Monday, June 05, 2023

Pesta Buku Antarabanga Kuala Lumpur 2023 - sebuah catatan

 Ini bukan sebuah pesta yang saya sudah bersedia sepenuhnya. Ada debar yang mengeram dalam hati, dan pada ketika pesta bermula, ia menetas menjadi debar yang saya tidak pernah bayangkan akan terjadi. Ia tidak teruk, tetapi ia membuat saya sentiasa berdoa.

Tahun ini, saya pertaruhan tiga novel yang segar dan hangat dari kilang. Pertamanya, novel Rahsia Paling Rahsia yang dipromosikan sebagai K-Lit. Terbitan syarikat penerbitan gergasi negara, Karangkraf. Kisah pencarian harta karun Sultan Melaka. Dari dahulu lagi saya sentiasa berangan-angan mahu mengkisahkan riwayat yang banyak simpang siurnya, yang digabung dengan sejarah dan kompleksiti pertubuhan rahsia yang berumur ratusan tahun, dan akhirnya hampir 80% niat itu berjaya saya zahirkan. Saya puas hati dan saya berani untuk ia dibaca oleh sesiapa pun.


Kedua adalah novel Dunia Ini Sederhana Kecil, novel yang dicetak kali pertama pada tahun 2009. Saya sedikit gelisah kerana novel ini memilih jalan yang penuh risiko. Ia membawa kisah manusia biasa, seorang lelaki menganggur yang bermatian mencari rezeki. Tidak ada bombastik dalam pembinaan wawasannya selain falsafah yang samar-samar. Hanya cerita lelaki yang hidup untuk hari ini, esok fikir untuk esok pula, yang kemudian bertemu dengan seorang perempuan anak orang kaya yang tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Mereka sentiasa bertembung dalam keadaan yang tidak ada perkenalan bermakna. Sekiranya ia belum cukup berisiko, saya tambahkan risikonya dengan cuba menjadikan ia sebuah novel komedi. Mahu orang ketawa dengan tragedi ini. Aduh....


Sedangkan semua tahu yang rasa lucu adalah sesuatu yang sentiasa berbeza untuk manusia dan ia sangat sukar. Jadi novel ini akan sentiasa jatuh di dua kutub ekstrem. Sama ada jatuh di hujung titik yang membuatkan pembaca merasa sangat sayang, dan satu lagi titik berseberangan yang membuatkan novel ini terlihat hambar - rasa lucu itu tidak mereka peroleh, hanya sebuah kisah yang penuh kata hikmah sederhana. Adakah pembaca mahu menerima cabaran ini? Saya tidak tahu. Yang pasti, saya tahu ini sebuah risiko dan Jejak Tarbiah sudi memberi peluang kepada saya.

Ketiga sebuah novel swaterbit. Ia daripada manuskrip yang terpendam lima tahun dahulu. Ia sebuah kisah sains fiksyen dan penuh konspirasi. Tajuknya Panca Perawis. Gaya bahasanya standard dan ia lebih mementingkan teknikal kerana mahu mencipta plot twist. Ia bermula dengan sebuah Pertandingan Panjat Batang Pinang yang dianjurkan oleh tentera laut Amerika Syarikat di Nilai, Negeri Sembilan.

Hadiah pertandingan itu lumayan tetapi tanpa para peserta tahu, ada dua niat tersembunyi daripada pertandingan yang tidak biasa itu. 

Novel ini tidak terlalu saya promosikan kerana mahu lebihkan dua novel yang sudah ditanggung kos terbitnya oleh dua penerbit baik tadi. Nanti-nanti selepas PBAKL lah saya promosi lagi. 

Selain itu ada dua buah novel lagi yang sama sifatnya dengan Dunia Ini Sederhana Kecil, iaitu Doa Untuk Aku dan Penulis Yang Disayangi Tuhan. Sama-sama mencuba sesuatu yang berisiko dengan tema yang tidak biasa. Selain sebuah buku catatan 100 kisah inspirasi terbitan Rimbunan, Start Again.



Jadi dengan buku-buku itulah, saya bawa diri ke PBAKL 2023 dengan harapan yang terbata-bata.

Syukurlah selepas lebih 10 tahun terlibat dengan PBAKL, kapasiti bateri sosial saya semakin membengkak. Saya sudah boleh berbual-bual dengan jangka masa lebih lama dengan pembaca tanpa risau akan blur dengan tiba-tiba atau ada rasa mahu terus diam lalu mengasingkan diri. 

Saya tidak pasti ia introvert atau apa, namun ia sesuatu yang sering membawa kesal dalam hati dan membuat malu.

Alhamdulillah semuanya baik-baik walaupun masih ada ketika hati terdetik, "Kenapalah aku macam tu tadi kat orang tu."

Lalu hidup pun bergulir, dan segala apa yang saya risaukan memang terjadi namun dalam keadaan saya punyai antisipasi yang tinggi.

Al hasil ada beberapa hikmah yang saya boleh tarik daripada PBAKL kali ini. 

Antaranya, manusia ini boleh berhubung dengan manusia lain dengan sebuah cerita yang membuatkan mereka bahagia. Namun bahagia manusia tetap berbeza-beza. Lalu jangan takut untuk mencipta cerita kita sendiri. Jangan terlalu terikut-ikut dengan cerita orang lain kalau itu bukan cerita kita, kerana apapun cerita kita, tetap akan ada manusia yang menghargai cerita itu. Walaupun hanya seorang. Namun paling utama, adakah kita menghargai lalu bahagia dengan cerita kita sendiri?

Jangan pendam cerita kita. Kongsikan walaupun mungkin itu cerita duka, kerana sentiasa akan ada orang yang menatangnya dan membuatkan kita sembuh. Sembuh bukan kerana mereka merawatnya, tetapi kerana kita membenarkan diri kita berani untuk melepaskannya. Ibarat tali yang tersimpul di tangan, menahannya agar ia tidak lepas tidak akan memberi apa-apa selain luka, dan melepaskannya akan memberi lega.

Untuk rakan-rakan pembaca pula, selamat membaca semua cerita yang sudah anda peroleh. Mungkin akan ada cerita yang tidak sesuai diri, tetapi tetaplah yakin, tetap akan ada cerita yang tepat, yang akan menyapa mesra untuk membuat kita melepaskan sesuatu yang berat kerana itulah fungsinya setiap cerita, membantu memberi erti pada apa yang kita rasa tetapi tidak mampu kita kisahkan. Lalu cerita itulah yang membantu kita melepaskan rasa perih yang selama ini kita sembunyi.

Semoga kita semua temui apa yang tidak pasti kita mahu temui. 

Tuesday, February 07, 2023

Lirik yang tidak dinyanyikan

Saya kenal anak perempuan ini. Umurnya 12 tahun. Dia rakan kepada anak perempuan saya. Dia punyai satu kegemaran iaitu bermain gitar. Apabila datang ke rumah, dia akan membawa gitar dan menyanyi bersama anak saya.

Saya juga kenal keluarganya. Kami tinggal di lorong kejiranan yang sama. Ayahnya baru sahaja bernikah baharu sejak isterinya meninggal lima tahun dahulu.

Antara banyak-banyak lagu yang dibawa oleh anak perempuan itu, saya perasan satu lagu ini, dia akan menyanyi berulang-ulang dengan penuh perasaan.

Saya mendengar liriknya ia seperti lagu seseorang yang merindui kekasihnya. Saya fikir terlalu awal untuk dia membawa lagu sebegitu. Tetapi tidak apalah mungkin itu cuma latihan untuk kemahirannya bermain gitar.

Sehinggalah satu hari, saya berpeluang mendengarkan lagu itu di Youtube sampai ke penghujungnya. Saya kelu. Rupa-rupanya di akhir lagu itu ada lirik yang tidak pernah anak perempuan itu nyanyikan.


Tertawa bersamaku seperti dulu lagi
Walau hanya sebentar Tuhan tolong kabulkanlah
Bukannya diri ini tak terima kenyataan
Oh bukannya diri ini tak terima kenyataan
Hati Ini hanya rindu oh
Hati Ini hanya rindu hm
Kurindu senyummu Ibu

Ternyata lagu Hanya Rindu oleh Andmesh Kamaleng itu bercerita tentang rindu kepada ibu. Pada ketika itu entah mengapa air mata saya mula bergenang.

Benarlah rindu yang sakit bukannya yang diucap, tetapi rindu yang didiamkan.