Perasaan itu
Sudah sampai perasaan itu kepada saya sejak lama dahulu. Perasaan yang saya rasa adalah wajar dan terkadang saya merasakannya, ia sesuatu yang membuatkan saya kuat dan bersemangat. Tidak saya tahu, perasaan itu rupanya seperti pisau yang bermata dua. Pada satu sisi ia melindungi, namun pada satu sisi lainnya, secara diam ia melukai.
Syukurlah kepada Tuhan, yang maha mengasihani. Pada saat saya tidak tersedar saya melukai diri saya, seorang teman yang wajahnya memberikan kesan pejuang hidup yang kuat, duduk di hadapan saya pada suatu petang untuk berbicara berkenaan perasaan itu.
Penulis yang Disayang Tuhan
Semuanya bermula pada saat saya usai menyudahkan novel 'Penulis yang Disayang Tuhan'. Saya meraikannya dengan sepi dan sendiri di sebuah kedai makan, dengan sekeping roti canai kosong dan segelas teh tarik.
Ketika saya sendiri dan sepi, fikiran saya sebenarnya masih sibuk dengan banyak perkara. Sebagai seorang yang terdidik di universiti dalam jurusan ekonomi, tidak dapat tidak, saya memikirkan keadaan 'ekonomi' novel-novel saya.
Dalam congak-congak saya, tidak ada khabar yang gembira. 'Ekonomi' novel-novel saya boleh diumpamakan ekonomi negara-negara Afrika Tengah. Lelah juga saya pujuk-pujuk hati dengan prinsip penulisan yang saya cuba jaga selama ini. Menulis untuk memberi nasihat kepada diri sendiri kerana Allah, dan dengan itu saya tidak akan rugi apa-apa pun.
Sebenarnya memang saya tidak rugi apa-apa, malah mengikut congak saya, saya masih boleh berbahagia dengan royalti saya dan ia lebih daripada cukup. Namun itu cuma benar sekiranya wang itu untuk diri saya dan keluarga. Sedangkan pada hakikatnya ia tidak begitu, kerana saya punyai cita-cita lebih besar. Saya mahu membahagiakan lebih ramai saudara-saudara saya dan hasil penulisan adalah antara jalannya.
Benarlah wang bukan segala-galanya, tetapi untuk manusia seperti saya yang bersaudara dengan manusia-manusia yang seumur hidupnya berjuang demi sesuap nasi, wang setidak-tidaknya membuatkan mereka tahu, yang bahagia itu besar dimensinya. Itu tekad saya, mahu membantu sedaya-upaya.
Pada saat begitulah perasaan itu datang dan pada saat itu jugalah teman saya itu duduk di hadapan saya.
Tuhan Maha Mengasihani
Resah wajah saya terlihat juga walau sedaya upaya saya cuba senyum dan ketawa. Teman saya sangat pandai membaca wajah dan juga mungkin membaca hati. Bertanya dia kepada saya berkenaan resah apa yang tersamar pada wajah dan rusuh apa yang berlindung dalam hati.
Selepas beberapa ketika menyusun kata dalam kepala, saya berkata, “Ini bukan berkenaan ikhlasnya hati kerana saya sudah sedaya upaya cuba menjadi ikhlas, tetapi ia lebih kepada hakikat hati manusia. Bagaimana kamu mahu memujuk hati kamu supaya terus bersemangat apabila kamu membuat kebaikan, tetapi kamu tidak pernah memperoleh apa-apa petunjuk, untuk kamu tahu yang kebaikan itu adalah sesuatu yang perlu?”
Teman saya tersenyum lebar. Kesannya untuk hati saya pula, bercampur rasa senang dan keliru. Senang kerana dia tersenyum, namun pada saat lain keliru untuk apa senyuman itu.
“Usah khuatir, saya tidak akan berbicara berkenaan ikhlas. Saya yakin kamu pasti lebih maklum berkenaan perkara itu. Hanya satu perkara yang saya sangat yakin, kamu tidak pernah tahu jenis perasaan apa yang kamu sedang lindungi sekarang. Ketahuilah, itu adalah perasaan kasihan kepada diri sendiri.”
Terdiam saya sesaat dan secara diam-diam saya cuba berfikir. Apakah saya sedang kasihan kepada diri saya?
“Itulah perasaan yang membunuh kamu dari dalam.” Teman saya menyambung kata-katanya dengan yakin dan saya segera menatapnya penuh hairan.
“Tidak salah kamu kasihan kepada diri kamu. Namun kasihan yang bagaimana? Kamu hanya perlu kasihan pada saat kamu berbuat dosa. Kamu juga sangat perlu kasihan kepada diri kamu pada saat orang lain melakukan banyak kebaikan, kamu pula hanya duduk berpeluk lutut. Itu perkara-perkara yang memang patut kamu kasihani diri kamu. Namun tidak hal yang sebegini.”
Kebaikan yang kamu perbuat
Dia minum air tehnya sebelum menyambung.
“Jangan sesekali mengasihani diri kamu pada saat kamu tidak menerima apa-apa balasan pada kebaikan yang kamu perbuat. Rasa kasihan kepada diri sendiri itu hanya akan mematahkan semangat hidup kamu secara senyap. Ia adalah jalan-jalan syaitan untuk berbisik kepada hati kamu, supaya tidak perlu lagi membuat apa-apa usaha ke arah kebaikan.”
Terus saya terkenang banyak hal dalam hidupnya saya, yang secara tiba-tiba saya hilang semangat.
“Bayangkan sahaja begini, seorang penulis sudah menulis satu cerita dengan sepenuh hati dan pada saat dihantar kepada editor, editor menolaknya dengan alasan ia belum cukup bagus. Sekiranya sahaja penulis itu berasa kasihan kepada dirinya kerana sudah bersusah-payah menulis tetapi ditolak, pasti dia akan kecewa yang membunuh semangat.
“Bayangkan juga perkara ini. Seorang penulis yang sudah menuliskan satu novel dengan seluruh jiwanya dan pada saat ia tiba ke pembaca dan pembaca mengatakan ia novel yang buruk dan membuang masa, apa perasaan penulis itu? Untuk kebanyakan kes, penulis akan berasa kasihan kepada dirinya dan mula berkata dalam hati 'Penat-penat aku menulis tetapi itu balasannya. Apakah pembaca itu tidak mahu melihat kebaikan yang aku tulis dalam novel?' Pada ketika itulah, penulis itu akan patah hati dan seterusnya tidak mahu lagi menulis.”
Terkedu saya untuk menyambung bicaranya dan senyum pun saya terpaksa, paksa-paksa. Entah mengapa dia suka benar menggunakan contoh penulis. Adakah kerana saya ini penulis maka dia dengan senang hati mahu memberikan contoh penulis? Rupa-rupanya, contoh teman saya tidak habis di situ.
“Bayangkan lagi perkara ini. Pada saat penulis itu sudah menulis berpuluh-puluh novel, namun tidak satu pun novelnya yang diulang cetak atau laris jualannya, bagaimana perasaan penulis itu? Pasti penulis itua akan mula berasa kasihan kepada dirinya. Kasihan kerana penat-lelahnya seperti tidak dihiraukan oleh masyarakat dan lebih jauh lagi, ada penulis tanpa sedar mengatakan Tuhan tidak mempedulikannya. Itu semua mendorong kepada lemah semangat dan tidak mahu berusaha.”
“Begitu jugalah hal-hal lain dalam hidup kita. Bayangkan kita membuat banyak kebaikan di pejabat tetapi, bos kita tidak pernah memuji dan hanya tahu mencari silap kita. Sekiranya kita berasa kasihan kepada diri kita, kita akan putus asa dan mula melihat dunia ini tidak adil. Itu juga hal yang berlaku dalam hubungan dalam keluarga dan cinta. Mudahnya kita berasa kasihan kepada diri sendiri untuk kebaikan dan kemulian yang tidak dihargai menjadikan kita terus lemah.”
Saya tarik nafas panjang-panjang dan pada saat itu saya mula melihat kembali dalam diri saya dan benarlah, perasaan kasihan kepada diri sendiri ternyata sudah membelit hati seperti ular sawa yang membelit rusa.
“Jangan kasihan kepada diri sendiri untuk kebaikan yang tidak dihargai. Sekiranya tidak ada orang peduli kebaikan itu, jangan pernah berhenti dan terus sahaja kamu lakukan kebaikan kerana Allah maha tahu, maha melihat dan maha mendengar. Biarlah Allah sahaja yang mengasihani kita. Teruslah kamu berbuat baik walau tidak pernah ada orang yang tahu.”
Benar, sebak juga dada saya. Cuba saya tahan-tahan kerana untuk sekian kalinya, saya berasa sangat bersalah kepada diri sendiri. Pada saat saya merasakan semuanya sudah selesai teman saya terus menyambung.
“Janganlah terlalu cuba mengejar status manusia yang berjaya di kalangan manusia, tetapi usahakan sepenuh hati menjadi manusia yang berguna untuk manusia lainnya.”
Terhenyak hati saya dan belum cukup dengan itu, pertanyaan teman saya semakin menekan hati saya.
“Kamu mahu tahu apa bahagian yang terbaik daripada hidup kamu?”
Saya diam dan mengeleng. Tidak mampu lagi saya berfikir apa-apa selain daripada rasa bersalah yang besar dalam diri.
“Bahagian yang terbaik daripada hidup kamu, adalah kebaikan-kebaikan yang kamu perbuat tanpa ada seorang manusia pun yang tahu. Jadi kamu sebagai penulis, teruslah menulis kebaikan-kebaikan walaupun tidak pernah ada orang tahu dan peduli. Tuhan tahu dan Tuhan sayang kepada manusia yang berbuat baik termasuk penulis yang menulis yang baik-baik.”
Itulah perkara yang saya pelajari, usai menulis novel, 'Penulis yang Disayang Tuhan'. Cukuplah Allah sahaja yang mengasihani kita.
4 comments:
Memang benar apa yang dikatakan.
Konsep hidup untuk memberi. Kerana rezeki yang kita ada bukanlah milik mutlak untuk kita, tetapi ianya adalah untuk dikongsi. Teruskan perjuangan anda sebagai seorang penulis. Ya, anda memang seorang penulis yang baik dan disayangi Allah.
Dunya - mungkin ia terhijab, sorga - Tuhan itu Tahu.
Mohon izin untuk mengambil poin-poin kebaikan yang ada Tuan.
Tuan Baha, ayat jangan cepat mengkasihankan diri itu paling saya suka!
saya suka ayat kali nie..tp sebenarnya saya suka semua yg encik tulis..walaupun saya silent reader tp saya sntiasa mengikuti n mmbaca setiap tulisan yg encik post..prtama kali baca buku encik,saya mula trtarik..bukan tujuan utk memuji tp kata2 d'dalamnya mmbina hidup saya yg kekadang ade masanya lemah dn smakin brkurang..utk itu..tanpa atau mungkn tiada sesiapa pn yg mnyedarinya..saya nk ucapkan trima kasih atas segala tulisan yg prnah dn akan encik tulis nnti..cuma pinta saya,semoga encik sentiasa mnjadi penulis yg d'sayangi tuhan krna saya adalah manusia yg telah bnyk kali putus asa dngn penulis yg secara tiba2 melencong k tmpat laen..sekian.. Assalamualaikum
Post a Comment