Kenangan.
Membilas-bilas hati dengan kenangan, agar dapat mudik ke dalam ketenangan, terkadang menjengkelkan. Ada kenangan yang berada pada tempat-tempat, yang menyisakan garis bahagia masa lalu, namun, tidak kurang kenangan yang bergemuruh dengan pekik perih.
Memekap kedua-duanya dalam hati, lalu cuba mengambil hikmah yang tidak rimbun tetapi tua dan tinggi, adalah perkara yang sering membuat hati saya terbatuk-batuk. Tidak mudah walaupun sudah didesak-desak.
Sehingga suatu hari, saya terhempas pada suatu kata-kata sederhana berkenaan kenangan. Kata-kata sederhana yang apabila sahaja menjelang Syawal, pasti berkicau-kicau dalam hati, sekonyong-konyong saya sedar, kenangan jenis apa yang mahu ditatang.
Cerita.
Sudah ramai yang saya kenal orang namun tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi dia, dalam bercerita. Ceritanya pasti menjemput jiwa kita dengan halus, berlebihan, dan terkadang memotong-motong hati kita dengan pisau kata, yang pedihnya sampai ke ubun-ubun.
Itu yang sering terjadi kepada saya apabila bertemu dia. Cuba-cuba saya tidak berbual dengan dia, sendiri-sendiri, kerana mudah saya takluk dengan kata-katanya pada saat saya sendiri. Tidak langsung saya mampu menghalang emosi daripada kata-katanya itu menggeser hati saya.
Namun, hari itu, kata-katanya tetap merubung saya. Membuat saya terpaksa berurusan dengan air mata. Dia, adalah sepupu dekat saya.
Ramadan.
Waktu itu, Ramadan hampir khatam. Serpih-serpih mercun, dan bunga api sudah menghambur di jalan-jalan. Waktu itu jugalah, saya bertemu dia, pada hening senja yang berguling-guling. Dia, waktu itu bergumpal wajahnya dengan senyuman, senyuman yang saya tahu akan memaku saya bagi mendengar ceritanya.
Sambil tersenyum yang membesarkan hati, dia berkata, “Kamu tahu, apa yang saya paling ingat tentang arwah ibu kamu?”
Seperti yang saya sudah katakan, kata-katanya itu terkadang ibarat pisau yang akan mengelar hati, yang pedihnya sampai ke ubun-ubun. Senja itu, kata-katanya terus menghantar saya ke ruang kenangan yang membuatkan dada saya sesak, dan saya hanya diam, menggeleng.
“Apa yang saya paling ingat berkenaan arwah ibu kamu, adalah, apabila dia mengingati seseorang, dia cuma mengingati perkara yang baik-baik sahaja tentang orang itu. Atas kerana itu, saya sering mengingatinya begitu, mengingati perkara yang baik-baik sahaja tentang dia,” jelas sepupu dekat saya itu dengan mimik wajah yang memukul hati saya dengan emosi.
Senja itu, dalam melanggar kenangan, saya mencuba, dan sehingga kini, saya tetap mencuba, untuk mengingati yang baik-baik sahaja tentang sesiapa pun yang saya kenal, kerana hanya itu, yang akan membuatkan orang mengingati yang baik-baik sahaja tentang kita.
Maaf.
Tidak berubah sedikit pun, pada saat ini, saya mahu memohon ampun dan maaf atas semua salah saya, kepada semua. Teman-teman, para teman sekerja, bos-bos, kepada editor, para pembaca blog, dan novel saya. Maafkan saya, ampunkan saya, kerana manusia seperti saya ini, sangat mudah membuat salah. Untuk saya, pada sepanjang waktu ini, saya sedaya upaya cuba hanya mengingati perkara-perkara yang baik sahaja, pada kisah kita semua.
Selamat menyambut Aidilfitri. :)
7 comments:
Selamat menyambut Aidilfitri!!..
cantiknya bahasa anda =)
salam Aidilfitri :)
Dingin yang menyamankan.
saya pahatkan nama saudara dalam hati saya. Ukiran yang cantik-cantik sahaja. Supaya hati ini tetap tersenyum nyaman dalam kedinginan bahasa saudara. Tersenyum riang sekadar yang elok. Tidak lebih dan tidak kurang.
Salam lebaran buat saudara.
Minal aidi wal faizin
Selamat hari raya, Abang Baha!
Lama tak meniggalkan komen dalam sini, tetapi ketahuilah, saya maklum singgah di sini..
Selamat semuanya :)
selamat hari raya maaf zahir dan batin. Membujur lalu melintang patah, syawal dah hilang,namun hamba suka-suka meminta maaf zahir dan batin.
maaf tetap dihulur dan diterima bukan?=P
wah!!!baru 2 tahun,makin byk buku yg ditulis.Menunjukkan betapa byk buku yg dibaca....jeles2.
Post a Comment