Malam itu saya serba salah. Berada di ruang tamu dengan mendengarkan atap genting ditimpa titis hujan, membuat rasa serba salah berubah menjadi resah.
Di televisyen 32 inci, doku drama tentang Stephen Hawking sudah hampir separuh ditonton.
Sambil itu, mata saya melirik juga pada baldi biru di penjuru rumah. Baju-baju dan seluar saya, 90 peratus ada di dalamnya.
Fikiran saya juga mula menjadi separuh. Separuh pada kisah Hawking dan separuh pada pakaian basah yang saya buntu bagaimana mahu menguruskannya.
Bukan hujan yang salah, tetapi saya yang berlambat-lambat mahu membasuh. Selepas dua minggu, selepas semua pakaian yang ada di dalam almari sudah saya pakai, barulah datang kesedaran, "Aku mesti basuh baju aku!"
Sekarang baju-baju dan seluar itu masih basah di dalam baldi biru dan hujan kedengaran semakin kuat menyanyi.
Hawking pula sudah tersenyum lebar. Teori big bang sudah bermain-main dalam fikirannya. Mungkin pada waktu itu, wajah Profesor Hoyle, yang sentiasa menentangnya juga muncul bersama, namun dalam bentuk yang memberikan rasa ketenangan dan kemenangan.
Saya pula, sudah semakin gusar dan sudah mahu kalah kepada hujan.
Hawking semakin jauh dengan teorinya, dan pada ketika itulah saya terpandang kipas meja saya yang berwarna hijau cair.
Di televisyen Hawking tersenyum kepada nombor-nombor pada papan hijau. Teori bagaimana alam semesta bermula dan akan berakhir sudah dalam kepalanya.
Saya pula tersenyum kepada kipas hijau cair saya. Teori bagi mengakhiri masalah baju basah sudah ada dalam kepala saya.
Kami sama-sama tersenyum.