Monday, February 25, 2008

untuk sebuah impian yang cantik

Saya punyai sepupu yang baik. Malah, dia tidak kekok menganggap saya ini adik. Namun, bukan itu yang saya mahu cerita. Saya mahu ceritakan berkenaan anaknya, perempuan. Umurnya baru menganjak lima. Tetapi bahasanya melancar fasih.

Saya senang sekali dengan anak perempuan itu. Setiap kali saya duduk di ruang tamu, anak perempuan itu akan berlari ke arah saya dan terus duduk di sebelah, minta saya bercerita. Bercerita berkenaan puteri, pelangi, dan semuanya hal yang bisa wujud dalam imaginasi anak perempuan kecil.

Dia putih dan pada pipinya ada lekuk yang sederhana dalamnya. Rambutnya lurus mencecah bahu. Rambut depannya pula di potong lurus separas kening, namun untuk kebanyakan waktu tetap sahaja rambut depannya itu panjang dan hampir menutupi matanya. Mungkin, sepupu saya terlupa memotong. Dan apabila ia terjadi, tangannya yang montel itu pantas menolak rambut itu ke belakang ataupun ke tepi. Namun itu hanya sebentar, rambutnya itu kembali menutupi mata. Mujur dia suka melukis. Apabila dia tunduk melukis, rambut yang menutupi matanya itu akan berayun jauh dari dahinya dan jauh dari matanya.

Pada suatu hari, seperti biasa anak perempuan ini berlari ke arah saya dan tersenyum. Lekuk pada pipinya muncul dan rambutnya yang hampir menutupi matanya itu lekas-lekas di tolak ke belakang. Dia menunjukkan hasil lukisannya kepada saya.

“Wah, cantik. Apa ya tajuk lukisannya ini?” tanya saya.

“Impian,” balasnya ringkas.

Saya masih tersenyum, tetapi hati saya sudah pusing mencari mana letaknya 'impian' pada lukisannya itu. Tanpa mengetahui perkara yang terjadi dalam hati saya, dia terus duduk di sebelah saya.

“Ceritakan saya cerita berkenaan impian,” pintanya, seperti biasa. Nada suaranya beralun dan berirama.

Saya diam. Hati saya kembali pusing. Impian saya sendiri tidak jelas, lalu mahu bercerita pula berkenaan impian dengan anak perempuan ini. Uh.

“Impian itu seperti buah. Manusia yang tidak punyai impian, umpama pohon yang tidak berbuah. Hanya tahu menggugurkan daun-daun kering. Terkadang jadi tempat burung berehat dan manusia bersandar, namun tidak ada buah yang bisa membuat burung-burung dan manusia itu tersenyum,” kata saya.

Anak perempuan itu diam dan tetap memandang saya biar rambutnya sedikit menghalang matanya. Dia berkata, “Jadi impian pakcik apa?”

Wah. Mahu terus terang ataupun bagaimana? Sekiranya terus-terang bisa sahaja saya terlihat material. Tetapi, itu bukan dosa. Cuma untuk anak sekecil ini, materialistik bisa sahaja terlihat dosa.

“Pakcik mahu punyai uang yang banyak, supaya bisa membantu banyak manusia,” jawab saya. Anak kecil itu tetap memandang saya. Diam.

“Impian kamu pula apa?” tanya saya pula, sebelum dia menyoal lebih banyak.

“Saya mahu semua orang menyayangi saya. Lebih-lebih lagi orang yang saya sayang. Saya mahu dia tahu yang saya sayang dia, dan dia sayang saya. Saya mahu semua orang sayang saya,” jawab anak kecil itu. Jawapannya berulang-ulang, tetapi tetap fasih.

Entah bagaimana, akal saya jadi nakal lalu bertanya, “Bagaimana sekiranya orang yang kamu sayang itu tidak sayang kamu? Apa yang kamu mahu buat?”

“Saya tetap akan sayang dia. Tetap tunjukkan kepada dia yang saya sayang dia, sehingga dia jadi sayang kepada saya,” jawabnya lagi. Wah. Jawabannya lebih bagus daripada kebanyakan jawaban yang saya dengar di sinetron, untuk topik yang sama. Jawabannya tidak ada menyentuh ilmu hitam dan niat ceroboh.

“Bagaimana kamu tunjukkan dan mengapa?” tanya saya. Akal saya bertambah nakal. Entah, saya mahu sekali melihat hujung bibir anak kecil ini jatuh.

“Saya akan beritahu dia apa sahaja kejadian yang terjadi atas saya. Setiap hari. Seperti saya beritahu mama saya dan seperti yang saya beritahu pakcik. Saya mahu dia tahu saya sihat, saya baik dan dengan itu dia rasa dekat dengan saya biarpun dia tidak bersama saya. Dengan merasakan dirinya dekat dengan saya, saya harap dia bisa sayang kepada saya.” Untuk waktu ini saya tidak jadi tersenyum. Jawabannya terlalu matang bagi anak-anak seusianya. Terlalu. Entah apa yang ibunya beri dia makan. Tetapi itu tidak bisa menghalang fikiran nakal saya. Hehehe.

“Sekiranya dia masih tidak peduli kepada kamu dan tidak sayang kamu, mesti kamu berjauh hati, paling tidak pun kamu sakit hati. Kamu fikir, tindakan kamu itu betul?”

“Sekiranya saya masih menceritakan berkenaan hidup saya kepada dia, maknanya saya masih sayang dia dan masih punyai impian biarpun dia tidak sayang saya. Tetapi mama beritahu, sekiranya orang tidak sayang kita biarpun kita berusaha, maknanya Tuhan sayangkan kita. Kerna Tuhan yang menumbuhkan sayang itu. Pasti ada sebab Dia tidak tumbuhkan sayang orang itu kepada kita. Mungkin, sekiranya sayang itu tumbuh, kita mungkin dijahati dan diapa-apakan oleh orang itu dengan 'sayang'nya tadi. Lalu kita jadi lebih sakit berbanding semasa dia tidak sayang kita. Ataupun mungkin, orang itu sebenarnya sayang kita. Cuma mungkin kita tidak nampak, ataupun dia lupa memberitahu. Dan kerna itu, perlu adanya impian, supaya kita tahu apa yang kita kejar. Mama beritahu lagi, sekiranya mempunyai impian, biarlah impian itu besar. Jadi buat apa terseksa dengan hanya seorang yang tidak mahu sayang kita, sekiranya ramai lagi yang bisa sayang kita. Dan sekiranya kita berdoa dengan tulus, mama bilang, Tuhan berjanji menunaikannya, cuma tidak pasti lambat ataupun cepat, di dunia ataupun dia akhirat. Yang pasti, janji Tuhan itu pasti. Kerna itu, saya tetap akan terus hidup dan saya yakin akan ketemu orang yang sayang saya seperti saya sayang dia, kerna itu impian saya.”

Saya diam. Anak perempuan itu bicara dengan panjang. Entah berapa kali dia menelan air liur, bagi membasah tekak. Yang pasti dia memberitahu saya sesuatu berkenaan impian. Jangan biarkan impian itu hancur, kerna sekiranya ada impian, kita tetap bisa hidup. Mungkin tidak gembira, tetapi kita bisa menggembirakan orang lain. Seperti pokok yang dipetik dan ditebuk buahnya oleh manusia dan burung dengan rasa gembira. Dan sekiranya punyai impian, pastikan impian itu besar. Mungkin kerna itu, anak perempuan kecil ini melukis hati berwarna merah yang besar. Dan ia memang cantik untuk sebuah impian.



8 comments:

Anonymous said...

jadinya, sama ada sy berhenti supaya tak sakit semula ataupun teruskan saja tanpa berharap apa-apa?
huh....

Anonymous said...

kalau mampu berhenti, berhenti. kalau tak, teruskan sahaja

Fynn Jamal said...

biarkan.
selagi dia bermimpi, biarkan.

tapi satu hari nanti hatinya akan dihancurkan.
maka bagaimana?

hariskah kita amarankan,
atau biarkan?

Rt Hon Sir Cipan Nougat-Tenuk said...

Oik, tak start kempen lagi ke?

Ke B****g Tersadong?

:p

Anonymous said...

impian....hmmm..
bisakah mnjadi knyataan krn hatiku udah hncur.

mengejar impian yg hanya impian...

Aku Comel said...

ermm..
apa yg berhenti? apa yg berharap?
kalau impian itu tidak menjadi kenyataan..
maknanya tiada rezeki atau tiada jodoh..
betul tak?

Aku Comel said...

i read this again today...
lupa yang bulan februari lepas dah baca juga..
kali ni kesan nya berbeza.
mungkin hari ini emosi berbeza..

nahaj said...

jangan berhenti berharap tapi jangan terlalu berharap