan saya, saya juga bisa berubah. Jika pun tidak sekarang tetapi jauh dalam hati saya tidak pernah lepas berdoa. Bukan sahaja berdoa untuk diri saya, malah berdoa untuk semua insan yang pernah menderita pada masa silam saya yang gelap.”
Saya tunduk memerhati muka meja, kemudian memerhati gelas kosong yang tadinya penuh berisi air coklat.
“Jadi, jangan menghukum saya. Saya pohon. Jangan membina ketetapan awal ke atas diri saya sebelum kamu benar-benar mengenali diri saya. Kerana apa yang kamu lihat sekarang, apa yang kamu perhatikan sekarang hanya suku daripada diri saya. Selebihnya diri saya tertinggal di rumah. Tertinggal pada ibu, pada ayah, pada adik, pada kakek dan pada saudara-saudara saya yang lain. Mungkin mereka tidak mengenali saya seperti mana Tuhan mengenali saya hamba-Nya. Tetapi setidak-tidaknya mereka mengenali saya dari kecil dan mereka tahu yang saya sayang mereka semua. Seperti saya sayang kamu. Beza kamu tidak tahu hal itu. Maafkan saya kerana membuat kamu gusar dengan masa lalu saya. Maafkan saya sebab tidak bisa membuat kamu senang dengan pekerti halus saya sekarang.”
Lelaki tua itu bangun. Saya dan teman saya masih memerhati. Lelaki tua itu mengeluarkan satu not RM50 lalu meletakkan di atas meja.
“Bayar dan ambil bakinya,” pesan lelaki tua itu lalu beredar pergi. Air kami berdua tidak lebih RM5.00. Bermakna ada lagi RM45.00 yang bisa dibawa berjoli.
Saya dan teman hanya memerhati lelaki itu pergi menjauh lalu hilang di balik pokok yang masih tetap sama seperti hari-hari lalunya. Angin petang kemudiannya muncul menyolek lembut wajah saya yang berminyak.
Usai angin petang berpuput, datang seorang lelaki muda bermisai galak lalu bertanya, “Kamu ada lihat lelaki tua yang bajunya merah?”
“Mengapa?”
“Dulu, dia pernah berbual dengan saya lalu memesan makanan yang banyak. Lelaki tua itu bermulut manis dan berkata yang macam-macam juga dia berjanji mahu membayarkan juga makanan saya. Tetapi akhirnya saya yang membayar makanannya kerana dia terus pergi lalu kabur tanpa rasa bersalah apa-apa pun. Jadi saya nasihatkan kamu berdua, sekiranya menjumpai seorang lelaki tua yang berbaju merah, jangan beri dia duduk berbual dengan kamu. Dia lelaki yang suka mengambil kesempatan. Hatinya gelap, segelap tujuh malam tanpa purnama. Jauhi dia. Jangan jadi seperti saya. Terpedaya.”
Saya lalu memejam mata. Berfikir berkenaan kata-kata lelaki muda dan lelaki tua yang berbaju merah itu. Ternyata terlalu banyak yang mahu difikirkan. Antara masa silam dan masa hadapan, ada masa sekarang yang jadi penentu.
Nota: Lelaki tua itu adalah lelaki tua yang ini.
Tuesday, May 20, 2008
Raja Petra Kamarudin ialah bogeyman
Saya belum menonton lagi filem Bogeyman keluaran tahun 2005 sedangkan sekualnya sudah menyusul. Lalu bagaimana jalan cerita, saya sendiri tidak tahu. Cuma saya tahu bogeyman itu ialah legenda hantu yang diguna bagi menakutkan anak-anak di barat. Sama seperti kita semasa kecilnya mempercayai hantu tetek di Malaysia.
Bogeyman digambarkan sebagai hantu yang secara tiba-tiba sahaja boleh muncul di mana-mana. Tanpa derap kaki, tanpa keriut tingkap. Tidak boleh lengah walau sekejap.
Bogeyman bukan sekadar hantu bagi menakutkan anak-anak barat, bogeyman itu sendiri kata yang pernah menjadi kata menakutkan di Nusantara kita. Terutamanya semasa keagungan penjajahan British dan Belanda. Semasa kapal masih menjadi pengangkutan utama.
Pada waktu itu, mereka cukup berhati-hati dengan apa yang mereka gelar sebagai bogeyman. Atau lanun yang bisa muncul di mana-mana, bila-bila masa. Lanun yang mereka gelar bogeyman itu adalah apa yang kita kenali sekarang sebagai Bugis. Bugis man ialah bogeyman. Mungkin juga ia terus datang daripada perkataan Bugis sendiri kerana dalam bahasa Bugis, Bugis dipanggil Ogey. Ogey man = bogeyman. Mungkin juga ia kebetulan kerana kata asalnya juga dirujuk sebagai bugge, bogey lalu menjadi bug.
Pelaut Bugis pada masa itu sudah dipersiapkan diri mereka dengan ilmu persilatan yang tinggi. Mereka mampu berada di atas kapal yang dipenuhi meriam besar tanpa sebarang kesan. Gerak langkah mereka sepi, sesepi gua di gurun pasir. Tanpa memberi kesempatan kepada mereka untuk bertindak.
Namun bukan itu yang mahu diperkatakan kerana berani saya katakan zaman itu sudah berlalu. Zaman serba canggih dengan pelbagai radar pengesan, bogeyman tidak mungkin digeruni seperti zaman keagungannya.
Cuma lagi, zaman sekarang bogeyman itu tetap juga wujud dalam hal yang berbeza. Mereka wujud dalam dunia blog. Penulisan mereka senyap dan bisa muncul di mana-mana tetapi kesannya bisa meruntuhkan sebuah negara ataupun membina sebuah negara. (Terpulang pada perspektif)
Antaranya Raja Petra, seorang yang mengaku keturunan Bugis. Lalu mungkin semangat bogeyman yang digeruni barat itu ada pada dirinya. Sehingga dia menjadi bogeyman bagi pemerintah. Cuma sahaja, dia juga tetap digeruni para anak-anak kecil dunia blog. Kerna bisa sahaja entri anak-anak kecil dunia blog yang tidak sealiran denganya, dipaparkan di blognya lalu dihakimi oleh para bogeyman yang lain (para pengkomen yang hebat). Dihentam semahu-mahunya. Tetapi setidak-tidaknya ia lebih bagus berbanding niat ceroboh lain seperti penggodam ataupun penjara.
Lalu untuk Raja Petra, mungkin dia sebagai bogeyman faham bahasa ini. Agah karebah? Ajak mekpesirik-sirik ogey eh.
Heh.
Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Bogeyman
Murah dan pantas. :-)
Friday, May 16, 2008
sekadarnya
Dia pernah berkata begini, “Walaupun kamu... orang tidak suka, orang benci, tetapi saya tetap sayang kamu.... sampai mati.”
Saya lalu tersenyum. Benar... sayang itu cukup sekadarnya. Pendek tapi penuh makna.
Dan itu adalah kata arwah ibu untuk saya :-)
Selamat hari ibu*.
*Hari ibu disambut pada setiap hari sehingga kita mati.
Wednesday, May 07, 2008
Ini adalah iklan
Klik: Mencari penulis
Jadi apa yang luar biasanya tentang hal ini?
Luar biasanya adalah kamu bisa peroleh personal coach daripada editornya
Dahulu saya pun bermula daripada sini.
:-)
Monday, May 05, 2008
sakura dan teman yang menyayangi Geert Wilder
Dahulu saya masih ingat lagi saya punyai impian mahu membeli lori. Kerana pada waktu itu saya mempunyai fikirannya yang bercabang. Saya mahu pengangkutan yang bukan sahaja boleh membawa saya ke sana ke sini tetapi juga boleh mendatangkan pulangan kepada saya. Kerana namanya juga impian, maka ia boleh tercapai dan ia juga boleh gugur seperti gugurnya sakura pada musim luruh. Dan saya memilih bagi tidak mencapainya kerna saya sukakan bunga sakura :-).
Walaupun impian saya tidak tercapai saya masih punya sesuatu berkaitan lori. Saya punyai teman yang bekerja sebagai pemandu lori. Dia pemandu lori yang tidak besar, cuma tiga tan. Kerjanya sehari-hari sentiasa berbeza. Adakalanya perlu membawa perabot, dan adakalanya perlu membawa komputer. Dan dia juga pernah membawa binatang hidup seperti kambing dan ayam. Malah pada suatu ketika dia pernah membawa khinzir.
Khinzir
“Semasa saya membawa khinzir, saya ditangkap polis lalu di bawa ke balai,” kata teman saya sambil menghembus asap rokoknya yang keluar rakus.
“Lalu?” tanya saya sambil tangan mengibas asap rokok yang terlepas ke arah saya.
“Mereka menangkap saya bukan sebab saya salah membawa khinzir secara haram, tetapi sebab saya seorang Islam. Dan sampai sahaja di balai saya terus diarah mengucap dua kalimah syahadah,” katanya lagi. Kali ini asap rokok dihisapnya dalam-dalam. Seolah-olah mahu paru-paru mandi dengan asap.
“Mengapa?”
“Mereka menuduh saya sesat dan sudah hilang Islamnya hanya kerana membawa khinzir.”
“Kamu marah?”
“Pasti sekali saya marah. Saya bukan sekadar mengucap syahadah sekali, malah mengucap sebanyak tiga kali dan selepas itu berzikir pula berserta selawat. Saya juga meminta mereka membawakan saya Quran. Saya mahu mencabar ketua balai bertanding membaca Quran. Biar pada malam itu diadakan musabaqah membaca Quran di balai polis. Biar mereka tahu, setakat mana Islamnya saya. Enak sahaja mengatakan saya kehilangan Islam. Lebih menyakitkan hati apabila seorang ustaz dipanggil bagi membacakan saya air jampi lalu air jampi itu disembur ke muka saya dan bakinya diarah pula saya meminumnya, hanya kerana saya membawa khinzir di dalam lori. Ya, saya betul-betul terhina.”
Saya cuba menahan senyum tetapi gagal. Mujur juga senyum saya itu bukan senyum yang menampakkan gigi. Khuatir marahnya itu mengalih pula kepada saya. Lalu saya cuba mengalih bicara kepada hal yang lebih ringan.
Geert Wilder
“Kamu biasanya mengisi minyak di mana? Shell ataupun Petronas?”
“Biasanya saya lebih suka mengisi minyak di Shell. Saya sangat menyukai Shell,” akuinya lagi.
“Kamu tidak memboikot Shell?”
“Untuk apa saya memboikot minyak Shell?” Puntung rokok yang sudah hampir habis segara ditenyeh ke badan lori.
“Sebab bagi memboikot Geert Wilder, keturunan belanda yang membuat filem Fitna. Filem yang menghina Islam,” kata saya terus. Terus dia ketawa membising. Terfikir juga saya apakah saya betul dalam hal ini, membawa persoalan sejagat kepada dia?
“Mengapa kamu ketawa?” soal saya.
“Kerana bagi saya, orang yang memboikot barangan Belanda adalah orang yang tidak menonton Fitna. Orang yang pendek fikirannya. Malah bagi saya Geert Wilder itu betul semasa membuat Fitna. Saya sayang Geert Wilder,” akuinya lagi.
“Maksud kamu?”
“Pertama sekali, Fitna bukannya filem. Ia hanya dokumentari. Dan kedua saya mahu menyoal kamu, apakah penyelewengan yang dibuat oleh Fitna?”
“Dia menyelewengkan makna di dalam Quran dengan menunjukkan klip-klip video pengebomam 11 September dan pelbagai lagi tindakan pengganas lalu mengatakan semuanya itu adalah atas arahan Quran,” kata saya.
“Itulah yang kamu silap. Geert Wilder sebetulnya mahu memberitahu dunia yang tindakan pengganas 11 Septembar dan pengganas lainnya itu adalah kerana mereka, yakni pengganas ini membuat tafsiran yang silap berkenaan ayat Quran tersebut. Jadi kerana pengganas tadi membuat tafsiran yang silap berkenaan maksud ayat Quran tadi, maka mereka mula melaksanakan aktiviti keganasan mereka. Itu yang cuba diberitahu oleh Wilder. Sebelum kita menuduh Wilder menghina ayat Quran, tuduh dahulu pengganas-pengganas ini yang menghina Quran dengan menyelewengkan maksudnya. Setidak-tidaknya Wilder hanya membuat dokumentari pendek berbanding pengganas yang terus membunuh manusia lainnya.”
Niat
Saya mengangguk. Ada benarnya juga kata dia tetapi hati saya tetap merasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Tetapi bukankah sesuatu perkara dinilai berdasarkan niat. Jadi sudah jelas niat Wilder sebenarnya mahu menghina Islam. Tidakkah itu belum cukup bagi kita membenci Wilder?”
“Lalu kamu fikir apa niat saya semasa saya beritahu saya sayang kepada Wilder? Membenci Wilder berbeza dengan membenci negara Belanda. Mengapa perlu rusuhan membakar tayar dan segala macam. Dan saya yakin orang yang membuat rusuhan dan pelbagai macam itu adalah orang yang tidak menonton Fitna. Bukankah kita diajar, lawan musuh dengan menggunakan senjata mereka sendiri? Lalu senjata Wilder tadi adalah Youtube, mengapa tidak dilawan menggunakan Youtube juga? Mengapa perlu merosak dan seperti mahu berperang. Sekiranya Belanda memboikot barangan Muslim, itu baru wajar kita memboikot barangan Belanda. Lalu saya fikir ini semua perkara karut. Perkara yang langsung tidak diajarkan di dalam Quran. Mengapa perlu melampaui batas? Allah tidak suka perkara yang melampaui batas. Itu ayat yang ada di dalam Quran.”
“Jadi pendirian kamu sebenarnya apa? Saya rasa sedikit terkeliru,” kata saya.
“Pendirian aku, Wilder memang punyai niat yang ceroboh. Tetapi semasa menjalankan niat dia itu, dia sebenarnya menolong Islam tanpa dia sedar. Menolong Islam dengan memberitahu dunia asas tindakan para pengganas agama tadi. Asas tindakan mereka adalah kerana mereka mempunyai pemahaman yang salah pada ayat Quran. Dan pendirian saya seterusnya, saya langsung tidak menyokong rusuhan dan boikot, itu hanya menampakkan Islam ini sebenarnya adalah agama yang menyelesaikan sesuatu perkara melalui keganasan dan ancaman. Sedangkan Islam adalah agama rahmatan lil alamin,” terangnya jelas.
Wah. Ternyata teman saya pemandu lori itu benar-benar pemandu lori yang berbeza. Berbeza kerana dia punyai pandangan yang berlapis. Mampu melihat satu perkara itu dari kaca mata yang seorang ahli falsafah. Saya mengangguk-anggukan kepala. Entah mengapa.
“Dan paling saya hairan, nama dokumentari itu sendiri namanya Fitna, jelas ia membawa maksud kandungannya itu berunsur fitnah. Lalu mengapa perlu risau?” kata teman saya mengakhiri hujahnya pada malam itu. Lalu dia mengeluarkan lagi sebatang rokok buat membasahi paru-parunya yang sudah kering dengan gumpalan asap. Saya pula terus mengangguk sambil memerhati lori di belakangnya. Memerhati impian saya yang menjadi bunga sakura.