Friday, June 01, 2012

dan dunia terlihat semakin besar - sebuah fiksyen

Ketika itu umur saya masih dini, dan pada umur itu saya mempunyai alir fikiran yang - apabila saya sudah dewasa, akan banyak perkara yang mampu saya ubah di dunia.

Itu yang saya yakini dan pada setiap kali saya berhadapan dengan situasi sukar, saya memberitahu ibu, "Saya mahu segera menjadi dewasa, dan saya segera mahu mengubah apa-apa sahaja yang tidak mampu saya ubah pada umur saya sekarang."

Ibu hanya memandang penuh kasih, dengan dengan mata yang teduh memerhati, ibu berkata, "Anakku, walaupun kamu sudah dewasa nanti, tetap perasaan sama juga yang kamu rasa. Hidup kita ini memang tidak mungkin kita dapat mengubah semuanya mengikut mahu kita. Namun tetap ada satu yang dapat kamu ubah pada bila-bila masa yang kamu mahu."

"Apa?"

"Senyum, anakku. Pada bila-bila masa, kamu mampu mengubah suram dan gundah wajah kamu menjadi senyum. Ubahlah dunia ini dengan senyum."

Itulah yang saya rasa apabila dewasa. Benarlah kata ibu, semakin dewasa terasa diri semakin kecil dan kerdil, dan dunia terlihat semakin besar dan saya semakin sepertinya tidak mampu untuk mengubah apa-apa.

Mujurlah, pesanan ibu yang satu itu tetap juga saya pegang, senyum, dan itulah mulanya perjuangan bagi menjalani hidup sebagai manusia yang kerdil. :)

2 comments:

Anonymous said...

senyum xperlu kata apa2

Qays said...

Semalam saya merayau di kedai buku. Mencari makanan untuk jiwa saya yang lapar. Direzekikan dengan HIDUP PENUH CINTA dan DIARI MAT DESPATCH - EDISI PATAH HATI.

Alhamdulillah, membaca diari Mat Despatch dan dibantu minda grafik, telah berjaya membuat saya ketawa seikhlas hati sehingga mencetuskan rasa hairan housemate saya. hehe ^^

Apa yang lebih terkesan adalah saya terkenang kembali diari-diari terbuka yang saya karang ketika di Tingkatan 3, di dalam kelas. ketika semua orang sibuk dengan persediaan PMR, ketika cikgu tiada mahupun sedang sibuk mundar mandir di hadapan saya, atau ketika semua kawan-kawan meriah berpesta, saya akan menulis untuk mereka baca.

Apapun karya encik best. Ringan, tetapi penuh. saya sudah jadi pengikut encik mulai semalam. ( sudah ketinggalan kah ? hehe)