Tuesday, February 24, 2015

esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku - 2



LIMA BULAN SEBELUM.

Sudah tiga tahun sejak peristiwa itu. Sejak saya tidak kenal lagi Mia sebagai seorang kekasih. Sejak saya mula membuang apa-apa sahaja kenangan yang berkaitan dia. Gambar, nombor telefon dan apa sahaja. Tetapi sayang, cinta itu bukan berkehendakkan benda untuk diingat. Cinta itu sudah sedia ada dalam hati, dan akan mengalir ke ingatan untuk menjadi kenangan dan seterusnya menjadi luka yang mencucuk-cucuk.

Saya fikir, saya sudah melalui pedihnya cinta yang paling agung, tetapi Tuhan ada rencana lain untuk saya. Pedihnya cinta itu, tidak sekadar itu.

Saya akui, saya masih mencintai dia. Tetapi saya sudah mampu menerima, bahawa dia sudah tidak ada. Ibaratnya kita mencintai dan merindui orang yang sudah mati.

Saya pula sejak itu, selepas hampir beberapa bulan hidup tidak menentu, dan mujur ada ibu yang sentiasa ada di sisi untuk terus memberi dan memastikan anaknya ini terus menjadi manusia. Alhamdulillah, kini saya sudah bekerja. Gaji tidaklah setinggi mana, tetapi mampulah membeli kereta nasional, dan rumah apartmen murah. Cukup untuk dibuat bangga oleh ibu.

Dari pengalaman lalu itu, tahulah saya, bahawa hidup ini sememangnya aneh. Cinta tidak pernah ada pelajaran khusus di sekolah-sekolah, tetapi hidup kita sehari-harian, sikit ataupun banyak, akan tetap perlu menyelesaikan masalah cinta yang datangnya bergelombang. Mungkin kerana itu ramai yang gagal dalam cinta.

Bukan sahaja manusia kecil seperti saya, malah pemimpin-pemimpin dunia sejak dari zaman Troy sampai sekarang, semuanya jatuh bangun kerana cinta. Jatuh kerana tidak mampu mengendalikan cinta yang mungkin wujud sebagai isteri ataupun cinta terlarang. Boleh sahaja pemimpin agung itu menghalakan muncung senjata ke kepala pihak musuh, tetapi mereka tetap akan tunduk di bawah kata muncung mulut seorang perempuan kerana cinta.

Sehingga berbalik kepada cerita saya, yang hidupnya kini sederhana dan sudah mampu tersenyum, tetapi tetap ada yang kurang. Saya sangat tahu kekurangan itu, dan pastinya ibu saya pasti lebih mengerti dan hari itu, dia memanggil saya pulang ke kampung.

Selesai segala rutin sambutan ibu yang penuh kasih dengan masakan enak, dan pelukan mesra berserta senyuman lembut, dia menatap tidak biasa kepada saya.

“Kamu sudah ada segala-galanya yang diperlukan untuk menjadi ketua keluarga. Cuma kamu belum ada keluarga.” Manis sekali kata-kata ibu, dan saya hanya tersenyum.

“Ibu mahu saya kahwin?”

“Ya. Sekiranya sudah ada calon, beritahu ibu, dan sekiranya belum beritahu juga.”

Saya senyum sekali lagi. Comel betul ibu saya pada ketika dia serius berkata tentang cinta.

“Belum ada ibu. Mengapa? Ibu mahu tolong carikan?”

“Ya. Ibu sudah ada calonnya. Orangnya cantik, agamanya bagus, sopan, lemah lembut dan pendidikannya pun bagus. Ada sambung belajar diploma tetapi tidak habis.”

Saya kerut dahi, dan kemudian ketawa kecil.

“Ibu ini, semua orang dikatanya cantik.”

“Ini memang cantik betul,” tegas ibu dan terus memberikan saya sekeping gambar pasport. Pada saat saya menerimanya, saya akui, ibu tidak berlebih-lebih. Biasanya, gambar pasport adalah gambar yang paling jujur. Gambar yang tidak akan menipu, dan melihat gambar itu, memang perempuan yang ibu kata ini, cantik.

“Namanya, Syafiqah. Kalau kamu suka, esok juga ibu masuk meminang.”

“Eh, ibu saya belum kata apa-apa lagi. Belum kenal pun lagi dia, tiba-tiba terus masuk meminang. Jangan-jangan dia sudah ada kekasih. Orang cantik begini, tidak mungkinlah tidak ada cinta hati. Saya tidak mahu apa yang terjadi kepada saya dahulu, terjadi juga kepada orang lain.” Saya bertegas.

“Ibu sudah risik semuanya. Syafiqah ini anak yatim piatu, dan dia anak sulung daripada 6 beradik. Kini dia menumpang di rumah mak ciknya, yang juga kawan ibu. Mak ciknya itu ibu tunggal dan juga orang miskin, dan sebab itulah Syafiqah belajar tidak habis. Mak ciknya sudah tanya betul Syafiqah dan Syafiqah kata, bagaimana mahu bercinta kalau adik-adiknya masih perlu belanja. Sebab itulah ibu cadangkan kamu jadi suaminya. Dapat kurangkan beban dia, dan boleh juga kamu tolong dia sambung belajar.”

Saya garu-garu lengan. Sepertinya ada yang tidak kena dan saya terus berkata, “Maknanya, saya ini hanya sebagai penyelamat ekonomi dia?”

“Bukan itu sahaja. Syafiqah itu muda lagi. Mak cik dia risau kalau Syafiqah mahu bekerja ke bandar, dan di sana bukan ada orang boleh dipercaya. Pengalaman hidupnya yang sedikit akan membuatkan dia mudah jatuh di mana-mana. Lalu, kamu juga adalah penyelamat seorang perempuan yang baik, dan pastinya dengan rupa kamu yang tidak kurang kacaknya ini, dia tidak ada masalah untuk jatuh cinta.”

Saya ketawa keras dan berkata, “Ibu sahaja yang kata saya kacak.”

“Tetapi betul, ibu memang suka kamu jadi suami Syafiqah. Senang hati ibu lihat wajahnya. Tenang jadinya jiwa apabila dengar dia berkata-kata. Lembut dan sangat hormat orang tua. Ibu yakin, dia akan jadi madu hidup kamu. Penyembuh segala luka dan pemberi kasih yang tidak putus. Jadi, bagaimana?”

Saya sebenarnya masih ragu-ragu dengan rancangan ibu. Teringat benar saya dengan rancangan orang tua Mia. Jangan-jangan memang Syafiqah sudah ada kekasih.

“Tetapi saya mahu jumpa Syafiqah dahulu. Boleh?”

“Esok kita ke sana.”

Esoknya seperti dikata, saya dan ibu sampai ke rumah mak cik Syafiqah. Rumah yang sudah uzur, dan kelihatan seorang perempuan tua yang berwajah lembut mengajak kami naik. Itulah mak cik Syafiqah. Ibu pun berbisik-bisik dengannya dan kemudian terlihat mak cik Syafiqah tersenyum baik.

“Syafiqah!” laung mak ciknya, dan saya mula berdebar-debar.

“Ya, mak cik!” Saya mendengar suara yang halus lembut dari bilik bertentangan ruang tamu. Debar saya semakin naik.

“Mari sini sekejap. Pakai tudung. Ada orang datang.”

Seketika, pintu bilik terbuka dan keluarlah seorang perempuan yang lembut sopan langkahnya, dan ternyata, 10 kali lebih bagus dilihat daripada gambar pasportnya. Debar saya menaik lagi.

“Duduk sini,” kata mak ciknya dan Syafiqah melabuh sopan.

Ibu pula terus menyiku saya dan berkata, “Syafiqah sudah ada di depan kamu. Tanyalah dia apa-apa.”

Saya telan liur. Apa yang saya mahu tanya ini adalah soal yang sulit-sulit. Tetapi ibu dan mak cik Syafiqah sudah memasang wajah yang mahu mendengar. Wajah orang yang sangat mahu tahu. Saya pula, selepas berfikir-fikir, walaupun terasa sangat janggal, keadaan ini lebih baik daripada bedua-duan dan saya tabahkan hati untuk bertanya.

“Syafiqah, mohon maaf untuk bertanya terus. Syafiqah sudah ada kekasih? Beritahu betul-betul. Jangan takut.”

Syafiqah memandang mak ciknya dahulu, sebelum dia tunduk dan menggeleng.

“Betul?”

Dia masih tunduk dan angguk.

“Takkan tak ada orang nak?”

Kali ini dia angkat kepala dan dengan wajah yang serius dia berkata, “Memang ada ramai yang mengirim wakil dan surat, tetapi saya masih ada adik-adik untuk dijaga. Lagipula sekarang saya hanya menumpang di rumah mak cik saya. Saya serahkan segalanya kepada mak cik untuk menentukan apa yang terbaik untuk saya.”

Mak cik Syafiqah terus mencelah, “Saya kenal rapat dengan ibu kamu. Mak cik yakin, kamu sebaik ibu kamu, dan pastilah sebab kamu juga ada kerja yang bagus, wajah pun boleh tahan. Mak cik fikir, kamu yang terbaik untuk anak saudara mak cik.”

Saya pula yang tunduk dipuji-puji begitu. Selepas kira-kira saya dapat mengawal diri, saya bertanya lagi, “Syafiqah, awak masih muda. Pintar. Tidak rasa sayangkah awak untuk bernikah awal? Tidak kisah untuk tidak mengejar kerjaya?”

Kali ini Syafiqah hanya memandang mak ciknya dan mak ciknya lah yang pantas menjawab.

“Apa yang lebih tinggi daripada kerjaya sebagai seorang isteri? Kerjaya yang sudah disebut akan mudah masuk ke syurga, asal betul sikapnya. Syafiqah memang mahu menyambung pelajaran lebih tinggi, tetapi saya sudah berpesan kepada dia, sambung pelajaran kerana kamu mahu jadi orang yang berilmu yang mengejar syurga. Sekiranya suami kamu benarkan kamu bekerja, terima itu sebagai hadiah, tetapi sekiranya tidak, setiap ilmu yang kamu belajar itu, tetap akan diberi pahala selagi mana kamu taat pada suami. Tidak akan sia-sia ilmu itu kerana Allah akan berikan lebih lagi. Syafiqah pegang perkara itu, dan itu jugalah yang mak cik pegang sehingga suami mak cik menemuinya penciptanya. Alhamdulillah, hidup kami memang tidak kaya, tetapi kami tidak pernah berasa kami miskin dan perlu meminta-minta. Tetapi mak cik tetap percaya, seorang perempuan apatah lagi yang masih muda, perlukan lelaki yang dapat membimbingnya, walau sepandai manapun perempuan itu, kerana tetaplah, akal perempuan satu dan nafsunya sembilan.”

Saya tidak ada apa-apa lagi untuk ditanya. Sudah jelas kepada saya, jalan hidup Syafiqah dan sebab mengapa saya perlu untuk berani menjadi suaminya. Namun, tetap jugalah dalam hati ini, berasa bergoncang kerana tiba-tiba sahaja wajah Mia pula yang datang.

****

SEBULAN SEBELUM

Sudah empat bulan saya bertunang dengan Syafiqah. Memang mahu saya terus bernikah. Biar segalanya ringkas dan mudah, tetapi tetaplah saya perlu cukupkan belanja dahulu untuk kenduri. Semuanya kerana duit simpanan saya hampir habis buat dibeli rumah dan renovasi rumah ibu. Sekiranya saya tahu akan bernikah, memang saya belum lagi membeli rumah. Biar menyewa pun tidak mengapa.

Saya pula tetap dengan aktiviti saya. Sekiranya tidak balik kampung, saya akan bermain futsal dengan kawan-kawan dan hari itu, entah bagaimana kaki saya terseliuh yang sakitnya sampai keluar air mata. Saya fikir saya pitam sebentar. Kemudiannya saya berasa resah sekiranya saya bukan setakat seliuh, tetapi patah atau retak pergelangan kaki.

Jasa baik rakan-rakanlah yang menghantar saya ke hospital dan terus ke bahagian ortopedik. Ketika sedang menunggu giliran, pintu bilik doktor terbuka dan keluar dari situ seseorang yang sangat saya kenal. Seseorang yang sudah membuat jiwa saya mati.

Itu Mia, di atas kerusi roda bersama dengan ayahnya yang tetap rapi penampilan. Mahu tidak mahu, Mia dan ayahnya akan tetap lalu di hadapan saya, dan mahu tidak mahu saya tidak boleh buat-buat tidak nampak, dan pada ketika kami bertemu muka, kami sama-sama terkejut untuk sesaat, sebelum kami sama-sama tersenyum.

“Mia, apa khabar?” soal saya. Cepat-cepat saya sembunyikan gelisah, dan saya tidak mahu dia tahu yang saya begitu. Saya mahu tunjukkan kepada Mia dan ayahnya, saya juga sudah jadi manusia yang berkerjaya, sudah jadi manusia yang melupakan kisah lalu.

Namun tetaplah, wajah Mia itu sepertinya ada magnet. Walaupun sudah lama tidak bertemu, saya mengakui, dahulu saya ego mengatakan dia biasa-biasa. Wajahnya bersinar, dan cantiknya seperti sudah bertambah. Mungkin seri seorang isteri. Lalu saya segera tunduk.

“Beginilah saya. Kalau sihat, taklah kita jumpa di hospital,” jawab Mia tersenyum.

“Buat apa di sini?” soal ayah Mia ramah.

“Seliuh. Tapi takut ada retak dan patah. Pak Cik dan Mia pula buat apa sini?”

“Mia, buat pemeriksaan lanjutan. Lututnya dahulu kena bedah.” Kemudian dia memerhati kiri kanan.

“Seorang sahaja? Mana isteri?” soal ayah Mia.

Tajam benar soalan itu. Tidak tahu saya, mengapa dia bertanya begitu. Apa maksudnya? Namun tetaplah saya menjawab baik, “Saya belum beristeri lagi.”

Ayah Mia mengangguk-angguk dan berkata, “Kami balik dahulu."

Pada ketika sudah hampir 10 langkah, tiba-tiba ayah Mia berbalik ke arah saya, meninggalkan Mia, dan berkata, "Ada nombor telefon?”

Walaupun hairan mengapa ayahnya meminta nombor telefon tetap saya memberi, dan saya terus memerhatikan mereka beredar sehingga hilang di sebalik pintu.

***

Alhamdulillah kaki saya tidak ada apa-apa. Cuma terkoyak ototnya. Itu sangat saya bersyukur, dan dua hari kemudian, saya menerima telefon daripada ayah Mia, mengajak berjumpa di restoran yang saya pernah berjumpanya dahulu. Kini, dia kata dia yang belanja dan saya berasa sedikit aneh.

Malam itu, saya pun memenuhi hajat, demi membuktikan saya ini lelaki yang kuat. Lelaki yang tidak ada apa-apa. Lelaki yang tidak terkesan dengan masa lalu. Walaupun hakikatnya dalam hati luka itu masih berdenyut-denyut.

Selepas berbual-bual seketika hal politik Malaysia dan dunia, dia akhirnya menatap penuh belas ke arah saya.

“Nak, awak tahu mengapa pak cik panggil awak ke sini?”

“Tak.” Saya menggeleng.

“Setahun lepas Mia kemalangan dan suaminya meninggal. Dia juga cedera dilutut. Namun itu belum apa-apa lagi. Sejak itu, Mia tidak pernah lagi tersenyum. Dia sering menyendiri di dalam bilik. Mujur juga makan dan minum dia sudah mahu. Sehinggalah dua hari lepas, apabila dia bertemu dengan awak, itulah pertama kali pak cik melihat dia tersenyum. Pertama kali lihat matanya kembali bersinar-sinar dan pipinya penuh darah. Sepertinya dia menemukan kembali hidupnya.”

Saya sedikit terkejut. Saya seperti sudah ada bayangan ke mana hala tuju pertemuan ini, tetapi saya tidak berani menyebutnya.

“Selepas bertemu dengan awak, dan selepas tahu yang awak belum bernikah, dia selalu menyebut tentang awak. Dia bercerita dengan riang tentang semasa dia bekerja dengan awak. Pak cik melihat dia sangat gembira. Lalu....” Ayah Mia terhenti seketika. Pada wajahnya, saya melihat hiba seorang ayah. Saya menahan diri daripada berkata apa-apa.

“Lalu... seperti yang pak cik beritahu awak dahulu, pak cik adalah ayah yang sanggup bermati-matian mahu melihat anaknya bahagia. Pak cik mahu Mia kembali seperti dahulu lagi, dan sekiranya dahulu pak cik menolak awak, sekarang pak cik dengan tidak malu dan sanggup membuang ego, merayu awak sekiranya masih ada cinta dalam hati awak, maafkanlah pak cik dan Mia. Jadikanlah Mia sebagai isteri awak. Pak cik sanggup keluarkan belanja. Pak cik merayu.”

Ketika itu, saya melihat mata ayah Mia mula berkolam. Ternyata dia seorang ayah yang sanggup berbuat apa sahaja untuk anaknya bahagia. Walaupun dengan cara begini. Saya pula terus terdiam. Fikiran saya mula terbayang Syafiqah.

“Nak, pak cik merayu. Demi anak pak cik.”

Dengan nada berat, saya menarik nafas dalam-dalam dan berkata perlahan, “Pak cik, memang saya belum bernikah tetapi saya sudah bertunang.”

Serta-merta wajah ayah Mia berubah. Bukan berubah marah, tetapi kecewa yang sangat dalam. Terus dengan kedua-dua tangannya dia memegang tangan kanan saya. Sambil tunduk dia berkata, “Nak, pak cik tahu daripada mata awak, awak masih sayangkan Mia. Masih ada cinta kepada Mia. Jadi pak cik mohon, pilihlah Mia, lebih daripada tunangan awak. Tanya hati awak, cinta awak lebih berat kepada siapa. Pak cik merayu.”

Dapat saya rasakan ada air mata yang menitik pada tangan saya. Air mata seorang ayah, yang sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagian anaknya dan itu membuatkan saya tersudut kepada permasalahan yang tidak pernah sangka-sangka akan terjadi.

“Jangan buat keputusan sekarang. Balik dan fikirkan lagi dan selepas awak ada keputusannya, beritahulah pak cik. Tetapi pak cik sangat berharap, anak ini akan bahagiakan anak pak cik. Ini surat yang Mia tulis, surat yang kemudiannya dia renyuk, dan pak cik ketemu, sehingga pak cik berani bertemu dengan anak di sini.”

Saya menerima kertas yang sudah renyuk itu, dan membukanya perlahan-lahan. Di situ ada tulisan tangan yang cantik.
Awak! 
Ini suara hati saya. Saya masih cintakan awak. Masih sayangkan awak. Saya tidak tahu mahu luah kepada sesiapa. Saya cuma berani luahkan pada kertas ini. Saya berharap sangat awak baca luahan ini. 
Maafkan saya atas semua salah silap saya. Maafkan semuanya. Saya masih rindukan awak, dan saya tahu, jauh dalam hati, awak juga begitu. 
Tapi sayang, saya tahu awak takkan dapat baca luahan ini, kerana saya malu berikan kepada awak. Saya akan renyuk dan buangnya. Tetapi saya akan berasa lega, kerana setidak-tidaknya, saya sudah meluahkan isi hati saya, walaupun hanya pada sekeping kertas yang bisu. 
Yang mencintai awak.
Mia.

"Seperti yang pak cik beritahu awak dahulu, sekiranya ada jodoh, tidak ke mana. Menunggu juga tandanya jodoh itu ada. Tetapi Allah berikan kita, pelbagai bentuk situasi 'menunggu'. Cuma sahaja, adakah kita berada dalam posisi sabar untuk sampai ke sana, ataupun dalam posisis sabar untuk tetap menunggu di sana."

Itulah kata-kata yang menutup pertemuan kami malam itu.

***
Malam itu saya tidak terus pulang. Saya sangat buntu dan mujur saya teringat kepada bekas rakan serumah, seorang ustaz yang banyak sekali memberi kata-kata nasihat baik kepada saya. Saya akui, soal cinta, Mia memang berhak mengatasi Syafiqah, tetapi soal aturan, Syafiqah jauh lebih berhak berbanding Mia. 

Saya fikir, ustaz itu akan dapat memberikan sesuatu dan pada ketika saya memberitahu masalah saya kepada dia, di sebuah restoran 24 jam, dalam riuh pengunjung menonton bola, dia hanya ketawa.

"Itu memang ujian orang bertunang. Mereka akan bertemu orang yang lebih baik daripada tunangnya."

Saya renung ustaz itu, dan berkata lagi, "Jadi apa perlu saya buat?"

“Apa susah, kamu poligami sahaja.”

“Ustaz, saya serius.”

“Ya, saya pun serius.”

Saya terdiam. Poligami? Rasa-rasanya saya belum mampu berlaku adil, dan terus berkata, “Ok, katakan poligami jalan akhir. Ada apa jalan lagi?”

Sambil masih tersenyum dia menjawab, “Mengapa tanya saya? Orang yang pertama sekali kamu perlu tanya dan beritahu adalah ibu kamu. Ingat, kamu lelaki. Walaupun setinggi apa pangkatmu di dunia, kamu tetap tunduk pada manusia yang bernama ibu. Walau kamu suami yang menjadi ketua keluarga, yang memberi katas putus, kamu tetap perlu patuh pada manusia yang bernama ibu. Tanya dia, kerana bahagianya kamu nanti adalah bergantung pada redhanya dia kepada kamu. Jangan tanya saya.”

Itu nasihat dia dan esoknya saya mengambil cuti lalu pulang ke kampung, hanya kerana itu dan apabila sampai, saya terus memberitahu ibu apa yang terjadi. Ibu pula walaupun nampak sangat terkejut, dia tetap cuba terlihat tenang.

“Ibu, bagaimana sekarang?”

“Ibu tahu, kamu masih sayangkan Mia. Sekiranya tidak, pasti kamu mudah membuat keputusan. Pasti kamu tidak perlu datang berjumpa ibu. Ibu juga tahu, kamu mahu ibu memilih Mia daripada Syafiqah. Itu mahu kamu. Betul?”

Saya tersentak. Memang itulah yang ada jauh dalam hati saya. Seorang ibu memang tidak pernah gagal untuk membaca hati anaknya. Ya, saya memang masih cintakan Mia. Cinta sepenuh hati.

“Tetapi ibu lebih suka kepada Syafiqah. Ingat, Mia yang membuatkan kamu seperti hilang ingatan untuk menjadi manusia. Berbulan-bulan ibu menjaga kamu kerana perkara itu. Sakitnya hati ibu.”

“Tetapi ibu, itu bukan salah Mia. Malah ayah Mia juga sudah menyatakan kesalnya kepada saya.”

“Memang betul. Tetapi bagaimana dengan Syafiqah? Dia gadis kampung yang sangat baik. Gadis yang baru mahu mengenal dunia, dan pada ketika dia mahu kenal dunia, kamu perkenalkan dia kepada erti duka? Mia itu setidak-tidaknya ada seorang ayah yang sanggup berkorban apa sahaja untuk dia. Tetapi Syafiqah tidak ada sesiapa lagi di dunia untuk dia bergantung harap. Hanya kamu nanti yang mampu menjadi tempat dia berteduh. Lagipula, bagaimana ibu mahu jaga air muka ibu kepada mak cik Syafiqah, sekiranya kamu putus? Malah, ibu sudah anggap Syaqfiqah anak perempuan ibu yang tidak ada. Ibu sayangkan dia, dan ibu tidak mahu kamu lukakan dia.”

Saya diam, dan terasa terbakar dada ini mendengar kata-kata ibu. Sakit. Dalam sakit itu, ibu menyambung, “Ibu muktamad. Ibu pilih Syafiqah. Esok kamu beritahu ayah Mia keputusan ini. Beritahu elok-elok, dan berikan sekali kad kahwin kamu, supaya Mia sudah tidak memberi harap dan dia dapat terus meneruskan hidup.”

Saya mula teringat kembali kata-kata aruah suami Mia kepada saya. Kata-kata yang saya tidak menyangka, akan saya sendiri hadapi.

“Saya dan Mia sama sahaja. Sekiranya ibu bapa kami gembira, insyaAllah kami berdua akan bahagia. Pasangan yang bahagia, bukan sahaja menjaga hati masing-masing, tetapi juga menjaga hati ayah dan ibu mereka. Apabila itu mereka dahulukan, mereka akan faham, rumahtangga adalah proses untuk menjadi suami isteri dan ibu bapa yang terbaik. Rumahtangga bukan end result. End result nya nanti di akhirat sana. Di sini kita berusaha, dan cuba mencari apa sahaja jalan bagi mendapatkan end result yang terbaik di akhirat. Termasuklah berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di atas luka.”

Akhirnya, sudah putus kata. Esoknya dengan hati yang berat dan langkah yang rasa mahu jatuh, saya berikan kad kahwin saya kepada ayah Mia. Saya perlu berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di atas luka.

PADA HARI PERSANDINGAN.

Hari itu, hari bersejarah saya. Saya sudah ijab dan kabul dan saya sudah menjadi suami. Kami ada pelamin tetapi hanya hiasan. Saya dan Syafiqah hanya mahu pelamin itu jadi tempat bergambar. Namun tetaplah kami berpakaian raja sehari. Indah dan cantik, sambil kami berjalan dari satu meja ke satu meja bertemu dengan para tetamu. Berkenal rapat dengan para keluarga.

Kami berjalan berpimpinan tangan, dan untuk pertama kalinya, saya berasa sangat berbeza. Saya adalah orang baru. Pada ketika mahu berpindah ke meja satu lagi, saya menahan nafas. Senyum saya tadi hilang.

Di meja itu saya melihat ayah Mia, dan Mia sendiri. Saya benar-benar tidak sangka mereka akan datang. Kad jemputan itu bukan sebenar-benarnya maksud menjemput, cuma sebagai bukti yang saya sudah boleh dilupakan dan hidup perlu diteruskan lagi.

Di meja itu, saya melihat ayah Mia tersenyum sangat pahit, dan Mia sendiri sudah berkaca matanya. Saya tahu pedihnya apabila berada di pihak Mia, tetapi hari itu, pertama kalinya saya merasai pedih yang lebih pedih daripada itu. Dan mata saya juga mula berkaca.



3 comments:

Ika said...

Sedih. :(

Anonymous said...

Adakah anda sangat tertanya-tanya, "Bagaimana untuk mendapatkan kembali suami saya?" selepas banyak masa berlalu tanpa suami anda kembali kepada anda? Sekarang anda terjebak dalam keadaan yang sangat terdesak, kerana minda anda terasa lelah, sementara tubuh anda sanggup pergi sejauh mana untuk mendapatkan kembali suami anda mengapa tidak menghubungi ejaan Dr.Yakaya yang e-melnya: Yakayatemple@gmail.com atau tambah dia di WhatsApp +2347050270227 dan dapatkan suami anda kembali dalam masa 24 jam

fandhy said...

Singah dan koment

visit back