Thursday, November 28, 2013

Nur Alya

Manusia berubah, begitu juga saya kerana saya ini manusia. Berubah menjadi lebih baik, berubah menjadi lebih hasad, berubah menjadi lebih bahagia, berubaha menjadi lebih miskin, dan segala macam lagi perubahan.

Cuma sahaja, pada ketika melihat manusia lain, ada perkara yang membuat saya terlupa untuk berubah.

***

Nama perempuan itu Alya. Nur Alya. Saya bertemu dan kenal dengan dia semasa bekerja di kedai serbaneka yang ada menjual minuman keras, kedai 8-11. Tetapi saya tidak lama bekerja di situ, cuma sempat tiga hari apabila ditegur oleh seorang lelaki yang baik hati, “Apakah kamu yakin dengan berkat pada pendapatan kamu dengan menjual minuman keras?”

Pertanyaan itu saya bawa pulang tidur dan bangun sahaja, saya tahu yang saya tidak yakin. Rezeki itu adalah berkenaan berkat, dan terus sahaja saya berhenti. Cuma sahaja Nur Alya terus bekerja di situ, dan sehinggalah lima bulan kemudian, saya bertemu lagi dengan Nur Alya.

***

Waktu itu saya sudah punyai pekerjaan yang baik, dan sering juga mengikuti kelas agama, lalu semangat saya bagi berdakwah itu juga tinggi. Saya yang mula-mula menegur dia, dan Nur Alya tersenyum kepada saya lalu berkata, “Dahulu, ada seorang lelaki mencari kamu. Kata saya, kamu sudah berhenti. Lebih malang, nombor telefon kamu juga tidak ada.”

Saya akur itu silap saya. Terburu-buru berhenti sehingga nombor telefon Alya pun saya tidak simpan. Tetapi tidak apalah, itu bukan isunya. Isu utamanya, saya melihat Alya masih memakai seragam 8-11.

Terus sahaja saya memberitahu hal yang saya lupa beritahu lima bulan dahulu, “Kamu yakin dengan berkat pendapatan kamu dengan menjual arak?”

Nur Alya yang saya yakin baru sahaja pulang dari kerja, memberikan pandangan yang biasa kepada saya. Dia tersenyum. Senyuman yang saya fikir adalah senyuman merendahkan nilai soalan saya itu.

“Itulah soalan yang lelaki yang mencari kamu.”

Saya terkejut. Mengapalah saya tidak fikirkan perkara itu, yang lelaki itu juga pasti bertanyakan soalan yang sama kepada Alya. Tidak mungkinlah dia bertanyakan soalan itu kepada saya sahaja.

“Jadi, mengapa kamu terus bekerja di situ? Adakah kamu tidak fikir masa hadapan kamu bukan semasa kamu berjaya di dunia, tetapi semasa kamu sudah mati. Mengapa?" soal saya.

Alya yang baru mahu bercakap sesuatu, terus saya sampuk kerana hati saya meluap luap rasa tidak puas hati.

“Saya bukannya baik sangat tetapi kita manusia ini perlu berubah setidak tidaknya daripada tidak berkat kepada mendapat sedikit berkat. Setidak tidaknya. Lalu mengpa kamu tidak mahu begitu? Apa lebihnya bekerja di situ? Di mana berkatnya?"

“Sebab itulah lelaki itu mencari kamu. Sayangnya kamu berhenti awal.”

Saya tidak mengerti ke mana Alya mahu membawa perbincangan itu. Apa kaitan dengan lelaki itu pula?

“Mengapa dengan lelaki itu? Jangan jadikan dia alasan untuk perkara yang kamu sendiri boleh fikir."

“Dia mahu kita terus bekerja di situ.”

“Apa?” Saya hampir sahaja menjerit mendengar kata-kata Nur Alya.

“Ya.”

“Sebab apa pula? Bukankah dia yang bertanyakan soalan itu?”

“ Sebab dia mahu membayar upah kepada kita. Manakala duit gaji itu kita sumbangkan kepada badan dakwah. Badan dakwah itu yang kemudiannya membayar kita kembali. Kiranya, kita dapat gaji yang berkat. Tetapi dengan satu syarat.”

“Syarat?” Penerangan Nur Alya membuatkan saya sedikit keliru. Mengapa terdengar begitu kompleks?

“Syarat, supaya kita berdakwah kepada mana-mana orang Islam yang masuk membeli minuman keras. Tidak dapat dakwah mulut, kita juga disediakan dengan flyer. Masukkan sahaja flyer ke dalam plastik. Doakan mereka membacanya dan mendapat hidayah.”

Saya terdiam. Itulah pertama kali saya mendengar perkara itu.

“Itu yang saya lakukan. Hanya orang yang berada di dalam situ sahaja yang dapat menjalankan dakwah secara halus dan sembunyi. Bayangkan kita berdakwah menunggu di hadapan kedai, kamu fikir kamu tidak akan dihalau?”

Pertanyaan Nur Alya itu kembali menyentuh fikiran saya, dan akhirnya saya mengerti juga mengapa Nur Alya terus bekerja di situ.

Ternyata, saya tetap tidak mampu mengubah tanggapan saya kepada manusia lain, pada ketika saya merasakan diri saya lebih baik. Yang jelas, antara saya dan Nur Alya, perubahan Nur Alya itu lebih besar berbanding perubahan saya, dan saya pula hanya kerana merasa diri lebih baik, saya terlupa untuk berubah menjadi lebih merendah diri.

Thursday, October 24, 2013

Kisah-kisah pada waktu malam di kampung yang sunyi.

Kisah 1.

Tengah2 malam begini, teringat semasa saya darjah dua. Waktu itu balik dari rumah mak cik dengan ayah saya. Jalan kaki. Kena lalu kebun kelapa dan koko, dan ketika itu jugalah lampu suluh habis bateri.

Ayah terpaksa bakar daun pisang kering pada pokok pisang, jadi kami kena berjalan laju sebelum daun pisang tadi habis dimakan api dan cahayanya hilang. Itu sahaja cara tercepat. Hendak buat obor dari daun pisang memang makan masa juga.

Dari satu pokok ke satu pokok, dan ada juga waktunya bergelap, tetapi ayah saya tetap tenang menghisap rokok.

Dalam gelap, yang saya nampak hanya bara rokok dan waktu itu boleh pula saya terfikir, "Betul ke ini ayah aku? Bagaimana kalau bukan?"

Jadi, untuk hilangkan ketakutan itu, saya sering panggil dia, dan dia menyahut. Saya pun lega. Akhirnya selamat juga sampai ke rumah. Dan sampai sekarang saya masih terbayang, bara rokok ayah saya di dalam gelap, dan ketakutan seorang budak pada perkara yang tidak dia lihat.


Kisah 2.

Semasa di kampung, perkara yang paling tidak saya suka adalah, terbangun pada waktu tengah malam. Bukan kerana takut gelap, tetapi resah pada apa yang didengar.

Bayangkan sahaja, rumah kamu di tengah kebun, dan jiran terdekat mungkin 200-500 meter. Itupun tidak nampak kerana dilindungi pokok kelapa. Hanya sunyi, dan apa-apa selain sunyi akan membuatkan kamu terfikir sesuatu.

Waktu itu saya mungkin antara darjah satu dan dua. Kampung belum ada elektrik, masih guna pelita. Saya terbangun kerana terdengar bunyi mengilai yang panjang. Sampai sekarang saya tidak pasti bunyi itu, bunyi burung ataupun bunyi apa, tetapi itulah yang saya dengar.

Saya cuma diam dan pada ketika itu, saya terdengar ibu bertanya kepada ayah, "Bunyi apa?" Tetapi ayah saya tidak menyahut.

Kemudian terdengar lagi ibu bertanya, "Sampai bila bunyi itu?"

Ayah saya tetap diam, dan diam ayah saya itu membuat saya mengerti, ada sesuatu yang sangat berat dan serius bermain dalam fikirannya. Sesuatu yang saya tidak pernah tanya sampai sekarang.


Kisah 3.

 Kisah yang sudah kabur2, tetapi lebih kurang beginilah perasaannya.

Masih lagi kisah semasa saya kecil. Waktu itu, rumah nenek saya meriah kerana ada saya dan sepupu2. Rumah nenek juga di tengah kebun, dan bertiang tinggi.

Waktu itu, oleh kerana tidak ada elektrik, hanya ada pelita, memang tidak banyak yang dapat dibuat selain bercerita. Saya pula hanya mendengar pebualan sepupu2 saya yang lebih dewasa.

Kemudian, datang kenalan ayah dari kampung seberang, tumpang bermalam atas urusan apa saya sudah lupa. Dia menghisap rokok dan bertanya di mana pak cik saya. Selepas memberitahu, pak cik masih di rumah, dia terus tenang menghisap asap rokok sambil bersandar pada dinding.

Apabila ditanya mengapa dia bertanya, dia menjawab, "Ada nampak orang di bawah rumah tadi. Ingatkan siapa. Saya panggil dia cuma diam."

Waktu itu, yang saya masih ingat, saya cuma mampu duduk bersempit-sempit dengan sepupu2 sambil berfikir2 siapa di bawah rumah.

Tuesday, October 01, 2013

Keguguran.

Sebuah lagi cerpen Bahruddin Bekri.

Ini kisah seorang lelaki yang isterinya baru sahaja keguguran. Isterinya sudah beberapa hari tidak lalu makan. Ingatannya masih jelas pada wajah bayi yang sudah pun nampak pada scanner. Emosi muram si isteri terlalu kuat sehingga terbawa-bawa dalam wajah dan sikapnya, sehingga suaminya sudah kehilangan kata-kata bagi memujuk.

Isterinya sering berkata, “Kalaulah saya tidak pandu laju hari tu.”

“Awak, tidak perlu berkalau-kalau. Semua sudah takdir Allah. Sabar. Ingat ini semua ujian untuk kita,” pujuk suaminya, namun isterinya hanya mampu menitiskan air mata. Apatah lagi pada ketika melihat baju bayi, lampin, tilam, bantal, mainan, yang sudah di susun di penjuru bilik.

Akibat daripada itu, lelaki tadi tanpa sedar ikut berasa stres. Setidak-tidaknya isterinya mampu melepaskan air mata, pada setiap masa, sedangkan dia seorang lelaki yang sukar mahu selalu menitiskan air mata. Solat dan doa sahaja yang menjadi penguat namun itupun selalu tidak mampu lantaran jiwanya yang terlalu berkecamuk.

Lelaki yang stres tadi yang sudah hilang kata-kata hanya mampu melayari Facebook dengan menggunakan smartphone. Sempatlah dia membaca status pada wall rakan-rakannya sebelum dia berhenti pada satu status,

“Hari ini saya gembira sebab kucing saya sudah beranak. Anaknya sangat comel-comel. Ada putih dan ada hitam... See more.”

Segera lelaki itu membalas tanpa klik pada 'see more', “Takkan kucing beranak pun mahu tulis di facebook? Tidak ada kerja lain? Gila!”

Akhirnya berlaku pertengkaran di Facebook dan berakhir apabila lelaki itu memblok lelaki yang kucingnya baru beranak tadi. Masalah selesai dan komen-komen di status itu juga ikut terpadam, tanpa ada sesiapa lagi perlu berasa sakit hati.

Sementara itu, isterinya pula juga melayari Facebook dan pada ketika itulah dia membaca status, “Hari ini saya gembira sebab kucing saya sudah beranak. Anaknya sangat comel-comel. Ada putih dan ada hitam... See more.”

Si isteri mula tersentak, namun dia gagahkah juga klik see more,  dan dia membaca keseluruhan status itu.

Hari ini saya gembira sebab kucing saya sudah beranak. Anaknya sangat comel-comel. Ada putih dan ada hitam... Tuhan sudah ganti anak kucing saya yang hilang dahulu dengan lebih banyak anak kucing yang comel. Ya, Tuhan tidak pernah lupa memberi kepada yang meminta. Cuma cara dan nama 'memberi' itu sahaja yang berbeza-beza. Ada yang mengelarnya hikmah, anugerah, makbul, dan paling manusia tidak sedar adalah 'mengganti'. Mengganti juga adalah nama lain untuk memberi. Yang utama, kita perlu percaya pada setiap kehilangan Tuhan tetap akan 'menggantikannya' dengan sesuatu yang tidak pernah kita sangka selagi mana kita tetap bersangka baik kepada Tuhan, kerana bersangka baik itu juga adalah kata lain untuk meminta.

Si isteri mula tersenyum untuk pertama kalinya. Dia mula bangun dari katil, berjalan perlahan-lahan menuju ke arah suaminya. Dia memaut bahu suaminya dan perlahan berkata, “Maafkan saya, bang, buat abang begini. Saya lupa yang saya sebenarnya sudah mula bersangka buruk kepada Tuhan. Maafkan saya sebab mengabaikan abang juga, Maafkan saya.”

Si suami tersenyum mesra dan berkata, “Abang maafkan.” Lalu mereka kembali tersenyum bersama.

Tanpa si suami tahu, bagaimana Tuhan mengatur supaya isterinya kembali tersenyum, dan membuat dia juga ikut tersenyum.

Monday, September 09, 2013

Dipaksa Menikahi Perempuan Cantik


Cerpen saya ini, terlebih dahulu dipublishkan di sini;
http://gedebook.com.my/index.php/novelcafe/cerpen/dipaksa-menikahi-perempuan-cantik 

Kemudian, barulah saya publishkan kembali di blog saya. Selamat membaca. :)
Dipaksa Menikahi Perempuan Cantik
Seminggu lagi, aku akan menikah, tetapi hari ini aku masih di sini, kota besar, sendiri mengenangkan nasib. Tidak ada wang, tidak ada kereta, tidak ada kerja, tidak ada apa-apa selain, telefon murah, dan oh... telefon aku juga tidak punya kredit.
Sewa rumah pun belum aku bayar, tetapi aku akan menikah lagi seminggu. Majlisnya sederhana, bernikah dengan gadis kampung sebelah, di rumah ibu gadis itu, dan aku tidak kenal lagi siapa gadis itu. Orang tua aku yang mengaturkannya, dan aku masih terfikir-fikir, mengapa orang tua gadis itu, sanggup mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki seperti aku.
Aku lelaki yang apabila ditanya apa kerjanya, aku tidak tahu bagaimana harus menjawab. Aku memang bekerja tetapi, kerja sambilan di hotel, tolong kawan-kawan yang meniaga online di internet, ada sesekali mengikuti seminar MLM, dan banyak waktu duduk di rumah sewa, menatap akhbar mencari kerja.
Lalu, atas sebab apa ibu bapa gadis itu, sanggup menikahkan anaknya kepada aku, dan hantaran kahwinnya, cuma senaskah Al Quran, dan mas kahwin cuma RM80.00. Lebih menghairkan, semua kenduri ditanggung oleh keluarga si gadis.
Mengapa? Bertambah aku tidak mengerti, apabila, orang tua gadis itu, mengahwinkan aku dengan anak perempuannya yang cantik, yang bertudung litup. Ya, aku ada melihat gambarnya, dan atas sebab kecantikan itulah, aku walaupun dengan semua kehairanan itu, aku setuju juga dengan perkahwinan yang diatur keluarga ini. Ditambah cerita, perempuan itu lulusan universiti luar negara, berkerja sebagai pegawai kerajaan yang gajinya, cukup bagi membayar ansuran kereta BMW.
Pada mulanya, aku fikir aku ibarat tikus yang jatuh ke dalam guni beras, tetapi ketika majlis semakin hampir, aku mula terfikir, ada perkara yang disembunyikan. Adakah gambar yang diberi sama dengan wajah aslli perempuan itu? Adakah perempuan itu sebenarnya ibu tunggal? Atau yang paling menakutkan aku, perempuan itu sedang mengandungkan anak orang lain, dan aku menjadi 'pak sanggup'. Lalu, daripada sinilah kisah aku ini bermula.
***
Tengah hari itu aku nekad pulang ke kampung. Aku nekad, menyiasar latar belakang bakal isteri, dan mengapa ibu bapanya, sanggup melepaskan anaknya kepada lelaki seperti aku. Cuma tidak pasti, apakah cara untuk menyiasat, dan semasa di dalam bas aku kira beruntung, duduk di sebelah seorang lelaki yang peramah.
Kepada lelaki itu aku bertanya, “Bagaimana mahu tahu latar belakang bakal isteri kita?”
“Senang sangat. Kalau dia ada FB, buka FB dia, atau taip sahaja nama penuhnya di internet. Nanti adalah maklumat tentang dia. Kalau susah sangat, pergi tempat kerja dia, tanya kawan-kawan dia, atau tanya jiran-jiran dia.”
Untuk menyiasat tentang tunang aku itu di internet, nama penuhnya pun aku tidak tahu. Aku cuma diberitahu, namanya, Sarimah. Berapa ramai orang nama Sarimah di internet? Lalu aku ambil nasihat kedua lelaki itu, tanya rakan-rakan sekerjanya, dan mujur aku tahu gadis itu bekerja di pejabat KEMAS di pekan.
Sampai sahaja di kampung, aku pinjam motosikal ayah, terus ke pejabat KEMAS. Aku tidak tahu apa jawatannya, tetapi pejabat sebesar itu, berapa ramai sangatlah orang namanya sama. Tetapi agak tidak logik pula aku terus masuk ke pejabat dan bertanya berkenaan bakal isteri. Lalu akhirnya aku ambil keputusan menunggu dan memerhati di seberang jalan.
Aku fikir, mungkin pada waktu makan tengah hari, Sarimah dan wakan-kawannya akan keluar dan, apabila sudah cam wajah kawan-kawannya, semasa balik nanti boleh tanya tentang Sarimah. Itulah rancangan aku, rancangan yang diatur kemas. Lalu aku pun duduklah di atas motosikal menghadap pejabat kemas yang cuma setingkat.
Kemudiannya datang pula rasa menyesal, sebab pada jam 11 pagi, cuaca sudah terik. Di situ pula belum ada pokok yang rendang, kerana semuanya baru sahaja dicantas dahannya. Sudah panas terik, pengawal keselamatan di luar pejabat pula asyik meninjau-ninjau. Bukan pengawal keselamatan, malah orang yang lalu lalang di situ turut memerhati.
Aku lupa, ini pekan kecil, jadi segala perbuatan yang bukan kebiasaan akan menjadi perhatian. Perbuatan aku, yang duduk di hadapan pejabat kemas adalah bukan perkara biasa. Nampak terlalu aneh.
Akhirnya, aku semakin berasa menyesal kerana dari jauh aku lihat seorang perempuan keluar dari pejabat. Semakin dekat perempuan itu, semakin aku berasa berdebar. Wajahnya semakin jelas, dengan tudung kuning cair dan baju kurung biru muda. Dia adalah bakal isteri aku, yang aku cuma kenal namanya sebagai Saramih. Hanya itu.
Aku fikir, mahu sahaja menghidupkan motosikal dan kemudiannya terus pergi dari situ tetapi semuanya sudah terlambat apabila Sarimah berkata, “Awak Salman?”
Aku memberikan senyuman yang paling terpaksa pernah saya buat. Lebih terpaksa daripada senyum terpaksa apabila bertemu dengan cikgu semasa sekolah dahulu.
“Ya, saya. Awak boleh cam?”
“Kawan di pejabat yang beritahu, ada lelaki di sebearang jalan. Mereka mengusik saya, mungkin saya kenal, dan saya mula perasan wajah awak sama dengan gambar yang emak saya beri.”
Satu pejabat perasan aku menunggu di hadapan pejabat? Teruk betul cara aku mahu menyiasat. Kemudian pantas aku memerhatikan wajah Sarimah, dan ternyata wajah aslinya jauh lebih cantik daripada wajah pada gambar. Mungkin sebab itu gambar pasport. Orang tua dia pun satu, ambillah gambar lain. Ini tidak gambar pasport anak dia pula. Enhtah-entah, emak ayah aku pun berikan gambar pasport aku. Ketika itu juga aku rasa berdebar. Sebab, seingat aku semasa aku bergambar pasport, aku baru sahaja bangun tidur.
Aku perhatikan pula perutnya, tetapi tidak nampak ada apa-apa tanda perempuan mengandung. Pada ketika aku memerhati itu, aku perasan dia terus silangkan tangannya di perutnya dan terus aku berasa malu. Mesti dia perasan aku pandang perutnya, dan entah apalah dalam fikirannya sekarang.
Kemudiannya, aku perasaan lagi yang Sarimah ini perempuan yang berani. Berani untuk keluar berjumpa dengan aku. Kalau perempuan lain, tentu mereka tidak berani. Barulah aku sedar, inilah pertemuan pertama aku dengan bakal isteri aku. Pertemuan dalam keadaan yang agak aneh.
Selepas pertanyaan itu, kami tiba-tiba diam. Kami hanya berdiri di tepi jalan raya, sambil memandang ke arah yang sebenarnya agak aneh untuk dipandang. Aku memandang ke arah pokok dan Sarimah memandang ke arah motosikal ayah aku.
Aku tahu, ini keadaan yang tidak betul dan aku sebagai lelaki perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bakal isteri aku. Jadi, selepas puas berfikir dan memberanikan diri, aku berkata, “Sudah makan?”
“Saya diet.”
Nasib baik dia kata dia diet. Bagaimana kalau dia kata, marilah kita makan, memang aku akan jahanam sebab di dalam dompet aku cuma ada lima ringgit. Mana cukup. Selepas itu, keadaan kembali sepi.
“Saya mahu masuk pejabat balik,” kata Sarimah sopan dan membuatkan aku lega.
“Saya pun mahu balik,” balas aku, dan rupa-rupanya lega aku tidak lama.
“Malam ini jemputlah datang rumah.”
“Datang rumah awak?”
“Ya, makan malam dengan keluarga saya.”
Aku diam. Berdebar-debar.
“Jemputlah sekali ayah dan emak awak kalau mereka tidak ada halangan.”
“Baiklah, selepas maghrib saya saya sampai.”
***
Sepanjang perjalanan balik aku berasa tidak puas hati dengan diri aku. Mengapa aku tiba-tiba menjadi kaku. Sepatutnya, pada waktu itulah aku banyak tanya bagi menyiasat mengapa dia dan keluarga dia memilih aku.
Cuma malam ini aku berasa sedikit gerun. Alamat rumah Sarimah, aku boleh tanya ayah aku, tetapi adakah aku patut bawa ayah dan emak aku sekali? Tidak.. tidak.... Bukannya aku tidak tahu, biasanya kalau emak ada sekali, habis semua rahsia anak dia ceritakan. Seronok betul cerita rahsia anaknya.
Lagipula aku ada banyak rahsia yang tidak patut Sarimah dan emak ayahnya tahu. Rahsia yang aku paling takut emak akan beritahu adalah, hampir setiap bulan aku masih lagi meminta duit daripada emak aku. Memang memalukan tetapi untuk pergi seorang diri pula, memang aku tidak yakin.
Akhirnya, aku ada idea paling bernas. Aku terus melencong ke rumah kawan lama aku, Rudy. Bukan setakat kawan lama, tetapi juga kawan karib. Aku yakin dia ada di rumah, kerana dia juga senasib dengan aku, belum ada kerja tetap. Bezanya, dia bertarung hidup di kampung, dan aku bertarung hidup di kota.
Sampai sahaja di rumah Rudy, aku lihat Rudy sedang duduk di tangga sambil bermain gitar. Itulah kemahiran Rudy yang aku sangat cemburu. Aku tidak pandai bermain gitar dan akibatnya.... oh... ada lagi rupanya kemahiran Rudy yang aku tidak ada. Rudy pandai mengorat gadis dengan bermain gitar, dan Rudy sangat berani berhadapan dengan perempuan, tidak seperti aku. Itulah akibatnya, aku tidak ada keyakinan apabila berhadapan dengan perempuan.
“Lama tak nampak,” kata Rudy sebaik aku duduk di sebelahnya.
“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”
“Lamalah tu.”
Aku diam, dan cuba mendengarkan petikan gitar lagu rock kapak, 'Suci Dalam Debu'. Aku cuba menyusun ayat, bagi mengajak dia menemani aku malam ini, tetapi belum ada ayat yang bagus.
“Aku dengar seminggu lagi kau nak kahwin. Kau tak jemput pun aku,” kata Rudy, dan itu secara tidak langsung memberikan aku jalan bagi melaksanakan rancangan aku.
“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka jempur sebelah perempuan sahaja.”
“Sebelah lelaki bila?”
Aku diam, kerana aku tidak tahu bila. Sebab dengan kewangan aku sekarang, hidang mi goreng kepada tetamu pun aku tidak mampu.
“Tengoklah. Kalau ada kad aku sampai ke rumah kau, kau pergilah.”
Rudy semakin merancakkan petikan gitarnya. Kini lagu Adele pula, 'Someone like you'. Entah mengapa, lagu yang temanya kecewa sahaja dia mainkan petang ini.
“Dia cantik tak?” Rudy memandang dengan senyuman penuh berharap.
“Cantik.”
“Macam mana kau jumpa dia?” Senyuman Rudy kini semakin tinggi harapannya. Harapan jenis apa aku tidak tahu. Mungkin harapan untuk melihat aku bahagia. Walaupun aku berasa seperti tidak logik pula harapan itu wujud daripada Rudy.
“Ayah dan emak aku jodohkan. Aku terima sahaja.”
“Kau tidak pernah jumpa dia?”
“Baru tadi.”
“Memang dia cantik?”
“Memang cantik.”
Rudy kini memperlihatkan pula wajah orang yang sedang gusar dan berfikir panjang.
“Apa kerja dia?”
“Pengawai di KEMAS. Aku tidak tahu jawatannya. Tetapi emak aku kata, pegawai tinggi juga.”
“Hmm... dia cantik, kerja bagus tetapi dia mahu kahwin dengan kau. Hairan.”
Aku menelan liur. Nampaknya Rudy juga sudah perasan sesuatu yang tidak kena. Dia pandang wajah aku.
Rudy menyambung, “Kau pun, bukannya kacak pun. Hairan-hairan.”
Aku tersenyum pahit. Aku akui, aku memang tidak kacak dan itu pun sebenarnya merisaukan aku juga.
“Kau tidak hairan?” soal Rudy.
“Memang aku hairan.”
“Kau sudah periksa latar belakang perempuan itu?”
Aku pandang wajah Rudy. Akhirnya peluang aku tiba.
“Malam ini kau ikut aku. Temankah aku ke rumah tunang aku.”
“Buat apa?” Rudy memandang hairan.
“Dia ajak aku makan malam di sana. Jumpa dengan ayah dan emaknya. Waktu itu aku fikir baru hendak siasat latar belakangnya.”
“Jadi kau pergilah sendiri.” Rudy kembali menyambung memetik gitar.
“Kau bukan tidak tahu aku. Aku segan. Aku perlukan kau temankan aku. Lagipun kau berani, mungkin kau boleh tolong siasat-siasat juga.”
“Siasat-siasat? Macam mana?”
“Tanyalah apa-apa soalan yang patut. Engkaukah berpengalaman dalam dunia percintaan. Mestilah tahu.”
Akhirnya selepas lama aku pujuk, Rudy pun setuju.
***
Malam itu, walaupun aku sudah salin alamat daripada ayah aku, tetap jugalah aku sesat. Aku sampai, selepas isyak, bukannya selepas maghrib. Aku lihat makanan sudah sedia terhidang di atas meja, dan nampak sudah sejuk. Mungkin perut Sarimah dan orang tuanya juga sudah lapar.
“Maafkan saya sebab lambat.”
“Tidak mengapa, masuklah,” kata seorang lelaki yang sebaya ayah aku. Mungkin dia adalah ayah Sarimah dan bakal ayah mertua aku.
“Ooo... inilah Salman. Ayah kamu kata kamu akan balik lusa, cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan pula, yang aku yakin adalah emak Sarimah.
“Ada hal sedikit,” balas aku dan kemudian berkata, “Kenalkan ini kawan saya Rudy. Emak dan ayah saya tidak dapat datang.”
Kemudiannya, Sarimah keluar dari dapur dengan dan dia kelihatan sangat cantik. Terpegun aku dan aku sempat melihat wajah Rudy yang ikut terpegun.
“Untunglah kau,” bisik Rudy.
Selepas makan, kami duduk pula di ruang tamu dan pada waktu itulah, aku jeling-jeling Rudy supaya mula menjalankan kerjanya.
“Salman beritahu, yang ini kali pertama dia berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Malah dengan Sarimah pun baru semalam berjumpa,” kata Salman memulakan bicara dan aku mula berdebar-debar.
“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami lihat wajahnya dalam gambar pasport yang emak dia beri,” jawab ayah Sarimah.
Aku semakin berdebar-debar. Emak aku beri gambar pasport? Ah, sudah! Matilah aku.
“Tidak sangka, orang betulnya, kacak juga,” sambung emak Sarimah pula.
Aku mula berasa pipi aku panas. Jarang betul orang puji aku kacak. Kalau puji kacak pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah emak Sarimah pun cuma mahu menjaga hati.
“Itulah saya hairan. Sebab Salman beritahu, orang tua dia yang aturkan. Tidak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan yang diatur oleh orang tua. Apa rahsianya pak cik?” Rudy memang tidak menunggu lama. Terus sahaja dia bertanya sambil ketawa-ketawa kecil. Jadi, walaupun soalan itu serius, tetapi ia nampak seperti bergurau.
“Tidak ada rahsia apapun. Salman tidak beritahu kamu?”
Rudy pandang aku, kemudian dia padang ayah Sarimah dan menggeleng.
Terus aku kata, “Sebenarnya saya pun tidak tahu apa-apa.”
“Kamu tidak tanya ayah dan emak kamu?”
Pada waktu itulah, aku mula berasa menyesal. Ya, aku tidak tanya pun ayah dan emak aku mengapa dia pilih Sarimah. Yang aku tahu, emak aku cuma tanya, “Mahu emak carikan kamu jodoh?” Aku pun terus kata, “Boleh.” Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, aku sudah bertunang dan dalam masa sebulan akan berkahwin. Itupun tunang guna duit emak aku. Memalukan betul.
“Saya tidak tanya.”
Ayah Sarimah mula ketawa kecil.
“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama kenal. Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak masing-masing, kemudiannya terus bercerita berkenaan jodoh, dan akhirnya, terus kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang terjadi,” jelas ayah Sarimah.
“Begitu sahaja pak cik? Mudahnya!” Rudy nampak terkejut, dan aku pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.
Emak dan ayah Sarimah hanya tersenyum lebar.
Ayahnya berkata, “Tidaklah semudah itu. Kami pun mahu yang terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang Salman.”
“Jadi pak cik tahu yang Salman ini menganggur dan tidak ada duit?” soal Rudy dan membuatkan aku geram tetapi dalam masa yang sama berasa sangat malu. Tiba-tiba aku berdoa supaya tubuh aku menjadi kecil, supaya senang aku menyorok bukan sahaja muka, tetapi seluruh tubuh aku di balik bantal.
“Tahu,” jawab ayah Sarimah sambil ketawa kecil lagi.
“Jadi?” Rudy menyoal sambil memusingkan tangan kanannya. Aku dapat agak Rudy sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih Salman?” Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja. Ya, aku tahu betul sebab sudah lama aku kenal Rudy.
“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak dia tidak kacak, tidak ada kerja tetap, dan malah, bulan-bulan masih minta duit daripada emaknya. Tetapi, daripada situlah pak cik tahu, Salman ini akan menjadi suami yang baik.” Ayah Sarimah tidak lagi tersenyum, sebaliknya memandnag aku dengan wajah serius. Aku pula terus tunduk malu. Malunya aku. Rupa-rupanya mereka sudah tahu yang aku ini minta duit bulan-bulan daripada emak aku.
“Jadi?” Rudy sekali lagi menggerak-gerakkan tangannya.
“Ayahnya juga memberitahu, anak dia akan menelefon kampung, paling kurang dua kali seminggu. Dan, walaupun dia tidak ada pekerjaan tetap, kerjanya pun tidak menentu dengan gaji yang kecil tetapi setiap kali mendapat gaji, ayahnya memberitahu, dia tidak pernah lupa memberikan sedikit kepada emaknya. Walaupun cuma RM50. Jadi, bayangkan walaupun hampir tiap-tiap bulan dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan bagi membantu orang tua. Itulah namanya tanggungjawab!”
Aku tergamam. Aku sebenarnya tidak menyangka ayah aku menceritakan perkara itu juga kepada ayah Sarimah.
“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Rudy sambil mengangguk-angguk
Ayah Sarimah menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan bermakna apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang. Lalu, dalam rumahtangga, bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya. Jadi, pak cik akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan lelaki yang bertanggungjawab.”
“Betul juga pak cik. Lagipun Salman ini, setahu saya dia tidak pernah tinggal sembahyang dan tidak ada girlfriend sebab takut perempuan,” tambah Rudy yang membuatkan aku tersipu-sipu. Tidak sangka Rudy memuji aku.
“Sembahyang itulah perkara utama yang pak cik tanya daripada ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Sarimah kembali ketawa kecil.
“Susah mahu cari orang seperti pak cik pada zaman ini. Zaman sekarang, semua mahu menantu kaya,” tambah Rudy lalu aku nampak wajahnya tiba-tiba murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara tidak sedar.
“Semasa pak cik mengahwini ibu Sarimah, hidup pak cik pun susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan ibu Sarimah itu anak orang kaya kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang malas dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan tidur berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Sarimah dengan panjang lebar.
Aku berasa mula sedikit lega. Tidak sangka betul aku, begitu fikiran ayah dan emak Sarimah. Perlahan-lahan, perasaan malu aku itu mula berkurang. Perlahan-lahan juga, curiga aku kepada Sarimah ikut berkurang.
“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak cik. Zaman sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,” kata Rudy. Aku tahu, Rudy juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar belakang Sarimah pula. Aku kembali berdebar-debar.
“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi anak sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Sarimah kata setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Salman boleh tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Sarimah, lalu dia, isterinya dan Rudy ketawa bersama. Tinggal aku dan Sarimah sahaja yang duduk terdiam-diam malu. Sempat aku menjeling Sarimah, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu setuju dengan lelaki seperti aku?'
***
Alhamdulillah. Allah permudahkan kerja kami. Aku sudah sah menjadi suami kepada Sarimah, dan selepas bersalaman dengan Sarimah, gentar dan malu aku kepada Sarimah mula berkurang. Malah aku mula memanggil dia, 'sayang'. Lalu selepas kenduri, kini aku dan Sarimah sudah berada di dalam bilik, berdua-duan untuk pertama kalinya.
Aku masih ingat pertanyaan aku dalam hati, pada malam aku bertemu ayah dan emak Sarimah. Kini pertanyaan dalam hati itu aku luahkannya dengan lidah, “Sayang, mengapa sayang setuju untuk bernikah dengan lelaki seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depannya, dan mungkin juga membuat sayang derita.”
Tidak sangka, pertanyaan melalui lidah aku menjadi lebih panjang dan detail pula berbanding pertanyaan dalam hati.
Sarimah yang waktu itu sedang duduk malu-malu, memandang aku lalu menyalami tangan aku, dan berkata, “Ampuni Sarimah bang, ampuni Sarimah.”
Aku mula berdebar-debar dan tidak sedap hati.
“Ampuni apa sayang?”
“Sebab, Sarimah sebenarnya sempat curiga juga dengan abang. Sarimah sempat tidak yakin dengan abang. Malah Sarimah minta tolong kawan Sarimah, yang kebetulan tinggal berhampiran abang di kota supaya menyiasat latar belakang abang. Malah, Sarimah juga solat iskhtikarah hanya kerana ragu-ragu kepada abang.”
Debar aku kembali menurun. Rupa-rupanya, Sarimah lebih dahulu menyiasat latar belakang aku? Malunya aku. Tetapi sekarang dia sudah jadi isteri aku, lalu aku angkat kepalanya dan pandang ke arah matanya.
“Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab abang pun pernah juga berasa curiga kepada sayang.”
Sarimah tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi senyuman seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana ikut membuatakan aku berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan, bahagia yang datang daripada kelakuan kita yang membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan aku tadi masih belum terjawab sepenuhnya.
“Jadi, apa kata kawan sayang?” lanjut aku mahu tahu. Risau juga kawan dia cakap yang bukan-bukan.
“Katanya, abang ini kerja tidak tetap. Motosikal pun pinjam motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca ruangan akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti surat. Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia tidak pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang buat berjemaah di surau.”
Aku mula tersipu-sipu. Jadi bagi mengelak lebih tersipu-sipu, aku bertanya, “Tetapi orang secantik sayang takkan tidak ada orang mahu. Pasti ramai yang mahukan sayang, dan mungkin pasti juga yang ada sudah menghantar rombongan meminang.”
Sarimah sekali lagi tersenyum.
“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan Sarimah, tetapi Sarimah sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Sarimah?”
“Mengapa dengan kakak, sayang?” soal aku segera.
Sarimah pun bercerita panjang lebar, dan tahulah aku yang kakak dia sudah meninggal. Kakak Sarimah dahulu juga seorang perempuan cantik, dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki pilihan hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula berubah kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.
Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana krisis ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin besar perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula, hanya bagi meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian pecahlah rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu pada hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Sarimah gagal mengawal keretanya lalu kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus aku genggam tangan Sarimah erat-erat.
“Sebab itulah, Sarimah takut bagi menerima mana-mana lelaki dalam hidup Sarimah. Malah, Sarimah juga sebenarnya sudah mengamanahkan ayah dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Sarimah. Biar tidak kaya, biar tidak kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan kasih-sayang dan mendamaikan hati dengan agama.”
Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan ibu Sarimah memilih lelaki seperti aku, dan mengapa Sarimah menerima aku dalam hidupnya. Genggaman tangan aku semakin kuat.
“Abang... jaga Sarimah. Jaga dan mohon jangan lukakan hati Sarimah. Mohon bang,” rayu Sarimah dan aku anmpak matanya mula ada air mata yang berkolam, dan kemudiannya air itu tumpah. Segera aku menyeka air mata Sarimah.
“Abang, bukan lelaki terbaik, dan abang tidak mampu berjanji menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji, abang berusaha menjadi lelaki yang terbaik itu, dan berusaha menjadi suami yang terbaik untuk sayang,” kata aku perlahan, dan Sarimah terus memeluk aku, dan aku perasan, bahu aku sudah basah dengan air mata Sarimah.  

Monday, August 26, 2013

Penulis.

Sebelum membaca ini, sangat digalakkan bagi membaca tulisan penulis tersohor ini dahulu, Eka Kurniawan. Kerana tulisan ini terinspirasi berat daripada tulisan itu.



Membaca tulisan Eka Kurniawan berkenaan pesan moral, saya sangat tertarik pada kata-kata beliau yang ini,

“Menjadikan novel atau karya sastra semata-mata tunggangan pesan, hanya akan menjadikannya angkutan umum. Kejar setoran. Yang penting pesan sampai dengan selamat kepada pembaca. Dunia sastra kita akan dipenuhi penulis-penulis yang bertabiat ugal-ugalan seperti sopir angkutan umum di Jakarta. Dan mereka akan bangga dengan ini.”

Untuk kesan dan makna pada tulisan itu, saya tinggalkan kepada pembaca bagi menikmatinya. Saya cuma mahu berbicara tentang kata, 'novel yang menjadi angkutan umum', atau dalam bahasa Melayu Malaysia, 'novel yang menjadi kenderaan awam'. Di mana penulis novel begitu, akan bertabiat 'ugal-ugalan' atau dalam bahasa Melayu Malaysia, 'nakal', 'tidak sopan', 'kasar', dan seertinya dengannya, hanya kerana bagi memenuhi kenderaan mereka dengan penumpang, dan memperoleh banyaknya trip lalu cenderung memandu laju, dan bahaya bagi memperoleh pendapatan yang lebih.

Saya suka memanjangkan hal 'kenderaan' tadi kepada perkara yang lebih luas. Maknanya, akan ada juga 'pemandu kereta BMW' yang ugal-ugalan, akan ada juga 'penunggang motosikal yang ugal-ugalan', akan ada juga 'pemandu Ferrari yang ugal-ugalan'.

Pada akhirnya, siapa pun pemandu itu, semuanya cenderung menjadi ugal-ugalan. Bezanya, pemandu angkutan umum tadi, setidak-tidaknya ada 'memberi khidmat', khidmat memberi kos yang murah untuk pergi dan pulang. Walaupun nampak kecil tetapi sangat besar ertinya kepada manusia-manusia biasa di tepi jalan, yang imaginasinya tidak menembusi langit.

Namun risikonya, bagi pemandu bas yang ugal-ugalan tidak perlukan imaginasi, kerana mereka dapat juga membawa penumpangnya mati bersama. Risiko yang sama untuk semua 'pemandu yang ugal-ugalan'. Sama ada bas ataupun Ferrari.

Tetapi diakui, pemandu kereta-kereta mewah, motosikal mewah juga tetap memberi khidmat, iaitu khidmat, memberikan rasa teruja kepada manusia-manusia di tepi jalan tadi. Teruja melihat ferrari dan mereka berkata, “Waaa... Ferrari...” Ya, ia tetap 'khidmat', yang membuatkan manusia itu gembira walaupun pada akhirnya, bukan 'pemandu' 'Ferrari' itu yang akan membawa mereka pulang ke rumah abadi.

Pada akhirnya, terserah kita, yang mengaku penulis untuk memilih 'kenderaan' kita. Mahu memilih, 'monorel', 'bas', Ferrari, kapal terbang, basikal, dan malah berjalan kaki.

Dan tetap terserah kepad kita juga mahu menjadi pemandu yang bagaimana. Mahu menjadi 'pemandu bas' yang ugal-ugalan atau pemandu bas yang penuh adab dan gaya, pemandu Ferrari yang ugal-ugalan atau pemandu yang penuh sopan dan gaya, dan malah pejalan kaki yang ugal-ugalan atau pejalan kaki yang penuh budi dan gaya.

Pilih sendiri mahu yang mana, kerana saya juga tertarik pada petikan tulisan daripada tulisan Eka Kurniawan itu,

“Seperti kata Roberto Bolaño, kita para penulis (yang baik, dan saya harap saya bisa menjadi bagiannya, bahkan meskipun saya penulis yang buruk, saya akan mengikuti sarannya), tak memerlukan siapa pun untuk bernyanyi bertepuk tangan atas karya-karya kita. Kenapa? Karena kita sudah dan akan melakukannya sendiri. Kita akan bernyanyi dan bertepuk tangan untuk karya-karya kita sendiri.”





Wednesday, July 31, 2013

Menerima.

Menerima perkara yang baik-baik itu nikmat. Menerima gaji, menerima cinta, menerima hadiah, menerima cahaya mata.

Saya, kamu, kita semua bersyukur dan bergembira, menerima perkara yang baik-baik. Walaupun, perkara yang saya sering kesalkan berkenaan menerima perkara yang baik adalah, saya sering terlupa bagi bersyukur, namun tidak pernah lupa bagi berdoa untuk meminta lagi.

Lupa bersyukur itu, membuatkan nikmat menerima perkara yang baik-baik itu, terhenti hanya pada tahap itu. Sedangkan itu bukan nikmat yang paling nikmat yang dapat diperoleh. Ada lagi nikmat yang lebih besar, dan memberi ketenangan jiwa yang lebih halus.

Antaranya, nikmat memberi perkara yang baik-baik. Memberi senyum, memberi sedekah, memberi cinta, memberi hadiah, dan segala macam yang baik-baik.

Itulah nikmat yang lebih atas, daripada nikmat menerima, nikmat memberi.

Monday, July 22, 2013

Bertemu.

Apabila bertemu manusia yang suka membaca, yang banyak pengalaman hidup, yang suka menulis, saya yang sudah sedia pendiam, bertambah menjadi pendiam. Saya gemar menjadi pendengar, dan saya menjadi malu bagi berkata-kata, dan sangat malu bagi berkongsi pengalaman yang sangat pucuk, dan ilmu yang hanya sehujung kuku.

Jadi, tidak ada apa yang perlu diberi hairan sekiranya saya cuma diam pada ketika kita bertemu.

Sunday, July 21, 2013

Terikat.

Saya sentiasa memikirkan, cinta itu akan mengikat manusia menjadi manusia lain. Manusia yang dahulunya kasar, diikat kemas dengan peraturan cinta supaya ia menjadi manusia yang sopan. Walaupun ramai juga menjadi sebaliknya, tetapi setidak-tidaknya itulah idea berkenaan terikat yang bermain-main dalam fikiran.

Terikat itu sakit, pada ketika pada sekecil-kecil perkara pun kita perlu menurut, sehingga diri kita adalah bukan lagi manusia unik yang dijadikan Tuhan, tetapi sebaliknya menjadi manusia yang perlu mengikut acuan cinta, yang entah betul entah tidak.

Itu sakit, tetapi rupa-rupanya terikat itu bukan sahaja pada kata cinta. Ia juga ada juga dalam penulisan. Lalu pada kata 'terikat' itulah saya berada.

Menulis sekiranya tidak mahu terikat, adalah digalakkan untuk terbit sendiri. Sekiranya masih memilih rumah penerbitan, akan ada banyak ikatan, kerana setiap rumah penerbitan adan 'gaya penerbitan', mereka yang tersendiri. Yang menjadi tanda niaga kepada mereka.

Lalu saya akui, terikat pada cinta itu jauh lebih sakit, berbanding terikat pada rumah penerbitan, tetapi tetap sahaja, ia memberi rasa tidak puas. Bahasa yang kita mahu angkat terpaksa diredam, gaya yang mahu kita pamerkan terpaksa disembunyi, dan tema yang mahu kita julang, terpaksa direndahkan. Tidak puas menjadi diri sendiri, lalu di blog ini, saya bebas mahu menjadi apa adanya saya.

Sekian. :)

Tuesday, July 16, 2013

Kakak.

Dahulu itu jugalah yang dipesan oleh ibu kepada kakak.

"Cinta itu terlalu sakit. Memang sakit sekiranya itu sahaja yang kamu kejar dalam hidup."

Lalu kakak saya akur, dan dia pun tidak lagi melayan mana-mana surat cinta lelaki. Kakak mengejar banyak perkara dalam hidupnya, dan akhirnya dia tetap juga terperangkap pada kata cinta. Tetapi bukan cinta kepada lelaki, tetapi cinta kepada perjuangan bagi melihat anak bangsanya maju, seperti majunya bangsa-bangsa di Timur Jauh dan Barat.

Dia tahu, hanya bercakap, hanya menulis, semua itu hanyalah secebis daripada perjuangan.

Kakak, mula memberi aksi. Walaupun dia yakin antara jalan tercepat adalah politik, tetapi untuk dia, politik negara ini terlalu ngeri. Kakak takut, banyak masanya habis hanya untuk membela diri daripada ular-ular politik, yang bersembunyi di mana-mana sahaja, dan sedia menyuntik bisa untuk dia mati.

Lalu, kakak saya, yang saya pandang tinggi itu mula membina pertubuhan dia sendiri. Pertubuhan percuma yang membantu bagi memperbaiki hidup masyarakat miskin.

Memang klise, tetapi kemiskinan itu juga klise, hidup sengsara itu juga klise. Semangat itu juga klise. Malah kegagalan itu juga klise. Yang tidak pernah klise, adalah kejayaan.

Tamparannya perit, lebih perit daripada ditampar lelaki biadab. Namun tetap sahaja, kakak sentiasa tersenyum, terlihat bahagia dan saya menjadi ragu-ragu. Senyumannya itu kerana memang bahagia atau hanya mahu melindung luka.

Lalu sayalah bukti hidup untuk melihat, kakak saya itu berkata kepada saya, "Benarlah kata ibu, cinta itu terlalu sakit sekiranya dikejar. Dan mungkin itulah sebenarnya yang ibu beritahu, cinta jangan dikejar tetapi kongsikan dan sebarkan. Di situlah kamu akan bahagia."

Akhirnya, mengertilah saya mengapa kakak saya sentiasa tersenyum semasa masih hidupnya, kerana hidupnya tidak hanya mengejar cinta, tetapi berbagi dan berkongsi cinta.

Menulis.

Saya sentiasa berharap, saya mampu berfikir pada perkara yang betul. Pada ketika membaca buku, saya berharap mampu memikirkan mesej yang saya dapat, bukan kepada memikirkan dan mencari mesej apa yang mahu disampaikan.

Lalu pada ketika saya menulis, saya juga berharap begitu. Pembaca tidak 'sakit kepala' mencari 'apa yang mahu saya sampaikan', tetapi mereka 'sakit kepala', memikirkan dan merenungkan pada mesej yang mereka dapat dan tangkap.

Namun tetap sahaja saya akur,  apa yang mahu disampaikan oleh sesetengah penulis bukan pada perkara yang difikirkan, tetapi perkara yang dirasa. Menulis sesuatu yang membuatkan orang merasa jijik, berat dan tiada harapan. Perasaan yang menekan fikiran supaya akhirnya manusia berfikir dalam tidak sedar mereka.

Cuma tetap sahajalah saya percaya, manusia yang mampu berfikir jernih adalah manusia yang sudah ditenangkan perasaannya. Biar fikiran itu yang akhirnya menekan perasaan bagi berbuat itu ini, bukan perasaan yang menekan fikiran, kerana perasaan sentiasa melulu. Lihat sahajalah cinta. Ia perasaan yang akhirnya akan disesalkan oleh fikiran selepas semuanya terjadi.

Apapun, tetaplah menulis dan selamat menulis.

Tuesday, June 25, 2013

Terus diberi madu - sebuah cerpen

Hari sudah hampir menjadi senja, dan pada ketika saya melihat dia, saya tahu ada perkara yang belum beres. Dia segera datang dengan wajah yang berpeluh-peluh.

"Baju untuk diri sendiri aku belum beli lagi."

Dia melihat jam tangannya. Aku juga ikut melihat jam telefon bimbit aku.

"Macam mana?" soal dia.

"Kedai sana kita tidak pergi lagi."

Dia mengarah ke arah kedai itu, dan 15 minit kemudian dia datang lagi dengan tangan kosong.

"Fesyen yang aku mahu ada, tetapi saiz untuk aku tidak ada."

Aku senyum. Perempuan memang susah sekiranya ia adalah berkenaan soal baju. Kerana aku sendiri begitu. Baju itu perlu tepat temanya, fesyen, warna, dan juga saiz. Selagi mana semua kretaria itu tidak dipenuhi, aku akan terus keluar masuk kedai. Mungkin sahaja aku boleh bertolak ansur, sekiranya ada yang lebih baik daripada imaginasi aku. Ya, perempuan dalam hal memilih baju, hanya akan bertolak ansur sekiranya  ada pilihan yang lebih baik.

"Jadi, macam mana? Flight kau pukul 8:00 malam. Sekarang sudah pukul 6;00 petang. Mahu cari lagi atau terus ke airport?"

Dia pandang aku dengan wajah yang meminta cadangan.

"Aku fikir elok terus ke airport. Takut terlepas pula flight.

"Eloklah. Lagipun aku sudah belikan baju untuk ayah dan emak aku. Lega sedikit."

"Baju kau sendiri?" Aku menduga.

"Tidak apa."

Aku senyum lalu memutar kunci kereta. Ya, teman aku itu dari Sarawak dan sudah aku kenali sejak dari zaman belajar dahulu. Aku dan dia sama bilik di kolej dan sama pula diploma yang diambil. Jadi, segala ketentuan itu menjadikan kami rapat.

Walaupun jawapan 'tidak apa' itu terdengar ikhlas, namun tetap aku lihat wajahnya seperti kesal. Walaupun datang ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan hanya dua hari, tetapi sekiranya tidak memperoleh sesuatu bagi dirinya sendiri adalah suatu ketewasan.

Akhirnya, dia pun berlepas juga dan aku pula pulang dengan fikiran yang ikut tumpang simpati kepada nasib seorang perempuan.

Esoknya, aku terima SMS dia.

'Beg besar aku hilang di airport.'

Aku kerut dahi lalu membalas

'Bagaimana boleh hilang?'

'Mungkin silap semasa scan. Petugas tidak letak tag'.

'Sudah lapor?'

'Sudah. Tetapi harapan mungkin tipis sebab tidak ada tag'.

Aku mula ikut risau.

'Beg yang mana?'

'Beg yang ada baju ayah dan emak aku. Klau baju aku sendiri aku tidak risau sangat. Sedih betul'.

'Sabar. Ini semua ujian'.

'Kalau barang aku sendiri tidak apa, tetapi baju yang aku belikan untuk ayah dan emak aku ada di situ'.

Aku diam sejenak. Berfikir-fikir bagaimana keadaan dia, sebelum menjawab,

'Jangan risau. Banyakan doa. Aku yakin ada'.

'Mudah-mudahan'.

Itulah SMS penutup dia dan aku kembali menyambung kerja dengan fikiran yang berat memikirkan nasib teman karib aku itu.

Petangnya, pada ketika aku bersiap-siap mahu pulang ke rumah, aku terima lagi sms daripada dia.

'Alhamdulillah. Beg aku sudah dijumpai.'

'Alhamdulillah. Alhamdulillah.'. Balas aku dengan hati lega dan tersenyum.

Kemudiannya seorang rakan aku, seorang yang aku panggil  ustazah kerana ilmunya, menyapa, "Mengapa senyum2? Boyfriend ya?"

Segera aku menyanggah dan terus menceritakan hal sebenar. Aku ceritakan dengan penuh semangat, dari A sampai Z, kerana aku berasa cukup gembira dengan kegembiraan sahabat aku.

Ustazah itu tersenyum. Ikut tumpang gembira dan berkata, "Kamu tidak perasan?"

"Perasan apa?"

"Perasan yang semua itu sudah diatur dengan penuh seni oleh Tuhan."

"Maksudnya?"

"Kita tanpa sedar, berbuat sesuatu demi memuaskan perasaan dalam hati. Kita mandi, kerana mahu memuaskan perasaan mahu bersih, kita belajar kerana mahu memenuhi perasaan mahu berilmu, kita solat kerana mahu memuaskan perasaan menjadi hamba kepada Allah, dan seterusnya. Lalu dengan perasaan itulah Allah memberikan 'hadiah' Nya kepada manusia."

"Okey," kata aku sambil mengangguk-angguk walaupun hakikatnya aku cuma sedikit-sedikit faham.

"Kita tidak akan tahu ertinya manis sekiranya tidak pernah merasa pahit. Jadi, bagi mendapat manis adakah akan terus diberi madu? Mestilah kita diberikan dahulu hempedu, dan selepas itu barulah madu. Begitu jugalah dengan kisah teman kamu tadi."

Mata aku membulat. Aku mula mengerti sesuatu tetapi masih belum mampu aku menjelaskannya dengan kata2. Aku memilih diam.

"Teman kamu, seorang anak yang taat. Lalu diberikan 'pahit', dengan ketiadaan baju yang sesuai untuknya, dan begnya hilang. Sebelum 'manis' itu kembali dengan menjumpai semula beg yang hilang.  Itu adalah antara 'manis' kepada perasaan. Perasaan 'menemui', 'menjumpai', sesuatu yang hilang."

Aku tersenyum lebar. Ya, menemui sesuatu yang hilang itu memang manis. Mungkin menemui 'cinta' selepas hati rasa kosong itu juga sangat manis, dan senyum aku kembali lebar. Tetapi cepat-cepat senyum aku bubar apabila ustazah itu berkata lagi,

"Jadi, sentiasa ingat, orang yang perlu diutamakan lebih daripada diri sendiri, adalah ibu bapa kita. Seperti mana mereka sanggup tidak makan hanya untuk kita makan, seperti mana, mereka sanggup tidak ada baju baru, hanya untuk membelikan kita baju. Sekiranya sahaja, bukan kerana usia pasti mereka akan tetap berbuat begitu sehingga nafas terakhir mereka."

Aku diam dan, hati aku sebagai anak terusik. Cepat-cepat aku kelip2 kan mata. Ah... sungguh indah aturan Tuhan. Dan malah, diaturkan sekali aku berbicara dengan ustazah itu hanya untuk aku cepat2 menelefon ibu dan ayah di kampung.


Friday, June 14, 2013

Lelaki baik yang kecewa

Pernah dahulu saya berfikir negara ini adalah seorang gadis cantik, lagi jujur. Yang harus dicintai sepenuh hati, sampai ke mati pun tidak akan sia-sia cinta itu.

Lalu fikiran itu membawa saya kepada kisah-kisah lelaki baik, yang mencintai gadis cantik dalam diam.

Anggap sahajalah, kamu lelaki baik itu. Baik lagi pemalu, dan hanya mampu memandang dari jauh. Memandang dari balik tingkap, dan terkadang sekiranya ada peluang, mengikutinya di dalam bas. Dari tempat duduk kamu, kamu mengintai-intai gadis itu, dari celah-celah kepala manusia di dalam bas.

Ada ketika, gadis itu berpaling kepada kamu, bertentang mata, kamu segera tunduk, atau segera mengalih pandangan ke tingkap bas.

Paling berani, kamu hanya tersenyum kepada dia semasa berjumpa di pasar malam. Paling hebat, kamu bertanya, "Seorang sahaja?" Gadis itu hanya angguk dan berlalu. Itulah kejayaan kamu yang paling besar.

Lalu tidak perlu kamu meneka jauh-jauh bagaimana akhir kisah cinta lelaki pemalu tadi, kepada gadis cantik yang baik, kerana jauh dalam hati kamu sudah tahu.

Kamu tahu, akan ada seorang lelaki kacak yang pandai berkata-kata, yang punyai wang, yang punya keyakinan diri akan mendekati gadis itu, yang akan pertama kali mengucapkan, "Aku cinta kepada kamu. Seperti cintanya malam kepada siang, yang tidak sempat ia ketemu."

Lalu gadis baik lagi jujur itu, percaya sepenuh hati. Itulah cinta pertama dia, dan kamu hanya mampu mengulang perkara terbaik yang kamu mampu buat, iaitu memandang dari jauh, pada ketika gadis itu diberi bunga, diucapkan kata cinta, disarungkan cincin belah rotan dan seterusnya, hanya mampu menangis dalam hati melihat gadis itu bersanding dengan lelaki yang kamu juga sangat tahu, seorang kaki perempuan, seorang penipu besar, yang akan membuatkan gadis itu sengsara setengah mati.

Pada ketika gadis itu sudah beranak dua, cantiknya tidak luntur, tetapi wajahnya dihiasi lebam biru di bawah mata, dengan mata merah yang kamu tahu, adalah kesan tangisnya semalam-malam.

Isteri mana yang mampu menahan air mata, pada ketika lelaki yang dicintainya sampai ke langit, menduakan dia, menipu hidupnya, memberikan sengsara yang sepertinya tidak habis.

Pada ketika itu juga, kamu sebagai lelaki baik baru sedar yang kamu perlu bertindak. Kamu berjumpa suami gadis tadi, memberi nasihat dan sesekali berkeras dan hanya dijawab lelaki itu, "Itu isteri aku! Kau jangan masuk campur!"

Kamu pula segera menemui perempuan tadi, sekali lagi di pasar malam bukan sebagai pelanggan, tetapi sebagai penjual air yang berwajah sengsara. Kamu memberinya semangat supaya keluar dari sengsara itu, dan dia hanya menjawab, "Dia suami aku. Aku cintakan dia."

Itulah negara, pada ketika rakyat-rakyat yang baik, hanya memerhati dari jauh dengan penuh rasa cinta, tanpa bertindak bagi segera 'menawan hati', negara. Yang akhirnya jatuh ke tangan 'lelaki' yang kita tahu hanya mahu memuaskan nafsu.

Kamu, lelaki baik itu akhirnya kecewa dan hanya mampu menumbuk bantal lantaran kesal kamu yang tidak berpenghujung.

Kesal kepada nasib, 'gadis cantik lagi jujur', yang kamu hanya pandang dari jauh.

Thursday, April 25, 2013

Atas izin Allah juga.

Tadi saya pergi gunting rambut, dan semasa menunggu giliran saya meninjau2 juga apa terjadi di dalam kedai.
Dari pintu kaca kedai kelihatan seorang tukang gunting yang berpenampilan 'rock' dengan rambut diikat di belakang. Dia juga nampak seorang yang pendiam.

Pelanggannya pula berwajah rapi dengan potongan rambut yang skema. Ia memberi kesan yang dia berpelajaran tinggi, ditambah dengan kesan pakaian kemas yang dipakainya.

Pelanggan itu sangat ramah dengan tukang gunting. Tukang gunting hanya tersenyum dan mengiyakan. Tetapi saya tidak dengarlah apa mereka bualkan.

Malah ramah pelanggan itu membuatkan saya kagum, kerana selesai sahaja urusannya terus dia bersalaman erat dan mesra dengan tukang gunting. Tukang gunting itu terlihat gembira kerana berasa sangat dihargai.

Kagum saya sambil mengenangkan diri sendiri yang tidak seramah itu. Jangankan ramah, berbual2 pun sekadar memberi panduan fesyen apa yang dimahu.

Setengah jam kemudian, selesai sahaja gunting rambut, saya tanpa sedar ramah berbual2 dengan tukang gunting itu, ucapkan terima kasih dan malah bersalaman erat.

Setengah jam tadi, saya fikir itu adalah sesuatu yang sukar, tetapi itu terjadi kepada saya.

Fahamlah saya mengapa pelanggan awal tadi sangat ramah, semuanya berpunca daripada tukang gunting itu sendiri.

Cara dia menyentuh kepala, cara dia bertanya semuanya penuh adab dan merendah diri.

Dia melakukan kerjanya sebaik mungkin, dan bayangkan dia memberi khidmat mengurut kepala, hampir sama lama dia menggunting rambut saya.

Malah buat pertama kalinya juga, saya bercukur misai di kedai gunting. Biasanya cuma di rumah.

Semua itu hanya untuk RM8.00.

Apabila saya berkata, sekiranya di kedai lain mungkin upahnya RM20.00.

Dia dengan tersenyum2 menjawab, "Tidak ada apa2."

Itu antara, 'Tidak ada apa2' yang membuatkan hati saya berasa tersanjung.

Mungkin saya nampak terlalu memuji, jadi boleh abaikan bahagian itu.

Apa yang utama, ada banyak perkara kebaikan yang dapat kita tadah daripada kisah ini.

Cuma, saya suka untuk memperingatkan diri saya, tiga hal yang saya sangat kurang.

Pertama, kebaikan itu akan sangat menyentuh sekiranya ia dibuat dengan adab. Sepertinya, sedekah. Ia akan menjadi lebih manis sekiranya adab semasa memberi itu dijaga dengan tersenyum dan berkata baik2. Itulah yang dibuat oleh tukang gunting tadi.

Kedua, kebaikan itu akan memberi inspirasi untuk manusia lain bagi berbuat yang sama.

Ketiga, apapun kerja kita, sekiranya kita lakukan dengan sepenuh hati, bersungguh2 dan penuh amanah, kebaikan akan datang dengan sendiri. Mungkin bukan dari orang lain, tetapi dari dalam diri kita sendiri. Kita mudah senyum dan adab kita terjaga. Ia menjadi common sense. Bukankah itu 'ganjaran' yang lebih besar daripada wang?

Tetapi semuanya atas izin Allah juga.

Sekian.

Wednesday, April 24, 2013

amanah kepada dia dan kita

'Dua hala' itu di mana? Bila dan bagaimana?

Itu yang sering datang dalam fikiran saya apabila ia menyentuh berkenaan hubungan sesama manusia. 

Walaupun datang dalam fikiran, biasanya saya abaikan tanpa mahu memikirkannya. Cuma semalam, saya kembali memikirkan perkara ini.

Semalam saya menerima PM dari sahabat yang jauh, selepas membaca status FB. Tulisnya, "Kau perli aku ya."

Hakikatnya tidaklah saya perli dia, malah bayang wajah dia pun tidak masuk dalam kepala.

Perli bukan isunya. Isunya, dalam memahami sesuatu yang datang daripada manusia lain. Tulisan, kata-kata dan perbuatan.

Dalam memahami semua itu, bukan sedikit kita sering salah memberi tafsir. Lalu apa yang selalu dikatakan oleh mereka yang salah, "Kita hanya dapat kawal perbuatan kita. Dapat kawal lisan dan tulisan, tetapi kita tidak boleh kawal apa orang lain fikir untuk semua itu. Jadi, jangan salahkan saya sekiranya saya keliru dengan tulisan awak. Awak yang perlu tulis supaya jelas, saya faham dan maksud awak sampai."

Itu betul, tetapi ia akan menjadi satu hala sahaja. Pada ketika kita berhenti untuk berfikir dan hanya 'membaca' apa yang kita mahu, bukan 'membaca' apa yang orang itu mahu berikan.

Mereka yang berasa disalah tafsir pula biasanya menyambut, "Bukan salah saya sekiranya, awak salah faham. Kita manusia ada akal, maka berfikirlah. Mengapa perlu mendahulukan sangka buruk, sebelum sangka baik? Sekiranya awak salah faham, itulah cerminan diri awak sendiri."

Hasilnya, ia menjadi hubungan dua hala juga, tetapi dalam bentuk yang saling menyalahkan. Sepertinya, semuanya melepaskan diri masing2 daripada tanggungjawab 'memberi' dan 'menerima'.

Jauh daripada bentuk 'dua hala', yang kita semua mahukan. Di mana sebelah pihak cuba bersangka baik dengan perbuatan manusia lain, dan pada ketika sangka baik sudah tidak mampu, dia terus bertanya, tujuan dia berbuat begitu.

Dalam masa yang sama, si penulis, orang yang berkata-kata, sedaya upaya menyampaikan apa yang mereka mahu sampaikan supaya dapat difahami. Lalu pada ketika ada yang mempersoalkan, dia masih berusaha menjelaskan.

Akhirnya, yang dapat diambil daripada itu, meletakkan diri dalam mode 'amanah', semasa 'memberi', dan ketika 'menerima', akan memberikan 'dua hala' yang lebih menyenangkan.

Ini yang saya kurang, kerana tanpa sedar sering menganggap, orang yang 'menerima' kata-kata, tulisan dan perbuatan saya itu yang perlu lebih 'amanah'.

Mungkin jawapan bagi di mana, bila dan bagaimana itu dapat dimula dicari pada kata 'amanah' itu sendiri.

Monday, April 22, 2013

dia minat kita

Banyak waktu, tanpa sedar kita menyangka 'bertanya' itu menunjukan minat dan tertarik, tetapi hakikatnya, 'bertanya', kerana berasa ada yang 'tidak kena'.

Misalnya pagi tadi, seorang perempuan menelefon saya. Suaranya lembut. Katanya dari bank, dan memberitahu sekiranya saya membayar 160 sebulan selama 10 tahu, lima tahu berikutnya saya akan dapat rm700 setiap bulan, dan pada tahun ke-15 saya boleh keluarkan RM18k.

Jadi, banyaklah yang saya tanya sebab pada waktu sama, saya juga melakukan kira-kira, dan lebih untung sekiranya saya konsisten menyimpan terus di bank.

Katanya, mereka berikan perlindungan sekali. Bertambah hairan saya, sebab adakah sudah berubah taktik penjual insurans dengan tidak langsung menyebut perkataan 'insurans'?

Oleh kerana saya sudah ada insurans, saya pun berkata, "Tidak apa Puan. Saya kurang berminat."

Terus nada suaranya berubah keras, "Encik Mohamad, mengapa you tidak berminat? Program ini bagus."

Fahamlah saya dia marah dan kecewa. Yalah, sudahlah dia terangkan panjang2, banyak kali pula kena ulang penerangan. Alih2 saya kata, saya tidak berminat. Hancur hati.

Jadi itulah, membina harapan daripada 'pertanyaan' yang kita terima adalah besar risikonya. Seperti yang saya tulis awal-awal tanya, 'bertanya' bukan bermaksud berminat.

Ini juga terpakai dalam 'hubungan lain', ya adik2. Jangan fikir orang tanya fasal kita terus anggap dia minat kita. Nanti malu sendiri.

Friday, April 19, 2013

malam itu dia mati

Berapa malam lepas, semasa sedang asyik berbual di dalam kereta, kami dikejutkan dengan kecelakaan di hadapan kami. Kira-kira 50 meter, sebuah motosikal digesel kereta lalu motosikal melengser, penunggangnya jatuh, helmet tergolek, dan kemudian, semuanya berhenti tidak bergerak. 

Mujur juga kereta di hadapan kami dapat membrek awal, dan kereta yang menggesel itu sudah laju entah ke mana.

Kebetulan polis ada pada waktu itu, dan ramai yang berhenti membantu. Penunggang tadi, masih terbaring tidak bergerak dan sampai sekarang saya tidak tahu nasibnya.

Banyak perkara yang datang dalam fikiran. Mati, takdir, rezeki dan segala macam lagi perkara yang singgah sekejap-sekejap sehingga murung juga dibuatnya.

Antara yang masih berbekas adalah, rasa resah. Rasa resah mewakili penunggang motosikal dan rasa takut sebagai pemandu kereta, kerana biasanya dalam seminggu, mungkin ada empat hari saya menggunakan motosikal dan selebihnya kereta, dan sebaliknya. Ikut ekonomi, mood dan cuaca.

Sekejap menjadi penunggang motosikal, dan sekejap menjadi pemandu kereta.

Sebagai penunggang, rasa resah itu hadir kerana mengenangkan diri umpama telur di jalan raya. Melanggar mati, dilanggar pun mati. Segala-galanya adalah berkenaan fokus, sambil berdoa supaya lori, kereta dan motosikal lain, juga ikut bersama-sama fokus.

Sebagai pemandu kereta, resah itu besarnya datang daripada rasa takut membuat silap, dan akhirnya orang lain yang menjadi mangsa. Dengan lori, bas dan kereta lain saya berkira-kira masih boleh bertenang apabila tergesel tidak sengaja. Tetapi dengan motosikal, sengaja ataupun tidak, saya tidak pasti akan masih mampu bertenang ataupun panik, kerana saya juga penunggang motosikal, yang pernah punyai pengalaman tergesel dengan kereta dan berparut pada dagu.

Sebenarnya, rasa resah itu lebih 'berat' daripada apa yang saya dapat tuliskan di sini. Sehingga saya tidak mampu berfikir bagi memilih kata-kata yang lebih bagus, kerana ada resah yang lebih besar daripada itu.

Resah memikirkan, ke mana hilangnya 'resah' pertanyaan, 'Di mana aku selepas aku mati?'

Seharusnya, itu resah yang pertama kali datang dalam fikiran pada ketika kata 'mati' masuk dalam kepala. Bukannya resah sebagai penunggang dan pemandu, tetapi resah sebagai seorang Islam.

Agaknya, itulah hidup, perkataan 'mati' itu adalah picu bagi membangkitkan resah-resah yang sudah sedia ada dalam diri. Resah yang sudah sedia, ada dan resah yang sepatutnya ada.

Wednesday, April 03, 2013

Aku sebatang pensel

Nama aku pensel. Manusia selalu menulis kisah, 'Aku sebatang pensel' dengan menggunakan pen ataupun komputer. Malah, banyak kali manusia bercerita yang bukan-bukan tentang aku.

Misalnya sekarang, budak yang baru membeli aku, yang bernama Abu, sedang menulis kisah, 'Aku sebatang pensel', sambil merenung-renung aku, dan membayangkan aku ini pensel yang takut kepada penajam pensel. Padahal, aku sebenarnya suka dengan penajam pensel. Kalau penajam pensel tidak ada, apa gunanya aku menjadi sebatang pensel? Lebih baik aku mati daripada menjadi pensel tumpul atau pensel patah.

Jadi, aku berharap, aku ada kaki dan tangan sendiri, jadi dengan itu, aku boleh heret kepala aku, dan tulis sendiri kisah aku.

Aku akan padam semua tulisan Abu, dan gantikan dengan kisah aku.

***

Malam itu, berlaku keajaiban, pensel itu tumbuh kaki dan tangan.

***

Pagi itu, Abu mencari-cari pensel yang baru dibelinya. Rasanya, semalam dia letakkan di dalam beg, tetapi entah ke mana perginya. Mungkin tercicir, tetapi Abu bersemangat. Dia sudah menyiapkan karangan yang dipesan oleh gurunya, 'Aku Sebatang Pensel'. Bukan sekadar siap, tetapi juga panjang, hampir dua muka surat. Abu berasa sangat bangga dengan dirinya sendiri, dan dia yakin cikgu akan memuji karangannya, dan bangganya bertambah-tambah.

Harapan Abu bagi dipuji semakin cerah, apabila cikgu memilih karangannya bagi disemak sekali lalu.

Melihat wajah cikgunya yang sekejap berkerut dahi, sekejap kening terangkat, Abu semakin yakin yang dia akan menerima pujian.

Akhirnya, cikgunya mengarahkan matanya kepada Abu.

"Abu, siapa buat karangan ini?"

"Saya cikgu." Abu menjawab dengan begitu yakin.

"Bagus karangan kamu, Cikgu suka."

Abu tersenyum-senyum, dan berasa hidunganya mampu menyedut lebih oksigen daripada sebelumnya.

***

Di suatu sudut, di tepi katil, sebatang pensel sedang berdiri dengan wajah yang tidak tahu jenis perasaannya.

Jahanam, sia-sia aku ada kaki dan tangan, tetapi aku tidak belajar menulis. Apalah gunanya menjadi pensel tajam tetapi tidak dapat menulis.

Wednesday, March 27, 2013

bayu

Antara kisah daripada buku cerita yang saya baca semasa kecil, yang masih saya ingat, adalah kisah monyet dengan angin. Lebih kurang beginilah kisahnya.

Ada dua jenis angin, angin ribut dan angin bayu. Pada suatu hari, angin ribut terlihat seekor monyet di atas pokok. Dia dengan penuh keyakinan, mengajak angin bayu bertanding, siapa yang dapat menjatuhkan monyet itu dari pokok. 

Cabaran itu disahut oleh angin bayu.

Maka, angin ribut pun memulakan cabaran dengan penuh percaya diri. Dia meniupkan angin yang paling kuat yang termampu dia tiup. Namun, semakin kuat anginnya, semakin kuat pula monyet bertahan dan berpaut pada pokok, dan akhirnya angin ribut pun mengalah.

Tiba pula giliran angin bayu. Dia bertiup sepoi2 bahasa, dan monyet yang tadi berpegang erat pada pokok, mula berasa selasa. Rasa selesa itu, membuatkan monyet itu mengantuk. Monyet akhirnya tertidur dan kemudiannya terjatuh dari pokok.

Angin bayu pun menang.

Dahulu, saya sering melihat diri saya adalah umpama angin-angin itu, dan mengambil pengajaran, nasihat yang lembut itu lebih baik daripada nasihat yang keras. Semakin keras nasihat, semakin kuat orang tadi mempertahankan diri.

Namun, pada ketika ini, saya tidak melihat diri sebagai angin, sebaliknya sebagai 'monyet'.

Sebagai 'monyet' yang terleka di atas pokok. Yang mudah terlena dengan hembusan hiburan dunia dan pujian yang lembut dan manis, dan akhirnya 'saya' mudah hilang pegangan pada 'agama'.

Tetapi, pada ketika datangnya ribut ujian yang bertali arus, 'saya', semakin kuat pula berpegang pada 'agama'. Tidak lepas, dan sentiasa ingat kepada Tuhan.

Jadi terserah, kita mahu mengambil pelajaran yang mana, kerana pada akhirnya, kesimpulan yang paling baik yang boleh akal lemah saya ini fikirkan adalah, jangan jadi angin yang hanya tahu bertiup, dan jangan sesekali menjadi monyet di atas pokok.

Jadilah manusia yang bertuhan.