Friday, March 25, 2011

untuk sedar dan mengerti

Daripada dialah, banyak perkara yang saya tahu dalam hidup saya. Di mana saya belajar perkara yang sudah ramai orang tahu selain saya. Di mana saya mengerti erti hidup pada saat sudah ramai orang mengerti. Itulah teman saya, tempat saya mengerti yang saya ini manusia lambat untuk sedar dan mengerti.

Saya juga lambat dalam belajar berkenaan perkara yang ini, pada saat manusia lain sudah lama tahu dan teman saya yang seorang juga sudah lama tanamkan dalam hati.

Semuanya bermula pada saat kami berbual perkara yang mudah dan kemudiannya melarut pada perkara yang sukar. Perkara berkenaan doa juga menjadi hal yang kami bualkan.

Berkata teman saya kepada saya, “Lalu apa yang kamu selalu doakan?”

Tunduk juga hati saya mendnegarkan soalan itu. Pada saat saya berdoa adalah selepas saya solat, saya mendoakan kebaikan untuk diri, kekuatan, kesabaran dan segala macam perkara bagus yang pernah saya tahu. Namun pada banyak waktu, usai solat saya sering lalai untuk berdoa kerana kononnya mengajar masa. Lalu, saya jadi malu-malu pada soalan itu.

Dikeranakan wajah teman saya itu masih menagih jawapan, saya menjawab juga soalan dia berkenaan doa-doa saya. Semua perkara yang baik-baik.

“Bagaimana dengan jawapan Tuhan?”

Soalan teman saya itu terdengar cukup besar untuk orang yang tidak pandai agama seperti saya. Saya betul-betul tidak tahu bagaimana jawapan Tuhan untuk doa-doa saya. Oleh kerana takut terlihat bodoh saya menjawab juga, “Sekiranya Tuhan tidak menjawab di dunia, di akhirat mungkin ada jawapannya. Yang utama sabar.”

Teman saya tersenyum.

“Sebenarnya untuk kebanyakan doa kamu, Tuhan sudah menjawabnya.”

Risau hati saya kepada teman saya itu meninggi. Takut-takut juga saya sekiranya dia memasuki ajaran sesat sehingga dia boleh tahu yang Tuhan sudah menjawab doa-doa saya.

Mungkin dikeranakan wajah saya yang sudah waswas, teman saya itu menjelaskan lagi lebih lanjut.

“Tuhan tidak semestinya terus memberikan kamu hati yang sabar pada saat kamu memohon menjadi orang yang sabar. Tuhan tidak semestinya datangkan duit secara tiba-tiba pada saat kamu memohon kekayaan. Tuhan tidak semestinya datangkan kekuatan hati pada saat kamu memohon kekuatan hati. Tuhan tidak semestinya datangkan kefahaman dan pandai dalam kepala kamu pada saat kamu memohon kefahaman. Tuhan juga tidak semestinya memberikan kamu bahagia secara tiba-tiba pada saat kamu merintih berkenaannya.”

Saya diam, dan kata-katanya saya benarkan. Dia menyambung.

“Pada saat kamu berdoa memohon hati yang sabar, mungkin Tuhan datangkan ujian berupa kata-kata hinaan manusia supaya hati kamu dilatih bersabar. Pada saat kamu memohon kekuatan hati, Tuhan datangkan ujian musibah dunia supaya hati kamu belajar menjadi kuat. Pada saat kamu memohon kefahaman, Tuhan datangkan persoalan-persoalan hidup supaya kamu berguru dan menjadi faham. Pada saat kamu memohon kekayaan, Tuhan datangkan peluang untuk kamu rebut. Pada saat kamu memohon bahagia, Tuhan datangkan saya, teman-teman dan keluarga untuk kamu peluk ia menjadi bahagia. Itu semua mungkin tetapi yang paling pasti, untuk semua itu Tuhan datangkan rahmat kepada kamu kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.”

Saya menahan nafas.

“Kamu tahu apa masalah kamu dan banyak manusia lainnya termasuk saya?”

Saya memandang dia, penuh takzim.

“Kita sering lambat untuk sedar dan mengerti.”

Saya pejam mata. Benarnya kata teman saya itu sehingga saya teringkat-ingat. Saya sering lambat untuk tahu, betapa besarnya kasih orang tua sehinggalah tubuh mereka sudah renta. Saya lambat mengerti betapa sayangnya seseorang itu kepada kita sehinggalah dia berlalu pergi. Terkadang untuk perkara kecil juga saya terlupa, betapa pentingnya selipar saya sebelum ia lenyap di masjid.

Sebelum saya semakin banyak teringat-ingat teman saya kembali berkata.

“Allah maha pengampun, dan sehingga kita masih bernafas, sehinggalah itu kita masih belum terlambat untuk apa-apa pun. Termasuk untuk sedar dan mengerti.”


8 comments:

merah_humaira said...

MasyaAllah. Bait bahasanya meruntun hati. Terima kasih. Benar Tuan. Hati saya juga lambat tersedar. Kita mahu matahari tetapi Tuhan mahu beri kita lebih dari itu. Hujan dan kemudian hadirnya pelangi. Cukup unik aturan Tuhan. Terima kasih Tuhan.

farwalis said...

bab selipar tu mencuit hati. hi hi

Anonymous said...

terkadang aku merasa sama.

Anonymous said...

terkadang aku merasa sama.

fauzan said...

salam.

saua ingin mohon kebenaran tuan untuk copy entri ini di blog saya untuk dikongsi.

url [akutengahblur.blogspot.com]

Rafi Harumin said...

Assalamu'alaikum.

ALLAH sentiasa ada untuk hamba yang menuju kepadaNya.

Wallahua'lam.

MDM FARAH FAIZURA said...

Terima kasih semua. )

@Fauzan, kongskikanlah. :)

Tuomais said...

Appreciate you bblogging this