Wednesday, July 31, 2013

Menerima.

Menerima perkara yang baik-baik itu nikmat. Menerima gaji, menerima cinta, menerima hadiah, menerima cahaya mata.

Saya, kamu, kita semua bersyukur dan bergembira, menerima perkara yang baik-baik. Walaupun, perkara yang saya sering kesalkan berkenaan menerima perkara yang baik adalah, saya sering terlupa bagi bersyukur, namun tidak pernah lupa bagi berdoa untuk meminta lagi.

Lupa bersyukur itu, membuatkan nikmat menerima perkara yang baik-baik itu, terhenti hanya pada tahap itu. Sedangkan itu bukan nikmat yang paling nikmat yang dapat diperoleh. Ada lagi nikmat yang lebih besar, dan memberi ketenangan jiwa yang lebih halus.

Antaranya, nikmat memberi perkara yang baik-baik. Memberi senyum, memberi sedekah, memberi cinta, memberi hadiah, dan segala macam yang baik-baik.

Itulah nikmat yang lebih atas, daripada nikmat menerima, nikmat memberi.

Monday, July 22, 2013

Bertemu.

Apabila bertemu manusia yang suka membaca, yang banyak pengalaman hidup, yang suka menulis, saya yang sudah sedia pendiam, bertambah menjadi pendiam. Saya gemar menjadi pendengar, dan saya menjadi malu bagi berkata-kata, dan sangat malu bagi berkongsi pengalaman yang sangat pucuk, dan ilmu yang hanya sehujung kuku.

Jadi, tidak ada apa yang perlu diberi hairan sekiranya saya cuma diam pada ketika kita bertemu.

Sunday, July 21, 2013

Terikat.

Saya sentiasa memikirkan, cinta itu akan mengikat manusia menjadi manusia lain. Manusia yang dahulunya kasar, diikat kemas dengan peraturan cinta supaya ia menjadi manusia yang sopan. Walaupun ramai juga menjadi sebaliknya, tetapi setidak-tidaknya itulah idea berkenaan terikat yang bermain-main dalam fikiran.

Terikat itu sakit, pada ketika pada sekecil-kecil perkara pun kita perlu menurut, sehingga diri kita adalah bukan lagi manusia unik yang dijadikan Tuhan, tetapi sebaliknya menjadi manusia yang perlu mengikut acuan cinta, yang entah betul entah tidak.

Itu sakit, tetapi rupa-rupanya terikat itu bukan sahaja pada kata cinta. Ia juga ada juga dalam penulisan. Lalu pada kata 'terikat' itulah saya berada.

Menulis sekiranya tidak mahu terikat, adalah digalakkan untuk terbit sendiri. Sekiranya masih memilih rumah penerbitan, akan ada banyak ikatan, kerana setiap rumah penerbitan adan 'gaya penerbitan', mereka yang tersendiri. Yang menjadi tanda niaga kepada mereka.

Lalu saya akui, terikat pada cinta itu jauh lebih sakit, berbanding terikat pada rumah penerbitan, tetapi tetap sahaja, ia memberi rasa tidak puas. Bahasa yang kita mahu angkat terpaksa diredam, gaya yang mahu kita pamerkan terpaksa disembunyi, dan tema yang mahu kita julang, terpaksa direndahkan. Tidak puas menjadi diri sendiri, lalu di blog ini, saya bebas mahu menjadi apa adanya saya.

Sekian. :)

Tuesday, July 16, 2013

Kakak.

Dahulu itu jugalah yang dipesan oleh ibu kepada kakak.

"Cinta itu terlalu sakit. Memang sakit sekiranya itu sahaja yang kamu kejar dalam hidup."

Lalu kakak saya akur, dan dia pun tidak lagi melayan mana-mana surat cinta lelaki. Kakak mengejar banyak perkara dalam hidupnya, dan akhirnya dia tetap juga terperangkap pada kata cinta. Tetapi bukan cinta kepada lelaki, tetapi cinta kepada perjuangan bagi melihat anak bangsanya maju, seperti majunya bangsa-bangsa di Timur Jauh dan Barat.

Dia tahu, hanya bercakap, hanya menulis, semua itu hanyalah secebis daripada perjuangan.

Kakak, mula memberi aksi. Walaupun dia yakin antara jalan tercepat adalah politik, tetapi untuk dia, politik negara ini terlalu ngeri. Kakak takut, banyak masanya habis hanya untuk membela diri daripada ular-ular politik, yang bersembunyi di mana-mana sahaja, dan sedia menyuntik bisa untuk dia mati.

Lalu, kakak saya, yang saya pandang tinggi itu mula membina pertubuhan dia sendiri. Pertubuhan percuma yang membantu bagi memperbaiki hidup masyarakat miskin.

Memang klise, tetapi kemiskinan itu juga klise, hidup sengsara itu juga klise. Semangat itu juga klise. Malah kegagalan itu juga klise. Yang tidak pernah klise, adalah kejayaan.

Tamparannya perit, lebih perit daripada ditampar lelaki biadab. Namun tetap sahaja, kakak sentiasa tersenyum, terlihat bahagia dan saya menjadi ragu-ragu. Senyumannya itu kerana memang bahagia atau hanya mahu melindung luka.

Lalu sayalah bukti hidup untuk melihat, kakak saya itu berkata kepada saya, "Benarlah kata ibu, cinta itu terlalu sakit sekiranya dikejar. Dan mungkin itulah sebenarnya yang ibu beritahu, cinta jangan dikejar tetapi kongsikan dan sebarkan. Di situlah kamu akan bahagia."

Akhirnya, mengertilah saya mengapa kakak saya sentiasa tersenyum semasa masih hidupnya, kerana hidupnya tidak hanya mengejar cinta, tetapi berbagi dan berkongsi cinta.

Menulis.

Saya sentiasa berharap, saya mampu berfikir pada perkara yang betul. Pada ketika membaca buku, saya berharap mampu memikirkan mesej yang saya dapat, bukan kepada memikirkan dan mencari mesej apa yang mahu disampaikan.

Lalu pada ketika saya menulis, saya juga berharap begitu. Pembaca tidak 'sakit kepala' mencari 'apa yang mahu saya sampaikan', tetapi mereka 'sakit kepala', memikirkan dan merenungkan pada mesej yang mereka dapat dan tangkap.

Namun tetap sahaja saya akur,  apa yang mahu disampaikan oleh sesetengah penulis bukan pada perkara yang difikirkan, tetapi perkara yang dirasa. Menulis sesuatu yang membuatkan orang merasa jijik, berat dan tiada harapan. Perasaan yang menekan fikiran supaya akhirnya manusia berfikir dalam tidak sedar mereka.

Cuma tetap sahajalah saya percaya, manusia yang mampu berfikir jernih adalah manusia yang sudah ditenangkan perasaannya. Biar fikiran itu yang akhirnya menekan perasaan bagi berbuat itu ini, bukan perasaan yang menekan fikiran, kerana perasaan sentiasa melulu. Lihat sahajalah cinta. Ia perasaan yang akhirnya akan disesalkan oleh fikiran selepas semuanya terjadi.

Apapun, tetaplah menulis dan selamat menulis.