Dahulu ayah memberikan cinta kepada ibu
dengan tanah dan air mata. Kini, saya mahu memberikan cinta kepada
dia, hanya dengan kata-kata. Sungguh kerdil benar rasanya diri ini.
Hanya dengan kata-kata, saya mengatakan akan memberikan dia dunia,
dan seterusnya syurga.
Dia percaya kata-kata saya. Sungguh,
kerdil benar rasanya diri ini apabila diberi kepercayaan yang sebesar
langit.
Cuma satu pintanya, katanya, "Saya bukan
perempuan suci. Terima saya dengan seadanya."
Apabila saya bertanya,
“Apa maksud kamu dengan suci?”
“Kamu lihat, saya tidak bertudung.
Lalu perempuan seperti saya ini sering dituduh yang bukan-bukan. Lalu
terima saya seadanya.”
Saya tersenyum dan sekali lagi
menjanjikan dia dengan kata-kata.
“Saya menerima kamu seadanya.”
“Mengapa?”
“Kerana saya tidak punya kuasa untuk
memberi hidayah. Tuhan yang memberi hidayah kepada hamba-hamba-Nya,
termasuk kamu. Saya hanya mampu berusaha, untuk memastikan kamu
diberi cinta. Diberi kasih. Orang yang diberi cinta, diberi kasih
lebih mudah untuk kembali memberi cinta, memberi kasih. Orang yang begitu, lebih
disayangi Allah, dan lebih mudah diberi hidayah.”
Dia tersenyum baik, dan saya setuju,
senyuman dia adalah senyuman paling indah pernah diberikan oleh
mana-mana perempuan kepada saya, kecuali... senyuman ibu.
“Betul?”
Namun tetaplah dia perempuan, yang suka
mendengar ulangan kata-kata manis lelaki. Dan saya, mahu memastikan,
walaupun saya cuma menjanjikan dia kata-kata, tetapi ia bukan
kata-kata palsu.
“Ya. Memperlekeh, memandang sinis
manusia lain, hanya mewujudkan benci kepada sesuatu yang indah. Yang
indah itu adalah kasih sayang. Tanpa kasih sayang, apakah Tuhan masih
mahu memandang kita yang hina ini?”
“Lalu dinikahi saya segera. Cukup
dengan kata-kata itu.”
“Harta saya tidak punya.”
“Saya tahu.”
“Lalu mengapa mahu saya menikahi
kamu?”
“Kamu lelaki yang punya kata-kata
kasih. Kamu lelaki yang berusaha. Nikah akan memudahkan kamu untuk
menyara saya, dan nikah juga akan memudahkan saya untuk... mungkin
memaksa diri bagi menjadi seperti yang kamu inginkan, jauh-jauh dalam
hati kamu.”
“Kamu tahu apa isi hati saya?” Saya
tersenyum.
“Ya. Saya tahu. Kamu mahu saya
bahagia dunia akhirat. Kerana kamu sayangkan saya.”
Itulah mulanya, kisah saya dan dia.
Untuk satu kisah yang bernama cinta. Pada ketika manusia menghakimi
dia, saya memilih untuk menyayangi. Tanpa saya sedar, pada ketika
manusia menghakimi saya, dia memilih untuk mempercayai.
1 comment:
Amboi manisnya tuan :')
Post a Comment