Wednesday, June 30, 2021

Bawalah luka

 Selalunya yang dikatakan luka itu adalah apabila hati mengharap tetapi harapan itu dipatah-patahkan oleh takdir.

Dikatanya cinta tidak memihak. Sedangkan realiti, cinta itu sangat neutral. Tidak memihak kepada sesiapa kerana cinta itu adalah apa yang terjadi dalam hati sendiri. Ia bukan apa yang terjadi di hati orang lain. 

Hati orang lain, cintanya sendiri. Tidak akan berkait dengan kita sekiranya dia tidak suka kepada kita. 

Terlihat semudah itu, dan realitinya memang semudah itu. Tetapi apa yang membuatnya sukar?

Kerana kita manusia tidak akan pernah tahu cara yang tepat bagi merawat luka akibat harapan yang patah-patah tadi.

Memang tidak ada cara yang tepat, kerana cara merawatnya adalah sebelum luka itu sendiri terjadi. Bukan semasa ia terjadi atau sudah berlaku.

Jauh-jauh hari sebelum terluka, ada yang sudah menyerahkan seluruh hatinya kepada yang Maha Esa. Jadi pada ketika harapannya patah, dia memang luka tetapi ubatnya sudah dia ada. Pulihnya cepat.

Ada pula yang selepas hatinya patah, baru mencari ubat dan ketika itulah semuanya terasa sukar. Ada yang demam ada yang sakit, tetapi mujur pada akhirnya sembuh juga.

Ada yang lukanya tidak pernah sembuh tetapi tetap mampu hidup seperti biasa. Dia membawa luka itu bersama sepanjang waktu. Tidak ada apa-apa juga. Kerana harapan baru bukan tentang menjadi orang yang baru. Tetapi upaya untuk kehadapan tidak mengira baru ataupun lama, sembuh ataupun masih luka.

Jadi sekiranya masih tidak mampu memaafkan, tidak mampu melupai, dan masih terluka, itu biasa. Itu bukan tanda tidak ada harapan, tetapi itu tanda cinta kita dan cinta orang itu tidak bersatu. Tetapi cinta tetap kita ada dan punya. Tidak pernah hancur. Yang hancur hanya harapan lama, harapan dengan si dia.

Bawalah luka, tetapi jangan lupa, cinta itu masih ada dalam hati. 


Tuesday, June 29, 2021

Pelangi bukanlah hadiah selepas ribut

 Pagi tadi, saya hantar anak saya ke Bengkel Sains.

Semasa di dalam kereta, dia kata, "Papa, tengok tu, ada pelangi. Lama Caca tak nampak."

Mata saya mengikut arah telunjuknya. Di hadapan sana ada pelangi. Tidak dalam lengkung penuh, hanya kaki pelangi sahaja terlihat warna2 indah. Tetapi itu cukup untuk menerbitkan senyum.

"Apa jadi kat sana?" tanya saya.

"Air terkena matahari."

"Maknanya di sana ada hujan."

Dia diam, terus memerhati pelangi, dan saya diam termenung. Saya tersentak dengan kata2 saya sendiri.

Ternyata selama ini, tafsir saya sendiri tentang pelangi itu tidak sepenuhnya benar. Saya sering mengikut untuk menuliskan 'pelangi' itu adalah hadiah selepas terjadinya 'hujan ribut'.

Sedangkan pelangi itu, adalah lebih hampir kepada lambang kesabaran dan kesyukuran berbanding bahagia itu sendiri.

Ini kerana pada ketika melihat bahagianya manusia, dan hati kita bertanya, "Apa yang terjadi di sana?"

Mungkin sahaja jawapan yang muncul, mereka saling cinta, saling faham mengerti, dan saling doa mendoa.

Sedangkan hakikatnya, yang terjadi adalah kesabaran dan syukur manusia. Kita ini manusia tidak ada yang lepas daripada masalah, tidak lepas daripada silap juga kelemahan.

Lalu perlu kesabaran untuk berperilaku cinta, perlu syukur hati untuk saling mengerti, dan pasti lebih sabar juga syukur untuk sering doa mendoa.

Pasti, perlambangan itu lebih adil untuk semua manusia. Kerana mereka yang hancur hatinya, musnah hubungannya, hilang harta dan rakan, yang berada pada titik rendah keyakinan kerana tidak punya kerja, tidak akan punya lagi kata saling cinta, saling memahami, tetapi masih punyai kata untuk kesabaran dan syukur.

Punyai sabar dan syukur itu sendiri adalah bahagia.

Juga, pelangi tidak perlu terlihat penuh, untuk tampil manis, cukup sekadar warna indah pada kaki pelangi. Kerana kita memilih untuk melihat yang itu, dan kita mampu.

Hidup kita juga begitu. Tidak semua perkara kita perlu melihat keseluruhannya. Ada perkara cukup kita lihat yang indah-indahnya, dan kenang manis-manisnya.

Monday, June 28, 2021

Siapa yang lebih susah?

Adalah sesuatu yang tidak kena apabila lori mengatakan kepada kereta kancil yang ia boleh mengangkut beban sebanyak satu tan, selepas melihat kepayahan kereta kancil mengangkut beban seberat 300kg.

Ataupun apabila kereta kancil mengatakan, yang ia tidak ada masalah parking di tepi jalan sehala tanpa menggangu lalu lintas, mengapa lori tadi tidak boleh?

Ia bukan tentang siapa yang lebih susah, selepas melihat susah orang itu tidak seberapa berbanding susahnya kita.

Ia tentang tahap kita yang berbeza-beza. Masing-masing ada kelemahan, ada kelebihan.

Apatah lagi semasa PKP ini. Memberi komen pada status orang yang meluahkan kesusahannya, dengan memberi contoh diri kita yang lebih susah ataupun ada orang yang kita kenal lebih susah, tetapi boleh menghadapinya, mengapa dia tidak boleh? Adalah sesuatu yang perit untuk orang itu. Kita digalakkan untuk melihat lagi orang yang lebih susah daripada kita supaya kita bersyukur, dan melihat kesusahan orang yang kurang susah pada pandangan kita, tidak akan membantu iman kita. Apa yang perlu adalah empati. Tidak kira sekecil mana susah orang itu, tetaplah simpati dan empati. Berikan kata-kata semangat dan mendoakan mereka. Ya, kita lebih susah, tetapi ia bukan lesen untuk berbangga dengan susahnya kita. Ia adalah sesuatu untuk kita insafi.



Sunday, June 27, 2021

Jiwa yang sakit

 Tekanan perasaan itu sangat benar wujudnya. Ia sesuatu yang boleh berubah menjadi satu penyakit dalam diri dan merosak akal sihat dan hati yang murni.

Siapa sahaja tidak pernah mengalaminya? 

Saya juga pernah dan malah, sering-sering.

Saya memahami satu fakta berkenaan tekanan perasaan, ia mampu berubah menjadi depresi. Akhirnya mental manusia tidak keruan, dan sekiranya tidak diberi rawatan awal, hujungnya boleh membawa kepada dua perkara yang ditakuti, menjadi gila ataupun cuba membunuh diri.

Namun untuk kesihatan mental, depresi bukan satu-satunya faktor. Banyak juga kerana keturunan, maksudnya hormon yang saya tidak tahu apa namanya, berlebihan dirembeskan oleh otak manusia. Jadi, untuk hal yang fizikal sebegini, ubatnya harus juga fizikal. 

Itu menjawab persoalan saya selama ini, mengapa mereka yang punyai masalah kesihatan mental harus kepada pil-pil yang pelbagai jenis. Kerana selama ini fikiran saya, rawatan sakit sebegitu hanya baring dan bercerita tentang masalah mereka kepada doktor. 

Ternyata kesihatan mental ini punyai ruang yang sangat luas, dan hanya doktor yang ada kemahiran sahaja mampu bercerita lanjut tentangnya.

Untuk orang biasa seperti saya, yang sering-sering mengalami tekanan hidup, hanya mampu berharap untuk menyibukkan diri dengan keluarga, dengan rakan-rakan sehingga tekanan itu terhapus atau terlupa bahawa saya punyai masalah yang belum selesai.

Pastinya juga, doa semoga terhindar daripada sakit yang tidak jelas tanda-tandanya ini. Tidak jelas tetapi kesannya sangat mematikan jiwa.


Saturday, June 26, 2021

Menemui cinta dahulu yang sepi di pelabuhan.

 Menemui kembali kisah-kisah dahulu di pelabuhan kenangan adalah sesuatu yang tidak mungkin ditolak dengan sengaja. Kerana kisah-kisah itu kembali dengan bentuk yang pelbagai. Ada datang dengan bentuk catatan, dan ada yang datang dengan bentuk manusia yang utuh tetapi sepi. 

Kisah yang dibawa juga tidak menentu. Ada manusia yang membawa kisah cinta masa lalu. Lalu di situlah hati akan berlabuh dan takut-takut sekiranya ombak pula yang memukul.

Mengenang kisah cinta dahulu dengan manusia yang membawanya akan memberi satu pengalaman yang aneh. Aneh kerana ia terasa sangat manis, namun dalam waktu yang sama ia terasa sangat memilukan. 

Entah mengapa kisah cinta dahulu berakhirnya dengan putus yang tidak bersambung. Walaupun hati benar-benar cinta.

Mungkin kerana jodoh itu rahsia, dan dia bukan termasuk dalam rahsia itu. 

Ombak masa lalu memang akan sentiasa memukul jiwa. Jangan berlabuh lama di pelabuhan kenangan. Sesekali mungkin untuk mengingati bahawa manusia itu tetap punyai jasa dalam membina hidup ini sehingga jadi begini.

Belayarlah kembali. Laut kehidupan masih terbentang luas dan cinta di sisi masih tetap perlu dilindungi masa.