Wednesday, April 29, 2009

Berdialog dengan Taufiqurrahman al-Azizy



Klik gambar bagi imej yang jelas. Taufiqurrahman berkopiah hijau sedang menandatangi buku, dan saya, lelaki gempal berbaju kuning dab bertopi merah :P

Taufiqurrahman Al-Azizy adalah antara tiga orang penulis novel Islami yang mahsyur di Indonesia. Novelnya, Syahadat Cinta sudah lebih 40 kali diulang cetak juga sudah difilemkan. Hampir setiap minggu beliau ke radio atas jemputan sebagai penulis. Malah, beliau sudah sampai ke Hong Kong dan Taiwan dengan menggunakan gelaran novelis Islami. Rencananya sering terpapar di akhbar di Indonesia dan dia antara penulis yang didengar katanya. Selain itu beliau juga sudah menghasilkan lebih 120 buku fiksyen dan non fiksyen. Betul-betul penulis yang prolifik.

Lalu pada pesta buku yang lalu, saya sempat bertemu dan berbual-bual. Kami berbual di luar sebuah kedai fastfood (Marry Brown). Di situ saya belajar banyak perkara dengan beliau. Katanya, sekiranya mahu menulis berkenaan novel Islami, tulis Islam itu sebagai Islam, bukan Islam sebagai simbol. Pasti untuk itu saya jauh belum mampu.

Pesannya lagi, menulis tidak perlu mencari ilham. Biar ilham itu yang datang sendiri. Lalu bagaimana hendak ilham itu datang sendiri? Katanya, jauhkan dosa kerana orang yang berdosa hatinya gelap lalu ilham sukar menembusi hatinya.

Juga saya belajar banyak perkara berkenaan beliau. Beliau seorang yang tegas juga mudah dan ringkas. Ya, mudah ringkas hinggakan kami hanya duduk di luar kedai fastfood dan berbual tanpa langusng ada aksi JAIM (Jaga Imej). Sekiranya mahu ceritakan soal tegasnya pula, pernah suatu masa dia membaca novel, Tuhan, Izinkan Aku Jadi Pelacur dan akhir pembacaannya dia langsung tidak bersetuju dengan penulis, kerana menggunakan label Islam bagi produk Sastera Mazhab Seks (SMS). Kalau yang menulis novel itu ialah Ayu Atumi, ketua SMS sendiri, dia tidak ambil pusing kerana jelas Ayu Atumi itu memang begitu dan Ayu Atumi bukan Islam. Tetapi yang menulisnya ini Islam dan mengaku novelnya itu produk Islam. Akhirnya dia menghubungi penulis itu, mahu menyatakan bantahannya. Mahu berhujah secara berdepan. Katanya, sekiranya si penulis tidak mahu berbincang dengan jalan baik, bergaduh pun dia boleh. Saya pula terus menahan nafas dan berhenti bertanya apa yang berlaku selanjutnya.

Hari itu juga saya belajar satu perkara, apa yang orang lain fahami tidak semestinya sama dengan apa yang kita fikirkan. Kita boleh berfikir apa-apa sahaja, namun jangan fikir apa yang fikirkan itu sama dengan apa yang oleh lain fahami. Malah dalam agamanya juga begitu. Mudahnya, bersedia bagi tidak difahami atas apa yang kita fikirkan.

Itu terjadi semasa kami sudah mula diam. Topik yang panas tadi mulai sejuk. Salah saya juga kerana saya memang manusia yang diam. Lalu kepala saya mencari idea untuk diperbualkan. Terlalu sayang rasanya bagi melepaskan waktu bersama dengan penulis itu.

Selepas saya menarik nafas, saya berkata, “Di Indonesia, ada tak restoran fastfood (sebutannya pasput) yang menggunakan jenama lokal?”

Tujuan saya bertanya kerana mahu mengetahui apa pendapat beliau berkenaan boikot pada KFC dan Mc Donald. Adakah boikot di Indonesia itu berimpak positif sehingga melahirkan usahawan tempatan dengan jenama fastfood nya sendiri?

Namun beliau diam. Matanya tepat dan tajam memandang saya. Saya mula tersenyum yang dipaksa-paksa. Hatinya saya bergetar dengan kepala pula asyik berlegar soalan, apa salah soalan saya tadi? Saya terus memaksa tersenyum.

Beliau kemudian menarik nafas panjang dan mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan terus menunjukkan ke arah saya. Saya mengerut dahi.

“Ya, saya punya pasport. Kalau di Malaysia, pasport nya warna merah kan?” kata beliau dengan pasport antarabangsa Indonesia berwarna hijau di tangannya.

Saya masih diam. Fastfood menjadi pasport? Saya tersenyum. Namun saya tetap belajar sesuatu daripada situ. Akhir dialog kami tak perlulah saya jelaskan, kerana selepas itu semuanya saya sudah lupa.

Terima kasih kerana sudi datang ke Malaysia untuk berkongsi sesuatu.

Maklumat lanjut berkenaan penulis ini

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Hip/20090429063559/Article/index_html

Friday, April 17, 2009

Cerita tentang 20 peratus

Teman saya, seorang yang suka menonton filem. Juga seorang yang suka mengambil sesuatu daripada filem itu bagi diceritakan. Lalu beberapa hari lalu, dia menonton filem Fast & Furios 4. Seperti biasa ada perkara baru yang diceritakannya kepada saya.

Katanya, ada satu babak dalam filem itu yang membuatnya terfikir. Sesuatu berkenaan manusia. Katanya manusia itu terbahagi kepada dua. Jahatnya 80%, baiknya 20%. Satu lagi baiknya 80%, jahatnya pula 20%.

Itu tidak ada apa-apa lagi. Saya masih boleh tersenyum mendengar dia bercerita, bersemangat. Kemudian dia berkata, manusia baik dan jahat itu bukan dinilai daripada berapa banyak peratus baik dan jahatnya. Di sini saya mula mengerut dahi.

Sambungnya lagi, manusia yang baik dinilai melalui cara dia menunjukkan kebaikannya. Walaupun dia manusia yang 80% jahat dan 20% baik tetapi sekiranya dia berjaya menampilkan 20% kebaikannya itu dengan cemerlang, dia tetap digelar manusia baik. Begitu juga sebaliknya.

Di sini saya sudah mengaru-garu tapak tangan. Hati saya mula bergetar lembut. Kawan saya itu kemudian menjadikan ceritanya sempurna dengan menanyakan saya, saya ini manusia yang jenis bagaimana? Saya terus diam.

Mungkin tahu yang saya sendiri tidak tahu, dia memberitahu, supaya sentiasa menganggap diri sebagai manusia yang punyai hanya 20% kebaikan dan 80% kejahatan. Cuma kita dianggap baik kerana kita hanya menunjukkan 20% kebaikan itu. Manakala 80% kejahatan itu pula terlindung dalam hati.

Tujuannya, supaya kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak melambung dengan kebaikan yang hanya 20% itu. Saya terus terdiam. Hati saya mula menerima satu hakikat, ya saya manusia yang hanya punyai kebaikan 20% tetapi terlihat baik kerana hanya 20% itu sahaja yang saya tunjukkan.

Aduhai, Tuhan ampun kan hamba-Mu ini. Ampunkan.

Pesta Buku Kuala Lumpur

17 - 26 April 2009 di PWTC
Datanglah.
:)

Tuesday, April 14, 2009

mereka juga pernah

Lelaki Tua: Kisah 1
Lelaki Tua: Kisah 2
Lelaki Tua: Kisah 3
Lelaki Tua: Kisah 4
Lelaki Tua: Kisah 5
Lelaki Tua: Kisah 6
Lelaki Tua: Kisah 7

Lamanya tidak bercerita dengan dia. Berjumpa pun tidak, entah di mana dia. Mungkin sekarang sedang bersenang-senang dengan cucunya. Entah. Yang utama, hidup ini rasanya kurang satu warna. Cuma saya tidak pasti warna apa, putih ataupun hitam. Kabur. Lalu saya di sini sendiri duduk di hadapan komputer, diam.

“Kamu cari saya?”

Saya mengerut dahi. Perlahan menoleh ke kiri. Seorang tua berbaju merah memandang saya tersenyum. Gayanya kemas, dengan rambut yang berminyak. Senyumnya kali ini lebih cemerlang. Kerut dahi saya semakin banyak. Aik! Baru sahaja saya menuliskan tentang dia, dia sudah muncul di sebelah saya.

“Kamu tahu, apa yang kamu pandang ini, pernah dulu, juga muda. Apa sahaja perkara lama yang kamu pandang sekarang, dahulu pernah baharu,” kata lelaki tua berbaju merah itu. Tangan dilingkarkan ke kerusi.

Saya menetap bibir. Jemari saya di keyboard kaku. Diam.

“Saya juga dulu seperti kamu. Memandang tanpa rasa. Memandang tanpa mahu mengambil hikmah. Cuma pada waktu ini, saat usia saya sudah merangkak senja, baharu saya sedar, suatu perkara....” Lelaki tua itu diam sebentar. Senyumnya sirna, bertukar tegang.

Saya? Lagi-lagi tegang. Mengapa dengan dia?

“Pada usia saya ini, saya baru tersedar yang manusia yang sudah menjadi mayat, pernah dahulu, juga berbaju merah, juga duduk menaip di depan komputer, juga pernah segala-gala yang kita perbuat. Tapi sekarang....”

Saya terus menahan nafas.

Monday, April 13, 2009

karya eksperimen



Sekiranya ditanyakan, genre mana yang lebih saya suka. Saya akan senang mengaku, saya lebih suka dengan genre yang berkisar kepada kehidupan. Seperti Doa Untuk Aku, Dunia Ini Sederhana Kecil dan yang terbaru Detektif Tudung Hitam

Tetapi ada kekecualian. Dalam menghasilkan karya, guru saya mengatakan kita perlu seperti petani di Eropah pada kurun ke-18 yang mengamalkan sistem tanaman giliran. Selepas menanam tanaman kekacang, mereka akan menanam sayuran buah pula dan adakalanya berhenti sebentar. Tujuannya supaya tanah tidak hilang zatnya kerana setiap tanaman yang ditanam bergilir memberikan dan mengambil zat yang berlainan.

Begitu juga saya. Takut-takut nanti kerana kelemahan saya dan kurangnya pengalaman saya dalam penulisan ini membuat tulisan saya klise. Lalu saya cuba menggilirkan genre penulisan. Semoga dengan itu karya tidak terlalu klise. Otak juga segar.

Akhirnya idea itu datang dalam bentuk karya eksperimen. Karya yang disasarkan bagi pembaca lelaki yang lebih menggemari komik. Lalu persoalannya, gaya bahasa, juga plot yang bagaimana? Mujur ada guru yang handal, saya diajar, kisah yang dialognya banyak, akan menjadi kisah yang pantas dan penuh aksi. Susunan plot yang pendek-pendek juga membantu. Itu yang saya cuba walaupun ia bukan stail penulisan kegemaran saya. Akhirnya saya namakan ia karya eksperimen. Adi Gempa juga Perang Kucing, buku sains fiksyen dan fantasi khas untuk lelaki. Buku yang lama tempohnya untuk dihasilkan walaupun tidaklah setebal buku saya yang lain. Semoga ia berjaya. Amin. :)



Friday, April 10, 2009

Untuk pendidik bangsa yang akan ke pedalaman.


Buku ini sudah lama di atas meja. Disuruh baca, disuruh ulas. Namun kerana longgokan buku lain yang perlu dihabis baca sudah mendesak, buku ini tertinggal. Sehingga pada hari ini saya berpeluang menceritakan apa buku ini.

Saya tidak punyai kesabaran sebetulnya bagi menceritakan buku ini berkenaan apa. Namun saya lebih sabar menceritakan rasa yang mungkin dapat diperoleh daripada buku ini.

Ini buku yang ditulis oleh cikgu, yang dihantar mengajar di suatu kawasan pedalaman Sarawak. Buku yang bercerita berkenaan apa yang perlu dan apa yang jangan. Saya suka sekali dengan satu pesanan di dalam buku ini, supaya tetap membawa kita suci al-Quran ke mana-mana sahaja. Walau di tempat tujuan boleh dibeli juga. Sebabnya cukup menyendalkan rasa. Apa sebabnya? Uliti sendiri isi buku ini. :)

Buku ini sebetulnya adalah kisah jujur pengalaman guru itu. Lalu diceritakan pengalaman itu dengan gaya bahasa bercerita yang santai dan mudah. Sehingga boleh dikelaskan sebagai novel travelog. Novel yang memberi inspirasi dan panduan.

Tidak keterlaluan rasanya sekiranya saya cukup-cukup mengusulkan buku ini supaya dibaca oleh para guru yang akan dihantar ke pedalaman. Setidak-tidaknya buku ini mampu menjadi morfin penghilang gelisah hati.

Kesimpulan daripada buku ini, semuanya akan baik-baik saja. Teruskan hidup dan segera dapatkan di kedai buku.:)

Friday, April 03, 2009

selamat pagi sayang

Katakan begini. Hari ini kita baru sahaja membuka mata, dengan selimut yang masih melingkar. Membiar mata perlahan-lahan berkedip, mulut dikemam dan ada rasa lekit di hujung bibir.

Dengan mata terpisat-pisat, tangan yang mengocak-ngocak selimut, membuang jauh ke hujung kaki, tubuh kita lalu tegak. Jemari menyeruak rambut, mengirai-ngirai biar dahi nampak, dengan punggung yang masih tenggelam di tilam, kita mengangkat tangan tinggi, menggeliat.

Hujung bibir kita terjungkit. Di hadapan kita ada seseorang anak kecil yang tidak pernah tahu apa ertinya 'baru bangun' tidur, datang, melompat dan merangkul leher, lalu mencium pipi. Lalu, nikmat mana lagi yang hendak kita dustakan?

:)

Monday, March 23, 2009

Detektif Bertudung Hitam - cuba berbeza



Untuk menukilkan sesuatu yang luar biasa, perlu bermula dengan kisah yang biasa-biasa. Lalu atas itu, novel ini ditulis. Kisah biasa masyarakat kita yang aneh-aneh dan berkenaan semua perkara biasa yang ada di sekitar kita. Itu sahaja. ;-)

Silencez: Ya, novel ini sudah beredar di pasaran dalam minggu ini. Maryamah Karpov pula hanya terbit dalam edisi bahasa Malaysia.

Friday, March 13, 2009

dan malaikat pun....

Waktu itu pagi baru bertatih, masih tersenyum dan tak tahu dosa. Saya duduk takzim di suatu sudut di ruang klinik. Demam.

Sementara menunggu nama saya dipanggil, anak perempuan kecil yang elok tata tudung biru di kepalanya menghampiri saya. Dia tidak tersenyum, tidak juga muncung bibirnya. Matanya terus memerhati saya.

Saya yang waktu itu sedang elok menyemak isi majalah kusam di atas meja, membalas renungan anak perempuan kecil itu. Rasanya, umur anak kecil itu mungkin baru empat ataupun lima tahun. Majalah kusam, saya letak kembali. Duduk saya yang tadi mengiring mula melurus menghadap anak perempuan kecil itu.

“Kenapa pandang saya begitu?” tanya saya dengan kepala yang denyutnya mampu menghalau semut. Sambil tangan saya sudah menari-nari di pelipis, cuba mengusir denyut di situ, jauh-jauh. Namun mata saya tidak pernah jauh daripada wajah anak perempuan itu. Wajahnya berkulit kuning langsat cerah. Bibirnya merah dan bulu matanya aduhai, lentik dan panjang. Apatah lagi dengan mata putih dan hitam yang bulat. Cukup membuat hati saya terkesan.

“Abang mahu dengar cerita? Saya sebenarnya tidak faham cerita ini, tetapi bonda saya yang ceritakan. Katanya apabila saya besar nanti, saya akan faham,” kata anak kecil itu, tiba-tiba.

Saya mengangguk. Berbahasa melalui wajah yang nampak tidak sabar mahu mendengar ceritanya. Namun tetap juga berkata, “Ya, abang sudi.”

“Bonda cerita, hidup ini bukan hanya ada satu peluang. Tuhan sentiasa dan akan memberikan kita peluang. Selagi mana kita percaya dan berbaik sangka dengan Tuhan. Malah terkadang dalam peluang itu ada lagi peluang yang lain. Cuma sahaja manusia yang terlalu memilih peluang. Bonda juga berkata, untuk kebanyakan waktu, bukan manusia yang memilih peluang tetapi peluang yang memilih manusia. Jadi bonda berpesan, sekiranya nanti apabila saya sudah dewasa dan mula berasa tidak punyai peluang untuk dicintai, peluang untuk disayangi, teruskan hidup dengan senyuman. Teruskan berdoa. Kerana doa itu adalah peluang yang di dalam ada sejuta peluang. Hidup itu juga adalah peluang yang di dalamnya ada sejuta lagi peluang. Sekiranya tidak ada peluang dicintai, disayangi, ia adalah peluang untuk kita menyayangi diri kita, menyayangi keluarga dan utama menyayangi Tuhan. Juga adalah peluang untuk kita disayangi Tuhan. Selagi mana kita terus mengambil peluang untuk berdoa dan peluang untuk hidup baik-baik. Bonda pesan lagi, sekiranya nanti saya seolah tidak punya peluang dicintai, jangan terus terburu-buru memilih cinta. Cinta itu bukan maksudnya terburu-buru, cinta adalah hati, berhati-hati. Cinta juga tidak bermaksud putus asa, cinta adalah harapan. Jadi, gunakan peluang yang ada bagi terus berdoa, bagi terus hidup kerana itu adalah peluang yang di dalamnya ada jutaan peluang,” cerita anak kecil itu dengan cukup-cukup panjang lebar.

Saya sepanjang dia bercerita terus-terusan mengangguk, tersenyum. Anak kecil ini betul-betul punyai otak yang cerdas mengingat. Tapi rasanya semua anak kecil begitu, mereka masih terlalu suci.

“Abang tahu, apa sakit bonda saya?” soal anak perempuan kecil itu kemudian lalu terus merapat.

Saya diam. Terdetik hati saya, mengapa perbuatan anak kecil itu sepertinya tidak mengikut aturan, melompat-lompat ceritanya. Sekejap itu, sekejap ini. Mungkin anak kecil memang begitu, dan itu yang saya yakini.

“Bonda kamu mengapa?” soal saya lagi, selepas puas menyeluruhi wajah anak perempuan kecil itu, juga selepas denyut di kepala semakin kecil. Entah, kerana picitan saya ataupun kerana wajah anak kecil itu.

“Bonda beritahu, doa dia sudah termakbul. Saya akan ada adik. Tapi bonda muntah-muntah, lemah juga sering sakit di perut. Jadi bonda saya sakit apa?” soal anak kecil itu dengan nada suara yang sepertinya sedang penuh mulutnya.

Terus sahaja saya tersenyum. Apa yang perlu saya beritahu dia? Itukan sakitnya cinta. Apa bondanya tidak pernah memberitahu hal itu?

“Bonda kamu di mana?” soal saya, kemudian.

Anak perempuan kecil itu diam. Terus-terus sahaja dia memandang saya. Pelupuk matanya tidak berkedip lama, sungguh hebat dia menahan keinginan mata yang mahu mengerdip. Tanpa ada apa-apa tanda daripada saya, anak kecil itu terus sahaja duduk di sebelah saya. Sebelah kanan.

“Saya yang tanya abang dulu. Abang tak jawab lagi soalan saya. Bonda saya sakit apa?” Anak perempuan itu jelas punyai otak yang cerdas. Boleh sahaja dia memberi hujah sebegitu. Seperti Aristotale, menjawab pertanyaan dengan pertanyaan.

Saya mengusap pelipis, menarik nafas dan menata suara yang tertahan di kerongkong. Selesai semuanya, saya berasa cukup bersedia, saya pun berkata, “Sayang, bonda kamu tidak sakit. Kalau boleh dikata sakit pun, bonda kamu sebenarnya sakit buatan cinta. Bonda kamu sedang mengandung adik kamu. Orang yang mengandung memang begitu. Kamu perlu gembira kerana nanti kamu punyai adik, kamu boleh bermain bersama. Abang jamin, kamu pasti sangat menyayangi adik kecil kamu nanti.”

Anak kecil itu masih begitu-begitu wajahnya. Seperti mula tadi. Tersenyum tidak, muncung bibir pun tidak. Hanya mata beningnya sahaja yang terus-terus memandang ke arah saya.

“Ini berita gembira? Saya akan ada adik? Jadi bonda tidak sakit?” soal anak kecil itu lagi, terus-terus.

Saya tersenyum dan terus mengangguk pelan. Anak kecil itu diam. Lama diamnya, dengan mata yang terus mengarah ke arah saya. Saya pula terus-terusan tersenyum.

“Tapi mengapa bonda tidak pernah pulang, langsung tidak pernah. Ayah beritahu, bonda sudah bertemu dengan Tuhan? Sudah masuk ke dalam tanah. Kalau bonda saya tidak sakit, mengapa begitu? Kalau itu berita gembira, mengapa bonda hilang? Apa gembira itu akhirnya memang begitu? Mengapa?” tanya anak kecil itu terus.

Senyum saya lenyap. Denyut kepala saya terbang terus entah ke mana. Hati saya pula sepertinya diapit pintu. Wajah anak kecil itu saya tenung dalam-dalam. Apa lagi yang harus saya katakan? Dan suasana menjadi hening, hening yang tak tertanggung. Fikiran saya kemudian terus melayang kepada cerita bondanya. Adakah itu maksud bondanya dengan pesan, “Sekiranya kamu tidak punyai peluang bagi disayangi, bagi dicintai....”

Seketika hening terganggu, pintu klinik terbuka. Seorang lelaki berwajah bersih tapi mendung terus datang menghampiri anak kecil itu dengan mata yang merah lalu berkata, “Sayang, jangan begini lagi, penat ayah cari.”

Dan seketika juga, dada saya tersendat. Terus-terus sahaja wajah bonda dan ayah berlegar di kepala. Ya, ternyata pesan bonda anak kecil itu berkenaan peluang langsung tidak salah. Peluang yang memilih manusia, dan ada manusia yang masih diberi peluang, untuk mempunyai cinta bonda, ada juga yang sudah tidak lagi punyai peluang itu.

Tuesday, March 10, 2009

Bercinta dengan Maryamah Karpov


Saat pertama kali menerima naskhah tidak untuk dijual ini, hati saya mula mengenang-ngenang segala ulasan yang saya baca dan dengar. Dominannya, segala ulasan itu mengatakan 'sebuah novel' ini adalah novel yang sangat jauh bezanya berbanding Laskar Pelangi. 180 darjah. Tidak sekadar itu, bab-bab atau mozaik di dalam novel ini juga dipersoalkan. Jalur ceritanya membingungkan, tidak melekat seperti butir nasi yang hangat. Yang paling berdengung dalam kepala saya adalah soal Melayu Dalam, berkenaan sikap pembual orang Melayu Dalam, sehingga banyak pembaca merasakan tahap intelek mereka direndahkan. Kata mereka, ceritanya terlalu melebih-lebih. Ragu-ragu saya bertambah kerana saya juga bukan Melayu Dalam. Di kampung, saya masih berdaeng-daeng dan saya masih berbicara ogi yang halus.

Namun, saya mengingat pesan seorang teman yang baik, katanya, walau apapun yang diperkatakan, yang pasti, karya itu akan berbicara sendiri bagi pihaknya. Dengan hati yang terbata-bata, saya mula membaca dari lembaran pertama, dan hairannya saya tidak mahu berhenti. Terus-terusan hingga ke lembaran terakhir.

Aneh. Saya mula memutar kembali segala ulasan yang saya baca dan dengar. Mengapa perkara itu tidak terjadi kepada saya? Saya cenderung takut menjadi tidak normal. Kerana para pengulas itu adalah mereka yang memiliki koleksi buku yang mencecah langit-langit rumah. Bertambah takut, saya langsung tidak berasa intelek saya direndah-rendahkan. Apa intelek saya memang rendah? Aduh. Memang sejak akhir-akhir ini saya banyak termakan semut. Apa saya sudah mendapat impaknya?

Dalam bingung begitu saya fikir mungkin dengan cara berkongsi apa yang saya rasa berkenaan novel ini dapat membantu. Setidak-tidaknya saya boleh memberikan sesuatu yang objektif pada perasaan bingung yang datangnya bak hujan petang.

Untuk memulakannya, mari saya khabarkan sesuatu berkenaan kisah klasik yang paling saya suka. Kisah gajah dengan empat orang buta. Setiap daripada si buta itu menyentuh dan merasai hanya satu bahagian daripada tubuh gajah yang besar. Lalu apabila ditanya gajah itu rupanya bagaimana, yang menyentuh kaki mengatakan gajah itu seperti silinder kasar, yang menyentuh telinga mengatakan gajah itu nipis lembut, yang menyentuh belalai, mengatakan gajah itu memanjang, dan si buta keempat pula mengatakan gajah itu licin dan keras kerana menyentuh gading.

Apabila membaca buku, saya juga memikirkan hal yang sama. Buku itu rasanya berbeza-beza, mengikut cara kita memandang. Untuk saya, saya sukakan buku yang bercerita berkenaan apa yang saya tidak pernah tahu, buku yang membuat saya tidak mampu berandai-andaian. Atas sebab itu saya sukakan koleksi ensiklopedia juga wikipedia. Untuk orang lain juga pasti berbeza.

Usah jauh hati sekiranya ada merasakan saya mentamsilkan gajah itu seperti buku dan orang buta itu adalah pembaca. Itu bukan maksud saya yang keras,cuma mungkin sahaja kita boleh bertanya kepada diri kita, sebelum kita membaca sesebuah buku adakah kita sudah celik dengan isinya. Malah ketika usai membacanya, adakah ada jaminan kita sudah celik dengan seluruh isinya? Adakah kita juga berkongsi rasa yang sama dengan pembaca lain? Pasti ada titik butanya dan ia adalah titik buta yang berbeza-beza.

Jadi apa yang saya rasa berkenaan Maryamah Karpov ini? Rasanya plotnya tidak serpih-serpih, malah ia masih menyambung kukuh antara sesamanya. Cumanya, Andrea gemar merimbunkan buah cerita pada setiap ranting plotnya. Bercerita itu dan ini sehingga membayangi jalur plot utama, tetapi ia tidak terputus, tetap sahaja jalur ceritanya mengalir. Umpamanya air sungai yang perlu melalui beberapa terjun, selekoh dan jeram, bertakung seketika, tidak melancar, namun ia tetap juga mengalir.

Lalu, bagaimana dengan soal Melayu Dalam yang pembual? Sehinggakan Lintang dengan rumus-rumusnya mampu menaikkan kapal lanun yang ratusan tahun tertanam di dasar sungai. Juga cerita-cerita berkenaan pelayaran Ikal yang hebatnya mengalahkan Cheng Ho, berkenaan serba-serbilah di dalam novel ini. Melebih-lebih.


Contoh karya yang melebih-lebih. :P.

Untuk saya, saya berasa cukup bangga dengan semua cerita itu. Untuk pertama kalinya di dalam novel saya membaca berkenaan orang Melayu, orang Nusantara yang super genius seperti Lintang. Jika kisah tentang keperwiraan, kesaktian, cinta, dan kelucahan bangsa nusantara yang setanding barat, itu biasa saya baca, tetapi ini soal cara fikir, soal otak dan itu yang menjadikannya luar biasa. Bukan sekadar sebaris ayat, malah Andrea dengan penuh teliti melukiskan genius Lintang itu dalam ribuan kata, cukup teliti mencabar-cabar ilmunya Newton. Ia memberikan inspirasi. Apa salahnya tentang hal itu? Mungkin sekiranya yang memberikan rumus-rumus genius itu Belanda ataupun Inggeris, kita berasa ia wajar. Aduhai, mana jati diri kita? Sudahlah di dunia nyata kita terjajah dengan pemikiran yang berkiblat barat, lalu dengan di dalam novel, mengapa fikiran masih takluk dengan hal seperti itu?

Malah Maryamah Kaprov tidaklah terlalu melebih-lebih seperti Forest Gump. Namun rasanya sama, mentertawakan struktur sosial masyarakat, menempelak diri sendiri, meneriak kesusahan, dan segalanya berkenaan rasa. Semuanya dengan niat mahu menegur sepertinya embun pagi yang menegur kelopak bunga.

Sekiranya isu mengatakan, “Inikan novel yang berdasarkan kisah benar tetapi mengapa sepertinya terlalu melebih-lebih?” Ya, ia memang kisah benar. Tetapi bukan pada kisahnya Tuk Bayan Tula yang penuh sakti ataupun tentang A Ngong yang menyambut durian jatuh dengan tangan, tetapi kisah benarnya sosial masyarakat di nusantara. Apa yang terjadi di Belitong itu juga terjadi di Kuala Lumpur, di Jakarta, di Pontianak, di Limbang, dan juga di Johor Bahru. Berkenaan kisah masyarakat yang suka membual, memberi gelar, kesusahan, hidup, cinta, mati, dan segalanyalah. Tidak ada kisah yang main-main.

Mungkin atas dasar itu, saya tidak berasa kecewa dengan novel ini. Tidak berasa direndah-rendahkan intelek. Tidak berasa bacaan tersekat-sekat walaupun ada juga pembaca yang membangkitkan persoalan berkenaan pembahagian bab dengan puisi dan dengan selang masa. Mungkin belum lagi membaca novel lainnya, misal yang terdekat, Sasterawan Malaysia, Shahnon Ahmad. Jauh lebih ekstrem dengan bab yang hanya ada sebaris ayat, dengan bab yang hanya ada rajah bulat dengan satu titik di tengah-tengahnya. Teman yang saya yang baik hati memberitahu, anatomi sastera itu tidak pegun. Bukan sekadar pada baris ayat, bukan pada struktur kata, malah pada cara mencipta bab itu sendiri adalah sastera.

Berkenaan Maryaman Karpov yang menjadi tajuk novel, saya ulangi lagi kata teman saya yang baik hati itu, itu adalah anatomi sastera yang melingkar hingga ke kulit buku. Sebetulnya sebelum tajuk 'Maryamah Karpov' itu, di atasnya sudah ada tajuk 'Mimpi-mimpi Lintang', jadi buku ini adalah buku satu daripada Maryamah Karpov. Saya, berandaian, Maryamah Karpov ini pasti ada sambungan. Ya, tak mungkin soal cinta Ai Ling, cinta Mahar tergantung begitu sahaja kerana penamat buku ini berkenaan cinta, tidak mungkin cinta sekadar itu-itu sahaja. Pasti ada buku kedua yang akan menjadikan Maryamah Karpov sebagai inti cerita dan menambah harumkan mawar cinta Mahar, Ai Ling atau mungkin juga Bang Zaitun. Lagi pula, saya di dalam novel ini, hanya nama Maryamah Karpov yang eksotik dan sensual berbanding nama Berahim Harap Tenang, Ketua Karmun, Tancap bin Seliman, Mahmuddin Pelupa, Munawir Berita Buruk, Marhaban Hormat Grak, Warung Kopi Usah Kau Kenang Lagi, Berahim Harap Tenang Junior, dan belasan lagi nama yang pasti menjungkit-jungkit hujung bibir kita.

Jadi bagaimana mahu membaca novel ini dengan bahagia? Di dalam novel ini, Andrea sudah memberi panduannya dengan jelas semasa Ikal yang sudah patah hati ketika membina 'mimpi mimpi Lintang' kerana kesukaran pertukangannya, Lintang berpesan kepadanya, “Kesulitan akan gampang dipecahkan sekiranya mengubah cara pandang, boi.”

Saya cukup terkesan dengan kata-kata itu, dan saat itu, saya mencuba mengubah cara saya memandang sesuatu, termasuk cara memandang novel ini. Memang sulit, tetapi sekiranya kita cuba melihat jati diri kita dengan jujur dan membuang segala perkara yang berkiblat ke barat, ia pasti mengubah cara pandang kita pada karya anak Melayu Belitong ini. Ini novel yang berjiwa besar, novel yang cukup berani bermimpi dan membesarkan ego bangsanya. Sepertinya bunga kecil yang berani tumbuh di padang ilalang. Ya, cukup inspirasi.

Saya tidak cuba memberitahu ulasan ini yang paling betul, cuma saya cuba memberitahu dan berkongsi, yang saya terpegang, tersentuh dan merasai keras, halus dan indahnya gading 'gajah' ini. Lalu apa sisi rapuh novel ini? Selain kisah Hang Tuah dan Hang Jebat yang melawan Belanda, lain-lainnya, cuba dapatkan sendiri novel ini dan biar ia yang berbicara sendiri bagi pihaknya.

Untuk Andrea, terima kasih kerana menjimatkan masa saya kerana untuk waktu yang jarang, semasa ego saya memuncak, saya berpegang dengan kata-kata klasik ini, “Apabila saya mahu membaca novel, saya akan menuliskannya.” Jadi saya jimat masa, tidak perlu menulis novel yang begini kerana apa yang mahu baca ada di dalam Maryamah Karpov. Saya bahagia dengan Maryamah Karpov. Terima kasih.

*Edisi Bahasa Malaysia sedang diproses dan nantikan sahaja. :-)

Wednesday, March 04, 2009

Hari ini pun sama

Untuk kebanyakkan waktu, saya akan mudah mengalami kebanjiran idea. Hanya sahaja, masa saya habis bagi memilih-milih idea mana yang baik untuk saya tuliskan. Namun saya bukan orang bagus dalam soal pengurusan sumber, lalu idea yang bertimpa-timpa itu kemudian surut tanpa apa-apa.

Seperti yang saya katakan tadi, untuk kebanyakkan waktu, seperti hari semalam, hari lepas-lepas dan hari ini juga sama. Akhirnya, saya memilih untuk mengosongkan blog ini tanpa sebarang tulisan. Jadi mungkin ini entri yang akan memberitahu masalah saya dan akhirnya memudahkan saya menyelesaikan masalah itu.

Kerana mengikut satu hukum yang klasik, apabila kita sudah mencatatkan masalah kita, bermakna ia sudah selesai 50 persen. Hah, masalah saya sudah selesai 50 persen, tinggal lagi separuh untuk saya selesaikan. Semoga. :-)

Thursday, February 26, 2009

Setahun berlalu....

Tanpa sedar, masa berganjak pantas. Lalu Apa yang tersisa untuk saya selain kehidupan adalah dia, Elisha. Semoga kamu tumbuh menjadi gadis syurga.

Hari ini genap umur kamu setahun. Selamat untuk kamu sayang. :-)



Di rumah pelajar isteri saya, di Sarawak. Dengarkan bahasa Sarawak eksotik. :-)

Wednesday, February 25, 2009

Cinta yang ada-ada

Untuk sesiapa yang pernah membaca buku The Girl who loved Tom Gordon, Stephen King. Pasti tahu berkenaan ayat yang mengatakan dunia itu bergigi dan boleh mengigit bila pun dia mahukan.

Lalu saat itu pernah dirasai oleh seorang teman saya yang saya gelar Rahmat. Rahmat pemuda bandar dari golongan menengah. Ayahnya pegawai kerajaan dan ibunya cikgu. Hidupnya aman dan tenang sehingga pada suatu hari Rahmat mengetahui yang dia sebenarnya punyai kecenderungan mencintai seorang gadis golongan orang ada-ada, ada Ferarri.

Rahmat tahu dia lelaki kelas menengah, namun nalurinya, nafsunya, menyentak-nyentak ulur hatinya supaya menata wajah dan pakaian persis golongan orang ada-ada itu. Rahmat akhirnya tewas dan kisahnya dunia yang bergigi pun bermula.

Rahmat, tahu berkenaan cinta kepada golongan orang ada-ada, ia perlu disatukan ataupun dibiarkan. Tidak ada jalan sederhana bagi mendapatkan cinta gadis golongan orang ada-ada itu. Lalu Rahmat pada suatu tengah hari yang mendung memberanikan diri memberitahu isi hatinya.

“Saya tahu, saya ini tidak setaraf kamu berkenaan material. Kamu lebih atas sekiranya berkenaan hal itu. Tetapi sekiranya kamu mahu mengukur kasih saya kepada kamu, tidak ada yang boleh mengataskannya lagi. Saya betul-betul kasihkan kamu,” ucap Rahmat dengan hati yang sedia dengan sebarang penolakkan.

Gadis golongan ada-ada itu berkata sambil tunduk, “Cinta bukan sekadar material. Saya juga tidak pernah mendambakan material setinggi gunung. Tetapi ada hal yang lebih atas daripada material dan cinta. Ia hal membuatkan semua lelaki tidak boleh meneruskan cintanya.”

Hati Rahmat terus berdegup kencang. Fikirannya terus menyuntik kata-kata semangat, supaya hatinya boleh menerima penolakkan yang dahsyat. Bayang-bayangnya sudah nampak.

“Katakan sahaja, apa yang boleh membuatkan saya menghentikan cinta saya?” tanya Rahmat.

“Saya sebenarnya bukan daripada golongan orang ada-ada,” jawab gadis itu.

“Lalu, apa masalahnya. Itu lebih bagus!” ucap Rahmat dengan senyuman.

“Itulah masalahnya. Saya cuma isteri kepada golongan orang ada-ada. Jadi saya yakin pasti cinta kamu sudah terhenti di situ,” jawab gadis itu perlahan lalu terus berlalu menuju ke seorang lelaki rambut putih di dalam Ferrari merah.

Rahmat diam. Cintanya mati di situ. Ternyata dunia itu memang bergigi dan sekarang gigi dunia sedang mengunyah-ngunyah hatinya.

Tuesday, February 17, 2009

Saat imaginasinya berkepak

Lanjutan kisah:

Si tukang sapu sampah dan si cinta

Katanya, apa sahaja yang dibuat untuk dirinya adalah kerana untuk memuaskan hati mereka yang ada di sekitarnya. Alasannya mudah. Dia adalah manusia kecil yang tidak tahu apa mahu dirinya sendiri. Hatinya tidak pernah terpaut pada kata jiwanya. Semuanya adalah untuk mereka-mereka yang ada di sekitarnya.

Jatuhnya tidak sakit, cuma jatuhnya jauh dari imaginasi. Lalu tanpa imaginasi, apa lagi batas hidup yang boleh dijadikan sempadan? Mungkin mati.

“Untuk kamu si tukang sapu sampah, hidup kamu tidak perlu imaginasi. Kamu bukan ahli politik, kamu bukan penulis. Kamu hanya perlu hidup dengan apa yang ada di hadapan kamu, menyapu terus apa yang ada dijalanan. Tidak perlu berimaginasi bagaimana rupanya sampah. Kamu tahu apa yang beruntung berkenaan hal itu? Kamu boleh hidup dalam jalur yang lurus. Boleh menjauh daripada dosa imaginasi,” kata seorang lelaki yang berdiri di belakang penyapu sampah yang sedang santap dengan nasi lemaknya.

Tukang sapu sampah itu diam lalu perlahan berpaling. Hatinya berdesit, bala apa pula yang datang ini? Memberikan pelbagai kata yang aneh-aneh'.

“Jadi apa sahaja yang dikatakan oleh penjual nasi lemak itu, jangan kamu terlalu ambil pusing. Jangan pula kamu langsung tidak menanggapinya. Cuma tetap sederhana. Melihat tapi tidak menyentuh. Menghidu tapi jangan merasa,” kata lelaki itu lagi yang masih tetap berdiri.

Tukang sapu sampah itu kembali menyambung suapan yang terhenti. Matanya tumpul mengarah pada penjual nasi lemak di seberang jalan.

“Maaf, tumpang tanya, saudara ini siapa? Dan apa kaitan saudara dengan penjual nasi lemak di hadapan?” tanya tukang sapu sampah selepas beberapa detik dia merasakan lelaki di belakangnya itu masih tidak berganjak, kaku di situ.

“Anggap saja saya sahabat. Tetapi sebelum lebih lanjut, saya mahu tanya, apa yang kamu fikirkan berkenaan kata-kata penjual nasi lemak itu?” soal lelaki di belakangnya.

Tukang sapu sampah itu diam. Fikirannya melayang-layang ke langit pertama. Kata-kata yang mana? Kata-kata promosi berkenaan sambalnya yang sedap ataupun harga nasi lemaknya yang tetap murah?

“Kata-kata yang mana?” soal tukang sapu sampah dengan mulut yang masih mengunyah suku daripa ruang mulutnya.

“Suatu saat nanti dengan hati kamu yang besar itu, kamu terpaksa memberikan nilai yang tinggi pada sesuatu perhubungan walaupun hakikatnya, bukan itu yang kamu niatkan. Cuma sahaja, hati kamu besar.”

Tukang sapu sampah diam. Apa perlu kata-kata itu untuk dia? Diakan hanya tukang sapu sampah yang hidup pada jalur yang lurus. Tidak perlu pontang panting dalam imaginasinya. Jadi kata-kata begitu, apa perlunya? Tukang sapu sampah terus menggeleng kepala.

“Untuk kamu biar saya beritahu. Penjual nasi lemak itu bermaksud, kamu nanti akan menjumpai seseorang yang hati kamu menganggapnya sahabat. Kamu melayannya dengan penuh hikmah. Namun pada saat yang sama sahabat itu akan menanggapi layanan kamu itu sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar sahabat. Ia perlahan-lahan berlaku sehingga kamu mengetahui apa isi hatinya tetapi waktu itu kamu sudah terlambat dan kamu dengan hati yang tidak rela terpaksa menyambut apa mahu hatinya. Waima itu rasa yang kamu tidak punya,” jelas lelaki di belakangnya itu.

“Jadi apa perlunya hal itu untuk saya? Saya kan hanya penyapu sampah?” tekan tukang sapu sampah itu lagi.

“Tidak ada perlunya, cuma sahaja saya mahu mengingatkan, berjiwa besar bukan bermakna tidak mengecewakan. Jangan takut untuk mengecewakan, kerana apa perlunya air mata kalau ia bukan untuk hal-hal seperti itu. Lalu hal yang utama daripada itu, sebagai sahabat, saya...,” kata lelaki di belakangnya tergantung.

“Apa?” tukang sapu sampah mengerut dahi.

“Harap kamu boleh membeli VCD Senaman ini. Biasanya kami menjual dengan harga RM50, tetapi hari ini, untuk abang saya jual RM10 sahaja,” kata lelaki yang berdiri di belakangnya itu sambil menghulurkan VCD dengan senyuman yang menampakkan gigi sederhana putih.

Tukang sapu sampah itu diam. Wajahnyanya tanpa sengaja berkerut. Kata-kata si penjual nasi lemak dan kata-kata lelaki di belakangnya kembali terulang di telinga. Apakah maksudnya? Perlahan-lahan fikirnya mula menerawang, cuba lari daripada jalur lurus, berimaginasi, dengan dahi yang terus berkerut.

Friday, February 06, 2009

Si tukang sapu sampah dan si cinta

Pagi itu, tukang sapu sampah sudah duduk di bawah pokok sambil mengesat peluh. Matanya meliar ke seberang jalan. Ada lelaki sedang sibuk membungkus nasi lemak yang yang mengasap nipis. Halkum tukang sapu sampah itu perlahan mula turun naik.

Pagi tadi dia baru sahaja menyapu segala sampah daripada manusia-manusia bijak pandai di ibu kota itu. Dari sekecil-kecil pin, hingga sebesar-besar sofa. Dari semulia lembaran kitab suci sehingga pada kantung getah lonjong yang berisi cecair putih.

Tukang sapu sampah itu berdiri perlahan, melangkah perlahan, namun peluhnya masih mengucur deras dari dahi, jatuh ke pelupuk mata, singgah ke pipi dan terus menitik setitik ke lidah. Tukang sapu itu menggeliat wajahnya, bibirnya dikemam-kemam. Seketika dia sudah tegak di hadapan si penjual nasi lemak.

“Hendak apa?” soal si penjual nasi lemak sambil tersenyum.

“Nasi lemak biasa,” jawab tukang sapu sampah. Halkumnya sesekali masih turun naik.

Tangan si penjual nasi lemak itu tangkas. Hanya beberapa detik nasi lemak sudah terbungkus. Tukang sapu sampah tersenyum lalu mengaduk kocek seluarnya. Dahinya berkerut apabila memandang apa yang ada dalam genggamannya. Dia kembali bertatapan dengan dengan si penjual nasi lemak.

“Tambahkan kerang dan ayam goreng, ya,” kata si tukang sapu sampah.

Si penjual nasi lemak tersenyum lagi seraya berkata, “Kamu tidak ada wang kecil, ya?”

Tukang sapu sampah diam. Matanya tetap menatap si penjual nasi lemak.

“Biasanya memang begitu. Apabila si pembeli tidak punyai wang kecil, sedangkan beliannya hanya kecil dan bagi tidak membuat si penjual jengkel dia menambahkan nilai beliannya,” sambung si penjual nasi lemak sambil tangkas menceduk ayam dan kerang.

“Maaf, saya hanya ada wang 50 ringgit. Gaji baru masuk,” kata si tukang sapu sampah dengan nada suara yang bergetar.

“Jangan pula kamu rasa bersalah. Saya tidak marah malahan suka. Cuma sikap kamu itu melambangkan diri kamu,” tegur si penjual nasi lemak.

“Sikap saya? Apa?”

“Suatu saat nanti dengan hati kamu yang besar itu, kamu terpaksa memberikan nilai yang tinggi pada sesuatu perhubungan walaupun hakikatnya, bukan itu yang kamu niatkan. Cuma sahaja, hati kamu besar.”

“Maksudnya?”

“Kamu akan faham sendiri nanti,” kata si penjual nasi lemak lalu tersenyum.

Si tukang sapu sampah mengerut dahi sambil perlahan-lahan menghulurkan not RM50.

Thursday, February 05, 2009

PPSMI - antara cinta dan air mata :P

Isteri saya guru sains. Dia mengajar di suatu kawasan pedalaman di Sarawak. Dia mempunyai kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi dan tidak ada masalah mengajar dalam bahasa Inggeris. Malangnya, dia sedikit kecewa, apabila anak-anak muridnya cukup jarang yang mendapat A dalam PMR. Lalu apa pandangan dia berkenaan PPSMI? Saya tidak pernah bertanya.

Segala cara sudah dia lakukan, semuanya. Namun yang pasti, mengajar di suatu kawasan pedalaman, dia sebenarnya tersepit, keliru, sama ada dia sedang mengajar sains ataupun sedang mengajar bahasa Inggeris? Untuk saya, PPSMI tidak dicipta untuk mereka yang di pedalaman. Mereka di sana tidak mempunyai pola berfikir dalam bahasa Inggeris, kerana kurangnya pendedahan daripada ibu bapa. Tidak juga dicipta untuk mereka yang di bandar kerana rata-rata murid di bandar sudah cukup hebat bahasa Inggerisnya, tidak perlu lagi pengukuhan.

Lalu sekiranya PPSMI itu bukan dicipta untuk pelajar sekolah, lalu ia dicipta untuk siapa? Mungkin aneh, tetapi hakikatnya ia dicipta untuk graduan menganggur. Mengapa? Kerana dahulu heboh dengan meningkat graduan yang menganggur kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Akhirnya, para bijak pandai mengatakan bagi mengatasi masalah itu, pelajar perlu fasih bahasa Inggeris dan caranya PPSMI dicipta.

Aneh. Masalah yang berbangkit adalah masalah graduan menganggur, namun cara penyelesaiannya pula diberikan pada pelajar sekolah. Seumpamanya, seseorang yang mengadu sakit kepala, tetapi doktornya memberikannya pil perancang.

Masalah graduan menganggur, tidak ada kerja, penyelesaiannya, wujudkan kerja. Masalah tidak fasih berbahasa Inggeris itu terlalu digembar-gemburkan. Seharusnya perkemaskan lagi cara pembelajaran bahasa Inggeris, sekiranya perlu tambahkan waktu subjek.

Jadi apa cadangan saya? Melayukan semua sektor korporat kita. Mulai daripada segala jenis surat pinjaman, kontrak dan surat-surat. Melayukan semua, minimakan bahasa Inggeris. Apakah dengan meminimakan penggunaan bahasa Inggeris kita akan gagal? Bagaimana dengan contoh yang terkini, Edrogan masih mampu memarahi Peres dengan bahasa Turki. Iran masih mampu menghantar satelit ke angkasa dengan bahasa Parsi.

Mungkin ada yang berkata, ekonomi bukan dipegang oleh orang Melayu, cadangan ini sampah. Tidak mungkin bahasa Melayu dijadikan bahasa bisnes, ia perlu bahasa Inggeris. Jadi, sekiranya begitu, PPSMI itu tidak juga dapat membantu malah menambah parahkan masalah. Sudahlah tidak tahu berbahasa Inggeris, tidak dapat A pula dalam matematik dan sains. Sedangkan subjek-subjek itu perlu bagi kelangsungan riwayat pelajar dan seterusnya negara bangsa. Jadi, apa yang akan membantu? Mansuhkan PPSMI.

Terima kasih.

Friday, January 23, 2009

mimpi-mimpi yang masuk akal

Teman saya sering ditanyakan berkenaan satu persoalan. Dia sudah bercinta selama tujuh tahun dan akhirnya, dia tetap menikah dengan cintanya itu. Hairannya, semua mahu bertanya kerana teman saya seperti lari daripada klise hidup. Klise hidup mengatakan, pasangan yang bercinta terlalu lama, akan menikah dengan orang yang berbeza. Maknanya, semakin lama kamu bercinta, semakin nipis harapan untuk kamu bersama dalam ikatan yang sah.

Teman saya ini tersenyum lalu menjawab dengan penuh takzim. Katanya, usia sesuatu hubungan memang bukan pengukur bagaimana seharusnya hubungan itu berakhir. Apa yang menjadi ukuran adalah, sama ada hubungan cinta itu masuk akal ataupun tidak.

Saya terhairan-hairan dengan jawapan teman saya. Apa maksudnya dengan cinta yang masuk akal? Mujur dengan tersenyum dia memerikan misalan. Katanya, dia suka dengan seorang gadis yang cantik dan gadis cantik itu juga suka kepadanya kerana dia berwajah tampan, lalu akhirnya mereka pun bercinta.

Pada awal hubungan, cinta itu masuk akal. Kerana mula cinta itu adalah pada paras rupa dan gadis itu cantik, dia pula tampan. Tetapi selepas fasa itu ada lagi fasa yang seterusnya, iaitu pengukuhan cinta. Pengukuhan cinta itu terpulang pada individu. Ada yang mahu cinta dengan hidup yang selesa, ada yang mahu cinta dengan cita-cita seiring dan ada yang mahu cinta dengan restu keluarga.

Pada fasa ini cinta sering kali sudah tidak masuk akal. Misalnya tadi, dia bercinta dengan gadis cantik yang tertarik kepadanya kerana wajah yang kacak, dan dia tertarik pada gadis dengan wajah yang cantik. Tetapi gadis itu juga mahu cinta dengan hidup yang selesa, maksudnya lelaki itu perlu bekerja dan banyak wang. Sedangkan dia sendiri masih belajar lalu belum bekerja dan mahu cinta yang seiring dengan cita-citanya.

Pada saat ini cinta sudah lagi tidak masuk akal. Bagaimana mereka hendak bersatu? Salah satunya perlu beralah tetapi pada saat ini, biasanya tidak ada yang mahu mengalah dan akhirnya cinta pun bubar. Akhirnya si gadis terus menikah dengan lelaki kaya. Walaupun mungkin ia bukan cinta sejati, tetapi itu cinta yang paling masuk akal. Begitu juga dia, dia akan menikah dengan gadis yang sealiran dengannya. Mungkin ia bukan juga cinta sejati, tetapi ia tetap cinta yang paling masuk akal.

Saya yang mendengar mengaru-garu belakang telinga. Teman saya tersenyum lagi dan kembali menyambung, cinta sejati pula bukan bermakna ia cinta yang masuk akal. Cinta sejati itu biasanya terus daripada hati, picu cinta itu biasanya daripada benda yang abstrak dan subjektif. Misalnya pada fizikal ataupun kata-kata. Ia ada perkara cukup abstrak dan subjektif. Ia langsung tidak menyangkut pada sesuatu yang kukuh dan objektif. Selepas beberapa ketika, cinta sejati itu walaupun masih membara, terpaksa juga dilepaskan kerana sifatnya itu yang tidak masuk akal. Lalu sebab itulah lahirnya ungkapan, 'cinta tidak semestinya bersatu' ataupun 'cinta tidak bermakna memiliki' ataupun 'cinta perlukan pengorbanan'. Semua ungkapan itu adalah tepat bagi menggambarkan cinta sejati.

Lain pula dengan cinta yang masuk akal, ia puncanya daripada akal. Apabila tuntutan yang sudah disenaraikan dalam fikiran menjadi keutamaan, ia boleh mendorong cinta yang masuk akal. Ia lebih nampak dan objektif. Misalnya si perempuan mahukan lelaki yang berpendidikan dan punya wang, ia adalah cinta yang masuk akal baginya. Lalu usah hairan melihat ramainya lelaki tua kaya yang menikahi gadis muda, kerana untuk gadis muda itu, ia adalah cinta yang masuk akal. Tetapi tetap juga saya bertanya, bagaimana pula dengan perempuan cantik dan kaya yang menikahi lelaki yang tidak bekerja?

Teman saya menjawab mudah, ia mungkin cinta sejati tetapi yang pasti ia adalah cinta yang tidak masuk akal. Lalu dia kembali bertanya kepada saya, apa akhirnya cinta yang tidak masuk akal itu?

Saya mengangguk-angguk sendiri lalu tersenyum. Teman saya berkata pada akhirnya, kunci kejayaan cinta adalah cuba menjadikan cinta sejati itu menjadi cinta yang masuk akal. Malah cinta monyet sekalipun sekiranya ia mampu dijadikan cinta yang masuk akal, tanpa sekadar khayalan cinta yang memabukkan, ia juga boleh memberi akhir yang membahagiakan. Begitu juga halnya dengan cinta yang masuk akal, ia tetap boleh berubah menjadi cinta yang sejati sekiranya tahu maknanya redha dan mensyukuri. Tetapi kuasa Tuhan tetap jugalah menjadi penentu akhir. Lalu dia berpesan, periksa kembali cinta saya, cinta masuk akal ataupun cinta sejati?

Thursday, January 22, 2009

Ke langit Palestin

Apa lagi mampu saya lukis,
tersenyum pun dia tidak mampu.
hanya bayang-bayang hitam,
dengan derap dan gema peluru,
melatari pelupuk mata.

Apa lagi mampu saya khabarkan,
berkata cinta pun dia tidak sudi,
hanya merah darah,
dengan gelap langit,
menyendalkan ke dalam jiwa.

Apa lagi mampu saya megahkan,
menggempur pun tidak berdaya,
hanya marah hati,
dengan segunung doa,
berterbangan ke langit Palestin.

Monday, January 19, 2009

Miskin kata-kata

Hari ini saya miskin kata-kata. Lalu nikmati sahaja video ini. :-)