Tidak jarang kata-kata ini saya dengar. Namun tidak sering pula saya betul-betul mengerti maksudnya. Umpamanya melihat bas berwarna terang yang berlalu di depan mata. Saya tahu ia bas yang membawa manusia, namun saya tidak tahu bas itu membawa manusia jenis yang bagaimana. Sama ada mereka golongan pekerja khusus, pelancong ataupun penumpang biasa di tepi jalan. Selalu saya lihat, namun jarang saya mengerti.
Begitu juga dengan yang satu ini. Sejak saya tahu mengingat, kata maruah sering diucap oleh keluarga, cikgu, penceramah, pelakon TV, juga pejuang-pejuang yang pelbagai. Daripada pejuang demokrasi hinggalah kepada pejuang bahasa. Kata maruah tidak segan-segan berhamburan daripada mulut mereka.
Lalu cuba sahaja lihat di sana, di dalam kamus apa maknanya maruah. Pasti pelbagai soal akan merubung hati kita. Sepertinya maksud di kamus sana, tidak sejalan dengan apa yang dimaksudkan pada pengucapan.
Dengan hati yang terbata-bata, saya cuba mengaitkan maruah dengan apa yang terlarang, kerana maksud maruah yang kepalang saya dengar adalah jangan melakukan yang terlarang kerana ia adalah maruah.
Jadi mungkin, dalam membuat dosa itu, barulah konsep maruah itu berfungsi. Jangan buat begitu, nanti maruah keluarga jatuh, jangan buat begini, nanti maruah masyarakat lungsur, dan jangan buat itu ini, nanti maruah bangsa renta. Semua yang terlarang itu adalah maruah.
Ironi, suatu kata yang dijunjung tinggi, sebetulnya adalah bertitik tolak daripada suatu yang terlarang. Namun apa konsep yang saya fahami itu betul? Jelas sekali ia kabur, kerana makna maruah itu hanya daripada tugasnya.
Misalnya, sekiranya kita bertanya, apa maknanya polis. Pasti kita menjawab polis adalah mereka yang menjaga keselamatan,kesejahteraan dan kemakmuran. Pada saat kita tersenyum dengan jawapan itu, sebetulnya kita hanya menyenaraikan tugas polis itu, bukan maksudnya. Jadi apa maksud polis? Mungkin-mungkin sahaja kita boleh memberitahu, polis adalah manusia, dan manusia adalah khalifah di muka bumi ini. Lalu dengan konsep ini, kita juga sebetulnya sering menjadi 'polis' daripada segi tugas, cuma sahaja ia tidak dikatakan begitu.
Kata maruah juga begitu. Saya baru sahaja menarik fungsi kata maruah. Yang indah berkenaan hal ini, maruah itu berbeza daripada suatu tempat ke suatu tempat, daripada satu bangsa kepada satu bangsa. Maksud maruah bagi mereka yang bertudung litup pasti tidak sama dengan mereka yang memakai skirt separas lutut. Maksud maruah bagi Islam juga pasti berbeza dengan maksud maruah bagi mereka yang Kristian. Tetapi, kata maruah itu pasti tetap sama, dan di mana titik kesamaan itu?
Pada suatu hari yang tidak ada apa-apa, saya mengulit sebuah novel. Ia bukan novel yang bercerita berkenaan maruah, ia cuma fiksi namun ada terselit sesuatu yang kecil di sana. Sesuatu yang sering saya ucapkan sebagai penutur tegar, namun, pada waktu itu baru saya mengerti dan menepuk dahi, mengapa baru hari itu saya mengerti.
Ia berkenaan dengan perkataan Bugis, Sirie. Dalam Bugis sirie itu maksudnya maruah, namun sebetulnya, kata khusus bagi maruah dalam bahasa Bugis itu langsung tiada. Maksud sebetul sirie adalah malu atau aib.
Lalu apabila seseorang gadis Bugis malu-malu, para Bacok akan mengusik dan mengatakan mereka mesirie. Begitu juga pada saat terjatuh di hadapan ramai, kata sirie pasti sepakat akan keluar. Namun, pada saat-saat yang lebih genting, umpamanya seseorang sudah melakukan yang terlarang, kata sirie itu juga keluar dan pada waktu inilah sirie itu dimaksudkan dengan maruah.
Kesimpulan yang boleh ditarik di sini, maruah itu maksudnya malu atau aib. Lalu apa yang dimalukan oleh mereka yang bertudung litup dengan mereka yang skirt paras paha itu berbeza, tetapi mereka berkongsi perkataan dan rasa yang sama, yakni malu. Begitu juga halnya dengan apa yang menjadi perkara memalukan di Amerika, pasti berbeza dengan apa yang dimalukan di Malaysia, namun rasanya tetap sama.
Atas itu, boleh sahaja sekarang kita muafakat bahawa, maruah kita tercalar apabila berlaku sesuatu yang memalukan kepada kita. Jelas perkara-perkara yang terlarang itu adalah perkara yang memalukan dan maruah itu adalah sesuatu yang menyebabkan seseorang manusia, sesebuah bangsa dan negara itu malu.
Jadi mudah saya fahami mengapa orang tua berpesan jangan buat itu dan ini kerana ia menjatuhkan maruah. Sebetulnya mereka malu. Mudah juga saya fahami mengapa pejuang itu dan ini mengatakan maruah bangsa dan negara tercabar, kerana mereka sebetulnya aib dengan sesuatu keburukkan.
Mudah difahami mengapa para ustaz sering mengulang hadis, “Iman terdiri daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu dari bahagian-bahagian iman.”. Juga dengan hadis, "Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.". "Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan." Lebih mudah dimengerti, sebab mengapa apabila tiba saat berdoa, perkataan maruah tidak melungsur daripada hati. Yang ada hanyalah “Ya Allah, jagalah aib kami.” Jelas aib atau malu itu sudah melingkari maksud maruah.
Jadi, memalukan dan juga mengaibkan manusia lain adalah sama kesannya apabila kita membuat sesuatu yang terlarang, kerana kita baru sahaja menyinggung berkenaan maruah. Mungkin bukan maruah kita, tetapi jelas ia melibatkan maruah orang lain.
Bagaimana pula hendak menerangkan berkenaan kata mengangkat maruah? Apakah ia bermaksud mengangkat malu? Misalnya sahaja, seorang yang papa kedana, jujurnya ia suatu keadaan yang memalukan walaupun tidak dituliskan secara tersurat. Malu akibat miskin itu boleh sahaja diangkat pergi dengan pencapaian lain. Misalnya berjaya dalam pelajaran ataupun dia itu seorang yang tinggi imannya, dan terus maruahnya diangkat.
Sama juga juga kisahnya dengan mengangkat maruah bangsa dan negara. Umum mengetahui, rasa rendah diri, walau tidak banyak, masih ada dalam diri kita kerana anggapan masyarakat barat berkenaan ketidakupayaan bangsa kita. Hanya pencapaian kita dalam sukan, juga dalam bidang lainnya menjadi penyebab rasa malu itu diangkat lalu hilang.
Itu yang saya cuba fahami, cuba terangkan dalam hati, kerana saya tidak selalu tetapi ada juga menyinggung aib manusia lain. Walau hal itu benar, namun setiap sesuatu pasti ada cara moleknya, ada cara baiknya. Cara yang Junjungan kita gunakan bagi mengangkat maruah mereka yang baru memasuki Islam dan yang akur dengan Islam.
Yang pasti, ia sudah menjadi urusan manusia dengan manusia. Juga seperti yang kita mafhum di akhirat nanti, urusan manusia dengan manusia itu lebih sukar berbanding urusan manusia dengan Allah, kerana Allah itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani, dan Maha Menyanyangi. Manusia pula jelas-jelas bukan begitu sifatnya.
No comments:
Post a Comment