Friday, May 16, 2008

sekadarnya

Dia pernah berkata begini, “Walaupun kamu... orang tidak suka, orang benci, tetapi saya tetap sayang kamu.... sampai mati.”


Saya lalu tersenyum. Benar... sayang itu cukup sekadarnya. Pendek tapi penuh makna.



Dan itu adalah kata arwah ibu untuk saya :-)

Selamat hari ibu*.


*Hari ibu disambut pada setiap hari sehingga kita mati.



Wednesday, May 07, 2008

Ini adalah iklan

Untuk membaca entri seterusnya, tunggu apabila saya rajin.

Klik: Mencari penulis

Jadi apa yang luar biasanya tentang hal ini?

Luar biasanya adalah kamu bisa peroleh personal coach daripada editornya

Dahulu saya pun bermula daripada sini.

:-)

Monday, May 05, 2008

sakura dan teman yang menyayangi Geert Wilder

Dahulu saya masih ingat lagi saya punyai impian mahu membeli lori. Kerana pada waktu itu saya mempunyai fikirannya yang bercabang. Saya mahu pengangkutan yang bukan sahaja boleh membawa saya ke sana ke sini tetapi juga boleh mendatangkan pulangan kepada saya. Kerana namanya juga impian, maka ia boleh tercapai dan ia juga boleh gugur seperti gugurnya sakura pada musim luruh. Dan saya memilih bagi tidak mencapainya kerna saya sukakan bunga sakura :-).


Walaupun impian saya tidak tercapai saya masih punya sesuatu berkaitan lori. Saya punyai teman yang bekerja sebagai pemandu lori. Dia pemandu lori yang tidak besar, cuma tiga tan. Kerjanya sehari-hari sentiasa berbeza. Adakalanya perlu membawa perabot, dan adakalanya perlu membawa komputer. Dan dia juga pernah membawa binatang hidup seperti kambing dan ayam. Malah pada suatu ketika dia pernah membawa khinzir.


Khinzir

“Semasa saya membawa khinzir, saya ditangkap polis lalu di bawa ke balai,” kata teman saya sambil menghembus asap rokoknya yang keluar rakus.


“Lalu?” tanya saya sambil tangan mengibas asap rokok yang terlepas ke arah saya.


“Mereka menangkap saya bukan sebab saya salah membawa khinzir secara haram, tetapi sebab saya seorang Islam. Dan sampai sahaja di balai saya terus diarah mengucap dua kalimah syahadah,” katanya lagi. Kali ini asap rokok dihisapnya dalam-dalam. Seolah-olah mahu paru-paru mandi dengan asap.


“Mengapa?”


“Mereka menuduh saya sesat dan sudah hilang Islamnya hanya kerana membawa khinzir.”


“Kamu marah?”


“Pasti sekali saya marah. Saya bukan sekadar mengucap syahadah sekali, malah mengucap sebanyak tiga kali dan selepas itu berzikir pula berserta selawat. Saya juga meminta mereka membawakan saya Quran. Saya mahu mencabar ketua balai bertanding membaca Quran. Biar pada malam itu diadakan musabaqah membaca Quran di balai polis. Biar mereka tahu, setakat mana Islamnya saya. Enak sahaja mengatakan saya kehilangan Islam. Lebih menyakitkan hati apabila seorang ustaz dipanggil bagi membacakan saya air jampi lalu air jampi itu disembur ke muka saya dan bakinya diarah pula saya meminumnya, hanya kerana saya membawa khinzir di dalam lori. Ya, saya betul-betul terhina.”


Saya cuba menahan senyum tetapi gagal. Mujur juga senyum saya itu bukan senyum yang menampakkan gigi. Khuatir marahnya itu mengalih pula kepada saya. Lalu saya cuba mengalih bicara kepada hal yang lebih ringan.


Geert Wilder

“Kamu biasanya mengisi minyak di mana? Shell ataupun Petronas?”


“Biasanya saya lebih suka mengisi minyak di Shell. Saya sangat menyukai Shell,” akuinya lagi.


“Kamu tidak memboikot Shell?”


“Untuk apa saya memboikot minyak Shell?” Puntung rokok yang sudah hampir habis segara ditenyeh ke badan lori.


“Sebab bagi memboikot Geert Wilder, keturunan belanda yang membuat filem Fitna. Filem yang menghina Islam,” kata saya terus. Terus dia ketawa membising. Terfikir juga saya apakah saya betul dalam hal ini, membawa persoalan sejagat kepada dia?


“Mengapa kamu ketawa?” soal saya.


“Kerana bagi saya, orang yang memboikot barangan Belanda adalah orang yang tidak menonton Fitna. Orang yang pendek fikirannya. Malah bagi saya Geert Wilder itu betul semasa membuat Fitna. Saya sayang Geert Wilder,” akuinya lagi.


“Maksud kamu?”


“Pertama sekali, Fitna bukannya filem. Ia hanya dokumentari. Dan kedua saya mahu menyoal kamu, apakah penyelewengan yang dibuat oleh Fitna?”


“Dia menyelewengkan makna di dalam Quran dengan menunjukkan klip-klip video pengebomam 11 September dan pelbagai lagi tindakan pengganas lalu mengatakan semuanya itu adalah atas arahan Quran,” kata saya.


“Itulah yang kamu silap. Geert Wilder sebetulnya mahu memberitahu dunia yang tindakan pengganas 11 Septembar dan pengganas lainnya itu adalah kerana mereka, yakni pengganas ini membuat tafsiran yang silap berkenaan ayat Quran tersebut. Jadi kerana pengganas tadi membuat tafsiran yang silap berkenaan maksud ayat Quran tadi, maka mereka mula melaksanakan aktiviti keganasan mereka. Itu yang cuba diberitahu oleh Wilder. Sebelum kita menuduh Wilder menghina ayat Quran, tuduh dahulu pengganas-pengganas ini yang menghina Quran dengan menyelewengkan maksudnya. Setidak-tidaknya Wilder hanya membuat dokumentari pendek berbanding pengganas yang terus membunuh manusia lainnya.”


Niat

Saya mengangguk. Ada benarnya juga kata dia tetapi hati saya tetap merasa ada sesuatu yang tidak kena.


“Tetapi bukankah sesuatu perkara dinilai berdasarkan niat. Jadi sudah jelas niat Wilder sebenarnya mahu menghina Islam. Tidakkah itu belum cukup bagi kita membenci Wilder?”


“Lalu kamu fikir apa niat saya semasa saya beritahu saya sayang kepada Wilder? Membenci Wilder berbeza dengan membenci negara Belanda. Mengapa perlu rusuhan membakar tayar dan segala macam. Dan saya yakin orang yang membuat rusuhan dan pelbagai macam itu adalah orang yang tidak menonton Fitna. Bukankah kita diajar, lawan musuh dengan menggunakan senjata mereka sendiri? Lalu senjata Wilder tadi adalah Youtube, mengapa tidak dilawan menggunakan Youtube juga? Mengapa perlu merosak dan seperti mahu berperang. Sekiranya Belanda memboikot barangan Muslim, itu baru wajar kita memboikot barangan Belanda. Lalu saya fikir ini semua perkara karut. Perkara yang langsung tidak diajarkan di dalam Quran. Mengapa perlu melampaui batas? Allah tidak suka perkara yang melampaui batas. Itu ayat yang ada di dalam Quran.”


“Jadi pendirian kamu sebenarnya apa? Saya rasa sedikit terkeliru,” kata saya.


“Pendirian aku, Wilder memang punyai niat yang ceroboh. Tetapi semasa menjalankan niat dia itu, dia sebenarnya menolong Islam tanpa dia sedar. Menolong Islam dengan memberitahu dunia asas tindakan para pengganas agama tadi. Asas tindakan mereka adalah kerana mereka mempunyai pemahaman yang salah pada ayat Quran. Dan pendirian saya seterusnya, saya langsung tidak menyokong rusuhan dan boikot, itu hanya menampakkan Islam ini sebenarnya adalah agama yang menyelesaikan sesuatu perkara melalui keganasan dan ancaman. Sedangkan Islam adalah agama rahmatan lil alamin,” terangnya jelas.


Wah. Ternyata teman saya pemandu lori itu benar-benar pemandu lori yang berbeza. Berbeza kerana dia punyai pandangan yang berlapis. Mampu melihat satu perkara itu dari kaca mata yang seorang ahli falsafah. Saya mengangguk-anggukan kepala. Entah mengapa.


“Dan paling saya hairan, nama dokumentari itu sendiri namanya Fitna, jelas ia membawa maksud kandungannya itu berunsur fitnah. Lalu mengapa perlu risau?” kata teman saya mengakhiri hujahnya pada malam itu. Lalu dia mengeluarkan lagi sebatang rokok buat membasahi paru-parunya yang sudah kering dengan gumpalan asap. Saya pula terus mengangguk sambil memerhati lori di belakangnya. Memerhati impian saya yang menjadi bunga sakura.


Sunday, April 20, 2008

Sufiah dan cinta Dede si manusia pokok

“Sekiranya nanti Sufiah jatuh, aku harap dia tidak jatuh dari jambatan Golden Gate,” kata teman saya seorang lelaki berambut afro.


Petang itu kami bertiga. Duduk rehat di bawah pohon kenanga. Sekali-sekala santai di bawah pohon kenanga sambil menghirup angin petang adalah suatu nikmat. Lebih-lebih lagi pada saat bunga kenanga sedang mewangi.


“Mengapa?” tanya seorang lagi teman saya. Seorang lelaki yang rambutnya disisir tengah.


“Golden Gate itukan tempat bunuh diri yang popular di Amerika. Aku pernah menonton dokumentari berkenaan hal itu. Kata seorang mangsa yang terselamat, saat dia sudah melepaskan genggaman tangannya pada konkrit jambatan, saat itu barulah dia sadar satu hal yang semua masalah di dalam dunia ini bisa diselesaikan, tetapi sudah terlewat kerna tangan sudah terlepas,” kata teman saya yang berambut afro itu.


Petang itu selain rehat-rehat di bawah pohon kenanga, kami juga bicara hal sensasi. Bicara segala. Dan yang paling saya ingat adalah bicara berkenaan Sufiah. Perempuan cantik yang dikatakan genius, ada juga mengatakan dia hanya prodigy. Tetapi yang utama, dia lepasan Oxford dan cantik. Malah lebih cantik berbanding beberapa artis di Malaysia.


Teman saya yang berambut afro itu percaya Sufiah sekarang bukan berada pada puncak gelapnya. Malah lebih berani mengatakan Sufiah berada pada puncak populariti. Lalu atas dasar itu dia berharap sekiranya Sufiah jatuh, jangan dia jatuh dari Golden Gate ataupun dari mana-mana. Jangan menjadikan ia jalan terakhir. Kerna ia adalah puncak gelap.


Saya yang banyaknya berdiam diri, tersenyum. Saya berpaling pula pada teman yang rambutnya disisir tengah. Dia lelaki yang serius dan keseriusannya jelas terpamer pada wajahnya. Jelasnya seperti jelasnya ikan yang meliuk di dalam air yang jernih. Dia pula percaya satu hal, Sufiah sebenarnya hanya punyai masalah dalam seks. Dia punyai libido yang tinggi. Ini berdasarkan kenyataan Sufiah sendiri yang mengaku dia gembira atas apa yang terjadi pada dirinya. Tiada lagi masalah seks yang membosankan.


Aneh. Teman saya yang serius itu memikirkan hal seperti itu. Tetapi kedua-dua teman saya itu bertemu juga pada satu titik kesamaan. Sufiah masih percaya Tuhan itu ada. Tetapi dia mulai percaya yang Tuhan itu hanya ada pada masa dia kecil anak. Dan saat dia dewasa, dia percaya yang Tuhan membiarkan dia sendiri menyelesaikan masalahnya. Lalu terserah dia untuk berbuat apa yang dia suka.


Dan mereka juga percaya, sekarang selain doa untuk Sufiah. Harus ada jalan yang konkrit bagi menyadarkan dia kembali. Menyadarkan yang setiap masalah ada penyelesaiannya.


“Husam, ahli politik katanya mahu ke sana, membawa Sufiah kembali percaya Tuhan itu tidak pernah lalai memerhati hamba-Nya. Mashitah juga begitu,” kata teman saya yang rambutnya Afro.


“Saya fikir, orang yang paling cocok ke sana bertemu Sufiah bukannya ahli politik. Tetapi Dede si manusia pokok,” balas teman saya yang rambutnya disisir tengah.


“Mengapa?” tanya saya. Untuk pertama kalinya saya membuka mulut.


“Kerna Dede itu adalah manusia yang paling betul jika mahu bicara soal derita. Ditinggalkan oleh isteri dan dijauhi warga desa hanya kerna tubuhnya ditumbuhi ketuat yang luar biasa. Malah dia juga menjual tubuh dengan menyertai sarkas jalanan. Tetapi sekiranya Sufiah dapat sambutan dengan menjual tubuh, tetapi Dede malah dihina. Dan di sana nanti Dede bisa menceritakan tiga perkara kepada Sufiah. Pertama, dia masih percaya Tuhan itu ada bagi mendengar rintihannya dan dia tidak pernah jemu berdoa. Kedua, Dede juga bisa menakutkan Sufiah dengan fiziknya. Setidak-tidaknya Sufiah bersyukur dengan apa yang dia ada dan sedar dia bisa juga seperti Dede sekiranya Tuhan mahu. Dan yang terakhir, kerna Sufiah mahu seks yang tidak membosankan, pasti Dede yang aneh itu bisa menyediakan hubungan yang tidak membosankan. Dede bisa bernikah dengan Sufiah. Lalu mereka bisa meninggalkan Kota London yang tinggi tuntutan ekonominya. Sufiah bisa ke Indonesia dan bekerja di mana-mana yang dia suka lalu peroleh uang yang banyak. Asal sahaja ia halal. Di sana dia bisa hidup kaya dan tenang. Malah tidak membosankan. Yang penting Dede bisa membisikkan pada Sufiah, setiap masalah itu ada penyelesaiannya. Dan semuanya tampak sempurna,” terang teman saya yang rambutnya disisir tengah itu.


Saya diam sambil hidung saya enak mencium wanginya bunga kenanga. Teman saya yang berambut afro itu mengaru kepalanya. Mungkin ada organisma ataupun reptilia yang tersesat. Kami berdua aneh dengan cadangan teman saya yang rambutnya disisir tengah. Dia sebenarnya bercanda ataupun serius? Lalu kami kembali memerhati wajahnya, masih seperti tadi, serius. Uh.



Tuesday, April 15, 2008

Matra-matra yang hilang

Saya punyai teman, musisi amatur. Biarpun amatur tetapi dia bisa berbahasa dengan tali gitar sehingga tercipta matra-matra yang harmoni. Biasanya, kemahiran dia melempar matra-matra daripada gitarnya adalah ketika teman sekerja sudah lelah juga buntu. Dan tempatnya adalah di suatu sudut di dalam kantor.

Namun, suatu hari saat dia mengalunkan lagu baru, dia tidak bisa memberikan matra-matra yang harmoni. Matranya berbunyi aneh. Seperti bunyi dengkur sang ayah yang lelah. Lalu dia berpaling kepada saya yang duduk disebelah. Meminta pendapat saya berkenaan permainan gitarnya pada hari itu. Apa lagi yang kurang berkenaan permainannya?

Saya lalu mengetap bibir. Aneh. Dia bertanya berkenaan muzik pada saya. Padahal saya ini buta musik. Malah langsung tidak punyai bakat. Perawi sahih hal itu adalah isteri saya sendiri. Kerna biasanya apabila saya bernyanyi riang di dalam kereta, pantas jarinya yang ada cincin nikah itu memulas tombol radio. Alasannya, mungkin saya bosan memandu sehingga menyanyi sendiri. Padahal hanya beberapa detik kebelakang, dia sendiri yang mematikan bunyi radio. Katanya mahu tenang. Nah, jelas isteri saya itu punyai prinsip, biar ngak tenang asal sahaja tidak mendengar saya menyanyi riang. Entah mengapa. :-P

Tetapi mujur juga teman saya itu bertanya hal yang saya bukan ahlinya. Sekiranya tidak pasti saya terlepas satu hal. Iaitu berkenaan masalah yang terzahir dengan masalah yang dasar atau pokok. Kerna saya akan terus memberi saran berkenaan pertanyaannya itu, tanpa mengambil masa mahu berfikir secara berlapis.

Misalnya, seorang anak kecil yang menangis. Lapar. Menangis kerna lapar itu masalah yang terzahir. Tetapi masalah yang mendasar adalah, orang tuanya tidak punyai uang bagi memberi anaknya makan. Lalu sekiranya kita hanya menyelesaikan masalah yang terzahir dengan memberi anak itu makan, pasti masalah itu tidak akan selesai. Mungkin jika punya kemampuan, kita bisa membantu orang tuanya mendapatkan kerja yang halal supaya bisa menghidupkan keluarga.

Begitu juga halnya dengan teman saya tadi. Masalah yang terzahir adalah dia tidak bisa mewujudkan matra yang harmoni daripada petikan gitarnya. Tetapi pasti ada masalah yang mendasar. Lalu secara halus saya bertanya, apa semuanya baik-baik aja?

Teman memandang tepat pada saya lalau berkata, "Saya kurang selesa."

"Mengapa?"

"Kerna hal semalam."

"Mengapa dengan semalam?"

"Kamu tahu semalam, cuti. Saya dan teman wanita saya pergi berjalan di taman bunga."

Saya diam. Seolahnya saya saya sudah mampu meneka apa yang terjadi. Pasti ia berkenaan jiwa.

"Lalu?" tanya saya. Mahu memastikan telahan saya benar.

"Kami berjalan-jalan mencari tempat duduk yang selesa. Namun hampa. Mujur saat mata saya sedang meliar, saya melihat satu pasangan kekasih bangun meninggalkan tempat duduk di bawah sebatang pohon yang rimbun...."

"Lalu?"

"Kami segera ke situ, tetapi ada pasangan lain yang lebih dahulu ke situ. Kami berdua hampa. Kekasih saya mula menghilangkan senyumnya. Matahari semakin terik atas kepala."

Saya menganggukkan kepala. Hurm, pasti kekasihnya itu letih dan hampa. Lalu seseorang perlu dipersalahkan. Dan teman saya mungkin pilihan yang tepat. Itukan perempuan.

"Lalu?" Saya tetap bertanya.

"Saat langkah kami sudah lima, saya berpaling. Pasangan tadi yang duduk di bawah pokok bangun dan pergi. Saya cepat-cepat mengajak kembali kekasih saya ke bawah pokok itu. Dan kami berjaya juga akhirnya sampai ke sana lalu duduk dipayung pohon yang rimbun. Lalu masalah saya bermula...."

Hmm... masalah? Pasti kekasihnya itu membangkitkan satu hal yang dia tidak cocok dibawa berbual dibawah pohon rendang pada tengah matahari terik.

"Lalu?"

"Pada mulanya kami berbual mesra. Berbicara berkenaan masa hadapan. Sehinggalah satu ketika, saya baru sedar mengapa tidak ada pasangan yang berani duduk lama di bawah pohon rendang itu. Tetapi sudah terlambat...."

Saya membuntangkan mata, "Mengapa?"

"Saya betul-betul duduk di atas sarang semut. Semut yang kecil dan berwarna coklat...."

"Lalu?" potong saya, segera.

Dia merenung saya kembali dan dengan perlahan dia berkata, “Banyak sekali semut yang masuk....”

Saya diam. Saya mencalit mata perlahan-lahan. Tangan teman saya jelas bukan sahaja memetik gitar. Malah 'memetik' tempat yang saya yakini kawasan semut itu masuk. Pasti semut itu sudah meninggalkan tanda kenangan dengan gigitan yang nyeri dan gatal. Uh. Ngeri. Saya mencalit mata perlahan-lahan. Dan 'matra-matra' hati saya mula menghilang. Satu demi satu.

Monday, April 14, 2008

langit tidak tersenyum

Anak kecil itu mahu ibunya tersenyum. Kerna bagi anak itu, sekiranya ibunya tersenyum bermakna dunianya adalah bahagia. Dia bisa memperoleh mainan yang tersusun menggoda di hadapannya. Itu aja.

Namun fikir ibu lebih jauhnya. Seandainya dia tersenyum, pasti anaknya terbiasa meminta dia tersenyum. Terbiasa meminta sesuatu yang tidak perlu. Terbiasa bebas. Bukan dia ibu yang lokek dengan senyuman. Tidak juga ibu yang punyai emosi seperti matahari di tengah gurun. Pijar membakar.

Dia ibu yang tenang. Setenang jiwa kita saat merengkuh leher kucing yang manja. Lalu fikir yang bagaimana sehingga ibu itu menghindar bagi tersenyum?

Kerna senyuman ibu bagi seorang anak kecil adalah kunci bagi berbuat sesuatu. Lalu selayaknya tugas kunci, adalah bagi melindungi sesuatu yang berharga. Dan hidup anak kecil itu cukup berharga. Perlu dikawal dengan kunci agar dia mengerti garis antara hitam dan putih yang kabur. Setiap sesuatu ada batasannya.

Dan itu yang saya mengerti hari ini. Saya ini masih umpama anak kecil. Kerna hari ini, langit tidak tersenyum pada saya. Ertinya, saya masih kurang mahir mengenal garis kabur antara hitam dan putih. Lalu keinginan saya pada hari ini tersekat. Keinginan bagi berjaya dalam membuat sesuatu hal. Mungkin apabila keinginan saya itu terlaksana, saya bisa jatuh ke bahagian hitam. Dan saya juga mengerti hal yang penting. Langit tidak tersenyum kerna Tuhan masih sayangkan saya. Mungkin berkat doa daripada orang tua, teman-teman dan keluarga yang mahu saya sejahtera. Dunia dan akhirat. Terima kasih kerna membuat hari ini, langit tidak mahu tersenyum untuk saya. :-)

Lalu tugas saya sekarang, mencari dan memahami garis kabur itu. Semoga suatu hari nanti langit akan bisa kembali tersenyum. :-P

Friday, April 11, 2008

cinta yang maujud

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA

Bagi lebih pengertian, mainkan lagu di atas. :-P

Mahunya cinta sesama manusia yang begini tidaklah semudah menepis epal busuk di atas meja. Perlu pernikahan. Hanya dengan jalur itu, cinta bisa menjadi maujud. Selainnya, cinta adalah khayalan. Umpamanya angin lalu yang membina gumuk pasir. Membentuk indah tetapi mudah juga ghaibnya. Kerna cinta bukan cerita tentang keindahan semata, tetapi ia adalah cerita tentang kehidupan. :-)

Elisha, anak perempuan saya contohnya. Dia adalah cinta yang maujud. :-P

Tuesday, April 08, 2008

berkidung-kidung dengan hati

Saya mahu mencoret sesuatu di sini,

malangnya

hati saya hilang, lalu idea saya juga kabur terus lenyap,

kerna saya mencoret dengan hati.

Entah di mana saya mencicir hati saya. Mungkin kecicir waktu saya buru-buru mengejar dunia.

Mungkin saya bisa berkidung-kidung bagi memujuknya pulang.

hmm...

letih.

Monday, April 07, 2008

Friday, April 04, 2008

Bahruddin Bekri (update)




KLIK pada gambar supaya enak mata memandang.

Sinopsis: Perhentian bas bukannya apa-apa. Tempat persinggahan sebelum masing-masing menuju ke lokasi berbeza. Di perhentian bas itu, mereka bertemu. Lelaki muka berminyak. Lelaki gempal yang bermain gitar. Perempuan manis berlesung pipit. Perempuan pemalu bercermin mata. Perempuan garang yang memakai sepit rambut beruang berwarna merah jambu. Kucing yang tidak diketahui siapa tuannya. Pakcik penggemar burung. Tanpa dirancang, terjadi cerita menarik antara mereka.


Itu nama saya. Teman sesama kuliah memanggil saya DIN. Dan 10 tahun yang lepas, saya terpengaruh dengan watak Penjejak Awan yang berdarah dingin dan kejam. Iaitu watak dalam komik Ma Wing Shing. Lalu saya gabungkan ia menjadi DINGIN. :-P

Itu aja.

Lupa. Di atas adalah karya saya. :-P Dan semuanya adalah dengan izin Allah. Ia setebal 436 muka surat. Ia bisa diperoleh di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. 4-13 April 2008. Dewan Tun Razak Dua. Booth PTS. Selamat berkunjung. Ada diskaun 15%.

Ataupun klik disini.

Ataupun tunggu sahaja dua tiga minggu lagi. Bagi ia sampai ke kedai-kedai MPH, Popular dan seumpamanya di tempat anda.

Hmm... Mat Jan beritahu, saya sudah tersilap fakta berkenaan satu hal di dalam novel ini. Fakta yang mudah. Dan ternyata ia memang silap saya. Buru-buru. Ampun. Adeh.

Akhir kata, doakan yang baik-baik aja. Terima kasih.

Monday, March 24, 2008

Lelaki tua dan pagi yang bingung

Pagi itu teman saya mahu berjumpa. Katanya tunggu di bangku taman. Saya lalu menurut tanpa banyak soal.

Sampainya saya di sana, di bangku yang mahu saya duduk, langkah saya lalu terhenti. Di bangku itu ada lelaki tua yang sudah mendahului, duduk. Rambut pendeknya putih dan pada tangannya ada tongkat yang tergenggam. Baju lengan pendeknya putih dan seluar panjangnya coklat. Dia menarik nafas pelan-pelan. Dia berpaling ke arah saya lalu memberi satu senyuman yang sekiranya bisa dirasa dengan tubuh, pasti umpama angin pagi yang menyapa.

Saya terus berani duduk di sebelahnya. Duduk hanya di hujung bangku sambil melihat jam. Saya terawal 15 minit. Saya menyilang kaki memerhati tong sampah hitam di hadapan saya. Lelaki tua di sebelah saya berpaling lagi bersama dengan senyumannya.

“Tunggu siapa?” tanya lelaki tua itu. Nada suaranya umpama air yang meresap ke pasir. Lancar dan mesra.

“Tunggu teman,” jawab saya sambil tersenyum.

“Perempuan?” soalnya lagi. Tongkat pada tangannya diramas-ramas. Seperti tukang urut yang meramas keting pesakit.

Saya berpaling mahu menjawab, namun saya terlambat sesaat. Lelaki tua itu terus menyambung katanya.

“Saya dahulu pun seperti kamu. Pernah muda. Pernah merasa apa itu sayang dan kasih. Pernah juga tewas dan kecundang. Dan saya juga pernah keluar awal pagi ke taman menunggu teman seperti kamu. Semuanya kerana sayang dan kasih,” terang lelaki tua itu panjang lebar.

Saya lalu mengisar punggung menghadap lelaki tua itu. Cuba memahami sesuatu. Aneh. Pagi-pagi begini sudah bercerita berkenaan kasih dan sayang. Mungkin dia ada sesuatu mahu diberitahu. Lalu saya menggaru kepala dan diam.

“Pemuda pemudi sekarang sudah hilang seni kasih dan sayang. Hingga mereka sering sahaja gagal di tengah jalan,” sambung lelaki tua itu lagi.

Hmm... Seni kasih dan sayang? Seni apa? Saya bertambah aneh.

“Saya tidak mengerti,” kata saya pendek. Ya, memang saya langsung tidak mengerti.

“Silapnya pemuda pemudi sekarang adalah tidak tahu meletakkan fikiran kritis itu pada tempat yang betul. Kritis itu perlu diletak masa mula sayang dan kasih itu timbul. Tetapi biasanya mereka langsung tidak kritis pada waktu itu. Mereka terbuai-buai. Malah lebih silap lagi, apabila meletakkan fikiran kritis itu pada waktu proses kasih dan sayang itu berlangsung. Hingga ia gagal. Sepatutnya pada waktu proses sayang dan kasih, tidak perlu terlalu kritis sehinggalah mencapai objektifnya, iaitu bernikah. Selepas bernikah barulah bisa kembali kritis,” terangnya.

“Saya masih tidak mengerti.” Saya sudah mula menggaru-garu peha.

“Begini. Kritis itu adalah mempersoalkan sesuatu perkara. Misal persoalannya, bagaimana sekiranya situasi kasih kita begini? Bagaimana sekiranya hubungan itu tidak berhasil? Dan seterusnya. Soalan-soalan itu perlu ditanya pada mula ujudnya perasaan kasih dan sayang. Bukan semasa menjalani hubungan kasih dan sayang itu. Terus sahaja menjalani hubungan itu hingga sampai objektifnya. Selepas itu barulah kembali kritis. Umpama juga menulis buku. Saat merancang, saat itulah perlu kritis. Jangan kritis pada saat proses menulisnya. Pasti proses menulis akan terganggu. Teruskan sahaja hingga buku itu siap. Selepas itu kembali membaca hasil tulisan tadi dan waktu itulah perlu kembali kritis. Kerna objektif kita pada mulanya adalah menghasilkan sesuatu.”

Saya mengangguk-angguk. Benar kata lelaki tua ini. Tetapi mengapa perlu dia memberi kuliah pada saya? Mungkin dia mahu berkongsi pengalaman. Hmm...

“Teman perempuan kamu janjinya pukul berapa?” tanya lelaki tua itu lagi apabila melihat saya pasif dan diam.

Saya mengerut dahi sebentar. Kemudian saya menarik nafas panjang-panjang.

“Sebenarnya, teman saya itu lelaki. Bukan perempuan,” jawab saya.

Lelaki tua itu diam. Tunduk. Tiba-tiba genggaman tangannya pada tongkat terlihat erat dan kejap. Kemudian tubuhnya bergetar sesaat. Dan selepas itu kembali normal. Aik? Itu reaksi apa? Reaksi malu? Saya memalukan dia?

“Tetapi pasti kamu punyai teman perempuan yang istimewa, bukan?” sambung lelaki tua itu lagi.

“Ya. Isteri saya,” jawab saya perlahan.

Mendengar sahaja jawaban saya itu, tubuh lelaki tua itu kembali bergetar kuat. Selepas itu getarannya kembali lemah dan terus hilang. Mungkin dia rasa kecewa kerna nasihatnya tadi bukan pada orang yang tepat. Rasa bersalah mencucuk hati. Mahu sahaja saya beritahu yang saya sangat menghargai nasihatnya. Dan ia tetap berguna.

“Maaf....” pinta lelaki tua itu. Saya menggaru pangkal hidung. Eh? Sepatutnya saya yang meminta maaf. Bukan dia.

“Saya yang perlu minta maaf,” kata saya pantas.

Lelaki tua itu menjeling tajam lalu berkata, “Kamu pun seperti saya? Cuba menahan diri daripada membuang angin tetapi gagal?”

"Err... setidak-tidaknya ia tidak berbunyi," sambung saya pantas. Huh. Entah mengapa saya berkata begitu. Mungkin mahu menjaga hati lelaki tua. Ya, orang tua perlu dihormati.


"Maaf ya. Sudah tiga hari saya tidak buang air besar," kata lelaki tua itu lagi. Serius.


Saya lalu diam. Hidung saya kembang kempis.Saya mula merasakan sesuatu. Sesuatu yang membuat saya jadi kritis. Ia perlahan tetapi pasti. Saya lalu mengisar tapak tangan ke bangku. Mahu meletak tapak tangan ke hidung ataupun terus meletakkan ke dasar bangku? Arghh....

Thursday, March 20, 2008

saat manusia punyai sayap

Cuba mengertikan hidup ini daripada kaca mata seekor burung, pasti sukar. Itu yang diberitahu oleh anak perempuan sepupu saya. Anak perempuan yang rambutnya menutup mata.

"Mengapa?" tanya saya perlahan. Mata saya merenung matanya yang bundar.

"Kerna burung tidak mampu melihat dari bawah, hanya mampu melihat dari atas," jawabnya lancar.

Saya menggaru lengan. Biasanya, jika melihat dari atas pasti hidup lebih menyeluruh dapat diperhati. Tanpa ada ruang kosong yang tersisa. Tetapi aneh untuk anak kecil ini, pandangannya nyata berbeza.

"Mengapa?" ulang saya lagi.

"Kerna, dengan hanya melihat dari atas, kita hanya melihat pucuk yang menjulang bunga yang indah. Tidak melihat akar yang disalut tanah hitam. Kita juga hanya bisa melihat jeliknya lompang-lompang tanah yang besar tetapi lompang tanah yang kecil tetap terlihat indah. Benar pandangan menyeluruh, tetapi tidak menceritakan hal sebenar," terangnya lagi.

"Harus bagaimana?" Saya tidak putus-putus bertanya.

"Jadi, usah berangan untuk memiliki sayap bagi terbang melihat kehidupan secara menyeluruh sekiranya jejak kaki belum membekas di seluruh muka tanah. Kerna apa yang diperhati dari atas itu bukan hakikat. Hanya yang indah-indah. Tetap sahaja kita di tanah. Biar hanya mampu melihat sebahagian peta kehidupan, sebahagian yang lain itu pula adalah rahsia. Rahsia yang membuat kita lebih bersemangat bagi menerokai peta hidup."

Saya lalu pening. Apa yang mahu dia beritahu? Anak perempun itu hanya tersenyum. Memperlihatkan lekuk di kedua-dua belah pipinya. Gigi putihnya yang tersusun juga terlihat rapi.

"Baiklah, apa yang sebenarnya kamu mahu beritahu?" tanya saya, langsung.

"Manusia yang bersayap dan mampu terbang ke langit adalah pemimpin. Pemimpin pula adalah mereka yang tahu di sebalik pucuk yang berbunga indah itu, ada akar yang terbenam di tanah hitam. Usah bangga sekiranya sudah punyai sayap untuk terbang, kerna seperti yang saya beritahu tadi, hidup akan sukar dimengertikan hanya daripada kaca mata burung. Sekali-sekala perlu juga berjalan-jalan ke tanah. Tetapi itu yang sukar, burung yang terbang tidak betah berjalan ke tanah. Paling tidak pun hanya hinggap di ranting buah," jawabnya lagi sambil menolak rambut yang menutup matanya ke sebelah kiri. Saya cepat-cepat klipkan rambutnya itu dengan klip rama-rama merah jambu. Klip yang memang saya belikan khas untuk dia. Biar rambutnya tidak lagi menutup mata.

Mungkin dia mahu berpesan sesuatu kepada pemimpin. Mungkin hanya pemimpin yang mengerti pesannya itu. Mungkin juga mahu berpesan kepada... err saya tidak tahu siapa. ;-P Untuk saya, saya masih malas ataupun sebenarnya saya langsung tidak bisa mengerti. Kerna saya hanya semut hitam yang langsung tidak mampu untuk bersayap. :-P

Monday, March 17, 2008

seperti menjamah limau mandarin

Mengarang buku sepatutnya begini. Seperti menjamah limau mandarin. Bagi menjamah limau mandarin, kulit harus dikupas seluruhnya. Perlahan-lahan. Kerna sekiranya terlalu laju, khuatir ulasnya rusak. Mungkin juga gas daripada kulit emasnya merembes ke mata.


Idea penulisan itu ibarat limau mandarin yang cantik. Perlu dikupas perlahan-lahan biar jelasnya ulasnya. Kemudian apabila sudah nampak susunan ulasnya, ulas itu dicarik satu per satu, lalu dimasukkan ke dalam mulut. Ulas limau itu pula ibarat plot yang saling mengalir. Saat itu pasti, manisnya banjir di atas lidah. Kerna manis itu yang mahu dirasa.


Itu yang sepatutnya, namun buku selalunya umpama limau mandarin yang tidak dikupas kulitnya dengan baik. Masih ada kulit yang tersisa pada ulas limau. Lalu apabila dimasukkan ke mulut, ia jadi pahit. Ataupun kerap kulit dikupas rakus, sehingga ada gas yang merembes ke mata, sakit dan pedih.


Semuanya ini berkenaan kesabaran dan seni. Tidak ada istilah buru-buru dan kasar. Apa yang mahu dipersembahkan adalah proses yang berseni. Bukan sekadar menyumbat idea dan ulas-ulas plot secara buru-buru kepada pembaca. Kerna hanya dengan cara itu, manis buku tadi dapat dinikmati.


Saya perkirakan buku bukan satu-satunya hal yang mahu dirasai kemanisannya, cinta juga sepatutnya begitu. Mahu dirasakan manisnya. Seperti menjamah limau mandarin. :-P





Monday, March 10, 2008

daripada puing-puing kemusnahan

Di Kuala Lumpur, untuk pertama kalinya saya melihat sesuatu yang aneh. Manusia Melayu, India dan Cina tersenyum sesama mereka apabila bertemu. Biar mereka saling tidak kenal.


Mereka seolah-olahnya berkata, “Kita sudah berjaya!”


Ada udara baru di sini. Sukar di mengertikan rasa dan perasaan yang lahir daripada hirupan udara itu. Mungkin ia udara perpaduan. Udara ini sama seperti pada saat Malaysia memenangi piala Thomas dahulu. Semuanya riang. Cuma kali ini degup dan getarnya lebih jelas. Seperti melihat sendiri Taj Mahal di tebing Yamuna.


Atas dorongan rasa itu, saya terus teringat babak akhir filem 'deep impact' di mana presiden Beck seorang kulit hitam berucap, “Kita akan membina semula negara ini daripada puing-puing kemusnahan....”


Tahniah untuk PKR, DAP dan PAS alias Barisan Rakyat atas kemenangan PU ke 12 di lima negeri. Semoga kalian semua membina semula keyakinan rakyat daripada 'puing-puing kemusnahan' kepercayaan dan harapan.


Saya dan juga semua manusia yang masih punya harapan akan sabar menanti. Kerna umum tahu, memulakan sesuatu adalah sukar, berkali lipat sukarnya berbanding meruntuhkan sesuatu. Lalu jangan sampai kepercayaan rakyat runtuh lagi. Rakyat sudah lelah.


Selamat berkhidmat.


daripada puing-puing kemusnahan

Di Kuala Lumpur, untuk pertama kalinya saya melihat sesuatu yang aneh. Manusia Melayu, India dan Cina tersenyum sesama mereka apabila bertemu. Biar mereka saling tidak kenal.


Mereka seolah-olahnya berkata, “Kita sudah berjaya!”


Ada udara baru di sini. Sukar di mengertikan perasaan itu tetapi untuk pertama kalinya juga saya merasakan ia udara perpaduan.


Mungkin udara ini sama seperti saat Malaysia memenangi piala Thomas dahulu. Semuanya riang. Cuma kali ini degup dan getarnya lebih jelas. Seperti melihat sendiri Taj Mahal di tebing Yamuna.


Atas dorongan rasa itu, saya terus saya teringat babak akhir filem 'deep impact' di mana presiden Beck seorang kulit hitam berucap, “Kita akan membina semula negara ini daripada puing-puing kemusnahan....”


Tahniah untuk PKR, DAP dan PAS alias Barisan Rakyat atas kemenangan PU ke 12 di lima negeri. Semoga kalian semua membina semula keyakinan rakyat daripada 'puing-puing kemusnahan' kepercayaan dan harapan.


Saya dan juga semua manusia yang masih punya harapan akan sabar menanti. Kerna umum tahu, memulakan sesuatu adalah sukar, berkali lipat sukarnya berbanding meruntuhkan sesuatu. Lalu jangan sampai kepercayaan rakyat runtuh lagi. Rakyat sudah lelah.


Selamat berkhidmat.








Tuesday, March 04, 2008

kerna aku ini bunga

kerna aku ini bunga,


jangan lupa taburkan doa,

jangan lupa siramkan cinta,


takut aku ini tidak akan harum,

untuk kamu bisa tersenyum.


takut kelopak ini tidak menakung embun,

untuk mayat kamu yang sudah ditimbun.


Nota: Ini puisi bayi perempuan saya, untuk saya :-P

Monday, February 25, 2008

untuk sebuah impian yang cantik

Saya punyai sepupu yang baik. Malah, dia tidak kekok menganggap saya ini adik. Namun, bukan itu yang saya mahu cerita. Saya mahu ceritakan berkenaan anaknya, perempuan. Umurnya baru menganjak lima. Tetapi bahasanya melancar fasih.

Saya senang sekali dengan anak perempuan itu. Setiap kali saya duduk di ruang tamu, anak perempuan itu akan berlari ke arah saya dan terus duduk di sebelah, minta saya bercerita. Bercerita berkenaan puteri, pelangi, dan semuanya hal yang bisa wujud dalam imaginasi anak perempuan kecil.

Dia putih dan pada pipinya ada lekuk yang sederhana dalamnya. Rambutnya lurus mencecah bahu. Rambut depannya pula di potong lurus separas kening, namun untuk kebanyakan waktu tetap sahaja rambut depannya itu panjang dan hampir menutupi matanya. Mungkin, sepupu saya terlupa memotong. Dan apabila ia terjadi, tangannya yang montel itu pantas menolak rambut itu ke belakang ataupun ke tepi. Namun itu hanya sebentar, rambutnya itu kembali menutupi mata. Mujur dia suka melukis. Apabila dia tunduk melukis, rambut yang menutupi matanya itu akan berayun jauh dari dahinya dan jauh dari matanya.

Pada suatu hari, seperti biasa anak perempuan ini berlari ke arah saya dan tersenyum. Lekuk pada pipinya muncul dan rambutnya yang hampir menutupi matanya itu lekas-lekas di tolak ke belakang. Dia menunjukkan hasil lukisannya kepada saya.

“Wah, cantik. Apa ya tajuk lukisannya ini?” tanya saya.

“Impian,” balasnya ringkas.

Saya masih tersenyum, tetapi hati saya sudah pusing mencari mana letaknya 'impian' pada lukisannya itu. Tanpa mengetahui perkara yang terjadi dalam hati saya, dia terus duduk di sebelah saya.

“Ceritakan saya cerita berkenaan impian,” pintanya, seperti biasa. Nada suaranya beralun dan berirama.

Saya diam. Hati saya kembali pusing. Impian saya sendiri tidak jelas, lalu mahu bercerita pula berkenaan impian dengan anak perempuan ini. Uh.

“Impian itu seperti buah. Manusia yang tidak punyai impian, umpama pohon yang tidak berbuah. Hanya tahu menggugurkan daun-daun kering. Terkadang jadi tempat burung berehat dan manusia bersandar, namun tidak ada buah yang bisa membuat burung-burung dan manusia itu tersenyum,” kata saya.

Anak perempuan itu diam dan tetap memandang saya biar rambutnya sedikit menghalang matanya. Dia berkata, “Jadi impian pakcik apa?”

Wah. Mahu terus terang ataupun bagaimana? Sekiranya terus-terang bisa sahaja saya terlihat material. Tetapi, itu bukan dosa. Cuma untuk anak sekecil ini, materialistik bisa sahaja terlihat dosa.

“Pakcik mahu punyai uang yang banyak, supaya bisa membantu banyak manusia,” jawab saya. Anak kecil itu tetap memandang saya. Diam.

“Impian kamu pula apa?” tanya saya pula, sebelum dia menyoal lebih banyak.

“Saya mahu semua orang menyayangi saya. Lebih-lebih lagi orang yang saya sayang. Saya mahu dia tahu yang saya sayang dia, dan dia sayang saya. Saya mahu semua orang sayang saya,” jawab anak kecil itu. Jawapannya berulang-ulang, tetapi tetap fasih.

Entah bagaimana, akal saya jadi nakal lalu bertanya, “Bagaimana sekiranya orang yang kamu sayang itu tidak sayang kamu? Apa yang kamu mahu buat?”

“Saya tetap akan sayang dia. Tetap tunjukkan kepada dia yang saya sayang dia, sehingga dia jadi sayang kepada saya,” jawabnya lagi. Wah. Jawabannya lebih bagus daripada kebanyakan jawaban yang saya dengar di sinetron, untuk topik yang sama. Jawabannya tidak ada menyentuh ilmu hitam dan niat ceroboh.

“Bagaimana kamu tunjukkan dan mengapa?” tanya saya. Akal saya bertambah nakal. Entah, saya mahu sekali melihat hujung bibir anak kecil ini jatuh.

“Saya akan beritahu dia apa sahaja kejadian yang terjadi atas saya. Setiap hari. Seperti saya beritahu mama saya dan seperti yang saya beritahu pakcik. Saya mahu dia tahu saya sihat, saya baik dan dengan itu dia rasa dekat dengan saya biarpun dia tidak bersama saya. Dengan merasakan dirinya dekat dengan saya, saya harap dia bisa sayang kepada saya.” Untuk waktu ini saya tidak jadi tersenyum. Jawabannya terlalu matang bagi anak-anak seusianya. Terlalu. Entah apa yang ibunya beri dia makan. Tetapi itu tidak bisa menghalang fikiran nakal saya. Hehehe.

“Sekiranya dia masih tidak peduli kepada kamu dan tidak sayang kamu, mesti kamu berjauh hati, paling tidak pun kamu sakit hati. Kamu fikir, tindakan kamu itu betul?”

“Sekiranya saya masih menceritakan berkenaan hidup saya kepada dia, maknanya saya masih sayang dia dan masih punyai impian biarpun dia tidak sayang saya. Tetapi mama beritahu, sekiranya orang tidak sayang kita biarpun kita berusaha, maknanya Tuhan sayangkan kita. Kerna Tuhan yang menumbuhkan sayang itu. Pasti ada sebab Dia tidak tumbuhkan sayang orang itu kepada kita. Mungkin, sekiranya sayang itu tumbuh, kita mungkin dijahati dan diapa-apakan oleh orang itu dengan 'sayang'nya tadi. Lalu kita jadi lebih sakit berbanding semasa dia tidak sayang kita. Ataupun mungkin, orang itu sebenarnya sayang kita. Cuma mungkin kita tidak nampak, ataupun dia lupa memberitahu. Dan kerna itu, perlu adanya impian, supaya kita tahu apa yang kita kejar. Mama beritahu lagi, sekiranya mempunyai impian, biarlah impian itu besar. Jadi buat apa terseksa dengan hanya seorang yang tidak mahu sayang kita, sekiranya ramai lagi yang bisa sayang kita. Dan sekiranya kita berdoa dengan tulus, mama bilang, Tuhan berjanji menunaikannya, cuma tidak pasti lambat ataupun cepat, di dunia ataupun dia akhirat. Yang pasti, janji Tuhan itu pasti. Kerna itu, saya tetap akan terus hidup dan saya yakin akan ketemu orang yang sayang saya seperti saya sayang dia, kerna itu impian saya.”

Saya diam. Anak perempuan itu bicara dengan panjang. Entah berapa kali dia menelan air liur, bagi membasah tekak. Yang pasti dia memberitahu saya sesuatu berkenaan impian. Jangan biarkan impian itu hancur, kerna sekiranya ada impian, kita tetap bisa hidup. Mungkin tidak gembira, tetapi kita bisa menggembirakan orang lain. Seperti pokok yang dipetik dan ditebuk buahnya oleh manusia dan burung dengan rasa gembira. Dan sekiranya punyai impian, pastikan impian itu besar. Mungkin kerna itu, anak perempuan kecil ini melukis hati berwarna merah yang besar. Dan ia memang cantik untuk sebuah impian.



Tuesday, February 19, 2008

alasan untuk bos (bisa juga untuk teman sekerja yang cantik-cantik)

Saya sering diberitahu oleh manusia yang memberi nasihat tentang perkara ini. Untuk berjaya perlu mencabar diri. Seandainya diri tidak dicabar, kita tidak tahu setakat mana kemampuan kita. Saya juga sering digula-gulakan dengan kata, sekiranya orang lain mampu, mengapa saya tidak?


Lalu bertolak dari itu, semasa kuliah saya mencuba mencabar diri. Mencabar diri bagi mengetahui setakat mana potensinya. Nyaris sahaja saya kecundang. Mujur masih bisa merangkak menghabisi kuliah. Namun, tetap sahaja saya menyalahi diri sendiri pada saat-saat yang saya terlupa. Terlupa yang Tuhan itu mendatangkan ujiannya hanya kepada manusia yang bisa menanggungnya.


Apa sih silapnya? Umpama burung yang terbang. Lalu datangnya ribut di langit. Tidak pula burung-burung itu berjalan kaki di bumi, biarpun ia mampu. Ia tetap terbang di langit, mencabar ribut yang datang. Kerna titik kuatnya burung itu adalah pada kemampuannya terbang, buka pada kemampuannya berjalan. Kecuali burung-burung yang tidak bisa terbang. Burung unta misalnya. :-P


Begitu juga saya. Saya belajar sesuatu. Usah mencabar titik diri yang paling lemah. Kerna ia tidak menguntungkan, malah bisa membinasa. Cabar titik diri yang paling kuat. Kerna potensi diri letaknya di sana, di titik yang paling kuat. Bukan pada titik terlemah.


Ya, mungkin saya sudah diberitahu tentang hal itu, cuma saya tidak ambil peduli, mungkin juga saya langsung tidak diberitahu. Untuk hari ini, saya meyakini perkara ini, supaya mencabar diri pada titik diri yang paling kuat. Misalnya ada manusia yang titik kuatnya pada menulis cerita, lalu cabar aja titik kuatnya itu. Mencabar bagi menulis pelbagai genre buku. Mencabar diri bagi menulis manuskrip yang tebal-tebal. Jangan sesekali, cuba mencabar diri menjadi akauntan yang bermain dengan nombor, kononnya mahu meneroka kemampuan diri. Kecuali manusia itu akauntan yang bisa menulis, genius ataupun manusia middle brain.


Cuma masalahnya, terkadang kita tidak tahu titik kuat pada diri. Sukar. Cuma bisa dimudahkan dengan mengatakan, titik kuat itu adalah bakat. Lalu cabar bakat yang ada. Utamakan bakat daripada minat. Kerna minat tidak semestinya titik yang paling kuat.


Kesimpulannya, saya ini cukup berbakat untuk bermalas-malasan di meja kerja. Ya, saya akan cabar titik kuat saya itu. Mungkin saya bisa lelap di situ. Ya, mungkin. :-)


Wednesday, February 06, 2008

doa untuk aku

Rehat. Teman-teman semuanya udah keluar makan. Aku sendiri. Aku masih duduk di meja kerja. Di atasnya ada limau-limau mandarin yang berselerak. Ya, esok CNY. Perlu ada suasana CNY.


Aku bersandar ke kerusi dan menutup mata. Waktu ini aku membayangkan ada tangan kasar yang lembut memegang pundak sebelah kiriku. Lalu aku berpaling kebelakang. Seorang tua yang yang berjanggut putih tersenyum nipis. Pasti dahi aku berkerut. Perlahan-lahan tangan kanan lelaki tua itu lucut dari pundakku.


“Arahkan saya berdoa,” kata lelaki tua itu.


Aku diam.


“Saya bisa memberikan kamu doa,” kata lelaki tua itu lagi.


Aku masih diam. Lelaki tua itu mengjungkitkan kening. Hanya sekali. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.


“Doa yang bagaimana?” tanyaku pula.


Lelaki tua itu tersenyum lalu berkata, “Doa berkenaan kebaikan dan kesejahteraan kamu.”


“Mengapa perlu kamu berdoa untuk saya?”


“Kerna doa kamu kosong.”


Aku lalu mengerut dahi. Meneliti lelaki tua di hadapan aku, dari kaki hingga ke rambut. Dia siapa? Mengapa lelaki tua ini menuduh doa aku kosong?


“Kamu ini siapa?” tanyaku lanjut.


“Kamu tidak kenal saya? Saya adalah jiwa kamu. Saya sudah jadi tua kerna tidak lagi diberi makan dengan doa-doa kamu yang ikhlas. Lalu kulit saya yang tegang jadi kecut, rambut yang hitam jadi putih. Tubuh yang lincah kini jadi perlahan. Saya yang sihat kini sudah sakit.” Orang tua itu berkata sambil mengangguk-anggukan kepala.


“Tetapi saya tidak berjanggut,” kataku sambil mengusap dagu. Ya. Memang tidak berjanggut.


“Eh, maaf. Saya terlebih-lebih. Memang kamu tidak berjanggut,” kata lelaki tua itu. Lalu janggut putihnya hilang, serta-merta. Aku diam. Kerut di dahi sudah basah. Ada peluh.


“Tolong, arahkan saya berdoa untuk diri kamu,” rayu lelaki tua itu.


Aku diam. Dahi cuba aku tegangkan kembali. Sedetik kemudian aku berkata, “Sekiranya kamu jiwa saya, mengapa kamu tidak berdoa sahaja. Mengapa perlu saya yang mengarahkan kamu berdoa?”


“Seperti yang saya beritahu, saya adalah jiwa kamu yang lelah. Lapar dan udah menjadi tua. Kamu memang ada berdoa. Namun kamu berdoa tidak melalui saya. Hanya pada lidah. Kamu hanya mengarahkan lidah kamu yang berdoa. Tidak mengarahkan saya. Tidak berdoa menerusi jiwa. Doa kamu sombong dan kosong. Tidak ada rintihan. Tidak juga bersungguh. Tidak ikhlas. Saya pohon kamu berdoa melalui saya. Memohon saya yang berdoa kepada Tuhan. Jadi, tolong arahkan saya, jiwa kamu ini berdoa sesuatu berkenaan diri kamu. Jika tidak, pasti saya akan mati. Jangan hanya melalui lidah. Saya sudah tidak mampu lagi bertahan,” terang lelaki tua itu. Kedua-dua belah tangannya memegang pundak kanan dan kiri aku. Aku diam.


Aku membuka mata, lalu berpaling ke belakang. Nyata lelaki tua itu tiada. Dan sekarang masih waktu rehat. Masuk waktu solat Zohor (bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya). Pasti lelaki tua itu berharap aku mengarahkannya berdoa.

Tuesday, February 05, 2008

maskara 6 - Tuhan jua yang lebih tahu

Malam itu dingin. Hujan. Itu yang pertamanya aku fikir. Keduanya, apa yang akan aku makan. Kerna untuk manusia seperti aku, apa sahaja majlis yang ada makan percuma, pasti makanan percuma itu yang bisa buat aku tersenyum-senyum. Ketiga, aku memikirkan nanti, apabila aku sudah pulang dan mahu lelap, apa yang akan aku rasa?


Ya, malam itu terus sahaja dingin. Lebih-lebih lagi kipas di dalam rumah kayu itu berfungsi baik. Rasanya, mahu juga tukar posisi duduk, namun seluruh tempat penuh terisi. Keduanya, makan. Mi gorengnya enak. Tauhunya banyak. Dagingnya juga banyak. Dan yang membuat aku tersenyum lebar, ada kicap. Wah. Untuk pertama-tamanya aku merasakan dunia ini rasional. Manusia meletakkan kicap di sebelah mi goreng. Bukan lagi meletakkan sos cili. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Ketiganya ketika aku mahu tidur, aku teringat yang aku lupa menelefon isteri aku. Owh. Terlupa menelefon isteri itu bukan silap yang kecil. Hanya akan terjadi dalam hal-hal tertentu dan malam itu ia terjadi lagi. Dan nyata malam itu termasuk dalam hal-hal yang tertentu. Hal yang membuat aku asyik.


Aku asyik biarpun lagu daripada group post punk itu sama aja pada telinga aku. Lagu pertama, kedua, ketiga, dan sampai yang keenam. Sama. Entah apa silapnya telinga ini. Aku rasakan mereka menyanyikan lagu yang sama, seni kata aja yang berbeda. Daripada 'Nadai' kepada 'bohjan'. Mungkin kerna ia akustik. Jika betul-betul ada alatan yang cukup, mungkin berbeda. Mungkin juga kerna aku ini cemburu, kerna mereka itu bisa bergitar dan menyanyi. Mungkin. Ataupun mungkin post punk memang begitu. Nadanya sama cuma liriknya aja berbeda. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Dan entah bagaimana, pada waktu rehatnya aku menyaksi peristiwa ini. Seorang lelaki berbaju hitam datang menghampiri sang penyanyi. Mulutnya masih penuh dengan mi goreng.


“Saya minat lagu 'badai' abang tadi. Best.”

Sang penyanyi mengerut dahi. Tunduk. Mi Goreng dikunyah perlahan-lahan. Kemudian dia mengangkat muka kembali, memandang lelaki berbaju hitam itu.

“Lagu yang mana? Pertama ataupun kedua?”

“Lagu pertama bang. Lagu 'badai'. Lagu 'badai' memang best.”

“Eh, itu 'Nadai'. Bukan 'Badai.”


Persembahan selebihnya bisa buat hati aku bertepuk tangan. Bertepuk tangan pada semangat dan berani mereka yang duduk ataupun berdiri di hadapan lilin yang banyak. Jika aku, pasti aku mati. Malam itu, terlalu banyak yang mahu diceritakan cuma aku hanya bisa memberikan kata kunci yang bisa membuatkan aku mengingat kembali pada malam itu.


-Jiwa-jiwa Hadhari. Kemudian bercerita berkenaan Mat Rock menunggu bas.

-Bunian. Ada cerita perang. Al Fatihah untuk teman baiknya. Panaharjuna (Ahmad Zafran). Sempat juga melawat ibu Panaharjuna. Nyata beliau ibu yang tabah. Aku pula yang sebak. Perginya Panaharjuna, betul-betul mengejutkan. Sehingga saat menulis hal ini, senyum Panaharjuna masih lagi terkenang-kenang. Dia beruntung, pergi di saat masih ada ibu yang mendoakannya. Mendoakan kesejahteraannya. Jika tidak kerna kekangan kos, difahamkan arwah akan berada di Maskara pada malam itu. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.

-Beer tanpa alkohol. Lalu bercerita berkenaan Samy Vellu yang berani.

-Kamal Hassan. Mereka tidak punyai nombor telefon V.K Linggam.

-Denyut-denyut pada hujung kemaluan. (Aku membayangkan waktu berkhatan. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu)

-Faizal Tahir. Jika ia buka baju lagi pasti hanya ketemu 'xl'.

-Politik, permainan sistematik.

-Hi jiran. Ini cikgu ke? (Rare)

-Abang botak.

-Parking atas pokok kemuncup.

-Spacecop gaban. Aku mengaku life ketika masih anak-anak itu memang suck. Lebih-lebih lagi jika tidak punyai TV lalu tidak punyai nostalgia berkenaan cerita-cerita pada lingkungan 4.00 sampai 6.00 petang. Pasti bertambah suck apabila ditampar Tok Imam kerna dengan sesuka hatinya menukar siaran TV di rumah Tok Imam sewaktu menumpang menonton TV di sana. Iya, masak Tok Imam mahu menonton gaban. Dan pasti, selepas itu tidak bisa berkongsi nostalgia di dalam forum dan blog. Suck. Aku faham (dalam nada yang hadirin dengar malam itu). Tidak perlu mencuka, dalam sut merah berjalur tegak. Tetapi itu mungkin tanda berani. Namun, hanya Tuhan jua yang lebih tahu.

-Subtext-subtext.

-Ketua turus.

-Perkataan-perkataan agama dan apa yang ibu ajar semasa tadika.

-Subaru Impreza.

-Sahabat itu perlu dalam silap mata. Mungkin dalam persembahan silap mata, perlu guna kalimantang. Cahaya suram itu menjejas sedikit aksi silap mata itu sendiri. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Keseluruhannya. Tiga hingga ke lima bintang. Tidak ada yang jatuh ke dua. Aku rasa berbaloi untuk melepaskan rancangan akhir, cornetto love perhap. Dengarnya, ada adegan peluk-peluk. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Cuma aku tidak bisa menjelaskan hal ini kepada isteri aku. Ia bukan semudah membaca dan mendengar. Perlu hadir di situ dan rasakan udaranya. Udaranya cukup berbeda. Seperti berada di tengah padang rumput yang baru aja dipotong dan pada tangan ada secawan kopi cair. Namun Tuhan jua yang lebih tahu.


Itu aja. Tahniah buat penganjur. Mungkin MASKARA bisa jadi woodstock, paling tidak pun jadi seperti di Sarawak. Rain Forest Festival. Cumanya lebih kerap. Sebulan sekali. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.