Monday, March 24, 2008

Lelaki tua dan pagi yang bingung

Pagi itu teman saya mahu berjumpa. Katanya tunggu di bangku taman. Saya lalu menurut tanpa banyak soal.

Sampainya saya di sana, di bangku yang mahu saya duduk, langkah saya lalu terhenti. Di bangku itu ada lelaki tua yang sudah mendahului, duduk. Rambut pendeknya putih dan pada tangannya ada tongkat yang tergenggam. Baju lengan pendeknya putih dan seluar panjangnya coklat. Dia menarik nafas pelan-pelan. Dia berpaling ke arah saya lalu memberi satu senyuman yang sekiranya bisa dirasa dengan tubuh, pasti umpama angin pagi yang menyapa.

Saya terus berani duduk di sebelahnya. Duduk hanya di hujung bangku sambil melihat jam. Saya terawal 15 minit. Saya menyilang kaki memerhati tong sampah hitam di hadapan saya. Lelaki tua di sebelah saya berpaling lagi bersama dengan senyumannya.

“Tunggu siapa?” tanya lelaki tua itu. Nada suaranya umpama air yang meresap ke pasir. Lancar dan mesra.

“Tunggu teman,” jawab saya sambil tersenyum.

“Perempuan?” soalnya lagi. Tongkat pada tangannya diramas-ramas. Seperti tukang urut yang meramas keting pesakit.

Saya berpaling mahu menjawab, namun saya terlambat sesaat. Lelaki tua itu terus menyambung katanya.

“Saya dahulu pun seperti kamu. Pernah muda. Pernah merasa apa itu sayang dan kasih. Pernah juga tewas dan kecundang. Dan saya juga pernah keluar awal pagi ke taman menunggu teman seperti kamu. Semuanya kerana sayang dan kasih,” terang lelaki tua itu panjang lebar.

Saya lalu mengisar punggung menghadap lelaki tua itu. Cuba memahami sesuatu. Aneh. Pagi-pagi begini sudah bercerita berkenaan kasih dan sayang. Mungkin dia ada sesuatu mahu diberitahu. Lalu saya menggaru kepala dan diam.

“Pemuda pemudi sekarang sudah hilang seni kasih dan sayang. Hingga mereka sering sahaja gagal di tengah jalan,” sambung lelaki tua itu lagi.

Hmm... Seni kasih dan sayang? Seni apa? Saya bertambah aneh.

“Saya tidak mengerti,” kata saya pendek. Ya, memang saya langsung tidak mengerti.

“Silapnya pemuda pemudi sekarang adalah tidak tahu meletakkan fikiran kritis itu pada tempat yang betul. Kritis itu perlu diletak masa mula sayang dan kasih itu timbul. Tetapi biasanya mereka langsung tidak kritis pada waktu itu. Mereka terbuai-buai. Malah lebih silap lagi, apabila meletakkan fikiran kritis itu pada waktu proses kasih dan sayang itu berlangsung. Hingga ia gagal. Sepatutnya pada waktu proses sayang dan kasih, tidak perlu terlalu kritis sehinggalah mencapai objektifnya, iaitu bernikah. Selepas bernikah barulah bisa kembali kritis,” terangnya.

“Saya masih tidak mengerti.” Saya sudah mula menggaru-garu peha.

“Begini. Kritis itu adalah mempersoalkan sesuatu perkara. Misal persoalannya, bagaimana sekiranya situasi kasih kita begini? Bagaimana sekiranya hubungan itu tidak berhasil? Dan seterusnya. Soalan-soalan itu perlu ditanya pada mula ujudnya perasaan kasih dan sayang. Bukan semasa menjalani hubungan kasih dan sayang itu. Terus sahaja menjalani hubungan itu hingga sampai objektifnya. Selepas itu barulah kembali kritis. Umpama juga menulis buku. Saat merancang, saat itulah perlu kritis. Jangan kritis pada saat proses menulisnya. Pasti proses menulis akan terganggu. Teruskan sahaja hingga buku itu siap. Selepas itu kembali membaca hasil tulisan tadi dan waktu itulah perlu kembali kritis. Kerna objektif kita pada mulanya adalah menghasilkan sesuatu.”

Saya mengangguk-angguk. Benar kata lelaki tua ini. Tetapi mengapa perlu dia memberi kuliah pada saya? Mungkin dia mahu berkongsi pengalaman. Hmm...

“Teman perempuan kamu janjinya pukul berapa?” tanya lelaki tua itu lagi apabila melihat saya pasif dan diam.

Saya mengerut dahi sebentar. Kemudian saya menarik nafas panjang-panjang.

“Sebenarnya, teman saya itu lelaki. Bukan perempuan,” jawab saya.

Lelaki tua itu diam. Tunduk. Tiba-tiba genggaman tangannya pada tongkat terlihat erat dan kejap. Kemudian tubuhnya bergetar sesaat. Dan selepas itu kembali normal. Aik? Itu reaksi apa? Reaksi malu? Saya memalukan dia?

“Tetapi pasti kamu punyai teman perempuan yang istimewa, bukan?” sambung lelaki tua itu lagi.

“Ya. Isteri saya,” jawab saya perlahan.

Mendengar sahaja jawaban saya itu, tubuh lelaki tua itu kembali bergetar kuat. Selepas itu getarannya kembali lemah dan terus hilang. Mungkin dia rasa kecewa kerna nasihatnya tadi bukan pada orang yang tepat. Rasa bersalah mencucuk hati. Mahu sahaja saya beritahu yang saya sangat menghargai nasihatnya. Dan ia tetap berguna.

“Maaf....” pinta lelaki tua itu. Saya menggaru pangkal hidung. Eh? Sepatutnya saya yang meminta maaf. Bukan dia.

“Saya yang perlu minta maaf,” kata saya pantas.

Lelaki tua itu menjeling tajam lalu berkata, “Kamu pun seperti saya? Cuba menahan diri daripada membuang angin tetapi gagal?”

"Err... setidak-tidaknya ia tidak berbunyi," sambung saya pantas. Huh. Entah mengapa saya berkata begitu. Mungkin mahu menjaga hati lelaki tua. Ya, orang tua perlu dihormati.


"Maaf ya. Sudah tiga hari saya tidak buang air besar," kata lelaki tua itu lagi. Serius.


Saya lalu diam. Hidung saya kembang kempis.Saya mula merasakan sesuatu. Sesuatu yang membuat saya jadi kritis. Ia perlahan tetapi pasti. Saya lalu mengisar tapak tangan ke bangku. Mahu meletak tapak tangan ke hidung ataupun terus meletakkan ke dasar bangku? Arghh....

4 comments:

Anonymous said...

ohmagawd!! that was sooooo funny!!! hahahah!

Lily Abdullah said...

Salam,

Sesungguhnya saya jatuh cinta dengan lelaki tua itu (jika dia masih muda).

Hebat falsafahnya. Saya juga seorang perempuan tua sebenarnya.

Amin Ahmad said...

hahahaha..hampeh kau din!

Unknown said...

patut la smua org jatuh hati ngan ur writing..

dalam2 gaya seorang sasterawan..sempat lak di selit unsur humor..

~best..best..~