Monday, February 25, 2008

untuk sebuah impian yang cantik

Saya punyai sepupu yang baik. Malah, dia tidak kekok menganggap saya ini adik. Namun, bukan itu yang saya mahu cerita. Saya mahu ceritakan berkenaan anaknya, perempuan. Umurnya baru menganjak lima. Tetapi bahasanya melancar fasih.

Saya senang sekali dengan anak perempuan itu. Setiap kali saya duduk di ruang tamu, anak perempuan itu akan berlari ke arah saya dan terus duduk di sebelah, minta saya bercerita. Bercerita berkenaan puteri, pelangi, dan semuanya hal yang bisa wujud dalam imaginasi anak perempuan kecil.

Dia putih dan pada pipinya ada lekuk yang sederhana dalamnya. Rambutnya lurus mencecah bahu. Rambut depannya pula di potong lurus separas kening, namun untuk kebanyakan waktu tetap sahaja rambut depannya itu panjang dan hampir menutupi matanya. Mungkin, sepupu saya terlupa memotong. Dan apabila ia terjadi, tangannya yang montel itu pantas menolak rambut itu ke belakang ataupun ke tepi. Namun itu hanya sebentar, rambutnya itu kembali menutupi mata. Mujur dia suka melukis. Apabila dia tunduk melukis, rambut yang menutupi matanya itu akan berayun jauh dari dahinya dan jauh dari matanya.

Pada suatu hari, seperti biasa anak perempuan ini berlari ke arah saya dan tersenyum. Lekuk pada pipinya muncul dan rambutnya yang hampir menutupi matanya itu lekas-lekas di tolak ke belakang. Dia menunjukkan hasil lukisannya kepada saya.

“Wah, cantik. Apa ya tajuk lukisannya ini?” tanya saya.

“Impian,” balasnya ringkas.

Saya masih tersenyum, tetapi hati saya sudah pusing mencari mana letaknya 'impian' pada lukisannya itu. Tanpa mengetahui perkara yang terjadi dalam hati saya, dia terus duduk di sebelah saya.

“Ceritakan saya cerita berkenaan impian,” pintanya, seperti biasa. Nada suaranya beralun dan berirama.

Saya diam. Hati saya kembali pusing. Impian saya sendiri tidak jelas, lalu mahu bercerita pula berkenaan impian dengan anak perempuan ini. Uh.

“Impian itu seperti buah. Manusia yang tidak punyai impian, umpama pohon yang tidak berbuah. Hanya tahu menggugurkan daun-daun kering. Terkadang jadi tempat burung berehat dan manusia bersandar, namun tidak ada buah yang bisa membuat burung-burung dan manusia itu tersenyum,” kata saya.

Anak perempuan itu diam dan tetap memandang saya biar rambutnya sedikit menghalang matanya. Dia berkata, “Jadi impian pakcik apa?”

Wah. Mahu terus terang ataupun bagaimana? Sekiranya terus-terang bisa sahaja saya terlihat material. Tetapi, itu bukan dosa. Cuma untuk anak sekecil ini, materialistik bisa sahaja terlihat dosa.

“Pakcik mahu punyai uang yang banyak, supaya bisa membantu banyak manusia,” jawab saya. Anak kecil itu tetap memandang saya. Diam.

“Impian kamu pula apa?” tanya saya pula, sebelum dia menyoal lebih banyak.

“Saya mahu semua orang menyayangi saya. Lebih-lebih lagi orang yang saya sayang. Saya mahu dia tahu yang saya sayang dia, dan dia sayang saya. Saya mahu semua orang sayang saya,” jawab anak kecil itu. Jawapannya berulang-ulang, tetapi tetap fasih.

Entah bagaimana, akal saya jadi nakal lalu bertanya, “Bagaimana sekiranya orang yang kamu sayang itu tidak sayang kamu? Apa yang kamu mahu buat?”

“Saya tetap akan sayang dia. Tetap tunjukkan kepada dia yang saya sayang dia, sehingga dia jadi sayang kepada saya,” jawabnya lagi. Wah. Jawabannya lebih bagus daripada kebanyakan jawaban yang saya dengar di sinetron, untuk topik yang sama. Jawabannya tidak ada menyentuh ilmu hitam dan niat ceroboh.

“Bagaimana kamu tunjukkan dan mengapa?” tanya saya. Akal saya bertambah nakal. Entah, saya mahu sekali melihat hujung bibir anak kecil ini jatuh.

“Saya akan beritahu dia apa sahaja kejadian yang terjadi atas saya. Setiap hari. Seperti saya beritahu mama saya dan seperti yang saya beritahu pakcik. Saya mahu dia tahu saya sihat, saya baik dan dengan itu dia rasa dekat dengan saya biarpun dia tidak bersama saya. Dengan merasakan dirinya dekat dengan saya, saya harap dia bisa sayang kepada saya.” Untuk waktu ini saya tidak jadi tersenyum. Jawabannya terlalu matang bagi anak-anak seusianya. Terlalu. Entah apa yang ibunya beri dia makan. Tetapi itu tidak bisa menghalang fikiran nakal saya. Hehehe.

“Sekiranya dia masih tidak peduli kepada kamu dan tidak sayang kamu, mesti kamu berjauh hati, paling tidak pun kamu sakit hati. Kamu fikir, tindakan kamu itu betul?”

“Sekiranya saya masih menceritakan berkenaan hidup saya kepada dia, maknanya saya masih sayang dia dan masih punyai impian biarpun dia tidak sayang saya. Tetapi mama beritahu, sekiranya orang tidak sayang kita biarpun kita berusaha, maknanya Tuhan sayangkan kita. Kerna Tuhan yang menumbuhkan sayang itu. Pasti ada sebab Dia tidak tumbuhkan sayang orang itu kepada kita. Mungkin, sekiranya sayang itu tumbuh, kita mungkin dijahati dan diapa-apakan oleh orang itu dengan 'sayang'nya tadi. Lalu kita jadi lebih sakit berbanding semasa dia tidak sayang kita. Ataupun mungkin, orang itu sebenarnya sayang kita. Cuma mungkin kita tidak nampak, ataupun dia lupa memberitahu. Dan kerna itu, perlu adanya impian, supaya kita tahu apa yang kita kejar. Mama beritahu lagi, sekiranya mempunyai impian, biarlah impian itu besar. Jadi buat apa terseksa dengan hanya seorang yang tidak mahu sayang kita, sekiranya ramai lagi yang bisa sayang kita. Dan sekiranya kita berdoa dengan tulus, mama bilang, Tuhan berjanji menunaikannya, cuma tidak pasti lambat ataupun cepat, di dunia ataupun dia akhirat. Yang pasti, janji Tuhan itu pasti. Kerna itu, saya tetap akan terus hidup dan saya yakin akan ketemu orang yang sayang saya seperti saya sayang dia, kerna itu impian saya.”

Saya diam. Anak perempuan itu bicara dengan panjang. Entah berapa kali dia menelan air liur, bagi membasah tekak. Yang pasti dia memberitahu saya sesuatu berkenaan impian. Jangan biarkan impian itu hancur, kerna sekiranya ada impian, kita tetap bisa hidup. Mungkin tidak gembira, tetapi kita bisa menggembirakan orang lain. Seperti pokok yang dipetik dan ditebuk buahnya oleh manusia dan burung dengan rasa gembira. Dan sekiranya punyai impian, pastikan impian itu besar. Mungkin kerna itu, anak perempuan kecil ini melukis hati berwarna merah yang besar. Dan ia memang cantik untuk sebuah impian.



Tuesday, February 19, 2008

alasan untuk bos (bisa juga untuk teman sekerja yang cantik-cantik)

Saya sering diberitahu oleh manusia yang memberi nasihat tentang perkara ini. Untuk berjaya perlu mencabar diri. Seandainya diri tidak dicabar, kita tidak tahu setakat mana kemampuan kita. Saya juga sering digula-gulakan dengan kata, sekiranya orang lain mampu, mengapa saya tidak?


Lalu bertolak dari itu, semasa kuliah saya mencuba mencabar diri. Mencabar diri bagi mengetahui setakat mana potensinya. Nyaris sahaja saya kecundang. Mujur masih bisa merangkak menghabisi kuliah. Namun, tetap sahaja saya menyalahi diri sendiri pada saat-saat yang saya terlupa. Terlupa yang Tuhan itu mendatangkan ujiannya hanya kepada manusia yang bisa menanggungnya.


Apa sih silapnya? Umpama burung yang terbang. Lalu datangnya ribut di langit. Tidak pula burung-burung itu berjalan kaki di bumi, biarpun ia mampu. Ia tetap terbang di langit, mencabar ribut yang datang. Kerna titik kuatnya burung itu adalah pada kemampuannya terbang, buka pada kemampuannya berjalan. Kecuali burung-burung yang tidak bisa terbang. Burung unta misalnya. :-P


Begitu juga saya. Saya belajar sesuatu. Usah mencabar titik diri yang paling lemah. Kerna ia tidak menguntungkan, malah bisa membinasa. Cabar titik diri yang paling kuat. Kerna potensi diri letaknya di sana, di titik yang paling kuat. Bukan pada titik terlemah.


Ya, mungkin saya sudah diberitahu tentang hal itu, cuma saya tidak ambil peduli, mungkin juga saya langsung tidak diberitahu. Untuk hari ini, saya meyakini perkara ini, supaya mencabar diri pada titik diri yang paling kuat. Misalnya ada manusia yang titik kuatnya pada menulis cerita, lalu cabar aja titik kuatnya itu. Mencabar bagi menulis pelbagai genre buku. Mencabar diri bagi menulis manuskrip yang tebal-tebal. Jangan sesekali, cuba mencabar diri menjadi akauntan yang bermain dengan nombor, kononnya mahu meneroka kemampuan diri. Kecuali manusia itu akauntan yang bisa menulis, genius ataupun manusia middle brain.


Cuma masalahnya, terkadang kita tidak tahu titik kuat pada diri. Sukar. Cuma bisa dimudahkan dengan mengatakan, titik kuat itu adalah bakat. Lalu cabar bakat yang ada. Utamakan bakat daripada minat. Kerna minat tidak semestinya titik yang paling kuat.


Kesimpulannya, saya ini cukup berbakat untuk bermalas-malasan di meja kerja. Ya, saya akan cabar titik kuat saya itu. Mungkin saya bisa lelap di situ. Ya, mungkin. :-)


Wednesday, February 06, 2008

doa untuk aku

Rehat. Teman-teman semuanya udah keluar makan. Aku sendiri. Aku masih duduk di meja kerja. Di atasnya ada limau-limau mandarin yang berselerak. Ya, esok CNY. Perlu ada suasana CNY.


Aku bersandar ke kerusi dan menutup mata. Waktu ini aku membayangkan ada tangan kasar yang lembut memegang pundak sebelah kiriku. Lalu aku berpaling kebelakang. Seorang tua yang yang berjanggut putih tersenyum nipis. Pasti dahi aku berkerut. Perlahan-lahan tangan kanan lelaki tua itu lucut dari pundakku.


“Arahkan saya berdoa,” kata lelaki tua itu.


Aku diam.


“Saya bisa memberikan kamu doa,” kata lelaki tua itu lagi.


Aku masih diam. Lelaki tua itu mengjungkitkan kening. Hanya sekali. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.


“Doa yang bagaimana?” tanyaku pula.


Lelaki tua itu tersenyum lalu berkata, “Doa berkenaan kebaikan dan kesejahteraan kamu.”


“Mengapa perlu kamu berdoa untuk saya?”


“Kerna doa kamu kosong.”


Aku lalu mengerut dahi. Meneliti lelaki tua di hadapan aku, dari kaki hingga ke rambut. Dia siapa? Mengapa lelaki tua ini menuduh doa aku kosong?


“Kamu ini siapa?” tanyaku lanjut.


“Kamu tidak kenal saya? Saya adalah jiwa kamu. Saya sudah jadi tua kerna tidak lagi diberi makan dengan doa-doa kamu yang ikhlas. Lalu kulit saya yang tegang jadi kecut, rambut yang hitam jadi putih. Tubuh yang lincah kini jadi perlahan. Saya yang sihat kini sudah sakit.” Orang tua itu berkata sambil mengangguk-anggukan kepala.


“Tetapi saya tidak berjanggut,” kataku sambil mengusap dagu. Ya. Memang tidak berjanggut.


“Eh, maaf. Saya terlebih-lebih. Memang kamu tidak berjanggut,” kata lelaki tua itu. Lalu janggut putihnya hilang, serta-merta. Aku diam. Kerut di dahi sudah basah. Ada peluh.


“Tolong, arahkan saya berdoa untuk diri kamu,” rayu lelaki tua itu.


Aku diam. Dahi cuba aku tegangkan kembali. Sedetik kemudian aku berkata, “Sekiranya kamu jiwa saya, mengapa kamu tidak berdoa sahaja. Mengapa perlu saya yang mengarahkan kamu berdoa?”


“Seperti yang saya beritahu, saya adalah jiwa kamu yang lelah. Lapar dan udah menjadi tua. Kamu memang ada berdoa. Namun kamu berdoa tidak melalui saya. Hanya pada lidah. Kamu hanya mengarahkan lidah kamu yang berdoa. Tidak mengarahkan saya. Tidak berdoa menerusi jiwa. Doa kamu sombong dan kosong. Tidak ada rintihan. Tidak juga bersungguh. Tidak ikhlas. Saya pohon kamu berdoa melalui saya. Memohon saya yang berdoa kepada Tuhan. Jadi, tolong arahkan saya, jiwa kamu ini berdoa sesuatu berkenaan diri kamu. Jika tidak, pasti saya akan mati. Jangan hanya melalui lidah. Saya sudah tidak mampu lagi bertahan,” terang lelaki tua itu. Kedua-dua belah tangannya memegang pundak kanan dan kiri aku. Aku diam.


Aku membuka mata, lalu berpaling ke belakang. Nyata lelaki tua itu tiada. Dan sekarang masih waktu rehat. Masuk waktu solat Zohor (bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya). Pasti lelaki tua itu berharap aku mengarahkannya berdoa.

Tuesday, February 05, 2008

maskara 6 - Tuhan jua yang lebih tahu

Malam itu dingin. Hujan. Itu yang pertamanya aku fikir. Keduanya, apa yang akan aku makan. Kerna untuk manusia seperti aku, apa sahaja majlis yang ada makan percuma, pasti makanan percuma itu yang bisa buat aku tersenyum-senyum. Ketiga, aku memikirkan nanti, apabila aku sudah pulang dan mahu lelap, apa yang akan aku rasa?


Ya, malam itu terus sahaja dingin. Lebih-lebih lagi kipas di dalam rumah kayu itu berfungsi baik. Rasanya, mahu juga tukar posisi duduk, namun seluruh tempat penuh terisi. Keduanya, makan. Mi gorengnya enak. Tauhunya banyak. Dagingnya juga banyak. Dan yang membuat aku tersenyum lebar, ada kicap. Wah. Untuk pertama-tamanya aku merasakan dunia ini rasional. Manusia meletakkan kicap di sebelah mi goreng. Bukan lagi meletakkan sos cili. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Ketiganya ketika aku mahu tidur, aku teringat yang aku lupa menelefon isteri aku. Owh. Terlupa menelefon isteri itu bukan silap yang kecil. Hanya akan terjadi dalam hal-hal tertentu dan malam itu ia terjadi lagi. Dan nyata malam itu termasuk dalam hal-hal yang tertentu. Hal yang membuat aku asyik.


Aku asyik biarpun lagu daripada group post punk itu sama aja pada telinga aku. Lagu pertama, kedua, ketiga, dan sampai yang keenam. Sama. Entah apa silapnya telinga ini. Aku rasakan mereka menyanyikan lagu yang sama, seni kata aja yang berbeda. Daripada 'Nadai' kepada 'bohjan'. Mungkin kerna ia akustik. Jika betul-betul ada alatan yang cukup, mungkin berbeda. Mungkin juga kerna aku ini cemburu, kerna mereka itu bisa bergitar dan menyanyi. Mungkin. Ataupun mungkin post punk memang begitu. Nadanya sama cuma liriknya aja berbeda. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Dan entah bagaimana, pada waktu rehatnya aku menyaksi peristiwa ini. Seorang lelaki berbaju hitam datang menghampiri sang penyanyi. Mulutnya masih penuh dengan mi goreng.


“Saya minat lagu 'badai' abang tadi. Best.”

Sang penyanyi mengerut dahi. Tunduk. Mi Goreng dikunyah perlahan-lahan. Kemudian dia mengangkat muka kembali, memandang lelaki berbaju hitam itu.

“Lagu yang mana? Pertama ataupun kedua?”

“Lagu pertama bang. Lagu 'badai'. Lagu 'badai' memang best.”

“Eh, itu 'Nadai'. Bukan 'Badai.”


Persembahan selebihnya bisa buat hati aku bertepuk tangan. Bertepuk tangan pada semangat dan berani mereka yang duduk ataupun berdiri di hadapan lilin yang banyak. Jika aku, pasti aku mati. Malam itu, terlalu banyak yang mahu diceritakan cuma aku hanya bisa memberikan kata kunci yang bisa membuatkan aku mengingat kembali pada malam itu.


-Jiwa-jiwa Hadhari. Kemudian bercerita berkenaan Mat Rock menunggu bas.

-Bunian. Ada cerita perang. Al Fatihah untuk teman baiknya. Panaharjuna (Ahmad Zafran). Sempat juga melawat ibu Panaharjuna. Nyata beliau ibu yang tabah. Aku pula yang sebak. Perginya Panaharjuna, betul-betul mengejutkan. Sehingga saat menulis hal ini, senyum Panaharjuna masih lagi terkenang-kenang. Dia beruntung, pergi di saat masih ada ibu yang mendoakannya. Mendoakan kesejahteraannya. Jika tidak kerna kekangan kos, difahamkan arwah akan berada di Maskara pada malam itu. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.

-Beer tanpa alkohol. Lalu bercerita berkenaan Samy Vellu yang berani.

-Kamal Hassan. Mereka tidak punyai nombor telefon V.K Linggam.

-Denyut-denyut pada hujung kemaluan. (Aku membayangkan waktu berkhatan. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu)

-Faizal Tahir. Jika ia buka baju lagi pasti hanya ketemu 'xl'.

-Politik, permainan sistematik.

-Hi jiran. Ini cikgu ke? (Rare)

-Abang botak.

-Parking atas pokok kemuncup.

-Spacecop gaban. Aku mengaku life ketika masih anak-anak itu memang suck. Lebih-lebih lagi jika tidak punyai TV lalu tidak punyai nostalgia berkenaan cerita-cerita pada lingkungan 4.00 sampai 6.00 petang. Pasti bertambah suck apabila ditampar Tok Imam kerna dengan sesuka hatinya menukar siaran TV di rumah Tok Imam sewaktu menumpang menonton TV di sana. Iya, masak Tok Imam mahu menonton gaban. Dan pasti, selepas itu tidak bisa berkongsi nostalgia di dalam forum dan blog. Suck. Aku faham (dalam nada yang hadirin dengar malam itu). Tidak perlu mencuka, dalam sut merah berjalur tegak. Tetapi itu mungkin tanda berani. Namun, hanya Tuhan jua yang lebih tahu.

-Subtext-subtext.

-Ketua turus.

-Perkataan-perkataan agama dan apa yang ibu ajar semasa tadika.

-Subaru Impreza.

-Sahabat itu perlu dalam silap mata. Mungkin dalam persembahan silap mata, perlu guna kalimantang. Cahaya suram itu menjejas sedikit aksi silap mata itu sendiri. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Keseluruhannya. Tiga hingga ke lima bintang. Tidak ada yang jatuh ke dua. Aku rasa berbaloi untuk melepaskan rancangan akhir, cornetto love perhap. Dengarnya, ada adegan peluk-peluk. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Cuma aku tidak bisa menjelaskan hal ini kepada isteri aku. Ia bukan semudah membaca dan mendengar. Perlu hadir di situ dan rasakan udaranya. Udaranya cukup berbeda. Seperti berada di tengah padang rumput yang baru aja dipotong dan pada tangan ada secawan kopi cair. Namun Tuhan jua yang lebih tahu.


Itu aja. Tahniah buat penganjur. Mungkin MASKARA bisa jadi woodstock, paling tidak pun jadi seperti di Sarawak. Rain Forest Festival. Cumanya lebih kerap. Sebulan sekali. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.