Thursday, September 17, 2009

Pada saat yang kita kenang

Kenangan.
Membilas-bilas hati dengan kenangan, agar dapat mudik ke dalam ketenangan, terkadang menjengkelkan. Ada kenangan yang berada pada tempat-tempat, yang menyisakan garis bahagia masa lalu, namun, tidak kurang kenangan yang bergemuruh dengan pekik perih.

Memekap kedua-duanya dalam hati, lalu cuba mengambil hikmah yang tidak rimbun tetapi tua dan tinggi, adalah perkara yang sering membuat hati saya terbatuk-batuk. Tidak mudah walaupun sudah didesak-desak.

Sehingga suatu hari, saya terhempas pada suatu kata-kata sederhana berkenaan kenangan. Kata-kata sederhana yang apabila sahaja menjelang Syawal, pasti berkicau-kicau dalam hati, sekonyong-konyong saya sedar, kenangan jenis apa yang mahu ditatang.

Cerita.
Sudah ramai yang saya kenal orang namun tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi dia, dalam bercerita. Ceritanya pasti menjemput jiwa kita dengan halus, berlebihan, dan terkadang memotong-motong hati kita dengan pisau kata, yang pedihnya sampai ke ubun-ubun.

Itu yang sering terjadi kepada saya apabila bertemu dia. Cuba-cuba saya tidak berbual dengan dia, sendiri-sendiri, kerana mudah saya takluk dengan kata-katanya pada saat saya sendiri. Tidak langsung saya mampu menghalang emosi daripada kata-katanya itu menggeser hati saya.

Namun, hari itu, kata-katanya tetap merubung saya. Membuat saya terpaksa berurusan dengan air mata. Dia, adalah sepupu dekat saya.

Ramadan.
Waktu itu, Ramadan hampir khatam. Serpih-serpih mercun, dan bunga api sudah menghambur di jalan-jalan. Waktu itu jugalah, saya bertemu dia, pada hening senja yang berguling-guling. Dia, waktu itu bergumpal wajahnya dengan senyuman, senyuman yang saya tahu akan memaku saya bagi mendengar ceritanya.

Sambil tersenyum yang membesarkan hati, dia berkata, “Kamu tahu, apa yang saya paling ingat tentang arwah ibu kamu?”

Seperti yang saya sudah katakan, kata-katanya itu terkadang ibarat pisau yang akan mengelar hati, yang pedihnya sampai ke ubun-ubun. Senja itu, kata-katanya terus menghantar saya ke ruang kenangan yang membuatkan dada saya sesak, dan saya hanya diam, menggeleng.

“Apa yang saya paling ingat berkenaan arwah ibu kamu, adalah, apabila dia mengingati seseorang, dia cuma mengingati perkara yang baik-baik sahaja tentang orang itu. Atas kerana itu, saya sering mengingatinya begitu, mengingati perkara yang baik-baik sahaja tentang dia,” jelas sepupu dekat saya itu dengan mimik wajah yang memukul hati saya dengan emosi.

Senja itu, dalam melanggar kenangan, saya mencuba, dan sehingga kini, saya tetap mencuba, untuk mengingati yang baik-baik sahaja tentang sesiapa pun yang saya kenal, kerana hanya itu, yang akan membuatkan orang mengingati yang baik-baik sahaja tentang kita.

Maaf.
Tidak berubah sedikit pun, pada saat ini, saya mahu memohon ampun dan maaf atas semua salah saya, kepada semua. Teman-teman, para teman sekerja, bos-bos, kepada editor, para pembaca blog, dan novel saya. Maafkan saya, ampunkan saya, kerana manusia seperti saya ini, sangat mudah membuat salah. Untuk saya, pada sepanjang waktu ini, saya sedaya upaya cuba hanya mengingati perkara-perkara yang baik sahaja, pada kisah kita semua.

Selamat menyambut Aidilfitri. :)

Thursday, September 03, 2009

jawapan untuk hati

Samar.
Melihat perkara yang menurut saya, tidak ada ertinya adalah umpama mengembangkan ribuan senyuman kepada patung cantik yang tidak punyai ruh.

Itu rasa yang berada di tengah-tengah sedar saya. Rasa yang saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Cuba-cuba juga saya cari jawapan untuk perkara yang memberikan rasa yang tidak kena itu. Namun, mencari jawapan untuk sesuatu yang berada di tengah-tengah adalah seumpama mencari bola putih di lantai yang juga putih. Ada tetapi samar.

Sehingga seseorang yang baik memberitahu saya, bukan untuk memberikan jawapan betul, tetapi untuk menanyakan soalan yang tepat. Hingga kini sekiranya saya tidak lupa, soalan itu tetap bolak-balik dalam hati saya.

Sakit.
Dia mungkin orang yang paling banyak cubaannya yang pernah saya nampak di hadapan mata, ataupun setidak-tidaknya orang yang saya tahu, pernah diberi cubaan sehebat itu.

Bermula sebagai seorang yang tahu maknanya hidup tanpa ibu juga ayah, kemudian tahu maknanya hidup tanpa anak. Tidak cukup itu, dia juga adalah manusia yang tahu apa maknanya hidup tanpa punyai ginjal. Harus, saban hari, setiap lima kali sehari duduk selama 30 minit, di suatu tempat yang bersih untuk memasukkan cecair ke dalam tubuh, membersihkan sistem penapisan tubuhnya secara manual. Yang selama ini, tugas itu dilaksanakan oleh ginjal.

Saya tidak mampu membayangkan diri saya dalam keadaan itu. Saya sangat takut dengan ujian yang saya khuatir tidak akan mampu untuk harungi itu.

Saya tidak merasainya, tetapi memikirkannya sahaja sudah cukup membuat resah dan kecewa itu bersandar perih dalam hati. Sehingga pada suatu hari, pada waktu saya mendatangi dia untuk bertanya khabar, dia menanyakan saya soalan yang saya ingat sampai mati.

Petang.
Petang itu, langit masih terlihat terang, dengan angin yang mengucur deras dari balik-balik awan yang putih. Saya mendatangi dia, yang pada waktu baru sahaja dilepaskan dari hospital untuk berehat di rumah.

Mendengarkan ceritanya daripada teman saya, saya dapat membayangkan kobaran pedih yang menyala-nyala dalam hatinya, dengan semua ujian yang didatangkan Tuhan itu. Belum saya menemuinya, hati saya sudah menggelepar di atas padang simpati.

Namun, pada saat saya bertemu dengannya, pada saat saya menatap cemas ke arahnya, dia pula tersenyum dengan jutaan rasa membesarkan hati. Senyumnya tidak lekang, tidak juga mahu pudar. Untuk melihat manusia memaparkan mimik wajah yang tabah dengan ujian, itu saya sudah biasa. Namun, untuk melihat manusia yang melontarkan wajah yang bahagia dengan segala ujian itu membuat hati menggelinding dengan pertanyaan, mengapa dia terlihat bahagia?

Tidak tahan menanggung rasa itu, saya terus bertanya, bagaimana dia boleh memasang wajah yang begitu bahagia sedangkan dia sudah renta dengan ujian yang datangnya seperti ribut. Menyambar apa sahaja, tidak ramah dan tidak menyisakan apa pun kebahagiaan untuk dikenang.

Pada perkiraan saya, memasang wajah bahagia itu tidak ada ertinya, sekiranya hati juga tubuh sudah digoyang-goyang oleh derita. Tidak perlu pura-pura untuk terlihat bahagia, hanya untuk menatang hati sahabat yang sudah mengerti. Cukup sekadar memasang wajah yang sederhana, wajah yang kita tahu adalah wajah yang tabah dengan ujian itu.

Dia masih tersenyum, dan usai senyum bahagianya dia tidak pula menjawab soalan saya, malah bertanya kembali, “Apakah hanya dengan tubuh yang sihat, dengan ibu bapa dan anak-anak di sisi baru kita boleh merasakan kasih sayang Allah?”

Saya rasakan hati saya terhambur dari tubuh. Pada kalimatnya itu, saya langsung tidak mencium apa-apa beban. Kalimatnya umpama diwarnakan dengan warna-warna yang sejuk, dan warna-warna bahagia. Saya diam dan sepanjang hari itu saya menanyakan soalan itu untuk diri saya, kerana pada soalan itu ada jawapan untuk hati.