Wednesday, October 23, 2024

Sebuah catatan : Kembara Yogyakarta - Semarang bersama Jejak Tarbiah

Di salah satu pintu masuk keluar dari pemandian raja-raja dan keluarganya.

Saya sempat berkembara lima hari di tanah Jawa - tepatnya di Yogyakarta - daerah penuh budaya.

Ada 1000 cerita dan untuk catatan ini, saya hanya mahu bercerita hal yang satu ini. Hal yang diceritakan melalui tawanya yang renyah, polos, dan terkadang terdengar sinis. Namun pada akhirnya, saya mengerti ia tawa yang berat.

Ini bukan kembara saya sendiri, tetapi kembara berkumpulan seramai 21 orang yang datang daripada pelbagai latar, namun semuanya berkongsi hal yang satu, semuanya mahu menjadi orang baik-baik, dan sepanjang kembara, itulah yang saya rasakan. Sangat nyaman berada dalam lingkungan mereka ini. Walaupun tidak ada watak 'penghibur sejati' dalam kumpulan ini, namun kami tetap ketawa kecil-kecil, saling menyapa dan saling membantu.

Terima kasih kepada semuanya atas rasa yang mewah kebaikan ini, terima kasih kepada pihak Jejak Tarbiah, CEO-nya yang baik budi, staf yang manis senyum, serta kepada pembawa bicara sejarah yang melimpah ilmunya. Semuanya mendamaikan. Memang tidak semuanya berjalan lurus tetapi tidak ada satupun jalan yang membawa luka. Semua sulit-sulit yang terjadi dapat dimengerti dan menjadi kenangan untuk masa hadapan.

Lalu kisah ini terjadi semasa kami ke lokasi kedua kembara - Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat atau Keraton Yogyakarta, istana rasmi Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat. Yang didirikan oleh Sri Sultan Hamengkubuwana I pada tahun 1755.

Di luar keraton kelihatan rombongan pengunjung yang terdiri daripada anak-anak sekolah sudah berkumpul. Bilangan mencecah ratusan dan untuk saya, ia sesuatu yang mengharukan, sejarah dan budaya mereka masih menjadi antara hal-hal diperhatikan, dan pastinya akan dijaga oleh mereka.

Lalu di situlah rombongan kecil kami dipertemukan dengan seorang petugas istana, seorang perempuan yang sudah berumur lebih 70 tahun. Dia berbaju kebaya hijau pisang, pakaian khas untuk petugas di sana. Jalannya lambat-lambat tetapi tidak meresahkan. Nada suaranya mengandung wibawa yang jelas. Namun ada sesuatu pada tatapan matanya yang saya tidak tahu bagaimana mahu mentafsirnya. 

Daripadanya, kunjungan kami ke istana ini bertambah nilainya kerana setiap satu perkara akan dirincikan. Ada banyak bilik dan setiap satunya ada kisah yang tersendiri. Biasanya ceritanya akan disudahi dengan ketawa sinis yang khas.

Misalnya cerita tentang bilik wine, yang mana pintunya rendah-rendah bagi mengelak mereka yang sudah mabuk untuk keluar. Kemudian dia ketawa sinis. Kami semua mengerti maksudnya.

Sehinggalah salah seorang kami bertanya tentang hidup dia.

Santai dia menjawab, suaminya sudah meninggal dan dia ada anak lelaki semata wayang.

 “Tapi dia sudah dirampas oleh isterinya. Saya kini tinggal sendiri,” lalu diiringi dengan ketawa khasnya.

Saya tersentak sejenak. Ada sesuatu yang tiba-tiba wujud dalam hati. Iaitu kefahamanan pada tatapan matanya. Ia tatapan seorang yang cuba mencari riuh dalam kesunyian hidupnya. Seorang yang masih sanggup berjalan lambat-lambat mengelilingi keraton kerana mahu melupakan kesepian. Dan ketawanya, ketawa khasnya itu bukan sekadar sinis, tetapi ia adalah ketawa yang mahu menjemput kegembiraan kami untuk mengusir rasa kesendirian itu.

Saya fikir, mungkin dia tahu, hanya dengan membuatkan orang lain tersenyum, kesepian itu akan hilang. Senyuman-senyuman yang hadir pada wajah pelawat yang dilayani dengan baik, akan jadi penguat dia untuk terus menjadi petugas keraton.

Namun, ia tidak dapat juga menghalang saya daripada berasa hiba. Dia seorang perempuan, seorang ibu, seorang isteri yang sudah ditinggal oleh lelaki-lelaki kesayangannya. Kesedihan apalagi yang lebih besar daripada itu?

Kerana kalau ada upaya, saya yakin kita semua akan memilih untuk meninggalkan, berbanding ditinggalkan, kerana yang menanggung pedih rindu lebih dalam adalah yang ditinggalkan.

Semoga dia terus kuat, dan semoga apabila hari kita tiba, hari kita ditinggalkan, kita akan masih mampu seperti dia, masih mampu menjemput senyum-senyum pada wajah orang di sekeliling kita. Insya-Allah.








Tuesday, June 04, 2024

Cerita-cerita (yang tidak berapa aneh) di PBAKL 2024

Novel dengan FIXI. Boleh dapatkan di www.fixi.com.my

Saya hanya sempat turun 2 kali. Sekali sebab ikut rombongan pejabat, dan sekali sebab ada sesi meet and greet.

Tahun ni bersyukur sebab, komunikasi saya dengan rakan pembaca, rakan penulis dan penerbit semakin baik. Semakin kurang topik random yang menimbulkan suasana awkward.

Namun ada jugalah beberapa kali perbualan yang tidak-tidak. Taklah awkward tapi aneh kalau dikenang.

Pertamanya ketika berjumpa dengan penulis Muhd Farid Akram yang juga bertugas di booth Ilham.

Lepas berbasa basi, saya pun kata, "Kau ni tinggi betul. Berapa tinggi kau?"

Bermulalah perbualan pasal ketinggian dia, 189cm, di kaunter pembayaran.

Kemudian berjumpa dengan pengurus  penerbitan Karangkraf Cik Azzah Abdul Rahman  dan COO group Buku Karangkraf Tuan Izzat.

Kami ambil gambar selfie, oleh kerana Tuan Izzat tinggi dia terpaksa menunduk sikit.

Saya pun tiba-tiba cakap, "Rasanya orang paling tinggi kat PBAKL ni jatuh kat petugas di booth Ilham."

Mereka pun angguk2. Tak pasti mereka dengar atau terkejut.

Paling lama saya borak dengan founder Fixi, Tuan Amir Muhammad sebab ada sesi meet n greet novel saya Lelaki Berkasut Merah di booth Fixi.

Awal2 borak tu terus saya tanya, "Buat apa kat Sarawak hari tu?"

Dia nampak terkejut.

"Saya ke sana bulan enam tahun lepas."

Bayangkan saya tanya selepas nak dekat setahun, macam benda tu berlaku minggu lepas.

Lepas tu kami borak pasal AI dalam penerbitan.

Saya pun cakap, "Saya paling tak boleh terima kalau cover guna AI."

"Fixi ada empat novel kami guna AI. Buku lama.” (Waktu AI mula-mula boom)

Saya pula terkejut.

"Tapi banyak juga photoshop."

"Itulah." Saya sambung, angguk-angguk.

"Lepas ni kita akan guna ilustrator je semua cover."

Begitulah lebih kurang. Alhamdulillah selepas tu perbualan normal-normal sahaja.

Namun adakalanya suasana awkward ni bukan dimulakan oleh saya tetapi oleh orang lain.

Yang saya ingat, semasa sesi meet and greet di Pustaka Negeri Sarawak (poster), saya bertemu dengan kenalan yang dah lama tak jumpa. Orang industri buku juga.

Selepas basa-basi, dia ambil sebuah buku jualan di meja sebelah.

"Aku suka buku macam ni."

Ia buku tentang pembedahan. Tajuknya ada perkataan 'surgery...." Saya tak ingat tajuk lengkapnya.

Dia pun belek dan tunjuk satu muka surat di dalam buku tu.

"Tengok ni."

Saya perhati, nampak seperti nanah. Saya tenung lagi dan baru perasan ia adalah :

*Gambar punggung yang kena bisul*

Saya tergamam. Dia belek lagi.

"Tengok ni."

*Gambar bisul yang dah besar dan nak pecah*

Mujur saya teringat satu fakta dan cakap, "Bisul ni kadang2 makin besar sebab pesakit tak habiskan ubat antibiotik yang dr bagi. Makan sikit2, jadi kuman bisul tu semakin kuat. Bisul semakin besar."

"Ya betul tu."

Dia selak lagi dan tunjuk kat saya - *gambar bisul dah pecah*

*Sekarang gambar-gambar bisul kat punggung tu masih melekat dalam kepala saya.


Monday, May 13, 2024

Semut-semut di lengan

Saya terlupa satu hal ini, saya suka menumpahkan resah hati pada penulisan. 

Lalu beberapa ketika, ada pelbagai resah yang masuk dalam kepala. Ia resah-resah yang kecil. Namun ibarat semut, kalau seekor yang merayap di lengan tidak apa-apa, namun sekiranya ada 20 ekor, boleh terbangun juga kita daripada duduk selesa di sofa.

Itulah saya. Lelaki yang terbangun daripada duduknya, bezanya, semut-semut masih ada di lengan tidak mahu jatuh-jatuh.

Bayangkan kau berjalan ke sana sini dengan 20 ekor semut yang masih di lengan.

Perkara yang saya pasti, saya rasakan setiap perkara itu boleh diselesaikan sendiri, kerana ia hal kecil. Dan sememangnya itulah sifat perkara-perkara kecil, ia boleh diselesaikan sendiri.

Cuma penyelesaian kepada perkara-perkara kecil, ada banyak cara. Ada yang sifatnya teknikal, dan yang perlu kepada kewangan, dan ada yang perlu kepada hati yang redha.

Lalu itulah yang terjadi, banyak perkara-perkara kecil ini saya rasakan hanya perlu kepada redha hati. 

Sebetulnya tidak semua. Ada yang boleh diselesaikan pada sudut teknikal, ada boleh disudahkan pada sudut kewangan namun oleh kerana, saya merasa leceh untuk hal-hal teknikal dan tidak ada upaya juga kepada kewangan, lalu kesudahannya, ia jatuh pada redha hati.

Kesalnya di situ, kenapa saya cepat-cepat mahu menghantar segala permasalahan itu kepada redha hati. 

Adakah saya terlalu memandang tinggi pada kekuatan hati sendiri? Ataupun adakah hati saya sendiri sudah merajuk kepada saya, kerana terlalu dibebankan hal-hal yang ia tidak perlu?

Saya tidak tahu lagi. Masih ada banyak usaha yang saya tidak perbuat. Salah satu, bangun di sepertiga malam menghadap Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Mengasihi. Berlama-lama di sejadah untuk mendapatkan kembali hati yang merasa ia tidak pernah tabah, hati yang merasa tidak kuat untuk semuanya, hati yang sedar segala kekuatannya itu datang daripada Dia. 

Mungkin begitulah, hati ini sudah merasa terlalu mandiri, sehingga lupa, upaya dan segala megahnya dia bukan daripada parut dan luka, tetapi daripada ihsan Yang Maha Esa. 

Menuliskan hal begini pun sebenarnya sudah membawa sedikit lega, akhirnya saya dapat berbicara kepada hati sendiri untuk kembali menjadi hati yang sentiasa merayu dan merintih meminta kekuatan kepada-Nya.

Kekuatan untuk memujuk jiwa dan fikiran untuk berani dan kuat bagi menyelesaikan hal-hal ini mengikut perlunya, tanpa terus kepada dia. Kerana hati ini juga tidak kuat seperti yang disangka walaupun ia penuh parut dan luka.

Semoga semut-semut di lengan ini akan jatuh satu per satu.




Monday, June 05, 2023

Pesta Buku Antarabanga Kuala Lumpur 2023 - sebuah catatan

 Ini bukan sebuah pesta yang saya sudah bersedia sepenuhnya. Ada debar yang mengeram dalam hati, dan pada ketika pesta bermula, ia menetas menjadi debar yang saya tidak pernah bayangkan akan terjadi. Ia tidak teruk, tetapi ia membuat saya sentiasa berdoa.

Tahun ini, saya pertaruhan tiga novel yang segar dan hangat dari kilang. Pertamanya, novel Rahsia Paling Rahsia yang dipromosikan sebagai K-Lit. Terbitan syarikat penerbitan gergasi negara, Karangkraf. Kisah pencarian harta karun Sultan Melaka. Dari dahulu lagi saya sentiasa berangan-angan mahu mengkisahkan riwayat yang banyak simpang siurnya, yang digabung dengan sejarah dan kompleksiti pertubuhan rahsia yang berumur ratusan tahun, dan akhirnya hampir 80% niat itu berjaya saya zahirkan. Saya puas hati dan saya berani untuk ia dibaca oleh sesiapa pun.


Kedua adalah novel Dunia Ini Sederhana Kecil, novel yang dicetak kali pertama pada tahun 2009. Saya sedikit gelisah kerana novel ini memilih jalan yang penuh risiko. Ia membawa kisah manusia biasa, seorang lelaki menganggur yang bermatian mencari rezeki. Tidak ada bombastik dalam pembinaan wawasannya selain falsafah yang samar-samar. Hanya cerita lelaki yang hidup untuk hari ini, esok fikir untuk esok pula, yang kemudian bertemu dengan seorang perempuan anak orang kaya yang tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Mereka sentiasa bertembung dalam keadaan yang tidak ada perkenalan bermakna. Sekiranya ia belum cukup berisiko, saya tambahkan risikonya dengan cuba menjadikan ia sebuah novel komedi. Mahu orang ketawa dengan tragedi ini. Aduh....


Sedangkan semua tahu yang rasa lucu adalah sesuatu yang sentiasa berbeza untuk manusia dan ia sangat sukar. Jadi novel ini akan sentiasa jatuh di dua kutub ekstrem. Sama ada jatuh di hujung titik yang membuatkan pembaca merasa sangat sayang, dan satu lagi titik berseberangan yang membuatkan novel ini terlihat hambar - rasa lucu itu tidak mereka peroleh, hanya sebuah kisah yang penuh kata hikmah sederhana. Adakah pembaca mahu menerima cabaran ini? Saya tidak tahu. Yang pasti, saya tahu ini sebuah risiko dan Jejak Tarbiah sudi memberi peluang kepada saya.

Ketiga sebuah novel swaterbit. Ia daripada manuskrip yang terpendam lima tahun dahulu. Ia sebuah kisah sains fiksyen dan penuh konspirasi. Tajuknya Panca Perawis. Gaya bahasanya standard dan ia lebih mementingkan teknikal kerana mahu mencipta plot twist. Ia bermula dengan sebuah Pertandingan Panjat Batang Pinang yang dianjurkan oleh tentera laut Amerika Syarikat di Nilai, Negeri Sembilan.

Hadiah pertandingan itu lumayan tetapi tanpa para peserta tahu, ada dua niat tersembunyi daripada pertandingan yang tidak biasa itu. 

Novel ini tidak terlalu saya promosikan kerana mahu lebihkan dua novel yang sudah ditanggung kos terbitnya oleh dua penerbit baik tadi. Nanti-nanti selepas PBAKL lah saya promosi lagi. 

Selain itu ada dua buah novel lagi yang sama sifatnya dengan Dunia Ini Sederhana Kecil, iaitu Doa Untuk Aku dan Penulis Yang Disayangi Tuhan. Sama-sama mencuba sesuatu yang berisiko dengan tema yang tidak biasa. Selain sebuah buku catatan 100 kisah inspirasi terbitan Rimbunan, Start Again.



Jadi dengan buku-buku itulah, saya bawa diri ke PBAKL 2023 dengan harapan yang terbata-bata.

Syukurlah selepas lebih 10 tahun terlibat dengan PBAKL, kapasiti bateri sosial saya semakin membengkak. Saya sudah boleh berbual-bual dengan jangka masa lebih lama dengan pembaca tanpa risau akan blur dengan tiba-tiba atau ada rasa mahu terus diam lalu mengasingkan diri. 

Saya tidak pasti ia introvert atau apa, namun ia sesuatu yang sering membawa kesal dalam hati dan membuat malu.

Alhamdulillah semuanya baik-baik walaupun masih ada ketika hati terdetik, "Kenapalah aku macam tu tadi kat orang tu."

Lalu hidup pun bergulir, dan segala apa yang saya risaukan memang terjadi namun dalam keadaan saya punyai antisipasi yang tinggi.

Al hasil ada beberapa hikmah yang saya boleh tarik daripada PBAKL kali ini. 

Antaranya, manusia ini boleh berhubung dengan manusia lain dengan sebuah cerita yang membuatkan mereka bahagia. Namun bahagia manusia tetap berbeza-beza. Lalu jangan takut untuk mencipta cerita kita sendiri. Jangan terlalu terikut-ikut dengan cerita orang lain kalau itu bukan cerita kita, kerana apapun cerita kita, tetap akan ada manusia yang menghargai cerita itu. Walaupun hanya seorang. Namun paling utama, adakah kita menghargai lalu bahagia dengan cerita kita sendiri?

Jangan pendam cerita kita. Kongsikan walaupun mungkin itu cerita duka, kerana sentiasa akan ada orang yang menatangnya dan membuatkan kita sembuh. Sembuh bukan kerana mereka merawatnya, tetapi kerana kita membenarkan diri kita berani untuk melepaskannya. Ibarat tali yang tersimpul di tangan, menahannya agar ia tidak lepas tidak akan memberi apa-apa selain luka, dan melepaskannya akan memberi lega.

Untuk rakan-rakan pembaca pula, selamat membaca semua cerita yang sudah anda peroleh. Mungkin akan ada cerita yang tidak sesuai diri, tetapi tetaplah yakin, tetap akan ada cerita yang tepat, yang akan menyapa mesra untuk membuat kita melepaskan sesuatu yang berat kerana itulah fungsinya setiap cerita, membantu memberi erti pada apa yang kita rasa tetapi tidak mampu kita kisahkan. Lalu cerita itulah yang membantu kita melepaskan rasa perih yang selama ini kita sembunyi.

Semoga kita semua temui apa yang tidak pasti kita mahu temui. 

Tuesday, February 07, 2023

Lirik yang tidak dinyanyikan

Saya kenal anak perempuan ini. Umurnya 12 tahun. Dia rakan kepada anak perempuan saya. Dia punyai satu kegemaran iaitu bermain gitar. Apabila datang ke rumah, dia akan membawa gitar dan menyanyi bersama anak saya.

Saya juga kenal keluarganya. Kami tinggal di lorong kejiranan yang sama. Ayahnya baru sahaja bernikah baharu sejak isterinya meninggal lima tahun dahulu.

Antara banyak-banyak lagu yang dibawa oleh anak perempuan itu, saya perasan satu lagu ini, dia akan menyanyi berulang-ulang dengan penuh perasaan.

Saya mendengar liriknya ia seperti lagu seseorang yang merindui kekasihnya. Saya fikir terlalu awal untuk dia membawa lagu sebegitu. Tetapi tidak apalah mungkin itu cuma latihan untuk kemahirannya bermain gitar.

Sehinggalah satu hari, saya berpeluang mendengarkan lagu itu di Youtube sampai ke penghujungnya. Saya kelu. Rupa-rupanya di akhir lagu itu ada lirik yang tidak pernah anak perempuan itu nyanyikan.


Tertawa bersamaku seperti dulu lagi
Walau hanya sebentar Tuhan tolong kabulkanlah
Bukannya diri ini tak terima kenyataan
Oh bukannya diri ini tak terima kenyataan
Hati Ini hanya rindu oh
Hati Ini hanya rindu hm
Kurindu senyummu Ibu

Ternyata lagu Hanya Rindu oleh Andmesh Kamaleng itu bercerita tentang rindu kepada ibu. Pada ketika itu entah mengapa air mata saya mula bergenang.

Benarlah rindu yang sakit bukannya yang diucap, tetapi rindu yang didiamkan.

Tuesday, March 22, 2022

daripada apa yang ada

Menemukan seseorang yang kita suka itu mudah, tetapi bagi membuatkan dia kembali suka kepada kita dan seterusnya hidup bahagia, itu rasanya ramai yang memikir ia adalah fantasi.

Memang benar barangkali.

Kerana setiap kita punyai pandangan terhadap diri, baik daripada segi rupa, harta, mahupun sikap. Rasa serba kekurangan.

Merasa tidak layak untuk orang seperti itu.

Di situlah akhirnya wujud realiti. Pedih tapi hakikat.

Realiti pahit yang berpihak kepada rupa, harta, dan sikap kita. Tetapi tidak berpihak kepada rasa suka itu sendiri.

Sekiranya ia tidak berpihak kepada rasa suka, bagaimana mahu bahagia?

Itu persoalan yang menjadi kunci kepada ramai yang akhirnya memilih untuk terus sendiri.

Ramai pula yang terus berusaha daripada segi harta, sikap dan rupa, untuk pada akhirnya menjadikan fantasi itu berubah realiti.

Namun ada juga, yang menerima dirinya dan pasangannya dengan seadanya. Lalu hanya berusaha untuk merubah rasa realiti itu menjadi rasa suka kepada pasangan.

Bagi merubah rasa itu menjadi suka juga adalah sebuah perjuangan. Mungkin tidak diagung-agungkan seperti perjuangan orang yang mengajar cinta hatinya, tetapi tetaplah ia mulia.

Mungkin itulah jalan yang lebih adil kepada kita semua. Tidak semua mampu mengejar cinta, tetapi kita semua mampu membina cinta daripada apa yang ada.


-----

hari ini, aku juga mahu mempromosi lagi,
Kombo Untuk Sembuh,
novel, 'doa untuk aku'
bersama buku puisi indah



Juga buku ini,  100 catatan tentang hidup. klik - https://shp.ee/jvarn6p







Wednesday, September 15, 2021

Gadis comel berkaca mata

Semasa di universiti, saya ada seorang kawan yang suka kepada seorang gadis. Berminggu-minggu juga dia bercerita tentang gadis itu. Berminggu-minggu jugalah kami beri dia motivasi supaya dia berani untuk berterus-terang.

Gadis itu memang comel. Berkaca mata, berbaju kurung dengan kasut kain.
Hari itu, kawan saya datang dengan wajah tersenyum. Katanya dia sangat lega. Rupa-rupanya dia sudah berterus terang.
"Jadi, budak tu nak dengan kau tak?"
"Tak."
Kami hairan. Wajahnya tetap nampak bahagia.
"Kenapa nampak happy je?"
"Sebab, aku lega. Kalau dia terima, aku tak tahu apa yang harus aku buat selepas itu."
Selepas lebih 10 tahun, saya ingat lagi senyuman manis kawan saya itu. Juga, kata-katanya, 'aku tak tahu apa yang harus aku buat selepas itu'.
Jadi apabila ada yang mencari jalan, 'bagaimana mahu berterus-terang kepada gadis yang dia suka', tanyakan dulu soalan ini kepada diri sendiri, "Lepas tu aku nak buat apa?"
Sekiranya soalan itu susah mahu dijawab dengan yakin, maknanya kamu belum bersedia. Bersedia bukan sahaja daripada segi kewangan, juga bersedia daripada segi 'sabar menunggu'.
Namun, itu bukan bererti jawapan, "Saya tidak tahu" itu salah. Malah ia adalah jawapan yang betul.
Apabila kita menganggap jawapan 'saya tidak tahu' itu betul, kita akan mudah tersenyum dan meneruskan hidup.
Kerana dalam hidup, soalan itu akan sentiasa datang untuk kita menjawabnya. Sentiasa.
Tentang kawan saya itu, ada terjumpa dengan akaun FB nya. Dia sudah berkerjaya bagus, dan bahagia dengan gadis pilihannya. Juga punya anak-anak comel yang menyejukkan hati.
Saya percaya, pada ketika soalan, "Lepas itu aku nak buat apa?" datang sekali lagi dalam hidup dia, dia menjawab dengan yakin, "Aku akan menikahi dia."